Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Saturday, December 26, 2009

TAHNIAH BUAT GAYONG SERANTAU KELANTAN

Assalamualaikum semua,

Selamat mengunjungi blog gayong serantau kelantan di alamat www.gayongserantaukelantan.blogspot.com

Friday, October 30, 2009

MAKAN GERAK..............

Assalamualaikum,

Makan Gerak bermaksud diri bergerak serang berasaskan petua Penanda Gerak ke arah Ibu Gerak musuh sebelum Gerak berpucuk menjadi Sifat..............................


*mohon pendita tambah yang mana tidak cukup.................


Wallahua'lam

Wednesday, October 14, 2009

Blog PSSGM WPL

Assalamualaikum,

Pihak PSSGM WPL telah sepakat menghasilkan blog rasmi PSSGM WPL bagi menyampaikan info-info dan aktiviti-aktiviti semasa pihak PSSGM WPL. Sama-sama kita lawatinya.............

www.pssgmwpl.blogspot.com


Wassalam

Sunday, October 4, 2009

KERIS dan GOLOK

Assalamualaikum,

Saya tertarik untuk membicarakan tentang hubungan senjata Keris dan Golok dengan Persilatan Melayu Nusantara. Bila berbicara tentang keris, semua sudah maklum yang keris merupakan suatu senjata simbolik yang mewakili kuasa Raja-raja Melayu dan merupakan satu senjata yang penuh dengan rahsia kehebatannya bermula dari;
  1. kaedah pembuatannya - kredibiliti dan ketinggian ilmu tukang/pandai keris, jenis-jenis besi yang digunakan (tujuh PA), pemilihan hari. ukuran badan si pemakai dan wirid-wirid bacaan tertentu.
  2. bentuk fizikal - bilangan lok, corak pamor, ukiran hulu dan sarung, kepanjangan dan jenis kegunaan.
  3. penggunaannya - cara pakai/sisip keris, langkah, kaedah menikam, sasaran, pantang larang, adat memandikan keris dan cara simpan.
*bersambung

Wednesday, September 30, 2009

ROH #1

Assalamualaikum,

Sebelum kita berbincang dengan lebih lanjut tentang Tenaga Dalam, Amalan Kerohanian dan Kuasa Minda, seeloknya kita perlu kenal tentang diri kita terlebih dahulu terutamanya tentang ROH. Merujuk kepada Firman Allah SWT di dalam Al-Quran Surah Al-Israk ayat 85;

Demikianlah yang mana manusia hanya diberikan sedikit sahaja ilmu tentang ROH, akan tetapi dengan sedikit ilmu ini manusia berusaha mengkaji dan telah berjaya mengambil beberapa manfaatnya terutamanya dalam konteks Ilmu Kerohanian dan Alam Ghaib.

Berdasarkan ilmu dan kajian ahli-ahli ilmu kerohanian, ROH manusia terdiri daripada himpunan 9 jenis Roh. Setiap Roh ini mempunyai fungsinya yang tersendiri seperti berikut;
  1. Roh Idofi - Roh Utama
  2. Roh Rabbani - Roh yang sukar ditemui. Bersifat diam dan tidak mempunyai apa-apa kehendak. Sifat kehambaan yang sebenar-benarnya.
  3. Roh Rohani - Roh yang berkaitan dengan nafsu
  4. Roh Nurani - Roh yang berkaitan dengan hati yang baik (nafsu mutmainnah)
  5. Roh Kudus - Roh berkaitan berhubungan dengan berbuat kebaikan
  6. Roh Rahmani - Roh yang mempengaruhi manusia bersifat sosial dan suka memberi
  7. Roh Jasmani - Roh yang menguasai seluruh darah dan urat. Roh yang menjadikan kita sakit dan seumpamanya. Sekiranya kita dapat menguasainya, ditusuk jarum pun tidak akan rasa sakit. Roh ini mudah dikuasai oleh nafsu amarah dan sifat kebinatangan buat manusia seperti suka makan,bersetubuh, malas dsb.
  8. Roh Nabati - Roh yang mengendalikan perkembangan dan pertumbuhan badan fizikal
  9. Roh Rewani - Roh yang menjaga tubuh fizikal dan pemikiran. Bila tidur,roh ini yang keluar.
Wallahua'lam

