Soalan;
Perlukan Silibus Silat Seni Gayong dirombak dan disusun semula?
Jawapan;
Jawapan saya adalah ianya perlu dimurnikan lagi tanpa merombak yang asalnya. Bukan setakat silibus atau sukatan pelajarannya sahaja, tetapi merangkumi juga tahap-tahap jurulatih dan pengisian bagi pembantu jurulatih, jurulatih muda, jurulatih, Gurulatih, Gurulatih Kanan dan Gurulatih Tertinggi. Biarlah ianya jelas dan bersifat objektif termasuklah pemakaian sandang-sandang kegurulatihan yg sesuai dengan tahap kejurulatihan mereka, adanya buku-buku teks, kaedah ujian kenaikan bengkong, penghasilan tesis, penyemakan semula pengetahuan / kemahiran jurulatih-jurulatih dalam tempoh setiap 3-5 tahun dan sebagainya.
Jika kita lihat senario di zaman ini, kebanyakan jurulatih-jurulatih banyak pengetahuannya tentang hal ehwal Gayong ini tetapi kurang dari aspek kefahaman dan penghayatan nilainya. Berbanding jurulatih terdahulu, pengetahuan mereka mungkin agak terbatas atas faktor sukar untuk mendapatkan pelajaran-pelajaran baru ( perlu benar-benar mantap baru dibenar belajar pelajaran baru) dan juga kekangan media untuk berinteraksi dan mendapatkan maklumat, tetapi pengetahuan yang mereka perolehi itu benar-benar mantap dan memahaminya secara amat mendalam. Sebagai contohnya; ramai jurulatih muda kini dah pandai bercerita tentang lembing, cendai, yoi, sundang, belian, kipas nandung tetapi bila diminta buat Buah Kunci Kilas Sawa Berendam pun belum cukup mantap apatah lagi diminta menghuraikan kesemua 16 seni yang ada pada Buah Kunci pertama tersebut. Begitulah situasinya, terlalu mengejar pelajaran-pelajaran yang tinggi sehinggakan pelajaran yang asas masih lagi teraba-raba ibarat "yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran". Banyak kes yang kita dapat lihat yang mana, jurulatih yang berbengkong hitam pun masih "terkial-kial" untuk menguasai pelajaran-pelajaran pecahan bagi peringkat Tangan Kosong! Itu belum termasuk yang hitam chula 6 yang tidak pernah mengikuti majlis adat khatam keris, lembing dan sebagainya.
Rasional pemurnian silibus.
Berdasarkan pemerhatian saya kepada silibus-silibus Gayong di seluruh Malaysia ini, tidak kiralah daripada mana-mana pertubuhan-pertubuhan Gayong yang ada, setiap daripadanya ada beberapa kelemahan yang ketara yang memerlukan pemurnian sama ada pada SISTEM PELAJARAN atau PELAJARAN nya itu sendiri. Sebagai contohnya, saya senaraikan beberapa situasi yang saya berpandangan memerlukan pemurnian dan perhatian sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab;
1. Seni Senjata yang tiada ASAS ELAKAN.Sedangkan ASAS SISTEMnya adalah senaman, gerakan, elakan, kuncian, kombat, tapak hidup (buka kunci ) dan petua. Di mana hilangnya ELAKAN?
2. Buah Kuncian Senjata yang tidak BERSIFAT KUNCIAN. Lebih kepada elak pukul atau kombat.
3. Tiada pelajaran PECAHAN terutamanya Pelajaran Kunci Mati.
4. Pelajaran Asas Elakan Kaki diajar pada peringkat Bengkong Pelangi Merah Tinggi.
5. Tidak mengajar Buah Tapak Kunci Mati kepada kumpulan puteri, dan jika mengajar pun, buah yang diajar kurang sesuai dengan kudrat dan kesopanan wanita.
6. Tiada pelajaran yang jelas bagi setiap kenaikan chula pada bengkong.
7. Senjata hanya diajar pada peringkat Pelangi Kuning.
8. Ketidaksesuaian pelajaran atau seni yang disusun dalam sukatan pelajaran pada peringkat bengkong tertentu.
9. Pengisian Pelajaran kurang jelas di peringkat Kuning Chula untuk kenaikan ke Bengkong Hitam dan pelajaran Bengkong Hitam itu sendiri.
