Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Friday, June 22, 2012

SENI SENJATA #5 : HANYA MIRIP DAN BUKANLAH SENI SEBENAR?

Salamun Alaik;
Seni Cendai semakin ditonjolkan dan bukanlah menjadi RAHSIA lagi.

Kadangkala SENI yang dianggap RAHSIA dan SULIT dalam sesebuah perguruan adalah sekadar mainan asas dalam perguruan yang lain dan sebaliknya. Tidak terkecuali seni-seni sulit dalam perguruan Silat Seni Gayong yang mana hanya diajar kepada pesilat yang bertaraf jurulatih tetapi di perguruan lain atau dalam sistem martial arts mungkin diajar diperingkat murid dan secara terbuka.

 
 

Komen dan Pandangan Penulis

* bersambung.

Wallahua'lam.

Thursday, June 21, 2012

SENI SENJATA #4 : Penggunaan Perisai Sebagai Alat Penangkis

Salamun Alaik;
Angkatan Perang Islam suatu ketika dulu juga pernah menggunakan Perisai ketika berperang.

Kemahiran berperang menggunakan senjata-senjata panjang yang melibas seperti Parang Panjang, Pedang,  Sundang dsb nya tidak lengkap jika tiada diajar bersama PERISAI sebagai alat penangkis. Mengikut sejarah dunia, hampir kesemua angkatan perang terhebat di dunia pernah menggunakan perisai ketika berperang. Antaranya; Aztecs, Roman Legion, Mamluk,Spartan, Ottoman, Persia, Vikings dan Knights.
 Spartan Warriors
Knight Warriors
Roman Warrior

Tidak terkecuali di Alam Melayu, perisai juga pernah menjadi sebahagian daripada senjata yang dibawa berperang. Terdapat pelbagai jenis perisai yang digunakan di Alam Melayu ini, antara yang popular adalah perisai Sarawak, perisai Acheh dan perisai Pattani. Pembuatannya ada sedikit perbezaan kerana ianya menggabungkan unsur kayu, rotan dan logam.

Pahlawan Sarawak dengan perisainya yang berbentuk heksagon.

Perisai Acheh yang diperbuat daripada unsur Kayu, Rotan dan Logam yang berbentuk bulat

Perisai Pattani berbentuk bulat dan dibuat sepenuhnya daripada rotan.

Ayahanda Amin Hamzah bersama Ustaz Wan Abdul Halim

Dalam Keilmuan Gayong, Arwah Mahaguru pernah mengajar beberapa orang murid beliau kaedah berpencak menggunakan Parang/Pedang dan Perisai ini pada pertengahan 80-an. Perisai yang diajar ketika itu adalah diperbuat sepenuhnya daripada rotan. Antara kelebihan Perisai Rotan ini adalah kerana sifatnya yang ringan, tahan lasak, tindakbalas yg bersifat lantunan dan ada ruang untuk mengintai (tidak menutup pandangan).

Wallahua'lam.

Wednesday, June 20, 2012

SENI SENJATA #3 : Bila Senjata Bertembung, Siapa Yang Menang?

Salamun Alaik;
Bila pisau bertemu tongkat......."Siapa Cepat Dia Dapat"


Untuk 'mengenali' dan menguasai setiap senjata, perbandingan antara senjata perlu diambil perhatian agar dapat lebih memahami di mana kelebihan dan kekurangan bagi setiap senjata yang di pegang atau senjata yang perlu pesilat berdepan. 

Dalam Keilmuan Gayong, pesilat akan diajar menguasai satu-satu senjata itu bagaimana untuk mengemudi untuk dijadikan pakaian diri dan bagaimana pula kaedah untuk menghadapinya sama ada bertangan kosong, senjata yg sama atau dengan senjata yang lain. Di sinilah kita mampu menilai setiap kekuatan dan kelemahan yang ada bagi setiap senjata. Maka secara ringkasnya, bila dua jenis senjata yang berbeza bertembung, tiada yang menang dan tiada yang kalah, semuanya hanya bergantung kepada pengemudinya yang memerlukan kemahiran dan kecekapan. 

Video diatas menunjukkan penulis mendemostrasikan keadaan pesilat memegang 2 pisau menghadapi senjata tongkat dan sebaliknya (pesilat memegang tongkat menghadapi dengan musuh bersenjatakan 2 pisau).

