Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Thursday, February 28, 2019

SIMPANLAH SENJATA

Salamun Alaik,
Bergambar dengan Sundang (milik sahabat dari Perlis)
Memanah perlukan latihan yang konsisten agar mampu memanah tepat pada sasaran

Dikesempatan ini ambo ingin menyeru agar saudara-saudara seBANGSA dan seAGAMA dengan ambo agar berusaha membeli, menyimpan dan memiliki apa-apa sahaja SENJATA sebagai persiapan SIAP SIAGA sekirànya DARURAT benar-benar berlaku di Negara kita. Semoleknya senjata-senjata itu bukan bersifat senjata perhiasan tetapi senjata yang boleh dibawa bertempur seandainya semboyan perang telah dibunyikan. Salah satu senjata yang efisyen dalam tempur yang tidak melibatkan senjata api adalah Senjata yang panjang seperti Pedang Jenawi, Buaya Berenang, Golok Panjang dan Sundang Lipas. ataupun Senjata Jarak Jauh seperti Pemanah yang boleh digunakan dalam keadaaan tertentu. Selain memiliki biarlah pandai juga mengemudi dan mengarahkan tepat pada sasaran, Memandangkan kerajaan telah mengiktiraf SILAT MERUPAKAN PERTAHANAN KETIGA NEGARA, maka bersahutlah kita Para Pesilat, Hulubalang, Pendekar dan Panglima semua.  Sediakan Payung Sebelum Hujan.


Wallahua'lam.

Wednesday, February 27, 2019

SENI SIMBAT

Salamun Alaik;
Dalam Keilmuan Gayong, Seni Simbat merangkumi Seni Senjata Simbat Suk (Selengan), T-Batton    ( Modul Tentera awal 70-an), Tongkat (Paras Pusat ke Ulu Hati), Belantan (Ulu Hati ke Bahu) dan Tembong (Paras Kepala ke atas). Setiap satunya ada SENI dan PERINCIANNYA yang tersendiri walaupun sekali imbas nampak sama GERAK antara Simbat Suk dengan T-Batton, Tongkat dengan Belantan dan Tembong dengan SENJATA LEMBING. Selain ada Gerak Jantan dan Gerak Betina, istimewa Seni Simbat ini, ianya juga merangkumi permainan untuk Putera dan ada gerak permainan yang khusus untuk Puteri. 

Wallahua'lam. 

ANTARA IKRAR DAN LAFAZ AKAD TERIMA

Salamun Alaik;
Majlis Perlimau Sintuk secara ZAHIRNYA terletak pada IKRAR GAYONG. Ia juga boleh dipanggil sebagai AKUJANJI pesilat. Namun begitu hal yang paling UTAMA adalah LAFAZ

"Aku sebagai Wakil Mutlak Arwah Dato Mahaguru, ALLAHYARHAM DATO MEOR ABDUL RAHMAN,  Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau,....... MENERIMA KALIAN sebagai MURID SILAT SENI GAYONG DI DUNIA HINGGA AKHIRAT" 

dan seterusnya ucapan;

"AKU TERIMA DENGAN BERKAT SYAFAAT BAGINDA RASULULLAH SOLLALLAHUALAIHIWASALLAM"

Wallahua'lam

Tuesday, February 26, 2019

SENI PEMECAHAN

Salamun Alaik,
Pemecahan Buah Kelapa 
Lokasi di Maahad Tahfiz Banggol Chica, Kelantan
Pemecahan Batu Bata dengan Kepala
Hari Sukan Negara peringkat WP Labuan 2016
Pemecahan Batu Bata dengan Kaedah Siku
Hari Sukan Negara peringkat WP Labuan 2017
Aksi pemecahan Bata oleh Cg Rosni YDP Gayong Labuan

Dalam Keilmuan Gayong, ada didedahkan dengan SENI PEMECAHAN (PEMUSNAHAN). Kebiasaanya, atap genting sering dijadikan bahan untuk diuji atau dibuat demostrasi. Namun begitu, masih terdapat bahan-bahan lain seperti Buah Kelapa, Batu Bata, Buluh, Konkrit, Batu Sungai dsbnya.

