Alhamdulillah, setelah beberapa bulan diuasahakan,akhirnya siap jua Modul Latihan Seni Kaki bagi Jurulatih2 Silat Seni Gayong Labuan dan Gayong Serantau Kelantan. Modul ini merangkumi pelajaran dan teknik latihan seperti;
1. Senaman Asas Regangan dan Spesifik
2. 49 kaedah serangan dan belaan kaki seperti Tendang Sula, Tebar Jala, Tolak
Lintang,Lambung Kemudi, Jala Tebar, Kuda Gila, Hentak Adam, Rembat Helang,
Rembat Kuda Gila, Rembat Relang dll
3. 49 teknik Asas Elakan Kaki.
4. 49 teknik Asas Elak-Serang Kaki
5. 49 Buah Kombat Kaki.
6. 21 Buah Kuncian Kaki.
7. Rahsia dan Petua
Sebelum melepaskan tendangan, anda seharusnya mengangkat lutut dengan paras yang tinggi. Keadaan ini memberikan kelebihan kepada anda dari segi;
Kekuatan yang berganda.
Tendangan dari sudut tinggi dan menjunam ke arah sasaran pihak lawan menjadikan pecutan tendangan bertambah kerana di bantu oleh daya tarikan graviti.
Ruang sasaran lebih luas.
Banyak ruang sasaran boleh dipilih berbanding paras lutut yang rendah.
Mengelirukan pihak lawan.
Apabila tendangan boleh dilepaskan dalam ruang sasaran yang besar, banyak pilihan boleh dilakukan dan ini menyebabkan pihak lawan menjadi sukar untuk mengagak arah tujuan serangan kita.
Banyak kombinasi tendangan yang boleh dilepaskan.
Momentum besar yang wujud pada tendangan pertama membolehkan anda melakukan serangan kaki susulan selepas refleksi.
Bertindak sebagai benteng pertahanan.
Apabila lutut diangkat, ianya boleh menjadi benteng kepada sasaran maut sekiranya pihak lawan terlebih dahulu melepaskan tendangan ke arah anda.
Bagi saya, pada peringkat awal latihan, anda perlu belajar tentang asas melakukan teknik – teknik tendangan dengan kaedah yang tepat. Pastikan anda berjaya melaksanakan dengan kaedah yang tepat untuk satu – satu teknik sebelum belajar teknik kaki yang seterusnya. Ini penting kerana pada peringkat awal, apabila anda melakukan sesuatu pergerakan, minda dan tubuh anda akan memberi rangsangan terhadap pergerakan tersebut. Sekiranya anda melakukan kaedah yang salah, minda dan tubuh anda akan tetap mengatakan ianya adalah kaedah yang betul. Pada peringkat seterusnya, amat sukar untuk anda perbetulkan kembali dan akhirnya menjadi sumbang untuk melakukan kaedah yang sebenar.
Apabila berjaya melakukan pergerakan kaki dengan kaedah yang tepat, sekarang masanya untuk anda membuat latihan untuk menambah kemantapan tendangan anda. Lakukanlah tendangan sehingga anda berjaya melakukan 100 kali untuk setiap kaki kanan dan kiri. Namun begitu, anda lakukanlah secara ansur maju dengan penambahan intensiti dan repetisi. Jangan terlalu terburu – buru kerana ianya boleh mendatangkan kecederaan kepada otot – otot kaki anda. Melalui prinsip ini, ianya dapat membantu otot – otot anda menyesuaikan kepada kehendak fizikal yang anda inginkan iaitu melakukan tendangan yang mantap secara berulang – ulang. Lama – kelamaan, daya tahan otot anda akan meningkat dan hasilnya, anda telah berjaya memiliki sekumpulan otot yang boleh melakukan tendangan dengan mantap tanpa berasa penat atau lesu.
Selain itu, kaedah yang perlu di ambil perhatian apabila anda berlatih untuk memantapkan teknik serangan kaki ialah anda perlu berlatih menendang ‘kicking target’ secara konsisten. Bagi saya, tiada alat lain yang sangat membantu dalam menghasilkan tendangan yang mantap dan tepat selain alat ini. Berlatihlah sehingga anda dapat melakukan tendangan yang sempurna dengan kelajuan yang maksimum. Kemudian, rakan anda akan mengubah paras ketinggian. Apabila sudah mahir dengan paras ketinggian yang berbeza, rakan anda akan menguji pula dengan meletakkan ‘kicking target’ secara rawak dan dalam tempoh yang singkat, anda perlulah melepaskan tendangan yang mantap dan tepat ke arah ‘kicking target’ tersebut.
