Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Thursday, October 3, 2013

SOAL-JAWAB : SENI YOI

Salamullah Alaikum;
Permainan Senjata amat memerlukan kemahiran YOI

SOALAN;
Boleh jelaskan tentang SENI YOI? Bila seseorang anak Gayong itu boleh mempelajarinya. Maksud saya, diperingkat bengkong apa?

JAWAPAN:
Bagi pandangan saya, SENI YOI merupakan suatu Ilmu yang berkaitan dengan ILMU BERTAPAK, MELANGKAH DAN MENGUASAI JARAK & RUANG. Dengan kemahiran Seni Yoi ini, seseorang pesilat mampu bergerak, mengalih kedudukan, mengelak dari serangan, melakukan serang balas, umpanan dengan cepat dan efektif. 

Soal bila ianya akan diajar, jawapan saya, ianya memang telah diajar secara tidak langsung dalam peringkat asas lagi. SENI YOI memang ADA DALAM PELAJARAN DI PERINGKAT ASAS LAGI sebagai contohnya di dalam ASAS GERAKAN TANGAN KOSONG! Di manakah ILMUnya, itu perlulah mencari GURU. 

Sebagai seorang Jurulatih, saya lebih gemar untuk MEMBERI FOKUS dan MENERAPKAN KEFAHAMAN SENI YOI ini seawal proses pembelajaran dan bukannya mendedahkan secara berasingan. Ini kerana, "SETIAP GERAK SERANG BELA DAN MELANGKAH, DI SITU ADANYA YOI". 


Wallahua'lam.

Friday, August 30, 2013

GERAKAN SENJATA

Salamun Alaik;
Penulis bersama Keris Sundang 

Dalam SISTEM PELAJARAN GAYONG bagi permainan SENI SENJATA, pertamanya anak-anak Gayong akan diperkenalkan dengan SENAMAN SENJATA. Senaman Senjata amat  penting kerana ia menyediakan diri fizikal dan mental anak-anak Gayong dan juga sebagai sesi "taaruf " berkaitan senjata yang ingin dipelajari. Seterusnya, mereka akan diajar dengan kaedah bagaimana untuk mengemudi senjata tersebut disamping diajar bagaimana untuk menyerang, melakukan belaan dan kaedah melangkah yang sesuai bagi setiap senjata yang dipelajarinya.

Dalam proses pembelajaran GERAKAN SENJATA ini, pengisian ILMUnya dibahagikan kepada 4 peringkat;

1. Gerakan 14
2. Gerakan 21
3. Gerakan 36
4. Gerakan 49

Berkaitan angka-angka seperti 14,21,36 dan 49, terdapat FALSAFAH disebaliknya. Apa yang penting, PERINCIAN tentang peringkat GERAKAN SENJATA ini adalah seperti berikut;

1. Gerakan 14 - Didedahkan ASAS Gerakan Serang Bela.
2. Gerakan 21 - Pecahan kepada asas Gerakan Serang Bela ( advance )
3. Gerakan 36 - Gerak Serang Bela mengikut Arah Mata Angin dan Langkahan Yoi.
4. Gerakan 49 - Merangkumi KESEMUA SENI yang ada dalam Seni Senjata tersebut ( Gerak Khatam ).

Wallahua'lam. 

Monday, July 15, 2013

SELAWAT KUNCI KEPADA AKAD @ TAULIAH

Salamun Alaik;

" BismillahirRahmanirRahim, Aku sebagai Wakil Mutlak .................... pada saat dan ketika ini menerima kalian / mentauliah kalian .................. . DENGAN BERKAT SYAFAAT BAGINDA RASULULLAH SAW."

Begitulah secara asasnya Lafaz Akad dalam Adat Silat Seni Gayong ketika proses penerimaan murid baru dan pentauliahan anak Gayong dengan kenaikan bengkong, Sandang Kebesaran ataupun Kuasa Adat. 

Kata Kuncinya adalah " Dengan Berkat Syafaat Baginda Rasulullah SAW". Ianya bukan hal yang remeh temeh. Penerima juga sebenarnya menanggung suatu amanah yang besar. Apatah lagi Pemegang Kuasa Adat atau Wakil Mutlak yang bertanggungjawab untuk memberi "BAIAH" atas berkat Syafaat Nabi SAW.Setiap daripada mereka ini perlukan SANAD yang jelas dan betul kaedah AKAD nya agar "TALI" yang dikandarnya tiada terputus. Selain menerima AKAD yang jelas, mereka juga perlukan suatu AMALAN  @ "PAKAIAN" untuk memelihara SANAD itu terus bersambung tanpa putus. Apakah rahsia amalan tersebut?  Jawapannya adalah SELAWAT kepada SAIYIDUNA RASULULLAH SAW. 