Seni Pemecahan ini boleh dilaksanakan menggunakan tangan secara Pancung Dayung, Telapak, Menumbuk, Siku dan juga kaedah tendangan serta hentakan pada tulang kering. Tidak terkecuali juga, bahagian belakang, rusuk dan juga kepala.

Asas latihan sebelum membuat Seni  Pemecahan mestilah  berlatih menguatkan anggota tubuh yang terlibat, mendalami teknik yang betul dan seterusnya latihan pernafasan yang melibatkan pemecahan bahan-bahan yang cukup keras seperti batu sungai. Latihan Pernafasan Gayong mampu membangkitkan Aura Diri dan mampu dialirkan supaya mampu memberi nilai tambah kepada Kekuatan Fizikal yang sedia ada.

Namun begitu terdapat juga yang membuat demo pemecahan ini melakukan "trick" dan bukannya melaksanakan secara "gentleman". Buluh yg sudah dibuang ruas dalamnya, sengetkan sedikit batu bata dan hentak ke bucu pelapik sewaktu pancungan, rendam kepingan kayu dalam asid, ada yang meletak anak-anak batu yang kecil dalam susunan atap genting yang berlapis-lapis dan banyak lagi yang rasanya tidak perlu dinyatakan disini.

Bagi Jurulatih-jurulatih Gayong, Ujian seperti ini  wajib ditempuhi sebagai satu syarat untuk kenaikan TAHAP GURULATIH dan juga PERINGKAT BENGKONG. Kepada yang sudah Kuning dan Hitam tetapi tidak pernah ada pengalaman memecahkan Buah Kelapa dan Batu Bata sebagai contohnya, eloklah cari ruang dan peluang untuk berlatih menguatkan fizikal dan mempelajari teknik yang sebenar tanpa "trick" yang lebih kepada syok sendiri. Ianya umpama tidak lengkap memandangkan disesetengah gelanggang pemecahan batu bata ini hanyalah syarat untuk kenaikan ke bengkong Kuning. ANAK GAYONG MESTI KUAT DAN BERANI!!!

Wallahua'lam.

Monday, February 25, 2019

DI MANA LETAK KEKUATAN MENUMBUK?

Salamun Alaik,
Ramai yg tahu menumbuk tetapi tak ramai yang mampu menumbuk dengan sempurna

Semua orang boleh menumbuk. Samaada menumbuk dengan kaedah yang betul atau tidak. Setiap perguruan juga ada kemahiran dan sifat menumbuk yang khusus mengikut pengajian mereka. Persoalannya, Di manakah letak duduk KEKUATAN SAAT KITA MELEPASKAN TUMBUKAN? Dan ada berapa RUKUN atau SYARAT yang menjadikan tumbukan kita sempurna? Ramai yang tahu menumbuk tetapi tak ramai yang mampu menumbuk dengan sempurna. InsyaALLAH, akan dikongsi kepada Jurulatih-jurulatih ambo peringkat Pelangi Kuning. Setiap peringkat ada PENGISIANNYA samaada pelajaran silibus maupun pengisian Jurulatih. Bagi ambo tiada jalan pintas dalam belajar dan Bengkong yang tinggi (sekarang) bukan lagi merujuk kepada penguasaan dan pengisian pelajarannya.

Wallahua'lam.

SEMUA OBJEK ADALAH SENJATA

Salamun Alaik;

Pengamal Gayong yang telah mempelajari 21 jenis senjata Alam Melayu masih belum lengkap menguasai sepenuhnya Seni Senjata Gayong sehinggalah apa-apa sahaja yang berada di sekelilingnya di mana-mana sahaja boleh digunakan menjadi senjata ampuh dalam mempertahankan diri mereka. Itulah tahap tertinggi dalam menguasai Seni Senjata Gayong!

