Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Monday, January 6, 2014

TOLAK LINTANG : GERAK GERI DAN SIFAT GERAK

Salamun Alaik;
 Tolak Lintang Terbang oleh Arwah Cg Ahmad Lazim
Penulis menunjukkan gaya tendangan Tolak Lintang

Tolak Lintang atau istilah lainnya Tendang Juring merupakan tendangan yang mempunyai impak yang paling tinggi berdasarkan kajian sainstifik. Namun perbuatan geraknya agak kompleks untuk mendapatkan kesempurnaan kerana melibatkan banyak sifat gerak yang perlu dikuasai terlebih dahulu supaya elemen keseimbangan, paduan daya, momentum, kepantasan dan kuasanya di tahap yang tinggi. Bagi memastikan kesemua elemen tersebut dikuasai, tiada jalan pintas selain daripada latih tubi dan mendapat tunjuk ajar Guru yang dapat memberi bimbingan teknik yang tepat.

Secara teorinya, untuk melaksanakan tolak lintang yang sempurna terdapat 7 peringkat dengan setiap peringkat ada sifat gerak dan petuanya. 7 peringkat tersebut adalah;

1. Sedia @ Pasang
2. Angkat
3. Kisar Tapak
4. Tendang
5. Tarik
6. Kisar Tapak kembali
7. Tunggu @ Awas

1. Sedia @ Pasang
Pesilat perlu arif tentang RAHSIA JARAK, GARIS SIMETRI, PENANDA GERAK, ISYARAT GERAK, PETUA ANGIN dan PANDANGAN.

2. Angkat
Paras angkatan lutut dan sudut tertentu memainkan peranan.

3. Kisar Tapak
Rahsia dalam mendapat jumlah momentum yang tinggi sewaktu menendang. Perlu menguasai keseimbangan dan kisaran mengikut sudut yang betul.

4. Tendangan
Memerlukan otot yang kuat,kenyal dan lentur supaya dapat melaksanakan tendangan yang kuat dan pantas untuk menghasilkan kuasa yang tinggi. Ketepatan dan jarak tendangan juga merupakan faktor yang penting. Haruslah mengikut gerak dan postur yang tepat ( termasuklah kedudukan tangan) secara biomekaniknya kerana pesilat pada kedudukan ini hanya bertapak dengan sebelah kaki sahaja. 

5. Tarik
Tarik kembali tendangan perlu sebagai tindakan susulan dan langkah berwaspada daripada serang balas pihak lawan. Ianya bersifat menutup sasaran lemah tubuh dan juga keadaan yang membolehkan pesilat membuat serangan balas seterusnya.

6. Kisar Tapak 
Kembali kepada kedudukan awal tetapi pesilat perlu berwaspada dan mahir mengawal keseimbangan dan berat tubuh.

7. Tunggu @ Awas
Sentiasa berwaspada dengan gerakan balas pihak lawan dan kembali kepada sifat pasang.

Sifat Gerak Tolak Lintang ini haruslah dikuasai secara latih tubi dan sentiasa mempraktikkannya dengan teknik yang betul. Setelah mahir, pastinya sifat gerak yang tujuh ini bersatu membentuk satu gerakan sahaja dan mempunyai kepantasan, kuasa, keseimbangan, ketepatan dan daya momentum yang tinggi.

* banyak kesilapan berlaku sewaktu menendang, tangan diletakkan di daerah penyawa dengan menganggap ianya satu kaedah untuk melindunginya daripada serangan pihak lawan. Namun begitu, keadaan sebegini telah menyalahi gerakan dalam aspek biomekaniknya yang melibatkan keseimbangan daya dan seterusnya mengganggu kepantasan dan nilai momentum. Awas tangan bukan bermaksud meletakkan tangan di penyawa tetapi sekadar bersedia untuk menangkis jika ada serangan balas musuh. Silap haribulan, tangan kita yang terketuk penyawa sendiri!

Wallahua'lam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...