Wallahua'lam

Tuesday, June 19, 2012

SENI SENJATA #2 : Sudut dan Arah Serangan Senjata

Salamun Alaik;

9 sudut dan arah serangan senjata adalah pedoman bagi pesilat dalam mempelajari kaedah "ambil" atau "beli" bagi setiap jenis serangan senjata. Contohnya;

Pisau
Arah 1 - Pasak Jantan
Arah 2 - Radak Sula
Arah 3 - Pasak / Rembat Relang(luar)/hiris (amok) - sasaran leher/belakang/bahagian depan/buah pinggang
Arah 4 - Radak/ Rembat Keli (dalam) - Peha/buah pinggang/rusuk belakang
Arah 5 - Pasak / Rembat Relang (dalam)/hiris (amok) - sasaran leherbelakang/bahagian depan/buah pinggang.
Arah 6 - Radak/ Rembat Keli (luar) - Peha/buah pinggang/rusuk belakang
Arah 7 - Kelar/Simbat Lapah (luar) - sasaran leher (aras atas), dada (aras sederhana), peha dan ligamen lutut (aras bawah)
Arah 8 - Kelar/Simbat Lapah (dalam) - sasaran leher (aras atas), dada (aras sederhana), peha dan ligamen lutut (aras bawah)
Arah 9 - Tikaman Anak Sungai, Hentak, Tusuk - sasaran mata dan leher (aras atas), dada/perut (aras sederhana), penyawa (aras bawah).

Begitulah seterusnya untuk senjata-senjata lain. Namun,tidak kesemuanya bersifat menyerang dengan kesemua sudut dan arah yang sembilan ini. Maka, dari PETUA ini, pesilat akan berlatih Teknik Elakan berdasarkan kemampuan musuh mengemudi senjata mengikut 9 arah dan sudut serangan senjata ini.

Wallahua'lam.

Monday, June 18, 2012

SENI SENJATA #1 : Kenal Sifat dan Fungsinya

Salamun Alaik;
Gambar Hiasan
Dalam Keilmuan Gayong, terdapat 21 jenis senjata Alam Melayu yang  perlu dikuasai oleh pengamal-pengamalnya. Setiap satunya mempunyai kelebihannya tersendiri berdasarkan kepada kaedah guna dan kesesuaiannya. Untuk mengenali kelebihan bagi setiap senjata tersebut, maka setiap pengamal seharusnya MENGENAL SIFAT DAN FUNGSI nya terlebih dahulu berdasarkan 7 Petua Asas iaitu;

1. Bentuk Senjata - Panjang, Pendek, Tajam, Tumpul dll
2. Kaedah Pegang - Genggam sebelah (lurus, pasak, radak, selit), genggam dua tangan dll
3. Jenis Serangan - Tikam, Hentak, Pasak, Radak, Kelar, Hiris, Libas dll
4. Sudut Serangan - Berdasarkan 9 sudut serangan senjata.
5. Jarak Guna - Jarak dekat, sederhana dekat, jarak sedepa (pedang, lembing), jauh (pemanah, senjata lontar).
6. Sifat 'Makan' - Sesuai utk seorang musuh atau jumlah yang ramai (sifat makan secara menikam kurang sesuai untuk digunakan berdepan musuh yang ramai berbanding melibas).
7. Gerak Lambai - Pengamal mampu mengkaji kaedah paling efektif untuk mengemudinya.

Berdasarkan PENGETAHUAN di atas, maka dirangkalah susunan pelajaran bagi setiap senjata yang 21 itu. Setiap satunya disusun dengan tertib supaya pengamalnya dapat memahami setiap satunya secara ansur maju. Tertibnya seperti berikut;

1. Asas Senaman Senjata.
2. Asas Gerakan.
3. Golongan (Rangkuman Gerakan2 Asas)
4. Asas Elakan.
5. Elakan Maut / Kombat
6. Kuncian Mati.
7. Kuncian Hidup (Pentas)
8. Serangan Bebas.
9. Rahsia Senjata (Peringkat Guru)
10. Petua dan Amalan (Peringkat Guru)

Wallahua'lam.

Tuesday, June 5, 2012

PELAJARAN PECAHAN

Salamun Alaik;
Penulis sedang mengaksikan Pecahan ke-7 bagi Buah Kunci 3 dan contoh aplikasinya.

Pelajaran Pecahan didedahkan pada peringkat Jurulatih adalah bertujuan untuk mendedahkan pelbagai variasi serangan dan juga kemungkinan yang mampu di laksanakan oleh pihak lawan ketika kita menyambut serangan mereka dengan pelajaran-pelajaran telah diajar diperingkat asas.

Walaupun banyak bilangannya, namun ianya bukan untuk dihafal tetapi untuk melatih Gerak Diri agar ianya menjadi sebati. InsyaAllah, dengan latihan yang konsisten dan disulami dengan Petua-Petua Guru, setiap Pelajaran  yang dipelajari akan menjadi PAKAIAN DIRI dan mampu untuk digunakan ketika keadaan yang terdesak.

Wallahua'lam.

Monday, June 4, 2012

KONSEP ELAKAN

Salamun Alaik;
Guru Amin Hamzah menunjukkan Kaedah Asas melakukan Elakan.

