Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Sunday, March 11, 2012

IBU GERAK KUNCI

Salamun Alaik;
Kunci terkandung elemen elak,sangga,cekak,kepak,hentak,patah dan bunuh.
Dalam keilmuan Gayong, Buah Tapak Kunci Mati pada asasnya terdapat hanya 7 buah sahaja. Tujuh buah tersebut merupakan IBU GERAK KUNCI bagi kunci-kunci yang ada sekarang. Ibu Gerak Kunci bermaksud, suatu gerak yang menjadi gerak awalan atau punca kepada perbuatan mengunci tubuh lawan. Seorang yang bertaraf Pendekar hanya perlu tahu Petua Ibu ini, dan ianya mampu untuk diolah menjadi ribuan kunci-kunci lain yang terbit dari punca 7 yang asal ini. 

Arwah Mahaguru mengajar 7 buah kunci di Singapura berdasarkan 7 Ibu Gerak Kunci ini. Kemudian pada awal 70-an, arwah Mahaguru meminta Gurulatih Kanan beliau untuk mengolah 7 buah menjadi 21. Di akhir 70-an pula, yang 21 buah dipecah lagi kepada 7 bahagian setiap satunya. 

Konsep yang hendak ditekankan di sini adalah, bukan untuk dihafal, tetapi untuk menunjukkan IBU GERAK KUNCI adalah HIDUP dan mampu digerakkan mengikut Gerak HAK DIRI bila Ilmu Gerak Bayang telah dikuasai. Bila mana seseorang Pengamal yang mahir dengan Ibu Gerak Kunci ini, maka ianya mampu untuk mengunci lawan dengan variasi kunci dalam pelbagai keadaan dan bentuk serangan.

Dalam Latihan, perlu mengutamakan keselamatan kerana pelajaran kunci amat merbahaya.

Buah Kunci Wanita, adakah sama dengan lelaki?
Dalam seni tempur, bukan buah yang jadi keutamaan, tetapi maksud untuk menumpaskan lawan itu yang diutamakan. Namun, bagi pengajaran yang telah digarapkan oleh arwah cg kalsom sebagai Pemegang Amanah, telah memilih buah kunci mati dari pecahannya sebagai pelajaran yang diajar kepada puteri-puteri Gayong. Ianya dibuat berdasarkan kesesuaian dengan sifat dan kudrat wanita serta kesopanan gerak laku. Terdapat 13 buah kesemuanya. Rakaman video di bawah ada saya tunjukkan buah kunci wanita (1-3 sahaja).

Kunci Wanita dipilih daripada Buah Pecahan Kunci Mati

Wallahua'lam.

Wednesday, March 7, 2012

GERAK TEMPUR TARI SIKULANG

Salamun Alaik;
Gerak Tempur Tari Sikulang

Gerak asalnya tunggal, dipecah menjadi berlapis-lapis.
 Lihat penanda sebagai panduan dan Garis diri yang ghaib menjadi pedoman. 
Menyinggah pula di titik rahsia badan agar bermakna setiap sentuhan. 
Tepislah sekadar secukup rasa tapi MAKAN BIAR SAMPAI KENYANG.......

Itulah Seni yang terkandung dalam Tari Sikulang. Walau nampak lembut dalam Tari nya namun keras dalam Gerak Tempurnya. Ianya HIDUP dan BERLAPIS-LAPIS. 

Wallahua'lam.

KALIGRAFI SILAT SENI GAYONG MALAYSIA DAN SERANTAU

Salamun Alaik,
Hasil karya oleh Ust Nik Afandi Nik Mahmud (Ketua Beradat PSSGM WP Labuan) dan disunting oleh saya sendiri.......

Sesuai untuk dijadikan design T-Shirt
Wassalam

Tuesday, March 6, 2012

SENTUHAN MAUT

Salamun 'Alaik;
Allahyarham Dato' Dr Hj Ahmad bin Hj Lazim, antara yang tergolong dalam senarai Pendekar Gayong.
Seorang Pendekar walaupun tiada memiliki senjata, namun dengan ilmu yang digelar SENTUHAN MAUT, ianya mampu memberikan kecederaan yang melampau sehingga ke tahap boleh membunuh musuh hanya dengan Gerak Serangan yang ringkas dan bersahaja. Dengan hanya berbekalkan tenaga yang minima dan sedikit pergerakan atau hanya dengan sekali sentuhan, musuh terus rebah menyembah bumi (pengsan atau mati). Bagi mencapai kesempurnaan Sentuhan Maut ini, pengamalnya perlu menguasai Ilmu Anatomi Tubuh,  dan Ilmu Seni Saraf terlebih dahulu. (terdapat 49 titik lemah utama pada tubuh manusia).

Contoh serangan titik saeaf pada lengan. 
Dengan hanya sedikit sentuhan,kesan kesakitannya amat perit sekali
Terdapat 7 Sentuhan Maut yang UTAMA, tiga diantaranya;

1. Jantung
PERENTAK JANTUNG adalah sasaran utama bagi SENTUHAN MAUT
Dengan sentuhan yang tepat di bahagian jantung menyebabkan fungsi jantung berhenti seketika (sekitar 1-2 minit). Fenomena ini dipanggil Commotio Cordis iaitu kegagalan jantung berfungsi seketika yang tidak disertai kerosakan fizikalnya. Tetapi, sekiranya sentuhan yang dilancarkan tepat di kawasan PERENTAK JANTUNG dengan kadar melebihi 50km/jam, ianya boleh mengakibatkan jantung mengalami kerosakan teruk dan boleh menyebabkan kematian. 

