Salamun Alaik;
3 Bentuk Serangan Silat Seni
Cara Melakukan Serangan Dan Sambut Dalam Permainan Seni
Serangan dan sambut dalam permainan seni dilakukan secara lambat atau perlahan tetapi rapi dengan imbangan, ketepatan, kekemasan, kecepatan, ketangkasan, ketahanan dan kekuatan.
a. Kaedah Serangan Seni :
Setelah melakukan Langkah Lilit atau Galah Panjang, pesilat bolehlah melakukan serangan seni. Serangan seni dilakukan seperti di bawah ini:
i. Berdiri dengan angkat kaki kiri dan tepuk tangan kiri di atas kepala lutut kiri. Tangan kanan yang melakukan serangan dihalakan lurus ke arah sasaran atau pasangan. Lihat rajah 2. Rajah tersebut menunjukkan cara bagaimana melakukan sedia serangan tumbuk tangan kanan. Sekiranya serangan tumbuk tangan kiri dilakukan angkat dan tepuk lutut kanan.
ii. Maju ke sasaran dengan melangkah kaki kiri atau kaki yang diangkat. Apabila hampir kepada lawan, lakukan tumbuk tangan kanan dengan melangkahkan kaki kanan. Pesilat tentu dapat merasakan bahawa penyerang perlu melakukan dua langkah ke sasaran. Hal ini berlaku kerana dalam permainan Seni (Silat Pulut) pasangan kerap berada jauh daripada pesilat. Lihat rajah 3. Tetapi sekiranya pasangan rapat atau dekat, bolehlah pesilat menyesuaikan langkah dengan kemudahan jarak dalam serangan.
Rajah 2 dan 4
iii. Serangan Tumbuk Seni dilakukan dengan mengepalkan tangan yang akan melakukan serangan, kemudian tangan tersebut naik ke paras pinggang dengan kepal telentang dan undur ke belakang akhirnya maju ke sasaran dengan kepal telengkup. Kederasan mengikut kesesuaian, biasanya dilakukan perlahan untuk kemahiran. Manakala tangan kiri atau tangan yang tidak menyerang berbentuk ‘dal /ﺪ’ bengkuk selaku tangkis di depan dada dengan hujung jari menghala ke atas. Lihat rajah 4.
b. Kaedah Sambut Seni
Kaedah Sambut Seni dilakukan sama seperti dilakukan oleh pasangan iaitu berdiri menghadap lawan, angkat kaki kiri tepuk kepala lutut dengan tangan kiri. Tangan kanan angkat menghala kepada serangan. Selepas tepuk kepala lutut, tangan kiri selaku tangkis di depan dada pesilat. Maju mengikut rentak langkah lawan. Lihat rajah 5.
Rajah 5 dan 6
Rajah 7,8 dan 9
iv. Bagi sambut serangan tumbuk tangan kanan, maju dua langkah dan lakukan Sambut Luar iaitu berada di sisi rusuk kanan pesilat, memegang lengan pesilat dengan dua tangan.
v. Apabila pesilat merasa lengan kanannya dipegang, bengkokkan siku (kaedah Kedu) lihat rajah 7a. Manakala tangan kiri pesilat menyisip dari dalam ke luar untuk membebaskan tangkapan pasangan di bahagian pergelangan tangan, lihat rajah 7b. Bermakna pesilat membebaskan tangkapan kedua-dua pasangannya dengan kaedah tindih. Ketika ini tangan kanan pesilat boleh melakukan serangan, lihat rajah 8. Begitu juga tangan kiri pesilat boleh melakukan serangan, lihat rajah 9. Pesilat bebas dari tangkapan dan ketika ini pesilat berada di bahagian dalam, lihat rajah 9.
vi. Pasangan menyedari kedudukannya lemah. Cara mudah menyelamatkan diri dengan memotong gerakan lawannya dengan mengubah hala Sagang. Sagang ialah apabila kedua- dua tangan bersentuhan untuk mempertahankan diri dari serangan tangan atau tangkapan. Lihat rajah 11 iaitu kaedah Sagang Sehala. Memotong dengan memusingkan badan ke belakang ikut kiri, lihat rajah 12. Dengan gerakan tersebut pasangan terpaksa menurut supaya kedudukan tidak kiat, iaitu dengan mengangkat kaki kanan sedikit keluar, lihat rajah 13. Kedudukan kaki kedua-dua pesilat menjadi rajah segi tiga, lihat rajah 14. Namun kedua-dua tangan pesilat masih dalam keadaan Sagang.
vii. Pisah iaitu cara membebaskan diri dari sagang tersebut ialah dengan maju kaki belakang rapat ke kaki depan, lihat rajah 15. kedua-dua pesilat melepaskan tangan pasangannya dan berdiri tegak di atas kedua-dua kaki dengan satu tangan menghala kepada pasangan dan sebelah tangan lagi selaku tangkis di depan dada. Lihat rajah 16.
