Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Monday, January 21, 2019

SISTEM PELAJARAN

Salamun Alaik,
3 tokoh hebat penggubal Sistem Pelajaran Gayong pada zaman yang berbeza

Sistem merujuk kepada suatu kaedah, prosedur, mekanisma dan organisasi yang terperinci dan saling berkait antara satu sama lain samaada secara langsung atau tidak untuk mencapai sesuatu objektif. Dalam konteks Pelajaran Silat Seni Gayong, Almarhum Mahaguru telah beberapa kali meminta Gurulatih Kanan beliau untuk menyusun atur dan memurnikan Sistem Pelajaran. Sistem Pelajaran ini bukan hanya tertakluk kepada Sukatan Pelajaran semata-mata tetapi ianya meliputi Peringkat Bengkong, Tahap Kegurulatihan, Ujian Kenaikan Bengkong, Kursus Kegurulatihan, Yuran-yuran, Ujian Ketahanan Diri, Amalan Kerohanian dan banyak lagi. Objektifnya hanya satu iaitu KEMENJADIAN ANAK GAYONG ( akan dibincang dalam post akan datang).

Tidak dinafikan Almarhum mengajar Ilmu yang berbeza-beza mengikut kepada Zaman, tempat dan individu. Selaku Mahaguru yang mempunyai Hak Mutlak atas Ilmu yang diperturunkan, setiap perbezaan itu ada cerita disebaliknya. Kita sebagai anak Gayong perlu akur dan sedaya upaya mencari titik persamaan. Titik Persamaan ini mampu diterjemahkan melalui satu pendekatan menyusun dan menyatukan semua pelajaran yang dikumpul di bawah SISTEM PELAJARAN. Dan Sistem ini juga telah melalui beberapa evolusi dalam usaha mencapai yang TERBAIK. Asasnya perlu faham antara Keilmuan Gayong dan Sistem Pelajaran Gayong. Dan Sistem ini bermula dari Woodlands kemudian dimurnikan sewaktu di Kota Sarang Semut dan seterusnya disempurnakan di Pusat Latihan Tertinggi Ayer Kuning. Namun ada beberapa negeri dalam tempoh tersebut mewujudkan sendiri Sistem Pelajaran mereka seperti di Selangor/KL

Panglima Singa Malaya adalah Gurulatih yang paling layak dan bertanggungjawab dalam menggubal Sistem Pelajaran dibantu oleh Majlis Gurulatih yang bertindak sebagai penggerak dalam pengurusan pentadbiran, pelaksanaan dan penguatkuasaan. Setiap Panglima Singa Malaya sepatutnya mempunyai Ilmu yang cukup dan mampu menggubal satu SISTEM yang tersendiri supaya setiap anak Gayong dapat memanfaatkan Ilmu Gayong secara sistematik dan diajar mengikut tahap serta kebolehannya. Yang penting Objektif Kemenjadian Anak Gayong itu tercapai. Maka disinilah Ilmu Gayong itu makin bercambah dengan Ilmu Pecahan, Pelajaran Tambahan serta Ilmu Khas yang diajar secara ansur maju melalui peringkat Bengkong dan Tahap Kegurulatihan.

Ilmu yang diperturunkan oleh Almarhum Mahaguru terlalu banyak. Sebagai contohnya, Buah Pukul sahaja boleh mencecah berpuluh-puluh. Disini perlu satu susunan dan sistem agar ia dapat diterjemahkan dengan baik kepada anak-anak Gayong generasi baru. Disusun yang terbaik sebanyak 21 buah bersandarkan 7 pergerakan gerak pukul yang sama konsep. 7 dipecah 3 mencukupi 21 manakala di peringkat Jurulatih ianya dipecah kpd 7 mengenapkan 49 Buah kesemuanya. Untuk melengkapkan anak Gayong dengan Buah Pukul, ia dimulakan dengan Asas Elak diikuti Elak Pukul dan Pecahan Elakan. Semuanya adalah kesinambungan gerak balas yang mungkin oleh pihak lawan. Kemudian, Buah Pukul ini pula dibahagikan kepada beberapa Seni antaranya Buah Pukulan Maut, Buah Kombat, Super Kombat, Serangan Bapak Harimau dsbnya.

Sama juga dengan Kuncian Pisau sebagai contoh. Buah Kuncian diambil kira dari 3 jenis Serangan asas iaitu Tikaman Anak Sungai (7 buah), Pasak Jantan (7 buah) dan Radak Sula (7 buah). Ia diajar secara berselang seli agar memberi kefahaman buat pelatih walaupun belum habis mempelajari kesemua 21 buah. Di peringkat Jurulatih, terdapat Buah Kuncian daripada pecahan bagi setiap 3 serangan asas tadi seperti Tikam Amok, Pasak dan Rembat, Radak dan Rembat dll. Buah-buah yang dipilih itu seeloknya janganlah yang berulang seperti kaedah ambil Anak Sungai dan Pasak memang berbeza tetapi selepas itu disudahi dengan buah yang sama. Cari yang unik dari buah pisau yang pernah diajar oleh Almarhum. Yang selebihnya jadikanlah buah pecahan atau sebagai selingan dalam Kursus-kursus jurulatih.