2. Sisi Leher
Sasaran SENTUHAN MAUT pada Carotid Bifurcation
Di bahagian leher sebelah sisi terdapat satu saluran darah yang dipanggil Salur Arteri Karotid. Ianya berfungsi menghantar darah yang beroksigen ke otak. Pukulan yang kuat dan tepat pada saluran tersebut terutamanya di saluran arteri karotid sinus (yang bercabang) boleh menyebabkan kerosakan dan seterusnya menyebabkan kegagalan otak menerima oksigen. Kesannya boleh mengakibatkan lumpuh atau mati.

3. Belakang Tengkok
Bahagian tubuh yang paling berbahaya jika diserang, Mampu merosakkan Reticular Activating System bagi otak bila hentakkan tepat ke arah tulang belakang (atlas dan paksi) yang sarat dengan saraf yang menghubungkan otak dengan saraf tunjang. 

Begitulah hebatnya Ilmu Para Pendekar silam. Mampu mengaplikasikan teknik-teknik serangan 4 kerat ke arah bahagian-bahagian tertentu badan yang kesannya mampu memberi impak kecederaan yang maksima atau kematian buat lawannya. Walaupun di zaman kini rahsia SENTUHAN MAUT semakin dibongkar , namun RAHSIA SULIT nya masih tersimpan rapi sebagai pakaian Guru-Guru Tua yang bergelar Pendekar.

Wallahua'lam.

Monday, March 5, 2012

SOAL JAWAB 3 : ISU MENYERU MALAIKAT DALAM ISIM BUDDUH

Salamun Alaik,
Soalan;
Saya tertarik dengan huraian tuan tentang ISIM BUDDUH DAN KIPAS NANDUNG. Namun ada beberapa perkara yang agak mengelirukan saya terutamanya bila tuan ada menyenaraikan nama2 Malaikat untuk diseru. Adakah ianya dibolehkan dalam Islam?


Jawapan;
Bagi pandangan saya, isu soalan ini telah menyentuh soal TAWASSUL. Banyak nas yang menyokong Tawassul ini dengan syarat,

"Memulangkan semuanya pada yang HAK yakni disertai dengan penuh keyakinan 
bahawa yang  melakukan sebenarnya adalah ALLAH SWT.. Dialah yang 
Maha Memberi dan Maha Menghalangi, Apa yang Dia kehendaki pasti terjadi 
dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi."

Renungilah Hadis di bawah;

Diriwayatkan dari Saidina Ibnu Abbas radiyaLLahu 'anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :
"sesungguhnya ALLah subahanahu wa ta'ala mempunyai para malaikat di bumi selain para malaikah hafazhah. Mereka menulis setiap apa yang terjatuh dari pangkal pohon. Maka, jika salah seorang kalian tertimpa kesulitan (tersesat jalan) di tengah hutan, hendaklah ia menyeru: "Bantulah, wahai para hamba ALLAH SWT..."
(Hadith riwayat Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, vol 6 hlm 91; Baihaqi, Syu'ab Al Iman, vol I hlm 183; dan disebutkan oleh Al Haithami di dalam kitab Majma' Az Zawaid, vol 1, hlm 132).

Al Hafizh Al Haithami memberikan pendapat (pandangan) terhadap sanadnya. "Hadith ini telah diriwayatkan oleh Thobrani dan para tokoh periwayatnya adalah orang-orang thiqah (terpercaya). (Al Haithami, Majma' az Zawaid, vol 10, 132)

Dalam hadith ini terdapat dalil yang menunjukkan tentang meminta pertolongan kepada makhluk-makhluk yang tidak boleh kita lihat, seperti para malaikat. ALLAH SWT menjadikan mereka SEBAB dalam membantu kita dan kita boleh bertawassul dengan mereka kepada Tuhan kita dalam mencapai tujuan. Tidaklah jauh jika nak dibandingkan dengan para malaikat ini dengan roh-roh orang yang soleh(para Waliyullah), kerana roh-roh mereka adalah jasad-jasad nurani yang tetap ada di alamnya sendiri malah diantara mereka ada yang melebihi darjat para Malaikat.

Wallahua'lam.

Saturday, March 3, 2012

PUKULAN MAUT VS KOMBAT

Salamun Alaik;
 
Tendang Sisi/Juring/Tolak Lintang
Pukulan Maut dan Kombat merupakan pelajaran Gayong yang terkandung di dalam Silibus Gayong. Keduanya adalah pelajaran yang mengajar anak-anak Gayong bagaimana untuk menyerang menggunakan tulang 4 kerat selepas mahir dalam dalam pelajaran Asas Elakan dan Elak Pukul (Pecahan Elakan).

Perbezaan di antara Pukulan Muat dan Kombat?
Sepak Lurus/Tendang Sula
Seringkali saya diajukan tentang perbezaan diantara keduanya. Yang penting kita jangan keliru apa itu Pukulan Maut dan apa itu Kombat. Sama tapi tidak serupa. Kalau kita kaji pelajaran pukulan maut, rangkaian serangannya agak panjang (sesetengah Guru Tua menggelar buah membelasah mayat) sedangkan Kombat hanyalah 3 detik perbuatannya. Ini menunjukkan pelajaran Pukulan Maut lebih fokus kepada KAEDAH MENYERANG dan Kombat pula lebih kepada KEMAHIRAN MENYERANG. Super Kombat dan Serangan Bapak Harimau pula amat berbeza bentuk dan konsepnya dengan Pukulan Maut dan Kombat walaupun semua pelajaran ini adalah sama tujuannya iaitu untuk memusnahkan musuh.

