Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Monday, August 11, 2014

ASAS AMALAN GAYONG

Salamun Alaik
Lafaz Ikrar Gayong

Asas bagi Amalan Kerohanian Silat Seni Gayong adalah dengan mengamalkan bacaan seperti berikut;

1. Al-Fatihah – Niat hadiahkan kepada 13 Insan yang dimulai oleh Junjungan Besar NABI MUHAMMAD SAW dan seterusnya (boleh rujuk Guru anda)

2. Al-Ikhlas – sekurang-kurangnya 14 kali sehari semalam sehinggalah 70 000 bagi mencapai “Jazam” atau sebati dengan Diri. Kenapa perlu dibaca 14 kali sehari semalam dan kenapa perlu mencapai bacaan sehingga 70 000 kali ? (rujuklah Guru Gayong anda).

3. SELAWAT ke atas NABI MUHAMMAD SAW sekurang-kurangnya 3x atau seelok-eloknya 11x. Bagi Wakil Perlimau Tapak/Seni/Dalang Adat bacaannya perlulah sekurang-kurangnya 1000 kali sehari semalam (amat penting kerana ianya KUNCI kepada AKAD “Pada saat dan ketika ini,Aku terima kalian menjadi Murid Silat Seni Gayong......dengan BERKAT SYAFAAT BAGINDA RASULULLAH SAW”). Begitu juga bagi pemegang bengkong HITAM PELANGI CHULA SAKTI, mereka di "WAJIB" kan untuk beramal dengan SELAWAT sekurang-kurangnya 1000 kali sehari semalam.

Inilah AMALAN GAYONG yang sepatutnya menjadi rutin amalan harian bagi setiap diri yang mengaku sebagai ANAK GAYONG dengan menerima AKAD dengan LAFAZ “ Aku terima dengan BERKAT SYAFAAT BAGINDA RASULULLAH SAW”.

Sebenarnya, RAHSIA bagi ASAS AMALAN ini cukup besar bagi yang mengetahuinya. Setiap satunya terkandung 1001 hikmah. Semua INTIPATI bagi KIPAS NANDUNG, SENI BELIAN, GERAK BAYANG dan IBU GAYONG juga ada TERSIMPAN di dalam ASAS AMALAN ini. Jangan kerana mengendong sifat tamak haloba mengejar Ilmu-Ilmu yang lain yang “dilihatkan” lebih gah dan hebat, segala kelebihan dan hikmah yang sebenar tidak dapat dikecapi.

Sebagai contohnya;

Dalam AYAT BASMALAH yang dibaca;

1. Titik kepada Ba’ itu KUNCI kepada MENTERA PENUMBUK KUAT @ DERAS @ BISA seperti KUN Kata ALLAH, FAYAKUN kata MUHAMMAD, YA RABBIKUM kata JIBRAIL..........juga MENTERA MANDI (SUCI ZAHIR & BATIN) seperti A’LA A’YADAN SABITAH,PULANG ASALKU KE RAHMATULLAH, TIDAK KU LIHAT DAN TIDAK KU RASA, ITULAH DZAT ALLAH. 

2. Huruf Alif yang Ghaib pada ISMI itu KUNCI kepada ILMU PELIMUN dan juga untuk mengetahui sekalian ILMU-ILMU GHAIB.

3. Bilangan huruf ALLAH yang EMPAT itu menjadi KUNCI kepada ILMU FALAK dan FIRASAT.

Dan seterusnya Rahsia Basmalah termasuklah RAHSIA AL-FATIHAH yang merupakan UMMULKITAB.

Dalam Amalan Surah Al-Ikhlas atau dipanggil juga Amalan QULHU, disinilah terkandung ILMU GERAK BAYANG ( ingat HITAM itu TANDA BAYANG ) yang juga dikenali dengan pelbagai nama mengikut Keilmuan lain seperti Gerak Asrar, Gerak Roh, Gerak Makrifat, Gerak Batin dsbnya. GERAK BAYANG adalah latihan dalam menafikan segala SIFAT MAA’NI pada Diri kita.


LAA BASIIRUN
LAA SAMI’UN
LAA MUTAKALLIMUN
LAA QADIRUN
LAA MURIDUN
LAA ILMUN
LAA HAYYUN
BI HAQQI ILLALLAH

Dan SELAWAT itu adalah KUNCI kepada SEKALIAN AMALAN yang WUJUD di ALAM ini kerana

SELAWAT itu adalah ISTIGHFAR,
SELAWAT itu adalah ZIKIR
SELAWAT itu adalah DOA
SELAWAT itu adalah HIZIB
SELAWAT itu adalah WIRID
SELAWAT itu adalah MAKRIFAT DIRI dan
SELAWAT itu adalah MAKRIFAT ALLAH.