Setelah anda berjaya melakukan pelbagai jenis tendangan dengan mantap, pantas dan tepat, anda perlu melakukan aktiviti seterusnya iaitu latihan serangan bebas atau ‘sparring’bersama rakan anda. Latihan ‘sparring’ ini menguji anda dalam melakukan tendangan – tendangan secara spontan dan berlatih dalam situasi yang lebih realistik. Menerusi latihan ‘sparring’ ini, selain anda perlu melaksanakan tendangan dengan mantap, pantas dan tepat, kombinasi elemen seperti tapak kekuda, kaedah menanti, elakan dan tangkisan, serangan tangan, baca pergerakan dan kedudukan jarak perlu juga anda kuasai dan diaplikasikan bersama.
Teknik – teknik kaki yang telah dipelajari boleh digabungkan membentuk kombinasi tendangan yang berbahaya kepada pihak lawan. Kombinasi tendangan yang mantap dan lancar boleh memberi asakan buat pihak lawan dan seterusnya memusnahkannya.
Selain itu, sekiranya anda sukar untuk mencari ruang sasaran, anda boleh gunakan tendangan pertamaanda sebagai elemen untukmengelirukan pihak lawan. Namun begitu, anda perlulah melakukan tendangan pertama anda seolah – olah ianya adalah tendangan yang sebenar. Dengan kaedah ini, pihak lawan akan terpedaya dengan melakukan tindakbalas dan secara tidak langsung telah mendedahkan sasaran mautnya. Seterusnya, tendangan kedua anda akan berfungsi untuk memusnahkan pihak lawan. Namun anda perlu berwaspada kerana tendangan secara mengacah juga mampu memusnahkan anda sekiranya lawan anda adalah seorang yang pakar dalam beladiri!
Dalam konteks pertempuran, kombinasi tendangan yang digunakan bergantung kepada beberapa keadaan seperti;
Faktor Jarak dengan pihak lawan (jauh atau dekat)
Jenis Kekuda yang digunakan (tapak kekuda menyerang@menanti)
Posisi atau kedudukan (bertapak tinggi, sederhana atau rendah)
Bagi mengatasi kelemahan yang ada pada kaki, kita perlu mempertingkatkan latihan agar otot – otot kaki yang terbina menjadi kuat dan kenyal. Keadaan ini membolehkan otot –otot kaki dapat melawan rintangan beban dan daya graviti bumi dengan mudah seterusnya menghasilkan suatu pecutan yang tinggi. Dengan memiliki pecutan yang tinggi dengan jisim yang besar, tendangan kita akan menghasilkan suatu daya yang amat besar dan cukup untuk memusnahkan pihak lawan. Prinsip ini saya rujuk berdasarkan kepada Hukum Newton ke-2 iaitu;
Bagi mengatasi masalah kestabilan pula, anda perlulah mengetahui di mana titik kestabilan pada tubuh kita dan cara untuk mengimbanginya apabila kita melaksanakan sesuatu pergerakan. Titik kestabilan berada di kawasan pusat kita. Apabila kita melepaskan sesuatu tendangan ke hadapan, badan kita perlulah bergerak secara berlawanan, maksudnya anda gerakkan tubuh anda ke belakang.
Selain itu, kedua tangan anda juga memainkan peranan penting dalam mengawal keseimbangan tubuh yang mana apabila anda menendang menggunakan kaki kanan, tangan kanan juga akan bergerak ke hadapan dan tangan kiri digerakkan ke belakang.
Sekiranya tendangan anda berjaya ditangkap oleh pihak lawan, dengan pantas anda perlulah memegang atau memeluk tubuh pihak lawan bagi mendapatkan sokongan dan mengelak daripada dijatuhkan. Pada saat ini, anda perlu bijak mengambil kesempatan dengan melepaskan serangan – serangan yang boleh melemahkan pihak lawan atau anda memusingkan badan pihak lawan supaya pusat kestabilannya diubah dan menjadikan tidak stabil serta hilang kawalan. Pihak lawan akan jatuh disusuli anda yang akan menghempap tubuhnya.
Namun begitu, kaki juga mempunyai beberapa kelemahan berbanding tangan. Kelemahan utamanya ialah;
Mempunyai jisim yang besar
Kurang kestabilan
Jisim yang besar menjadikan kaki sukar untuk dilaksanakan dengan pantas berbanding tangan. Selain itu, kita jugamemerlukan suatu daya yang besar untuk mengangkat kaki bagi melawan daya tarikan graviti. Pergerakan yang sedikit perlahan ini, memberikan ruang masa yang cukup untuk pihak lawan melakukan elakan atau tangkisan.
Apabila melaksanakan satu tendangan, ini bermakna kita hanya bertapak dengan sebelah kaki sahaja. Keadaan ini menjadikan tubuh kita kehilangan kestabilan berbanding bertapak dengan menggunakan 2 kaki. Dengan sedikit tolakan atau sapuan oleh pihak lawan, kita dengan mudah akan tumbang mencium bumi!