Kesimpulannya, Pukulan Maut adalah ASASnyaKombat adalah RINGKASANnya, Super Kombat adalah RUMUSANnya. manakala Serangan Bapak Harimau adalah RAHSIANYA.


Wallahua'lam.

Friday, March 2, 2012

SOAL JAWAB 2 : kenapa tumbuk pintal tali dibuat pada 2 arah?

Soalan (dipetik dari group Gayong Bercantum)
Mengenai pelajaran, kenapa tumbuk pintal tali dibuat pada 2 arah?.. depan dan kanan.

Jawapan;
Makan dua arah untuk dua musuh, geraknya tiadalah mengangkat kaki,takut hilang kesimbangan, cukuplah hanya berkisar tapak dan elaknya juga sekadar kelek sebutir padi. Kekuatan juga berganda dengan jalinan gerakan bahu dan belikat.Rahsia yang terselit adalah kaedah nafas yang disertakan sewaktu melakukan gerakan penumbuk. Ada 4 peringkat, sedut-simpan-sedia-lepas. Sebutan ZAT juga banyak membantu sistem pernafasan pesilat disamping mengolah energy supaya perjalanannya menjadi lancar.

Wallahua'lam.

Sunday, February 19, 2012

PETUA SEGITIGA

Salamun Alaik,
Segitiga Napoleon
Dalam dunia persilatan, konsep segitiga sering dikaitkan dengan Tapak 3 atau dipanggil juga Tapak Laksamana (Tapak Serang). Sebenarnya, masih banyak lagi konsep segitiga ini yang berhubungkait dengan keilmuan silat. Antaranya adalah PETUA SEGITIGA. Ianya jarang dibicarakan kerana agak sulit dan menjadi pakaian para pendekar silam. 

Petua Segitiga ini jika dikaji, ianya amat saintifik kerana banyak menekankan aspek;
1. Keseimbangan 
2. Daya
3. Graviti
4. Momentum
5. Biomekanik
6. Tork
7. Biologi (Anatomi Tubuh Manusia)

Bagi yang mahir menyerapkan PETUA SEGITIGA ini sewaktu berpencak, tiada lagi kegusaran bila berdepan musuh kerana setiap gerak geri musuh sudahpun dibuat "kira-kira". Dengan menggunakan petua ini juga, sedikit sentuhan mampu memberi impak yang besar dan senang untuk merebahkan musuh. Bagi yang mahir pula, petua segitiga ini mampu menggantikan PETUA PENANDA GERAK dan mudah untuk dipraktikan dalam konsep MAKAN SEGERAK atau MAKAN GERAK DALAM GERAK dan amat berkesan dalam KUNCI GERAK dan MAKAN GERAK. Selain itu juga, petua ini mampu menjadikan pengamalnya seimbang dalam gerak langkahnya dan memaksimumkan jumlah daya bagi setiap bentuk serangan yang dilepaskan ke arah sasaran.
Bentuk Piramid adalah gabungan 4 segitiga.
Segitiga Bermuda yang penuh misteri.
Dalam aspek lain, SEGITIGA menyimpan pelbagai rahsia dan falsafahnya.Antaranya; hikmah Segitiga Khatamun Nubuwwah,  ilmu pengembangan tenaga dalam, tenaga piramid, bintang Nabi Daud as, ilmu falak konvensional dsbnya. Tidak terkecuali segitiga bermuda yang menyimpan pelbagai misteri. Sama-sama kita renungkan. Semoga memberi manfaat buat semua. Wallahua'lam.

Wallahua'lam.

Monday, February 6, 2012

PAGE DALAM FACEBOOK - AMALAN KEBATINAN SILAT SENI GAYONG

Salamun Alaik;
Pastinya bukan mengijazahkan atau menulisnya secara penuh. Ada bahagian-bahagian tertentu dikosongkan demi menjaga ADAB BERGURU. Bertujuan untuk berkongsi secara umum terutamanya dengan seluruh sedara seGayong agar ianya boleh dijadikan bahan dokumentasi/rujukan dan menyemai perasaan ingin menuntut akan kerahsiaan keilmuan gayong buat yang belum memilikinya. Inilah SENJATA GHAIB (ayat-ayat Al-Quran, mentera2 yg mengenalkan akan asal usul manusia dan ayat2 yg membangkitkan semangat diri) bagi sekelian Mukmin yang tiada pada golongan KUFFAR.Selain itu, ianya mampu menjadi alat untuk menangkis segelintir masyarakat yang mengatakan amalan-amalan kebatinan Gayong ini bathil lagi menyesatkan.

Klik di sini https://www.facebook.com/pages/Amalan-Kebatinan-Silat-Seni-Gayong/173373619438717

Wallahua'lam

Friday, February 3, 2012

BENGKONG HITAM HARIMAU PELANGI CHULA SAKTI GANGGA NEGARA MILIK MUTLAK MAHAGURU GAYONG

Salamun Alaik,
Pelangi Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negara
Sistem bengkong bagi Silat Seni Gayong mula diperkenalkan pada akhir 1969 di Pusat Latihan Tertinggi, Air Kuning, Taiping,Perak. Selepas itu, Allahyarham Dato' Meor Abd Rahman(ADMAR) mengarahkan Gurulatih-gurulatih kanannya yang terdiri daripada Cg Abdul Majid Mat Isa (merangkap Timbalan Pengarah Pelajaran), Cg Awang Daud, Allahyarham Cg Ahmad Lazim, Allahyarhamah Cg Siti Kalsom dan beberapa guru lagi membantu menyusun dan memperkemaskan lagi sistem bengkong dan susunan pelajaran Silat Seni Gayong agar lebih sistematik dan tersusun. Tahap pelajaran telah disusun mengikut tingkatan bengkong yang dikategorikan mengikut warna yang menggantikan warna bengkong sebelumnya yang hanya berwarna merah,kuning dan hitam.Susunannya seperti berikut;