Selepas kedua-dua pesilat membebaskan dirinya daripada pasangannya, bolehlah meneruskan serangan lain. Tetapi dalam latihan ini, pesilat mestilah melakukan serangan tumbuk tangan kanan dan serangan tumbuk tangan kiri.
Rajah 11, 12 dan 13
Rajah 14,15 dan 16
c. Cara Latihan
Latihan mestilah dilakukan dengan pasangan (2 orang) untuk pengetahuan, bahawa serangan tumbuk melatih pesilat menghadapi serangan terus ke sasaran dan belaan dengan Sambut Luar. Serangabn terus dalam pertempuran biasanya deras sama ada tanpa atau bersenjata. Di dalam pelajaran Seni diperturun kan kaedah rapi bagi sambut dan melepaskan diri dari tangkapan (pemotong).
i. Kedua-dua pesilat berdiri berhadapan dalam jarak langkah atau berdiri dengan hujung tangan bertemu, lihat rajah 17.
ii. Kedua-dua pesilat angkat kaki, tepuk atas lutut dengan tangan kiri. Pesilat yang melakukan serangan tangan tumbuk tangan kanan dengan tangan kepal di pinggang dan tangan kiri selaku menangkis di dada.m pasangan dengan tangan selaku tangkis di depan dan tangan kiri selaku tangkis di belakang. Lihat rajah 18.
Rajah 17 dan 18
iii. Kedua-dua pesilat maju. Pesilat maju langkah kaki kiri dan luruskan tangan kanan ke arah sasaran. Pasangan maju dan meletakkan tepi luar tangan kiri di pergelangan tangan pesilat. Lihat rajah 19.
iv. Pesilat maju kaki kanan dengan tangan lurus. Pasangan melakukan kaedah Gelek dan memegang siku pesilat. Lihat rajah 20.
Rajah 19 dan 20
v. Sisip dan Kedu. Bebaskan dari tangkapan luar. Pesilat sisip dengan tangan kiri tangkapan pergelangan tangan dan kedu siku kanan supaya pegangan di bahagian siku dilemahkan. Pesilat melakukan kedua-dua kaedah Sisip dan Kedu secara serentak dengan membengkokkan lengan seperti rajah 21.
vi. Sagang. Pesilat membuka ruang dalam yang melemahkan itu, alam lawan terbuka untuk serangan. Tangan kiri pesilat menolak tangkapan tangan kanan di bahagian pergelangan, tangan kanan menolak tangan kiri pasangan ke bawah, lihat rajah 22. Pesilat ketika ini bebas dari serangan. Manakala pasangan lemah kerana ia terdedah dari sebarang serangan.
Rajah 21 dan 22
vii. Pemotong. Lakukan gelek kanan dengan pusing belakang ikut kanan lihat rajah 23. Pesilat memegang kedua-dua tangan lawananya sambil berpusing, kerana tangan lawan yang bebas boleh melakukan berbagai muslihat. Jagalah gerak
viii. Pisah. Kedua-dua pesilat maju kaki belakang rapat ke depan. Jarak kedua-dua pesilat jauh dan kedua-dua tangan dilepaskan. Lihat rajah 24. Tangan yang rapat dengan pasangan tetap dihalakan kepada lawan dan sebelah tangan lagi selaku tangkis di dada. Lihat rajah 25.
Rajah 23,24 dan 25
Latihan perlu dilakukan secara perlahan dan kesan makna-makna tersirat ketika anda menjalankan latihan kerana ruangan ini tidak berupaya mengambarkan keseluruahan gerak secara terperinci, tetapi memadai lah untuk peringkat pertama.Cukup sekadar anda dapat mengamalkan dasar serang tumbuk.
[Dipetik daripada artikel Allahyarham Tn Hj Anuar Wahab]
No comments:
Post a Comment