Oleh yang demikian, dengan secebis kata sebagai perkongsian kali ini, ISTIQAMAH lah kita selaku anak-anak Gayong dalam mengamalkan ASAS AMALAN ini. Walaupun secara zahirnya nampak mudah dan ringkas, namun ianya tersimpan 1001 Rahsia yang besar. Semoga kita semua beroleh RAHMAT dan REDHA ALLAH SWT.

Wallahua’lam.

Saturday, August 9, 2014

UJIAN KETAHANAN DIRI - HADAPI BESI TAJAM

Salamun Alaik;
Almarhum Mahaguru sedang menguji Arwah Cg Hussain Kaslan (kredit kpd empunya gambar)
 
Almarhum Mahaguru sedang menguji Arwah Cg Hussain Kaslan (kredit kpd empunya gambar)
Demonstrasi Tetak pada tahun 2000 di Machang,Kelantan
 
Ujian Tetak dan Hiris bagi Jurulatih Gayong Daerah Machang,Kelantan pada tahun 2002
Ujian Hiris ada kalanya diamalkan ketika Upacara Adat PerlimauSintuk Seni


AYATMENGHADAPI BESI TAJAM (TIADA LUT SENJATA TAJAM DARI SUMBER BESI)

1. Basmalah.
2. AYAT HISNI Senafas [surah at-taubah ayat 128 & 129]
3. Hai Besi Saudara Aku, 
4. Aku Ketahui Asal Mulanya,
5. Besi Terpancar Tiba Diaku,
6. Besi Muhammad Asal Mulanya.
7. Aku xxxxxxx Nur Haq

8. xxxxxxxxx Aku - Ah! (di halkum)
9. Tiada harus engkau memakan Aku,
10.Hu Allah (Tarik Nafas),

*pandang besi dan bacalah;

Assalamualaikum Ya Nabi Daud as........Wa Alanna Lahul Hadid (berulang-ulang kali).

Ini Isim yang digunakan oleh Pendekar-Pendekar Gayong dalam ikhtiar mereka "menguasai" besi. Menguasai besi di sini bermaksud boleh membengkok,melembutkan atau menahan diri dari tembus jika ditikam oleh sebarang objek/senjata daripada logam.

Namun,kaifiat amalan perlu adanya JAZAM terlebih dahulu seperti berpuasa dan mewiridkannya dalam jumlah yang tertentu. Ijazah amalan amatlah penting supaya kita mampu membaca dan menggunakan dengan kaedah yg betul dan sempurna........

Segala bacaan Mentera di atas perlulah difahami setiap baris patahnya. Ia berkaitan dengan ILMU ASAL USUL yang perlu pengamal Tahkik dalam memahaminya. Jika tidak, amalan ini umpama "debu" yang tiada makna untuk diamalkan.

#Ini hanya sebahagian dari AMALAN GAYONG dalam bab besi dan menghadapi senjata tajam. Selebihnya masih dirahsiakan atas menjaga ADAB BERGURU dan ADAB ILMU.


Wallahua'lam.

Thursday, August 7, 2014

AMALAN PERANG TOK AKI MAT KILAU

Salamun Alaik;

Bismillahi - wa billahi - wa fillahi - wa minallahi - wa illallahi - wa 'alallahi - 
wa bilahaula walaa quwwata illa billaahil 'aliyil adzim"

‎"Dgn nama Allah, dan demi Allah, dan di jalan Allah, dan dari Allah, dan kepada Allah (kembali), dan atas (kehendak) Allah, dan Dengan Tiada Daya(helah) & Upaya(kekuatan) melainkan (bersama) dengan Allah (Zat Yg berSifat) Maha Tinggi lagi Maha Agung." 

Kaifiat;
Di baca 11x selepas mengamalkan zikir BismillahirRahmanirRohim 10x senafas diulang 10 set (jumlahnya jadi 100).

Wallahua'lam.

NUN DI SANA BERCHULA TUJUH NUN DI SINI BERCHULA SA

Salamun Alaik;


"Selilit Pulau Jawa, Selengkung Pulau Perca, Itulah Kata Sakti, Ular Sikatimuna, 
Di lautan sana Bercula Tujuh, Di Lautan sini Bercula Sa......."

Carilah MISTERI UNGKAPAN di atas.

