Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Monday, January 28, 2013

SYARAT DAN KELAYAKAN BAGI KENAIKAN BENGKONG HITAM - Gayong Serantau Kelantan

Salamun Alaik;
Syarat dan Kelayakan bagi kenaikan Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti bagi Silat Seni Gayong berbeza mengikut pertubuhan, negeri-negeri dan guru-guru secara individunya. Bagi Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia Cawangan Kelantan, penetapan syarat dan kelayakan ini telah pun dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Gurulatih PSGSM kelantan pada Disember 2010 yang lepas. Syarat -syarat dan kelayakan untuk membolehkan seseorang jurulatih untuk diuji kenaikan ke bengkong Hitam HPCS adalah seperti berikut;

1. Telah menguasai kesemua PELAJARAN sehingga ke Bengkong Pelangi Kuning Chula 5 mengikut silibus Gayong Serantau Kelantan.

2. Telah menjalani kesemua Majlis Adat dan Upacara Khatam Senjata.

3. Telah tamat dan khatam Qulhu 70 ribu.

4. Mempunyai sekurang-kurangnya satu GELANGGANG SILAT dan aktif mengajar.

5. Telah menjadi Ahli Seumur Hidup bagi PSGSM.

6. Telah mengikuti Kursus Kegurulatihan yang dianjurkan oleh PSGSM / PSGSM Kelantan.

7. Menghantar Tesis/Kajian yang berkaitan dengan Silat Seni Gayong atau Silat secara amnya.

8. Betul bacaan Al-Fatihah (secara asas) dan menghafal sekurang-kurangnya satu Surah yang telah ditetapkan (Surah Yassin, Al-Mulk, Al-Waqiah, Al-Insan, As-Sajadah, dll)

9. Tidak MENGHISAP ROKOK dan terlibat dengan DADAH dan seumpamanya (Ganja,Pil Khayal dll).

10. Tiada Rekod Jenayah (Sivil dan Syariah).

11. BMI tidak melebihi 28 (25.5 - 28 masih dalam pemerhatian).

12. Tidak terlibat dengan sebarang kumpulan Kongsi Gelap dan seumpamanya.

13. Tidak terlibat dalam sebarang aktiviti dan gerakan Ajaran Sesat .

14. Berpengetahuan dalam ADAT Gayong. 

15. Di calonkan oleh Gurulatih berdasarkan PEMERHATIAN beliau.

16. Patuh kepada sebarang peraturan pertubuhan.

17. Mengakui dan menerima SURAT WASIAT Allahyarhamah Cg Siti Kalsom yang diberikan kepada Dato Wan Ahmad Fauzi sebagai pengganti beliau.

Semoga dengan penetapan syarat sebegini mampu untuk meletakkan kedudukan pemegang bengkong Hitam HPCS di kedudukan yang selayaknya sebagai Pandai Silat dengan nilai Agama, Etika, Disiplin, Ketrampilan, Berpengetahuan  dan Adab yang tinggi. Selayaknya mereka ini mampu menjadi  idola dan ikutan bagi anak-anak Gayong semuanya.Itulah harapan PSGSM Caw Kelantan. InsyaAllah Biiznillah.

Wallahua'lam

Tuesday, January 22, 2013

NILAI HARGA SEBILAH SENJATA

Salamun Alaik;

 Gambar Hiasan

Hubungan pengamal silat dan senjata ibarat hubungan antara isi dengan kulit.Setiap pengamal silat kebiasaanya akan mendapatkan dan menyimpan sekurang-kurangnya sebilah senjata sebagai senjata milik peribadi mereka. Apatah lagi, bagi pengamal silat yang juga sebagai "kolektor"senjata, tentunya berpuluh-puluh malah beratus koleksi yang disimpannya. Nilaian harga pada sebilah senjata tersebut pula bergantung kepada faktor-faktor seperti berikut:

