Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Tuesday, February 11, 2014

ALAH ILMU PADA PETUA

Salamullah Alaikum;

Kita sering mendengar KALAM GURU yang menyebut "ALAH ILMU PADA PETUA, ALAH PETUA PADA RASA, ALAH RASA PADA SIRR, LENYAP SIRR DALAM NUR".

Kata-kata ini sebenarnya amat tinggi maksud yang ingin disampaikan yang merangkumi zahir dan batin diri seseorang. Cuma, dikesempatan ini, penulis ingin berkongsi akan maksud "ALAH ILMU PADA PETUA" sahaja. Biarlah yang selebihnya dikongsikan oleh Guru yang benar-benar ahli dalam keilmuan tersebut.

ILMU boleh didefinasikan sebagai suatu PENGETAHUAN @ KEPANDAIAN ATAU PERSEPSI YANG JELAS DALAM MENJELASKAN AKAN SESUATU HAL BERDASARKAN MAKLUMAT YANG DITERIMA MELALUI PANCAINDERA YANG LIMA.Secara asasnya PETUA itu juga adalah ILMU. Namun begitu, PETUA ini adalah satu bentuk ILMU yang telah dibuat kajian atau pemerhatian berdasarkan pengalaman seseorang yang arif dalam sesuatu BIDANG ILMU. Dengan kata mudah, ianya dipanggil "KEPUTUSAN ILMU" atau "RAHSIA ILMU" yang mana ianya bersifat memudahkan kefahaman dan singkatkan tempoh seseorang dalam menguasai sesuatu kemahiran dalam sesuatu bidang atau disiplin Ilmu.

Dalam konteks Silat, seseorang pengamal Silat mungkin mengambil masa yang agak lama untuk menguasai sesuatu pelajaran jika mengikut kaedah pembelajaran secara biasa.Tetapi jika mereka diajarkan dengan PETUA, InsyaALLAH, mereka lebih mendapat KEFAHAMAN DAN DAPAT MENGUASAI disiplin Ilmu itu dengan lebih cepat.

Begitulah bezanya antara ILMU DAN PETUA, walaupun membawa definisi umum yang sama tetapi secara spesifiknya amat ketara perbezaannya. Ini kerana setiap selok belok ILMU itu ada KESIMPULANNYA pada PETUA. Walau bagaimana hebat pun pukulan dan serangan ILMU, PETUA pasti ada penangkis dan pemusnahnya. 

Bagi seorang Guru, mereka pastinya tidak "lokek" untuk mengajarkan Ilmu buat sesiapapun kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Namun untuk memperturunkan PETUA, Guru tersebut perlu memilih yang benar-benar layak bersandarkan firasat dan keilmuan mereka.Langkah sedemikian amat penting kerana mereka menanggung suatu AMANAH yang tinggi untuk menurunkan PETUA ini hanya kepada MURID YANG BENAR-BENAR LAYAK dan sesekali tidak membocorkan RAHSIA ILMU @ PETUA ini kepada yang sebaliknya. Jika tersilap langkah, ianya boleh diibarat umpama mengalungkan rantai mutiara di leher seekor babi!!!

Untuk memastikan seorang Guru itu memilih kita sebagai PEWARIS bagi sesuatu Disiplin Ilmu, maka hiasilah diri kita dengan NIAT YANG SUCI dan sarunglah tubuh dengan PAKAIAN ADAB yang tinggi.

Semoga perbincangan yang sedikit ini mampu memberi kefahaman dan manfaat buat semua. Wallahua'lam.


Friday, February 7, 2014

DEADLIFT: MAMPU MEMBINA KEKUATAN OTOT YANG SEPADU DAN MENYELURUH

Salamun Alaik;

Ukuran Kekuatan Deadlift: Angkatan Beban perlulah mencapai 2 kali jisim tubuh

Deadlift merupakan salah satu daripada latihan angkat beban yang mampu meningkatkan KEKUATAN OTOT SECARA MENYELURUH DAN BERSEPADU. Ini kerana deadlift termasuk dalam latihan yang bersifat "compound" iaitu yang melibatkan pergerakan yang melebihi 2 sendi utama dan juga melibatkan pelbagai kumpulan otot.Deadlift digelar sebagai "King of Workouts" kerana latihannya melibatkan kumpulan otot yang paling banyak berbanding senaman latihan angkat beban yang lain. Hanya pelatih yang mempunyai kekuatan otot yang bersepadu dan menyeluruh sahaja yang mampu membuat angkatan beban deadlift yang berjisim besar. Rekod dunia telah dicatat dengan angkatan seberat 500kg!

Merujuk kepada kajian saintifik, seseorang pelatih dewasa itu boleh dikategorikan sebagai mempunyai kekuatan otot yang bersepadu bilamana mereka mampu membuat angkatan deadlift sekurang-kurang 2 KALI GANDA daripada jisim tubuh seseorang. 