Wallahua'lam.

Friday, August 1, 2014

BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL

Salamun Alaik;

Adakah kita semua sudah bersedia dengan persiapan yang selengkapnya?

Silat adalah "pakaian" bangsa Melayu. Ianya bukan terhad kepada ILMU PERANG sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan "Gaya Hidup". Dalam ILMU SILAT, anak-anak muda dididik dengan ADAB dan ADAT seperti mengerat SILATURRAHIM, menghormati GURU, orang yang lebih tua dan rakan seperguruan, mementingkan kebersihan diri (zahir dan batin ) dan gelanggang, menjaga AMANAH, gaya pemakaian busana, petua-petua pemakanan dan kesihatan, asas perubatan alamiah dsbnya. Selain itu, hal yang teramat penting juga adalah berkaitan ILMU MENGENAL DIRI dan KETUHANAN. Dipanggil juga ILMU AKIDAH. Maknanya, setiap "orang Silat" dibekalkan dengan ILMU AKIDAH agar setiap gerak geri dan perjuangan mereka tetap atas jalan yang HAQ dalam menangani hal-hal yang bathil. Inilah peranan SILAT suatu ketika dulu.

Kini, peredaran zaman semakin mengubah peranan SILAT itu sendiri. Silat dilihatkan hanya sebagai wadah untuk anak-anak muda mempelajari asas beladiri, beriadah dan sukan. Gelanggang Silat pun semakin moden yang dihiasi lantai "mattres" dengan pendingin hawa yang cukup menyenangkan. Silat juga hampir gagal dalam menyediakan anak-anak muda sebagai "tentera" dalam mempertahankan tanahair, apatah lagi dalam Ilmu Ketuhanan untuk mencapai MAKRIFATULLAH!

Walaupun KETULENAN SILAT ini hampir luput ditelan zaman, namun masih ada harapan untuk kita sama-sama merubahnya. Masih ada GURU-GURU yang tetap pendiriannya dalam mengajar SILAT YANG ASAL kepada generasi bangsa walaupun mereka kebanyakkan tidak popular dan dipandang sepi. Ada juga yang sanggup memfitnah mereka sebagai sesat lagi menyesatkan apabila mula mendedahkan Ilmu-Ilmu Permata yang mereka kendong selama ini.Ingatlah " Setiap ILMU itu pastinya akan memimpin dirimu mengenal akan TUHANmu" Jika sampai sekarang dirimu masih terpinga-pinga, maka Ilmu Silat yang engkau pelajari itu masih lagi kosong nilainya. Teruskan pencarian melalui GURU SEBENAR GURU.

Dalam konteks SILAT yang berkaitan ILMU PERANG pula, ramai yang keliru disebabkan kini banyak yang memberi fokus kepada persembahan dan pertandingan. Ilmu Perang tidaklah memandang keindahan dan aksi yang mendapat sorakan penonton. Juga, tidaklah ia mementingkan nilai markah atau pematuhan kepada undang-undang pertandingan. ILMU PERANG SILAT hanya fokus kepada;

1. Niat Ikhlas Lillahi Taala
2. Tindakan Sepantas Kilat
3. Falsafah Patah Sayap Bertongkat Paruh, Patah Paruh Bertongkat Kuku
4. Serang Hendap, berdepan musuh di sebarang lokasi dan kondisi
5. Serang Titik Maut
6. Efektif 
7. Realistik

Dan DIRI juga perlu dipersiapkan dengan AMALAN KEROHANIAN secara ISTIQAMAH seperti;

1. Ilmu Tauhid yang benar
2. Solat Berjemaah dan Qiyamullail
3. Puasa Sunat
4. Membaca Al-Quran
5. Hubungan SilaturRAHIM
6. Mengamalkan Sunnah NABI SAW
7. Melazimkan SELAWAT, Istighfar, Zikir dan Doa.

Oleh yang demikian, untuk menguasai ILMU PERANG yang sebenarnya, ia memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang teramat tinggi. Guru pastinya ada kaedah latihan untuk mengasah daya ketahanan ini. Seperkara lagi, LATIHAN YANG BETUL SECARA KONSISTEN akan mewujudkan "muscles memory" atau ingatan pada setiap otot pada tubuh kita. Daya ingatan pada segenap otot ini amat penting dalam mewujudkan GERAK REFLEKS yang PANTAS dan TEPAT pada sasaran. Maka, untuk mendapatkan GERAK REFLEKS ini, pesilat perlulah berlatih mengikut spesifikasi yang benar sahaja dalam tempoh yang agak lama (bergantung kepada diri seseorang). Pastinya, jika pesilat berlatih khusus untuk hanya mendapat sorakan penonton (nampak indah dengan gerak yang tidak logik) atau melatih pergerakan yang terhad seperti Silat Olahraga (sasaran yang dibenarkan),maka dapatlah mereka dengan Gerak Refleks sebagaimana penerapan atau corak latihan mereka.

