Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA
Showing posts with label kupasan pelajaran. Show all posts
Showing posts with label kupasan pelajaran. Show all posts

Tuesday, July 24, 2012

PELEPAS ELAKAN

Salamun Alaik;
Pelepas Elakan ketujuh

Bagi setiap pelajaran Elakan dalam Silat Seni Gayong yang merangkumi seni tangan kosong dan senjata, pesilat akan diajar juga kaedah mengatasi setiap elakan tersebut yang dipanggil PELEPAS ELAKAN.Pelepas Elakan penting kerana dengan adanya kemahiran ini, pesilat mampu mematahkan tindakbalas awalan musuh sebelum ianya terus hidup membentuk serangan-serangan yang lebih merbahaya seperti elak pukul, Elakan Maut, Kombat, Serangan Maut,Kuncian ataupun gerak bunuh (senjata).

Dalam menguasai pelajaran Pelepas Elakan, terlebih dahulu,pesilat perlu memahami konsep tindakbalas susulan bagi setiap jenis Elakan yang telah dipelajari (Pecahan Elakan). Kebiasaanya, pelajaran Pecahan Elakan ini diajar kepada pesilat yang mengikuti kursus-kursus pembantu jurulatih ataupun kursus-kursus jurulatih.

Peringkat Pembelajaran Elakan Gayong
1. Asas Elakan
2. Elak Pukul
3. Elakan Maut
4. Pecahan Elakan ( Merangkumi 7 konsep elakan seperti elak, tangkis, kelek, kalih dan seterusnya )
5. Pelepas Elakan ( Gerak Potong elakan pihak lawan sebelum tindakbalas susulan )
6. Elakan 3 Daun ( Gerak Lapis jika pihak lawan menggunakan pelepas elakan )
7. xxxxxxxxxx ( dirahsiakan ).

Wallahua'lam.


Tuesday, June 5, 2012

PELAJARAN PECAHAN

Salamun Alaik;
Penulis sedang mengaksikan Pecahan ke-7 bagi Buah Kunci 3 dan contoh aplikasinya.

Pelajaran Pecahan didedahkan pada peringkat Jurulatih adalah bertujuan untuk mendedahkan pelbagai variasi serangan dan juga kemungkinan yang mampu di laksanakan oleh pihak lawan ketika kita menyambut serangan mereka dengan pelajaran-pelajaran telah diajar diperingkat asas.

Walaupun banyak bilangannya, namun ianya bukan untuk dihafal tetapi untuk melatih Gerak Diri agar ianya menjadi sebati. InsyaAllah, dengan latihan yang konsisten dan disulami dengan Petua-Petua Guru, setiap Pelajaran  yang dipelajari akan menjadi PAKAIAN DIRI dan mampu untuk digunakan ketika keadaan yang terdesak.

Wallahua'lam.

Monday, June 4, 2012

KONSEP ELAKAN

Salamun Alaik;
Guru Amin Hamzah menunjukkan Kaedah Asas melakukan Elakan.

Elakan amat penting untuk anak-anak Gayong kuasai kerana ianya adalah ASAS kepada MENGHINDAR dari serangan pihak lawan dan sebagai ASAS SUSULAN kepada GERAK PEMUSNAH samaada menggunakan corak menyerang ke sasaran  maut ataupun bercorak mengunci/mematahkan sendi pihak lawan.

Dalam Keilmuan Silat Seni Gayong, terdapat 7 KONSEP penting yang perlu difahami dan dilatih agar pengamalnya mampu MENGUASAI dengan sempuna ELAKAN GAYONG ini.

Pertama: Konsep Elakan Gayong adalah MENGELAK DARI SERANGAN MUSUH DAN MAMPU UNTUK MEMBUAT SERANGAN BALAS/SUSULAN TEPAT KE SASARAN MAUT SEHINGGA MUSUH TIDAK BERUPAYA UNTUK TERUS MENYERANG. Makna nya, bukan semata-mata elak tanpa mampu membuat serangan balas atau sekadar elak pukul tetapi musuh masih berupaya melakukan serangan-serangan susulan. Untuk mencapai Konsep Elakan Gayong,Ianya memerlukan kefahaman yang mantap terutamanya dalam aspek;
1. Tapak Kekudanya.
2. Gaya Menanti (Perletakan Tangan)
3. Arah Pandangan (Mata)
4. Anatomi Tubuh (Sasaran Maut)
5. Petua Jarak (Kaedah Ambil/Sambut)
6. Petua Gerak (Makan Gerak, Makan SeGerak, Makan Gerak dalam Gerak dll).
7. Arah Mata Angin (Kaedah Pelangkahan)

Kedua: ELAKAN ADALAH HIDUP DAN BERSIFAT SEPERTI AIR MENGALIR.

