Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA
Showing posts with label sains sukan. Show all posts
Showing posts with label sains sukan. Show all posts

Monday, October 10, 2011

SILAT DAN SAINS SUKAN : KENAPA HARUS MENJERIT?

Salamun Alaik,
Menjerit mampu meningkatan kekuatan pesilat
Setiap kali pesilat melaksanakan perbuatan serang bela, pasti ianya dilaksanakan serentak dengan suatu jeritan yang kuat. Pelbagai suara yang keluar mengikut keilmuan silat masing-masing. Antaranya HAQ! , AH!, KUN!, HU! dan ZAT! Saya tidak berniat untuk menghuraikan MAKSUD bagi setiap istilah tersebut tetapi ingin membincangkan, kenapa ianya perlu disebut dengan suara yang keras setiap kali melaksanakan perbuatan serang dan bela?

Petua silat menyarankan pesilat agar sentiasa WARAS dalam setiap aspek tindakan. Marah adalah sifat NAFSU yang mengurangi fungsi AKAL (kurang waras dalam tindakan) manakala mewujudkan perasaan GERAM dalam diri tidak akan mengganggu fungsi akal malahan mampu untuk menaikkan semangat dalam bertempur. Salah satu PETUA untuk mewujudkan perasaan GERAM adalah dengan mengeluarkan suara yang keras (menjerit). Sebenarnya, terdapat banyak lagi kelebihan yang dapat diperolehi melalui perbuatan menjerit ini. Antaranya:

1. Meningkatkan Kadar Pernafasan dan Kemasukan Isipadu Oksigen.
Sewaktu menjerit, kedudukan diafragma akan tertolak ke atas dan otot-otot perut (rektus abdominus) akan mengendur dengan kuat menyebabkan pesilat akan melepaskan nafas dengan kuat. Kesan dari tindakan ini menyebabkan pesilat akan menarik nafas yang agak kuat dan panjang yang membolehkan kemasukan oksigen dalam isipadu yang lebih tinggi berbanding biasa.

2. Merangsang Perembesan Hormon Adrenalin.
Tindakan menjerit dengan kuat mampu memberi kesan kepada perembesan Hormon Adrenalin yang mampu bertindak sebagai "steroid" untuk meningkatkan kemampuan otot dan tindakbalas. Hormon Adrenalin juga mampu meningkatkan kadar denyutan jantung dan membolehkan oksigen dihantar ke otot-otot dengan lebih pantas.

3. Kesan Psikologi Terhadap Diri dan Pihak Lawan.
Menjerit mampu menjadikan diri pesilat lebih berani (kesan hormon adrenalin) dan secara tidak langsung memberikan kesan psikologi (gerun) terhadap pihak lawan. Secara asasnya, apabila pesilat sudah mampu menjatuhkan mental pihak lawan, maka ia akan memberi suatu impak yang positif kepada pesilat untuk mengalahkan pihak lawan dengan lebih mudah.

4. Meningkatkan Daya Tahan Tubuh Mengatasi Asakan Pihak Lawan.
Ketika pesilat melepaskan serangan, musuh juga berkemampuan untuk melakukan hal yang sama kerana berkedudukan jarak yang sesuai untuk menyerang. Maka, sekiranya sewaktu pesilat menyerang dan mengeluarkan suara jeritan yang kuat, ianya mampu mengeraskan otot-otot tubuh terutamanya dikawasan abdomen (otot perut akan tertolak keluar dan badan akan sedikit melengkung ke hadapan yang menyebabkan ulu hati akan terlindung), dan sekiranya pada saat yang sama pihak lawan melepaskan serangan, maka otot pesilat telah pun bersedia dan berupaya menahan serangan pihak lawan tersebut daripada kesakitan yang melampau.