10. Asas Elakan yang diajar tidak konsisten dengan kesinambungan pelajaran yang seterusnya. Sebagai contoh, dalam asas elakan tidak diajar, tiba-tiba dalam pelajaran Kunci Mati ada pula elakan yang lain yang belum diajar diperingkat asas.
11. Pelajaran-pelajaran senjata lain selain yang asas seperti Pisau, Tongkat, Parang, Keris, Lembing, Cendai dan Sundang langsung tidak dinyatakan dalam sukatan pelajaran. Sampai bila kita nak kelaskan senjata2 ini sebagai senjata tambahan dan senjata khas? Bila ADMAR kata yang Gayong ini perlu kuasai 21 jenis senjata di Alam Melayu, maka sepatutnya kita perlu menyahut seruan dan amanah ini. Mana lagi 14 senjata?
12. Amalan-amalan Jurus Pernafasan, Tenaga Dalam, Kebatinan, Kerohanian amat kurang sekali disusun dan digubal dengan jelas dan sistematik terutamanya dalam soal SANAD dan pengertian Wirid-wirid serta Ayat yang dibaca.
13. Tahap pelajaran yang tidak dikelaskan dengan sempurna kepada peringkat gelanggang sekolah, gelanggang awam, pelajaran jurulatih dan pelajaran-pelajaran SULIT.
14. Tiada menyediakan MODUL-MODUL khusus bagi kursus-kursus tertentu seperti Modul TTS, Beladiri Wanita, Kursus Jangka Pendek, dll.
15. Tidak dapat bezakan antara SENI yang perlu dipelajari dengan SENI yang terkandung (dikumpulkan) dalam pelajaran tertentu.
16. Kadangkala terdapat SENI yang sama, tetapi berbeza nama dan panggilannya. Tetapi tidak diselaraskan sehingga terdapat dalam silibus yang mana kedua-dua nama seni tersebut berada pada peringkat bengkong yg berbeza (sedangkan ianya sama sahaja cuma nama yang berbeza).
17. Terdapat juga Seni yang semata-mata diletakkan sahaja dalam silibus supaya nampak gah dan banyak pengisiannya, tetapi bila sampai masa, ia langsung tidak diajar sebab tiada pengetahuan tentangnya. Jika yang mengajar pun tak sampai 10 minit dah habis penerangan dan tunjuk ajarnya. Tidak kurang juga pernah ada yang meletakkan pelajarannya berdasarkan ilmu Mahaguru YOUTUBE.
15. Tidak dapat bezakan antara SENI yang perlu dipelajari dengan SENI yang terkandung (dikumpulkan) dalam pelajaran tertentu.
16. Kadangkala terdapat SENI yang sama, tetapi berbeza nama dan panggilannya. Tetapi tidak diselaraskan sehingga terdapat dalam silibus yang mana kedua-dua nama seni tersebut berada pada peringkat bengkong yg berbeza (sedangkan ianya sama sahaja cuma nama yang berbeza).
17. Terdapat juga Seni yang semata-mata diletakkan sahaja dalam silibus supaya nampak gah dan banyak pengisiannya, tetapi bila sampai masa, ia langsung tidak diajar sebab tiada pengetahuan tentangnya. Jika yang mengajar pun tak sampai 10 minit dah habis penerangan dan tunjuk ajarnya. Tidak kurang juga pernah ada yang meletakkan pelajarannya berdasarkan ilmu Mahaguru YOUTUBE.
Setakat ini sahaja senarai yang sempat dikongsikan. Masih banyak lagi situasi yang diperolehi hasil pemerhatian saya tentang isu ini. Mungkin di lain ketika, saya akan kongsikan bersama dengan isu-isu yang lain.
InsyaAllah, segala kekurangan dan kepincangan yang saya senaraikan ini mampu diatasi sekiranya semua kita mampu menerima kelemahan yang ada pada SISTEM yang kita amalkan ini dan memurnikan nya untuk manfaat generasi Gayong kini dan masa hadapan dengan penuh komited dan keikhlasan.
Semoga soalan terjawab dan beroleh manfaat buat semua.
Artikel berkaitan : http://chulahitam.blogspot.com/2012/04/variasi-sukatan-pelajaran-silat-seni.html
Wassalam.
No comments:
Post a Comment