1. Hitam (asas)
2. Awan Putih
3. Pelangi Hijau
4. Pelangi Merah
5. Pelangi Merah Tinggi (chula 1-3)
6. Pelangi Kuning
7. Pelangi Kuning Tinggi (chula 1-5)
8. Pelangi Hitam Mulus
9. Pelangi Hitam Chula Sakti (1-6)
10.Pelangi Hitam Chula Sakti 7 (Milik Mutlak Mahaguru)
 Bergaya dengan senjata Sundang Lipas (kanan) dan Keris Sepukal Bugis (kiri)
ADMAR bergaya dengan baju silat berlogo WAFAK PERANG GAYONG dan 
bengkong beliau yang berchula 7
Susunan warna bengkong ini telah dipersetujui oleh ADMAR mengikut falsafah dan warna tertentu yg mempunyai maksud tersirat dan rahsianya tersendiri. ADMAR juga telah menggariskan bahawa hanya beliau seorang yang mempunyai HAK MUTLAK untuk memakai Bengkong Pelangi Hitam Chula 7 yang dipanggil HARIMAU PELANGI CHULA SAKTI GANGGA NEGARA. Ini hak Mahaguru dan sesiapa sahaja yang bergelar anak Gayong hanya layak memakai sehingga Pelangi Hitam Chula 6 sahaja!
ada segelintir guru tua yg mengaku ada hak untuk memakai CHULA 7
 tak terkecuali guru muda juga ada mengaku bertaraf hitam chula 7
ADMAR juga ada menyatakan kenapa hanya beliau seorang sahaja yang layak memakai bengkong hitam berchula 7. Sebenarnya, ianya ada kaitan dengan sumpah ketika saat perkhataman beliau di Batu Hitam. Untuk mengetahui lanjut tentang kisah ini dan apakah kandungan SUMPAH tersebut, berjumpalah guru-guru tua yang banyak berdamping dengan ADMAR kerana ada sesetengah cerita dan ilmunya hanya untuk guru-guru kanan yang benar-benar layak dan yang paling dipercayai. Bagaimana untuk mengenali guru-guru yang dapat kepercayaan ADMAR ini? Amat mudah sebenarnya. Carilah guru yang ADMAR pernah melantik sebagai Pengarah/Timbalan Pengarah Pelajaran, Ketua Waris Lembaga Adat,Apit Jinjang Mahaguru, Sandang Panglima Singa Malaya (hanya 7 org sahaja sewaktu hayat ADMAR) atau yang pernah dianugerahkan bengkong Pelangi Hitam Chula Sakti 4 dan ke atas ( tidak lebih dari 10 orang ). Merekalah orangnya yang patut dan layak untuk dirujuk. Jangan sesekali terpengaruh dengan senioriti semata-mata atau guru yang mendakwa pernah mendakwa dapat itu dan ini daripada ADMAR. Sebenarnya, ADMAR amat tegas dan berhati-hati dalam melantik atau menganugerahkan sesuatu buat muridnya. Berbeza di zaman ini  yang mana berlambak-lambak guru yang melilitkan bengkong hitam chula 6 dan memakai sandang yg tinggi-tinggi. Kebanyakkannya diberi atas faktor senioriti dan sumbangan kepada pertubuhan. Fikir-fikirkanlah.......

Hormati HAK MAHAGURU. BERADAB lah dengan GURU. Secara asasnya, Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negara milik Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim membawa maksud Silat Seni Gayong bersendikan adat. Adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatannya. Oleh itu, telah menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar halatuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diseleweng dan dapat dipertahankan keasliannya.

Wallahua'lam.

Thursday, January 26, 2012

TUNJUK AJAR GURU - MENGALIH DALAM BERKEKUDA

Salamun Alaik,
Allahyarham Mahaguru menanti dengan kaedah tapak kekuda "jermang"
Dalam bertapak menanti kaedah jermang (kaki kanan di belakang), kaki kiri dihadapan berundur setapak sebagai fungsi pengalih badan dalam usaha menjarakkan diri daripada senjata musuh. Jika mampu "ambil" serangan, kaki kanan pula akan beralih sedikit atau sekadar "kelek" luar atau dalam.
Anak Gayong Serantau Kelantan sedang mendapat tunjukajar Ayahanda Amin Hamzah
Wallahua'lam

Sunday, January 22, 2012

TAPAK BELIAN & PUKULAN 7 BERADIK

Salamun Alaik,

Dalam berGayong, asas SERANGAN HARIMAU memerlukan kefahaman dan kemahiran dalam TAPAK BELIAN dan PUKULAN 7 BERADIK,

Bagaimana bentuk dan kaedahnya? Sama2 lah kita mencari GURU.......
Tunjuk ajar dari Ayahanda Amin Hamzah

Wallahua'lam.

Friday, January 20, 2012

ASAS SENAMAN TONGKAT

Salamun Alaik;
Demo Asas Senaman Tongkat yang pertama
Asas Senaman Tongkat diajar buat anak2 Gayong bertujuan untuk "ambil rasa" dan sebagai titik awal mengenal apa itu senjata tongkat (simbat rotan). Ia dimulakan dengan kaedah hormat dan disusuli dengan asas "bermain" dengannya seperti melibas, menukar kemudi, gulingan, regangan dan lompat. Secara asasnya, senaman seperti ini mampu untuk membiasakan diri anak2 Gayong dengan senjata tongkat selain sebagai aktiviti pemanasan sebelum mula berlatih secara lebih serius dan agresif. Jurulatih pula berperanan agar memastikan murid2 Gayong perlu cekap dalam kemahiran mengemudi tongkat dan keupayaan mengelak terutamanya melompat ketika menghadapi libasan tongkat. Selain asas senaman, anak2 Gayong akan diajar dengan Asas Gerakan Tongkat, Asas Elakan Tongkat, Elakan Maut Tongkat, Buah Kuncian Tongkat dan Tapak Hidup Tongkat. Bagi pelajaran tambahan, pesilat akan didedahkan dengan pelajaran tongkat vs pisau, tongkat vs parang dan seni tongkat panjang (tembong).