Elakan amat penting untuk anak-anak Gayong kuasai kerana ianya adalah ASAS kepada MENGHINDAR dari serangan pihak lawan dan sebagai ASAS SUSULAN kepada GERAK PEMUSNAH samaada menggunakan corak menyerang ke sasaran  maut ataupun bercorak mengunci/mematahkan sendi pihak lawan.

Dalam Keilmuan Silat Seni Gayong, terdapat 7 KONSEP penting yang perlu difahami dan dilatih agar pengamalnya mampu MENGUASAI dengan sempuna ELAKAN GAYONG ini.

Pertama: Konsep Elakan Gayong adalah MENGELAK DARI SERANGAN MUSUH DAN MAMPU UNTUK MEMBUAT SERANGAN BALAS/SUSULAN TEPAT KE SASARAN MAUT SEHINGGA MUSUH TIDAK BERUPAYA UNTUK TERUS MENYERANG. Makna nya, bukan semata-mata elak tanpa mampu membuat serangan balas atau sekadar elak pukul tetapi musuh masih berupaya melakukan serangan-serangan susulan. Untuk mencapai Konsep Elakan Gayong,Ianya memerlukan kefahaman yang mantap terutamanya dalam aspek;
1. Tapak Kekudanya.
2. Gaya Menanti (Perletakan Tangan)
3. Arah Pandangan (Mata)
4. Anatomi Tubuh (Sasaran Maut)
5. Petua Jarak (Kaedah Ambil/Sambut)
6. Petua Gerak (Makan Gerak, Makan SeGerak, Makan Gerak dalam Gerak dll).
7. Arah Mata Angin (Kaedah Pelangkahan)

Kedua: ELAKAN ADALAH HIDUP DAN BERSIFAT SEPERTI AIR MENGALIR.

Ketiga: ELAKAN SALING BERSANDARAN DAN BERSILIH GANTI.

Keempat: ELAKAN DAN GERAK SERANG ADALAH SATU DAN TIADA BERPISAH.

dan seterusnya.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak mampu memberikan idea dan konsep sebenar dalam melaksanakan Elakan Gayong. InsyaAllah selebihnya akan saya kongsikan dalam Muzakarah Ilmu pada 6hb Jun ini untuk Jurulatih-Jurulatih Muda Gayong Serantau Kelantan di Gelanggang Syamsul Maarif, Pulai Chondong, Kelantan.

Wassalam.

Saturday, June 2, 2012

SOAL JAWAB : KENAPA SAYA BERNAUNG DI BAWAH GAYONG SERANTAU?

Salamun Alaik;

Di dalam Majlis inilah, Allahyarham Cg Ahmad Lazim telah berpesan kepada saya.

Soalan dari Sahabat: 
Kenapa Tuan bernaung di bawah Gayong Serantau sedangkan ADMAR menubuhkan  Gayong Malaysia (PSSGM)?

Jawapan dari saya: 
Saya sebenarnya masih bernaung di bawah PSSGM di Labuan walaupun di Kelantan saya bernaung di bawah Gayong Serantau. Di Labuan, saya hanya membantu pssgm kerana di sana kurang kekuatan dari aspek pengurusan mahupun kejurulatihan. jika dah steady, saya bila2 masa akan daftarkan cawangan gayong serantau di sana. Kenapa dan mengapa saya bernaung di bawah Gayong Serantau, adalah kerana PESANAN dari Arwah Cg Ahmad Lazim pada tahun 2005 kepada saya dan berdasarkan Surat Wasiat daripada Arwah Cg Kalsom yang SAH dari sudut SYARIAH nya. Arwah Cg Ahmad Lazim berpesan kepada saya ketika Majlis Penyampaian Bengkong di Dewan PUO, Ipoh pada 2005 yang lalu; 

Bantulah Cikgu Amin Hamzah dan jangan sesekali tinggalkan beliau. 
Beliau telah menerima bermacam Ilmu dan Amanat daripada Arwah Mahaguru dan 
juga ikutlah Cikgu Wan (Dato' Wan Ahmad Fauzi) kerana 
beliau diamanahkan oleh Cg Kalsom(arwah) utk menggantikan KAMI. 

