Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Tuesday, August 9, 2011

MATI LANGKAH DAN LANGKAH SUMBANG

Salamun Alaik,
Sewaktu berpencak, pesilat seharusnya menyusun gerak langkah dan susunan tapaknya agar ianya tidak berlangkah sumbang dan seterusnya dapat mematikan langkah musuh. Dalam keilmuan silat, Mati Langkah bermaksud suatu kedudukan yang tidak memberikan ruang dan peluang untuk menyerang atau membela diri tetapi sebaliknya membuka ruang dan peluang kepada pihak lawan untuk menyerang. Langkah Sumbang pula bermaksud susunan gerak langkah yang tidak teratur dan memudahkan untuk pihak lawan mematikan langkah atau mengambil kesempatan untuk menyerang. Namun, ada juga sesetengah perguruan mengamalkan Langkah Sumbang ini sebagai suatu helah dan ikhtiar untuk memerangkap pihak lawan.

Kedudukan salah satu tapak di antara kedua tapak musuh

Bagi mematikan langkah musuh, pesilat biasanya akan mengatur susunan langkahnya agar berjaya meletakkan salah satu daripada tapak kakinya diantara kedua tapak kaki musuh dalam berkeadaan dada pesilat menghala ke arah musuh manakala dada musuh menghala ke arah lain. Kedudukan posisi sebegini menjadikan sudut pandangan pihak lawan di luar daripada sudut normal iaitu lebih kurang 60 darjah yg diukur dari garis pusat mengarah ke luar. Situasi ini mengakibatkan pihak lawan kurang keupayaan mengesan gerak serangan pesilat di samping terdapat sebelah tangan dan kakinya yang berada di luar sudut pertempuran.

Kedudukan yang boleh mematikan langkah musuh

Selain itu, ada juga pesilat menggunakan Langkah Songsang bagi mematikan langkah musuh. Langkah Songsang bermaksud, langkahan gerak tapak pesilat mengikut gerak tapak pihak lawan secara imej cermin (contohnya, musuh kaki kiri depan, pesilat kaki kanan depan).

Semoga perkongsian ilmu ini beroleh manfaat buat kita semua. 

Wallahua'lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...