3 Fasa deadlift

Otot yang terkesan daripada latihan deadlift ini seperti berikut;

Torso (Front Abdomen )
Rectus abdominis (under aponeurosis)
Abdominal external oblique muscle
Abdominal internal oblique muscle

Torso (Back)
Iliocostalis
Intertransversarii laterales lumborum
Latissimus dorsi
Levator scapulae
Longissimus
Quadratus lumborum
Rhomboideus major
Serratus posterior superior
Serratus posterior inferior
Splenius cervicis
Teres Major
Trapezius muscle

Legs
Quadriceps
Rectus femoris
Vastus lateralis
Vastus intermedius
Vastus medialis

Hamstrings
Biceps femoris muscle (long head,short head)
Semitendinosus
Semimembranosus

Hips
Gluteal muscles (Gluteus maximus,Gluteus minimus)
Piriformis
Superior gemellus

Forearms
Flexor digitorum profundus


Konteks Silat Seni Gayong
Di zaman Allahyarham Dato Meor Rahman, beliau sendiri pernah menguji beberapa murid beliau dengan UJIAN KEKUATAN yang mana pesilat itu perlu mengangkat beban yang diperbuat daripada konkrit yang diikat pemegang padanya dengan beban melebihi 200 pauns. Kaedah yang diterapkan oleh Allahyarham secara tidak langsung hampir menyamai dengan kesan latihan seperti deadlift ini. Objektifnya ialah untuk MENGUKUR TAHAP KEKUATAN OTOT seseorang itu. Mengambil iktibar daripada kaedah ini dan keberkesanannya dalam menguji kekuatan otot secara sepadu dan menyeluruh, maka amat wajar sekali dibuat satu syarat untuk kenaikan bengkong Gurulatih Silat Seni Gayong dalam menguji aspek kekuatan otot ini dengan cara peserta perlu mengangkat beban secara deadlift sekurang-kurangnya melebihi 2x jisim tubuh mereka. Kaedah ini amat penting kerana Bengkong Gurulatih perlu dipakai oleh yang benar-benar layak dari semua aspek termasuklah memiliki kumpulan otot yang kuat secara menyeluruh!

Wallahua'lam.

Tuesday, January 21, 2014

MENJAGA AMANAT GURU

Salamun Alaik;


Termasuk dalam MENJAGA AMANAT GURU adalah mengajar murid mengikut peringkat dan kemampuannya. Setiap ILMU dalam GAYONG ada IKRAR dan SUMPAHnya terutamanya yang telah ditetapkan sebagai ILMU peringkat GURU seperti Seni Cendai, Seni Yoi, Seni Belian, Seni Sundang Lipas, Seni Kipas Nandung dsbnya.

Mutakhir ini, ramai GURULATIH yang mengabaikan AMANAH ILMU. Murid berbengkong seawal Hijau, Merah dan Kuning dan diajari mereka dengan Ilmu2 sebegini. Kita dapat melihat antaranya yang berbengkong Merah dah mula mengikat dan menebar Cendai manakala yang Kuning mula menghayun Sundang (banyak lagi sebenarnya).Di manakah salah dan silapnya? Adakah wang yang menjadi tagihan? atau mencari pengaruh untuk dilihat sebagai jurulatih yang berwibawa? ataupun sebab mengabaikan ADAB kita sebagai MURID kepada ADMAR?

ADAT adalah PERATURAN atau UNDANG2........ dlm ADAT GAYONG itu sendiri telah digazetkan oleh ADMAR apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Selagi ianya tidak melanggar SYARIAT, maka ikutilah ADAT ini kerana ia sebahagian daripada ADAB kita dengan GURU dan ILMU itu sendiri. Pemikiran moden sering menidakkan garis panduan ADAT atas alasan ianya bersifat kolot dan tiada relevan, namun jika diamati setiap ADAT atau "PERATURAN LAMA" ini terkandung 1001 Rahsia disebalik Rahsia! Kadang-kadang ia terjadi kerana BAHANA "membuang" GURU.Secara tidak sedar diri telah terpesong dari landasan yang lurus. "ILMU YANG BERKAT PASTINYA MEMBERI MANFAAT, MANAKALA ILMU YANG TIADA BERKAT WALAUPUN NAMPAK BERISI PADAT TETAPI TERKANDUNG DALAMNYA MUDHARAT".