Sunday, September 27, 2009

BUNGA, WARNA DAN AURA #1

Assalamualaikum,

Adakah MANDI BUNGA itu khurafat? Ini adalah antara soalan-soalan yang sering diajukan oleh masyarakat buat pengamal-pengamal silat dan juga pengamal-pengamal perubatan. Mereka gusar sekiranya mereka terjebak dalam aktiviti ini, akidah mereka akan rosak kerana mempercayai kuasa bunga dan boleh jatuh syirik terhadap ALLAH SWT.

Kaedah Mandi Bunga merupakan antara kaedah rawatan tradisional bagi mengubati penyakit zahir dan batin yang telah dipelopori oleh nenek moyang kita. Apakah konsep yang digunakan dan bagaimana ianya dapat berfungsi merawat sesuatu penyakit?

Konsep Mandi Bunga
  1. Bunga mempunyai pelbagai jenis dengan pelbagai warna.
  2. Setiap warna mempunyai bentuk frekuensi getarannya yang tersendiri.
  3. Air merupakan suatu medium yang mampu merakam frekuensi getaran.
  4. Air juga mampu untuk merakam niat manusia.
  5. Anggota badan manusia yang sakit menunjukkan perubahan kepada frekuensi getaran asal. Ianya lebih kepada frekuensi yang lemah dan tidak harmoni.
  6. Penggunaan 7 jenis bunga agar frekuensi getaran yang dirakam oleh air dapat membetulkan frekuensi getaran lemah tubuh pesakit
  7. Penggunaan limau nipis bagi menambahkan sifat eloktrolit air.
Merujuk konsep di atas ( huraian yang paling asas ), maka Mandi Bunga merupakan suatu kaedah rawatan yang boleh dihuraikan secara saintifik dan ianya langsung tidak ada kaitan dengan unsur-unsur karut dan khurafat. Mungkin yang menjadikan kaedah ini syirik dan khurafat adalah pengamal-pengamal perubatan atau silat yang tidak faham konsep sebenar bagaimana Mandi Bunga ini mampu mengubat pesakit.

Kini, konsep tradisional ini telah pun di komersialkan oleh pengkaji-pengkaji Barat dan telah banyak jurnal-jurnal dikeluarkan berdasarkan hasil kajian mereka. Maka terhasilnya produk-produk "color vibration therapy" yang berinovasikan dari Kaedah Mandi Bunga. Akhirnya, penggunaan produk-produk hasil kajian Barat ini telah meluas digunakan oleh masyarakat Malaysia termasuk yang pernah mengatakan yang Kaedah Mandi Bunga itu adalah karut dan menyesatkan! Sama-sama kita fikirkan.................


Wallahua'lam

Friday, September 25, 2009

SIAPA PANGLIMA HITAM?

السلام عليكم

Siapa sebenarnya gerangan yang dipanggil Panglima Hitam? Adakah beliau seorang yang benar-benar hebat sehingga nama Panglima Hitam ini menjadi suatu nama Lagenda dalam ilmu beladiri Melayu ini? Dalam ruangan dan kesempatan ini, saya cuba untuk berkongsi fakta tentang Panglima Hitam ini setakat pada pengetahuan saya. Mungkin ramai di kalangan kita yang lebih arif tentang sejarah siapa sebenarnya Panglima Hitam ini. Harap ada yang sanggup berkongsi pandangan dan fakta yang saya rasakan perlu untuk kita orang-orang silat kenal siapa sebenarnya Panglima Hitam ini.

