Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Tuesday, September 6, 2011

KRITERIA DAN KUASA SANDANG KEGURULATIHAN

Salamun Alaik,
Di samping struktur organisasi pentadbiran dan kuasa-kuasa adat yang dianugerah kepada anggota organisasi berkenaan, Silat Seni Gayong juga mengikhtiraf kemahiran dan kewibawaan guru dan jurulatih Gayong melalui penganugerahan Sandang Kegurulatihan.


Sandang Kegurulatihan dianugerah oleh Lembaga Waris Amanah atas syor Majlis Gurulatih Kebangsaan atau Pengarah Gurulatih setelah disokong oleh Ahli Eksekutif Jawatankuasa Agung Lembaga Beradat Kebangsaan.  Kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada penerima sandang ini adalah tertakluk kepada panduan dan ketetapan yang dikeluarkan Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Kebangsaan.

Penerima Sandang Kegurulatihan merupakan guru atau jurulatih yang diakui mempunyai tahap kebolehan di peringkat tertentu mengikut kriteria serta syarat-syarat yang ditetapkan Majlis Gurulatih Kebangsaan.

Pada asasnya nilai kebolehan dan kriteria adalah bergantung kepada kecekapan, tahap pelajaran, tingkatan bengkong, pengalaman mengajar dan komitmen kepada pembangunan Silat Seni Gayong.


Kuasa yang dimiliki oleh penerima sandang ini adalah atas kapasiti mereka memegang jawatan dalam Majlis Gurulatih Kebangsaan.  Majlis Gurulatih Negeri atau sebarang kuasa yang ditauliahkan oleh Lembaga Waris Amanah.

Sandang yang dimaksudkan ialah:-


Panglima Hitam Chula Sakti

Hanya seorang dalam satu masa dan layak dipertimbangkan sebagai Pengarah Majlis Gurulatih Kebangsaan, syarat perlantikannya ialah:-

i.  hendaklah dikalangan Guru Tertinggi yang paling kanan dan dihormati serta masih aktif.

ii.  taat kepada arahan Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Kebangsaan.

iii. mempunyai pengetahuan adat-istiadat yang tinggi dan bersifat amanah.

iv. mampu mengajar pelajaran Silat Seni Gayong hingga ke peringkat Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti.


Panglima Singa Malaya

Tidak melebihi daripada tujuh orang dalam satu-satu masa.  Beliau layak dipertimbangkan sebagai Pengarah atau Timbalan Pengarah Majlis Gurulatih Kebangsaan.  Syarat perlantikannya ialah:-


i.  hendaklah dikalangan Guru Tertinggi yang dihormati serta masih aktif.

ii. taat kepada arahan Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Kebangsaan.

iii. mempunyai pengetahuan adat-istiadat yang tinggi dan bersifat amanah.

iv. mampu mengajar pelajaran Silat Seni Gayong hingga ke peringkat Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti.

Panglima Pelangi Hitam

Tidak melebihi daripada seorang dalam satu-satu negeri atau tidak lebih daripada tujuh orang yang bertugas di Pusat Latihan Tertinggi.  Syarat perlantikannya ialah:-


i. hendaklah dikalangan guru yang lulus ujian Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti paling senior dan dihormati serta masih aktif dalam sesebuah negeri atau berjawatan kanan di Pusat Latihan Tertinggi.

ii. mampu mengajar pelajaran Silat Seni Gayong hingga ke peringkat Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti.

iii. taat kepada arahan Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Kebangsaan.

iv. mempunyai pengetahuan yang baik dalam adat-istiadat dan bersifat amanah.


Panglima Chula Hitam

Tiada had bilangan dan syarat perlantikannya ialah:-


i.  hendaklah dikalangan guru yang lulus ujian Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti.

ii.  mampu mengajar pelajaran Silat Seni Gayong hingga ke peringkat Bengkong Pelangi Kuning Chula.

iii. mempunyai pengalaman mengajar Silat Seni Gayong sekurang-kurangnya tujuh tahun.

iv. mempunyai pengetahuan adat istiadat dan bersifat amanah.


Panglima Geliga Sakti / Serikandi Geliga Sakti


Tiada had bilangan dan syarat perlantikannya ialah:-


i.  hendaklah dikalangan jurulatih yang lulus sekurang-kurangnya ujian Bengkong Pelangi Kuning.

ii.  mampu mengajar pelajaran Silat Seni Gayong hingga ke peringkat Bengkong Pelangi Merah Chula.

iii. mempunyai pengetahuan adat-istiadat yang tinggi dan bersifat amanah.