Wassalam

Monday, January 6, 2014

TOLAK LINTANG : GERAK GERI DAN SIFAT GERAK

Salamun Alaik;
 Tolak Lintang Terbang oleh Arwah Cg Ahmad Lazim
Penulis menunjukkan gaya tendangan Tolak Lintang

Tolak Lintang atau istilah lainnya Tendang Juring merupakan tendangan yang mempunyai impak yang paling tinggi berdasarkan kajian sainstifik. Namun perbuatan geraknya agak kompleks untuk mendapatkan kesempurnaan kerana melibatkan banyak sifat gerak yang perlu dikuasai terlebih dahulu supaya elemen keseimbangan, paduan daya, momentum, kepantasan dan kuasanya di tahap yang tinggi. Bagi memastikan kesemua elemen tersebut dikuasai, tiada jalan pintas selain daripada latih tubi dan mendapat tunjuk ajar Guru yang dapat memberi bimbingan teknik yang tepat.

Secara teorinya, untuk melaksanakan tolak lintang yang sempurna terdapat 7 peringkat dengan setiap peringkat ada sifat gerak dan petuanya. 7 peringkat tersebut adalah;

1. Sedia @ Pasang
2. Angkat
3. Kisar Tapak
4. Tendang
5. Tarik
6. Kisar Tapak kembali
7. Tunggu @ Awas

1. Sedia @ Pasang
Pesilat perlu arif tentang RAHSIA JARAK, GARIS SIMETRI, PENANDA GERAK, ISYARAT GERAK, PETUA ANGIN dan PANDANGAN.

2. Angkat
Paras angkatan lutut dan sudut tertentu memainkan peranan.

3. Kisar Tapak
Rahsia dalam mendapat jumlah momentum yang tinggi sewaktu menendang. Perlu menguasai keseimbangan dan kisaran mengikut sudut yang betul.

4. Tendangan
Memerlukan otot yang kuat,kenyal dan lentur supaya dapat melaksanakan tendangan yang kuat dan pantas untuk menghasilkan kuasa yang tinggi. Ketepatan dan jarak tendangan juga merupakan faktor yang penting. Haruslah mengikut gerak dan postur yang tepat ( termasuklah kedudukan tangan) secara biomekaniknya kerana pesilat pada kedudukan ini hanya bertapak dengan sebelah kaki sahaja. 

5. Tarik
Tarik kembali tendangan perlu sebagai tindakan susulan dan langkah berwaspada daripada serang balas pihak lawan. Ianya bersifat menutup sasaran lemah tubuh dan juga keadaan yang membolehkan pesilat membuat serangan balas seterusnya.

6. Kisar Tapak 
Kembali kepada kedudukan awal tetapi pesilat perlu berwaspada dan mahir mengawal keseimbangan dan berat tubuh.

7. Tunggu @ Awas
Sentiasa berwaspada dengan gerakan balas pihak lawan dan kembali kepada sifat pasang.

Sifat Gerak Tolak Lintang ini haruslah dikuasai secara latih tubi dan sentiasa mempraktikkannya dengan teknik yang betul. Setelah mahir, pastinya sifat gerak yang tujuh ini bersatu membentuk satu gerakan sahaja dan mempunyai kepantasan, kuasa, keseimbangan, ketepatan dan daya momentum yang tinggi.

* banyak kesilapan berlaku sewaktu menendang, tangan diletakkan di daerah penyawa dengan menganggap ianya satu kaedah untuk melindunginya daripada serangan pihak lawan. Namun begitu, keadaan sebegini telah menyalahi gerakan dalam aspek biomekaniknya yang melibatkan keseimbangan daya dan seterusnya mengganggu kepantasan dan nilai momentum. Awas tangan bukan bermaksud meletakkan tangan di penyawa tetapi sekadar bersedia untuk menangkis jika ada serangan balas musuh. Silap haribulan, tangan kita yang terketuk penyawa sendiri!

Wallahua'lam.


Saturday, January 4, 2014

DOA NABI KHIDIR AS

Salamullah Alaikum.
Penulis bergambar kenangan di kaki Bukit Panau, Tanah Merah,Kelantan.

Dalam Amalan Gayong terdapat salah satunya Amalan yg bersanadkan daripada Saidina Ali kwh yg bersumberkan Nabi Khidir as. Jadi yg ragu2 berkaitan Nur Muhammad,Nabi Khidir as, Tawassul, Mimpi, Yaqazah dsbnya tidak perlulah mempertikaikan pihak yg mempercayainya kerana kami ADA DALIL kami sendiri kerana Ijtihad tidak membatalkan Ijtihad.

Wallahua'lam.

Friday, January 3, 2014

SOAL JAWAB : APA KAITAN NENEK KEBAYAN DALAM ADAT SILAT SENI GAYONG?

Salamun Alaik;
Minda manusia kebanyakkan telah dipengaruhi dengan 
imej Nenek Kebayan seperti gambar di atas.