Menyingkap kewujudan Panglima Hitam, sejarah telah menunjukkan yang setiap Sultan mempunyai pengawal peribadi yang sangat handal dalam pertempuran yang digelar Panglima Hitam. Maknanya, Panglima Hitam ini merupakan suatu nama gelaran dan bukan hanya tertakluk pada seseorang individu. Antara yang tersohor ialah;
  1. Panglima Hitam (Taiping) atau nama sebenarnya Tengku Daeng Kuning anak raja Bugis yang menjadi pendekar terbilang pada abad ke -18
  2. Panglima Hitam (Kuala Selangor)
  3. Panglima Hitam (Jugra)
  4. Panglima Hitam (Muar,Johor)
  5. Panglima Hitam (Segamat,Johor)
Dalam sejarah negeri Selangor, Panglima Hitam sebagai pahlawan yang berani dan setia dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan diri Sultan, Istana dan Kerajaan. Mereka terdiri dari;
  1. Panglima Hitam pada zaman Almarhum Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor yang kedua dan Almarhum Sultan Muhammad iaitu Sultan Selangor yang ketiga.
  2. Panglima Hitam yang dikenali juga sebagai Daeng Ali iaitu pengawal peribadi Almarhum Sultan Abdul Samad yang merupakan Sultan Selangor yang keempat.
Dalam sejarah negeri Johor pula, terdapat dua individu yang bergelar Panglima Hitam iaitu;
  1. Panglima Hitam di Muar yang bernama Baginda Zahiruddin berasal dari Padang Pariaman Minangkabau, Sumatera. Beliau merupakan pengasas kepada Silat Lintau pada abad ke-16.
  2. Panglima Hitam di Segamat yang merupakan pemimpin ketenteraan dan telah berjaya mengalahkan kumpulan pemberontak dalam perang Jementah yang berlaku di kawasan Segamat.
Dan yang terkenal sekali adalah Panglima Hitam di negeri Perak yang bernama Tengku Daeng Kuning, anak Raja Bugis dari Makasar, Sulawesi. Gelaran Panglima Hitam pada beliau bersempena dengan ilmu kependekaran yang tinggi dan sentiasa memakai pakaian yang berwarna hitam. Mula sampai di Kepulauan Tanah Melayu pada 1813 bersama 6 saudara yang lain. Sesampainya di Tanah Melayu, mereka 7 bersaudara masing-masing membawa haluan sendiri mengikut ilmu dan firasat mereka. Maka berpecahlah mereka ke negeri-negeri berikut;
  1. Perak
  2. Pahang
  3. Kedah
  4. Terengganu
  5. Johor
  6. Selangor
  7. Melaka
Makam Daeng Kuning


Makam Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman

Daeng Kuning @Panglima Hitam telah menetap di Kuala Larut yang diberi nama Relur Tujuh dan kini dikenali sebagai Air Kuning, Taiping. Beliau meninggal pada 1875 dan disemadikan di Kampung Tupai, Jalan Pokok Assam, Taiping. Dari keturunan beliaulah, lahirnya Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman yang merupakan Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia.

Papan Tanda berhampiran Makam Daeng Kuning

Kesimpulannya, nama Panglima Hitam ini telah dipakai dan menjadi simbol kepada seseorang yang tinggi ilmu kependekaran selain mempunyai sifat berani dan setia kepada raja dan negara. Pengiktirafan di atas sifat keberanian dan jasa Panglima-Panglima Hitam ini terbukti apabila nama Panglima Hitam ini telah diabadikan pada Pasukan Khas Laut (Paskal),TLDM sebagai Kapal DiRaja(KD) Panglima Hitam. Selain itu, Kerajaan melalui Jabatan Muzium telah membina semula Makam Panglima Hitam di Taiping dan telah digazet dibawah akta pendaburba sebagai suatu simbol sejarah negara. Semoga kita sama-sama dapat menghayati dan mengambil ikhtibar daripada sejarah Panglima Hitam ini.


