Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA
Showing posts with label info. Show all posts
Showing posts with label info. Show all posts

Sunday, July 26, 2015

INFO : PEKELILING BERKAITAN AKTIVITI SILAT DI SEKOLAH KPM

Salamun Alaik;




Di sini saya lampirkan PEKELILING berkaitan aktiviti Silat di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia agar semua pihak terutamanya Jurulatih luar yang terlibat dalam aktiviti mengajar Silat di sekolah-sekolah dapat membuat rujukan terutamanya yang melibatkan PENGGUNAAN SENJATA . 






Semoga semua pihak beroleh manfaat.


Wallahua'lam.

Saturday, July 25, 2015

INFO: VIDEO SILIBUS

Salamun Alaik;
 Seni Perisai
 Seni Gada - Gada
 Seni Sabit
 Seni Tangkapan Pistol (Jarak Dekat)
 Seni Senjata Kucing Hitam
 Seni Kerambit @ Krewok
Seni Simbat Suk & T-Batton

Setiap Pelajaran yang digubal dalam Silibus Gayong Serantau Kelantan ada rujukannya melalui video-video sepanjang kursus pelajaran dan pemantapan silibus yang dipimpin sendiri oleh Ayahanda Cg Haji Amin Hamzah yang dikumpul sejak lebih 10 tahun yang lepas. AlhamdulILLAH, semua video tersebut telahpun disusun secara bersistem oleh Naib Pengerusi Majlis Gurulatih Negeri, Ustaz Wan Abdul Halim Wan Omar yang juga merangkap YDP Negeri. Koleksi Video ini juga telah pun berjaya disimpan dalam Google Drive atas akaun saya selain simpanan dalam bentuk cakera DVD dan External HD. Namun ianya bukan untuk perkongsian secara terbuka dan TERHAD kepada individu tertentu sahaja. Susunan Koleksi Video ini bertujuan dijadikan SUMBER RUJUKAN setiap Silibus yang digubal selain daripada BUKU SILIBUS yang telah diterbitkan oleh Gayong Serantau Kelantan pada tahun 2010.

 Ayahanda Cg Hj Amin Hamzah menurunkan tandatangan sebagai tanda pengiktirafan

Wallahua'lam.

Thursday, November 28, 2013

KURSUS KEGURULATIHAN SILAT SENI GAYONG SIRI KE-11

SalamuLLAH Alaikum;

Bergambar kenangan peserta-peserta kursus bersama Ayahanda Amin Hamzah

Pada 22-24hb November 2013 bertempat di Markas Dewan Ulamak (MADU), Machang, Kelantan, telah berlangsungnya Kursus Kegurulatihan Silat Seni Gayong Siri ke-11 anjuran Gayong Serantau Kelantan. Ayahanda Amin Hamzah selaku Guru Tua merangkap Penasihat Pelajaran Majlis Gurulatih Kelantan telah dijemput seperti siri-siri yang lepas sebagai Tenaga Pengajar bagi peserta-peserta kursus. Kursus ini juga sebenarnya diadakan serentak dengan Kursus Pemantapan Ilmu dan Asas Pembantu Jurulatih yang disertai oleh pembantu jurulatih yang dipilih dari 7 gelanggang yang berbeza.

Pengisian kursus kali ini berfokus kepada;

1. Pemantapan Ilmu pelajaran dasar
2. Pecahan Pelajaran 
3. Aplikasi Pelajaran
4. Seni Tempur Gayong : Gerak Lapis
5. Seni Keris : Falsafah, Maksud dan Cerita di sebalik Gerak Keris
6. Senaman Gayong beserta Nafas Melayu
7. Ilmu Gerak Bayang : Mengasah Ketajaman Mata Hati

Penulis selaku Pengerusi Majlis Gurulatih Gayong Serantau Kelantan amat optimis dalam melahirkan Jurulatih @ Gurulatih yang berdedikasi dan berKUALITI dalam semua aspek terutamanya dari sudut PENGUASAAN PELAJARAN.InsyaALLAH, kursus siri ke-12 akan diteruskan pada tahun hadapan.

Wassalam.


Monday, August 13, 2012

GARIS PANDUAN SILAT MENURUT JAKIM

Salamun Alaik;

TUJUAN

1.1 Garis panduan ini disediakan untuk dijadikan panduan kepada umat Islam khususnya mereka yang terlibat dengan amalan seni mempertahankan diri tradisional (silat) supaya terhindar dari amalan yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam yang sebenar.

PENDAHULUAN

2.1 Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias adalah ditolak. Kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan tertentu dalam masyarakat Islam di Malaysia sedikit sebanyak ada hubungkaitnya dengan pengaruh fahaman Anamisme, Dinamisme, Hindu, Buddha dan Syiah (Ghulu) yang sebahagiannya telah menjadi darah daging kepada pengamal suci mempertahankan diri tradisional (silat). Oleh itu gari panduan ini perlu dijadikan asas dan panduan supaya dapat mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam penyelewengan akidah dan syariat Islam. Allah berfirman dalam surah Yunus, ayat 106:
ولا تدع من دون الله ما لا ينفعك ولا يضرك فان فعلت فانك اذا من الظالمين(سورة يونس : 106)
Bermaksud:“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang zalim”.