5. Melancarkan Aliran Tenaga Dalam ( Aura, Asrar, KI, Chi, dsb ).
Tubuh manusia bersifat Bio-Elektrik yang mempunyai cas-cas yang bersifat positif dan negatif. Kemampuan pesilat mengolah tenaga ini akan memberikan terlalu banyak kelebihan terutamanya dari aspek ketenangan, ketahanan, kekuatan, penyembuhan diri dll. I



Wallahua'lam

Sunday, October 2, 2011

SILAT DAN SAINS SUKAN : TAPAK KEKUDA DARI SUDUT BIOMEKANIK

Salamun Alaik,
Kekuda yang baik mesti menitikberatkan kedudukan postur tulang belakang 
(ihsan gambar dari FB Mejar Mohd Fitri)
Tapak Kekuda adalah pelajaran asas yg diajar kepada pesilat-pesilat sebelum mereka diajar dengan ilmu serang bela yang lebih kompleks. Matlamat memasang kekuda adalah jelas iaitu untuk membolehkan pesilat bertapak dengan kukuh dan stabil. Di samping itu juga, kedudukan kekuda yang mantap mampu mengolah pergerakan pesilat menjadi lancar dan seimbang. 
                                                  Garis Pusat tidak berada pada kedudukan tepat        Kedudukan yang tepat
Namun begitu, kita jangan terlalu ghairah untuk memasang kekuda yang terlalu rendah atau cantik semata-mata. Walaupun kedudukan "rendah" secara asasnya nampak lebih stabilnya, namun banyak lagi faktor yang perlu dititik beratkan. Dari sudut sains sukan, pemasangan tapak kekuda perlulah stabil, garis pusat berada pada kedudukan asal (waktu berdiri), kedudukan kaki (jarak kekuda) tidak menghalang pergerakan dan otot-otot mampu berinteraksi antara satu sama lain. Pengetahuan dari aspek Sains Sukan ini amatlah perlu agar setiap tindakan yang kita laksanakan/amalkan tidaklah memberi kesan yang negatif. Antara kesan negatif hasil dari latihan kekuda yang salah seperti;

1. Pergerakan jadi lambat walaupun stabil.
2. Kejang Otot (pinggul, peha, betis)
3. Ligamen/tendon/otot lutut terkoyak
4. Aliran Jalur Tenaga tidak lancar.
5. Titik Graviti tidak terletak pada kedudukan yg sebenarnya (hanya stabil pd kedudukan statik)
6. Memberi tekanan kepada tulang belakang.
7. Serangan dan Belaan menjadi kurang mantap.
Sakit lutut antara faktor latihan kekuda yang terlalu rendah (lebih 90 darjah)
 Kesilapan latihan kekuda juga boleh mengakibatkan sakit tulang belakang
Kriteria yang penting ketika memasang kekuda adalah PASTIKAN;
1. Lengkungan tulang belakang dalam postur yang betul.
2. Otot bawah (pinggul ke bawah) dapat berkomunikasi dengan otot atas (pinggul ke atas).
3. Tiada berlaku otot yang terlebih regang atau di bawah tekanan yang melampau (sering berlaku pada pesilat yang mengamalkan latihan kekuda yang rendah melebihi 90 darjah)
4. Otot gluteus (punggung) dan otot rectus abdominus (perut) perlu kuat agar rangka pelvis dan tulang belakang menjadi stabil.
5. Mampu memindahkan tubuh dan tenaga secara lancar tanpa halangan.

Secara umumnya, kesemua kekuda yang terdapat dalam keilmuan silat adalah berkesan dan tiada salahnya. Cuma kita sebagai pesilat perlulah memilih yang sesuai dengan susuk tubuh dan kemampuan kita. Faktor ketinggian, berat badan, umur dan teknik latihan juga mempengaruhi kesesuaian kekuda yang perlu dipraktikkan sebagai "pakaian diri". Anak2 muda ghairah dgn kekuda rendahnya, yang dewasa mula sederhana menantinya, yang tua pula ada kalanya sekadar berdiri dan tidak terkecuali hanya duduk bersila. Apapun keadaannya, biarlah kita belajar betul-betul rahsia "jual-beli" ini agar tiadalah syok sendiri disebabkan cantiknya atau rendahnya kekuda kita. Semakin berlatih, semakin sakit segala urat saraf. Sedangkan latihan silat sebenarnya, adalah bertujuan untuk menyediakan tubuh menjadi lebih bersedia untuk bertempur, yang sememangnya memerlukan kekuatan, kesihatan dan teknik pertempuran yang efektif.