Kedua mereka ini (Arwah Cg Ahmad Lazim dan Arwah Cg Kalsom) adalah sebagai Pemegang Amanah melalui surat wasiat(1989). Manakala jika merujuk pada surat wasiat (1987) dan Majlis Pentauliahan, Arwah Cg Kalsom telah ditauliahkan sebagai Waris Amanah Mutlak dan Arwah Cg Razali sebagai pemegang amanah bahagian pentadbiran. Maka dalam kedua-dua situasi, Arwah Cg Kalsom lah yang paling konsisten yang ditauliahkan sebagai Waris Amanah Mutlak. Walaupun, ada suara2 sumbang yang cuba menafikan kuasa dan hak Arwah Cg Kalsom sebagai Waris Amanah Mutlak, dan sekadar Waris Amanah Bahagian Wanita shj, namun semuanya adalah berdasarkan ANDAIAN dan KEFAHAMAN TAFSIRAN sendiri sahaja. Jika benar sekalipun, berdasarkan PESANAN Arwah Cg Ahmad Lazim kepada saya pada tahun 2005 supaya ikut Cg Wan (Dato') kerana Arwah Cg Kalsom  telah melantik beliau sebagai penggantinya, maka jelaslah disini, Arwah Cg Ahmad Lazim sendiri juga MERESTUI LANTIKAN itu (mewakili Waris Amanah Bahagian Lelaki). Kesimpulannya; Kedua-dua Waris Amanah telah bersetuju melantik Dato' Wan Ahmad Fauzi sebagai pengganti mereka.  Jelas di sini, tiada istilah MELAMPAUI BIDANG TUGAS oleh Arwah Cg Kalsom seperti mana PEGANGAN oleh sekumpulan pihak dalam PSSGM sehingga tertubuhnya Lembaga Waris Amanah PSSGM yang baru (lantikan syok sendiri).

Berdasarkan pegangan saya di atas, bila mana mereka berdua (Cikgu Amin Hamzah dan Dato Wan Fauzi) TERPAKSA bernaung di bawah Gayong Serantau di atas masalah politik pentadbiran,maka saya pun ikut serta mereka berdua di atas kapasiti Dato' Wan Ahmad Fauzi sebagai Waris Amanah Mutlak yang menggantikan Pemegang Amanah sebelum ini dan Cikgu Amin Hamzah sebagai GURU dan AYAH ANGKAT saya.

Harap sahabat yang bertanya berpuas hati dengan penjelasan saya.

Lampiran Dokumen Berkaitan;









*Bagi surat2 watikah yang wujud sebelum atau selepas daripada surat watikah di atas adalah TERBATAL sebagaimana mengikut "klause" berikut;


"Jika sekiranya ada perlantikan seumpama ini dibuat oleh saya kepada sesiapa sahaja 
maka ia hendaklah terbatal dan tidak berkuatkuasa."

Kenapa wujudnya "klause" di atas? Kerana bila sahaja "mereka-mereka" ini telah mengetahui Arwah Cg Kalsom mengeluarkan surat watikah ini buat Cg Wan Fauzi (Dato'), maka datanglah "mereka-mereka" ini tanpa segan silu utk mendapatkan juga watikah tersebut daripada arwah dengan cara mendesak dan memaksa (siap dah tulis siap2 atas sijil dan minta arwah tandatangan sahaja!).

Sebelum ini juga telah wujud usaha-usaha jahat bagi menghalang surat watikah ini dikuatkuasakan. Antaranya, diwujudkan surat yang yang bertarikh 2006 pada tahun 2010 oleh golongan tertentu (Tandatangan Arwah juga DIKATAKAN PALSU jika dilihat atas faktor kesihatan/kemampuan arwah pada saat itu yang mana tidak mungkin sesekali mampu menurunkan tandatangan yang kemas dan sempurna). Antara isi kandungan surat tersebut adalah membatalkan kesemua surat2 watikah yang telah arwah keluarkan kepada Dato Wan Ahmad Fauzi. Namun, saksi yang DIPAKSA BERSUBAHAT telah pun membuat laporan polis setelah sedar kesilapan beliau bersubahat dalam kes ini.

Sama-sama kita renungkan.


Wassalam.

Friday, June 1, 2012

SENI SIKU

Salamun Alaik;
Penulis menggayakan Gerak Serangan Siku.

Petikan daripada Buku Panduan Gurulatih Gayong Serantau Kelantan.

- Seni Siku merupakan antara Seni Tempur Gayong yang digunakan  sebagai senjata ampuh dalam pertempuran JARAK DEKAT.

- Ianya juga banyak digunakan sebagai SERANGAN SUSULAN ATAUPUN SEBAGAI PEMUSNAH  dalam elakan maut ataupun buah kombat.

- Terdapat 13 PERGERAKAN ASAS dengan 12 GERAK MENYERANG dan 1 GERAK PEMUSNAH SERANGAN SIKU.

- SASARAN SERANGAN UTAMA adalah di 13 daerah tubuh iaitu;
1. Sisi Muka
2. Rahang
3. Sisi Leher
4. Dagu
5. Belakang Tengkok
6. Rusuk
7. Sendi-sendi
8. Ulu Hati
9. Tulang Belakang
10. Penyawa
11. Ubun -Ubun
12. Batang Hidung
13. Titik Saraf

- Kedudukan Menantinya secara LAGAK SELADANG BERJUANG yang mana Tapak Tangan mengarah ke depan (mengadap musuh). Kenapa dan mengapa perlulah berjumpa Guru.