Berapa bilangan yang perlu diamalkan sehari semalam? Jawapannya ada pada diri setiap Pemberi Baiah. Itu urusan mereka. Hal yang penting dan perlu  anak-anak Gayong beri perhatian adalah amalan SELAWAT seharian kita sebagai menyahut ungkapan yang telah kita sama-sama lafazkan iaitu "AKU TERIMA DENGAN BERKAT SYAFAAT BAGINDA RASULULLAH SAW".Secara umumnya, salah seorang Guru yang menerima Amanat dari Allahyarham Mahaguru berpesan, bagi setiap yang bergelar Jurulatih, setidak-tidaknya 1000 kali berSELAWAT  sehari semalam. Bagi yang menanggung AMANAH pula, adalah lebih daripada itu bilangannya. Ia merupakan Rahsia  mereka dengan AKU.

Kesimpulannya, bersempena di bulan Ramadhan yang Mulia ini, marilah kita sama-sama berSELAWAT kepada Junjungan Besar Nabi MUHAMMAD SAW. Sahutlah seruan yang telah kita sama-sama lafazkan. Jadikanlah SELAWAT ini sebagai "pakaian" diri bagi setiap detik, gerak, hembusan nafas dan kerlipan mata kita semua. InsyaALLAH hidup kalian penuh dengan barakah.Janganlah sebab SILAT kalian semua terpaksa berSELAWAT, tetapi SELAWAT lah atas dasar KASIH dan CINTA kepada BAGINDA SAW dengan penuh IKHLAS dan  harapan MENAGIH SYAFAAT BAGINDA di Akhirat kelak. Sesungguhnya SELAWAT ke atas NABI SAW merupakan IBADAT AGUNG dan merupakan tanda kecintaan  kita selaku umat BAGINDA SAW.
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Surah al-Ahzab: ayat 56).



Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]


Wassalam.



Friday, June 28, 2013

ANTARA ILMU GAYONG DAN PELAJARAN SILIBUS GAYONG

Salamun Alaik;
Gambar hiasan

Apa bezanya antara ILMU GAYONG dengan PELAJARAN yang ada dalam SILIBUS GAYONG?

Secara asasnya menampakkan maksud yang sama. Semestinya setiap yang terkandung dalam pelajaran silibus Gayong itu adalah termaktub sebagai Ilmu Gayong. Dan pelajaran silibus Gayong juga digarap daripada Ilmu Gayong itu sendiri. Namun begitu, jika diamati secara lebih halus dan mendalam, dua hal ini sebenarnya AMAT BERBEZA terutamanya dalam aspek SANAD, ADAB dan MATLAMATnya. Halatuju atau "jalan" untuk memperolehinya juga jauh berbeza.

Untuk mendapatkan PELAJARAN GAYONG  secara silibusnya , seseorang itu boleh mendapatkannya dengan pelbagai cara. Ianya boleh secara bergelanggang, mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan oleh mana-mana guru/gelanggang, melalui YouTube, melalui edaran softcopy(boleh tengok melalui komputer@hp dll), sekadar duduk dan menonton di tepi gelanggang, belajar melalui perantaraan (jurulatih tunjuk sesuatu ilmu kepada org lain dgn permintaan kita ). Kadang-kadang main hentam sahaja belajar sedangkan pelajaran yang dipelajari itu sebenarnya hanyalah rekaan-rekaan jurulatih-jurulatih yang tidak beramanah.  Dipenghujungnya, seseorang itu rasa puas kerana telah belajar pelbagai pelajaran dan telah pun memenuhi kesemua pelajaran dalam sukatan pelajaran dari asas sehingga ke hitam. Tanpa disedari, sebenarnya mereka hanyalah tertipu dengan kerakusan kehendak nafsu dan kebodohan sendiri. Hanya mengejar matlamat untuk habiskan pelajaran dalam silibus agar boleh bergelar gurulatih dengan bengkong hitam berchula 6! Tanpa mengendahkan soal SANAD GURU, ADAB ILMU, ADAB BELAJAR (Adab dgn Guru dan Adab sebagai Murid) dan yang terpenting sekali adalah MATLAMATnya untuk MENGENAL EMPUNYA ILMU. Tanpa ini semua, pelajaran di dalam silibus hanyalah bersifat "kulit" sahaja kerana tiadanya "ROH ILMU".Tandanya amat jelas.Semakin mereka belajar, semakin mereka jauh dengan ALLAH SWT. Sifat-sifat yang negatif semakin melekat pada diri seperti bongkak, ego, sombong, cakap besar, memperlekeh orang lain, terasa diri sahaja yang hebat dan betul dan sebagainya. Maka, bagaimana  untuk kita mengenali yang mana satu ILMU GAYONG dan yang mana  PELAJARAN yang sekadar menghiasi Silibus Gayong?

