Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Monday, January 21, 2019

BERGURULAH SELAGI ADA HAYAT GURU

Salamun Alaik;


Ilmu yang kita perolehi melalui perantaraan Guru. Dari bertatih dalam gelanggang sehinggalah memangku gelaran jurulatih dan ada melebihi gelaran daripada Guru sendiri. Mengikut Adat berGuru, usahlah terlalui mengikut hawa mengejar "sesuatu" walaupun biasanya akan dinafikan dengan pelbagai alasan dan helah. Bila Guru memakai bengkong jangan melebihi had Guru, bila Guru berSandang juga jangan melebihi had Guru.Walaupun nampak sukar namun ada hikmah disebaliknya. 

Guru juga sentiasa memerhati sekelian muridnya. Walaupun nampak tidak peduli, percayalah, setiap lenggok perjalanan murid sentiasa diselusuri oleh Guru. Kadang-kadang tumpang bangga bila muridnya sudah berjaya walaupun melalui guru lain. Sedih hati akan cuba diselubungi walau diri sudah lama tidak dipeduli. Mungkin tiada apa yang boleh diberi, terutama jawatan atau gelaran yang tingi-tinggi. Namun percayalah, hanya Guru asal yang mampu beri teguran setiap cacat cela yang ada pada gerak geri kita. Segala yang sumbang dan kelemahan hanya sekilas pandang dapat Guru menduga dan memperbaiki diri.

Perangai Guru sememangnya tidak mencurah hanya kepada seorang. Setiap murid akan beroleh kelebihan dan kekurangan mengikut kadar kemampuan dan kesetiaan. Sedikit sebanyak pasti ada yang sulit sebagai bekalan untuk yang PALING SETIA. Firasat Guru jarang tersasar. Disaat hayat dipenghujung dikala itu yang paling beruntung. Maka , sentiasalah menadah dengan Guru selagi hayatnya masih ada. Mungkin hanya sedikit penambahan Ilmu, tetapi teguran Guru mampu mengubah gerak geri kita jadi sempurna. 

Oleh yang demikian, selalu lah berdamping dengan Guru. Carilah ruang masa untuk perbaiki gerak geri diri dengan persembahkan di depan Guru. Kesempurnaan itu memang sukar namun ianya mampu diperolehi dengan keazaman dan usaha yang tinggi. Jika terasa gerak geri serta perbuatan Silat itu tidak mampu dipraktiskan atau dengan kata lain, kurang lojik dalam pertempuran, itu sebenarnya adalah kelemahan pada diri kita sediri. Cari jalan dengan mengadap Guru untuk dapat merealisasikan perbuatan yang sebelum ini dianggap mustahil dan tidak masuk akal. Kuncinya adalah kembali mengadap Guru. DISITU ADA JAWAPANNYA. Hargailah mereka kerana BERKAT dan SANAD ILMU itu melalui PERANTARAAN GURU. Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat buat semua.

Wallahua'lam.


1 comment:

  1. pesanan yang bagus dan tepat,rasmi padi,makin tunduk makin berisi..hargailah setiap gurumu..sal silaturrahim buat semua.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...