Panglima Amanah Sakti / Serikandi Amanah Sakti


Tiada had bilangan dan syarat perlantikannya ialah:-


i.  hendaklah dikalangan penolong jurulatih yang lulus sekurang-kurangnya ujian Bengkong Pelangi Merah Chula.

ii.  mampu mengajar pelajaran Silat Seni Gayong hingga ke peringkat Bengkong Pelangi Merah.

iii.  mempunyai pengetahuan adat-istiadat yang tinggi dan bersifat amanah.

*dipetik dari buku Organisasi dan Kuasa Adat PSSGM.

Wallahua'lam

Monday, September 5, 2011

SEMBAH GAYONG - Sembah Adat Sembah Beradab

Salamun Alaik,

Sembah Gayong merupakan suatu adat dalam Keilmuan Gayong yang mana ianya dilakukan sebagai tanda memuliakan seseorang yang lebih dihormati atau merafak sembah ke Bawah Duli Tuanku (DYMM Agong dan Raja-Raja Melayu).

Sembah Gayong dilaksanakan dengan merapatkan kedua-dua tapak tangan menyusun jari dan meletakkan cantuman tapak tangan tersebut di 5 paras yang berbeza mengikut taraf masing-masing seperti;

1. Di Hati Sanubari - Peringkat Gelanggang spt Jurulatih/Imam Gelanggang/Khalifah Muda/murid seGayong dan orang luar.
2. Di Bawah Kata-Kata - Peringkat Daerah spt Gurulatih/Khalifah/Ketua Khalifah dan yang setaraf.
3. Di Atas Kata-Kata - Peringkat Negeri spt Gurulatih Kanan/Gurulatih Tertinggi/ Waris Beradat / Khalifah Besar / Ketua Beradat dan yang setaraf.
4. Di Pandangan - Peringkat Kebangsaan spt Imam Khalifah Agong / Pemegang Amanah / Imam Khalifah/ Ketua Khalifah Besar/Ketua Beradat Kebangsaan dan yang setaraf.
5. Di Batu Jemala - DYMM Agong dan Raja-Raja Melayu/ Penaung Agong/ Mahaguru

1. Di Hati Sanubari
2. Di Bawah Kata-Kata
3. Di Atas Kata-Kata
4. Di Pandangan
5. Di Batu Jemala

"Budaya Melambangkan Bangsa"

*sumber gambar dari blog gayong pasak.

Wallahua'lam

Saturday, September 3, 2011

SENJATA MELAYU - SABIT & CELURIT

Salamun Alaik,
Celurit
Sabit Panjang
Sabit dan Celurit merupakan sejenis senjata yang bilahnya melengkung seperti bulan sabit yang mempunyai mata yang tajam di sisi lengkungan di bahagian dalam. Walaupun hampir sama sifatnya, namun Sabit lebih cenderung berfungsi sebagai alat pertanian berbanding Celurit berfungsi khusus sebagai senjata bertempur.
Pak Sakera, Tokoh Pejuang Madura
Celurit cukup terkenal di Madura. Dikatakan senjata Celurit ini menjadi simbol harga diri dan peperangan bagi masyarakat di sana. Seorang tokoh lagenda Madura, Pak Sakera telah menggunakan senjata Celurit ini bagi menentang penjajah Belanda pada awal abad ke-19.
Penulis bergaya dengan senjata Sabit Panjang
Salah seorang Pendekar bergaya dengan senjata Celurit dan Buluh Runcing
Dalam Keilmuan Silat Seni Gayong, Sabit/Celurit termasuk dalam 21 senjata tajam di Alam Melayu yang perlu dipelajari dan dikuasai sepenuhnya oleh anak-anak Gayong. 
Gerakan Sabit 
Buah Tangkapan Sabit
 Aksi peserta Kursus Kejurulatihan Gayong Serantau Kelantan
Buah Tangkapan Sabit
Sabit boleh dimainkan secara tunggal (sebilah) atau sepasang (2 bilah). Kaedah permainannya banyak menyerang secara berangkai. Mengambil serangan pula secara elak-bunuh (sebilah) atau mencantas kemudi lawan dan sebelah lagi serentak bunuh atau serang daerah sasaran utama (2 bilah). Sasaran utama adalah leher, belakang tengkok, penyawa dan ligamen/tendon utama.