- Dimainkan secara;
1. Segerak
2. Lapis
3. Tiga Daun.

- Serangannya bersifat BERANGKAI dari gabungan serangan dan belaan yang padu dan sepantas kilat.

- Gerakan Bahu dan Lutut amat membantu dalam meningkatkan daya dan momentum serangan siku.

- Kemantapan dan kekuatan serangan siku banyak didorong oleh SENAMAN KHAS yang merupakan RAHSIA dalam permainan seni siku ini.

- Silibus Siku terdiri daripada;
1. Gerakan Asas.
2. Elakan Siku.
3. Kombat Siku.
4. Gerak Tempur Siku (Konsep Permainan)
5. Petua Serangan Siku.
6. Petua Belaan Siku.
7. Pemusnah Serangan Siku.

- 12 Pergerakan Serangan Siku;
1. Siku Layang.
2. Layang Tembi.
3. Siku Hentak.
4. Tembi Sula.
5. Siku Tembi.
6. Tembi Siku.
7. Siku Renchong.
8. Renchong Tembi.
9. Siku Sangga.
10. Sangga Tembi.
11. Tembi Pasak.
12. Tembi Radak

- Pergerakan Pemusnah Siku;
1. Tembi Pasung
Siku Tembi

* bersambung


Wallahua'lam.

Sunday, May 20, 2012

DI MANAKAH LETAK DUDUK KEASLIAN PELAJARAN SILAT SENI GAYONG?

Salamun Alaik;
Sekadar gambar hiasan

Seringkali kita berbicara berkaitan KEASLIAN sesuatu ILMU yang diperturunkan oleh Guru-guru Gayong yang menggalas tanggungjawab menyampaikan amanat oleh Allahyarham Mahaguru. Susulan dari isu ini, maka timbullah persoalan yang memerlukan jawapan dari kita semua yang bergelar Gurulatih Silat Seni Gayong. 

"DI MANAKAH LETAK DUDUK KEASLIAN PELAJARAN SILAT SENI GAYONG?"

Adakah pada SENAMAN nya?

Adakah pada TAPAK dan GERAK LANGKAH nya? 

Adakah pada Gaya Menanti nya?
Adakah pada GERAKAN nya?

Adakah pada ELAKAN nya?

Adakah pada BUAH KUNCIAN nya?

Adakah pada BUAH PUKULAN atau KOMBAT nya?

Adakah pada BUAH HIDUP/GULUNG/PENTAS nya?

Adakah pada SENI SENJATA nya yang merangkumi 21 senjata di Alam Melayu/Nusantara?

Adakah pada SENI-SENI TEMPUR GAYONG yang merangkumi Yoi, Rajawali, Serangan Harimau, Seligi, Siku, Kaki, Selayang Pandang dll ?

Adakah pada SENI nya?

Adakah pada MAKSUD GAYONG nya?


Adakah pada NALURI TEMPUR atau SEMANGAT MEMBUNUH nya?

Adakah pada ANGKA 7,14,21,36,49,349 dan 360 nya?

Adakah pada BACAAN MANTERA, PERNAFASAN atau AMALAN KEBATINAN nya?

Adakah Keaslian itu merujuk kepada pelajaran yang diperturunkan oleh ADMAR sahaja atau juga pecahan pelajaran yang terbit daripada gubahan oleh Guru-guru Kanan ADMAR. 

Bagaimana untuk mengesahkan pelajaran tersebut adalah asli ataupun tidak?

Adakah keasliannya terletak kepada KONSEP ILMU ataupun SISTEM nya? Jika benar, maka buah baru dibolehkan digubah oleh mana-mana Gurulatih sejak dahulu, kini dan masa depan.

Kebanyakan buah-buah sulit Gayong juga ada pada Martial arts luar negara manakala asas gerakan, elakan, nuah kuncian, kombat juga ada kesamaan. Kadang2 istilah yang digunakan sahaja yg lain tetapi gerak dan konsepnya sama sahaja. Oleh yang demikian, boleh kah kita mengatakan semua ini adalah ASLI dari Gayong atau asimilasi daripada Martial Arts lain ataupun sememangnya gerak fitrah yang mampu digubah oleh mana2 bangsa di dunia ini?


Jika kita masih menganggap segala pelajaran berbentuk buah-buah yang perlu dihafal ini sebagai asli dan tidak boleh diubah maka Silat Seni Gayong merupakan silat yang hanya bersifat statik. Sedangkan pakaian seorang pendekar adalah ilmunya yang bersifat dinamik dan berubah2 mengikut faktor keadaan dan persekitarannya.