Begitulah pandangan penulis tentang Silat di zaman kini berbanding SILAT sebagai "pakaian" masyarakat terdahulu. Tidak hairanlah jika pesilat di zaman kini menjadi kepala gengster, tidak solat, tidak jaga aurat, tidak menghormati masyarakat dan Guru, perangai tidak senonoh dsbnya. Semua ini berlaku kerana telah hilang fungsi SILAT sebagai "Gaya Hidup" buat generasi muda kini.Silat tidak lebih hanya sekadar Ilmu untuk bergaduh, persembahan, pertandingan dan riadah semata-mata.

Bagaimana untuk mengatasinya?

Kembalilah MEMARTABATKAN SILAT SEBAGAI 'PAKAIAN DIRI' YANG LENGKAP secara zahir & Batin dan menerapkan semua elemen ADAT dan ADAB Bangsa Melayu sebenar yang pastinya mengikut Ajaran ISLAM YANG SUCI.

"Betulkan Yang Biasa dan Biasakan Yang Betul "



Wallahua'lam.




Wednesday, July 30, 2014

JENIS-JENIS TENGGILING DAN LOMPATAN HARIMAU

Salamun Alaik;
Harimau Membaling Angin Halangan Rendah

 Lompat Juring Kiri (Juring Terbang)

 Harimau Menghambur Mangsa Halangan Rendah (Gaya Lang Melayang)

 Harimau Mencecah Dahan Halangan Rendah

Senaman Tenggiling Anak Harimau dan Lompatan Harimau merupakan salah satu pelajaran yang perlu dikuasai oleh anak-anak Gayong. Ianya amat penting dalam usaha meminimakan risiko kecederaan ketika saat terjatuh atau dijatuhkan oleh musuh dan memberi nilai tambah dalam pergerakan serang bela anak Gayong. Penerapan latihan tenggiling dan lompatan harimau ini banyak didedahkan dalam pelajaran Seni Buah Tapak Kunci Hidup.

Berikut disenaraikan Jenis-jenis Senaman Tenggiling Anak Harimau dan Senaman Lompatan Harimau;

Senaman Tenggiling Anak Harimau
1. Tenggiling Kanan
2. Tenggiling Kiri
3. Tenggiling Hadapan
4. Tenggiling Belakang
5. Lentik Ulat
6. Roda Kanan
7. Roda Kiri
8. Roda Angin Kanan
9. Roda Angin Kiri
10. Lompat Pagar
11. Lompat Juring Kanan
12. Lompat Juring Kiri
13. Lenting Pacat Hadapan
14. Lenting Pacat Belakang
15. Harimau Membaling Angin Hadapan
16. Harimau Membaling Angin Belakang

Senaman Lompatan Harimau
1. Harimau Menghambur Mangsa Halangan Rendah
2. Harimau Menghambur Mangsa Halangan Sederhana
3. Harimau Menghambur Mangsa Halangan Tinggi
4. Harimau Mencecah Dahan Halangan Rendah
5. Harimau Mencecah Dahan Halangan Sederhana
6. Harimau Mencecah Dahan Halangan Tinggi
7. Harimau Menghambur Gelung
8. Harimau Membaling Angin Halangan Rendah
9. Harimau Membaling Angin Halangan Sederhana
10. Harimau Membaling Angin Halangan Tinggi (jarang dipraktikkan-risiko)

Dalam seni tenggiling dan lompatan harimau, setelah pesilat mahir dalam menguasai seni ini, pesilat akan diuji untuk melakukan lompatan-lompatan yang agak berbahaya dalam usaha menilai tahap penguasaan yang tertinggi dan juga menguji tahap keyakinan serta kebolehan pesilat tersebut.Antara ujiannya seperti;
  1. Melompat Gelung Api
  2. Melompat Gelung Tajam (dilekatkan pisau atau senjata tajam pada gelung)
  3. Melompat pagar daripada runcing buluh
  4. Melompat dari bangunan yang tinggi
  5. Melompat sebuah kereta (statik atau bergerak.