2.2 Dalam sejarah Islam memang wujud pahlawan-pahlawan yang tekemuka di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka telah berjuang menentang Musyrikin Quraisy dan penentang-penentang ajaran Islam dari kalangan Munafikin. Antara sahabat berkenaan ialah Saidina Ali, Khalid Ibnu Walid, Amru b. As-As, Abu Ubaidah b. Al-Jarrah, Saad b. Abi Waqas dan lain-lain lagi. Di dalam Al-Quran didapati banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa perlunya umat Islam mempersiapkan diri dan kelengkapan senjata serta kemudahan-kemudahan yang perlu untuk mempertahankan agama, diri dan negara. Antaranya ayat 61 surah Al-Anfaal:
وان جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله انه هو السميع العليم(الانفال : 61)
Bermaksud:“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

2.3 Di dalam ilmu persilatan terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sama ada ketika hendak masuk silat, setelah masuk atau selepas tamat dan diijazahkan. Di antara syarat-syarat tersebut:
(a) menyediakan pengeras seperti pulut kuning, limau purut, kain putih, bayaran pengeras dan sebagainya.
(b) mandi dengan air mandian tertentu sebagai lambang membersihkan segala kekotoran zahir dan batin.
(c) Tidak boleh meninggalkan sembahyang.
(d) Tidak boleh banyak bertanya ketika guru sedang mengajar atau mempersoalkan sebarang tindakan guru.
(e) Melakukan gerak silat membuka atau menutup gelanggang setiap kali memula atau menamatkan latihan silat.

2.4 Guru memainkan peranan penting di dalam menyampaikan sesuatu ilmu bagi menjamin kesahihan dan kesempurnaan ilmu tersebut. Di dalam ilmu persilatan, guru adalah lambang kesempurnaan.

2.5 Sesuatu seni mempertahankan diri tradisional (silat) itu perlulah didasarkan kepada garis panduan berikut bagi mengenal pasti ia terhindar dari perkara yang bercanggah dengan syariat Islam:
(a) Asal Usul Silat
(b) Syarat-Syarat Silat
(c) Guru Silat
(d) Ikrar Sumpah dan Taat Setia
(e) Pantang Larang
(f) Adab
(g) Gerak Langkah
(h) Amalan Dalam Silat
(i) Pengijazahkan
j) Matlamat Silat

3. GARIS PANDUAN SILAT DAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI

3.1. Asal-Usul Silat

3.1.1. Demi menjaga kesucian akidah Islam, beberapa perkara perlu diambil perhatian iaitu setiap individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa bahawa:
(a) Silat mereka bersumber dari Nabi Muhammad s.a.w. para anbia atau diambil dari Al-Quran dan Hadis atau berasal dari amalan para sahabat Nabi s.a.w.(b) Teknik atau pergerakan persilatannya berasal dari ibadat tertentu seperti rukun sembahyang.(c) Seni silat mereka bersumberkan mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. atau para anbia yang lain atau para sahabat serta ulama.

3.2. Syarat-syarat Silat

3.2.1. Bagi memastikan syarat di dalam ilmu persilatan tidak bercanggah dengan ajaran Islam maka:
(a) Semua perkara yang wajib dilakukan atau ditinggalkan oleh seorang Islam, yang mukallaf tidak boleh dijadikan syarat di dalam silat seperti sembahyang, puasa, jangan durhaka kepada ibubapa, sehingga mendatangkan anggapan bahawa perkara wajib tersebut menjadi wajib hanya apabila dijadikan syarat.
(b) Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat yang dipercayai boleh merosakkan pegangan akidah.
(c) Tidak boleh percaya kepada sial seperti mandi membuang sial atau mandi-mandi tertentu yang dikaitkan dengan persilatan.
(d) Tidak boleh melakukan gerak silat atau bacaan tertentu yang mengandungi unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk “ghaib” dalam acara “gerak membuka atau menutup gelanggang”, “’ayat kebal” atau “pukulan angin maut” atau sembelih ayam dalam gelanggang.
(e) Tidak boleh mentaati guru atau seseorang pada perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
(f) Sebarang syarat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

3.3. Guru Silat

3.3.1. Guru silat yang beragama Islam hendaklah bukan terdiri daripada:
(a) mereka yang melakukan perkara syirik, sama ada melalui perkataan, perbuatan atau iktikad.
(b) mereka yang melakukan maksiat/jenayah dan yang bertentangan dengan moral.
(c) pemecah belah masyarakat.
(d) Mereka yang mentafsir ajaran agama Islam mengikut hawa nafsu.
3.3.2. Jika seseorang guru silat hendak melibatkan diri dalam hal agama hendaklah mengetahui asas-asas agama Islam sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah seperti rukun Islam, rukun Iman, cara mengerjakan sembahyang dan sebagainya.
3.3.3. Guru silat dilarang memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir dan ilmu kebal di dalam ilmu persilatan.

3.4. Ikrar Sumpah dan Taat Setia

3.4.1. Sumpah tidak dibolehkan sebaliknya hanya ikrar.
3.4.2. Murid tidak boleh taat secara membuat tuli kepada guru. Mereka hendaklah mengikut perintah guru selama tidak bercanggah dengan perintah Allah.
3.4.3. Sumpah tidak boleh digunakan kepada perkara yang telah diwajibkan di dalam Islam seperti bersumpah akan taat kepada ibubapa, bersumpah akan taat kepada Allah dan Rasul dan sebagainya.
3.4.4. Bacaan, amalan dan ikrar yang terdapat di dalam sumpah hendaklah mengandungi perkara yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat Islam seperti memuja dewa, atau nama berhala.
3.4.5. Di dalam upacara sumpah dan bai’ah sama ada dari segi fizikal atau mental hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur yang mensyirikkan Allah dan menjatuhkan maruah seseorang sebagai umat Islam.