Semoga perkongsian ilmu ini beroleh manfaat buat semua.

Wallahua'lam

Friday, September 2, 2011

SENJATA MELAYU - GOLOK

Salamun Alaik,
 Golok
 
Parang Lading
Senjata Golok termasuk dalam senjata jenis parang. Selain golok, senjata-senjata yang serumpun dengannya termasuklah;
1. Parang Panjang/Klewang
2. Parang Lading
3. Badek
4. Kudi
5. Candung
6. Bedama
7. Kujang
 Parang Pattani/ Klewang
 Kudi
Kujang
Senjata Golok merupakan senjata yang amat sinonim bagi masyarakat Melayu. Walaupun keris lebih menonjol dari aspek lambang senjata Melayu, namun dari segi penggunaannya, Golok lebih "rapat" dengan masyarakat kebanyakan. Senjata Keris lebih bersifat senjata Istana manakala Golok lebih kepada senjata rakyat jelata. Bagi masyarakat Melayu tradisi, golok sentiasa terselit di tubuh sebagai teman setia. Ke mana sahaja kaki melangkah, golok akan ikut bersama. Ianya digunakan bila ke kebun, hutan, sungai, sawah, kedai kopi, pasar, gotong royong, majlis Kurban(sembelih), melapah daging dan ke mana sahaja. Penggunaannya juga amat luas dan seni pembuatannya tidaklah seindah seni keris, badek atau kujang yang lebih nilai estitika dan pamor pada bilahnya. 
Gambar Hiasan
Golok dibuat bergantung kepada fungsinya. Jika untuk kegunaan harian, bilahnya sekadar logam biasa dan tiada ianya bersarung.Bahan logam yang biasa digunakan untuk membuat bilah golok seperti besi spring, chainsaw, besi pengetam, paku kereta api, high carbon steel, german stell dan tool steel. Tetapi jika Golok yang dibuat khusus untuk bertempur maka ianya akan lebih ditekankan dari aspek PEMILIHAN BAHAN LOGAM dan TEKNIK PEMBUATANNYA. Golok Perang ada kalanya mempunyai pamor seperti keris kerana ianya ditempa menggunakan lebih dari satu jenis logam. Hasil olahan dan campuran sejumlah jenis logam yang berbeza, yang ditempa dan dilipat menjadi satu akan menghasilkan suatu tekstur pada permukaan bilahnya yang dipanggil PAMOR. Kehadiran pamor menunjukkan bilah golok itu lebih kuat/keras kerana logamnya lebih matang hasil tempaan tukang besi yang mahir. Golok perang akan disimpan di dalam sarungnya yang buatannya daripada kayu-kayu yang berkualiti seperti serian, cempedak, nangka, rengas, krismas, ciku dll. Manakala terdapat pilihan bagi hulunya yang terdiri daripada bahan bertanduk seperti tanduk kerbau dan tanduk rusa.Ada juga mengelaskan golok kepada 2 jenis iaitu golok jantan dan golok betina berdasarkan kepada bentuk bilah dan kegunaannya.
 Gaya memegang GOLOK
Parang dan Golok
Bagi Keilmuan Silat, sememangnya pesilat akan diajar bagaimana menggunakan Golok Perang ini untuk bertempur. Gerak permainannya agak berlainan dengan seni parang panjang dan seni parang lading. Golok bergerak selari dengan gerak pemakainya. Falsafahnya ibarat air sungai yang mengalir. Lancar tanpa berhenti. Ianya tidak sesekali menyangga/menangkis senjata lawan seperti parang dan tidak terhad kedudukannya/pegangannya seperti parang lading. Ianya "bermain" secara meraut, menghiris, mengelar, memotong, melibas, menetak dan mengerat. Langkahnya banyak menggunakan kaedah menyusup, gelek dan terjah. Latihan praktikal seni golok ini banyak menggunakan batang pisang sebagai alat bantu latihan.Kemahiran seni siku juga banyak membantu mempercepatkan pesilat mahir dalam gerak golok selain dari latihan Tari Melayu yang banyak membantu meningkatkan daya kelembutan pada gerak sendi2 utama lengan terutamanya sendi pergelangan. Pada peringkat tertinggi permainan golok, pastinya pengemudi senjata golok ini mampu untuk menyembelih penyerangnya dalam satu gerak. Bagaimana kaedahnya? Jawapannya ada pada seorang GURU.