Ramai dikalangan kita bila dah cecah 40-an dah mula sakit-sakit pinggang, belakang dan lutut. Ini sebenarnya adalah kesan daripada latihan yang salah. Sakit lutut pastinya akan mengganggu pergerakan dan keseimbangan badan. Bagi sakit tulang belakang (bahagian saraf) pula ,simptomnya adalah jari jemari terasa kebas, mengalami lenguh-lenguh dibahagian tengkok dan sakit-sakit kepala. Sebenarnya, bagi yang bermasalah dengan tulang belakang, kita dianjurkan untuk memperbanyakkan sujud dan rukuk sebab kedudukan nya mampu membetulkan kembali postur lengkungan tulang belakang.


“Apabila engkau sujud, tekanlah wajahmu dan kedua tanganmu ke tanah sehingga setiap ruas tulangmu kembali ke tempatnya” (HR. Ibnu Khuzaimah)
“Jika kamu ruku’ letakkan kedua tanganmu pada kedua lututmu dam luruskan punggungmu serta tekankan tanganmu untuk ruku” (HR. Ahmad & Abu Daud)
Sakit belakang mampu diubat melalui riadah SOLAT
Kesimpulannya, sewaktu memasang kekuda, tidak kiralah apa jua jenis kekuda, pastikan ianya di pasang dalam keadaan postur tulang belakang yang tepat, tidak memberi tekanan yang melampau terhadap salah satu otot sahaja (terutamanya sekitar lutut), otot-otot dapat berinteraksi antara satu sama lain, aliran jalur tenaga mengalir lancar dan pesilat mampu bergerak bebas dengan pantas dan stabil. Semoga melalui latihan silat yang konsisten, kita mampu jadikan ianya suatu riadah yang menyihatkan tubuh badan  kita dan bukanlah sebaliknya.

Wallahua'lam

Tuesday, September 27, 2011

SILAT DAN SAINS SUKAN : Konsep Menang dan Kalah

Salamun Alaik,
PENGENALAN
Dalam apa sahaja aktiviti sukan, semua pihak mengidamkan kemenangan. Menang bagi kebanyakan orang ialah mengatasi pihak lawan. Ia adalah sasaran penting atau utama semua pihak. Memandangkan itu, semua pihak meletakkan kemenangan sebagai sasaran yang paling utama sewaktu bertanding sehingga kadang-kadang sanggup menggadai semangat kesukanan. Umpamanya ada yang memegang pada falsafah Win at all Cost.

Bagi seseorang atlit, faktor menang dan kalah memainkan peranan yang penting dan mempengaruhi minatnya dalam meneruskan kegiatan untuk bersukan. Oleh itu, semua jurulatih perlulah memahami konsep tentang kemenangan dan kekalahan agar apabila membuat sasaran, ia tidak mengabaikan semua aspek pembangunan atlit bimbingannya.

KONSEP KEMENANGAN
Kemenangan adalah matlamat semua orang sama ada atlit, jurulatih, pegawai atau orang ramai. Kemenangan ialah;
1. matlamat atau sasaran tercapai.
2. simbol kecemerlangan.
3. mudah untuk diukur (skor adalah ukuran yang jelas).
4. berhubung rapat dengan kecemerlangan dan kejayaan.
5. memperolehi pengiktirafan dan ganjaran.