Soalan:
Salam tuan. Nama saya xxxxxxxxx dan saya bergelanggang di xxxxxxxxxx. Saya ada seorang kawan yang bekerja di Ipoh dan kami sering bersembang dan bertukar pandangan melalui fb tentang Silat Seni Gayong.. Banyak hal yang saya perolehi daripada perkongsian ini dan ada beberapa isu yang saya agak keliru terutamanya tentang nenek kebayan yang Cg Amin sebutkan sewaktu kawan saya mandi seni tempoh hari. Memandangkan tuan merupakan murid kepada Cg Amin jadi saya nak dapatkan penjelasan serba sedikit tentang isu ini. Siapa nenek kebayan tu? adakah Silat Seni Gayong ni ada mengamalkan ilmu seru-menyeru? Bila saya bertanya kepada Jurulatih saya (berbengkong hitam chula 6, namanya saya rahsiakan), beliau kata itu semuanya karut. Harap tuan dapat beri pencerahan.

Jawapan;
Wslm.Agak "rare" soalan tuan ni. Dalam hal ini, pertama sekali saya ingin menekankan, dalam Keilmuan Silat Seni Gayong, terdapat banyak pecahan Ilmu yang perlu kita belajar, dalami dan kuasai. Ia bukan hanya tertakluk kepada pelajaran yang ada dalam sukatan pelajaran sehingga dapat bengkong hitam. Sukatan Pelajaran tidak dapat "menceritakan" kesemuanya terutamanya yang menyentuh soal PETUA, AMALAN dan HAL KEROHANIAN GAYONG. Sedangkan "BATIN GAYONG" inilah yang merangkumi 60% Keilmuan Gayong itu sendiri. Mengambil contoh PETUA, pernahkah tuan jumpa atau belajar secara khusus dalam gelanggang?semestinya tidak. Kebiasaanya ianya diperolehi melalui bicara Guru, atau Kursus secara khusus dan yang pasti bukanlah kesemua murid dipilih untuk diperturunkannya. Catatan secara tidak rasmi (koleksi saya sendiri), terdapat lebih 100 PETUA di dalam Keilmuan Silat Seni Gayong ini.

Dengan kefahaman ini, tuan seharusnya telah faham yang mana, segala PETUA, AMALAN dan HAL KEROHANIAN GAYONG ini perlu dipelajari secara berdepan dengan Guru. Sepatutnya, isu ini tidak perlu diperdebatkan @ dibincangkan di dalam media laman sosial seperti fb dsbnya. Bagi saya, ianya melibatkan SOAL ADAB @ AKHLAK KITA DENGAN GURU DAN JUGA ADAB DENGAN ILMU. Sekiranya kawan tuan ada keraguan, seharusnya beliau bertanyakan Cg Amin secara direct atau Jurulatih-jurulatih beliau terlebih dahulu. ADAB inilah sebenarnya "pakaian" kita selaku MURID.Tanpa ADAB, Ilmu pastinya tiada berkat.

Berkenaan dengan isu NENEK KEBAYAN ini, pertamanya saya ingin tegaskan TIADA UNSUR MISTIK DAN SYIRIK dalam amalan ADAT SILAT SENI GAYONG. Tiada unsur seru-menyeru dan tiada campurtangan atau perkaitan dengan jin sama sekali! Keduanya, tentang jurulatih tuan yang mengatakan KARUT itu sebenarnya adalah KELEMAHAN DARI PIHAK BELIAU SENDIRI. Bengkong Hitam Chula 6 kini bukan lagi sebagai INDIKATOR kepada PAKAR RUJUK ILMU dan KEFAHAMAN TENTANG ADAT! Sistem Bengkong Gayong sudah rosak dengan kerakusan sikap TAMAK AHMAK dan MENGEJAR PENGARUH (maaf kerana saya terpaksa berterus terang dalam soal ini).

Siapa Nenek Kebayan?

Mengikut disiplin Keilmuan Silat Seni Gayong, Nenek Kebayan atau namanya Dang Inangseh dengan gelarannya Puteri xxxxxxxxxx (sila tanya Wakil Mandi) merupakan Puteri kepada seorang Wali Besar Tanah Jawi yang bernama Syed Thaunudin bin Sayyid Ahmad Syah (Sang Adi Putera @ Panglima Hitam). Beliau merupakan PAKAR dalam ILMU KEBIDANAN DAN RAWATAN HERBA DAN BUNGA_BUNGAAN (dipelajari dari Ayah beliau).Sanad Ilmu beliau termasuklah dalam Rawatan Mandi Bunga yang berkonsepkan Getaran dan Frekuensi Warna yang diperturunkan dari zaman ke zaman sehinggalah dalam ADAT GAYONG juga menggunakan AMALAN MANDI BUNGA INI. Jadi salahkah seorang WAKIL MUTLAK @ MANDI menceritakan serba sedikit atau menganjurkan amalan sedekah bacaan Al-Fatihah buat "Nenek Kebayan" ini? Masih banyak RAHSIA yang belum saya kupas dalam isu ini, tetapi rasanya cukuplah sekadar ini dahulu buat pencerahan tuan.