Wallahua'lam.

Monday, August 29, 2011

Sunday, August 28, 2011

SENJATA MELAYU - KERAMBIT

Salamun Alaik,
Kerambit Lombok
Senjata sulit yang dimainkan secara jarak dekat oleh  para pendekar dan serikandi. Dibentuk dari inspirasi KUKU HARIMAU dan BULU PADA EKOR AYAM JANTAN. Dikenali juga dengan pelbagai nama mengikut bentuk (bilah dan lengkungannya), saiz dan tempat. Antaranya;

1. Kuku Rimau
2. Kuku Hanuman
3. Lawi Ayam
4. Kerambit Minang
5. Kerambit Sumbawa
6. Kerambit Lombok
7. Kerambit Sunda (2 mata)
Kuku Rimau
 Kerambit Sumbawa
Kerambit Minang
Kerambit 2 mata
Bilahnya berbentuk melengkung dan tajam kedua-dua belahnya.Terdapat lubang cincin dipangkal hulunya sebagai ruang untuk memasukkan jari telunjuk. Keadaan ini menjadikan senjata kerambit sukar terlepas dan boleh bergerak secara fleksibel kerana jari telunjuk menjadi sebagai pemacunya.Namun kelemahannya, boleh mengakibatkan jari telunjuk itu patah bila berdepan dengan musuh yg pakar atau tertusuk sesuatu yg keras (tidak lut). Bagi mengelakkan keadaan seperti ini, ada rekaan kerambit yg tiada lubang cincin dan hanya digenggam. Tetapi ianya berisiko untuk terlepas dan sedikit terhad ruang geraknya berbanding yang berlubang cincin.

Kaedah "makannya" secara merobek sasaran lembut pada tubuh lawan seperti leher, bawah dagu, ulu hati, sisi pinggang, kantung kemaluan, ketiak, tendon-tendon utama seperti pergelangan, pelipatan siku dan lutut. Arah gerak makannya secara horizontal (lambai atas dan lambai bawah) dan vertikel. Setiap kali kerambit mengena sasaran,  pengemudinya akan menyentap kerambit tersebut sebagai usaha merobek tubuh lawan. Ianya disimpan dan dipegang secara sembunyi dari penglihatan musuh. Biasanya, para pendekar akan menyimpan kerambit ini di dalam poket, menyelit kerambit disebalik bengkong (atau di sekitar pinggang yang sedikit belakang agar tersorok dari pandangan musuh), dan ada juga disimpan dalam kilasan kain sarung atau sampin. Bagi serikandi pula, kerambit (bersaiz kecil) disimpan di sebalik rambut yang dijadikan sebagai cucuk sanggul.

Kaedah Latihan. 
Penulis bergaya dengan Kerambit (lawi ayam)
Secara asasnya, pesilat diajar dengan senaman Kerambit. Senaman kerambit diajar bertujuan agar pesilat mampu menghayati gerak-geri kerambit yang banyak bermain secara MERAUT dengan gerak lambai atas dan lambai bawah (gerakan horizontal) dan sauk sula (vertikel). Geraknya perlu rapat dan tangan kiri (tanpa kerambit) haruslah berwaspada agar tidak termakan tuan sendiri. Kemudian, pesilat mula diajar Gerakan Asas Kerambit agar gerakan yang lembut ketika senaman kerambit tadi dapat dilaksanakan dengan gerak sebenar yang keras dan pantas.
Setelah mahir mengemudi Kerambit, pesilat akan diajar kaedah elak-makan dan seterusnya dilatih menyambut serangan kerambit musuh dalam keadaan bertangan kosong (tanpa senjata). Kaedah Tapak Hidup Kerambit juga diberi pendedahan agar pesilat mampu mendalami pelbagai kemungkinan bentuk serangan secara  berangkai dan pelbagai situasi.
Buah Tangkapan Kerambit
Penghujung pelajarannya, pesilat perlu bertempur menggunakan Kerambit di dalam kain sarung. Kaedah latihan sebegini menitikberatkan kecekapan pesilat untuk bermain rapat dan cekap menghadapi serangan kerambit dalam situasi yg terhad. Petua Kerambit dan Penggunaan Racun juga akan disampaikan setelah pesilat berjaya menguasai sepenuhnya Permainan Kerambit ini.