Wallahua'lam

Friday, July 25, 2014

Thursday, July 24, 2014

DARI MANA SUMBER KEKUATAN?

Salamun Alaik;
Dapat MENAFIKAN segala KEKUATAN itu dari kita merupakan KEKUATAN DIRI yang sebenar

Kekuatan merupakan elemen penting dalam beladiri. Setiap pesilat akan berusaha untuk mencapai kekuatan yang paling maksimum melalui bimbingan Guru. Kekuatan ini tidaklah disandarkan hanya pada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi ianya merangkumi kesemua aspek seperti;

1. Zahir @ Jasmani - Otot, Sendi, Tulang
2. Minda - Meditasi, Saranan Positif, Gelombang Gamma, Hening, Separa Sedar
3. Dalaman - Aliran Aura, Medan Elektromagnet Tubuh, Organ, Aliran Saraf, Nafas, Hormon.
4. Batin @ Rohani - Tauhid, SELAWAT, Wirid @ Zikir @ Isim @ Doa, Titik Lataif
5. Alam - Tenaga Kosmik, Frekuensi 7.83
6. Ghaib - Bantuan dari ALLAH SWT tanpa diketahui sumber.

Bagaimana untuk memperolehi gabungan semua kekuatan ini? Carilah Guru.........

Namun begitu, ada satu peringkat lagi yang lebih SUKAR untuk diamalkan iaitu MENAFIKAN SEMUA SUMBER KEKUATAN ITU ADALAH DARIPADA KITA dan MELETAKKAN SIFAT QUDRAH ITU HANYA MILIK ALLAH SWT SEMATA-MATA.

"LA HAULA WA LA QUWWATA ILA BILLAH"


Wallahua'lam.

MENILAI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN ILMU SILAT

Salamun Alaik;
Guru seorang  tetapi KEFAHAMAN murid berbeza-beza

GURU yang sama, ILMUnya berbeza-beza.

ILMU yang sama, AMALnya berbeza-beza.

GELANGGANG yang sama, FAHAM muridnya berbeza-beza.

Fahami dan hadamlah ungkapan di atas, maka fahamlah kita bagaimana untuk MENILAI sesuatu ILMU dan betapa HEBAT nya ILMU seseorang GURU itu. Sebagai contohnya dalam "kaedah menumbuk", ianya akan diajar berbeza-beza mengikut murid atas pelbagai faktor seperti kebiasaan, keperluan, kepercayaan dan AMANAH. Perhatikanlah perbezaan kaedah menumbuk ketika;

1. Latihan.
2. Persembahan.
3. Pertandingan.
4. Kaedah Guru.
5. Kaedah Pertempuran (pergaduhan).
6. Kaedah Mencederakan Musuh.
7. Kaedah Memusnahkan Musuh (Bunuh)

Berdasarkan perbezaan GERAK ini, bolehlah disimpulkan yang ILMU yang diperturunkan itu bukanlah SAMA bagi setiap murid. Dan murid itu bukanlah semuanya boleh dinilai sebagai "bayangan" bagi seseorang GURU itu. Untuk benar-benar MENGENALI KEHEBATAN ILMU dan GURU itu, nilailah dikalangan MURID yang   PALING DIPERCAYAI. InsyaALLAH, disitu ada jawapannya.

Wallahua'lam.





Sunday, July 20, 2014

PECAHAN PELAJARAN

Salamun Alaik;
Almarhum Mahaguru menunjukkan kaedah Kuncian

Pecahan Pelajaran terbit hasil OLAHAN daripada seseorang GURU bersandarkan ASAS ILMU yang sedia ada bagi menyesuaikan Ilmu tersebut dengan faktor-faktor seperti berikut;

1. Jantina - Lelaki atau Perempuan
2. Faktor Fizikal - Saiz Tubuh, Ketinggian, Kurang Upaya
3. Peringkat Umur - Kanak-kanak, Remaja, Dewasa, Tua
4. Keupayaan Diri - Tahap Kekuatan, Kecederaan
5. Faktor Persekitaran - Lokasi Pertempuran, Iklim, Ruang, Pakaian
6. Tahap Kemahiran  - Penguasaan sesuatu kemahiran, Jurulatih, Gurulatih
7. Keperluan Organisasi  - Tentera, Polis, Pengawal Keselamatan

Dengan Pengetahuan, Penguasaan, Kemahiran dan Pengalaman GURU tersebut, KEASLIAN PELAJARAN masih tetap utuh walaupun mengalami olahan kerana ASAS ILMU, KONSEP SERANG BELA, GERAK GERI dan FALSAFAH ILMU tetap terpelihara!