Umumnya, untuk  mendapatkan ILMU GAYONG, maka setiap anak Gayong seharusnya memberikan perhatian yang sewajarnya kepada RUKUN dan SYARAT menuntut Ilmu terlebih dahulu. Apa itu RUKUN BELAJAR? dan apa itu SYARAT BELAJAR?

Rukun Belajar itu terdiri daripada;
1. Adanya GURU yang Alim dan berTAULIAH (bersanad)
2. Murid yang mempunyai tahap kecerdikan akal (ikut tahap) .
3. Ilmu yang sahih (Kitab yang diiktiraf)
4. Istiqamah (Komitmen dan Konsisten)
5. Adanya Majlis (kelas @ gelanggang)
6. Talaqqi ( belajar berdepan dengan  Guru) dan Musyafahah ( Ikut sebutan dan perbuatan Guru)
7. Menjaga Adab.

Syarat  Belajar pula sepertimana yang telah digariskan oleh Allahyarham Mahaguru dalam hal ADAT dan ADAB Gayong itu sendiri seperti;
1. Fatihatul Aurat .
2. Wirid Qulhu
3. Majlis Ikrar Murid Baru (Baiah)
4. Keadaan Wudhuk.
5. Doa Buka dan Tutup Gelanggang 
6. Adat pakaian 
7. Adab Gelanggang (etika gelanggang)


Dengan mengikuti Rukun-rukun dan syarat-syarat belajar diatas  dan disulami dengan  matlamat untuk MENGENAL  DIRI melalui wadah Silat ini, maka dengan saat itu, bertemulah anak-anak Gayong dengan ILMU GAYONG yang sebenar dan bukanlah sekadar belajar pelajaran GAYONG yang bersifat "kosong" dengan matlamat menghabiskan silibus supaya dapat bergelar "GURU". 

Wallahua'lam.

Wednesday, May 22, 2013

ILMU JASMANI DAN ROHANI

Salamun Alaik;
Zikir untuk diamal dan Mentera untuk difahami.

Dalam Keilmuan Gayong, pengamalnya disarankan untuk menyeimbangkan antara Ilmu yang berbentuk Jasmani dan juga yang bersifat Rohani. Ilmu Jasmani merangkumi pelajaran-pelajaran pencak yang bermula daripada Seni Tangan Kosong sehinggalah menguasai kesemua 21 senjata di Alam Melayu. Manakala Ilmu Rohani pula banyak menitikberatkan hal-hal kejiwaan seperti amalan membaca zikir-zikir/wirid-wirid tertentu selain mempelajari Ilmu Mengenal Diri yang banyak tersimpan dalam Mentera-mentera Gayong. Sesungguhnya, Ilmu Rohani inilah yang seharusnya menjadi PENGISIAN UTAMA dalam diri pengamal-pengamal Ilmu Gayong seluruhnya. 

Tidak dinafikan, ramai dikalangan anak-anak Gayong termasuklah juga yang bertahap Gurulatih yang masih samar dalam perjalanan mereka. Fokus mereka hanyalah pada Ilmu Jasmani. Ini dibuktikan dengan pengisian silibus dari peringkat asas hinggalah ke peringkat Harimau Pelangi Chula Sakti. Jika ada pun, tidaklah secara rasmi, bergantung penuh kepada siapa Guru yang mengajar. Bagi pandangan penulis, amatlah rugi jika isu ini tidak diambil perhatian serius. Sedangkan, tujuan sesuatu ILMU itu adalah untuk "Kenal Diri dan Kenal ALLAH SWT". Untuk mengenalpasti sesuatu Ilmu tersebut dapat memberi kesan positif ( Berkat ) kepada kita atau sebaliknya, verifikasinya adalah amat mudah, adakah semakin kita belajar sesuatu Ilmu tersebut menjadikan kita semakin DEKAT dengan ALLAH SWT atau tidak? Jika ya, Alhamdulillah dan jika tidak, maka perlulah kita bermuhasabah diri kenapa ia terjadi sedemikian. Apakah sebab Ilmu itu sendiri yang hanya berfokus kepada urusan dunia semata-mata atau kita yang kurang BERADAB dengan GURU atau dengan ILMU itu sendiri.