Senjata yang 21 dengan 7 Gaya Gerak dan 7 Sifat Membunuh boleh dimanifestasikan kepada sebarang objek yang ada dipersekitaran kita utk dijadikan senjata mempertahankan diri. Malah, sifat muka bumi dan keadaan persekitaran seperti batang pokok, dinding, longkang besar, lubang, cerun, sinaran cahaya, kawasan berpasir dsb nya juga mampu di jadikan sandaran untuk menumpaskan musuh.

Ke arah mencapai tahap tertinggi dalam menguasai SENI SENJATA GAYONG ini, maka perlulah pesilat-pesilat mengadap GURU SEBENAR dan memahami setiap GERAK SIFAT SENJATA serta apa yg dikatakan  7 GAYA GERAK dan 7 SIFAT MEMBUNUH. InsyaAllah, dengan kefahaman yang jelas tentang konsep ini maka tiada lagi istilah HAFAL BUAH dan KAKU DALAM GERAK. Malah gerak akan lebih mantap, efektif dan berbahaya berbanding gerak dalam SILIBUS yang diajar.

Wallahua'lam

GAYA TANGAN MENANTI

Salamun Alaik;

Sikap pasang merangkumi 2 asas utama iaitu;
1. BENTUK TAPAK KEKUDA
2. GAYA TANGAN MENANTI. 

Kedudukan Tangan yang menanti amat penting kerana; 
1. ia mampu menutup kawasan lemah pada tubuh pesilat. 
2. menyukarkan pihak lawan untuk menyerang. 
3. memudahkan pesilat menyalahkan dan mematahkan setiap 
    serangan daripada pihak lawan.    

Gaya Tangan yang menanti seharusnya SELARI DAN SESUAI  mengikut GERAK LANGKAH dan GELEKAN TUBUH.  Sesuai perletakan atau kedudukannya, maka akan lancarlah ia untuk digunakan untuk menepis, menangkis, menangkap atau menyerang.

Harus diingat, terdapat juga GAYA TANGAN ketika menanti yang mampu MEMUDARATKAN pesilat itu sendiri (makan tuan).  Antaranya;  

1. Kedudukan tangan yang terlalu jauh dihadapan membolehkan pihak lawan menyentap dgn mudah. 

2. Kedudukan tangan yg separas muka atau hampir dgn muka pihak lawan berupaya mencederakan        muka pesilat dengan tangan pesilat itu sendiri. 

3. Kedudukan kedua tangan pesilat yang terlalu bersilang pihak lawan dengan mudah mampu untuk
    MENYELAK TANGAN pesilat dengan kaedah mengunci gerak. 

4. Menggenggam kedua tangan dengan terlalu erat pergerakan tangan menjadi terbatas dan kaku. 

Namun begitu, di dalam Keilmuan Silat Seni Gayong, terdapat  juga tapak yang digelar TAPAK SONGSANG dan gaya menantinya yang sekali pandang boleh memudaratkan pesilat itu sendiri,  tetapi sebenarnya ianya adalah sekadar perangkap dan penuh dengan helah. 

Sewaktu berpencak, pesilat seharusnya menyusun gerak langkah dan susunan tapaknya agar ianya tidak berlangkah sumbang dan  seterusnya dapat mematikan langkah musuh. 

Dlm keilmuan silat, MATI LANGKAH bermaksud suatu kedudukan yang tidak memberikan ruang dan peluang untuk menyerang atau  membela diri tetapi sebaliknya membuka ruang dan peluang  kepada pihak lawan untuk menyerang. 

Langkah Sumbang pula bermaksud susunan gerak langkah yang  tidak teratur dan memudahkan untuk pihak lawan mematikan  langkah atau mengambil kesempatan untuk menyerang.  Namun, amat berbeza konsep berlangkah sumbang dengan  sengaja mengamalkan Langkah Sumbang sebagai suatu helah dan ikhtiar untuk memerangkap pihak lawan.