Wallahua'lam.

Monday, July 14, 2014

KEMATANGAN BERPENCAK

Salamun Alaik;

Sekadar gambar hiasan

Kematangan berpencak bagi seorang pesilat itu bolehlah dilihat dengan jelas secara zahirnya melalui Tapak Kekuda dan Langkahan manakala secara batinnya bolehlah diperhatikan pada Perletakan Pandangan dan Nafas yang diatur.

Kekuda dan Langkahan adalah komponen paling penting dalam asas beladiri. Tanpa Tapak kekuda dan langkahan yang baik, maka serangan dan belaan pastinya tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun tapak kekuda terbit hanya pada saat pesilat mula bergerak tetapi sifat kekuda itu jelas dapat diperhatikan terutamanya bila pesilat tidak konsisten dengan tapak asal yang dibentuknya (mengubah beberapa kali  kedudukan asal kekuda atau tangan mula membetulkan pakaian). Dalam konteks langkahan pula, pesilat boleh dilihat pada perbuatannya samaada "pesilat mengikut langkahan atau langkahan itu mengikut pesilat."

Perletakan Pandangan sememangnya merujuk kepada penguasaan pesilat dalam membaca GERAK GERI musuh tertutamanya PENANDA GERAK TUBUH. Maknanya, setiap serangan dari pihak musuh terlebih dahulu dapat dikesan oleh pesilat dan seterusnya dapat mematahkannya dengan mudah. Aturan Nafas yang sempurna pula menunjukkan keheningan dan ketenangan dari pihak pesilat.Ia membawa pengertian yang mana terdapat KEWARASAN, KEYAKINAN dan SIAP SIAGA yang sempurna dalam diri pesilat.

Wallahua'lam


Monday, June 23, 2014

23.6.91 - 23.6.14

Al-Fatihah buat ALMARHUM DATO MEOR ABDUL RAHMAN BINTI SYARIFAH ALUYAH. Hari ini genaplah 23 tahun ALMARHUM "berpindah Alam". Semoga ROH Almarhum ditempatkan dikalangan orang-orang yang BERIMAN.

Friday, May 16, 2014

SELAMAT HARI GURU

Thursday, May 15, 2014

TUJUH "IBU" TERKANDUNG DALAM BUAH TAPAK KUNCI MATI

Salamullah Alaikum;

Seni Kuncian Gayong asasnya diajar dalam pelajaran Buah Tapak Kunci Mati sebanyak 21 buah. Setiap satunya pula  terdapat 7 pecahan menjadikan kesemua pelajaran PECAHAN BUAH TAPAK KUNCI MATI sebanyak 147 (21x7). Terdapat juga pelajaran "Buka Kunci" yang mana setiap kunciannya diajar 7 kaedah buka.Terjemahan dari pelajaran "Buka Kunci" ini dipersembahkan dalam pelajaran Buah Tapak Kunci Hidup.

Setiap dari Gurulatih perlu menguasai "3 Lapis Daun" yang bermaksud,dapat melakukan Kuncian (lapis 1),membuka kuncian (lapis 2) dan mengunci kembali (lapis 3).Sebagai pelengkapnya, para Gurulatih akan didedahkan dengan SENI KUNCIAN SENDI dan RAHSIA 7 "IBU KUNCI" yang digelar sebagai;

1. KACIP
2. KILAS
3. SELAK
4. PALANG
5. PASAK
6. LIPAT
7. PASUNG @ PATAH

Setiap "IBU" ini ada SENI dan RAHSIAnya.Menguasai setiap daripadanya maka pesilat itu mampu menguasai setiap buah kuncian tidak kiralah dalam Seni Tangan Kosong mahupun Seni Senjata. Rahsianya tersimpan pada 7 "IBU" Kuncian ini.

Begitulah perkembangan SENI KUNCIAN mengikut Keilmuan Silat Seni Gayong.

Wallahua'lam.

Wednesday, May 14, 2014

ASAS ELAKAN "AMBIL" 7 VARIASI SERANGAN

Salamun Alaik;








Dalam Keilmuan Gayong versi Pusat Latihan Tertinggi Ayer Kuning,Perak,terdapat PEMURNIAN SILIBUS dan salah satunya adalah ASAS ELAKAN. Asas Elakan 10 sebelumnya digantikan dengan Asas Elakan 7. Perubahan ini dibuat bagi memantapkan lagi Sistem Pelajaran Silat Seni Gayong yang sedia ada. Rasionalnya kerana Asas Elakan ini merupakan TERAS kepada "PERGERAKAN AWALAN" bagi pelajaran yang seterusnya iaitu Buah Pukulan Maut, Buah Kombat mahupun Buah Tapak Kunci Mati. Maknanya ia perlu ada KESINAMBUNGAN.