Ketiga: ELAKAN SALING BERSANDARAN DAN BERSILIH GANTI.

Keempat: ELAKAN DAN GERAK SERANG ADALAH SATU DAN TIADA BERPISAH.

dan seterusnya.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak mampu memberikan idea dan konsep sebenar dalam melaksanakan Elakan Gayong. InsyaAllah selebihnya akan saya kongsikan dalam Muzakarah Ilmu pada 6hb Jun ini untuk Jurulatih-Jurulatih Muda Gayong Serantau Kelantan di Gelanggang Syamsul Maarif, Pulai Chondong, Kelantan.

Wassalam.

Friday, June 1, 2012

SENI SIKU

Salamun Alaik;
Penulis menggayakan Gerak Serangan Siku.

Petikan daripada Buku Panduan Gurulatih Gayong Serantau Kelantan.

- Seni Siku merupakan antara Seni Tempur Gayong yang digunakan  sebagai senjata ampuh dalam pertempuran JARAK DEKAT.

- Ianya juga banyak digunakan sebagai SERANGAN SUSULAN ATAUPUN SEBAGAI PEMUSNAH  dalam elakan maut ataupun buah kombat.

- Terdapat 13 PERGERAKAN ASAS dengan 12 GERAK MENYERANG dan 1 GERAK PEMUSNAH SERANGAN SIKU.

- SASARAN SERANGAN UTAMA adalah di 13 daerah tubuh iaitu;
1. Sisi Muka
2. Rahang
3. Sisi Leher
4. Dagu
5. Belakang Tengkok
6. Rusuk
7. Sendi-sendi
8. Ulu Hati
9. Tulang Belakang
10. Penyawa
11. Ubun -Ubun
12. Batang Hidung
13. Titik Saraf

- Kedudukan Menantinya secara LAGAK SELADANG BERJUANG yang mana Tapak Tangan mengarah ke depan (mengadap musuh). Kenapa dan mengapa perlulah berjumpa Guru.

- Dimainkan secara;
1. Segerak
2. Lapis
3. Tiga Daun.

- Serangannya bersifat BERANGKAI dari gabungan serangan dan belaan yang padu dan sepantas kilat.

- Gerakan Bahu dan Lutut amat membantu dalam meningkatkan daya dan momentum serangan siku.

- Kemantapan dan kekuatan serangan siku banyak didorong oleh SENAMAN KHAS yang merupakan RAHSIA dalam permainan seni siku ini.

- Silibus Siku terdiri daripada;
1. Gerakan Asas.
2. Elakan Siku.
3. Kombat Siku.
4. Gerak Tempur Siku (Konsep Permainan)
5. Petua Serangan Siku.
6. Petua Belaan Siku.
7. Pemusnah Serangan Siku.

- 12 Pergerakan Serangan Siku;
1. Siku Layang.
2. Layang Tembi.
3. Siku Hentak.
4. Tembi Sula.
5. Siku Tembi.
6. Tembi Siku.
7. Siku Renchong.
8. Renchong Tembi.
9. Siku Sangga.
10. Sangga Tembi.
11. Tembi Pasak.
12. Tembi Radak

- Pergerakan Pemusnah Siku;
1. Tembi Pasung
Siku Tembi

* bersambung


Wallahua'lam.

Saturday, March 31, 2012

TUNJUK AJAR GURU - ASAS SENAMAN HARIMAU

Salamun Alaik,
Guru Amin Hamzah sedang mengajar asas senaman harimau yg pertama

Dalam kita berGAYONG, perkara yang paling asas adalah SENAMAN nya.  Dalam Keilmuan Silat Seni Gayong ianya dipanggil ASAS SENAMAN HARIMAU. Terdapat 7 bahagian semuanya yang memberi fokus kepada;

1. Stamina
2. Regangan.
3. Kelenturan.
4. Kekuatan Otot
5. Daya Tahan Otot
6. Keseimbangan
7. Aturan Nafas

Asas Senaman Harimau ke-5, Gerak Fizikal disertai dengan Aturan Nafas

# bersambung

Wallahua'lam.

