Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Wednesday, August 8, 2012

LANGKAH MELILIT

Salamun Alaik;
Rajah Panduan Langkah Melilit

Langkah  Melilit  ialah  kaedah  bergerak  dalam  bentuk  bulatan  atau lingkaran.  Sekiranya  dilakukan  oleh  dua  pesilat,  Langkah  Melilit  dilakukan dengan  kedua  pesilat  bergerak  bersetentangan  dengan  jarak  yang  tertentu seperti Lingkaran ke arah yang sama. Lihat rajah 1. Jarak kedua pesilat menentukan saiz besar atau kecilnya Lingkaran Langkah Melilit. Gerakan menghampiri lawan membuatkan lingkaran semakin mengecil.

i.           Gerak Lingkar Besar
Lingkaran besar berlaku ketika jauh daripada lawan. Ketika ini pesilat melakukan gerak pecah langkah dengan mengatur strategi serang belanya. Kedua-dua pesilat melakukan Langkah Melilit iaitu bergerak berputar sehingga bulatan atau lingkaran menjadi semakin kecil. Arah langkah ketika melilit boleh dilakukan secara maju atau mundur. Jenis langkah boleh disesuaikan mengikut keperluan. Gerakan dalam lingkaran yang besar ini membuatkan jarak kedua pesilat  jauh  dari  serangan  dilakukan  kerana  lawan  mudah  menghindarkan dirinya dari terkena serangan. Lihat rajah 2.

ii.         Gerak Jarak Jauh
Gerak   dalam   jarak   jauh   bermakna   kedua-dua   pesilat   berada   lebih daripada sepencapaian kedua tangan pesilat. Iaitu sekiranya dua pesilat berdiri berhadapan, mengangkat kedua tangan lurus ke depan dan menyentuh kedua hujung jari. Maknanya luas luas bulatan atau lingkaran lebih daripada jari-jari sepanjang lengan pesilat. Lihat rajah 3.

Jarak antara kedua pesilat mempengaruhi kaedah melakukan dalam serang dan bela. Misalnya lawan melakukan serangan sepak dalam jarak jauh, belaan elak sudah cukup untuk menghindarkan sasaran daripada serangan. Lihat rajah 4. Bermakna 'Jarak' merupakan satu hukum dalam menentukan   penggunaan   jenis   serang atau bela.

iii.        Gerak Jarak Hujung
Jarak hujung bermakna jauh kedua pesilat sepencapaian. Bermakna kedua lengan pesilat dapat bersentuhan ketika lurus. Biasanya dalam Silat kedua-dua pergelangan tangan selalunya bersentuh dengan  tujuan  menampan  serangan lawan. Lihat rajah 5. Gerak langkah melilit dalam Jarak Hujung ini dalam lingkaran berjari-jari dalam sepanjang satu lengan.

iv.        Gerak Jarak Tengah
Jarak tengah menunjukkan jarak antara kedua pesilat mengikut ukuran sepanjang siku. Bermakna ukuran jari-jari lingkaran sepanjang siku. Jadi kedua-dua pesilat akan bergerak maju atau mundur secara dekat yang menunjukkan pesilat terpaksa menggunakan teknik atau taktik serang atau bela jarak dekat Lihat rajah 6.

v.          Gerak Jarak Pangkal
Jarak pangkal adalah jarak paling dekat iaitu di mana kedua pesilat rapat bertemu bahu. Teknik dan taktik ketika jarak pangkal selalu berlaku ketika bergelutan,  bertangkapan  dan berkuncian. Walaupun ketika Jarak Pangkal kedua pesilat mestilah mahir menggunakan Langkah Melilit. Lihat rajah 7.

Demikian   4   jarak   yang   perIu   dimahirkan   dalam   melakukan   Gerak Langkah Melilit. Kaedah hukum 'Jarak' seperti yang telah dinyatakan di atas amat penting dalam menentukan teknik dan taktik yang akan digunakan dalam serang dan bela. Kaedah langkah Melilit merupakan gerakan penting ketika bertarung. Kemahiran ini dapat mematahkan serangan dan melakukan serangan balas yang mudah dan berkesan.

Gaya Melakukan Langkah Melilit

Gaya melakukan  Langkah Melilit dapat dibahagikan kepada  4 perkara. Iaitu gerak Kaki, Gerak Badan, Gerak Tangan dan Gerak Kepala. Keempat-empat perkara yang tersebut di atas amat penting digunakan dalam mana-mana bahagian supaya gerak menjadi kemas dan keterampilan. Asas gerak yang terdapat dalam Gerak Langkah Melilit mempunyai hubungan yang rapat dalam mengembangkan teknik dan taktik serang dan bela.

a.          Gaya Kaki
Gaya kaki meliputi cara melangkah mengelilingi lingkaran. Cara langkah ialah berjalan dengan merendahkan sedikit badan dengan membengkukkan lutut hingga setinggi 75% dari tinggi biasa. Besar buka langkah   ketika   berjalan   mengikut   keperluan   dan   kesesuaian.   Jenis langkah pada asasnya seperti Langkah Satu maju dan mundur. Langkah Silang  seperti Langkah Enam dan buka silang seperti Langkah Tujuh dalam Bunga  Sembah peringkat satu. Tiga langkah ini dapat digunakan sehingga pesilat menghampiri pasangan atau lawan. Langkah  kaki  jangan  sumbang.  Sebaiknya  kedua  pesilat mempunyai    bentuk kuda-kuda yang sama. Misalnya kalau lawan atau pasangan dengan kuda-kuda kaki kanan depan, maka pesilat harus dengan kuda-kuda kaki kanan depan. Bermakna sekiranya kedua-dua pesilat bergerak lawan  perjalanan jam, kedua buku lali kanan bahagian dalam akan bersetentangan. Begitulah seterusnya. Lihat rajah 8.

b.         Gaya Badan
Gaya  badan  dalam  aliran  perguruan  ini  tegak  dengan mengukuhkan pinggang. Tunduk atau membengkukkan badan dilakukan ketika melakukan teknik menyusup atau menyalahkan serangan lawan. Gerak badan mengikut langkah kaki dan pergerakan tangan. Kedudukan badan tegak amat diperlukan dalam permainan dekat, jarak pangkal. Lihat rajah 9. Pesilat melakukan melilit dengan mengerengkan badannya sehingga salah satu bahu menghala kepada lawan.  Kedudukan  sendeng  atau  mengereng  menjadi  ruang  sasaran  atau  'alam' tertutup atau kecil.

c.          Gaya Tangan
Gaya  tangan ada hubungannya  dengan tujuan teknik dan tektik serang bela. Terdapat gerak tangan yang khusus yang telah   dirakamkan sebagai gerak yang dipertingkatkan kepada gaya seni. Dalam rajah 10 diperturunkan di antara beberapa gerak tangan sebagai panduan bagi kegunaan peringkat ini. Secara khususnya, tangan dari bahu yang menghala kepada lawan. Sebaik-baiknya hujung jari menghala ke arah membelah dada lawan. Kaedah demikian memudahkan pesilat menguasai gerak lawan.

d.   Gaya Kepala
Gerak kepala dilakukan dengan tujuan memandang gerak lawan. Kepala dipusingkan untuk memandang arah yang akan dihala oleh pesilat. Namun dalam Silat pandangan mata dan kedudukan muka kerap dirahsiakan. Misalnya pesilat lebih suka menggunakan jelingan dan pandangan ekor mata. Rajah 11 menunjukkan pesilat memandang ke arah rangkai pergerakan.

[Petikan daripada artikel yang ditulis oleh Allahyarham Tn Hj Anuar Wahab]

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...