Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Wednesday, April 16, 2014

SENI PERMAINAN KERIS

Salamun Alaik;

Dalam Keilmuan Gayong, SENI KERIS termasuk dalam 7 senjata utama yang harus dipelajari oleh anak-anak Gayong selain daripada senjata Pisau, Tongkat, Parang, Lembing, Cendai dan Sundang. Sifat asas senjata Keris adalah MENIKAM dan MENGHIRIS. SENI MENIKAM dan MENGHIRIS ini dipecahkan lagi mengikut GAYA, BENTUK  dan KAEDAH serangan/belaan termasuk juga jenis tapak kekuda yang digunakan. Setiap seni  ada NAMAnya  tersendiri yang merujuk kepada gaya,bentuk dan kaedahnya. Terdapat  49 SENI atau nama kesemuanya termasuklah KAEDAH MEMEGANG, MENCABUT  DAN MENYARUNG KERIS. Antara SENI @ nama itu adalah;

1. Tikaman Anak Sungai
2. Simbat Relang
3. Kelek Anak
4. Perahu Dulang
5. Radak Julang
6. Amok Jantan
7. Semai Benih dll

Seni Keris ini juga ada upacara KHATAMnya.Adat Perkhataman Keris ini disempurnakan di laut. Setiap bahan, perlakuan dan sebutan ada membawa PENGERTIANnya yang tersendiri. Antara contohnya;

1. Kenapa pada malam sebelum Upacara Khatam tidak dibenarkan memakai pakaian serba hitam?
2. Kenapa segala perkakas dalam ayam dibuang dan tidak dimakan?
3. Apa maksud setiap warna pada benang?
4. Apa maksud sebutan Nun di sana berchula tujuh,nun disini berchula se?
5. Apa itu Mengkadung Putih?
6. Apa seruannya perlu ke gigi pantai sebelum naiknya matahari.
7. Kenapa perlu ada Ibu Gayong yang memimpin upacara?

Semuanya “Ada cerita disebalik cerita”. Bukan semua yang layak dan berhak sebagai Dalang Khatam Keris. Tiru perbuatan tidak sama dengan faham perbuatan.Apatah lagi yang diizinkan dengan tauliah.Biarlah Upacara Khatam itu sesuai dengan nama "khatam"nya.Jangan sesekali jadikan ia sekadar upacara adat semata-mata untuk menambah koleksi aktiviti. Guru haruslah memainkan peranan menyampaikan segala ehwal pelajaran, adat dan adab keris terlebih dahulu sebelum menyempurnakan upacara adat sebegini.Paling tidak setiap yang memegang keris kenal apa itu "BINTANG 4" dalam SENI KERIS.

Sebenarnya,ramai yang kurang mengerti apa disebalik BUAH ke-21 atau dianggap BUAH KHATAM bagi permainan Keris. Majoritinya sekadar menghafal dan mempersembahkan pencak keris tanpa mengetahui apa sebenar cerita yang ingin disampaikan. Kadang-kadang sampai berselisih untuk mengatakan buah 21 merekalah yang betul dan pihak lain salah. Sedangkan, perselisihan itu tidak ada makna sama sekali jika mereka tidak mengerti apa cerita disebalik cerita ini.Jadilah mereka umpama burung kakak tua yang sekadar lihat dan tiru semata-mata.

Mengikut Allahyarham Mahaguru, SENI KERIS telah beliau ajar dengan 3 jalan cerita. Dua diantaranya adalah kisah pertarungan Tuah dan Jebat dan perkisahan Laksamana Bentan dengan Sultan Mahmud Mangkat Dijualang. Setiap lenggok,sifat dan langkahan permainan Keris nya amatlah berbeza. Langkahan Tuah juga banyak bezanya dengan Langkahan Jebat. Begitulah juga kaedah genggam, kaedah buka, kaedah bertapak, kaedah menikam dsb nya. 

Keris adalah SIMBOL KUASA bagi warisan bangsa Melayu.Ianya penuh dengan ADAT dan ADAB yang amat tinggi nilainya. Maka, Seni Keris ini diajar pencaknya seiring dengan Adat dan Adabnya. Ada yang bersifat sebagai keris bertikam, ada yang menjadi keris hukuman dan ada sekadar simbolik kuasa. Nilai dan hikmahnya bermula dari pemilihan jenis logam,hari dan siapa empunya diri sehinggalah kepada kaedah pencak yang akan digunakan; lenggok,sifat dan langkahannya. Kaedah "simpan" juga turut ditekankan. "Pantang sesekali Keris dibiarkan bersepah di lantai. perlulah ia "didirikan" dengan penuh gah kerana ia melambangkan "diri". Saat bertikam jangan sesekali memisahkan Keris dengan sarungnya.Sarung itu banyak manfaatnya jika kita benar-benar mengetahui.


Keris tidak sepatutnya disusun sebegini.

Begitulah serba ringkas perkongsian berkenaan Seni Keris dalam Keilmuan Silat Seni Gayong. Masih banyak yang ingin dikongsikan namun begitu, biarlah ianya dalam satu majlis yang sempurna. Jangan terlalu ghairah untuk mengejar sesuatu. Bertatihlah secara istiqamah dengan pakaian sabar dan berhiaskan ADAB GURU dan ADAB ILMU. Semoga dapat manfaat buat kita semua.


Wallahua'lam.



Wednesday, April 2, 2014

BENGKONG HITAM HARIMAU PELANGI CHULA SAKTI 6

Salamun Alaik;
Layakkah Bengkong Tertinggi ini untuk dipakai oleh empunya diri?

Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti 6 (HPCS 6) merupakan BENGKONG TERTINGGI yang layak dipakai oleh ANAK GAYONG. Ianya merujuk kepada seseorang GURULATIH yang PALING MAHIR dalam selok belok ILMU dan PELAJARAN SILAT SENI GAYONG.Semestinya merekalah yang akan menjadi sebagai SUMBER RUJUK UTAMA dalam soal pelajaran dan adat istiadat yg berkaitan ILMU Silat Seni Gayong.

Merujuk kepada istilah "PALING MAHIR" maka kriteria utamanya adalah;

1. Aspek Pelajaran
- Mempelajari dan Menguasai KESEMUA ILMU (paling banyak) yang merangkumi ILMU JASMANI, ROHANI, SENI TANGAN KOSONG DAN SENI SENJATA (21 keseluruhannya).
- Telah mendapat PENGIKTIRAFAN secara langsung oleh Arwah Mahaguru sewaktu hayatnya seperti peringkat bengkongnya (sekurang2nya Chula 3 dan ke atas),Sandang Kegurulatihan atau Gelaran Khas.
- Masih berupaya dari aspek fizikal dan ingatan untuk dijadikan sebagai sumber rujukan.
- TAHU,FAHAM dan MENGUASAI setiap NILAI PELAJARAN (bukan sekadar pandai tunjuk dan ajar semata-mata).

2. Aspek Adat 
- Layak dan Mampu dalam melaksanakan Majlis Adat yang berkait dengan Pelajaran Gayong seperti Dalang Khatam Senjata (yg biasa dibuat hanyalah Keris dan Lembing shj).

3. Aspek Rohani
- Layak dan Mampu secara BERSANAD dalam mengijazahkan KESEMUA AMALAN GAYONG (Ilmu Hikmah, Wirid, Isim, Mantera, Doa dan Hizib)
- Menguasai selok belok setiap Amalan tersebut dan boleh dijelaskan secara tertib kaifiat,kelebihan dan pantang larangnya.
- Seorang yang amat MENGHORMATI ADMAR dan amat mementingkan ADAB BERGURU, ADAB BELAJAR dan ADAB DENGAN ILMU.

4. Aspek Amanah
- Seseorang yang cukup tinggi NILAI AMANAH dalam menjaga KETULENAN Pelajaran dan Ilmu Silat Seni Gayong dan tidak sesekali mencampur aduk Ilmu Persilatan lain atau menokok tambah atau mereka-reka cerita yang palsu dalam kesemua aspek Pelajaran dan Adat.

Dengan memiliki keempat-empat aspek ini, maka selayaknya seseorang itu memakai Bengkong HPCS 6 dan mereka inilah yang merupakan SIMBOLIK kepada Pemegang Amanah Pelajaran Silat Seni Gayong. Bilangan mereka yang memakai HPCS 6 ini cukuplah dengan JUMLAH YANG PALING MINIMA antara 1-5 orang sahaja. Jika ianya dipakai oleh berpuluh-puluh malah beratus Guru, maka HILANGLAH NILAI DAN SIMBOLIKNYA. Malah ianya akan menyukarkan keadaan dan menjadi carca marba.Masing-masing akan berpegang kepada pendapat masing-masing.

Situasi kini memang amat parah. Dengan bilangan Guru yang melebihi angka 50 yang memakai bengkong tertinggi ini, maka secara tidak langsung, punahlah sistem bengkong yang diamalkan sejak hujung 1960-an. Kerakusan untuk mengejar bengkong atas dasar pangkat dan jawatan yang memungkinkan "respect" dari masyarakat meruntuhkan sistem ini. Berdasarkan pemerhatian, MAJORITI yang memakai HPCS 6 kini tidak pun mencapai 20% daripada kelayakan seperti yang dibincangkan. Malah lebih memalukan, mereka ini Bengkong Kuning pun bukan diterima di zaman ADMAR apatah lagi Bengkong Hitam.

Kepada yang dah "TERPAKAI" Hitam Chula 6 tetapi tidak layak bolehlah kiranya menjawab soalan-soalan ini sebagai alat untuk muhasabah diri. Jika tidak mampu menjawab soalan-soalan ini dengan sempurna, maka wajarlah berfikir beratus kali layak ke atau tidak bengkong tertinggi ini dipakai oleh anda sekalian.

1. Dalam Ilmu Seni Kipas Nandung ada berapa Pecahan Ilmunya?
2. Apakah IBU AMALAN bagi HIZIB GAYONG?
3. Boleh senaraikan sekurang-kurangnya 100 PETUA GAYONG?
4. Dalam Seni Yoi, ada berapa TAPAK, ada berapa LANGKAHAN dan ada berapa KAEDAH BUNUH?
5. Dalam Seni Cendai ada berapa KAEDAH PAKAI dan senaraikan 12 SENI nya.
6. Apakah IKRAR dan SUMPAHAN bagi setiap SENJATA GAYONG. 
7. Bagaimanakah pula ADAT KHATAM bagi setiap 21 SENJATA GAYONG itu?
8. Berapa SENI dalam Buah Tapak Kunci Mati KILAS SAWA BERENDAM?
9. Boleh tunjukkan 7 IBU KUNCIAN yang menjadikan 21 buah tapak kunci mati.
10. Siapa Syeikh Ramli Abu Hanifah?
11. Ada berapa NAFAS dalam Aturan Nafas Gayong?

Rasanya cukuplah sekadar ini beberapa soalan daripada beratus soalan yang hendak penulis tanyakan buat pemegang bengkong HPCS 6. Dengan perkongsian ini, diharap dapatlah sedara seGayong semua menilai dan menilik diri sendiri sebagai cermin melihatnya ADAKAH KITA ATAU MEREKA LAYAK untuk memakai BENGKONG HPCS 6 ini?

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...