3.5. Pantang Larang

3.5.1. Suatu pantang larang hendaklah bukan daripada perkara-perkara yang jelas diwajibkan di dalam Islam seperti tidak meninggalkan sembahyang, jangan berkelahi sesama ahli dan sebagainya.
3.5.2. Suatu pantang larang tidak boleh dikaitkan dengan unsur-unsur pemujaan, meminta izin, perlindungan atau bantuan daripada makhluk-makhluk ghaib seperti larangan berludah kerana ditakuti tidak menjadi.
3.5.3. Tidak boleh memenuhi kehendak pantang larang sehingga melakukan perkara-perkara yang ditegah di dalam Islam seperti meninggalkan tanggungjawab sebagai suami atau isteri dan sebagainya.
3.5.4. Perkara-perkara yang harus dan halal tidak boleh dihukumkan haram.

3.6. Adab

3.6.1. Adab Murid Dengan Guru:
(a) Guru tidak boleh menganggap dirinya yang paling mulia dan tidak pernah bersalah.
(b) Guru hendaklah mengelakkan diri dari dianggap orang yang perlu ditaati secara mutlak.
(c) Guru tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.
(d) Guru hendaklah melarang murid-muridnya memuja, mengagung dan taksub kepadanya.
3.6.2. Adab Sesama Murid Seperguruan:
(a) Seseorang murid tidak boleh memberikan hak secara khusus kepada murid seperguruannya sahaja, seperti memberi ucapan salam, tidak boleh bergaduh sesama ahli dan sebagainya.
(b) Seseorang murid tidak boleh menanam atau mengapi-apikan perasaan bangga diri dan taksub kepada kumpulannya sehingga memandang hina dan negatif kepada orang lain.
3.6.3. Adab Murid dengan Orang Lain
(a) Seseorang murid tidak boleh mengutamakan guru silat dan murid seperguruannya sehingga mengabaikan hak dan kewajipannya kepada ibu bapa, suami, isteri, anak dan ahli keluarga.
(b) Seseorang murid tidak boleh memandang rendah dan hina terhadap orang bukan dari kalangan ahli silatnya.
(c) Seseorang murid yang beragama mesti menjalinkan ikatan persahabatan sama ada sesama ahli atau orang lain.

3.7. Gerak Langkah
(a) Gerak langkah silat tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-sifat-Nya atau merupakan maksud di sebalik kalimah atau nama-nama Allah atau sifat-sifatNya.
(b) Gerak langkah silat tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada ahli atau jasad Rasulullah s.a.w., para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh.
(c) Gerak langkah silat tidak boleh dimaksudkan dengan perkara yang berkaitan dengan agama Islam atau perlakuan ibadat yang tertentu seperti dua kalimah syahadah dan sembahyang.

3.8. Amalan Dalam Silat
(a) Tidak boleh memuja dan memperhambkan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busut dan sebagainya.
(b) Tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami, objek-objek tertentu dan bercampuraduk dengan ayat Al-Quran.
(c) Tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan ayat al-Quran.
(d) Tidak boleh meninggalkan ibadat-ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadan ketika melakukan amalan silat.

3.9. Pengijazahan
(a) Tidak boleh melakukan isyarat sembah atau gerak tubuh yang melambangkan ketundukan yang menyamai atau melebihi ketundukan yang hanya layak kepada Allah sahaja seperti tidak sembah kepada guru.
(b) Tidak boleh melakukan upacara yang mengandungi unsur penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa atau tenaga ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya.

3.10. Matlamat Silat
(a) Matlamat silat hendaklah matlamat yang baik seperti untuk kesihatan tubuh badan, mendisiplinkan diri, hidup bermasyarakat, untuk mempertahankan diri dari bahaya dan sebagainya.
(b) Matlamat silat tidak boleh:
(i) Untuk membalas dendam, menuntut bela, membuat aniaya, menakutkan dan mengugut orang lain.
(ii) Untuk menanam sifat berani yang keterlaluan sehingga hilang hormat kepada ibubapa, guru, ahli keluarga dan lain-lain.
(iii) Untuk memupuk sentimen perkauman atau taksub golongan/kumpulan ekstrim agama yang melampau di kalangan ahli.

4. PENUTUP

Dengan mengikut garis panduan ini diharapkan para pengamal silat dan seni mempertahankan diri supaya dapat menghindarkan diri menyimpang daripada ajaran Islam yang benar, agar hidup sentiasa dirahmati Allah S.W.T.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Wassalam

Wednesday, July 4, 2012

KEMENYAN DAN BERTEH

Salamun Alaik;
 Berteh Padi
Kemenyan yang sedang diperasap
Benarkah penggunaan kedua bahan ini memberikan suatu gambaran sesuatu majlis tersebut bersifat khurafat dan syirik? Bagaimana pula kesnya dengan Majlis Istiadat Perlimau Sintuk Adat/Seni bagi Silat Seni Gayong yang sememangnya menggunakan kedua bahan diatas?