Walaupun asal senjata Kerambit ini dari Nusantara (Alam Melayu), namun ianya telah tersebar dan telah mendapat tempat di hati orang-orang Barat yang melihat senjata Kerambit ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri berbanding senjata-senjata Melayu lain.

Kerambit yang diinovasikan oleh orang2 barat
Begitulah hebatnya KETAMADUNAN SENJATA BANGSA MELAYU. ALLAHUAKBAR!!!

Wallahua'lam

Wednesday, August 17, 2011

SENI CENDAI - KOMBINASI ELEMEN LEMBUT DAN KERAS

Salamun Alaik,
Seni Cendai (Cindai) merupakan suatu cabang ilmu kependekaran yang menggunakan kain sebagai senjata untuk  mempertahankan diri dari serangan musuh. Asasnya adalah kain sarung dan selendang, namun ianya dapat diaplikasikan dengan menggunakan sebarang bahan yg berunsur kain(hampir sifatnya), mampu membelit dan menjerut seperti serban, bengkong, tali leher, kemeja, tali pinggang, seluar , stokin, tali kasut, kabel, tali, kain tudung, tanjak dll.

Penggunaan Tali sebagai senjata Cendai

Sifat Cendai adalah lembut, maka pemakainya juga perlukan sifat kelembutan dalam gerak tempurnya. Mengikut konsep berpasangan, sesuatu yg bersifat keras, boleh diatasi dengan sesuatu yang bersifat lembut.  Inilah KONSEP CENDAI. Kelembutan yang mampu memusnahkan kekerasan kerana Seni Cendai menggabungkan elemen Lembut dan Keras dalam gerak tempurnya (ambil lembut, buang keras). 

Konsep tempur Seni Cendai terbahagi kepada dua iaitu Cendai Jantan dan Cendai Betina. Cendai Jantan merujuk kepada konsep tempur yang berbentuk pukul memukul, melibas dan sentap manakala Cendai Betina diklasifikasikan mengikut bentuk serangannya seperti Jerut, Kalung, Tebar, Serkap, Gari dan Jerat.

Seni Cendai Pusaka Purba,
Sudah Diukur Baru Dipakai,
Jika Anggota Cacat dan Cedera,
Tidak Boleh Tuan Memakai.

Seni Cendai Pusaka Purba,
Disandang Mai Dihujung Bahu,
Jangan Menyerang Membabi Buta,
Jerat Maut Sedia Menunggu.

Dalam Adab mempelajari Seni Cendai, sebelum boleh dibuat pakai, kain yang ingin dibuat bergelanggang perlulah disukat mengikut sukatan tubuh pesilat masing2 sebagaimana senjata keris(susunan ibu jari) dan parang lading/pedang pendek (mengikut ukuran liltan kepala). Kaedah ukur tubuh ini diajar mengikut petuanya tertentu agar saiz dan ukurannya adalah sesuai dengan pemakainya. Pengisian Doa dan Isim-isim Cendai juga akan diajar agar menambah "bisa" kepada kain tersebut. 

Pukulan Buah Gergasi/Topi Bugis
(ehsan gambar dari Ustaz Nik Iznan)

Pemecahan oleh Serikandi gelanggang Maahad Tahfiz Sains

Dengan kaedah simpulan tertentu, kain sarung mampu dijadikan sebagai alat untuk memukul sasaran lemah pihak musuh. Dengan teknik dan latihan yang sempurna, sehelai kain mampu untuk memecahkan objek-objek keras. Teknik sebegini dipanggil Buah Pukulan Cendai. Terdapat 3 kaedah simpulan semuanya yang di ajar dalam Keilmuan Silat Gayong iaitu simpulan kalong, tangkai dan segenggam.

Di sini saya kongsikan salah satu (bukan satu-satunya) kaedah latihan untuk memantapkan diri supaya mampu mengemudi kain cendai sebagai salah satu senjata yang ampuh.
Latihan Cendai Basah yang dipimpin oleh Ayahanda Amin Hamzah, 
bertempat di Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang,Kelantan.

Semoga beroleh manfaat buat semua.