*pengalaman dulu: selagi tak lepas asas senaman ini terutamanya lompat melepas tongkat, selagi itulah anak2 Gayong perlu ulang sebelum dibenarkan mempelajari pelajaran tongkat yang seterusnya terutamanya Tapak Hidup kerana dikhuatiri pesilat akan cedera di bahagian kaki akibat terkena libasan tongkat.

Wallahua'lam

Wednesday, January 18, 2012

ISIM BUDDUH DAN KIPAS NANDUNG

Salamun Alaik,


 Bruce Lee pernah terkena ajian Kipas Nandung oleh Mahaguru Gayong

Kipas Nandung, terkandung ia di dalam Keilmuan Silat Seni Gayong. Ketinggian ilmu dan kehebatannya sering diceritakan oleh Guru-Guru Tua yang mendapat "AMANAH" dari Allahyarham Mahaguru dan tidak terkecuali ada di antara Guru-Guru Tua yang bercerita berdasarkan pengalaman menyaksikan sendiri bagaimana Allahyarham Mahaguru mempraktikkan ilmu tersohor ini. Memang amat menggerunkan! Ajiannya mampu mencederakan musuh walau hanya direnjis lembut dan ianya juga mampu dilaksanakan tanpa sempadan jarak dan dimensi!

Adab belajar ilmu Kipas Nandung amat berbeza dengan Ilmu Kebatinan Gayong yang lain. Ianya tidak sesekali akan diajar kepada umum atau gurulatih yang telah mencapai tahap tertentu dalam peringkat pelajaran. Ianya juga bukan boleh diperturunkan secara "Izin Amal" atau "Tauliah Umum". Apatah lagi secara berkursus dan dibuka pula kepada peserta yang berminat. Seorang Guru yang menjadi Pewaris Amanah Ilmu ini tidak akan sesekali bercakap sewenangnya-wenang akan perihal Kipas Nandung ini kerana menjaga "SUMPAH" ketika menerima pengijazahan dari Allahyarham Mahaguru. Setiap yang menerima amanah hanya boleh "menurunkan" hanya kepada 7 murid yang benar-benar terpilih dan dipercayai. Itu pun sekadar pakaian untuk diri sendiri. Cuma seorang diantara 7 yang terpilih ini yang akan diangkat pula sebagai "PEWARIS ILMU" yang boleh mengijazahkan pula kepada 7 orang yang benar-benar layak dan berhak. Berkata Guru pada ku; " Perturunkanlah ILMU ini setelah kamu menjunjung uban dan lantiklah pengganti mu daripada murid yang kamu paling percaya"........... Berwaspadalah kerana Ilmu ini bukan ilmu sebarangan, silap langkah buruk padahnya.

Isim Budduh pengisian bagi Kipas Nandung

Ibu Amalan bagi Ilmu Kipas Nandung seperti yang diceritakan oleh salah seorang "PEWARIS" ilmu ini adalah Isim Budduh. Isim yang dianggap Isim Tertinggi dan Terahsia di antara Himpunan Amalan-amalan Kebatinan Gayong yang lain. Seruan dan wasilahnya adalah terdiri daripada Bala Tentera Allah yang terdiri daripada Malaikat-malaikat khusus yang menjaga setiap penjuru alam di peringkat sederhana dan tinggi.
Antaranya;
1. Sayyid Thoiykail
2. Lakahkail
3. Mayail
4. Nannayail
5. dan ramai lagi (dirahsiakan atas menjaga Adab Ilmu)


Tiada Madah, Pantun, Mentera atau latihan fizikal dalam Amalan Kipas Nandung

"Itu semuanya KARUT!!! Dalam Kipas Nandung, TIADA semua ini.", jawab Guru bila ditanyakan soal Kipas Nandung yang sejak kebelakangan ini sudah ada beberapa guru Gayong yang mendakwa ada mempelajari ilmu Kipas Nandung ini dari Arwah Mahaguru. Ada yang bermadah..... ada yang berpantun..... ada yang melompat sambil merenjis-renjis jari dan pelbagai lagi ragam yang boleh dianggap "nak tunjuk serba tahu". Jika benar-benar mereka ada, mereka tak akan kata mereka "ADA" dan sewenangnya menurunkan ILMU ini secara terbuka......sbb itu salah satu SUMPAHnya. Semoga perkongsian ini mampu menjawab soalan2 sahabat yang bertanyakan tentang Ilmu Kipas Nandung ini.

Wallahua'lam.

Saturday, December 31, 2011

SOAL JAWAB 1 : Kemusykilan Mandi/Cuci/Perasap Keris

Salamun Alaik,
Gambar Hiasan
Soalan:



Anonymous said...





tidak dinafikan dalam al-quran ada menyebut tentang kelebihan yang Allah kurniakan pada besi..tapi yang menjadi kemusykilan saya,memandi, mencuci dan perasap...apakah ianya tidak terdapat unsur yang menyalahi syariat? mohon pemilik blog ulaskan...terima kasih..