FAKTOR - FAKTOR YANG MENYUMBANG TERHADAP KEMENANGAN
Antara faktornya adalah;
1. berorientasikan kejayaan dengan sentiasa berusaha mencapai sesuatu yang sukar.
2. berada pada tahap aspirasi yang konstan.
3. mengekalkan mutu persembahan yang tinggi dan serius ke arah mencapai kecemerlangan.
4. faktor-faktor dalaman dan luaran.
5. motivasi tinggi.
6. sasaran dan matlamat adalah jelas.
7. sentiasa berusaha membaiki kelemahan individu.
8. latihan berdasarkan carta kemajuan.
9. membuat persiapan untuk pertandingan yang sesuai dengan atlit.
10. mampu bertahan dalam jangka masa yang lama.

KESAN TERLALU MEMBERI PENEKANAN TERHADAP KEMENANGAN
Walaupun kemenangan adalah harapan semua orang, tetapi perlu diingat bahawa dalam sesuatu pertandingan hanya ada satu pemenang sahaja. Jika jurulatih terlalu memberi penekanan terhadap kemenangan sahaja maka beberapa faktor akan hilang dari seseorang atlit seperti;
1. kurangnya rasa seronok untuk bersukan.
2. penyertaan terhad - hanya atlit yang lebih baik sahaja berpeluang mengambil bahagian sementara yang kurang baik asyik menjadi sparring partner atau langsung tiada tersenarai dalam pasukan.
3. pencapaian yang tidak memberangsangkan - ini disebabkan atlit mungkin rasa tertekan dan risau tidak mencapai kemenangan yang diharapkan oleh jurulatih. Konsentrasi terganggu.
4. pembangunan terhad - tumpuan lebih diberikan terhadap bagaimana hendak mencapai kemenangan sahaja, sementara perkara-perkara asas yang lain diabaikan, seperti meningkatkan kemahiran atau mempelajari kemahiran baru atau asas.

KONSEP KEKALAHAN
Menang dan kalah dalam sukan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Pencapaian yang naik turun menentukan kemenangan atau kekalahan. Dalam hal ini, seseorang jurulatih yang baik akan meyakinkan atlit di bawah bimbingannya bahawa kegagalan bukanlah sesuatu yang tetap tetapi boleh dijadikan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan.

SEBAB - SEBAB BERLAKU KEKALAHAN
Antaranya adalah;
1. tidak mampu menghadapi tekanan - jurulatih hendaklah menyedari bahawa bukan mudah untuk mengubah sesuatu pasukan yang sentiasa kalah kepada mencapai kemenangan.
2. kurangnya daya tahan untuk jangkamasa yang lama.
3. perancangan dan persediaan yang tidak rapi - jurulatih tidak membuat homework atau tidak mengikut proses kejurulatihan.
4. matlamat tidak realistik dan tidak dapat diterima oleh semua pihak yang terlibat.
5. kurangnya keinginan dan cita- cita untuk menang.

STRATEGI UNTUK MENGATASI KEKALAHAN
Antaranya adalah;
1. membuat perancangan yang lebih teliti.
2. strategi yang diatur hendaklah boleh dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat.
3. elak situasi atau membuat keputusan yang bertentangan dengan prinsip jurulatih.
4. sediakan plan strategi secara berkumpulan yang melibatkan pakar-pakar dalam bidang yang terlibat.
5. study (kesan) kelemahan lawan di samping mengeksploit kelemahan lawan sebagai senjata menewaskan lawan.
6. sediakan MATLAMAT YANG LEBIH REALISTIK dan boleh dicapai.

Wassalam.

Tuesday, April 5, 2011

PENYELIDIKAN DALAM SILAT - Kaedah Mengumpul Data

Salamun Alaik,

DATA SAINTIFIK
Sesuatu data dikatakan saintifik apabila ia dikumpul secara teratur, bersistematik dan dapat membantu menyelesaikan sesuatu masalah berkaitan latihan dan sebagainya. Data yang saintifik mempunyai 5 ciri;

1. Sistematik
2. Logik
3. Empirikal
4. Reduktif
5. Replicable

CARA-CARA MENGUMPUL DATA
Bagi membolehkan sesuatu data yang objektif dan tepat, instrumen yang digunakan hendaklah ada KEBOLEHPERCAYAAN dan KESAHAN. Sesuatu instrumen ada kesahan apabila ia boleh mengukur apa yang hendak diukur. Sesuatu instrumen dikatakan ada kebolehpercayaan pula ialah apabila ia konsisten dalam membuat pengukuran iaitu dalam apa keadaan atau di mana pun instrumen itu digunakan ia akan memberikan keputusan yang sama.

