Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Friday, February 3, 2012

BENGKONG HITAM HARIMAU PELANGI CHULA SAKTI GANGGA NEGARA MILIK MUTLAK MAHAGURU GAYONG

Salamun Alaik,
Pelangi Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negara
Sistem bengkong bagi Silat Seni Gayong mula diperkenalkan pada akhir 1969 di Pusat Latihan Tertinggi, Air Kuning, Taiping,Perak. Selepas itu, Allahyarham Dato' Meor Abd Rahman(ADMAR) mengarahkan Gurulatih-gurulatih kanannya yang terdiri daripada Cg Abdul Majid Mat Isa (merangkap Timbalan Pengarah Pelajaran), Cg Awang Daud, Allahyarham Cg Ahmad Lazim, Allahyarhamah Cg Siti Kalsom dan beberapa guru lagi membantu menyusun dan memperkemaskan lagi sistem bengkong dan susunan pelajaran Silat Seni Gayong agar lebih sistematik dan tersusun. Tahap pelajaran telah disusun mengikut tingkatan bengkong yang dikategorikan mengikut warna yang menggantikan warna bengkong sebelumnya yang hanya berwarna merah,kuning dan hitam.Susunannya seperti berikut;

1. Hitam (asas)
2. Awan Putih
3. Pelangi Hijau
4. Pelangi Merah
5. Pelangi Merah Tinggi (chula 1-3)
6. Pelangi Kuning
7. Pelangi Kuning Tinggi (chula 1-5)
8. Pelangi Hitam Mulus
9. Pelangi Hitam Chula Sakti (1-6)
10.Pelangi Hitam Chula Sakti 7 (Milik Mutlak Mahaguru)
 Bergaya dengan senjata Sundang Lipas (kanan) dan Keris Sepukal Bugis (kiri)
ADMAR bergaya dengan baju silat berlogo WAFAK PERANG GAYONG dan 
bengkong beliau yang berchula 7
Susunan warna bengkong ini telah dipersetujui oleh ADMAR mengikut falsafah dan warna tertentu yg mempunyai maksud tersirat dan rahsianya tersendiri. ADMAR juga telah menggariskan bahawa hanya beliau seorang yang mempunyai HAK MUTLAK untuk memakai Bengkong Pelangi Hitam Chula 7 yang dipanggil HARIMAU PELANGI CHULA SAKTI GANGGA NEGARA. Ini hak Mahaguru dan sesiapa sahaja yang bergelar anak Gayong hanya layak memakai sehingga Pelangi Hitam Chula 6 sahaja!
ada segelintir guru tua yg mengaku ada hak untuk memakai CHULA 7
 tak terkecuali guru muda juga ada mengaku bertaraf hitam chula 7
ADMAR juga ada menyatakan kenapa hanya beliau seorang sahaja yang layak memakai bengkong hitam berchula 7. Sebenarnya, ianya ada kaitan dengan sumpah ketika saat perkhataman beliau di Batu Hitam. Untuk mengetahui lanjut tentang kisah ini dan apakah kandungan SUMPAH tersebut, berjumpalah guru-guru tua yang banyak berdamping dengan ADMAR kerana ada sesetengah cerita dan ilmunya hanya untuk guru-guru kanan yang benar-benar layak dan yang paling dipercayai. Bagaimana untuk mengenali guru-guru yang dapat kepercayaan ADMAR ini? Amat mudah sebenarnya. Carilah guru yang ADMAR pernah melantik sebagai Pengarah/Timbalan Pengarah Pelajaran, Ketua Waris Lembaga Adat,Apit Jinjang Mahaguru, Sandang Panglima Singa Malaya (hanya 7 org sahaja sewaktu hayat ADMAR) atau yang pernah dianugerahkan bengkong Pelangi Hitam Chula Sakti 4 dan ke atas ( tidak lebih dari 10 orang ). Merekalah orangnya yang patut dan layak untuk dirujuk. Jangan sesekali terpengaruh dengan senioriti semata-mata atau guru yang mendakwa pernah mendakwa dapat itu dan ini daripada ADMAR. Sebenarnya, ADMAR amat tegas dan berhati-hati dalam melantik atau menganugerahkan sesuatu buat muridnya. Berbeza di zaman ini  yang mana berlambak-lambak guru yang melilitkan bengkong hitam chula 6 dan memakai sandang yg tinggi-tinggi. Kebanyakkannya diberi atas faktor senioriti dan sumbangan kepada pertubuhan. Fikir-fikirkanlah.......

Hormati HAK MAHAGURU. BERADAB lah dengan GURU. Secara asasnya, Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negara milik Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim membawa maksud Silat Seni Gayong bersendikan adat. Adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatannya. Oleh itu, telah menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar halatuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diseleweng dan dapat dipertahankan keasliannya.

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...