Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Monday, August 29, 2011

Sunday, August 28, 2011

SENJATA MELAYU - KERAMBIT

Salamun Alaik,
Kerambit Lombok
Senjata sulit yang dimainkan secara jarak dekat oleh  para pendekar dan serikandi. Dibentuk dari inspirasi KUKU HARIMAU dan BULU PADA EKOR AYAM JANTAN. Dikenali juga dengan pelbagai nama mengikut bentuk (bilah dan lengkungannya), saiz dan tempat. Antaranya;

1. Kuku Rimau
2. Kuku Hanuman
3. Lawi Ayam
4. Kerambit Minang
5. Kerambit Sumbawa
6. Kerambit Lombok
7. Kerambit Sunda (2 mata)
Kuku Rimau
 Kerambit Sumbawa
Kerambit Minang
Kerambit 2 mata
Bilahnya berbentuk melengkung dan tajam kedua-dua belahnya.Terdapat lubang cincin dipangkal hulunya sebagai ruang untuk memasukkan jari telunjuk. Keadaan ini menjadikan senjata kerambit sukar terlepas dan boleh bergerak secara fleksibel kerana jari telunjuk menjadi sebagai pemacunya.Namun kelemahannya, boleh mengakibatkan jari telunjuk itu patah bila berdepan dengan musuh yg pakar atau tertusuk sesuatu yg keras (tidak lut). Bagi mengelakkan keadaan seperti ini, ada rekaan kerambit yg tiada lubang cincin dan hanya digenggam. Tetapi ianya berisiko untuk terlepas dan sedikit terhad ruang geraknya berbanding yang berlubang cincin.

Kaedah "makannya" secara merobek sasaran lembut pada tubuh lawan seperti leher, bawah dagu, ulu hati, sisi pinggang, kantung kemaluan, ketiak, tendon-tendon utama seperti pergelangan, pelipatan siku dan lutut. Arah gerak makannya secara horizontal (lambai atas dan lambai bawah) dan vertikel. Setiap kali kerambit mengena sasaran,  pengemudinya akan menyentap kerambit tersebut sebagai usaha merobek tubuh lawan. Ianya disimpan dan dipegang secara sembunyi dari penglihatan musuh. Biasanya, para pendekar akan menyimpan kerambit ini di dalam poket, menyelit kerambit disebalik bengkong (atau di sekitar pinggang yang sedikit belakang agar tersorok dari pandangan musuh), dan ada juga disimpan dalam kilasan kain sarung atau sampin. Bagi serikandi pula, kerambit (bersaiz kecil) disimpan di sebalik rambut yang dijadikan sebagai cucuk sanggul.

Kaedah Latihan. 
Penulis bergaya dengan Kerambit (lawi ayam)
Secara asasnya, pesilat diajar dengan senaman Kerambit. Senaman kerambit diajar bertujuan agar pesilat mampu menghayati gerak-geri kerambit yang banyak bermain secara MERAUT dengan gerak lambai atas dan lambai bawah (gerakan horizontal) dan sauk sula (vertikel). Geraknya perlu rapat dan tangan kiri (tanpa kerambit) haruslah berwaspada agar tidak termakan tuan sendiri. Kemudian, pesilat mula diajar Gerakan Asas Kerambit agar gerakan yang lembut ketika senaman kerambit tadi dapat dilaksanakan dengan gerak sebenar yang keras dan pantas.
Setelah mahir mengemudi Kerambit, pesilat akan diajar kaedah elak-makan dan seterusnya dilatih menyambut serangan kerambit musuh dalam keadaan bertangan kosong (tanpa senjata). Kaedah Tapak Hidup Kerambit juga diberi pendedahan agar pesilat mampu mendalami pelbagai kemungkinan bentuk serangan secara  berangkai dan pelbagai situasi.
Buah Tangkapan Kerambit
Penghujung pelajarannya, pesilat perlu bertempur menggunakan Kerambit di dalam kain sarung. Kaedah latihan sebegini menitikberatkan kecekapan pesilat untuk bermain rapat dan cekap menghadapi serangan kerambit dalam situasi yg terhad. Petua Kerambit dan Penggunaan Racun juga akan disampaikan setelah pesilat berjaya menguasai sepenuhnya Permainan Kerambit ini.

Walaupun asal senjata Kerambit ini dari Nusantara (Alam Melayu), namun ianya telah tersebar dan telah mendapat tempat di hati orang-orang Barat yang melihat senjata Kerambit ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri berbanding senjata-senjata Melayu lain.