والله أعلم

PETUA #8

السلام عليكم

SENJATA PADA MUSUH #2

Bila memerhatikan kelemahan musuh, lihatlah pada RAMBUT nya. Sekiranya musuh memiliki rambut yang panjang, maka secara tidak langsung ia sebenarnya telah memberikan senjata buat kita. Anda hanya perlu menyentap tanpa teragak-agak. Keadaan ini boleh menyebabkan musuh akan mengikut arah sentakan dan anda bolehlah melakukan serangan susulan.


والله أعلم

Thursday, September 24, 2009

PETUA #7

السلام عليكم

SENJATA PADA MUSUH #1

Bila berhadapan dengan musuh, MATA perlu peka dengan setiap pergerakan musuh, persekitaran dan sebarang objek yang boleh dijadikan senjata. Antara objek yang boleh memakan diri musuh adalah pemakaian cincin pada jari-jari mereka. Jangan gusar atau kecut perut bila mana melihat cincin yang besar pada jari-jari mereka. Sebenarnya, cincin di jari mereka langsung tidak boleh membantu, malah akan memberi impak kemusnahan buat mereka! Antaranya;
  1. Jika musuh menumbuk dengan memakai cincin, tulang jari mereka akan retak atau patah disebabkan oleh hentakan balas yang kuat pada tulang jari tersebut (Hukum Newtons ke-3)
  2. Jika anda dapat menggenggam jari-jari musuh hingga tersepit, maka musuh akan menanggung kesakitan yang amat luar biasa!
* Kesakitan akan tetap terasa walaupun hanya memakai satu cincin. Selamat mencuba!

والله أعلم

Saturday, September 19, 2009

SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI

السلام عليكم

Biar renggang di fana dunia,
Biar hina dimata manusia,
Biar semangat semakin tua,
Biar harta semakin tiada,
Biar akal semakin berusia,
Biar jauh kedudukan kita,
Biar jurang pangkat kita,
TETAPI JANGAN tergadai SILATURRAHIM antara kita........

"SELAMAT HARI RAYA......MAAF ZAHIR DAN BATIN"


والله أعلم

TENGGILING DAN LOMPATAN HARIMAU #2

السلام عليكم

Dalam seni tenggiling dan lompatan harimau, setelah pesilat mahir dalam menguasai seni ini, pesilat akan diuji untuk melakukan lompatan-lompatan yang agak berbahaya dalam usaha menilai tahap penguasaan yang tertinggi dan juga menguji tahap keyakinan serta kebolehan pesilat tersebut. Antara ujiannya seperti;
  1. Melompat Gelung Api
  2. Melompat Gelung Tajam (dilekatkan pisau atau senjata tajam pada gelung)
  3. Melompat pagar daripada runcing buluh
  4. Melompat dari bangunan yang tinggi
  5. Melompat sebuah kereta (statik atau bergerak)




والله أعلم



UJIAN KETAHANAN DAN KEYAKINAN DIRI

السلام عليكم

Dalam mendalami ilmu silat, seseorang itu bukan hanya di didik secara fizikal semata-mata yakni hanya diajar kaedah dan cara-cara menghadapi lawan secara tangan kosong atau bersenjata. Sebenarnya, dalam tempoh tertentu, pesilat akan didedahkan dengan ujian-ujian dan upacara tertentu secara berperingkat mengikut tahap pencapaian pesilat itu sendiri seperti;
  1. Ujian ketahanan mental
  2. Ujian keyakinan diri
  3. Ujian kelasakan tubuh fizikal
Antara bentuk upacara dan ujiannya adalah seperti;
  1. Mandi Minyak
  2. Jalan terus atas bara api
  3. Lompat Gelung Api/kereta
  4. Lompat Kaca
  5. Tetak badan dengan parang
  6. Gantung diri
  7. Gelek lengan atau badan dengan kenderaan
  8. Hiris lengan dengan pisau
  9. Tempur bebas dengan mata tertutup
  10. Pemecahan batu sungai
  11. Bakar anggota badan dengan api
Penulis sedang MENGUJI Ustaz Wan Abdul Halim (YDP Gayong Serantau Kelantan)

http://www.youtube.com/watch?v=9c0j8Q3Ht28
http://www.youtube.com/user/chulahitam#play/all/uploads-all/2/mYVj45TR9TY
http://www.youtube.com/user/chulahitam#play/all/uploads-all/0/PVAAVoYbErY
http://www.youtube.com/user/chulahitam#play/all/favorites-all/0/djRxVz6g7Co