1. Pembuatan oleh Tokoh Tersohor Pandai Besi.
2. Jenis-jenis besi.
3. Milik Tokoh tertentu atau senjata kuasa di zaman2 dahulu.
4. Rekabentuk bilah.
5. Jenis Hulu dan Sarung ( kayu terpilih@tanduk@gading).
6. Jenis ukiran dan eksesori-eksesori tambahan.
7. Bentuk dan Corak pamor.
8. Pengisian Amalan-amalan tertentu.
8. Ada sejarah tersendiri.
9. Dipercayai memiliki nilai2 mistik.
10. Bilangan yang terhad (pandai besi dah meninggal atau sudah tiada yg memiliki kemahiran tersebut).
11. Penjual senjata yg sememangnya menaikkan harga untuk keuntungan berganda.
12. Penipuan yg sengaja dicipta sejarah dan pembuatannya untuk menjadikan senjata tersebut bernilai tinggi. (berwaspadalah).

Wallahua'lam.

Sunday, January 20, 2013

KERIS TOK CHU

Salamun Alaik;
Gambar hiasan (sumber internet )

Pada akhir abad ke-18, nama TOK CHU mula wujud dalam sejarah perkerisan di Kelantan. Panggilan Keris Tok Chu ini diambil bersempena dengan nama seorang EMPU KERIS yang hebat pada ketika itu. Selain hebat di dalam bidang perkerisan (pandai besi), beliau juga seorang yang tinggi ilmu persilatan dan di bidang ilmu agama. Beliau pada ketika itu menetap di kawasan Masjid Muhammadi bersebelahan dengan Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan. Tok Chu adalah orang istana dan sejarah hidupnya juga berkait rapat dengan sejarah Raja-Raja Negeri Kelantan.

Keris Tok Chu adalah keris yang hebat, sehebat nama Tok Chu, seorang pandai besi, seorang pahlawan dan seorang ahli agama. Raja-Raja di waktu itu juga memakai keris buatan Tok Chu sebagai salah satu keris kebesaran. Keris Tok Chu sangat keras dan tajam, sehingga dikatakan boleh menikam tempayan sehingga tembus dengan tempayan tidak pecah. Keris Tok Chu mempunyai bentuknya tersendiri dan tidak sama dengan bentuk keris-keris yang lain yang terdapat di Alam Melayu.

Bersama Tn Hj Alwi Yusof, Pengerusi Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan.
Berdiskusi tentang Keris termasuklah mendapat penerangan dari beliau tentang ciri-ciri Keris Tok Chu.

Ciri-ciri KERIS TOK CHU

1. Rupa Bentuk yang tersendiri.

2. Tidak sama dengan keris-keris lain.

3. Mempunyai Tulang.

4. Berlurah depan.

5. Beralur.

6. Bertebing.

7. Berlembah.

8. Aring agak tinggi.

9. Bahu sederhana tinggi.

10. Tidak ada Akut.

11. Puting sedikit besar.

Walaupun ciri-ciri keris di atas dikhususkan kepada keris yang bergelar KERIS TOK CHU, namun kepakaran Tok Chu tidak hanya terhad kepada pembuatan bilah sepertimana bentuk yang dinyatakan ini. Mungkin ianya boleh dipanggil dengan nama keris bersama dengan buatan Tok Chu seperti; Keris Lok buatan Tok Chu, Pandai Saras buatan Tok Chu, Melela buatan Tok Chu dan seterusnya.

Wallahua'lam.

Thursday, January 17, 2013

INTIPATI PELAJARAN GERAKAN

Salamun Alaik;
 Bergaya dengan senjata Lembing 2 Mata

Gerakan Silat merupakan pelajaran ASAS bagi pesilat dalam proses MENGENAL segala gerak geri yang berkaitan dengan sekalian ILMU TEMPUR dalam Keilmuan Silat.  Selain Gerakan,ianya juga dipanggil dengan nama JURUS atau BELEBAT. 