Kerambit yang diinovasikan oleh orang2 barat
Begitulah hebatnya KETAMADUNAN SENJATA BANGSA MELAYU. ALLAHUAKBAR!!!

Wallahua'lam

Wednesday, August 17, 2011

SENI CENDAI - KOMBINASI ELEMEN LEMBUT DAN KERAS

Salamun Alaik,
Seni Cendai (Cindai) merupakan suatu cabang ilmu kependekaran yang menggunakan kain sebagai senjata untuk  mempertahankan diri dari serangan musuh. Asasnya adalah kain sarung dan selendang, namun ianya dapat diaplikasikan dengan menggunakan sebarang bahan yg berunsur kain(hampir sifatnya), mampu membelit dan menjerut seperti serban, bengkong, tali leher, kemeja, tali pinggang, seluar , stokin, tali kasut, kabel, tali, kain tudung, tanjak dll.

Penggunaan Tali sebagai senjata Cendai

Sifat Cendai adalah lembut, maka pemakainya juga perlukan sifat kelembutan dalam gerak tempurnya. Mengikut konsep berpasangan, sesuatu yg bersifat keras, boleh diatasi dengan sesuatu yang bersifat lembut.  Inilah KONSEP CENDAI. Kelembutan yang mampu memusnahkan kekerasan kerana Seni Cendai menggabungkan elemen Lembut dan Keras dalam gerak tempurnya (ambil lembut, buang keras). 

Konsep tempur Seni Cendai terbahagi kepada dua iaitu Cendai Jantan dan Cendai Betina. Cendai Jantan merujuk kepada konsep tempur yang berbentuk pukul memukul, melibas dan sentap manakala Cendai Betina diklasifikasikan mengikut bentuk serangannya seperti Jerut, Kalung, Tebar, Serkap, Gari dan Jerat.

Seni Cendai Pusaka Purba,
Sudah Diukur Baru Dipakai,
Jika Anggota Cacat dan Cedera,
Tidak Boleh Tuan Memakai.

Seni Cendai Pusaka Purba,
Disandang Mai Dihujung Bahu,
Jangan Menyerang Membabi Buta,
Jerat Maut Sedia Menunggu.

Dalam Adab mempelajari Seni Cendai, sebelum boleh dibuat pakai, kain yang ingin dibuat bergelanggang perlulah disukat mengikut sukatan tubuh pesilat masing2 sebagaimana senjata keris(susunan ibu jari) dan parang lading/pedang pendek (mengikut ukuran liltan kepala). Kaedah ukur tubuh ini diajar mengikut petuanya tertentu agar saiz dan ukurannya adalah sesuai dengan pemakainya. Pengisian Doa dan Isim-isim Cendai juga akan diajar agar menambah "bisa" kepada kain tersebut. 

Pukulan Buah Gergasi/Topi Bugis
(ehsan gambar dari Ustaz Nik Iznan)

Pemecahan oleh Serikandi gelanggang Maahad Tahfiz Sains

Dengan kaedah simpulan tertentu, kain sarung mampu dijadikan sebagai alat untuk memukul sasaran lemah pihak musuh. Dengan teknik dan latihan yang sempurna, sehelai kain mampu untuk memecahkan objek-objek keras. Teknik sebegini dipanggil Buah Pukulan Cendai. Terdapat 3 kaedah simpulan semuanya yang di ajar dalam Keilmuan Silat Gayong iaitu simpulan kalong, tangkai dan segenggam.

Di sini saya kongsikan salah satu (bukan satu-satunya) kaedah latihan untuk memantapkan diri supaya mampu mengemudi kain cendai sebagai salah satu senjata yang ampuh.
Latihan Cendai Basah yang dipimpin oleh Ayahanda Amin Hamzah, 
bertempat di Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang,Kelantan.

Semoga beroleh manfaat buat semua.


Wallahua'lam

Sunday, August 14, 2011

PENGGUNAAN RACUN PADA SENJATA

Salamun Alaik,
Bisa ular

Dalam keilmuan silat, senjata-senjata yang digunakan untuk pertempuran seperti keris, lembing, buluh runcing, sumpit dan pemanah, kebiasaanya akan dibubuh RACUN agar kesan luka akibat dari senjata tersebut walaupun sedikit, akan memberi impak yang sangat besar. Terdapat banyak kaedah membuat racun. Ada yang menggunakan dari sumber tumbuh-tumbuhan (daun,getah,akar), bersumberkan binatang-binatang berbisa ( ular, kala jengking, kodok dan labah-labah) dan dari mineral kerak bumi seperti arsenik.