Seperkara lagi yang hendak dibincang kali ini berkaitan Sistem yang diajar untuk menguasai Buah Kuncian. Setiap Buah Kuncian mestilah terlebih dahulu diajar dengan Asas Elakan dan Elak Pukul serta Pecahan Elakan. Mana mungkin suatu Sistem yang baik jika dalam sukatan tidak didedahkan dengan pelajaran Elak pada awalnya tetapi sewaktu belajar Buah Kuncian tiba-tiba keluar kaedah elak yang belum pernah diajar. Bukan tidak boleh tetapi kita bicarakan soal SISTEM yang mempunyai satu sukatan yang sistematik. Sehingga kini memang ada Sistem yang menggunakan kaedah yang agak kebelakang ini. Dimana fungsi Pengarah Pelajaran dan Majlis Gurulatih? Belum ambil kira yang memakai Panglima Singa Malaya tapi masih bertatih menghabiskan sukatan pelajaran yang sedia ada. Mana mungkin berfungsi untuk menggubal Sistem jika sukatan sedia ada dibawah Sistem terdahulu pun belum dikuasai. Begitulah punahnya sebuah sistem kerana sistem pelajaran ini bukan hanya melibatkan sukatan pelajaran tetapi penyandang sandang yang betul pun termasuk dibawah sistem pelajaran ini.

Sebagai rumusannya, Ilmu Gayong cukup banyak dan luas. Ia juga berbeza diantara satu sama lain. Namun perbezaan ini boleh diuruskan dengan baik dan sistematik dibawah satu SISTEM PELAJARAN yang sempurna. Ilmu tidak diubah tetapi Sistem boleh berubah-ubah dalam usaha mencapai KEMENJADIAN ANAK GAYONG. SISTEM PELAJARAN menjadikan proses pembelajaran dan organisasi yang mengurus menjadi lebih teratur dan lancar. Itu yg sepatutnya.....

Wallahua'lam.

PESANAN BUAT PENGAMAL SILAT SENI GAYONG

Salamun Alaik;


Dalam kesibukan berlatih Silat di gelanggang-gelanggang, jangan dilupakan dengan segala PENGISIAN ROHANI dan ILMU KEBATINAN. Persiapkan diri kalian dengan segala amalan-amalan yang diperturunkan oleh sekian GURU terutamanya Amalan Qulhu sebagai "pakaian diri". Usahakan diri menjalani Khatam Qulhu 70k dan yang berbengkong Hitam itu semoleknya genapkan 7 kali Khatam serta Amalan Memutih. Jadikan Ayat Perang dan Ayat Hulubalalang sebagai WIRID HARIAN. Dan jangan lupa tutup amalan kalian dengan AYAT 9 serta SELAWAT 300x. Kepada yang telah ditauliahkan dengan ISIM BUDDUH, AMALAN HULUBALANG dan AMALAN IMAM PERANG pula teruskan ISTIQAMAH agar mampu MEMIMPIN komuniti setempat jika berlakunya DARURAT. Sediakan payung sebelum hujan.Jangan tunggu SEMBOYAN barulah terngadah.

Wallahua'lam

BERGURULAH SELAGI ADA HAYAT GURU

Salamun Alaik;


Ilmu yang kita perolehi melalui perantaraan Guru. Dari bertatih dalam gelanggang sehinggalah memangku gelaran jurulatih dan ada melebihi gelaran daripada Guru sendiri. Mengikut Adat berGuru, usahlah terlalui mengikut hawa mengejar "sesuatu" walaupun biasanya akan dinafikan dengan pelbagai alasan dan helah. Bila Guru memakai bengkong jangan melebihi had Guru, bila Guru berSandang juga jangan melebihi had Guru.Walaupun nampak sukar namun ada hikmah disebaliknya. 

Guru juga sentiasa memerhati sekelian muridnya. Walaupun nampak tidak peduli, percayalah, setiap lenggok perjalanan murid sentiasa diselusuri oleh Guru. Kadang-kadang tumpang bangga bila muridnya sudah berjaya walaupun melalui guru lain. Sedih hati akan cuba diselubungi walau diri sudah lama tidak dipeduli. Mungkin tiada apa yang boleh diberi, terutama jawatan atau gelaran yang tingi-tinggi. Namun percayalah, hanya Guru asal yang mampu beri teguran setiap cacat cela yang ada pada gerak geri kita. Segala yang sumbang dan kelemahan hanya sekilas pandang dapat Guru menduga dan memperbaiki diri.

Perangai Guru sememangnya tidak mencurah hanya kepada seorang. Setiap murid akan beroleh kelebihan dan kekurangan mengikut kadar kemampuan dan kesetiaan. Sedikit sebanyak pasti ada yang sulit sebagai bekalan untuk yang PALING SETIA. Firasat Guru jarang tersasar. Disaat hayat dipenghujung dikala itu yang paling beruntung. Maka , sentiasalah menadah dengan Guru selagi hayatnya masih ada. Mungkin hanya sedikit penambahan Ilmu, tetapi teguran Guru mampu mengubah gerak geri kita jadi sempurna. 

Oleh yang demikian, selalu lah berdamping dengan Guru. Carilah ruang masa untuk perbaiki gerak geri diri dengan persembahkan di depan Guru. Kesempurnaan itu memang sukar namun ianya mampu diperolehi dengan keazaman dan usaha yang tinggi. Jika terasa gerak geri serta perbuatan Silat itu tidak mampu dipraktiskan atau dengan kata lain, kurang lojik dalam pertempuran, itu sebenarnya adalah kelemahan pada diri kita sediri. Cari jalan dengan mengadap Guru untuk dapat merealisasikan perbuatan yang sebelum ini dianggap mustahil dan tidak masuk akal. Kuncinya adalah kembali mengadap Guru. DISITU ADA JAWAPANNYA. Hargailah mereka kerana BERKAT dan SANAD ILMU itu melalui PERANTARAAN GURU. Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat buat semua.

Wallahua'lam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...