Jawapan penulis amat ringkas dan tegas, TIDAK SAMA SEKALI! Pesanan penulis, jangan mudah untuk menjatuhkan hukum tanpa ILMU dan jangan pula sesekali ambil alih tugas ALLAH SWT untuk mensyirikkan orang lain.

Penulis tidak berniat untuk menghuraikan satu per satu ASAL MUASAL kenapa setiap bahan yang digunakan dalam Majlis Perlimausintuk Tapak/Seni dalam Silat Seni Gayong terutamanya Kemenyan dan Berteh ini tetapi, cukuplah sekadar memberi cetusan akal untuk berfikir kenapa dan mengapa ia digunakan. Seringkali masyarakat yang kurang arif tentang hal ini memberi respon yang negatif.Itulah kebanyakan sifat bangsa Melayu. Mudah untuk mengaitkan sesuatu yang diluar pengetahuan dan logik akal mereka dengan unsur-unsur mistik yang bersifat khurafat dan syirik....... amat mendukacitakan sekali bilamana, ada ahli dalam perguruan yang mencanang cerita sebegini kepada masyarakat umum yg sememangnya jahil tentang adat Gayong itu sendiri. Tidak terkecuali, WAKIL MUTLAK yang menerimana AMANAT untuk menjalankan upacara ini pun ada yang was-was dan meraguinya. Persoalan yang penulis ingin lontarkan, bagaimana boleh seseorang itu terima AMANAT ini tanpa pengetahuan tersurat dan tersiratnya? adakah mereka terima secara SAH ataupun guru yang mengijazahkan itupun MEMANG "kosong" pengetahuannya?dan bagaimana pula boleh mereka ini mampu mengijazahkan kepada orang lain jika mereka sendiri "kosong" tentang maksud tersurat dan tersirat disebalik upacara Perlimau Sintuk ini?

Isu Kemenyan dan Berteh ini sebenarnya senasib dengan isu MANDI BUNGA suatu ketika dahulu. Telah berkurun lamanya, isu mandi bunga telah digazetkan sebagai hal-hal yg khurafat oleh bangsa kita. tetapi setelah dibuat penyelidikan dan kajian saintifik oleh sarjana2 barat, maka mereka telah menemui kelebihan yang ada pada bunga2 tersebut yang boleh merawat pelbagai jenis penyakit tanpa kesan sampingan (bersifat alamiah). Setelah produk-produk mereka diterima dan berjaya dipasarkan ke peringkat antarabangsa, maka senyaplah suara2 celupar selama ini yang menuduh perawat2 bangsa Melayu dan orang2 Silat ini. Malah,ramai juga diantara mereka menggunakan produk2 yang tanpa rasa malu(dulu tuduh bukan-bukan).Di sinilah kelemahan ketara kita, asal dari kita tetapi kita buang sebab kejahilan diri. kemudian ambil balik selepas bangsa lain dapat untung.

Bangsa Melayu amat rapat dengan Kemenyan, Berteh, Pulut, Asam Garam, Keris dsb nya. Silalah kaji sejarah bangsa yang berkaitan serta hubungan dengan bahan-bahan tersebut. Ada isu yang mungkin telah dilupakan dan sengaja dihilangkan dari sejarah bangsa. Kajilah juga kenapa berteh dijadikan syarat dalam petua asam garam Melayu. Bertanyalah kepada yang arif dalam soal mistik, kenapa kemenyan diperasapkan? Apakah asalnya untuk memanggil jin atau ada Rahsia lain yang tersirat?

Penulis sering mengatakan yang asal muasal nya adalah bersih. tetapi telah disalahgunakan oleh kumpulan2 tertentu yang jahil. contohnya; asal mandi bunga adalah baik untuk proses perawatan. Ianya adalah bersifat alamiah yang menggunakan konsep frekuensi yang terkandung pada warna-warna dan aroma bunga. Ianya tidak memerlukan apa-apa seruan dan bacaan. Cukuplah dengan bacaan Basmalah dan Selawat untuk mengambil berkat. Namun, orang yang jahil inilah yang mula menambah kekarutan seperti membaca mentera-mentera sesat dan jadikan ia suatu ritual pemujaan. Tindakan mereka ibarat "disebabkan nila setitik, habis susu sebelanga".Ditegaskan kembali, asalnya tetap bersih dan tiada sama sekali unsur-unsur khurafat dan syirik. Begitu jugalah halnya dengan Kemenyan dan Berteh ini. Ada RAHSIA nya. Bergurulah dengan Guru sebenar Guru. InsyaAllah, segala yang kusut akan terlerai.Biiznillah.

Setakat ini sahaja yang mampu penulis kongsikan. Memang kehendak hati untuk berkongsi semuanya.tetapi JANJI dan IKRAR penulis dengan GURU membataskan perkongsian tentang isu ini. Sekadar membuka jalan untuk dikaji dan dinilai dengan rasional serta penuh berlapang hati. Diharapkan agar isu kemenyan dan berteh ini tidak lagi dijadikan isu diatas kejahilan diri kita. Jangan mudah menghukum tanpa kepastian.Elakkan menjilat air ludah sendiri di kemudian hari.......


Wallahua'lam.

