Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Sunday, July 1, 2012

SEJARAH AMALAN KEROHANIAN DALAM SILAT

Salamun Alaik;
Gambar Hiasan

Amalan kerohanian dalam Silat Melayu melalui sejarah yg panjang iaitu pada peringkat pertama kerohanian  Silat  Melayu  tradisi  dari  amalan  kepawangan  yang berdasarkan kepercayaan animisme yang percaya kepada kuasa ghaib, nenek moyang, penunggu, sumpahan dan pemujaan. Bagi memperlihatkan hubungan baik, mendapatkan bantuan kuasa ghaib dan mempertahankan diri  dari kecelakaan kuasa ghaib, pengamal kebatinan tradisi  memakai  beberapa petua dan syarat,  tangkal  azimat  dari  kayu,  batu, tulang serta mantera jampi dalam bahasa Melayu. 

Peringkat  kedua  ialah  kebatinan  berlatarkan  pengaruh kepercayaan  Hindu Buddhisme.  Pada peringkat  ini  amalan  animisme  masih  kekal  diamalkan  di  samping mempercayai  kuasa  dewa  dewi,  keramat,  bertapa,  puasa,  bersemadi,  yoga,  mandi  keramat, nujum, kesaktian dan jampi mantera serta percaya pada tuah dan sial, memakai tangkal azimat dari besi, batu, kayu, tulang dan kulit binatang.  

Wali Songo 

Peringkat ketiga ialah pengaruh Islam.  Oleh sebab Islam baru berkembang dalam masa yang singkat sebelum kerajaan-kerajaan Melayu diperintah oleh penjajah barat yang memandang  Islam sebagai  musuh,  maka  kerohanian  Islam tidak  dapat  berkembang dengan sempurna dalam kerohanian persilatan Melayu.  Pada peringkat  ini  kerohanian Islam dalam persilatan  Melayu  masih  bercampur  baur  dengan  pengaruh  kepercayaan animisme dan Hindu Buddhisme. Pengamal silat percaya kepada kuasa Allah yang esa, tetapi  masih  dipengauruhi  oleh  kebatinan  lalui  dengan  mewujudkan  sandaran  seperti malikat,  sahabat,  saka,  jin, wali,  keramat,  roh panglima dan semangat  binatang seperti harimau,  helang,  monyet  dan  sebagainya.yang  dapat  membantu  ketika  terdesak. Mengadakan  semah  gelanggang,  mandi  minyak,  mewujudkan  mantera  jampi  dengan kalimah  untuk  ilmu  pendinding,  kebal,  penunduk,  penderas,  pengasih,   pengunci, pelimun,  petunang,  pembisa  dan  pelali.  Bermakna  kerohanian  Islam  belum  dapat
menyumbang kepada ilmu kepahlawanan Melayu sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat dan penglima Islam zaman Rasulullah SAW.

Peringkat ke empat ialah pengaruh sekularisme yang menjadikan agama sebagai urusan  peribadi  dan  budaya  yang  tiada  berhubungan  urusan  keduniaan.  Silat  mula dipengaruhi  pelbagai  falsafah  dan pemikiran  yang  bergantung kepada usaha manusia semula  jadinya  memberi  bekas.  Manusia  mempunyai  kekuatan   mutlak  melalui keupayaan fizikal,  mental  dan spiritual.  Diperkukuhkan dengan latihan minda dan jiwa melalui  amalan  yoga,  pernafasan,  tenaga  dalam,  aura,  syihir  dan  sebagainya  yang bersumber daripada amalan pelbagai agama, ajaran dan kerpecayaan. Pengamal spiritual dapat memperlihatkan keupayaan amalan dengan memecah genting batu, mematakan besi baja, ketulan ais, menjilat besi panas, membakar tubuh, mandi asid, makan kaca, ditusuk dengan  besi,  tahan  godam dengan  kayu,  rotan,  buluh,  besi  dan  lain-lain.  Beberapa perguruan silat telah kembali melihat amalan-amalan dari kebatinan lalu untuk menyaingi persembahan yang dilakukan oleh pengamal spiritual.

Berbalik kepada persoalan sumbangan kerohanian Islam ke dalam ilmu persilatan Melayu  ternyata  masih  belum pernah  diusahakan dengan  sempurna.  Hanya  beberapa orang  ulamak  Melayu  yang  mengajar  silat  sedar  iaitu  setelah  pengamal  silat meninggalkan  amalan  kebatinan  Melayu  tradisi  dan  pengaruh  Hindu  Buddhisme, berlakulah kekosongan pada ruang kerohanian dalam ilmu kepahlawanan Melayu. Tanpa pengisian  adalah  besar  kemungkinan  kekosongan  tersebut  akan  diisi  kembali  oleh kebatinan  lalu  atau  pengaruh  amalan  semasa  yang  bukan  Islam.  Mereka  segera memperturunkan rahsia ilmu kerohanian Islam di samping mengekalkan amalan budaya Melayu  yang  tidak  berxanggah  dengan  syarak.  Pendidikan  ilmu  kerohanian  Islam dimulakan dengan memperkenalkan  ketokohan pahlawan Islam seperti Sayidina Omar al Katab,  Sayidina Ali  Abi  Talib,  Sayidina Hamzah,  Khalid ibn Walid,  Tariq bin Ziad, terutama  ketokohan  Nabi  Muhammad  saw.  Pesilat  dapat  melihat  Islam  sebagai kerohanian  dan  ilmu  yang  dapat  membentuk  kekuatan  rohani  dan  jasmani.  Pesilat diperkukuhkan  amalan  syariat  Islam meliputi  hal  yang  bersangkutan  dengan  ibadah, aqidah dan pembinaan akhlak. Maka ilmu tasawuf  berjaya memupuk  kesuciaan hati melalui riadah kerohanian Islam yang bersumberkan beberapa aliran tarikat  dari aliran sunnah  wal  jemaah  muzahab  Imam  Syafie  seperti  tarikat  Ahmdiah,  Muhamadiah, Naqsabandiah, Qadariah dan yang lain-lain Ulamak Melayu memperturunkan beberapa bentuk aurad dan wirid yang diserta dengan syarat dan kaifiat sesuai dengan keperluan pengisi  kerohanian  silat.  Tujuannya  untuk membuka  hijab pesilat  agar  dapat  melihat kebesaran Allah dengan biji matanya sendiri. Usaha para ulamak tersebut berjaya mengisi kekosongan amalan kebatinan dalam ilmu persilatan Melayu dengan kerohanian Islam yang suci dan bersih.

Kesimpulannya,  Malaysia boleh berbangga kerana diwariskan Silat Melayu yang lengkap pada zahir dan batinnya yang memudahkan mereka membentuk silat sebagai satu nama  dan satu ilmu  bela  diri  yang  sempurna.   Barang  kali  sesuai  ungkapan di  atas dilengkapkan iaitu `pandang satu pada yang banyak dan pandang banyak pada yang satu’. Setiap yang baharu ada mulanya,  demikian juga dengan silat yang ada mula atau sebenih lalu berkembang kepada beberapa rumpun. Maka tidak mustahil ilmu silat yang telah  berkembang  disusun  kembali  menjadi  satu  ilmu.  Usaha  tersebut  memerlukan pengorbanan bersama ke arah memartabatkan Silat sebagai Seni Bela Diri Rasmi  yang tersenarai dalam Akta Warisan Negara dan sumbangan bangsa Malaysia kapada tamadun manusia. Sekian. 

(dipetik daripada artikel yang ditulis oleh Pendita Allahyarham Tn Hj Anuar Wahab)

Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...