Nasihat saya buat tuan, sentiasalah memakai pakaian "ADAB" dalam menuntut Ilmu dan BERSANGKA BAIK lah kepada Guru kerana ianya adalah KUNCI kepada Berkatnya Ilmu, Kefakihan dan Terbukanya Pintu Hikmah.

Teringat kata-kata dari Ayahanda Cikgu Amin, "Waktu Arwah hidup tak ramai yang datang bertanya, bila Arwah dah tiada,baru terasa rugi bila tak tahu".


Wallahua'lam.

Friday, December 27, 2013

ISIM BUDDUH

Salamun Alaik;
Wafak Isim Budduh

Isim Budduh terkenal sebagai amalan TERAHSIA dalam Ilmu Kebatinan Silat Seni Gayong. Ia merupakan "pakaian diri" bagi seorang Guru yang memiliki bengkong hitam Harimau Pelangi Chula Sakti dan telah KHATAM beberapa amalan dan wirid tertentu. Isim Budduh ini antara "isi" dalam Ilmu Kipas Nandung dan ianya juga turut dibaca sebagai DOA dalam beberapa Majlis Adat antaranya ketika limau yang dipotong masuk ke dalam lilitan akar sintuk untuk diangkat sebagai "anak angkat".

Sebenarnya terlalu banyak ILMU HIKMAH terkandung di dalam amalan Isim Budduh ini dan semestinya ia menjadi RAHSIA buat si pengamalnya. Namun begitu, ramai juga yang meragui makna atau maksud Budduh itu sendiri. Pelbagai andaian yang dilontarkan berdasarkan "agak-agak" dan "rasa-rasa" mengikut kedangkalan ilmu mereka sendiri. Hal ini juga turut berlaku kepada amalan Ayat 9 dalam bab tawassul. 

"Sesungguhnya manusia itu sentiasa menjadi musuh kepada hal yang mereka tidak ketahui." dan "Manusia itu sering menentang sesuatu yang mereka rasakan tiada memberi manfaat atau membawa ancaman kepada mereka".

Makna Budduh

Bagi mengelakkan kekeliruan dan kurangnya kefahaman akan makna sebenar Budduh ini sehinggakan ada segolongan yang menafikan amalan ini dengan mengatakan ianya menyeru jin dan sebagainya, maka disini penulis ingin berkongsi maksud sebenar akan istilah Budduh ini. 

Dalam bahasa Arab "pasar", Budduh ini membawa maksud "Yang Menyegerakan Permintaan". Semestinya, ianya merujuk kepada ALLAH SWT. Dan kalimah Budduh ini memang sebenarnya merujuk kepada ALLAH SWT dalam bahasa Sanskrit! Ini menunjukkan Ilmu Gayong ini merupakan "Ilmu Tua Bangsa Melayu" yang diwarisi sejak dahulu kala dan ianya berlandaskan kepada Akidah yang suci.


isim-budduh-dan-kipas-nandung
soal-jawab-isu-menyeru-malaikat-dalam

Wallahua'lam.


Thursday, December 26, 2013

KELEBIHAN BERSELAWAT

Salamun Alaik;
 
Adat Buka @ Tutup Gelanggang Silat Seni Gayong

Dalam Keilmuan Silat Seni Gayong, Amalan Berselawat ke atas Baginda RASULULLAH SAW termasuk dalam amalan kerohanian yang disarankan bagi setiap GURU dan MURID GAYONG. Umumnya kita dapat melihat amalan BERSELAWAT ini diamalkan ketika AMALAN BUKA DAN TUTUP GELANGGANG dan ketika AKAD bagi ADAT tertentu. Amat bertuahlah bagi seorang GURU dan IMAM GELANGGANG yang sering menjalankan ADAT BUKA GELANGGANG kerana mempunyai ruang dan masa untuk sentiasa meminta anak-anak Gayong yang di bawah jagaannya untuk sama-sama BERSELAWAT.


Di kesempatan ini, penulis ingin kongsikan 30 kelebihan dan keajaiban SELAWAT ke atas NABI MUHAMMAD SAW;

1) Sabda Rasullah SAW : Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat keatasnya 10 kali ganda - (HR Muslim.)

2) Allah akan hapuskan dosa2 kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu. 

3) Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insya Allah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita. 

4) Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh. 

5) Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah. 

6) Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu. 

7) Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain. 

8) Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi. 

9) Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, dan sebagainya dalm dirinya. 

10) Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, Insya Allah akan beroleh kebahagiaan samada di dunia mahupun di akhirat. 

11) Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain. 

12) Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran. 

13) Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya. 

14) Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup. 

15) Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana. 

16) Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah. 

17) Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya. 

18) Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan. 

19) Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.

20) Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut2, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW. 

21) Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari. 

22) Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, InsyaAllah akan dihapuskan dosa2 kecil seseorang. 

23) Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya. 

24) Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmatnya. 

25) Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain. 

26) Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya. 

27) Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib. 

28) Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan. 

29) Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - HR Abu Naim. 

30) Sabda Nabii SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat - HR Thabrani

[dipetik dari www.facebook.com/DrAsmadi]

Wassalam.

Wednesday, December 18, 2013

SENAMAN PILIHAN : LATIHAN ANGKAT BEBAN

Salamun Alaik;
Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman mempamerkan tubuh sasa beliau.

Allahyarham Dato' Meor diapit oleh Cg Majid (kanan) dan Cg Awang Daud (kiri)

Latihan angkat beban amat berkesan untuk meningkatkan prestasi seseorang dalam aspek KEKUATAN OTOT, KUASA OTOT DAN DAYA TAHAN OTOT. Di samping itu, latihan angkat beban mampu menambahkan SAIZ OTOT dan membuang lemak badan sekiranya mengikut kaedah latihan dan diet yang betul serta rehat yang mencukupi. Otot-otot utama yang diberikan fokus bagi latihan angkat beban seperti;

1. Biceps
2. Triceps

3. Forearm (lengan)

4. Deltoid (Bahu)
5. Trapezius + Back (Belakang)
6. Lattisimus Dorsi (Kepak)
7. Pectorolis Major (Dada)
8. Rectus Abdominis (Abdomen)
9. Gluteus (Punggung)
10. Quadriceps + Hamstring (Peha)
11. Gastrocnemius (betis)

Terdapat beberapa istilah yang lazim digunakan dalam latihan angkat beban seperti ULANGAN, SET, INTENSITI DAN TEMPO.


Ulangan bermaksud fasa lengkap perbuatan mengangkat,menarik atau menolak beban.

Set merujuk kepada jumlah ulangan tertentu mengikut objektif latihan samaada untuk kekuatan otot,besarkan otot,daya tahan otot,stamina,membakar lemak atau sekadar mengekalkan kecergasan tubuh. Terdapat 3 kumpulan SET yang utama dengan 3 objektif yang berbeza seperti;

1. Kekuatan : Set yang melibatkan intensiti 80-90% daripada beban maksimum dengan ulangan 2-6 kali.

2. Kekuatan dan Besarkan Otot (hypertrophy) : Set yang melibatkan 70-90% daripada beban maksimum dengan ulangan 6-12 kali.

3. Daya Tahan Otot dan Stamina : Set yang melibatkan 40-60% daripada beban maksimum dengan ulangan 12-24 kali.

Intensiti pula adalah rintangan atau kerja yang perlu diatasi oleh otot samaada jumlah berat bebanan dan waktu rehat antara ulangan atau set.

Tempo merupakan masa yg diambil ketika melakukan setiap fasa ulangan yg melibatkan gerak essentrik,rehat dan konsentrik.

Allahyarham Dato' Meor Rahman di zaman muda.

Bentuk Latihan

Setiap individu pula berbeza bentuk latihannya. Banyak faktor fisiologi yang mempengaruhi kesan latihan seseorang seperti jenis otot, kadar hormon, metabolisme, umur dan jantina.Terdapat pelbagai bentuk latihan yang disusun melalui kajian dan pemerhatian dalam menjana kekuatan, membesarkan otot dan menambahkan daya tahan otot.Antaranya seperti; Drop Sets, Super Sets, Giant Sets, Pyramid Sets, Split Training dll.Selain itu,kajian juga perlu dilaksanakan secara terperinci bagi setiap individu untuk mengenalpasti tempoh rehat antara set dan routine,jumlah set dan ulangan bagi setiap disiplin,bila tubuh mencapai overtraining dsb nya.

Pelatih juga perlu merekod setiap perubahan pada tubuh seperti Saiz Otot, Peratusan Lemak, Tenaga dan Stamina agar bentuk latihan yang sedang dilakukan itu berkesan atau tidak.

Bergambar kenangan bersama alatan barbell dan dumbbell

Diet dan Rehat

Hal yang penting selain melakukan latihan mengangkat beban ini ialah Diet dan Rehat yang mencukupi.Pengambilan Nisbah Kelas Makanan mestilah dalam nisbah yang tepat antara Karbohidrat,Protein dan Lemak (sbg contohnya 4:4:2. Apapun setiap pengambilan diet mestilah merujuk kepada Jumlah Kalori Harian bagi setiap individu. Bagi memastikan otot dapat dibina dan diperbaiki dengan sempurna, rehat yang secukupnya amat diperlukan kerana otot bukan dibina ketika makan atau sedang melakukan latihan tetapi sewaktu seseorang itu tidur dan rehat dengan sempurna.