Sebenarnya, Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman melalui SANAD ILMU daripada Datuk beliau, Allahyarham Syed Zainal Abidin bin Syed Idris Al-Attas banyak menurunkan Ilmu-ilmu yang bersifat KEROHANIAN melalui pelbagai jenis Amalan Zikir/Wirid/Doa dan juga Ilmu-ilmu Mengenal Diri yang telah disusun rapi dalam bentuk Mentera bagi setiap PERBUATAN kita seharian, bermula daripada Bangun Tidur,Mandi, Keluar Rumah sehinggalah kembali Tidur. Makanya, setiap Mentera itu haruslah dibaca UNTUK DIFAHAMI dan DIRESAPI SETIAP PENGERTIANNYA dan bukanlah sekadar baca dengan niat untuk memperolehi sesuatu kelebihan yang bersifat keduniaan. Itulah kesilapan yang paling ketara dalam memahami penggunaan Mentera!

Kesimpulannya, Ilmu Gayong ini perlu diajar mengikut acuan asalnya yang mana menitikberatkan KESEPADUAN di antara Ilmu yang berbentuk jasmani dan Ilmu yang berbentuk Rohani. Setiap Zikir yang diperturunkan adalah untuk di AMAL manakala setiap Mentera pula adalah untuk di FAHAMI.

Persoalan;
1.Kenapa Mentera perlu dihafal?
2.Bagaimana Mentera itu dikarang?
3. Bagaimana KONSEP pembelajaran Mentera yang pernah diterapkan oleh Guru terdahulu?

Wallahua'lam.

Saturday, April 13, 2013

PERTANDINGAN SENI TARIAN SILAT KEBANGSAAN KALI KE-2

Salamun Alaik;
 Pasukan Bertanding
Team SM Sains Labuan dan Team SMK Mutiara

Pada 9hb April bertempat di Dewan Samudera, SM Sains Labuan, telah berlangsungnya Pertandingan Seni Tarian Silat bersempena Perkampungan Seni Tarian Malaysia peringkat kebangsaan kali ke-3. Pertandingan ini disertai oleh pasukan-pasukan silat dari sekolah-sekolah berasrama penuh di seluruh Malaysia dan juga sekolah-sekolah di sekitar WP Labuan.

Pada kali ini, persaingan bertambah sengit yang mana setiap pasukan menampilkan gerak tari yang lebih bervariasi dan mantap. Pelbagai gerak tari telah dipersembahkan yang merangkumi garapan gerak yang bersumberkan istana, rakyat, alam, haiwan, kerohanian, dan tarian tradisional seperti;

1. Gerak Alif
2. Tarik Benang
3. Junjung Sireh
4. Belalai Gajah
5. Bunga Tanjung
6. Bunga Teratai
7. Merbah Berlaga
8. Lenggang Mak Limah
9. Harimau Lapar
10. Gajah Berjuang
11. Helang Rajawali
12. Monyet Hanuman
13. Menyusur Angin
14. Limbai Paras
15. Limbai Dayung
16. Cuak Racik
17. Sagai
18. Pelampas
19. Randai
20. Mak Yong
21. Benang Kusut
22. Seludang Jatuh
23. Tarik Rotan.
24. Belebat
25. Spelet
26. Helang Berlegar
27. Gajah Berdorong
28. Angkat Pulut

 Pendekar Cilik minum susu
 Barisan Juri Hakim
 Juri yang bersiap sedia untuk bertugas
 Gaya anak harimau
 Gerak Langkah Buka Gelanggang oleh Tuan Amir Fadhli
 Gaya Julang Keris
 Gerak Tari Zapin
 Gaya Tarik Benang
 Setiausaha, Ketua Pertandingan dan Dewan Juri
 Tuan Hazli (Gayung Fatani) sedang Tutup Gelanggang
 Gerak Bunga Tanjung
 Peserta paling muda
Gaya Helang Rajawali
Aksi Penulis bersama Ust Wan Abdul Halim (Juri)
Pasukan SM Sains Labuan berjaya mengekalkan kejuaraan.

Alhamdulillah, Pasukan SM Sains Labuan masih mengekalkan kejuaraan tahun lepas. Semoga dengan penganjuran pertandingan seperti ini, mampu menonjolkan kesenian silat terutama gerak seni tarinya. Gerak Tari Silat yang lembut menyimpan 1001 rahsia. Begitulah hebatnya bangsa Melayu dalam menyimpan Rahsia terutamanya rahsia pertempuran dan falsafahnya. Gerak Tari yang lemah lembut dan gemalai ini juga sinonim dengan sifat budi perkerti bangsa Melayu yang berAgama Islam yang tinggi nilai akhlak dan Adab.

" Dalam Gerak ada Tari, Dalam Tari ada Buah, dan Dalam Buah ada Bunuh!"

Wassalam.


Saturday, March 30, 2013

KELEBIHAN SEBUTAN ZAT DALAM PERBUATAN GAYONG

Salamun Alaik;
Bersama Ayahanda Amin Hamzah

Dalam melakukan setiap pergerakan dan perbuatan Gayong ketika latihan, anak-anak Gayong disarankan untuk melafazkan sebutan ZAT. Kenapa Kalimah Zat ini dipilih dan apakah kelebihannya dari aspek jasmani dan rohaninya? Sudah pastinya ia mempunyai maksud dan tersimpan pelbagai manfaat buat anak-anak Gayong sebagai pengamalnya.

