KAEDAH LATIHAN
Bagi saya, pada peringkat awal latihan, anda perlu belajar tentang asas melakukan teknik – teknik tendangan dengan kaedah yang tepat. Pastikan anda berjaya melaksanakan dengan kaedah yang tepat untuk satu – satu teknik sebelum belajar teknik kaki yang seterusnya. Ini penting kerana pada peringkat awal, apabila anda melakukan sesuatu pergerakan, minda dan tubuh anda akan memberi rangsangan terhadap pergerakan tersebut. Sekiranya anda melakukan kaedah yang salah, minda dan tubuh anda akan tetap mengatakan ianya adalah kaedah yang betul. Pada peringkat seterusnya, amat sukar untuk anda perbetulkan kembali dan akhirnya menjadi sumbang untuk melakukan kaedah yang sebenar.
Apabila berjaya melakukan pergerakan kaki dengan kaedah yang tepat, sekarang masanya untuk anda membuat latihan untuk menambah kemantapan tendangan anda. Lakukanlah tendangan sehingga anda berjaya melakukan 100 kali untuk setiap kaki kanan dan kiri. Namun begitu, anda lakukanlah secara ansur maju dengan penambahan intensiti dan repetisi. Jangan terlalu terburu – buru kerana ianya boleh mendatangkan kecederaan kepada otot – otot kaki anda. Melalui prinsip ini, ianya dapat membantu otot – otot anda menyesuaikan kepada kehendak fizikal yang anda inginkan iaitu melakukan tendangan yang mantap secara berulang – ulang. Lama – kelamaan, daya tahan otot anda akan meningkat dan hasilnya, anda telah berjaya memiliki sekumpulan otot yang boleh melakukan tendangan dengan mantap tanpa berasa penat atau lesu.
Selain itu, kaedah yang perlu di ambil perhatian apabila anda berlatih untuk memantapkan teknik serangan kaki ialah anda perlu berlatih menendang ‘kicking target’ secara konsisten. Bagi saya, tiada alat lain yang sangat membantu dalam menghasilkan tendangan yang mantap dan tepat selain alat ini. Berlatihlah sehingga anda dapat melakukan tendangan yang sempurna dengan kelajuan yang maksimum. Kemudian, rakan anda akan mengubah paras ketinggian. Apabila sudah mahir dengan paras ketinggian yang berbeza, rakan anda akan menguji pula dengan meletakkan ‘kicking target’ secara rawak dan dalam tempoh yang singkat, anda perlulah melepaskan tendangan yang mantap dan tepat ke arah ‘kicking target’ tersebut.
Setelah anda berjaya melakukan pelbagai jenis tendangan dengan mantap, pantas dan tepat, anda perlu melakukan aktiviti seterusnya iaitu latihan serangan bebas atau ‘sparring’ bersama rakan anda. Latihan ‘sparring’ ini menguji anda dalam melakukan tendangan – tendangan secara spontan dan berlatih dalam situasi yang lebih realistik. Menerusi latihan ‘sparring’ ini, selain anda perlu melaksanakan tendangan dengan mantap, pantas dan tepat, kombinasi elemen seperti tapak kekuda, kaedah menanti, elakan dan tangkisan, serangan tangan, baca pergerakan dan kedudukan jarak perlu juga anda kuasai dan diaplikasikan bersama.
والله أعلم
No comments:
Post a Comment