Aspek yang diberi perhatian dalam pemurnian ini adalah Tapak Kekuda Menanti (Tapak Jermang menggantikan Tapak Selari), Gaya Mengelak dan Teknik Menangkis. Tapak Jermang diguna memandangkan ianya efektif untuk pelatih yang baru mengenal tapak dan langkahan (secara kiraannya ia ada kelebihan satu langkah dalam mengelak). Gaya Mengelak pula mengikut kesesuaian Seni Yoi dalam Tapak Jermang. Manakala Teknik Elakan diolah bagi "MENGAMBIL" 7 VARIASI SERANGAN dari pihak lawan. Namun dalam latihan digelanggang ianya di sekadar menggunakan serangan Tumbuk Pintal Tali sahaja. Intipatinya akan dikupas dalam kursus-kursus kejurulatihan.

Tambahan dari itu, di dalam Silibus di Pusat Latihan Tertinggi Ayer Kuning,  terdapat KUPASAN PELAJARAN ELAKAN yang dipanggil Elak Pukul, Pecahan Elakan dan Elakan Maut. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat semua. 

Wallahua'lam.

Monday, May 5, 2014

PERNAFASAN GAYONG

Salamun Alaik;
Olahan Pernafasan dengan iringan Zikir yang tepat dapat membuka TITIK-TITIK LATIFAH diri

Terdapat 2 BENTUK PERNAFASAN yang asas dalam Keilmuan Silat Seni Gayong iaitu;

1. Pernafasan PERUT
        Bersifat mengumpul dan mengalirkan TENAGA.

2. Pernafasan DADA
        Bersifat menahan atau menangkis.

ALIRAN PERNAFASAN pula merujuk kepada keluar masuk nafas ketika menarik dan menghembus Nafas.Terdapat 3 kaedah iaitu;

1. Hidung – Hidung
        Latihan asas pengolahan aliran tenaga.

2. Hidung – Mulut
        Memindahkan tenaga.

3. Hidung Kanan - Hidung Kiri (selang seli)
        Meningkatkan jumlah tenaga dan menguatkan aliran tenaga.

Nafas adalah RAHSIA INSAN. Dengan Nafas, Insan itu dikatakan berNYAWA dan HIDUP

Dzat,  Sifat, Asma',Af'al
Wujud, Ilmu, Nur, Syuhud
Wada, Wadi, Mani, Manikam
Api, Angin, Air, Tanah
Nafas, Tanafas, Anfas, Nufus
Nafas, Cipta, Rasa, dan Karsa
Langkah, Rezeki, Pertemuan, Maut

4 UNSUR kejadian Manusia;

1. Tanah = Tubuh Fizikal
2. Air = Otak
3. Api = Nafsu
4. Angin = Roh/Nafas

LOGAM = Besi KERSANI dalam diri (Tulang Sulbi). Dimasukkan sebagai PENEGOH DIRI.

Kersani menggantikan diriku
Kersani menggantikan nyawaku
Alung memaling badanku yang menjadikan Nabi Adam
Mustajab bagiku siang dan malam dengan berkat doa
La ilaha ilLAllah

" Alah Ilmu kerana Petua, Alah Petua kerana Nafas, Alah Nafas kerana HAQ, 
bercantum semua dalam satu GERAK...”

Wallahua'lam

Wednesday, April 16, 2014

SENI PERMAINAN KERIS

Salamun Alaik;

Dalam Keilmuan Gayong, SENI KERIS termasuk dalam 7 senjata utama yang harus dipelajari oleh anak-anak Gayong selain daripada senjata Pisau, Tongkat, Parang, Lembing, Cendai dan Sundang. Sifat asas senjata Keris adalah MENIKAM dan MENGHIRIS. SENI MENIKAM dan MENGHIRIS ini dipecahkan lagi mengikut GAYA, BENTUK  dan KAEDAH serangan/belaan termasuk juga jenis tapak kekuda yang digunakan. Setiap seni  ada NAMAnya  tersendiri yang merujuk kepada gaya,bentuk dan kaedahnya. Terdapat  49 SENI atau nama kesemuanya termasuklah KAEDAH MEMEGANG, MENCABUT  DAN MENYARUNG KERIS. Antara SENI @ nama itu adalah;