Upacara dan ujian-ujian seperti ini HARUS dilaksanakan dan dikekalkan agar pesilat yang dihasilkan adalah benar-benar mantap dari semua aspek fizikal dan mentalnya. Oleh yang demikian kualiti ilmu dan penyambungan warisan ini akan terus terpelihara dan kekal hebat pada generasi-generasi akan datang!


والله أعلم

Friday, September 18, 2009

RAHSIA HURUF #3

Assalamualaikum,

"Andaikan perjalananmu terhenti hanya sampai kepada huruf, lalu engkau dikuasainya bagaikan tawanan dan terpengaruh oleh rahsia - rahsianya, dan tergoda oleh teka-tekinya agar engkau dapat menguasai atas manusia - manusia, niscaya akan Ku catat engkau dari golongan ahli sihir yang tidak berjaya, dan dari penyembah - penyembah huruf yang mana mereka itu adalah berlaku syirik kepadaKu"


Wallahua'lam

Thursday, September 17, 2009

RAHSIA HURUF #2

Assalamulaikum,

"AKU lah pencipta huruf dan mahruf apa yang diberitakan oleh huruf. AKU jadikan dari rangkaian huruf itu menjadi asma', dan susunannya menjadi bahasa dan beberapa ibarat agar dengannya manusia yang menjadi penghuni alam ini dapat berbicara. Jangan dilupakan bahawa kesemuanya ini AKU yg menjadikan dan AKU berada di atas segala.

Apa yang AKU ciptakan sebagaimana halnya huruf, tidaklah mempunyai kemampuan hukum apapun atasKu dan tiada menyentuh sedikitpun atas Zatku.

Telah Ku katakan kepada huruf dengan gaya huruf itu sendiri, maka tiadalah lisan yakni penyalur huruf itu dapat menyaksikan Daku dan tiadalah Aku dikenal oleh huruf itu"


Wallahua'lam

Wednesday, September 16, 2009

RAHSIA HURUF #1

السلام عليكم

Dalam amalan dan ilmu para pendekar, ada diantaranya menggunakan huruf-huruf Arab dalam sebutan serta tulisan-tulisan sebagai wafak. Kenapa huruf ini digunakan? Apa makna disebalik huruf-huruf ini?

Di sini saya lampirkan makna setiap huruf- huruf Arab dalam pengertian Bahasa Siryani.



والله أعلم

SASARAN MAUT

السلام عليكم

Sasaran Maut merupakan bahagian/daerah pada anggota badan manusia yang dikategorikan sebagai bahagian paling lemah dan sekiranya serangan yang kuat dan tepat pada bahagian tersebut boleh mengakibatkan kecederaan serius atau boleh membawa maut!