Sunday, March 11, 2012

IBU GERAK KUNCI

Salamun Alaik;
Kunci terkandung elemen elak,sangga,cekak,kepak,hentak,patah dan bunuh.
Dalam keilmuan Gayong, Buah Tapak Kunci Mati pada asasnya terdapat hanya 7 buah sahaja. Tujuh buah tersebut merupakan IBU GERAK KUNCI bagi kunci-kunci yang ada sekarang. Ibu Gerak Kunci bermaksud, suatu gerak yang menjadi gerak awalan atau punca kepada perbuatan mengunci tubuh lawan. Seorang yang bertaraf Pendekar hanya perlu tahu Petua Ibu ini, dan ianya mampu untuk diolah menjadi ribuan kunci-kunci lain yang terbit dari punca 7 yang asal ini. 

Arwah Mahaguru mengajar 7 buah kunci di Singapura berdasarkan 7 Ibu Gerak Kunci ini. Kemudian pada awal 70-an, arwah Mahaguru meminta Gurulatih Kanan beliau untuk mengolah 7 buah menjadi 21. Di akhir 70-an pula, yang 21 buah dipecah lagi kepada 7 bahagian setiap satunya. 

Konsep yang hendak ditekankan di sini adalah, bukan untuk dihafal, tetapi untuk menunjukkan IBU GERAK KUNCI adalah HIDUP dan mampu digerakkan mengikut Gerak HAK DIRI bila Ilmu Gerak Bayang telah dikuasai. Bila mana seseorang Pengamal yang mahir dengan Ibu Gerak Kunci ini, maka ianya mampu untuk mengunci lawan dengan variasi kunci dalam pelbagai keadaan dan bentuk serangan.

Dalam Latihan, perlu mengutamakan keselamatan kerana pelajaran kunci amat merbahaya.

Buah Kunci Wanita, adakah sama dengan lelaki?
Dalam seni tempur, bukan buah yang jadi keutamaan, tetapi maksud untuk menumpaskan lawan itu yang diutamakan. Namun, bagi pengajaran yang telah digarapkan oleh arwah cg kalsom sebagai Pemegang Amanah, telah memilih buah kunci mati dari pecahannya sebagai pelajaran yang diajar kepada puteri-puteri Gayong. Ianya dibuat berdasarkan kesesuaian dengan sifat dan kudrat wanita serta kesopanan gerak laku. Terdapat 13 buah kesemuanya. Rakaman video di bawah ada saya tunjukkan buah kunci wanita (1-3 sahaja).

Kunci Wanita dipilih daripada Buah Pecahan Kunci Mati

Wallahua'lam.

Wednesday, March 7, 2012

GERAK TEMPUR TARI SIKULANG

Salamun Alaik;
Gerak Tempur Tari Sikulang

Gerak asalnya tunggal, dipecah menjadi berlapis-lapis.
 Lihat penanda sebagai panduan dan Garis diri yang ghaib menjadi pedoman. 
Menyinggah pula di titik rahsia badan agar bermakna setiap sentuhan. 
Tepislah sekadar secukup rasa tapi MAKAN BIAR SAMPAI KENYANG.......

Itulah Seni yang terkandung dalam Tari Sikulang. Walau nampak lembut dalam Tari nya namun keras dalam Gerak Tempurnya. Ianya HIDUP dan BERLAPIS-LAPIS. 

Wallahua'lam.

Saturday, March 3, 2012

PUKULAN MAUT VS KOMBAT

Salamun Alaik;
 
Tendang Sisi/Juring/Tolak Lintang
Pukulan Maut dan Kombat merupakan pelajaran Gayong yang terkandung di dalam Silibus Gayong. Keduanya adalah pelajaran yang mengajar anak-anak Gayong bagaimana untuk menyerang menggunakan tulang 4 kerat selepas mahir dalam dalam pelajaran Asas Elakan dan Elak Pukul (Pecahan Elakan).