Kalimah Zat (sebutan yang sebenarnya DZAT) sebenarnya merujuk kepada DZAT ALLAH SWT dan sebutan Dzat yang dilafazkan sebagai isyarat membenarkan Kalimah Hauqalah yang membawa maksud Tiada Daya Upaya (sekalian 'Alam) melainkan Daya Upaya Allah SWT. Sepertimana yang telah dimaklumkan oleh Guru penulis melalui ajaran dari Allahyarham Mahaguru, lafaz Zat ini ada huraiannya di dalam salah satu Mentera Gayong yang jelas menyatakan dan menyampaikan maksud sebagaimana membenarkan Kalimah Hauqalah yg telah disebutkan di atas.

"......... Dzatullah, Sifatullah, Nur Quluubihim.............."

Secara asasnya, dalam konteks melafazkan kalimah Zat ini sewaktu latihan Gayong, ianya mendidik anak-anak Gayong semua agar sentiasa melazimkan kita MENAFIKAN setiap tindakan dan perbuatan kita dan sentiasa MENGISTBATKAN setiap sesuatu itu hanya dari ALLAH SWT. Begitulah tarbiyah Gayong buat setiap yg bergelar anak-anak Gayong. 

...................................................................

Dalam membincangkan kelebihan aspek jasmaninya pula, bilamana anak-anak Gayong menyebut DZAT, maka sebutan tersebut akan berpunca dari dasar perut dan udaranya akan dihembus melalui mulut. Perbuatan sebegini mampu mengaktifkan pusat tenaga manusia yang berada di sekitar pusat ( 2 inci di bawah pusat). Makanya, latihan secara berterusan dengan teknik yang betul mampu membangkitkan tenaga dalam dalam tubuh anak-anak Gayong. Setiap perbuatan serang bela termasuklah bertapak (lebih seimbang) akan dapat memberi lebih manfaat kerana perbuatan tersebut telah menggabungkan 2 tenaga (luar dan dalam). Namun, untuk membangkitkan tenaga dalam secara keseluruhannya, pastinya memerlukan kaedah dan latihan yang khusus (Pernafasan Gayong). Kesimpulannya, aspek jasmani ini hanyalah sekadar asbab semata-mata, yang penting adalah suci iktikad kita, leburkan segala sifat kita dan pulangkan segalanya kepada yang HAQ! Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun.

Wallahua'lam.

Sunday, March 10, 2013

ANGKATAN PERANG GAYONG

Salamun Alaik;
Penulis bersama Sundang Lipas

Susulan daripada pencerobohan puak sulu ke atas tanah air kita di Lahad Datu baru-baru ini dan juga keadaan yang tidak menentu di sekitar Sabah dan juga Labuan, maka atas rasa tanggungjawab untuk bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang terbit dari peristiwa berdarah ini, akhirnya ANGKATAN PERANG GAYONG diwujudkan yang mana kesemua Gurulatih dan anak-anak Gayong dari pelbagai pertubuhan telah bersatu di dalamnya. Sehingga post ini ditulis, kekuatan anggota telah mencapai hampir 100 orang.

Majlis Pengisian Ilmu Perang Gayong batch pertama

Ujian Hiris dan Tetak 


Angkatan Perang Gayong Labuan dipimpin oleh penulis bersama Ust Nik Iznan (Ketua Waris Beradat Pusaka Gayong Labuan)

Sebagai persediaan diri dan mental menghadapi situasi cemas ini, penulis dengan rela hati telah "perturunkan" ILMU GERAK BAYANG (dengan bersyarat dalam tempoh tertentu) buat kesemua anggota Angkatan Perang Gayong dan beberapa kumpulan anggota keselamatan secara berperingkat. InsyaAllah dengan izin Allah SWT, setiap yang beramal dengan Ilmu Gerak Bayang ini akan mendapat manfaat seperti;

1. Meningkatkan sifat keberanian dalam diri.
2. Minda yang lebih fokus.
3. Ketahanan Diri lebih utuh (mampu menghadapi hirisan,kelaram, tetakan, tikaman dll).
4. Gerak Jasmani dan Rohani lebih bersepadu.
5. Menambahkan kekuatan fizikal, rohani dan mental.
6. Memusnahkan dan Melemahkan musuh dari jarak jauh.
7. Pelbagai manfaat lain seperti "kalih" peluru, perabun musuh, dan sebagainya.

KUNCI kepada Amalan ini adalah SYAHADAH dan TAUHID. Pengamalnya mesti sentiasa duduk dalam kandungan Lam Jalallah bersama Nafi dan Isbat. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.