Ini antara secebis daripada sejumlah persoalan yang timbul tentang di mana letaknya KEASLIAN GAYONG. Berdasarkan persoalan-persoalan di atas, marilah sama-sama kita merungkai dan mencari JAWAPANnya.


Wallahua'lam.



Wednesday, May 9, 2012

SIJIL DAN LOGO GAYONG SERANTAU

Salamun Alaik;

Logo yang diedit dan dimurnikan dengan saiz yang lebih besar khusus buat sahabat2 dari Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (no.pendaftaran 736/2001).





 
Boleh digunakan untuk Lencana, sulam di baju, sticker kereta, sijil dsb nya. Semoga dapat membantu kalian semua.

Wassalam.

Sunday, May 6, 2012

SENI SERANGAN SARAF

Salamun Alaik;
Klip Video ketika Latihan Mingguan untuk Jurulatih

Seni Serangan Saraf amat penting utk diaplikasikan dalam Seni Rajawali dan Seni Serangan Bapak Harimau. Merangkumi 7 Jalur Saraf Utama dengan 49 cabang jalurnya yang dijadikan fokus serangan. Konsep Serangan mementingkan ketepatan tanpa memerlukan daya kekuatan yang tinggi. Menepati Konsep Tempur Gayong "Ekonomi dalam setiap pergerakan, daya dan masa sentuhan".

Lihat juga Sentuhan Maut http://chulahitam.blogspot.com/2012/03/sentuhan-maut.html

Wallahua'lam

TUJUH KONSEP GERAK TEMPUR

Salamun Alaik,
Sekadar gambar hiasan.

Dalam Seni Tempur, terdapat 7 KONSEP GERAK yang perlu dipelajari, difahami dan dikuasai oleh PENGAMAL SILAT. Tujuh Konsep tersebut adalah;

1. Makan Gerak
2. Makan Segerak
3. Makan Gerak Dalam Gerak
4. Makan Dalam Gerak
5. Makan Sebelum Gerak
6. Makan Ikut Gerak
7. Makan Dengan Gerak

Namun, peringkat yang tertinggi dalam KONSEP MAKAN dan GERAK ini adalah "Makan Tanpa Gerak" atau juga dipanggil HAMPA GERAK.

Setakat ini sahaja perkongsian dari penulis, semoga beroleh kefahaman dan idea walau ianya tidak dijelaskan secara terperinci atas dasar menjaga ADAB BERGURU.

Wallahua'lam.

Sunday, April 22, 2012

MENGUJI KETAHANAN DIRI #1 : UJIAN GANTUNG

Salamun Alaik;
Inilah diantara Ujian yang menjadi Amanat Ilmu Arwah Mahaguru buat Guru Amin Hamzah. 

Ujian Gantung merupakan SALAH SATU daripada 7 ujian yang perlu ditempuh bagi Pemegang Bengkong Harimau Pelangi Chula Sakti dalam KEILMUAN SILAT SENI GAYONG. Kenapa perlu diuji dengan ujian gantung? Ujian gantung ini sebenarnya bertujuan untuk mengukur tahap keupayaan seseorang dalam;

1. Mengolah Nafas Gayong
2. Mengunci Tubuh
3. Zikir Dabus
4. Yakin pada ILMU dan GURU
5. Semangat Keberanian
6. Kekuatan Minda
7. Ibu Gayong dalam DIRI

"Setiap Ilmu ada Ujiannya"

Wallahua'lam.

Wednesday, April 18, 2012

BICARA GURU #2 : Berkongsi Pengalaman BerGAYONG

Salamun Alaik;

Wassalam

BICARA GURU #1 : Pengenalan Kursus Tangan Kosong

Salamun Alaik;

Sekadar berkongsi pesanan dan Amanat dari Guru Amin Hamzah sewaktu Kursus Seni Tangan Kosong bertempat di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan pada Disember 2010.

Wassalam

RAHSIA DIBONGKAR #2 : Siapa Wali Kesakti dalam Pantun Rahsia Gayong?

Salamun Alaik,

Assalamualaikum Ya Rijalul Ghaib.
Ya Bolyan Ibni Malkan
Ya Qutubul 'Alam.

Merujuk Kitab Al-Hawi Lil Fatawi karangan Imam Sayuti, terdapat 4 Nabi yang masih HIDUP dan ditangguhkan Kematian mereka. 2 di LANGIT dan 2 di BUMI. Di Bumi adalah Nabi Khidir as dan Nabi Ilyas as. Nabi Khidir as inilah yang bergelar Qutubul 'Alam dan Khatamun Auliya'. Banyak Ilmu Hikmah adalah berpunca dari beliau, dan beliau jugalah yang bertanggungjawab menjaga Air dan mengawal Bumi. 