Perbezaan di antara Pukulan Muat dan Kombat?
Sepak Lurus/Tendang Sula
Seringkali saya diajukan tentang perbezaan diantara keduanya. Yang penting kita jangan keliru apa itu Pukulan Maut dan apa itu Kombat. Sama tapi tidak serupa. Kalau kita kaji pelajaran pukulan maut, rangkaian serangannya agak panjang (sesetengah Guru Tua menggelar buah membelasah mayat) sedangkan Kombat hanyalah 3 detik perbuatannya. Ini menunjukkan pelajaran Pukulan Maut lebih fokus kepada KAEDAH MENYERANG dan Kombat pula lebih kepada KEMAHIRAN MENYERANG. Super Kombat dan Serangan Bapak Harimau pula amat berbeza bentuk dan konsepnya dengan Pukulan Maut dan Kombat walaupun semua pelajaran ini adalah sama tujuannya iaitu untuk memusnahkan musuh.

Kesimpulannya, Pukulan Maut adalah ASASnyaKombat adalah RINGKASANnya, Super Kombat adalah RUMUSANnya. manakala Serangan Bapak Harimau adalah RAHSIANYA.


Wallahua'lam.

Sunday, January 22, 2012

TAPAK BELIAN & PUKULAN 7 BERADIK

Salamun Alaik,

Dalam berGayong, asas SERANGAN HARIMAU memerlukan kefahaman dan kemahiran dalam TAPAK BELIAN dan PUKULAN 7 BERADIK,

Bagaimana bentuk dan kaedahnya? Sama2 lah kita mencari GURU.......
Tunjuk ajar dari Ayahanda Amin Hamzah

Wallahua'lam.

Friday, January 20, 2012

ASAS SENAMAN TONGKAT

Salamun Alaik;
Demo Asas Senaman Tongkat yang pertama
Asas Senaman Tongkat diajar buat anak2 Gayong bertujuan untuk "ambil rasa" dan sebagai titik awal mengenal apa itu senjata tongkat (simbat rotan). Ia dimulakan dengan kaedah hormat dan disusuli dengan asas "bermain" dengannya seperti melibas, menukar kemudi, gulingan, regangan dan lompat. Secara asasnya, senaman seperti ini mampu untuk membiasakan diri anak2 Gayong dengan senjata tongkat selain sebagai aktiviti pemanasan sebelum mula berlatih secara lebih serius dan agresif. Jurulatih pula berperanan agar memastikan murid2 Gayong perlu cekap dalam kemahiran mengemudi tongkat dan keupayaan mengelak terutamanya melompat ketika menghadapi libasan tongkat. Selain asas senaman, anak2 Gayong akan diajar dengan Asas Gerakan Tongkat, Asas Elakan Tongkat, Elakan Maut Tongkat, Buah Kuncian Tongkat dan Tapak Hidup Tongkat. Bagi pelajaran tambahan, pesilat akan didedahkan dengan pelajaran tongkat vs pisau, tongkat vs parang dan seni tongkat panjang (tembong).

*pengalaman dulu: selagi tak lepas asas senaman ini terutamanya lompat melepas tongkat, selagi itulah anak2 Gayong perlu ulang sebelum dibenarkan mempelajari pelajaran tongkat yang seterusnya terutamanya Tapak Hidup kerana dikhuatiri pesilat akan cedera di bahagian kaki akibat terkena libasan tongkat.

Wallahua'lam

Wednesday, December 14, 2011

KUPASAN SENI BUNGA TANJUNG BHGN 3

Salamun Alaik,
Gambar Hiasan
Dalam kupasan kali ini, saya sekadar mengulas secara ringkas seni-seni lain yang terkandung di dalam Seni Bunga Tanjung. Antaranya;
1. Jurus Pernafasan Gayong.
2. Gerak Pendinding Diri.
3. Ajian Pemusnah Kebal Musuh (guna ilmu hitam)
4. Gerak Tari Cendai & Kerambit
5. Gerak Bunuh Kucing Hitam.
6. Belebat Gayong
7. Seni 3 Daun ( permainan Lapis Gayong )
8. Sarung Tubuh ( kebal ilmu )
9. Falsafah Kehidupan ( KAU, AKU dan DIA ).