JENIS-JENIS KESAHAN
1. Kesahan Kandungan
    Apabila data berkaitan sesuatu ciri diperlukan,misalnya kebolehan membuat teknik sapuan, data yg dikumpul hendaklah relevan terhadap aksi membuat teknik sapuan.
2. Kesahan Konstruktif
    Data yang dikumpul mungkin sah dari segi kandungan tetapi untuk memberikan gambaran yang jelas terhadap lakuan itu, misalnya dalam menentukan samaada seseorang itu boleh melaksanakan tendangan, data yang dikumpul bukan sahaja berkaitan kemampuannya menendang tepat, tetapi juga keupayaan utk menendang dalam pelbagai arah dan aras. Ini akan memberikan gambaran yang lebih jelas akan kemampuan seseorang itu melaksanakan tendangan.
3. Kesahan Semasa
    Data yang dikumpul hendaklah boleh disahkan oleh lain-lain instrumen yang ada dan digunakan pada masa yang sama. Contohnya; ujian larian 12 minit utk menguji kecergasan aerobik boleh disahkan juga menggunakan bleep test.
4. Kesahan Muka
    Pengumpulan data hendaklah dilakukan secara serius dan berobjektif.

Wassalam

PENYELIDIKAN DALAM SILAT - Konsep Pengumpulan Data

Salamun Alaik,

Sebagai seorang jurulatih,anda terpaksa membuat banyak keputusan seperti memilih atlit, jenis dan corak latihan yang sesuai untuk setiap atlet, strategi yang hendak digunakan dan sebagainya. Ianya merupakan sesuatu yang boleh meninggalkan kesan yang mendalam terhadap perancangan seseorang jurulatih. Oleh itu sebagai jurulatih yang bertindak secara profesional, pendekatan yang saintifik dalam membuat sesuatu keputusan adalah amat perlu.

MENGAPA PERLU MENGUMPUL DATA?

Data memberikan maklumat kepada jurulatih untuk memudahkannya dalam membuat sesuatu keputusan serta perancangan. Ia membantu jurulatih dalam perkara2 seperti berikut;

1. Memantau kemajuan dan perkembangan atlet.
2. Memberikan maklumbalas yang berkesan kepada atletterhadap persembahannya.
3. Diagnos dan membaikpulih kesilapan2 serta kelemahan2 yang dikesan.
4. Merancang pogram latihan.
5. Merancang taktik dan strategi.
6. Memberikan motivasi kepada atlet.
7. Membuat pemilihan atlet yang sesuai untuk sesuatu taktik yang dirancang.
8. Menilai pogram dan pencapaian atlet.
9. Membina strategi dan konsep baru dalam latihan dan pertandingan.
10.Memberikan maklumat kepada pihak yang berkenaan seperti orang awam, penonton, media dan
sebagainya.


Wassalam.

Monday, April 4, 2011

BIO-MEKANIK DALAM SILAT

Salamun Alaik,

Setiap pesilat perlu menguasai pelajaran2 silat yang mana memerlukan pesilat bergerak dan melaksanakan setiap teknik2 silat tersebut dengan mantap dan sempurna. Bagi mencapai hasrat tersebut, pesilat perlulah memahami prinsip2 MEKANIK dalam setiap teknik2 (kemahiran2)yang di ajar. Prinsip-prinsip mekanik yang utama dalam pergerakan tubuh manusia ialah;
1. Imbangan
2. Gerakan
3. Daya
4. Momentum

Bersambung......


Wallahua'lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...