Jawapan saya:

Bagi saya, memandi,mencuci atau perasap keris ini tiada salahnya dan ianya tiada unsur2 yang menyalahi syariat sekiranya kita melakukan perbuatan ini dengan iman dan ilmu. Malah, kita sebagai bangsa Melayu sepatutnya berbangga kerana ilmu warisan nenek moyang kita ini telah membuktikan secara praktikalnya yang bangsa kita ini merupakan suatu bangsa yang cerdik dan bertamadun. Suatu bangsa yang hebat dalam pembuatan alat2 daripada logam, hebat dalam ilmu berpencak, mahir dalam ilmu perang, pandai dalam ilmu perubatan yg menggunakan herba dan unsur2 alam, pakar dalam ilmu falak dan  pelbagai lagi disiplin ilmu. Namun saya tertarik juga dengan sikap bangsa kita yang penuh beradab, menghormati org tua dan sukakan kebersihan (walaupun sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu). 

Kenapa keris perlu dimandikan/dicuci dan diperasap?
Secara asasnya adalah supaya ianya bersih dari segala kekotoran (tanah atau darah?) dan membuang karat. Dan yang selebihnya bertujuan untuk;
1. Menyukarkan/menghalang besi keris mudah kembali berkarat.
2. Menambah bisa pada keris.
3. Menyanyangi keris kerana ianya adalah simbol maruah dan senjata (perkara asas yg perlu ada pada seorang lelaki pada zaman dahulu kala).

Tujuan asal kenapa orang2 tua dahulu memandi/mencuci/perasap keris sebenarnya anya tiada perkaitan langsung dengan soal-soal mistik seperti memanggil jin, bersahabat, atau melakukan ritual-ritual syirik dan khurafat yang bertujuan menarik duit, menjadi kebal, dan perbomohan. Hal-hal tersebut sebenarnya datang selepas daripada TUJUAN ASAL nya yang mana bertujuan bagi MEMBERSIH KERIS daripada unsur-unsur KEKOTORAN seperti darah selepas bertarung dan KARAT yang terbentuk daripada proses oksidasi secara alamiah.

Saya juga tertarik untuk berkongsi secara ringkas dengan sahabat2 sekalian bagaimana hebatnya nenek moyang kita mengaplikasikan ilmu sains (kimia) sepanjang proses mencuci dan memperasap keris.
1. Menggunakan limau nipis sebagai agen peluntur karat yang bersifat asid. Sebelum digosok dengan dengan limau nipis, kebiasaanya, keris ditusuk ke batang pisang terlebih dahulu supaya karat2 di permukaan terlekat pada getah batang pisang.
2. Kadang-kadang ada juga menggunakan nenas (juga bersifat asid yang mampu melunturkan karat).
3. Air kelapa yang bersifat alkali dan mampu meneutralkan asid daripada limau atau nenas agar tidak terus mengkakis besi.
4. Buluh sebagai bekas rendaman agar bisa buluh melekat dan mampu memberi kesan kepada musuh yang alah ilmunya dengan bahan berunsur buluh.
5. Air siraman dari 7 jenis bunga yang mengeluarkan bauan dan tidak bergetah. Ianya mampu menghidupkan besi dan menambahkan aura senjata berkenaan.
6. Kemenyan. Bertindak sebagai perfume supaya keris berbau harum dan juga sebagai agen penghalang karat dengan getahnya mampu melapisi permukaan keris.
7. ASAP KEMENYAN. Ini yang paling sensitif! Sebenarnya kemenyan suatu sumber yang "hampir" dengan bangsa kita sepertimana buah kelapa dan daun sireh. Dalam keadaan zaman dahulu yang tiada bahan pewangi seperti zaman sekarang, kemenyan lah jadi bahan pewanginya. Selain itu, perasap keris amatlah penting kerana asap yang panas itu mampu mengeringkan air (air kelapa atau air siraman bunga) dengan segera pada permukaan keris bagi mengelakkan karat. Maknanya, menghalang salah satu faktor karat iaitu kehadiran air. dan kemenyan itu juga akan menyeliputi keseluruhan permukaan keris bagi mengelakan contact dengan udara yang juga sebagai agen pengaratan.
Penulis bergaya dengan Keris Nagasasro.

Inilah kaedah tradisi yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Suatu kaedah yang praktikal dan berkesan serta sesuai dengan zamannya ketika itu. Namun di zaman sekarang, dengan ilmu dan alat2 yang sesuai, tidak salah untuk mengubah kaedah tradisi tersebut dengan kaedah-kaedah moden yang semestinya lebih ringkas dan cepat. Gunalah sabun dan berus bagi menanggalkan karat2. Untuk proses pengeringan, boleh gunakan hair dryer. Bagi mengelakkan karat pula boleh juga gunakan lilin yang dipanaskan.

Kesimpulannya, tujuan asal kaedah memandi/mencuci dan memperasap keris ini sebenarnya tiada kaitannya dengan amalan2 pemujaan yang jelas mensyirikkan Allah SWT. Hanya golongan-golongan yang tertentu dan jahil sahaja yang telah merosakkan amalan ini dengan kaedah yang sesat lagi menyesatkan. Apa yang penting adalah ILMU. untuk dapatkan ilmu pastinya perlu berguru. Bila dah belajar dan tahu sebab asbabnya maka tiadalah lagi keraguan bagi segala yang dihairankan. Itulah Bangsa Melayu, suatu bangsa bukan sahaja hebat dalam pembuatan senjata yang bersumberkan besi, tetapi juga hebat dalam soal menjaga dan memastikan senjata ini sentiasa berbisa dan tidak sesekali tunduk dengan musuh utamanya iaitu karat!