Wallahua'lam

Tuesday, February 19, 2019

KENAPA PERLU DIUJI?

Salamun Alaik;
Setiap Amalan ada Ujiannya

Dalam Keilmuan Gayong, banyak ujian-ujian ketahanan diri yang masih diamalkan diperingkat Jurulatih dan Gurulatih. Antaranya adalah:

1. Lompat atas kaca
2. Jalan atas bara api
3. Cepuh minyak panas
4. Tetak Tubuh
5. Hiris dan Kelar
6. Gantung Diri
7. Hampur halangan bersenjata tajam & gelung api
8. Bertapa & Puasa Memutih selama 3 hari dengan syarat2 tertentu.
9. Mendagu Sundang
10. Pemecahan Blok Konkrit di badan
11. Tetak Kelapa
12. Hentak Buluh dikepala
13. Pemecahan Batu Bata dan Batu Sungai
14. Bengkok Besi Panas Berbara

Masih banyak lagi yang belum disenaraikan disini atas menjaga adab-adab berguru. Persoalannya kenapa semua ujian ini perlu diharungi oleh Jurulatih dan Gurulatih Silat Seni Gayong? Sebenarnya tujuan UTAMA adalah supaya wujudnya YAKIN PADA GURU dan YAKIN PADA ILMU yang telah diamanahkan oleh Guru selain sikap TAWAKKAL kepada ALLAH SWT. YAKIN ini bukan boleh dibuat-buat. Ia hadir setelah lulus segala ujian-ujian seperti yang disenarai diatas. Bertanyalah kepada yang berpengalaman mengharungi ujian-ujian ini, amat berbeza antara sebutan yakin dibibir dengan menghadapi ujian-ujian dengan KEYAKINAN hasil dari sifat YAKIN pada GURU dan ILMU!

Wallahua'lam

Thursday, February 14, 2019

UPACARA ADAT

Salamun Alaik,

Upacara Adat Gayong merupakan suatu Majlis yang diadakan untuk anak-anak Gayong dengan pelbagai tujuan tertentu seperti;

1. Menerima Murid Baharu - Perlimau Sintuk Tapak
2. Memulakan pembelajaran Ilmu peringkat Seni - Perlimau Sintuk Seni
3. Memulakan pembelajaran Senjata Keris - Mandi Keris
4. Menamatkan permainan Keris - Khatam Keris
5. Menamatkan permainan Lembing - Khatam Lembing
6. Menamatkan permainan Cendai - Khatam Cendai
7. Menamatkan Permainan Senjata (Pisau, Tongkat, Parang, Kerambit dll)
8. Menamatkan Buah Tapak Kunci Mati
9. Khatam Qulhu 70k
10. Kaedah Rawatan Tradisi urat dan saraf - Mandi Minyak & Jalan atas Bara Api
11. Kenaikan Bengkong HPCS - Mandi Harimau Pelangi Chula Sakti
12. Mandi Kolah berisi Syiling Fidyah
13. Mandi Perigi Kuning
14. Amalan Harian untuk kekuatan Sendi & Saraf - Mandi Gayong 
15. Menabalkan Sandang dan Kuasa Adat 
16. Penyampaian Bengkong & Upacara Ambil Tapak
17. Tauliah Dalang 
18. Mandi Senjata dan " Kahwin Besi"
19. Bertapa dan Memutih
20. Pembukaan & Penyaluran Tenaga & Pancaindera
21. Ijazah Amalan Kebatinan


Semua upacara ini ada TUJUAN dan KAEDAH tersendiri selain FALSAFAHnya. Setiap satunya ada cerita bagaimana ia bermula dan KENAPA ia perlu diadakan. Tiada satupun yang melibatkan amalan pemujaan atau berkaitan dengan seruan jin setan. Kepada yang masih ragu-ragu InsyaALLLAH ambo ada penjelasannya secara Prinsip Asas Sains, Metafizik, Teori Kuantum dan pelbagai lagi hujah fakta berkaitan Ruang Masa, Graviti, Dimensi, Tenaga dan sebagainya. Semuanya sudah ditulis dalam Buku Panduan Jurulatih Gayong Serantau Kelantan . Soal Adat ini jika ada keraguan jangan cepat jatuhkan hukum, bertanyalah kepada yang arif dan lebih tahu.