Setiap Gerak Geri dalam latihan gerakan ini perlulah dikuasai dan dihayati sehinggalah ianya menjadi SEBATI dalam diri.Bila ianya disebut sebati,ini membawa maksud;

1. Ingat dan hafal setiap pergerakan.
2. Kenal setiap pergerakan dan fungsinya. Gerak menunggu, gerak menyerang, gerak bela, gerak mengacah, kedudukan kekuda dsb nya.
3. Mampu melakukan pergerakan dengan betul dan mantap. Otot-otot tubuh yang terbentuk juga menjadi mantap dan sesuai dengan pergerakan-pergerakan yang dilatih.
4. Berupaya untuk mengekstrak setiap pergerakan tersebut kepada perbuatan untuk membeladiri (teknik serang bela).
5. Membangkitkan tindakan Refleks Diri berasaskan kepada pergerakan tersebut.
6. Mampu untuk melakukan pergerakan dengan spontan tanpa terikat dengan gerakan asal.
7. Mampu untuk mencipta pergerakan baru yg selari dengan gerak geri pergerakan asal.

Berdasarkan kefahaman kepada Konsep Pelajaran Gerakan ini, maka setiap SENI atau keseluruhan gerak geri yang terhasil mestilah ada pada sesuatu pelajaran Gerakan itu sendiri sebagai contohnya; bagi SENI LEMBING, di dalam gerakannya mesti terkandung sekalian gerak kedudukan serang menanti dan serang belanya seperti;

1. Rodok Anak Sungai
2. Tating Anak
3. Relang Kemudi
4. Rejang Anak
5. Radak Cula
6. Rejam Maut
7. Mangkat Julang
8. Tikam Hentak
9. Tikam Rembat
10.Tating Puteri
11.Tikam Rejam
12.Kemudi Patah
13.Sangga Bumi
14.Libas Kemudi dan seterusnya.

Setelah benar-benar cekap mengemudi tulang 4 kerat atau senjata,pesilat akan diajar kupasan bagi setiap gerakan yang diajar dengan mengikut SISTEM PELAJARAN yang telah disusun seperti;

1. Asas Elakan
2. Elakan Maut
3. Pecahan Elakan
4. Lapis Elakan
5. Buah Kuncian
6. Pecahan Kuncian
7. Lapis Kuncian
8. Buah Pukulan
9. Kombat
10.Tapak Hidup
11.Petua dan Kemahiran
12.Doa dan Amalan.

Maka, bolehlah dikatakan yang pelajaran Gerakan adalah SUMBER UTAMA dalam pesilat mengenal sesuatu pelajaran dalam Keilmuan Silat. Setelah diperinci dan mengupas intipati yang "tersimpan" dalam gerak jurus dan belebat ini, di akhirnya cukuplah hanya dengan latihan Gerakan sahaja, InsyaAllah sekalian Gerak Geri  Tempur akan menjadi sebagai PAKAIAN DIRI kita. Apa yang penting dan utamanya, setiap Gerakan yg kita praktikan mestilah disebatikan dalam diri dan faqeh setiap maksud dari setiap gerak geri yang digerakkan. 

"Gerak Gayong Gerak Berseni, Gerak Bayang Gerak Rahsia"

Wallahua'lam.


Tuesday, January 8, 2013

SOAL JAWAB: Pemurnian Silibus Silat Seni Gayong.

Salamun Alaik;
Soalan;
Perlukan Silibus Silat Seni Gayong dirombak dan disusun semula?

Jawapan;
Jawapan saya adalah ianya perlu dimurnikan lagi tanpa merombak yang asalnya. Bukan setakat silibus atau sukatan pelajarannya sahaja, tetapi merangkumi juga tahap-tahap jurulatih dan pengisian bagi pembantu jurulatih, jurulatih muda, jurulatih, Gurulatih, Gurulatih Kanan dan Gurulatih Tertinggi. Biarlah ianya jelas dan bersifat objektif termasuklah pemakaian sandang-sandang kegurulatihan yg sesuai dengan tahap kejurulatihan mereka, adanya buku-buku teks, kaedah ujian kenaikan bengkong, penghasilan tesis, penyemakan semula pengetahuan / kemahiran jurulatih-jurulatih dalam tempoh setiap 3-5 tahun dan sebagainya.