Semoga ulasan saya ini mampu menjawab kemusykilan sedara yang bertanya.


Wallahua'lam

Monday, December 26, 2011

KAEDAH MENGENAL BESI HIDUP

Salamun Alaik,

Bagi para Pendekar Melayu, memiliki senjata yang tajam dan berbisa sahaja belum lagi memenuhi syarat bagi senjata tersebut digelar Senjata Perang dan dibawa bertarung. Besinya perlu "HIDUP" dan mestilah serasi dengan diri pemakai. 

Kenapa perlukan "BESI HIDUP"?
Takrifan Besi Hidup adalah merujuk kepada besi yang mempunyai nilai getaran yang tinggi dan berupaya merangsang si pemakai dalam berpencak. Semakin "hidup" besi tersebut maka semakin hebat gerak tari dan gerak pencaknya. Namun, gerak hidup sesuatu senjata itu haruslah dikemudi oleh si-pemakai yang mempunyai ilmu untuk berinteraksi dengan senjata tersebut dan berkemahiran dalam berpencak secara fizikalnya.

Bagaimana Kaedah untuk mengenal "Besi Hidup"?
Sebenarnya, terlalu banyak ilmu dan kaedah untuk mengenal besi hidup ini. Setiap guru ada kaedah nya yang tersendiri mengikut keilmuan yang mereka pelajari. Di sini, saya tertarik untuk berkongsi salah satu kaedahnya   yang dipanggil GERAK RASA. Jika gerak senjata itu laju maka ianya dikatakan hidup berbanding yang perlahan atau langsung tidak bergerak. Selain itu, melalui kaedah ini juga, kita mampu mengenal sifat senjata tersebut, adakah ianya sesuai untuk dibawa bertempur ataupun tidak.Tertib kaedah nya seperti berikut;

Pemakai berdiri tegak dengan Keris terhunus dihadapan.
1. Berwudhuk.
2. Beristighfar.
3. Syahadah
4. Takbir
5. Susun Nafas (Nafas Gayong) - membangkit getaran diri supaya mampu berinteraksi dengan getaran besi.
6. Membaca Isim Besi/ Ayat Besi
7. Zikir Qolbu Alam ( sepanjang proses scanning )
Ust Nik Iznan sedang menguji besi sebilah keris
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat semua. Pada diri penulis, bukanlah niat dihati untuk membongkar Rahsia Kependekaran dan membangga diri di atas sekelumit ilmu yang Allah SWT kurniakan. Sesungguhnya Ilmu Kependekaran Melayu amatlah luas sekali. Cari dan galilah........ Pada saat kita telah mengetahui sebab musabab pada setiap keraguan,maka pada saat itu hilanglah segala kehairanan.

Wallahua'lam.

Sunday, December 25, 2011

PEMBUATAN SENJATA PERANG TRADISI MELAYU

Salamun Alaik,
Gambar Hiasan
Kehebatan senjata perang dilihat dalam 2 aspek utama iaitu Kaedah Pembuatannya dan Jenis Besi yang digunakan. Kaedah pembuatan senjata pula merujuk kepada amalan diri ( puasa, zikir dll ), pemilihan hari, ukuran pemakai, kaedah tempa, lapisan besi, masukkan bisa dsb manakala bahan besi pula kebiasaanya akan dipilih daripada campuran beberapa jenis besi seperti;

1. Besi Waja (besi keras)
2. Besi Tawar ( besi lembut )
3. Besi Temiang (penguat besi baja)
4. Besi Kuning dan unsur seperti emas,perak dan tembaga (unsur mistik-pelemah kebal)
5. Besi Leleh ( unsur mistik - kebal pada pemakai )
6. Besi Wali ( pengilat dan tahan karat )
7. Besi Tulang (unsur bisa)
8. Besi Tahi Bintang (unsur mistik)

Mengikut petua, jenis besi yang ingin dijadikan senjata perang seeloknya daripada besi yang yang bermula dengan huruf PA' (huruf Jawi) seperti paku, pagar, pahat, pencebor, puting parang, pencebat, pisau, payung, pasak, perisai, pahar dll ( sebaiknya yang telah patah dan diambil dari tempat2 yang berasingan ). Dikatakan pembuatan senjata menggunakan 7 Pa' ini mampu memberikan kelebihan-kelebihan mistik tertentu kepada  si-pemakai seperti membangkitkan semangat, kebal, melemahkan semangat musuh, perabun, mampu berhubung dengan alam ghaib dan sebagainya.

Bagi mengekalkan keampuhan senjata perang tersebut, si-pemakai seharusnya tahu bagaimana kaedah untuk memandi, mencuci dan perasap selain secara berkala menambahkan bisa pada senjata tersebut.  Memandi dan perasap senjata kebiasaanya dilakukan genap 40 hari  manakala mencuci senjata dilakukan setahun sekali di bulan Muharram (bulan yang ditegah untuk berperang).

Selain daripada 2 aspek diatas, pembuatan senjata perang tradisi Melayu juga banyak menitikberatkan KESENIAN dalam ukiran hulu dan sarung. Ukiran selalunya dipilih berdasarkan motif yang berunsurkan flora dan fauna yang penuh dengan penceritaan yang tersurat dan tersirat. 

Setelah mengalami perkembangan dalam sistem sosial dan kebudayaan, senjata perang bangsa Melayu ini juga turut mengalami perubahan dari sudut pembuatan dan penggunaannya. Jika asalnya untuk bertarung dan berperang, kini ianya telah menjadi sekadar simbolik kuasa dan barang perhiasan mewah. Walaupun bentuk dan rupanya sekilas pandang adalah sama, namun amat jauh berbeza dari aspek kaedah pembuatan dan jenis-jenis besi yang digunakan. Sama tapi tak serupa.......