Sejarah Ilmu Gerak Bayang ini mula diperturunkan kepada Imam Perang Gayong sewaktu Allahyarham Mahaguru berdepan dengan tentera Jepun di Pulau Sudong dan juga peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Alhamdulillah, Ilmu ini masih dipelihara dan akan digunakan dengan niat yang suci demi mempertahankan kesucian Agama Islam dan kedaulatan Tanahair tercinta. Terima kasih buat Guru ku Ayahanda Amin Hamzah selaku Panglima Singa Malaya dan Allahyarham Cg Ahmad Lazim (pemegang Amanah Silat Seni Gayong generasi pertama) di atas tauliahan Ilmu ini buat penulis.

* Ilmu Perang Gayong ini tidak menggunakan sebarang unsur-unsur khurafat seperti tangkal, menyeru jin dan seumpamanya seperti tok ayah, panglima hitam, tok bongkok dan sebagainya

Wallahua'lam

Sunday, March 3, 2013

MAJLIS ZIKIR PERANG

Salamun Alaik;
Setiap Sandang ada AMANAH dan TANGGUNGJAWAB yang perlu dipikul

Sekadar pesanan buat Panglima-panglima Gayong, jangan lupa untuk menghidupkan Majlis Zikir Perang sekiranya berlaku tanda-tanda situasi keamanan negara dalam keadaan yang tidak aman. Amalkan juga bacaan Qunut Nazilah di rakaat terakhir bagi setiap solat terutamanya Solat Subuh. Semoga ianya memberi pelbagai manfaat pada setiap dari kita selain membantu pasukan keselamatan negara melalui DOA yang kita Rafakkan kepada Rabbul 'Alamin.

AYAT EMPAT (AYAT PERANG)
1. La ilaha illa anta Subhanaka inni kuntum minazzholimin - 10x
2. Wallahu gholibun 'ala amrih - 33x
3. Ya Hayyu Ya Qayyum Ya ilahana wa ilaha Kulla syain ilahan wahida La ilaha illa anta
4. Ya Zaljalali wal ikram - 7x

Jika ada Majlis Gayong besar-besaran atau sebarang demostrasi, amalkan membaca Ayat Empat ini;
1. Tasbih Nabi Yunus as - 33x
2. Zikir Saidina Ali KMW- 33x
3. Doa Asif Barqiya - 33x
4. Zikir Imam Ghazali - 33x @ 500x (jika perang baca 5000x)

AYAT HULUBALANG
1. La Tudrikuhul Absoru Wahuwa Yudrikul Absora Wahuwallatiful Khobir - 21x
2. Kammin fi atin Qolilatin gholabat fi atan Kasirotan Biiznillah - 3x
3. Wa Bi Haqqi; La Hau La Wala Quwwata Illa Billahil 'aliyyil 'azhim
Wa Bi haqqi; Kaf Ha Ya Ain Sod , Ha Mim Ain Sin Kof
4. xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx - 21x

- Diwiridkan selepas solat Maghrib 1x shj.
- Malam selasa 7x
- Jika utk menghadapi Perang, diwiridkan secara beramai-ramai sebanyak 40x dalam suatu majlis yg dinamakan juga Majlis Zikir Perang yang dipimpin oleh Imam Zikir.


Qunut Nazilah


Wallahua'lam.

Saturday, March 2, 2013

GERAKAN GAYONG 349 TAPAK

Salamun Alaik;

Gambar Hiasan


Merujuk kepada pelajaran Gerakan Silat Seni Gayong, terdapat sejumlah pergerakan apabila digabungkan kesemuanya akan menjadikan jumlah keseluruhan gerakan tersebut sebanyak 349 pergerakan. Ianya menyamai bilangan SENI dalam Silat Seni Gayong yang juga berjumlah 349 seni. Di dalam Gerakan Gayong 349 ini, terkandung KESEMUA Gerak Gayong dan keseluruhan Teknik Serang Bela termasuk bentuk kekuda dan Gaya Langkahan bagi pelajaran Silat Seni Gayong. 


Gerakan Gayong 349 merangkumi;

1. Asas Gerakan 1
2. Pecahan Gerakan 1
3. Asas Gerakan 2
4. Pecahan Gerakan 2
5. Asas Gerakan 3 ( Makan Pukul)
6. Pecahan Gerakan 3
7. Gerakan 4 (Siku)
8. Pecahan Gerakan 4
9. Gerakan 5 (Gerakan Anak Harimau)
10. Pecahan Gerakan 5

11. Gerakan 6 (Bunga Tanjung)
12. Pecahan Gerakan 6

13. Gerakan 7 (Serangan Rajawali)
14. Pecahan Gerakan 7
15. Gerakan Kombat
16. Gerakan Selayang Pandang
17. Gerakan Kipas Nandung
18. Gerakan Sendi Harimau

Wallahua'lam.