Sunday, July 1, 2012

SEJARAH AMALAN KEROHANIAN DALAM SILAT

Salamun Alaik;
Gambar Hiasan

Amalan kerohanian dalam Silat Melayu melalui sejarah yg panjang iaitu pada peringkat pertama kerohanian  Silat  Melayu  tradisi  dari  amalan  kepawangan  yang berdasarkan kepercayaan animisme yang percaya kepada kuasa ghaib, nenek moyang, penunggu, sumpahan dan pemujaan. Bagi memperlihatkan hubungan baik, mendapatkan bantuan kuasa ghaib dan mempertahankan diri  dari kecelakaan kuasa ghaib, pengamal kebatinan tradisi  memakai  beberapa petua dan syarat,  tangkal  azimat  dari  kayu,  batu, tulang serta mantera jampi dalam bahasa Melayu. 

Peringkat  kedua  ialah  kebatinan  berlatarkan  pengaruh kepercayaan  Hindu Buddhisme.  Pada peringkat  ini  amalan  animisme  masih  kekal  diamalkan  di  samping mempercayai  kuasa  dewa  dewi,  keramat,  bertapa,  puasa,  bersemadi,  yoga,  mandi  keramat, nujum, kesaktian dan jampi mantera serta percaya pada tuah dan sial, memakai tangkal azimat dari besi, batu, kayu, tulang dan kulit binatang.  

Wali Songo 

Peringkat ketiga ialah pengaruh Islam.  Oleh sebab Islam baru berkembang dalam masa yang singkat sebelum kerajaan-kerajaan Melayu diperintah oleh penjajah barat yang memandang  Islam sebagai  musuh,  maka  kerohanian  Islam tidak  dapat  berkembang dengan sempurna dalam kerohanian persilatan Melayu.  Pada peringkat  ini  kerohanian Islam dalam persilatan  Melayu  masih  bercampur  baur  dengan  pengaruh  kepercayaan animisme dan Hindu Buddhisme. Pengamal silat percaya kepada kuasa Allah yang esa, tetapi  masih  dipengauruhi  oleh  kebatinan  lalui  dengan  mewujudkan  sandaran  seperti malikat,  sahabat,  saka,  jin, wali,  keramat,  roh panglima dan semangat  binatang seperti harimau,  helang,  monyet  dan  sebagainya.yang  dapat  membantu  ketika  terdesak. Mengadakan  semah  gelanggang,  mandi  minyak,  mewujudkan  mantera  jampi  dengan kalimah  untuk  ilmu  pendinding,  kebal,  penunduk,  penderas,  pengasih,   pengunci, pelimun,  petunang,  pembisa  dan  pelali.  Bermakna  kerohanian  Islam  belum  dapat
menyumbang kepada ilmu kepahlawanan Melayu sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat dan penglima Islam zaman Rasulullah SAW.

Peringkat ke empat ialah pengaruh sekularisme yang menjadikan agama sebagai urusan  peribadi  dan  budaya  yang  tiada  berhubungan  urusan  keduniaan.  Silat  mula dipengaruhi  pelbagai  falsafah  dan pemikiran  yang  bergantung kepada usaha manusia semula  jadinya  memberi  bekas.  Manusia  mempunyai  kekuatan   mutlak  melalui keupayaan fizikal,  mental  dan spiritual.  Diperkukuhkan dengan latihan minda dan jiwa melalui  amalan  yoga,  pernafasan,  tenaga  dalam,  aura,  syihir  dan  sebagainya  yang bersumber daripada amalan pelbagai agama, ajaran dan kerpecayaan. Pengamal spiritual dapat memperlihatkan keupayaan amalan dengan memecah genting batu, mematakan besi baja, ketulan ais, menjilat besi panas, membakar tubuh, mandi asid, makan kaca, ditusuk dengan  besi,  tahan  godam dengan  kayu,  rotan,  buluh,  besi  dan  lain-lain.  Beberapa perguruan silat telah kembali melihat amalan-amalan dari kebatinan lalu untuk menyaingi persembahan yang dilakukan oleh pengamal spiritual.

Berbalik kepada persoalan sumbangan kerohanian Islam ke dalam ilmu persilatan Melayu  ternyata  masih  belum pernah  diusahakan dengan  sempurna.  Hanya  beberapa orang  ulamak  Melayu  yang  mengajar  silat  sedar  iaitu  setelah  pengamal  silat meninggalkan  amalan  kebatinan  Melayu  tradisi  dan  pengaruh  Hindu  Buddhisme, berlakulah kekosongan pada ruang kerohanian dalam ilmu kepahlawanan Melayu. Tanpa pengisian  adalah  besar  kemungkinan  kekosongan  tersebut  akan  diisi  kembali  oleh kebatinan  lalu  atau  pengaruh  amalan  semasa  yang  bukan  Islam.  Mereka  segera memperturunkan rahsia ilmu kerohanian Islam di samping mengekalkan amalan budaya Melayu  yang  tidak  berxanggah  dengan  syarak.  Pendidikan  ilmu  kerohanian  Islam dimulakan dengan memperkenalkan  ketokohan pahlawan Islam seperti Sayidina Omar al Katab,  Sayidina Ali  Abi  Talib,  Sayidina Hamzah,  Khalid ibn Walid,  Tariq bin Ziad, terutama  ketokohan  Nabi  Muhammad  saw.  Pesilat  dapat  melihat  Islam  sebagai kerohanian  dan  ilmu  yang  dapat  membentuk  kekuatan  rohani  dan  jasmani.  Pesilat diperkukuhkan  amalan  syariat  Islam meliputi  hal  yang  bersangkutan  dengan  ibadah, aqidah dan pembinaan akhlak. Maka ilmu tasawuf  berjaya memupuk  kesuciaan hati melalui riadah kerohanian Islam yang bersumberkan beberapa aliran tarikat  dari aliran sunnah  wal  jemaah  muzahab  Imam  Syafie  seperti  tarikat  Ahmdiah,  Muhamadiah, Naqsabandiah, Qadariah dan yang lain-lain Ulamak Melayu memperturunkan beberapa bentuk aurad dan wirid yang diserta dengan syarat dan kaifiat sesuai dengan keperluan pengisi  kerohanian  silat.  Tujuannya  untuk membuka  hijab pesilat  agar  dapat  melihat kebesaran Allah dengan biji matanya sendiri. Usaha para ulamak tersebut berjaya mengisi kekosongan amalan kebatinan dalam ilmu persilatan Melayu dengan kerohanian Islam yang suci dan bersih.