1. Tikaman Anak Sungai
2. Simbat Relang
3. Kelek Anak
4. Perahu Dulang
5. Radak Julang
6. Amok Jantan
7. Semai Benih dll

Seni Keris ini juga ada upacara KHATAMnya.Adat Perkhataman Keris ini disempurnakan di laut. Setiap bahan, perlakuan dan sebutan ada membawa PENGERTIANnya yang tersendiri. Antara contohnya;

1. Kenapa pada malam sebelum Upacara Khatam tidak dibenarkan memakai pakaian serba hitam?
2. Kenapa segala perkakas dalam ayam dibuang dan tidak dimakan?
3. Apa maksud setiap warna pada benang?
4. Apa maksud sebutan Nun di sana berchula tujuh,nun disini berchula se?
5. Apa itu Mengkadung Putih?
6. Apa seruannya perlu ke gigi pantai sebelum naiknya matahari.
7. Kenapa perlu ada Ibu Gayong yang memimpin upacara?

Semuanya “Ada cerita disebalik cerita”. Bukan semua yang layak dan berhak sebagai Dalang Khatam Keris. Tiru perbuatan tidak sama dengan faham perbuatan.Apatah lagi yang diizinkan dengan tauliah.Biarlah Upacara Khatam itu sesuai dengan nama "khatam"nya.Jangan sesekali jadikan ia sekadar upacara adat semata-mata untuk menambah koleksi aktiviti. Guru haruslah memainkan peranan menyampaikan segala ehwal pelajaran, adat dan adab keris terlebih dahulu sebelum menyempurnakan upacara adat sebegini.Paling tidak setiap yang memegang keris kenal apa itu "BINTANG 4" dalam SENI KERIS.

Sebenarnya,ramai yang kurang mengerti apa disebalik BUAH ke-21 atau dianggap BUAH KHATAM bagi permainan Keris. Majoritinya sekadar menghafal dan mempersembahkan pencak keris tanpa mengetahui apa sebenar cerita yang ingin disampaikan. Kadang-kadang sampai berselisih untuk mengatakan buah 21 merekalah yang betul dan pihak lain salah. Sedangkan, perselisihan itu tidak ada makna sama sekali jika mereka tidak mengerti apa cerita disebalik cerita ini.Jadilah mereka umpama burung kakak tua yang sekadar lihat dan tiru semata-mata.

Mengikut Allahyarham Mahaguru, SENI KERIS telah beliau ajar dengan 3 jalan cerita. Dua diantaranya adalah kisah pertarungan Tuah dan Jebat dan perkisahan Laksamana Bentan dengan Sultan Mahmud Mangkat Dijualang. Setiap lenggok,sifat dan langkahan permainan Keris nya amatlah berbeza. Langkahan Tuah juga banyak bezanya dengan Langkahan Jebat. Begitulah juga kaedah genggam, kaedah buka, kaedah bertapak, kaedah menikam dsb nya. 

Keris adalah SIMBOL KUASA bagi warisan bangsa Melayu.Ianya penuh dengan ADAT dan ADAB yang amat tinggi nilainya. Maka, Seni Keris ini diajar pencaknya seiring dengan Adat dan Adabnya. Ada yang bersifat sebagai keris bertikam, ada yang menjadi keris hukuman dan ada sekadar simbolik kuasa. Nilai dan hikmahnya bermula dari pemilihan jenis logam,hari dan siapa empunya diri sehinggalah kepada kaedah pencak yang akan digunakan; lenggok,sifat dan langkahannya. Kaedah "simpan" juga turut ditekankan. "Pantang sesekali Keris dibiarkan bersepah di lantai. perlulah ia "didirikan" dengan penuh gah kerana ia melambangkan "diri". Saat bertikam jangan sesekali memisahkan Keris dengan sarungnya.Sarung itu banyak manfaatnya jika kita benar-benar mengetahui.


Keris tidak sepatutnya disusun sebegini.

Begitulah serba ringkas perkongsian berkenaan Seni Keris dalam Keilmuan Silat Seni Gayong. Masih banyak yang ingin dikongsikan namun begitu, biarlah ianya dalam satu majlis yang sempurna. Jangan terlalu ghairah untuk mengejar sesuatu. Bertatihlah secara istiqamah dengan pakaian sabar dan berhiaskan ADAB GURU dan ADAB ILMU. Semoga dapat manfaat buat kita semua.


Wallahua'lam.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...