Begitulah secara ringkasnya SANAD ILMU bagi keilmuan Gayong (Ibu Gayong) ini. Memang sukar untuk dapatkan, apatah lagi untuk menguasainya. Ianya memerlukan disiplin, kesungguhan, keyakinan dan memiliki HATI YANG SUCI. InsyaAllah, dengan mendapat SANAD yang benar serta sentiasa BERADAB dengan GURU ( guru yang benar2 ada Sanad tanpa putus), jika ada rezeki, kita sendiri akan ketemui Nabi Khidir as ini secara mimpi atau bersemuka dengan IZIN-NYA ( beliau sering berjubah Hijau).


Wallahua'lam.

Monday, April 16, 2012

RAHSIA DIBONGKAR #1 : Khatam dan Isim Senjata

Salamun Alaik;
Selain 7 jenis Bunga, terdapat juga Bahan Khatam yang memerlukan 7 jenis Buah

Ringkasan Huraian yang dipetik daripada Buku Panduan Jurulatih Gayong Serantau Kelantan;

Dalam Keilmuan Gayong, setiap senjata ada KHATAM dan ISIM nya.

1. Pisau - Baling pisau dalam jarak tertentu dan perlu terpacak tepat ke sasaran. Isim nya khusus untuk KEBAL HIRIS dan TEPAT MEMBALING.
2. Tongkat - Menghadapi serangan pelbagai senjata di atas batang TITIAN. Isimnya adalah Amalan Pendekar Awang Bodoh.
3. Parang - Menahan Tetakan di bahagian Perut, lengan dan betis.Isimnya khusus untuk KENAL BESI dan KEBAL TETAK.
4. Keris - Upacara Istiadat di LAUT. Isimnya adalah Amalan Hang Tuah.
5. Lembing - Upacara Istiadat di AIR TERJUN. Perlu menangkap Rejaman Lembing oleh Guru dengan mata tertutup dalam Jarak tertentu (jarak tebing ke tebing). Isimnya adalah Amalan Megat Terawis.
6. Cendai - Upacara Istiadat di AIR MENGALIR. Isimnya khusus utk memberi BISA/PEMBERAT PUKULAN pada sehelai kain yang lembut.
7. Sundang - Mendagu dengan SUNDANG yang TAJAM yang digantung pada sebatang pokok. Isimnya adalah AMALAN PEDANG DZUL-FAQAR.
8. Kerambit - Bertempur dalam Kain Sarung. Isimnya adalah Amalan Halilintar (gerak pantas menyerang dan kunci gerak lawan)
9. Gada- Gada - Mengemudi tanpa menyentuh lantai dan tepat melempar ke sasaran. Isimnya adalah Amalan Pendekar Harimau Berantai.

dan seterusnya.......


#Pesanan Guru Tua : 

Pastikan bila belajar sesuatu senjata biar sampai Khatamnya, Ambil Petuanya dan Amalkan Isimnya. Namun, KUNCI nya ada pada TAPAK GAYONG. Gali dan terus mencari RAHSIAnya.

Majlis Khatam KERIS dan LEMBING ramai dah ikut serta, tetapi pernahkah tuan-tuan diberi ISIM nya? Kenapa tidak diberi sedangkan itu SUMPAHnya?

Allahyarham Mahaguru pernah berpesan, hanya seorang sahaja yang beliau memberi AMANAH yang boleh mengkhatamkan kesemua keilmuan senjata dalam Silat Seni Gayong ini yang merangkumi 21 senjata di Alam Melayu. Carilah orangnya yang dikhatamkan segala KEILMUAN GAYONG oleh Allahyarham Mahaguru secara meminum AIR LUDAH nya. Itulah satu-satunya PENYAMBUNG SANAD sebagaimana Allahyarham Mahaguru menerimanya di Batu Hitam sebagai PERANTARAAN ILMU.


Wallahua'lam

Thursday, April 5, 2012

VARIASI SUKATAN PELAJARAN SILAT SENI GAYONG

Salamun Alaik,
Guru Amin Hamzah menurunkan tandatangan sebagai mengesahkan
segala Pelajaran yang terkandung di dalam Buku Silibus Gayong Serantau Kelantan ini benar-benar asli.

Buku Silibus yang disusun oleh UstWan Abdul Halim, YDP Gayong Serantau Kelantan.