Wallahua'lam.

Saturday, February 9, 2019

MANDI PENIMBUL BUKAN SEKADAR FALSAFAH

Salamun Alaik,

Mandi Penimbul @ Perlimau Sintuk adalah satu KAEDAH bukan sekadar FALSAFAH.... potongnya kaedah,  belah nya kaedah,  sifirnya kaedah, pasaknya kaedah, hembusnya kaedah, sambutnya kaedah dan Mandinya Kaedah.... Falsafah sekadar bicara rasa. Makanya, Adat ini bukan boleh buat sekadar tiru-tiruan kerana tanpa pengetahuan KAEDAH ianya menjadi hampa asbab tiada "KESAN" kepada si Murid.

Selain "TAHU KAEDAH", pengambilan secara BERSANAD sebagai Wakil Mutlak (Wakil Mandi) AMATLAH PENTING kerana AKAD ini adalah wasilah menyambungkan SANAD ILMU antara murid dengan GURU dan seterusnya hingga kepada  PENDITA GURU.

Persoalan disini, SIAPA yang LAYAK untuk memberi TAULIAH WAKIL MUTLAK dan apa SYARAT UTAMA termasuk AMALAN yang perlu dijazamkan sebelum boleh menerima sebagai Wakil Mutlak? Jika TIDAK SAH tauliah, kesan utama kepada SANAD MURID tersebut adalah tiada bersambung. Hikmah ILMU terputus. Barakah ILMU hilang. Umpama layang-layang terputus talinya.

Wallahua'lam.

Friday, February 8, 2019

KEKALKAN KECERGASAN FIZIKAL DAN MANTAPKAN ROHANI

Salamun Alaik;
Sebahagian senaman yang mampu menguatkan otot dan tingkatkan kecergasan fizikal

Almarhum Mahaguru telah menunjukkan satu teladan buat semua anak-anak Gayong dengan KETEGAPAN FIZIKAL dan KEKUATAN beliau. Maka ini juga termasuk dalam Keilmuan Gayong walaupun dalam Silibus tidak menggariskan sedemikian secara terperinci. Namun atas inisiatif Majlis Gurulatih ada sebahagiannya menetapkan beberapa Ujian Kecergasan Fizikal dan Ketahanan Diri sebagai pra-syarat untuk Kenaikan Bengkong terutamanya di peringkat Jurulatih dan Gurulatih.

Jika kita menelusuri sejarah silam, pasukan tentera ISLAM sendiri mempunyai kekuatan fizikal yang cukup kuat termasuklah kekuatan ROHANIAH sebagai gandingannya. Saidina Ali kmw antara yang mampu berperang dengan Pedang yang cukup berat milik SAYYIDINA MUHAMMAD SOLLALAHUALAIHIWASALLAM. Gurulatih-Gurulatih Gayong yang bergelar dengan pelbagai Gelaran Panglima sepatutnya perlu sentiasa cergas dan memiliki fizikal yang kuat demi menyahut seruan selaku perajurit-perajurit pertahanan ketiga Negara!