Susuk tubuh Cg Awang Daud dan Arwah Cg Man Sundang

Dalam Silat Seni Gayong,Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman banyak menekankan latihan angkat beban buat Gurulatih-Gurulatih beliau supaya mereka sentiasa kelihatan sasa dan memiliki otot yang kuat selain hebat dalam berpencak.Arwah dan Guru-Guru Tua telah menunjukkan contoh dalam hal ini,maka kita selaku pewaris generasi muda seharusnya mengikuti jejak mereka selaku Pendekar Gayong yang lengkap dari semua aspek termasuklah memiliki susuk tubuh yang sasa dan kuat. 


Penulis berposing selepas latihan angkat beban.

Wallahua'lam.

Friday, November 29, 2013

SAIZ DAN UKURAN BENGKONG

SalamuLLAH Alaikum;
Penulis (kiri) mengenakan bengkong dengan Ikatan Cendai

Sistem Bengkong dalam Silat Seni Gayong berfungsi sebagai indikator TAHAP PENGUASAAN PELAJARAN berdasarkan SILIBUS bagi si pemakainya. Bermula daripada Hitam Mulus dan seterusnya Awan Putih, Pelangi Hijau, Pelangi Merah, Pelangi Merah Chula, Pelangi Kuning, Pelangi Kuning Chula dan Harimau Pelangi Chula Sakti. Namun, disebalik itu, Bengkong juga berperanan sebagai pelengkap kepada busana pendekar dan sebagai SENJATA SULIT dikala berlakunya kecemasan.

Saiz dan Ukuran sebenar?

Dalam Keilmuan Gayong, terdapat saiz dan ukuran yang tertentu mengikut diri pemakainya dan juga jenis kain serta kaedah ikatannya samaada IKATAN SELADANG BERJUANG ataupun IKATAN CENDAI.
Terdapat ukuran tertentu seperti SELEBAR DAUN, SETAPAK, SEJENGKAL, SEHASTA, SEDEPA dan SELIPATAN.

Penulis (kanan) dengan Ikatan Seladang Berjuang. 
Ikatan Bengkong yang sempurna juga membantu dalam aspek keseimbangan.

Apakah Rahsianya?

Sudah tentunya setiap saiz dan ukuran ini ada maksud yang tersirat dan tersimpan pelbagai rahsia buat si pemakainya. Salah satunya (bukan satu-satunya) yang dapat dikongsi di sini, bagi Ikatan jenis Cendai adalah;

1. Ukuran panjang yang TEPAT dapat menyempurnakan lilitan di pinggang beserta simpulannya.

2. Saiz Lebar yang SESUAI dapat menampung dan mengikat bahagian abdomen dan pinggang dalam membantu keseimbangan, sistem pernafasan dan aliran tenaga sewaktu melakukan aktiviti fizikal.

3. Lebar dan Kepanjangan yang SEMPURNA dapat membantu PERBUATAN dan PERGERAKAN bengkong tersebut sebagai SENJATA CENDAI.

Kesimpulannya, setiap pakaian yang disarung atau dililit di tubuh kita ada Maksud dan Rahsianya yang tersendiri. Keilmuan Gayong menyimpan RAHSIA ini yang amat berkait dengan ILMU HIKMAH RAHSIA SIMETRI dan NISBAH EMAS. Apakah yang dimaksudkan dengan RAHSIA SIMETRI dan NISBAH EMAS ini? Jawapannya ada pada PENDITA GURU. Ayuh sama-sama kita mempelajarinya.

Wallahua'lam.

Thursday, November 28, 2013

KURSUS KEGURULATIHAN SILAT SENI GAYONG SIRI KE-11

SalamuLLAH Alaikum;

Bergambar kenangan peserta-peserta kursus bersama Ayahanda Amin Hamzah

Pada 22-24hb November 2013 bertempat di Markas Dewan Ulamak (MADU), Machang, Kelantan, telah berlangsungnya Kursus Kegurulatihan Silat Seni Gayong Siri ke-11 anjuran Gayong Serantau Kelantan. Ayahanda Amin Hamzah selaku Guru Tua merangkap Penasihat Pelajaran Majlis Gurulatih Kelantan telah dijemput seperti siri-siri yang lepas sebagai Tenaga Pengajar bagi peserta-peserta kursus. Kursus ini juga sebenarnya diadakan serentak dengan Kursus Pemantapan Ilmu dan Asas Pembantu Jurulatih yang disertai oleh pembantu jurulatih yang dipilih dari 7 gelanggang yang berbeza.