Ilmu Gayong amat luas pengertiannya. Ianya boleh dilihat dari sudut zahir yakni ilmu berkaitan kependekaran yang melibatkan kemahiran berpencak ataupun dipandang secara lebih halus iaitu yang menyentuh soal berkaitan hakikat insan dan Ketuhanan. Bagi aspek zahirnya; Ilmu Gayong merangkumi 7 pecahan ilmu iaitu;
 
1. Tapak Gayong
2. Pecahan Tapak Gayong
3. Seni Keris ( seni senjata pendek yang bersifat menikam dan merembat )
4. Seni Simbat ( seni senjata panjang yang bersifat menetak dan melibas )
5. Seni Yoi (seni pukulan menghadapi serangan ramai musuh yg gunakan tapak dan langkahan yg sistematik )
6. Seni Cendai (seni senjata lembut yang bersifat menjerut dan menyentap)
7. Seni Belian.( rangkuman ilmu pemusnah lawan + kebatinan)

Sukatan Pelajaran Silat Seni Gayong (Silibus Gayong) pula merupakan penyusunan Ilmu Gayong mengikut peringkat-peringkat tertentu berdasarkan SISTEM PELAJARAN yang telah digariskan oleh Allahyarham Mahaguru Silat Seni Gayong.

Dalam sejarah Silat Seni Gayong, terutama sewaktu hayat ADMAR, Silibus Gayong telah beberapa kali digubal terutamanya selepas Sistem Bengkong diperkenalkan pada hujung 60-an dan telah digunapakai secara menyeluruh di peringkat negeri masing-masing pada awal 70-an. Sebelumnya, Silibus Gayong banyak merujuk kepada Silibus yang digunakan di Gayong Woodland School. Penggubalan sukatan mestilah berdasarkan SISTEM yang telah digariskan. Antara panduannya ialah;

Peringkat Pembelajaran seperti;
1. Asas Senaman
2. Asas Gerakan
3. Golongan (rangkuman gerakan)
4. Asas Elakan
5. Elakan Maut/Kombat
6. Kuncian
7. Pelepas Kuncian/Gulungan/Pentas/Tapak Hidup

Bilangan pergerakan atau jumlah buah bagi setiap seni ditetapkan kepada 7, 14, 21, 36 atau 49. Ini berdasarkan kepada nombor-nombor simbolik yang mempunyai makna yang tersendiri di dalam keilmuan Gayong.

Susunan pelajaran senjata mengikut tertibnya iaitu dari kumpulan senjata asas kepada kumpulan senjata berseni;
1. Kumpula Senjata Asas : Pisau, Simbat, Parang
2. Kumpulan Senjata Seni : Keris, Lembing, Sundang

Pedagoginya yg lebih kepada hafalan buah kepada berbetuk KONSEP dan PETUA yag tidak memerlukan hafalan buah seperti Seni Kaki, Seni Siku dan Lutut, Seni Rajawali, Seni Selayang Pandang, Seni Harimau Kumbang, Seni Sendi Harimau dll.

Pelajaran Tambahan dan Pelajaran Khas diterapkan dlm kursus-kursus jurulatih/gurulatih sahaja. Ini bermakna, seseorang yg berbengkong merah atau kuning tidak semestinya bertaraf jurulatih/gurulatih.

Berikut adalah contoh sukatan pelajaran yang telah digubal dan digunapakai oleh gelanggang2 tertentu;










Berdasarkan kepada contoh-contoh di atas, sukatan pelajaran sentiasa disusun mengikut keadaan dan keperluan semasa. Tiada silibus Gayong yang mutlak kerana di zaman hayat ADMAR pun, telah wujud pelbagai silibus berdasarkan kepada Guru-guru kanan yang memimpin sesebuah negeri atau di Pusat Latihan Tertinggi. Empat yang terutamanya adalah seperti berikut;

1. Gayong Woodlands Singapore (Di pimpin oleh Arwah Pak Husin Kaslan)
2. Pusat Latihan Tertinggi, Kota Sarang Semut, Kedah (Di pimpin oleh Pak Andak Majid)
3. Pusat Latihan Tertinggi, Air Kuning, Perak (Di pimpin oleh Arwah Cg Mat Lazim)
4. Selangor/KL (Di susun bersama oleh sekumpulan Guru di Selangor)

Namun begitu, terdapat usaha untuk menyeragamkan variasi silibus ini membentuk Silibus Gayong Kebangsaan tetapi ianya kurang mendapat sambutan daripada majoriti Guru-guru tua. Sebenarnya, usaha menyeragamkan silibus ini adalah suatu usaha yang amat baik kerana ianya boleh dijadikan sebagai simbolik kepada perpaduan Gayong itu sendiri. Memang diakui amat sukar untuk merangka suatu silibus yang standard utk dipakai oleh keseluruhan negeri, namun semuanya mampu diatasi dengan semangat seGayong, bersifat berlapang dada dan menghormati antara satu sama lain. Jangan dicari perbezaan tetapi yang dicari adalah titik persamaan. Biarlah silibus itu lebih berfokus kepada SISTEM YANG SERAGAM dan bukannya  difokuskan kepada buah mana yang perlu dipilih.

*bersambung

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...