Jika kita lihat senario di zaman ini, kebanyakan jurulatih-jurulatih banyak pengetahuannya tentang hal ehwal Gayong ini tetapi kurang dari aspek kefahaman dan penghayatan nilainya. Berbanding jurulatih terdahulu, pengetahuan mereka mungkin agak terbatas atas faktor sukar untuk mendapatkan pelajaran-pelajaran baru  ( perlu benar-benar mantap baru dibenar belajar pelajaran baru) dan juga kekangan media untuk berinteraksi dan mendapatkan maklumat, tetapi pengetahuan yang mereka perolehi itu benar-benar mantap dan memahaminya secara amat mendalam. Sebagai contohnya; ramai jurulatih muda kini dah pandai bercerita tentang lembing, cendai, yoi, sundang, belian, kipas nandung tetapi bila diminta buat Buah Kunci Kilas Sawa Berendam pun belum cukup mantap apatah lagi diminta menghuraikan kesemua 16 seni yang ada pada Buah Kunci pertama tersebut. Begitulah situasinya, terlalu mengejar pelajaran-pelajaran yang tinggi sehinggakan pelajaran yang asas masih lagi teraba-raba ibarat "yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran". Banyak kes yang kita dapat lihat yang mana, jurulatih yang berbengkong hitam pun masih "terkial-kial" untuk menguasai pelajaran-pelajaran pecahan bagi peringkat Tangan Kosong! Itu belum termasuk yang hitam chula 6 yang tidak pernah mengikuti majlis adat khatam keris, lembing dan sebagainya.

Rasional pemurnian silibus.

Berdasarkan pemerhatian saya kepada silibus-silibus Gayong di seluruh Malaysia ini, tidak kiralah daripada mana-mana pertubuhan-pertubuhan Gayong yang ada, setiap daripadanya ada beberapa kelemahan yang ketara yang memerlukan pemurnian sama ada pada SISTEM PELAJARAN atau PELAJARAN nya itu sendiri. Sebagai contohnya, saya senaraikan beberapa situasi yang saya berpandangan memerlukan pemurnian dan perhatian sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab;

1. Seni Senjata yang tiada ASAS ELAKAN.Sedangkan ASAS SISTEMnya adalah senaman, gerakan, elakan, kuncian, kombat, tapak hidup (buka kunci ) dan petua. Di mana hilangnya ELAKAN?

2. Buah Kuncian Senjata yang tidak BERSIFAT KUNCIAN. Lebih kepada elak pukul atau kombat.

3. Tiada pelajaran PECAHAN terutamanya Pelajaran Kunci Mati.

4. Pelajaran Asas Elakan Kaki diajar pada peringkat Bengkong Pelangi Merah Tinggi. 

5. Tidak mengajar Buah Tapak Kunci Mati kepada kumpulan puteri, dan jika mengajar pun, buah yang diajar kurang sesuai dengan kudrat dan kesopanan wanita.

6. Tiada pelajaran yang jelas bagi setiap kenaikan chula pada bengkong.

7. Senjata hanya diajar pada peringkat Pelangi Kuning.

8. Ketidaksesuaian pelajaran atau seni yang disusun dalam sukatan pelajaran pada peringkat bengkong tertentu.

9. Pengisian Pelajaran kurang jelas di peringkat Kuning Chula untuk kenaikan ke Bengkong Hitam dan pelajaran Bengkong Hitam itu sendiri.

10. Asas Elakan yang diajar tidak konsisten dengan kesinambungan pelajaran yang seterusnya. Sebagai contoh, dalam asas elakan tidak diajar, tiba-tiba dalam pelajaran Kunci Mati ada pula elakan yang lain yang belum diajar diperingkat asas.

11. Pelajaran-pelajaran senjata lain selain yang asas seperti Pisau, Tongkat, Parang, Keris, Lembing, Cendai dan Sundang langsung tidak dinyatakan dalam sukatan pelajaran. Sampai bila kita nak kelaskan senjata2 ini sebagai senjata tambahan dan senjata khas? Bila ADMAR kata yang Gayong ini perlu kuasai 21 jenis senjata di Alam Melayu, maka sepatutnya kita perlu menyahut seruan dan amanah ini. Mana lagi 14 senjata?