Kesimpulannya,  Malaysia boleh berbangga kerana diwariskan Silat Melayu yang lengkap pada zahir dan batinnya yang memudahkan mereka membentuk silat sebagai satu nama  dan satu ilmu  bela  diri  yang  sempurna.   Barang  kali  sesuai  ungkapan di  atas dilengkapkan iaitu `pandang satu pada yang banyak dan pandang banyak pada yang satu’. Setiap yang baharu ada mulanya,  demikian juga dengan silat yang ada mula atau sebenih lalu berkembang kepada beberapa rumpun. Maka tidak mustahil ilmu silat yang telah  berkembang  disusun  kembali  menjadi  satu  ilmu.  Usaha  tersebut  memerlukan pengorbanan bersama ke arah memartabatkan Silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi  yang tersenarai dalam Akta Warisan Negara dan sumbangan bangsa Malaysia kapada tamadun manusia. Sekian. 

(dipetik daripada artikel yang ditulis oleh Pendita Allahyarham Tn Hj Anuar Wahab)

Wassalam.

Sunday, June 19, 2011

SEJARAH BUGIS



Bugis
Orang Bugis berasal dari kepulauan Sulawesi di Indonesia,mendiami hampir kesemua kawasan di Sulawesi Selatan. Penaklukan Belanda pada kurun ke-17 menyebabkan sebahagian daripada mereka berpindah dan kini telah bercampur dengan suku lain di Sumatra, Kalimantan, Jawa, Semenanjung Malaysia dan Sabah,Sarawak, Menurut sumber secara lisan tidak bertulis yang lain pula sememangnya suku Bugis(buqis Kapal) dan suku Ugi dari kepulauan Sulawesi adalah berbeza. Bugis adalah berasal dari perkataan beribukan puteri Balqis(isteri kepada nabi Sulaiman)Permaisuri kerajaan Saba'(sheba). Mereka adalah pedagang rempah2, kemenyan atau kemian dan lain-lain di antara tanah Hadramaut, Yaman sehingga ke Tanah Ugi(Sulawesi) di Pandjung Luwuk semenjak beratus-ratus tahun sebelum Masehi lagi. Mereka adalah sangat berpegang teguh kepada ajaran Agama Islam sehingga salah seorang ketua kapal mereka yang terkenal Tuan Hj Besar Daeng Selili Pancung tanpa Tanya Matindro ri Kuala Kangsar telah dilantik menjadi mufti Perak(1745) dalam mengawal perlaksanaan hukum hudud di Negeri Perak pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (III) (1728-1756) oleh kerajaan Uthmaniyah Turki.
Sebagai pengetahuan am bertulis yang dikawal oleh british bahawasanya, etnik Bugis cukup terkenal di dalam bidang maritim di Kepulauan Melayu dan di dalam bidang ekonomi. Mereka juga terkenal sebagai pahlawan yang berani, lanun yang digeruni(digelar dengan teknik propaganda yang berjaya oleh pesaing seperti Belanda dan inggeris.) dan pedagang yang berjaya. Pusat tumpuan utama bagi kebudayaan dan ekonomi etnik ini adalah Ujung Pandang atau dikenali sebagai Makassar. Orang Bugis juga merupakan penganut agama Islam.

Kerajaan pertama Bugis mengikut La Galigo ialah Wewang Nriwuk, Luwuk dan Tompoktikka. Luwuk mendapat kedudukan istimewa kerana ia dianggap sebagai ketua Bugis. Walaubagaimanapun, pada abad ke 15, berlakunya perubahan didalam sosio-politik, ekonomi dan agama disebabkan berlakunya migrasi penduduk dari persisiran pantai hingga ke tengah hutan belantara membuka penempatan baru. Didalam bidang ekonomi, penanaman padi sawah, pembuatan besi dan penggunaan kuda diperkenalkan. Dari segi agama, adat membakar mayat di sesetengah tempat mula diamalkan. Pada akhir abad ke 15, munculnya beberapa kerajaan baru menentang kerajaan Luwuk. Antaranya ialah Gowa (Makassar), Bone dan Wajo'. Kematian Dewaraja, seorang raja Luwuk, menyebabkan perebutan dinasti untuk memerintah Tana Ugi. Gowa bersekutu dengan Bone menawan Luwuk dan sekaligus mempunyai pengaruh yang besar ke atas Sulawesi Selatan.