Monday, February 18, 2013

TUJUH FASA BUAH PUKULAN

Salamun Alaik;
Kenangan tahun 2001 di Pulai Chondong, Machang bersama sahabat Jurulatih

Secara umumnya Buah Pukulan merujuk kepada contoh pergerakan dalam menghadapi serangan pihak lawan samaada pihak lawan yang memulai serangan atau sebaliknya. Contoh-contoh pergerakan inilah yang akan diajar dalam sesuatu silibus. Kemudian, buah pukulan yang telah dihafal dan dikuasai pergerakannya akan dikupas dalam bentuk yang lebih fleksibel dan ringkas. Setelah itu, pesilat akan menilai sendiri setiap pergerakan tersebut mengikut kesesuaian diri dan akan disimpan sebagai "pakaian" mereka. Daripada proses pembelajaran ini, maka wujudlah pelbagai nama, bentuk dan konsep bagi buah pukulan ini berdasarkan tahap pengetahuan, kefahaman dan kemahiran seseorang Guru. Bagi Silat Seni Gayong, Buah Pukulan ini  dipanggil dengan nama;

1. Buah Pukulan Maut ( Asas )
2. Buah Kombat / Buah Serangan Maut ( Ringkasan )
3. Buah Super Kombat ( Rumusan )
4. Seni Serangan Bapak Harimau ( Rahsia )

Selain daripada 4 peringkat Buah Pukulan ini, terdapat juga elemen-elemen SENI yang lain sebagai PELENGKAP teknik Buah Pukulan ini bagi menghadapi serangan dan seterusnya memusnahkan musuh. Diantara seni-seni tersebut seperti;

1. Seni Seligi
2. Seni Siku dan Lutut
3. Seni Kaki
4. Seni Selayang Pandang
5. Seni Serangan Harimau Kumbang
6. Seni Serangan Helang Rajawali
7. Seni Yoi

Namun begitu, ASAS bagi Buah Pukulan ini perlulah kukuh dan mantap terlebih dahulu, Pesilat perlulah melalui PROSES PEMBELAJARAN yang telah digariskan iaitu perlu menguasai;

1. Senaman Gayong (Persedian fizikal untuk kesemua aspek terutamanya kekuatan, daya tahan otot, keseimbangan dan kelenturan)
2. Asas Gerakan 
3. Gerakan Gayong 349
4. Asas Elakan
5. Elak Pukul / Elakan Maut (termasuk pecahannya).

Untuk lebih faham tentang Buah Pukulan ini, sebenarnya terdapat TUJUH FASA yang perlu pesilat ambil perhatian dan menguasai setiap satunya.

FASA 1: Fasa Menanti
a. Sikap pasang yang paling sesuai mengikut keperluan;
b. Perletakkan ARAH PANDANGAN.
c. Bilangan musuh (seorang atau berkumpulan)
d. Faktor geografi dan persekitaran (licin, cerun, pakaian, longkang,dinding, cahaya, dll)
e. Bersenjata atau tidak (senjata pula perlu diagnos juga kumpulan senjata tersebut)
f. Perwatakan musuh dan fizikalnya (gemuk,pendek,ganas,penakut dll)
g. Jarak pertempuran.
h. Keluasan medan tempur.

FASA 2 : Fasa Pra-Permulaan Serangan
a. Baca PETANDA Gerak Musuh (ikut peringkat masing2, asasnya pada mata, bahu atau abdomen)
b. Serangan ACAH atau yg sebenar.
c. Baca TAPAK musuh dan susun aturnya.
d. KUNCI GERAK musuh agar GERAK pesilat tidak mudah di"makan" musuh.
e. Susun Nafas agar lebih tenang (tidak diganggu oleh kesan adrenalin).

FASA 3 :Fasa Permulaan Serangan
a. Elak, Gelek, Tangkis mengikut kesesuaian.
b. Disusuli dengan serangan balas tepat ke sasaran.
c. Waspada dengan serangan susulan musuh.
d. Patuhi Petua Kunci Tapak.
e. (Bagi pesilat yg menyerang dulu akan dikongsikan kemudian)

FASA 4 : Fasa Serangan Susulan (Musuh)
a. Aturan tapak mesti sistematik (Seni Yoi)
b. Perlu kuasai Lapis Elak (2 Daun atau 3 Daun).
c. Tubuh mesti bersedia menerima serangan musuh (patah sayap bertongkat paruh)

...........................
FASA 7 : Fasa Bunuh @ Musnahkan Musuh
a. Patahkan sendi utama (Seni Kuncian)
b. Rosakkan organ dalaman (Kipas Nandung)
c. Pecahkan saluran saraf utama (Seni Seligi)
d. Musnahkan pandangan (Seni Serangan Rajawali)
e. Patahkan Batang Tengkok (Seni Serangan Harimau Kumbang)
f. Mengoyak tubuh dan sendi (Seni Serangan Bapak Harimau)

* Penerangan yang lebih lanjut dan mendalam akan dikongsikan dalam Kursus-kursus Kegurulatihan anjuran pihak Gayong Serantau Kelantan.