Ayuh, perkukuhkan saf dan membina kekuatan fizikal, mental dan Rohani kalian semua. Jangan terlalu mengejar bengkong, sandang, jawatan, pengaruh serta fulus tetapi selesa mengendong perut yang boyot, berlari tak sampai 1 km pun lidah sudah terjelir ke dada apatah lagi kekuatan rohani yang Solat nya sentiasa dihujung waktu dan ke masjid pun hanya pada hari Jumaat. Semoga setiap Jurulatih dan Gurulatih mainkan peranan masing-masing dalam mengawasi anak-anak didik di gelanggang masing-masing. Bentukkan jatidiri dan semaikan nilai-nilai Islamiyah dalam hati sanubari mereka. Apabila Fizikal kuat dan Rohaninya Mantap, barulah cukup pakej sebagai seorang PESILAT.

Wassalam.


Wednesday, February 6, 2019

ELAK TENDANGAN

Salamun Alaik,
Sewaktu buat Elakan, perKUKUHkan Kekuda kita dan FOKUS kpd Tangkisan. 
Ulang sehingga sempurna. Disiplin pada pasang kekuda. Jgn ada goyang2

Sistem Pelajaran mendedahkan pada peringkat awal bagaimana pesilat membuat tendangan dengan sempurna SIFAT & PERBUATANNYA. Setelah mahir menendang, peringkat seterusnya mendedahkan pula bagaimana untuk mengatasi atau menghadapi serangan kaki secara tendangan. Asas utama bila berhadapan dengan serangan kaki ataupun tendangan, pesilat mempunyai beberapa pilihan mengikut kepada situasi seperti;

1. Jenis Tendangan
2. Jarak Serangan
3. Kepantasan Tendangan
4. Arah dan Sasaran Tendangan
5. Lokasi Pertempuran
6. Bilangan Musuh
7. Stamina dan Tahap Kemahiran

Pilihan pesilat secara ASASnya ada 3 KAEDAH;

1. Elak Yoi menyalahkan serangan serentak Tangkis atau Makan SeGerak
2. Tangkis guna Kaki (Tapak Tetap)
3. Tangkis guna Tangan (Tapak Tetap)

Kaedah 1 dan 2 merupakan KAEDAH yang digunakan oleh pesilat yang mempunyai tahap yang tinggi manakala pada peringkat permulaan, biasanya pesilat akan didedahkan dengan Elak menggunakan Tangkisan Tangan.

Posting kali ini ambo ingin FOKUS kepada KAEDAH ASAS TETAPI AMAT PENTING sewaktu melaksanakan Tangkisan Tangan saat berdepan dengan serangan tendangan pihak lawan. Ada 3 perkara yang perlu diambil perhatian iaitu;

1. TAPAK KEKUDA mesti mantap, stabil dan tidak goyah. Mampu mengubah arah pada bila-bila sahaja samada untuk bertahan menggunakan Tapak Yoi Empat atau menyerang menggunakan Tapak Yoi Tiga.

2. TANGKISAN mesti "mengunci" pergerakan susulan musuh (rujuk video). Sekiranya hanya sekadar tangkis, pastinya musuh mampu melaksanakan serangan susulan kerana kaki dan tangannya masih bebas dan diberi ruang secukupnya.

3. PANDANGAN MATA mesti mampu mengesan saat awal musuh memulakan serangan dan bentuk serangan berdasarkan kedudukan tapaknya. ( perlu ada PETUA BACA GERAK dan PETUA BACA TAPAK. Yang ini kenalah mengadap Guru ).

Perkongsian ambo kali ini sebenarnya untuk memberi ingatan agar setiap perbuatan kita perlulah FAHAM MATLAMAT dan bukan sekadar buat IKUT-IKUTAN. Jurulatih patut peka dan memberi perhatian yang sewajarnya kerana berdasarkan pemerhatian ambo, terlalu banyak kesilapan yang dibuat oleh anak-anak Gayong sewaktu melaksanakan ELAKAN serangan Kaki. Perkukuhkan yang ASAS terlebih dahulu sebelum ghairah untuk belajar Seni yang tinggi-tinggi. Semoga memberi manfaat buat semua.

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...