Semoga perkongsian ini mampu menjadi titk mula bagi anak-anak Gayong dan pengamal silat terus mencari dan menggali segala yang tersirat  dalam SENI BUNGA TANJUNG ini. Saat terbongkar rahsianya, ianya bukan lagi sekadar tari dan menjadi pelengkap majlis, tetapi akan ditatang ilmunya kerana amat tinggi nilai dan manfaatnya.

Wallahua'lam.

Wednesday, November 16, 2011

KUPASAN SENI BUNGA TANJUNG BHGN 2

Salamun Alaik,

Seni ke-2 yang terkandung di dalam Bunga Tanjung dipanggil main "GELOMBANG". Gelombang merujuk kepada gerakan turun naik yang merangkumi pelbagai aras seperti kedudukan berdiri lurus, melutut, kekuda, duduk pendekar (sabung ayam) dan meraut tiang (kekuda gantung). Kekuatan lutut menjadi sandaran utama dalam permainan "gelombang" ini.

Dari aspek saintifik, gerakan turun naik secara harmoni akan mewujudkan suatu daya impulse yang tinggi akibat daripada perubahan momentum yang mendadak daripada kedudukan tinggi-rendah-tinggi-rendah (serangan sampai di sasaran). Jika di lakarkan gerakan gelombang ini, ianya seperi graf gelombang SINUS     ( istilah dalam trigonometri).

Graf Sin
Selain daya impulse, gerakan gelombang ini juga terkandung inersia yang tinggi saat gerakan menurun daripada titik puncak ke bawah dan ianya dibantu oleh daya tarikan graviti dan beban tubuh pesilat.

Begitulah tersiratnya gerakan naik turun yang terkandung di dalam seni Bunga Tanjung. Pesilat seharusnya menghayati dan menyelami setiap gerak agar setiap seni mampu diekstrak dan dipraktikan dalam situasi tempur yang sebenar. Gerakan gelombang ini juga secara tidak langsung menjadi latihan bagi kekuatan kaki terutamanya bahagian lutut.

Wallahua'lam

Tuesday, November 15, 2011

KUPASAN SENI BUNGA TANJUNG BHGN 1

Salamun Alaik,
Seni Bunga Tanjung penuh dengan rahsia. Walaupun gerak tarinya nampak bersahaja namun tersimpan rahsia tempur dan gerak beladiri yang ampuh dan efektif. Antara seninya adalah "PELEPAS". Terdapat 7 gerak pelepas dalam seni bunga tanjung. Lima diantaranya adalah;

1. Kuak
Bermula dengan kedua tapak tangan bercantum, bergerak ke atas sambil menguak ke luar. Sesuai digunakan untuk melepaskan diri daripada cekikan leher.

2. Kalong
Perbuatan mengalung dengan cara memusingkan sendi pergelangan tangan. Sesuai digunakan bagi melepaskan diri dari genggaman tangan.

3. Sisip
Perbuatan menyisipkan belakang tapak tangan ke atas lengan tangan yang satu lagi. Digunakan untuk melepaskan diri daripada genggaman atau tangkisan. Boleh juga digunakan bersekali dengan kalong atau sentap.

4. Sangga
Perbuatan melipatkan sendi siku ke arah tubuh pesilat. Digelar IBU PELEPAS.

5. Kelek
Perbuatan menyalahkan perbuatan serangan lawan dengan memusingkan badan dalam arah berserenjang dengan sumber serangan.

Wallahua'lam.

Wednesday, October 5, 2011

GAYA TANGAN MENANTI KETIKA SIKAP PASANG

Salamun Alaik,
Allahyarham Hj Anuar Wahab dengan Gaya Menanti Tapak Serong
Sikap pasang merangkumi 2 asas utama iaitu bentuk tapak kekuda dan gaya tangan menanti. Berbeza perguruan maka akan berbezalah konsepnya. Pastikan sebelum kita menyarung sebagai pakaian diri, segala petua dan rahsianya sudah cukup sebagai bekalan diri kerana setiap satunya ada "silap" dan "silau" nya yang tersendiri.

Berkaitan bentuk Tapak Kekuda dan Langkahan telah banyak dibicarakan. Kali ini saya ingin berkongsi sekadarnya berkaitan Gaya Tangan yang menanti. Kedudukan Tangan yang menanti amat penting kerana;
1. ia mampu menutup kawasan lemah pada tubuh pesilat.
2. menyukarkan pihak lawan untuk menyerang.
3. memudahkan pesilat menyalahkan dan mematahkan setiap serangan daripada pihak lawan.