والله أعلم


Tuesday, September 15, 2009

DEMO SILAT- GABUNGAN KEKUATAN DAN SAINS

السلام عليكم
Persembahan @ Demonstrasi Silat dilaksanakan oleh perguruan-perguruan silat adalah bertujuan untuk;
  1. Memperkenalkan perguruan
  2. Menarik minat penyertaan masyarakat
  3. Menonjolkan warisan budaya
  4. Mempamerkan kekuatan dan semangat ahli-ahli silat
  5. Mewarnai persembahan-persembahan kebudayaan dalam majlis-majlis tertentu
  6. Memenuhi permintaan individu atau kumpulan tertentu seperti majlis perkahwinan
Bentuk demo silat ini sangat bergantung kepada aliran silat itu sendiri seperti;
  1. Aliran silat tari (lembut) - akan mempamerkan seni tarian silat, empat tapang dan main pulut yang diiringi oleh kumpulan gendang silat.
  2. Aliran silat buah(keras) - akan mempamerkan teknik-teknik pertempuran seperti kuncian,pukulan dan tempur silat. Ada yang bertangan kosong sehinggalah dipersembahkan permainan senjata-senjata di alam Melayu seperti pisau, tongkat, parang, keris, lembing, kapak, kerambit dsb. Tidak terkecuali, aksi-aksi pemecahan atap genting, batu bata,tetak, lompat gelung api dsb.
Saya tertarik untuk memberi pandangan demo silat yang bercorak aksi yang mempamerkan kekuatan fizikal dan dalaman. Sekiranya kita perhatikan, sebenarnya aksi-aksi yang dipamerkan adalah gabungan antara kekuatan dan ilmu sains. Bukan hanya teknologi moden sahaja yang mengaplikasikan ilmu sains, tetapi ilmu silat juga adalah sebahagiannya. Ini dapat dibuktikan dengan penerapan konsep-konsep sains dalam silat seperti konsep halaju, daya, momentum, inersia, tekanan, pecutan, imbangan, anatomi dsbnya.
Kesimpulannya, ilmu silat ini merupakan suatu ilmu mempertahankan diri yang bercorak saintifik dan bukannya kolot disebabkan umurnya yang telah wujud berkurun yang lepas.


والله أعلم

Sunday, September 13, 2009

TENGGILING DAN LOMPATAN HARIMAU #1

السلام عليكم
Kebanyakan silat banyak mengambil ilham atau konsep daripada gerak laku binatang dalam kaedah mereka memburu dan memusnahkan mangsanya. Antaranya binatang-binatang yang utama adalah seperti Harimau, Singa, Ular, Helang, Gajah dan Kala Jengking. Dan ada juga sesetengahnya menggunakan konsep kelincahan monyet dalam usaha melepaskan diri daripada diserang oleh musuh.


Dalam ruangan ini, saya ingin berkongsi dengan sedara-sedara sekalian berkenaan silat yang mengambil Harimau sebagai GAYA PERMAINAN silatnya. Maka tenggiling dan lompatan diajar kepada pesilat-pesilatnya sebagaimana gerak laku binatang tersebut seperti gerak ANAK HARIMAU yang berguling-guling sehinggalah BAPAK HARIMAU yang melompat membaham mangsa.Sebenarnya,teknik tenggiling (rolling) dan lompatan harimau/helang merupakan aspek penting dalam ilmu persilatan. Ini kerana kemahiran tenggiling dan melaksanakan lompatan dapat membantu para pesilat mengelak daripada kecederaan ketika terjatuh atau dijatuhkan oleh pihak lawan. Malah, pesilat mampu untuk kembali bangkit dan bertapak sedia untuk membuat serangan balas.
Untuk pengetahuan semua, teknik tenggiling dan lompatan ini antara ilmu yang diajar dalam modul Tempur Tanpa Senjata pihak-pihak berkuasa seperti polis dan tentera. Tidak terkecuali pasukan CIA dan Navy Seals dari Amerika!



والله أعلم

SENI KUNCI DALAM SILAT #4

السلام عليكم

Seterusnya, setelah mahir dalam melaksanakan PECAHAN BUAH KUNCI, pesilat dilatih pula bagaimana hendak menghadapi kuncian daripada pihak lawan. Sebagai latihan, pesilat akan dikunci dengan buah-buah kunci yang dipelajarinya dan diajar bagaimana untuk menangkis kuncian tersebut dan membalasnya dengan kuncian semula. Teknik ini dipanggil LAPIS KUNCI atau KUNCIAN DUA DAUN.



Teknik LAPIS KUNCI ini perlu dimahirkan sehingga setiap satu kuncian dari pihak lawan dapat ditangkis dan dilaksanakan kuncian balas mengikut situasi dan kesesuaiannya.