Wallahua'lam.

Monday, February 11, 2013

UJIAN GANTUNG DAN MENDAGU DENGAN SUNDANG

Salamun Alaik;
 Ujian Mendagu dgn Sundang
Ujian Gantung

Inilah di antara ujian yang sememangnya lazim bagi Gurulatih-Gurulatih Gayong bagi menguji Tahap Ketahanan Diri dan Minda mereka. Memiliki daya ketahanan fizikal dan minda yang tinggi amat dititikberatkan sebagai pakaian diri buat para Gurulatih Silat Seni Gayong selain kecekapan dalam pelajaran. Bagaimana untuk memperolehi daya ketahanan ini? Jawapannya, perlulah MENGAJI DENGAN GURU untuk peroleh ILMUnya dan BERTAWAKAL sepenuhnya kepada ALLAH SWT. NAFI segalanya dari kita dan ISBAT lah semuanya dari-NYA. Biiznilah.......



                           Serikandi juga tidak terkecuali


Wallahua'lam

Monday, January 28, 2013

SYARAT DAN KELAYAKAN BAGI KENAIKAN BENGKONG HITAM - Gayong Serantau Kelantan

Salamun Alaik;
Syarat dan Kelayakan bagi kenaikan Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti bagi Silat Seni Gayong berbeza mengikut pertubuhan, negeri-negeri dan guru-guru secara individunya. Bagi Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia Cawangan Kelantan, penetapan syarat dan kelayakan ini telah pun dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Gurulatih PSGSM kelantan pada Disember 2010 yang lepas. Syarat -syarat dan kelayakan untuk membolehkan seseorang jurulatih untuk diuji kenaikan ke bengkong Hitam HPCS adalah seperti berikut;

1. Telah menguasai kesemua PELAJARAN sehingga ke Bengkong Pelangi Kuning Chula 5 mengikut silibus Gayong Serantau Kelantan.

2. Telah menjalani kesemua Majlis Adat dan Upacara Khatam Senjata.

3. Telah tamat dan khatam Qulhu 70 ribu.

4. Mempunyai sekurang-kurangnya satu GELANGGANG SILAT dan aktif mengajar.

5. Telah menjadi Ahli Seumur Hidup bagi PSGSM.

6. Telah mengikuti Kursus Kegurulatihan yang dianjurkan oleh PSGSM / PSGSM Kelantan.

7. Menghantar Tesis/Kajian yang berkaitan dengan Silat Seni Gayong atau Silat secara amnya.

8. Betul bacaan Al-Fatihah (secara asas) dan menghafal sekurang-kurangnya satu Surah yang telah ditetapkan (Surah Yassin, Al-Mulk, Al-Waqiah, Al-Insan, As-Sajadah, dll)

9. Tidak MENGHISAP ROKOK dan terlibat dengan DADAH dan seumpamanya (Ganja,Pil Khayal dll).

10. Tiada Rekod Jenayah (Sivil dan Syariah).

11. BMI tidak melebihi 28 (25.5 - 28 masih dalam pemerhatian).

12. Tidak terlibat dengan sebarang kumpulan Kongsi Gelap dan seumpamanya.

13. Tidak terlibat dalam sebarang aktiviti dan gerakan Ajaran Sesat .

14. Berpengetahuan dalam ADAT Gayong. 

15. Di calonkan oleh Gurulatih berdasarkan PEMERHATIAN beliau.

16. Patuh kepada sebarang peraturan pertubuhan.

17. Mengakui dan menerima SURAT WASIAT Allahyarhamah Cg Siti Kalsom yang diberikan kepada Dato Wan Ahmad Fauzi sebagai pengganti beliau.

Semoga dengan penetapan syarat sebegini mampu untuk meletakkan kedudukan pemegang bengkong Hitam HPCS di kedudukan yang selayaknya sebagai Pandai Silat dengan nilai Agama, Etika, Disiplin, Ketrampilan, Berpengetahuan  dan Adab yang tinggi. Selayaknya mereka ini mampu menjadi  idola dan ikutan bagi anak-anak Gayong semuanya.Itulah harapan PSGSM Caw Kelantan. InsyaAllah Biiznillah.

Wallahua'lam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...