Gaya Tangan yang menanti seharusnya selari dan sesuai mengikut GERAK LANGKAH dan GELEKAN TUBUH. Sesuai perletakan atau kedudukannya, maka akan lancarlah ia untuk digunakan untuk menepis, menangkis, menangkap atau menyerang ( makan segerak, makan gerak dalam gerak). 

Harus diingat, terdapat juga GAYA TANGAN ketika menanti yang mampu memudaratkan pesilat itu sendiri (makan tuan). Antaranya;
1. Kedudukan tangan yang terlalu jauh dihadapan - membolehkan pihak lawan menyentap dgn mudah.
2. Kedudukan tangan yang separas muka atau hampir dengan muka - pihak lawan berupaya mencederakan muka pesilat dengan tangan pesilat itu sendiri.
3. Kedudukan kedua tangan pesilat yang terlalu bersilang - pihak lawan dengan mudah mampu untuk MENYELAK TANGAN pesilat dengan kaedah mengunci gerak.
4.  Menggenggam kedua tangan dengan terlalu erat - pergerakan tangan menjadi terbatas dan kaku.

Namun begitu, terdapat juga perguruan yang sengaja mengajar pesilat - pesilatnya dengan tapak songsang dan gaya menantinya yang sekali pandang boleh memudaratkan pesilat itu sendiri, tetapi sebenarnya ianya adalah sekadar perangkap dan penuh dengan helah. Semoga perkongsian ini mampu memberi manfaat buat semua.

Wallahua'lam.

Friday, September 30, 2011

BERKISAR TAPAK & GELEK

Salamun Alaik,
Menukar arah melalui kaedah berkisar tapak
Perbuatan BERKISAR TAPAK, diajar kepada murid2 Gayong ketika melakukan Gerakan Asas Gayong. Berkisar Tapak ini merupakan perbuatan transisi antara Tumbuk Lurus Pintal Tali kanan (arah hadapan/utara) dengan Tumbuk Lurus Pintal Tali kiri (arah kanan/timur). Walaupun fokus pergerakan ini lebih kepada perbuatan menyerang (menumbuk) dengan kaedah yang tepat,tetapi teknik berkisar tapak juga tidak kurang pentingnya. 

Kemahiran pesilat menukar kedudukan tubuh ke arah yang lain secara berkisar tapak banyak membantu pesilat dalam aspek ekonomi dalam pergerakan, masa dan tenaga. Secara tak langsung juga, melalui latihan gerakan asas yang pertama ini, pesilat berupaya untuk menyampingkan setiap serangan musuh dengan kaedah GELEK. Kaedah elakan secara GELEK merupakan antara kaedah elakan yang banyak digunapakai oleh Guru-Guru Tua. Hanya dengan kisaran tapak dan elak sebutir padi, perbuatan mengelak akan menjadi lebih pantas,  penggunaan tenaga yang amat minima dan mampu bertindak dalam ruang yang sempit dan terhad. 

Secara mekaniknya, perbuatan gelek akan menambahkan lagi pecutan tumbukan dan seterusnya menghasilkan suatu daya yang besar yang akan dipindahkan ke sasaran (pihak lawan). Untuk menambahkan lagi momentum ke arah musuh, pesilat perlu berkemahiran memindahkan berat badan ke hadapan selari dengan arah daya (arah tumbukan). Kelenturan dan keseimbangan juga perlu diambil perhatian. Kelenturan yang tinggi boleh dicapai dengan mengamalkan senaman-senaman gayong (senaman harimau) manakala untuk menghasilkan keseimbangan tubuh sewaktu dalam keadaan dinamik memerlukan latihan yang khusus dan kefahaman dalam aspek garis pusat graviti, keluasan tapak, jisim badan, titik punca, teknik geseran dsb nya.
Gelek Dalam
InsyaAllah, dengan kefahaman dan latihan yang mantap, pesilat mampu untuk melaksanakan perbuatan serang bela dengan efektif yang menggunakan konsep ekonomi dalam gerakan, masa dan tenaga. Malahan, mampu juga menumbuk dengan kaki dan menendang dengan tangan

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...