Pengisian kursus kali ini berfokus kepada;

1. Pemantapan Ilmu pelajaran dasar
2. Pecahan Pelajaran 
3. Aplikasi Pelajaran
4. Seni Tempur Gayong : Gerak Lapis
5. Seni Keris : Falsafah, Maksud dan Cerita di sebalik Gerak Keris
6. Senaman Gayong beserta Nafas Melayu
7. Ilmu Gerak Bayang : Mengasah Ketajaman Mata Hati

Penulis selaku Pengerusi Majlis Gurulatih Gayong Serantau Kelantan amat optimis dalam melahirkan Jurulatih @ Gurulatih yang berdedikasi dan berKUALITI dalam semua aspek terutamanya dari sudut PENGUASAAN PELAJARAN.InsyaALLAH, kursus siri ke-12 akan diteruskan pada tahun hadapan.

Wassalam.


Thursday, November 21, 2013

SILAT SENI GAYONG : ILMU vs PELAJARAN SILIBUS

Salamullah Alaikum;

Teras utama bagi suatu organisasi Silat adalah PELAJARANnya. ADAT pula sebagai SIMBOL KUASA DAN AMANAH manakala PENTADBIRAN berkait soal mengurus selia hal ehwal organisasi. Bila berbicara soal pelajaran Silat, seringkali berlaku perselisihan pendapat antara ILMU SILAT dengan PELAJARAN SILIBUS SILAT.

Sebenarnya ILMU SILAT bersifat universal, fleksibel dan sentiasa bercambah kerana ILMU itu sendiri sifatnya tiada berpenghujung. Semakin banyak Ilmu yang dipelajari maka semakin jelas lompong-lompong pengetahuan yang belum difahami dan menuntut untuk terus belajar dan belajar.

MAKSUD PELAJARAN SILIBUS

Pelajaran Silibus pula merujuk kepada segala Ilmu yang pernah diajar dan ditunjukkan oleh Allahyarham Dato Mahaguru sendiri samaada dari gerak fizikal mahupun melalui bicara ataupun menerusi Gurulatih-Gurulatih Kanan yang telah mendapat perkenan beliau disepanjang hayat Allahyarham Dato Mahaguru. Kesemua Ilmu tersebut disusun secara teratur mengikut suatu sistem pelajaran dengan peringkat bengkong tertentu.Pelajaran Sukatan sememangnya perlu "rigid" agar KETULENAN PELAJARAN DAPAT DIKEKALKAN.

Maka,dengan ini dapatlah kita membezakan di antara ILMU SILAT SENI GAYONG dengan PELAJARAN SUKATAN SILAT SENI GAYONG. Buat masa kini, tiada lagi tambahan pelajaran atau pelajaran2 ciptaan baru di dalam Sukatan Pelajaran Silat Seni Gayong tetapi ILMU SILAT SENI GAYONG sentiasa bercambah dan berkembang merentasi masa dan zaman.

Wallahua'lam.

Thursday, October 17, 2013

SENAMAN GAYONG : KEKUATAN OTOT ABDOMEN DAN PINGGANG

Salamullah Alaikum;
Gambar Hiasan

Dalam latihan Silat Seni Gayong, terdapat pelbagai jenis senaman yang didedahkan merangkumi aspek-aspek kecergasan fizikal seperti kekuatan, daya tahan otot, kuasa, ketangkasan, masa tindakbalas, keseimbangan dan kelenturan. Namun begitu, FOKUS diberikan kepada senaman yang melibatkan OTOT TERAS DAN UTAMA iaitu kumpulan otot di bahagian abdomen dan otot pinggang.

Kenapa OTOT ABDOMEN DAN PINGGANG diberikan perhatian?

Di sinilah KUNCI kepada kekuatan otot-otot utama yang lain. Memiliki otot abdomen dan pinggang yang KUAT, DAYA TAHAN YANG TINGGI dan LENTUR mampu memberi faedah yang amat berguna kepada pengamalnya. Antara faedah-faedahnya seperti;

1. Mampu bertapak dengan lebih stabil dan seimbang. 

2. Sukar untuk tumbang walaupun berdiri sebelah kaki atau bertapak songsang.

3. Keupayaan tumbukan dan tendangan menjadi lebih kuat dan efisyen.

4. Berupaya mengunci tubuh dari dikunci pihak lawan ( PETUA ) dan pelbagai lagi kelebihannya.

Dalam Senaman Gayong, terdapat lebih 20 teknik senaman yang melibatkan otot abdomen dan pinggang ini. Kebiasaanya, ia digabungkan dengan teknik dan aturan nafas mengikut kepada PETUA NAFAS MELAYU. Walaupun ianya amat "menyeksakan" bagi pelatih-pelatih baru, namun hasilnya cukup lumayan sekali. 

Semoga dengan perkongsian ini, ianya dapat memberi lebih kefahaman dan manfaat buat semua pengamal silat. 


Wallahua'lam.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...