والله أعلم

Saturday, September 12, 2009

SENI KUNCI DALAM SILAT #3

السلام عليكم

Dalam proses pembelajaran SENI KUNCI, setelah mahir dalam pelajaran ELAK PUKUL dan seterusnya dapat melaksanakan BUAH KUNCI dengan sempurna, pesilat perlu menguasai pula pecahan kepada setiap buah kunci tersebut. PECAHAN BUAH KUNCI diajar agar pesilat mampu bersedia dengan tindakan susulan musuh saat ketika pesilat sedang melaksanakan buah kunci. KONSEP pecahan buah kunci adalah kemampuan pesilat melaksanakan TEKNIK KUNCIAN berdasarkan situasi dan tindakan susulan daripada pihak lawan. Antara tindakan susulan pihak lawan adalah seperti;
  1. Menarik anggota yang sedang dalam proses dikunci
  2. Memusingkan tubuh
  3. Serangan dan tindakan dari anggota tangan dan kaki yang masih mampu bergerak bebas
Kadang-kadang PECAHAN BUAH KUNCI ini digunakan sekiranya BUAH KUNCI yang asal tidak sesuai digunakan untuk memusnahkan pihak lawan. Antara faktornya seperti;
  1. Saiz lawan terlalu besar
  2. Otot lawan terlalu kuat - sukar untuk melipat dan mengilas
  3. Fleksibiliti tubuh lawan terlalu tinggi


والله أعلم

Friday, September 11, 2009

SENI KUNCI DALAM SILAT #2

السلام عليكم

SENI KUNCI bermaksud ilmu permainan buah-buah kunci.Dalam menguasai SENI KUNCI, maka pesilat akan dilatih dengan pelbagai buah-buah kunci. Dan setiap satunya akan diterangkan secara terperinci mengikut kaedah seni (saintifik). Ilmu kuncian ini banyak berkait dengan ilmu anatomi manusia yang mana kita perlu tahu konsep sendi serta gerak lakunya dan sistem saraf.

Konsep asas SENI KUNCI adalah;
  1. Mesti dimulakan dengan elak pukul
  2. Melakukan buah-buah kunci setelah adanya ruang yang terbuka
  3. Melaksanakan dengan pantas dan tepat
Jangan sesekali;
  1. Melakukan buah kunci tanpa melemahkan musuh terlebih dahulu.
  2. Mendedahkan bahagian lemah pada tubuh kita terutamanya penyawa dan rambut yang panjang.
  3. Melaksanakan dengan teragak-agak
  4. Mengambil masa yang lama

والله أعلم

SENI KUNCI DALAM SILAT #1

السلام عليكم

Kali ini kita membicarakan tentang SENI KUNCI kerana apa yang dapat saya perhatian, seni kunci merupakan antara pelajaran utama yang diajar dalam silat. Seni Kunci juga merupakan antara ilmu pemusnah dalam sesuatu seni beladiri. Ia mampu memusnahkan sendi-sendi musuh, membuatkan musuh pengsan (tekanan pada saraf karotid),dan ada di antaranya yang mampu membunuh!
Namun pada peringkat awalan, banyak petua dan rahsia kunci tidak diperturunkan kepada murid kerana menyedari seni kunci ini terlalu berbahaya dan merupakan permainan Guru.


Tetapi apa yang digusarkan, petua dan rahsia ini terus menjadi rahsia kerana guru tidak berkesempatan untuk menurunkan atas faktor ajal, belum sampai masa, kurang kepercayaan dan murid membawa diri (sebab dah rasa diri dah hebat!).

Sebagai permulaan bicara, saya tegaskan sekali lagi yang SENI KUNCI akan dapat dipraktikan dalam pergaduhan sebenar sekiranya kita benar-benar tahu petua dan rahsianya.

والله أعلم

SENI KAKI #8

السلام عليكم


TIPS MELAKUKAN TEKNIK SERANGAN KAKI

Sebelum melepaskan tendangan, anda seharusnya mengangkat lutut dengan paras yang tinggi. Keadaan ini memberikan kelebihan kepada anda dari segi;

Kekuatan yang berganda.