Wallahua'lam

Sunday, August 14, 2011

PENGGUNAAN RACUN PADA SENJATA

Salamun Alaik,
Bisa ular

Dalam keilmuan silat, senjata-senjata yang digunakan untuk pertempuran seperti keris, lembing, buluh runcing, sumpit dan pemanah, kebiasaanya akan dibubuh RACUN agar kesan luka akibat dari senjata tersebut walaupun sedikit, akan memberi impak yang sangat besar. Terdapat banyak kaedah membuat racun. Ada yang menggunakan dari sumber tumbuh-tumbuhan (daun,getah,akar), bersumberkan binatang-binatang berbisa ( ular, kala jengking, kodok dan labah-labah) dan dari mineral kerak bumi seperti arsenik.

Pokok Ipoh

Secara umumnya, tumbuhan yang sering digunakan untuk memproses racun adalah daripada getah pohon Ipoh (Antiaris Toxicaria) dan akar dari pohon Ara/Toba( derris Elliptica). Kesan dari getah Ipoh ini bila masuk ke saluran darah boleh menyebabkan aktiviti jantung akan meningkat dengan drastik dan bergedup kencang. Ini mengakibatkan jantung akan kejang dan saluran darah akan pecah! Berbeza dengan kesan racun daripada sumber binatang berbisa yang mana ianya boleh menyebabkan kematian sel-sel neuron, kekejangan otot melampau, lumpuh dan kecatatan kekal (mengalir ke otak). Namun, sekiranya musuh yang terkena racun tersebut sememangnya alergik dengan bahan-bahan racun ini, dos yang kecil sudah cukup untuk membawa kepada kematian.

Labah-labah paling berbisa di dunia

Jika dalam keilmuan silat diajar cara-cara membuat racun, maka ianya juga mengajar kaedah untuk membuat penawarnya. Jika hanya belajar membuat racun sahaja, maka tiadalah lengkap ilmu seseorang pendekar itu. Penawar kepada racun berbeza mengikut kepelbagaian racun itu sendiri. Itu bergantung kepada pecahan ilmu racun seperti;

1. Ilmu racun darah dan sumsum tulang.
2. Ilmu racun tulang dan otot.
3. Ilmu racun saluran pernafasan.
4.Ilmu racun saluran pencernaan.
5. Ilmu racun saraf.
6. Ilmu racun kulit dan mata.
7. Ilmu racun jantung dan pembuluh darah.

Salah satu kaedahnya untuk menghadapi kesan getah ipoh (jantung dan pembuluh darah) adalah dengan melumurkan pati dari buah asam. Dan ada juga yang mengamalkan petua memakan tanah. Pesan Guru, adakalanya racun boleh menjadi penawar kepada racun yang lain.

Terdapat pelbagai teknik untuk menyerapkan racun pada senjata. Ianya bergantung kepada guru yang mengajar. Ada melalui coletan ke mata senjata, melalui rendaman (beberapa hari) di dalam suatu bekas tertentu yang biasanya diperbuat dari buluh (sumber tumbuhan) dan secara ditanak. Racun yang amat berbisa adalah racun yang diperbuat daripada campuran racun yang bersumberkan tumbuhan dan bisa dari binatang- binatang. 

Wallahua'lam

Tuesday, August 9, 2011

MATI LANGKAH DAN LANGKAH SUMBANG

Salamun Alaik,
Sewaktu berpencak, pesilat seharusnya menyusun gerak langkah dan susunan tapaknya agar ianya tidak berlangkah sumbang dan seterusnya dapat mematikan langkah musuh. Dalam keilmuan silat, Mati Langkah bermaksud suatu kedudukan yang tidak memberikan ruang dan peluang untuk menyerang atau membela diri tetapi sebaliknya membuka ruang dan peluang kepada pihak lawan untuk menyerang. Langkah Sumbang pula bermaksud susunan gerak langkah yang tidak teratur dan memudahkan untuk pihak lawan mematikan langkah atau mengambil kesempatan untuk menyerang. Namun, ada juga sesetengah perguruan mengamalkan Langkah Sumbang ini sebagai suatu helah dan ikhtiar untuk memerangkap pihak lawan.