12. Amalan-amalan Jurus Pernafasan, Tenaga Dalam, Kebatinan, Kerohanian amat kurang sekali disusun dan digubal dengan jelas dan sistematik terutamanya dalam soal SANAD dan pengertian Wirid-wirid serta Ayat yang dibaca. 

13. Tahap pelajaran yang tidak dikelaskan dengan sempurna kepada peringkat gelanggang sekolah, gelanggang awam, pelajaran jurulatih dan pelajaran-pelajaran SULIT.

14. Tiada menyediakan MODUL-MODUL khusus bagi kursus-kursus tertentu seperti Modul TTS, Beladiri Wanita, Kursus Jangka Pendek, dll.

15. Tidak dapat bezakan antara SENI yang perlu dipelajari dengan SENI yang terkandung (dikumpulkan) dalam pelajaran tertentu.

16. Kadangkala terdapat SENI yang sama, tetapi berbeza nama dan panggilannya. Tetapi tidak diselaraskan sehingga terdapat dalam silibus yang mana kedua-dua nama seni tersebut berada pada peringkat bengkong yg berbeza (sedangkan ianya sama sahaja cuma nama yang berbeza).

17. Terdapat juga Seni yang semata-mata diletakkan sahaja dalam silibus supaya nampak gah dan banyak pengisiannya, tetapi bila sampai masa, ia langsung tidak diajar sebab tiada pengetahuan tentangnya. Jika yang mengajar pun tak sampai 10 minit dah habis penerangan dan tunjuk ajarnya. Tidak kurang juga pernah ada yang meletakkan pelajarannya berdasarkan ilmu Mahaguru YOUTUBE.

Setakat ini sahaja senarai yang sempat dikongsikan. Masih banyak lagi situasi yang diperolehi hasil pemerhatian saya tentang isu ini. Mungkin di lain ketika, saya akan kongsikan bersama dengan isu-isu yang lain. 

InsyaAllah, segala kekurangan dan kepincangan yang saya senaraikan ini mampu diatasi sekiranya semua kita mampu menerima kelemahan yang ada pada SISTEM yang kita amalkan ini dan memurnikan nya untuk manfaat generasi Gayong kini dan masa hadapan dengan penuh komited dan keikhlasan.

Semoga soalan terjawab dan beroleh manfaat buat semua.

Wassalam.

Sunday, January 6, 2013

"RUMAH PERSINGGAHAN" TOK JANGGUT

Salamun Alaik;



# Seulas Bicara oleh Al-Fadhil Ustaz Wan Asrul Al-Aydrus (cicit sepupu Allahyarham)

Tok Janggut, Syaikh Haji Mat Hassan Bin Panglima Munas Bin Samad Bin Raja Bahar, ada berkahwin dan mempunyai zuriat. Hal ini ramai yang tidak tahu, malahan kali terakhir sang faqir bertemu dengan anak Tok Janggut, Haji Mad, adalah pada tahun 1996, bersama dengan ALLAHyarham Mat Kelubi yang ketika itu bertemunya mereka di rumah moyang sang faqir Yah Bt Adam, yang juga sepupu kepada Tok Janggut, di Batu 8, Nilam Puri, Kelantan. Kehadiran Haji Mad itulah membuatkan Mat Kelubi, membuka cerita penuh berkaitan hal Guru dan sahabat beliau itu, iaitu Tok Janggut.

Entah berapa kali, sang faqir bersuara, tentang hakikat dan sejarah sebenar seorang Ulama berjiwa pahlawan ini yang telah digelapkan oleh British yang sebelum itu telah berjaya menakluki fikrah pemikiran Mustapha Kamal AtTarturk.

Sehingga kini, masyarakat masih percaya bahawa tapak perkuburan di Pasir Pekan adalah tempat tertanamnya jasad Ulama ini. ALLAHu ROBBiy.

