Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Tuesday, October 18, 2011

HELAH DALAM MENYERANG

Salamun Alaik,
Guru Silat seorang yang pandai akal
Dalam silat ada silap dan silaunya. Helah pula antara pakaian Guru. Saat menjual sengaja dibuka ruang. Sebenarnya bahana menanti bila musuh terlalu ghairah untuk membeli. Sama juga dalam konteks menyerang. Yang pergi penumbuk, yang sampainya anggota lain. Gayanya seperti lurus tapi rupanya menyerong. Ada kalanya, tangan yang bergerak tapi kaki pula yang menerajang. Begitulah hebatnya permainan Guru. Nampak ringkas dan bersahaja, tetapi setiap geraknya banyak HELAH dan penuh BERISI.......

Wallahua'lam

Thursday, October 13, 2011

MAKSUD TERSIRAT WARNA GAYONG

Salamun Alaik,

"Kami datang dari GUGUSAN PULAU BERAJA, berdarah PAHLAWAN, HITAM pakaian kami, kami datang dengan niat yang SUCI, dan sesungguhnya ISLAM adalah agama kami"

Inilah jawapan yang diberikan oleh seorang GURU TUA bila saya bertanyakan beliau soalan APA MAKSUD DISEBALIK WARNA-WARNA GAYONG YANG LIMA ITU?

Wallahua'lam

Monday, October 10, 2011

SILAT DAN SAINS SUKAN : KENAPA HARUS MENJERIT?

Salamun Alaik,
Menjerit mampu meningkatan kekuatan pesilat
Setiap kali pesilat melaksanakan perbuatan serang bela, pasti ianya dilaksanakan serentak dengan suatu jeritan yang kuat. Pelbagai suara yang keluar mengikut keilmuan silat masing-masing. Antaranya HAQ! , AH!, KUN!, HU! dan ZAT! Saya tidak berniat untuk menghuraikan MAKSUD bagi setiap istilah tersebut tetapi ingin membincangkan, kenapa ianya perlu disebut dengan suara yang keras setiap kali melaksanakan perbuatan serang dan bela?

Petua silat menyarankan pesilat agar sentiasa WARAS dalam setiap aspek tindakan. Marah adalah sifat NAFSU yang mengurangi fungsi AKAL (kurang waras dalam tindakan) manakala mewujudkan perasaan GERAM dalam diri tidak akan mengganggu fungsi akal malahan mampu untuk menaikkan semangat dalam bertempur. Salah satu PETUA untuk mewujudkan perasaan GERAM adalah dengan mengeluarkan suara yang keras (menjerit). Sebenarnya, terdapat banyak lagi kelebihan yang dapat diperolehi melalui perbuatan menjerit ini. Antaranya:

1. Meningkatkan Kadar Pernafasan dan Kemasukan Isipadu Oksigen.
Sewaktu menjerit, kedudukan diafragma akan tertolak ke atas dan otot-otot perut (rektus abdominus) akan mengendur dengan kuat menyebabkan pesilat akan melepaskan nafas dengan kuat. Kesan dari tindakan ini menyebabkan pesilat akan menarik nafas yang agak kuat dan panjang yang membolehkan kemasukan oksigen dalam isipadu yang lebih tinggi berbanding biasa.

2. Merangsang Perembesan Hormon Adrenalin.
Tindakan menjerit dengan kuat mampu memberi kesan kepada perembesan Hormon Adrenalin yang mampu bertindak sebagai "steroid" untuk meningkatkan kemampuan otot dan tindakbalas. Hormon Adrenalin juga mampu meningkatkan kadar denyutan jantung dan membolehkan oksigen dihantar ke otot-otot dengan lebih pantas.

3. Kesan Psikologi Terhadap Diri dan Pihak Lawan.
Menjerit mampu menjadikan diri pesilat lebih berani (kesan hormon adrenalin) dan secara tidak langsung memberikan kesan psikologi (gerun) terhadap pihak lawan. Secara asasnya, apabila pesilat sudah mampu menjatuhkan mental pihak lawan, maka ia akan memberi suatu impak yang positif kepada pesilat untuk mengalahkan pihak lawan dengan lebih mudah.

4. Meningkatkan Daya Tahan Tubuh Mengatasi Asakan Pihak Lawan.
Ketika pesilat melepaskan serangan, musuh juga berkemampuan untuk melakukan hal yang sama kerana berkedudukan jarak yang sesuai untuk menyerang. Maka, sekiranya sewaktu pesilat menyerang dan mengeluarkan suara jeritan yang kuat, ianya mampu mengeraskan otot-otot tubuh terutamanya dikawasan abdomen (otot perut akan tertolak keluar dan badan akan sedikit melengkung ke hadapan yang menyebabkan ulu hati akan terlindung), dan sekiranya pada saat yang sama pihak lawan melepaskan serangan, maka otot pesilat telah pun bersedia dan berupaya menahan serangan pihak lawan tersebut daripada kesakitan yang melampau.