Kedudukan salah satu tapak di antara kedua tapak musuh

Bagi mematikan langkah musuh, pesilat biasanya akan mengatur susunan langkahnya agar berjaya meletakkan salah satu daripada tapak kakinya diantara kedua tapak kaki musuh dalam berkeadaan dada pesilat menghala ke arah musuh manakala dada musuh menghala ke arah lain. Kedudukan posisi sebegini menjadikan sudut pandangan pihak lawan di luar daripada sudut normal iaitu lebih kurang 60 darjah yg diukur dari garis pusat mengarah ke luar. Situasi ini mengakibatkan pihak lawan kurang keupayaan mengesan gerak serangan pesilat di samping terdapat sebelah tangan dan kakinya yang berada di luar sudut pertempuran.

Kedudukan yang boleh mematikan langkah musuh

Selain itu, ada juga pesilat menggunakan Langkah Songsang bagi mematikan langkah musuh. Langkah Songsang bermaksud, langkahan gerak tapak pesilat mengikut gerak tapak pihak lawan secara imej cermin (contohnya, musuh kaki kiri depan, pesilat kaki kanan depan).

Semoga perkongsian ilmu ini beroleh manfaat buat kita semua. 

Wallahua'lam

Monday, August 8, 2011

RIADAH "MATA HATI"

Salamun Alaik,

Mata merupakan salah satu daripada 5 organ deria yang ada pada manusia. Ia berfungsi sebagai penerima balikan cahaya daripada objek dan menghantarkan segala maklumat yang diterima ke otak untuk ditafsirkan melalui sistem saraf. Maknanya, mata manusia hanya berfungsi bila ada kehadiran cahaya, tanpa cahaya maka tiadalah kemampuan manusia itu untuk melihat. Sebagai contohnya, pada waktu malam yang gelap gelita, penglihatan manusia akan menjadi amat terhad dan kurang jelas. Jika dipejamkan mata pula, kita langsung tiada kemampuan untuk melihat sesuatu umpama melihat tanpa hadirnya cahaya.

Sebenarnya, seseorang manusia itu tidak hanya melihat dengan mata kasar semata-mata. Terdapat satu lagi kemampuan untuk melihat dan menilai akan sesuatu perkara dengan lebih halus dan mendalam iaitu melalui MATA HATI. Mata kasar manusia mudah ditipu dan sering diperdaya dengan pelbagai ilusi dan khayalan minda sedangkan MATA HATI lebih jujur dan ianya dipandu oleh GERAK NALURI INSAN yang luhur dan suci. Cahayanya berpunca dari sumber segala Cahaya. Begitu hebatnya penglihatan MATA HATI ini. Tetapi kenapa ramai manusia yang kurang berkemampuan untuk menggunakannya? Sama-samalah kita mencari jawapannya.

Di dalam Ilmu Persilatan pula, ada antara riadah/latihan nya iaitu berlatih bertempur (berpencak) dalam keadaan mata tertutup. Tujuannya adalah jelas, iaitu melatih pesilat-pesilat fokus kepada kekuatan "mata hati" mereka. Pada peringkat ini, tiada lagi pergantungan kepada mata, tetapi pesilat haruslah berusaha menangkis segala serangan musuh menggunakan GERAK RASA dan FIRASAT HATI yang lahir dari MATA HATI yang suci.  InsyaAllah, dengan bimbingan GURU yang ARIF, pesilat mampu menguasai RIADAH MATA HATI ini dengan sempurna dan menyerap segala KERAHSIAAN lain berkaitan HAKIKAT MATA HATI ini.Bagi pengamal silat, kesempurnaan sesuatu tindakan adalah amat bergantung kepada berapa pantas diri kita memberi refleks kepada apa yang diterjemahkan oleh AKAL dan dinilai oleh HATI.

Apakah RAHSIA kepada Riadah Mata Hati ini?
Riadah Mata Hati diperkenalkan dalam Keilmuan Silat ini adalah semata-mata untuk mengenal dan membezakan antara AKAL dan HATI. Segala cabang ilmu yang HAK akan membawa pengamalnya mengenal kepada EMPUNYA ILMU tersebut. Perbezaan arah memandang menyebabkan terjadi perbezaan daya nilai dan daya rasa.


[petikan Al-Hikam]
Orang akal lebih cenderung kepada fahaman falsafah yang berdiri di atas kemanusiaan sejagat iaitu fitrah manusia. Keberkesanan hukum sebab-akibat membentuk formula-formula yang seterusnya melahirkan hukum logik yang dipegang oleh akal. Sukar bagi akal untuk melihat bahawa Allah s.w.t yang meletakkan dan menetapkan keberkesanan hukum sebab-akibat itu. Orang akal memerlukan masa untuk berfikir dan menimbang sehingga mereka melihat dan mengakui kerapian serta kesempurnaan hukum yang mereka pegang itu. Setelah sampai kepada pengakuan yang demikian baharulah mereka beralih memerhatikan apa yang datang dari Tuhan.