Rasa marah? Tidak sama sekali. Cuma terkilan dan ralat memikirkan betapa pejuang Agama, yang mana dari golongan Ulama yang pertama di Tanah Nusantara selepas Syaikh Daud Abdullah Al Fathoni, Syaikh Muhammad Arshad Al Banjari dan Syaikh Abdus Somad Al Falimbani, yang berjuang mempertahankan agama secara mengangkat senjata.

Seorang yang peroleh kepercayaan penuh dari Al Alim Allamah Syaikh Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zain Bin Wan Mustapha Al Fathoni (Tok Guru Wan Ngah) untuk mempertahankan Agama di Tanah Melayu, tidak akan mungkin begitu mudah dihina dengan digantung secara separuh bogel di khalayak, malahan diarak menjadi perhatian ramai.

Kenapa Tok Kenali membiarkan mayat tersebut digantung selama tiga hari tanpa berkata apa-apa?

Tahukah kalian kenapa Tok Kenali pulang selepas Guru tersayang beliau (Syaikh Ahmad Al Fathoni) berpindah alam? Kalau hendak boleh saja, beliau terus menetap di Makkah atau berhijrah ke Mesir. Tetapi beliau memilih untuk pulang ke Kelantan. 

Hal ini adalah kerana Tok Janggut, Haji Mat Hassan Bin Panglima Munas(Munah) dikenali sebagai cerminan Tok Guru Wan Ngah (Syaikh Ahmad Al Fathoni), itulah antara sebab utama mendorong Tok Kenali pulang ke kelantan, iaitu setahun selepas Tok Janggut pulang ke Kelantan dengan umur 63tahun, selepas peroleh perintah amanat dari Tok Guru Wan Ngah (Syaikh Ahmad Al Fathoni).

Dan Tok Kenali membiarkan mayat tersebut diarak serta digantung adalah disebabkan Tok Kenali tahu, itu bukan jasad Ketua Tholaahnya yang juga murid tua kepada Tok Guru Wan Ngah sewaktu di Makkah.


Banyak lagi bakal dibongkar di dalam buku sang faqir 'Tok Janggut Ulama Berjiwa Pahlawan', dijangka siap pada bulan Mac 2013, insyaALLAH.


 Mayat "Benggali"?????

Kenapa mayat tidak diarak di Pasir Puteh? Takut masyarakat setempat kenal 
mayat yg diarak ini bukanlah jasad Tok janggut.

Wallahua'lam.

GERAK BAYANG : GERAK NAFI DAN ISBAT

Salamun Alaik;

Bermulanya GERAK bagi manusia di alam dunia ini seawal dalam RAHIM Ibu lagi

Dalam Keilmuan Gayong terdapat Ilmu Rahsia yang digelar GERAK BAYANG. Gerak Bayang juga dikenali dalam Alam Jagat Persilatan dengan beberapa nama seperti Gerak Asrar @ Gerak Faqir @ Gerak Roh @ Gerak Rahsia @ Gerak Haq Diri. Gerak membawa erti HIDUP kerana yang mampu bergerak hanyalah yang bersifat hidup dan Bayang itu membawa erti ADA NYA IA TIADA MAUJUD. Sifat Gerak Geri nya tidak dipimpin oleh AKAL dan ILMU tetapi didasari oleh MATA HATI dan RASA. Gerak Diri diNAFI dan mengISBAT hanya Gerak Ilahi. Wallahua'lam.

#Definisi yang diperolehi hasil daripada kefahaman penulis setelah perbualan dan soal jawab dengan Allahyarham Cg Ahmad bin Lazim (Pemegang Amanah Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau) pada tahun 1999.

Apa pula perkaitan antara Seni Belian dan Gerak Bayang? dan apakah perbezaan di antara keduanya? Carilah jawapan kepada persoalan ini dengan mengadap Guru-Guru Tua. InsyaAllah.

Artikel tentang Seni Belian;
http://chulahitam.blogspot.com/2012/03/seni-belian.html


Wallahua'lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...