5. Melancarkan Aliran Tenaga Dalam ( Aura, Asrar, KI, Chi, dsb ).
Tubuh manusia bersifat Bio-Elektrik yang mempunyai cas-cas yang bersifat positif dan negatif. Kemampuan pesilat mengolah tenaga ini akan memberikan terlalu banyak kelebihan terutamanya dari aspek ketenangan, ketahanan, kekuatan, penyembuhan diri dll. I



Wallahua'lam

Wednesday, October 5, 2011

GAYA TANGAN MENANTI KETIKA SIKAP PASANG

Salamun Alaik,
Allahyarham Hj Anuar Wahab dengan Gaya Menanti Tapak Serong
Sikap pasang merangkumi 2 asas utama iaitu bentuk tapak kekuda dan gaya tangan menanti. Berbeza perguruan maka akan berbezalah konsepnya. Pastikan sebelum kita menyarung sebagai pakaian diri, segala petua dan rahsianya sudah cukup sebagai bekalan diri kerana setiap satunya ada "silap" dan "silau" nya yang tersendiri.

Berkaitan bentuk Tapak Kekuda dan Langkahan telah banyak dibicarakan. Kali ini saya ingin berkongsi sekadarnya berkaitan Gaya Tangan yang menanti. Kedudukan Tangan yang menanti amat penting kerana;
1. ia mampu menutup kawasan lemah pada tubuh pesilat.
2. menyukarkan pihak lawan untuk menyerang.
3. memudahkan pesilat menyalahkan dan mematahkan setiap serangan daripada pihak lawan.

Gaya Tangan yang menanti seharusnya selari dan sesuai mengikut GERAK LANGKAH dan GELEKAN TUBUH. Sesuai perletakan atau kedudukannya, maka akan lancarlah ia untuk digunakan untuk menepis, menangkis, menangkap atau menyerang ( makan segerak, makan gerak dalam gerak). 

Harus diingat, terdapat juga GAYA TANGAN ketika menanti yang mampu memudaratkan pesilat itu sendiri (makan tuan). Antaranya;
1. Kedudukan tangan yang terlalu jauh dihadapan - membolehkan pihak lawan menyentap dgn mudah.
2. Kedudukan tangan yang separas muka atau hampir dengan muka - pihak lawan berupaya mencederakan muka pesilat dengan tangan pesilat itu sendiri.
3. Kedudukan kedua tangan pesilat yang terlalu bersilang - pihak lawan dengan mudah mampu untuk MENYELAK TANGAN pesilat dengan kaedah mengunci gerak.
4.  Menggenggam kedua tangan dengan terlalu erat - pergerakan tangan menjadi terbatas dan kaku.

Namun begitu, terdapat juga perguruan yang sengaja mengajar pesilat - pesilatnya dengan tapak songsang dan gaya menantinya yang sekali pandang boleh memudaratkan pesilat itu sendiri, tetapi sebenarnya ianya adalah sekadar perangkap dan penuh dengan helah. Semoga perkongsian ini mampu memberi manfaat buat semua.

Wallahua'lam.

Sunday, October 2, 2011

SILAT DAN SAINS SUKAN : TAPAK KEKUDA DARI SUDUT BIOMEKANIK

Salamun Alaik,
Kekuda yang baik mesti menitikberatkan kedudukan postur tulang belakang 
(ihsan gambar dari FB Mejar Mohd Fitri)
Tapak Kekuda adalah pelajaran asas yg diajar kepada pesilat-pesilat sebelum mereka diajar dengan ilmu serang bela yang lebih kompleks. Matlamat memasang kekuda adalah jelas iaitu untuk membolehkan pesilat bertapak dengan kukuh dan stabil. Di samping itu juga, kedudukan kekuda yang mantap mampu mengolah pergerakan pesilat menjadi lancar dan seimbang. 
                                                  Garis Pusat tidak berada pada kedudukan tepat        Kedudukan yang tepat
Namun begitu, kita jangan terlalu ghairah untuk memasang kekuda yang terlalu rendah atau cantik semata-mata. Walaupun kedudukan "rendah" secara asasnya nampak lebih stabilnya, namun banyak lagi faktor yang perlu dititik beratkan. Dari sudut sains sukan, pemasangan tapak kekuda perlulah stabil, garis pusat berada pada kedudukan asal (waktu berdiri), kedudukan kaki (jarak kekuda) tidak menghalang pergerakan dan otot-otot mampu berinteraksi antara satu sama lain. Pengetahuan dari aspek Sains Sukan ini amatlah perlu agar setiap tindakan yang kita laksanakan/amalkan tidaklah memberi kesan yang negatif. Antara kesan negatif hasil dari latihan kekuda yang salah seperti;