Pengislaman Bugis

Pada abad ke 16 Sulawesi telah mengalami suatu perubahan yang besar. Dalam tempoh masa ini, komuniti Bugis dan Makassar berjaya diislamkan oleh Abdul Makmur, seorang Minangkabau. Manakala pada pertengahan abad ke 16, Sulawesi Selatan dikuasai oleh Gowa dan Bone. Kerana kedua-dua negeri ingin meluaskan kuasa mereka, maka tercetuslah peperangan sesama mereka dan Bone dikalahkan. Sebagai membalas dendam, seorang putera Bone bernama Arung Palakka bersekutu dengan Belanda untuk menyerang Makassar. Pada tahun 1667-1777, Makassar jatuh ketangan Belanda dan ini menyebabkan migrasi Bugis ke Sumatra dan Tanah Melayu.

Sejarah Bugis Di Tanah Melayu

Bugis memainkan peranan yang penting dalam sejarah di Tanah Melayu. Mereka terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam politik dan perbalahan negeri-negeri Melayu ketika itu, terutama sekali negeri Johor. Ia bermula apabila Daeng Loklok ingin memerintah Johor tetapi tidak dipersetujui oleh pemerintah negeri Johor Riau Lingga ketika itu, iaitu Raja Kechil. Ini menyebabkan Daeng Loklok atau Bendahara Husain meminta bantuan Raja-Raja Bugis untuk menumpaskan Raja Kechil. Bermula dari sinilah campur tangan Bugis di Tanah Melayu. Malah,Raja Ali, anak Daeng Chelak, Raja Lumu, dinobatkan sebagai Sultan Selangor pertama.

Bahasa Bugis

Etnik Bugis mempunyai bahasa tersendiri dikenali sebagai Bahasa Bugis (Juga dikenali sebagai Ugi). Konsonan di dalam Ugi pula di kenali sebagai Lontara yang berdasarkan tulisan Brahmi.

Dipetik dari Wikipedia.org
Kredit kepada http://kerispusakaku.blogspot.com/2010/09/sejarah-bugis.html
Wassalam

Wednesday, November 24, 2010

MURID AYAHANDA AMIN HAMZAH YANG DIIKTIRAF MEMAKAI BENGKONG HITAM

Salam,

Baru2 ini,saya berkesempatan bersama dengan Ayahanda Amin Hamzah ketika majlis Gayong di Labuan dan Sabah. Beliau memohon saya menyenaraikan nama2 penerima bengkong hitam yang diiktiraf oleh beliau selama 40 tahun berkecimpung sebagai jurulatih Gayong. Alasan beliau kerana kebelakangan ini ramai yang menjual nama beliau dan ada juga yang telah dikelaskan sebagai BIADAP dan MENDERHAKA dengan beliau.

Barisan Murid Ayahanda Amin Hamzah.

Berikut adalah nama2 murid beliau yang diiktiraf pemegang bengkong Harimau Pelangi Chula Sakti;


1. Mirza

-tahun 1998

-bengkong terkini HPCS 2

-sandang gurulatih: Panglima Chula Hitam



2. Radzi

- tahun 1998
-bengkong terkini HPCS 4

-sandang gurulatih: Panglima Chula Hitam






3. Azizan

-tahun 2004

-bengkong terkini HPCS 4

-sandang gurulatih:Panglima Pelangi Hitam




4. Aswad

-tahun 2006

-bengkong terkini HPCS 1

-sandang gurulatih: -



5. Amir Fadhli

-tahun 2007

-bengkong terkini HPCS 2

-sandang gurulatih: -



6. Wan Halim

-tahun 2008

-bengkong terkini HPCS 3

-sandang gurulatih:Panglima Chula Hitam





7. Faqrul Redza

-tahun 2009

-bengkong terkini HPCS 1

-sandang gurulatih: -

8. Kama
- tahun : 2009
-bengkong terkini : HPCS 1
sandang kegurulatihan : -
Senarai anugerah;


* Rosni (Labuan) menerima kenaikan hitam chula 2 dan Shaiful Hakim (France) menerima Sandang Pelangi Hitam pada tahun 2009 di Ipoh,Perak



Perhatian: Mana2 murid Ayahanda Amin Hamzah selain yang disenaraikan di atas (sehingga 24 November 2010) adalah tidak diiktiraf sebagai pemegang bengkong Harimau Pelangi Chula Sakti........



Wassalam

Wednesday, October 14, 2009

Blog PSSGM WPL

Assalamualaikum,

Pihak PSSGM WPL telah sepakat menghasilkan blog rasmi PSSGM WPL bagi menyampaikan info-info dan aktiviti-aktiviti semasa pihak PSSGM WPL. Sama-sama kita lawatinya.............

www.pssgmwpl.blogspot.com


Wassalam

Sunday, October 4, 2009

KERIS dan GOLOK

Assalamualaikum,

Saya tertarik untuk membicarakan tentang hubungan senjata Keris dan Golok dengan Persilatan Melayu Nusantara. Bila berbicara tentang keris, semua sudah maklum yang keris merupakan suatu senjata simbolik yang mewakili kuasa Raja-raja Melayu dan merupakan satu senjata yang penuh dengan rahsia kehebatannya bermula dari;
  1. kaedah pembuatannya - kredibiliti dan ketinggian ilmu tukang/pandai keris, jenis-jenis besi yang digunakan (tujuh PA), pemilihan hari. ukuran badan si pemakai dan wirid-wirid bacaan tertentu.
  2. bentuk fizikal - bilangan lok, corak pamor, ukiran hulu dan sarung, kepanjangan dan jenis kegunaan.
  3. penggunaannya - cara pakai/sisip keris, langkah, kaedah menikam, sasaran, pantang larang, adat memandikan keris dan cara simpan.
*bersambung

Friday, September 25, 2009

SIAPA PANGLIMA HITAM?