Tendangan dari sudut tinggi dan menjunam ke arah sasaran pihak lawan menjadikan pecutan tendangan bertambah kerana di bantu oleh daya tarikan graviti.

Ruang sasaran lebih luas.

Banyak ruang sasaran boleh dipilih berbanding paras lutut yang rendah.

Mengelirukan pihak lawan.

Apabila tendangan boleh dilepaskan dalam ruang sasaran yang besar, banyak pilihan boleh dilakukan dan ini menyebabkan pihak lawan menjadi sukar untuk mengagak arah tujuan serangan kita.

Banyak kombinasi tendangan yang boleh dilepaskan.

Momentum besar yang wujud pada tendangan pertama membolehkan anda melakukan serangan kaki susulan selepas refleksi.

Bertindak sebagai benteng pertahanan.

Apabila lutut diangkat, ianya boleh menjadi benteng kepada sasaran maut sekiranya pihak lawan terlebih dahulu melepaskan tendangan ke arah anda.


والله أعلم

Thursday, September 10, 2009

TIPS #2 SAAT MUSUH MENYERANG

السلام عليكم

Bila berhadapan dengan musuh, ada petanda-petanda penting yang perlu kita awasi ketika saat musuh benar - benar ingin melepaskan serangan terhadap kita. Antara tanda-tandanya;
  1. Tarikan Nafas - nafas akan ditarik panjang
  2. Mata - mula banyak berkelip
  3. Gerakan kepala ke belakang - akan ada hayunan untuk lepaskan serangan tangan atau kaki
  4. Penumbuk dikepal erat
  5. Anak mata - melirik ke bahagian2 tubuh yang tertentu untuk mencari sasaran
  6. Suara - nada suara semakin tinggi
  7. Tubuh bergerak-gerak - terutamanya kaki belakang
والله أعلم

Wednesday, September 9, 2009

GELANGGANG BERATAP LANGIT BERALASKAN TANAH

Salam semua

Kenapa para Guru lebih menggemari latihan silat diadakan di gelanggang yang beratap langit beralaskan tanah berbanding sebuah pusat latihan moden yang tertutup,berhawa dingin dan beralaskan mattres?
Sebenarnya, banyak kelebihannya jika berlatih di gelanggang beratap langit beralaskan tanah ini. Antaranya;
  1. Jika berlatih pada waktu malam, kecerahan yang samar-samar itu dapat melatih mata pesilat agar lebih fokus lagi.
  2. Jika berlatih pada waktu siang, dapat memberi lebih ketahanan kepada pesilat yang berlatih di bawah terik sinaran matahari.
  3. Kaki tanpa alas yang menyentuh tanah mampu mengeluarkan ion-ion negatif dalam badan terus menyerap ke dalam bumi.
  4. Prana bumi (tenaga dalam bentuk gelombang) akan mengalir masuk ke tubuh pesilat melalui tapak kaki yang tidak beralas.
  5. Melatih kelasakan tubuh badan pesilat itu sendiri.
  6. Mengingati asal kejadian dan tempat persemadian kita.
  7. Mengeratkan hubungan antara pesilat dengan alam.
Walaupun pusat latihan moden nampak lebih ekslusif dan selesa, tetapi kita perlu ingat yang berlatih di gelanggang konvensional itu lebih banyak manfaatnya. Adalah lebih baik kita sebagai jurulatih memberi kefahaman buat pesilat-pesilat kita akan kelebihan berlatih di gelanggang konvensional ini kerana ramai dikalangan mereka banyak merungut bila terpaksa berlatih beralaskan tanah dan di bawah terik sinaran matahari!

Kesimpulannya, selain mendapat ilmu. berlatih di gelanggang yang beratap langit beralaskan tanah ini mampu menjadikan tubuh kita lebih sihat dan bertambah lasak.

Wallahua'lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...