1. Pergerakan jadi lambat walaupun stabil.
2. Kejang Otot (pinggul, peha, betis)
3. Ligamen/tendon/otot lutut terkoyak
4. Aliran Jalur Tenaga tidak lancar.
5. Titik Graviti tidak terletak pada kedudukan yg sebenarnya (hanya stabil pd kedudukan statik)
6. Memberi tekanan kepada tulang belakang.
7. Serangan dan Belaan menjadi kurang mantap.
Sakit lutut antara faktor latihan kekuda yang terlalu rendah (lebih 90 darjah)
 Kesilapan latihan kekuda juga boleh mengakibatkan sakit tulang belakang
Kriteria yang penting ketika memasang kekuda adalah PASTIKAN;
1. Lengkungan tulang belakang dalam postur yang betul.
2. Otot bawah (pinggul ke bawah) dapat berkomunikasi dengan otot atas (pinggul ke atas).
3. Tiada berlaku otot yang terlebih regang atau di bawah tekanan yang melampau (sering berlaku pada pesilat yang mengamalkan latihan kekuda yang rendah melebihi 90 darjah)
4. Otot gluteus (punggung) dan otot rectus abdominus (perut) perlu kuat agar rangka pelvis dan tulang belakang menjadi stabil.
5. Mampu memindahkan tubuh dan tenaga secara lancar tanpa halangan.

Secara umumnya, kesemua kekuda yang terdapat dalam keilmuan silat adalah berkesan dan tiada salahnya. Cuma kita sebagai pesilat perlulah memilih yang sesuai dengan susuk tubuh dan kemampuan kita. Faktor ketinggian, berat badan, umur dan teknik latihan juga mempengaruhi kesesuaian kekuda yang perlu dipraktikkan sebagai "pakaian diri". Anak2 muda ghairah dgn kekuda rendahnya, yang dewasa mula sederhana menantinya, yang tua pula ada kalanya sekadar berdiri dan tidak terkecuali hanya duduk bersila. Apapun keadaannya, biarlah kita belajar betul-betul rahsia "jual-beli" ini agar tiadalah syok sendiri disebabkan cantiknya atau rendahnya kekuda kita. Semakin berlatih, semakin sakit segala urat saraf. Sedangkan latihan silat sebenarnya, adalah bertujuan untuk menyediakan tubuh menjadi lebih bersedia untuk bertempur, yang sememangnya memerlukan kekuatan, kesihatan dan teknik pertempuran yang efektif.

Ramai dikalangan kita bila dah cecah 40-an dah mula sakit-sakit pinggang, belakang dan lutut. Ini sebenarnya adalah kesan daripada latihan yang salah. Sakit lutut pastinya akan mengganggu pergerakan dan keseimbangan badan. Bagi sakit tulang belakang (bahagian saraf) pula ,simptomnya adalah jari jemari terasa kebas, mengalami lenguh-lenguh dibahagian tengkok dan sakit-sakit kepala. Sebenarnya, bagi yang bermasalah dengan tulang belakang, kita dianjurkan untuk memperbanyakkan sujud dan rukuk sebab kedudukan nya mampu membetulkan kembali postur lengkungan tulang belakang.


“Apabila engkau sujud, tekanlah wajahmu dan kedua tanganmu ke tanah sehingga setiap ruas tulangmu kembali ke tempatnya” (HR. Ibnu Khuzaimah)
“Jika kamu ruku’ letakkan kedua tanganmu pada kedua lututmu dam luruskan punggungmu serta tekankan tanganmu untuk ruku” (HR. Ahmad & Abu Daud)
Sakit belakang mampu diubat melalui riadah SOLAT
Kesimpulannya, sewaktu memasang kekuda, tidak kiralah apa jua jenis kekuda, pastikan ianya di pasang dalam keadaan postur tulang belakang yang tepat, tidak memberi tekanan yang melampau terhadap salah satu otot sahaja (terutamanya sekitar lutut), otot-otot dapat berinteraksi antara satu sama lain, aliran jalur tenaga mengalir lancar dan pesilat mampu bergerak bebas dengan pantas dan stabil. Semoga melalui latihan silat yang konsisten, kita mampu jadikan ianya suatu riadah yang menyihatkan tubuh badan  kita dan bukanlah sebaliknya.

Wallahua'lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...