السلام عليكم

Siapa sebenarnya gerangan yang dipanggil Panglima Hitam? Adakah beliau seorang yang benar-benar hebat sehingga nama Panglima Hitam ini menjadi suatu nama Lagenda dalam ilmu beladiri Melayu ini? Dalam ruangan dan kesempatan ini, saya cuba untuk berkongsi fakta tentang Panglima Hitam ini setakat pada pengetahuan saya. Mungkin ramai di kalangan kita yang lebih arif tentang sejarah siapa sebenarnya Panglima Hitam ini. Harap ada yang sanggup berkongsi pandangan dan fakta yang saya rasakan perlu untuk kita orang-orang silat kenal siapa sebenarnya Panglima Hitam ini.

Menyingkap kewujudan Panglima Hitam, sejarah telah menunjukkan yang setiap Sultan mempunyai pengawal peribadi yang sangat handal dalam pertempuran yang digelar Panglima Hitam. Maknanya, Panglima Hitam ini merupakan suatu nama gelaran dan bukan hanya tertakluk pada seseorang individu. Antara yang tersohor ialah;
  1. Panglima Hitam (Taiping) atau nama sebenarnya Tengku Daeng Kuning anak raja Bugis yang menjadi pendekar terbilang pada abad ke -18
  2. Panglima Hitam (Kuala Selangor)
  3. Panglima Hitam (Jugra)
  4. Panglima Hitam (Muar,Johor)
  5. Panglima Hitam (Segamat,Johor)
Dalam sejarah negeri Selangor, Panglima Hitam sebagai pahlawan yang berani dan setia dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan diri Sultan, Istana dan Kerajaan. Mereka terdiri dari;
  1. Panglima Hitam pada zaman Almarhum Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor yang kedua dan Almarhum Sultan Muhammad iaitu Sultan Selangor yang ketiga.
  2. Panglima Hitam yang dikenali juga sebagai Daeng Ali iaitu pengawal peribadi Almarhum Sultan Abdul Samad yang merupakan Sultan Selangor yang keempat.
Dalam sejarah negeri Johor pula, terdapat dua individu yang bergelar Panglima Hitam iaitu;
  1. Panglima Hitam di Muar yang bernama Baginda Zahiruddin berasal dari Padang Pariaman Minangkabau, Sumatera. Beliau merupakan pengasas kepada Silat Lintau pada abad ke-16.
  2. Panglima Hitam di Segamat yang merupakan pemimpin ketenteraan dan telah berjaya mengalahkan kumpulan pemberontak dalam perang Jementah yang berlaku di kawasan Segamat.
Dan yang terkenal sekali adalah Panglima Hitam di negeri Perak yang bernama Tengku Daeng Kuning, anak Raja Bugis dari Makasar, Sulawesi. Gelaran Panglima Hitam pada beliau bersempena dengan ilmu kependekaran yang tinggi dan sentiasa memakai pakaian yang berwarna hitam. Mula sampai di Kepulauan Tanah Melayu pada 1813 bersama 6 saudara yang lain. Sesampainya di Tanah Melayu, mereka 7 bersaudara masing-masing membawa haluan sendiri mengikut ilmu dan firasat mereka. Maka berpecahlah mereka ke negeri-negeri berikut;
  1. Perak
  2. Pahang
  3. Kedah
  4. Terengganu
  5. Johor
  6. Selangor
  7. Melaka
Makam Daeng Kuning


Makam Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman

Daeng Kuning @Panglima Hitam telah menetap di Kuala Larut yang diberi nama Relur Tujuh dan kini dikenali sebagai Air Kuning, Taiping. Beliau meninggal pada 1875 dan disemadikan di Kampung Tupai, Jalan Pokok Assam, Taiping. Dari keturunan beliaulah, lahirnya Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman yang merupakan Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia.

Papan Tanda berhampiran Makam Daeng Kuning

Kesimpulannya, nama Panglima Hitam ini telah dipakai dan menjadi simbol kepada seseorang yang tinggi ilmu kependekaran selain mempunyai sifat berani dan setia kepada raja dan negara. Pengiktirafan di atas sifat keberanian dan jasa Panglima-Panglima Hitam ini terbukti apabila nama Panglima Hitam ini telah diabadikan pada Pasukan Khas Laut (Paskal),TLDM sebagai Kapal DiRaja(KD) Panglima Hitam. Selain itu, Kerajaan melalui Jabatan Muzium telah membina semula Makam Panglima Hitam di Taiping dan telah digazet dibawah akta pendaburba sebagai suatu simbol sejarah negara. Semoga kita sama-sama dapat menghayati dan mengambil ikhtibar daripada sejarah Panglima Hitam ini.


والله أعلم

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...