Wallahua'lam

Sunday, December 18, 2011

SENJATA MELAYU - GADA-GADA

Salamun Alaik,
 
Demonstrasi gaya permainan Gada-Gada oleh Ust Wan Abdul Halim

Gada-gada merupakan sejenis senjata berantai dan mempunyai logam pemberat di hujungnya.  Rantainya berukuran sekurang-kurangnya 7 kaki dan pemberat dipasang dikedua-dua hujung rantai atau di salah satu hujungnya sahaja. Logam pemberat terdapat dalam pelbagai bentuk. Ada yang berbentuk seperti bebola dan ada yang berbentuk tirus. Gada-gada dimainkan secara MENGHAYUN dan MELEMPAR. Logam pemberat yang dipasang dihujung rantai akan bertindak sebagai pemusnah. Sasaran serangan adalah di KEPALA dan di DADA musuh. Untuk menghasilkan suatu serangan yang kuat, pengemudinya perlu mengayun dengan laju dan bijak melempar pada sudut dan masa yang tepat.

Menurut sumber lisan seorang Guru Tua, Gada-Gada berasal dari senjata Pemukul (diperbuat daripada kayu) yang dipanggil Gada. Senjata tersebut melalui zaman evolusinya sehinggalah terbentuknya gada daripada logam yang dipanggil cokmar, gada berantai ( ada hulu sebagai pemegang dan bebola hujungnya tajam @ berduri ) dan gada-gada ( hanya rantai besi tanpa hulu pemegang ).

Gada atau Cokmar yang banyak dihikayatkan dalam cerita2 dongeng Raja Hanuman

Kini Cokmar dijadikan simbolik kuasa
Gada Berantai (moden)

Kelebihan senjata Gada-Gada antaranya;
1. Dapat menyerang musuh dalam jarak yang sederhana jauh ( 7-12 kaki ).
2. Mampu menyerang musuh disebalik halangan seperti pokok atau tiang.
3. Kawalan benteng seluas 360 darjah (satu pusingan)
4. Mampu menyerang dengan logam pemberat dan bertahan dengan rantai yang dipegang (bertindak sebagai senjata Cendai).

manakala kelemahan ketaranya adalah sukar untuk digunakan dalam ruangan sempit dan banyak halangan. Namun dengan petua tertentu, ada kaedah untuk mengatasinya.

Kata GuruTua itu juga, Gada-Gada ini adalah pakaian bagi Panglima bergelar Harimau Berantai.......

Gambar Kenangan
Peserta Kursus Kejurulatihan Gayong Serantau Kelantan siri ke-9
Wallahua'lam.

Wednesday, December 14, 2011

KUPASAN SENI BUNGA TANJUNG BHGN 3

Salamun Alaik,
Gambar Hiasan
Dalam kupasan kali ini, saya sekadar mengulas secara ringkas seni-seni lain yang terkandung di dalam Seni Bunga Tanjung. Antaranya;
1. Jurus Pernafasan Gayong.
2. Gerak Pendinding Diri.
3. Ajian Pemusnah Kebal Musuh (guna ilmu hitam)
4. Gerak Tari Cendai & Kerambit
5. Gerak Bunuh Kucing Hitam.
6. Belebat Gayong
7. Seni 3 Daun ( permainan Lapis Gayong )
8. Sarung Tubuh ( kebal ilmu )
9. Falsafah Kehidupan ( KAU, AKU dan DIA ).

Semoga perkongsian ini mampu menjadi titk mula bagi anak-anak Gayong dan pengamal silat terus mencari dan menggali segala yang tersirat  dalam SENI BUNGA TANJUNG ini. Saat terbongkar rahsianya, ianya bukan lagi sekadar tari dan menjadi pelengkap majlis, tetapi akan ditatang ilmunya kerana amat tinggi nilai dan manfaatnya.

Wallahua'lam.

Wednesday, November 16, 2011

KUPASAN SENI BUNGA TANJUNG BHGN 2

Salamun Alaik,

Seni ke-2 yang terkandung di dalam Bunga Tanjung dipanggil main "GELOMBANG". Gelombang merujuk kepada gerakan turun naik yang merangkumi pelbagai aras seperti kedudukan berdiri lurus, melutut, kekuda, duduk pendekar (sabung ayam) dan meraut tiang (kekuda gantung). Kekuatan lutut menjadi sandaran utama dalam permainan "gelombang" ini.

Dari aspek saintifik, gerakan turun naik secara harmoni akan mewujudkan suatu daya impulse yang tinggi akibat daripada perubahan momentum yang mendadak daripada kedudukan tinggi-rendah-tinggi-rendah (serangan sampai di sasaran). Jika di lakarkan gerakan gelombang ini, ianya seperi graf gelombang SINUS     ( istilah dalam trigonometri).

Graf Sin
Selain daya impulse, gerakan gelombang ini juga terkandung inersia yang tinggi saat gerakan menurun daripada titik puncak ke bawah dan ianya dibantu oleh daya tarikan graviti dan beban tubuh pesilat.

Begitulah tersiratnya gerakan naik turun yang terkandung di dalam seni Bunga Tanjung. Pesilat seharusnya menghayati dan menyelami setiap gerak agar setiap seni mampu diekstrak dan dipraktikan dalam situasi tempur yang sebenar. Gerakan gelombang ini juga secara tidak langsung menjadi latihan bagi kekuatan kaki terutamanya bahagian lutut.

Wallahua'lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...