Orang hati pula terus menyaksikan Ketuhanan pada apa yang disaksikan. Mereka melihat perjalanan sebab dan akibat sebagai tadbir Allah s.w.t. Mereka juga mengambil sebab dalam melakukan sesuatu tetapi ketika mengambil sebab itu hati memandang kepada Allah s.w.t, meletakkan pergantungan kepada-Nya yang mentadbir sebab musabab itu, bukan bersandar kepada sebab semata-mata. Jika sebab gagal menghasilkan akibat menurut hukum logik, orang hati melihat kekuasaan Allah s.w.t mengatasi segala sebab. Orang akal yang berhadapan dengan keadaan yang demikian sering diganggu oleh kekeliruan dan mereka mencari formula baharu untuk mengembangkan logik.


Walaupun terdapat perbezaan cara memandang tetapi tidak seharusnya berlaku berselisihan di antara dua golongan tersebut. Satu golongan harus menghormati daya nilai dan daya rasa golongan yang satu lagi. Walau bagaimana pun orang akal harus sedar bahawa mereka sedang bergerak ke arah daerah orang hati kerana iman, ikhlas, berserah diri, takwa dan lain-lain nilai baik dalam agama adalah nilai hati yang mengeluarkan niat.
 

Wallahua'lam.

Sunday, August 7, 2011

PENUMBUK DAYUNG

Salamun Alaik,
Terdapat pelbagai jenis bentuk serangan tangan seperti pancung dayung (back knife hand), selayang pancung (knife hand), setangkai padi (thumb knuckle strike), siku (elbow strike), tusuk (finger jab), sauk (uppercut), tumbuk layang (hook), telapak (palm strike), seligi (knuckles strike), hentak sepukal (backfist), genggam sepukal (hammer fist) dan sebagainya, namun PENUMBUK LURUS (straight punch) merupakan perbuatan yang paling asas ketika melakukan serangan tangan. Tumbuk Lurus ini pula mempunyai 3 gaya serangannya;

1. Tumbuk Langsung (terus)
Tumbukan yang dilepaskan daripada kedudukan sedia terus ke sasaran secara horizontal tanpa mengubah keadaan tangan. Kebiasaannya, tumbuk langsung dilaksanakan oleh tangan dihadapan (sewaktu gaya pasang).

2. Tumbuk Pintal Tali 
Tumbukan dilaksanakan daripada kedudukan Kelek Anak (genggaman di rusuk), bergerak secara berpintal sebelum penumbuk sampai ke sasaran. Kebiasaannya, tumbuk Pintal Tali dilaksanakan oleh tangan dibelakang (sewaktu gaya pasang).

3. Tumbuk Dayung (Berkisar)
Tumbukan paras dengan gerakan tangan secara berkisar dari atas ke bawah secara pusingan Tawaf dan seterusnya bergerak secara horizontal ke sasaran. 
Kaedah untuk melaksanakan Tumbuk Dayung

KELEBIHAN TUMBUK DAYUNG
1. Serangan jarak HASTA. Anda mampu memberikan impak yang kuat kepada sasaran maut musuh walaupun dalam jarak yang amat dekat berbanding Tumbuk Langsung.
2. Masa Reaksi lebih singkat berbanding Tumbuk Pintal Tali.
3. Mampu dilaksanakan dengan secara BERANGKAI secara tunggal (tangan yang sama).
4. Boleh mengubah haluan serangan dengan mudah tanpa mengurangkan impak tumbukan.
5. Merupakan serangan yang berbentuk pertahanan. Sambil menyerang sambil menangkis. 
6. Menyembunyikan PUNCA GERAK(bahagian bahu)sewaktu mula bergerak dan keadaan ini menyukarkan pihak musuh membaca gerak pada tubuh kita.
7. Mampu untuk menyerang sambil mengubah tapak. Maknanya, ianya amat fleksibel dan mengikut rentak gerakan langkah. Sambil melangkah sambil menyerang.

Wallahua'lam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...