Pokok Ipoh

Secara umumnya, tumbuhan yang sering digunakan untuk memproses racun adalah daripada getah pohon Ipoh (Antiaris Toxicaria) dan akar dari pohon Ara/Toba( derris Elliptica). Kesan dari getah Ipoh ini bila masuk ke saluran darah boleh menyebabkan aktiviti jantung akan meningkat dengan drastik dan bergedup kencang. Ini mengakibatkan jantung akan kejang dan saluran darah akan pecah! Berbeza dengan kesan racun daripada sumber binatang berbisa yang mana ianya boleh menyebabkan kematian sel-sel neuron, kekejangan otot melampau, lumpuh dan kecatatan kekal (mengalir ke otak). Namun, sekiranya musuh yang terkena racun tersebut sememangnya alergik dengan bahan-bahan racun ini, dos yang kecil sudah cukup untuk membawa kepada kematian.

Labah-labah paling berbisa di dunia

Jika dalam keilmuan silat diajar cara-cara membuat racun, maka ianya juga mengajar kaedah untuk membuat penawarnya. Jika hanya belajar membuat racun sahaja, maka tiadalah lengkap ilmu seseorang pendekar itu. Penawar kepada racun berbeza mengikut kepelbagaian racun itu sendiri. Itu bergantung kepada pecahan ilmu racun seperti;

1. Ilmu racun darah dan sumsum tulang.
2. Ilmu racun tulang dan otot.
3. Ilmu racun saluran pernafasan.
4.Ilmu racun saluran pencernaan.
5. Ilmu racun saraf.
6. Ilmu racun kulit dan mata.
7. Ilmu racun jantung dan pembuluh darah.

Salah satu kaedahnya untuk menghadapi kesan getah ipoh (jantung dan pembuluh darah) adalah dengan melumurkan pati dari buah asam. Dan ada juga yang mengamalkan petua memakan tanah. Pesan Guru, adakalanya racun boleh menjadi penawar kepada racun yang lain.

Terdapat pelbagai teknik untuk menyerapkan racun pada senjata. Ianya bergantung kepada guru yang mengajar. Ada melalui coletan ke mata senjata, melalui rendaman (beberapa hari) di dalam suatu bekas tertentu yang biasanya diperbuat dari buluh (sumber tumbuhan) dan secara ditanak. Racun yang amat berbisa adalah racun yang diperbuat daripada campuran racun yang bersumberkan tumbuhan dan bisa dari binatang- binatang. 

Wallahua'lam

Tuesday, August 9, 2011

MATI LANGKAH DAN LANGKAH SUMBANG

Salamun Alaik,
Sewaktu berpencak, pesilat seharusnya menyusun gerak langkah dan susunan tapaknya agar ianya tidak berlangkah sumbang dan seterusnya dapat mematikan langkah musuh. Dalam keilmuan silat, Mati Langkah bermaksud suatu kedudukan yang tidak memberikan ruang dan peluang untuk menyerang atau membela diri tetapi sebaliknya membuka ruang dan peluang kepada pihak lawan untuk menyerang. Langkah Sumbang pula bermaksud susunan gerak langkah yang tidak teratur dan memudahkan untuk pihak lawan mematikan langkah atau mengambil kesempatan untuk menyerang. Namun, ada juga sesetengah perguruan mengamalkan Langkah Sumbang ini sebagai suatu helah dan ikhtiar untuk memerangkap pihak lawan.

Kedudukan salah satu tapak di antara kedua tapak musuh

Bagi mematikan langkah musuh, pesilat biasanya akan mengatur susunan langkahnya agar berjaya meletakkan salah satu daripada tapak kakinya diantara kedua tapak kaki musuh dalam berkeadaan dada pesilat menghala ke arah musuh manakala dada musuh menghala ke arah lain. Kedudukan posisi sebegini menjadikan sudut pandangan pihak lawan di luar daripada sudut normal iaitu lebih kurang 60 darjah yg diukur dari garis pusat mengarah ke luar. Situasi ini mengakibatkan pihak lawan kurang keupayaan mengesan gerak serangan pesilat di samping terdapat sebelah tangan dan kakinya yang berada di luar sudut pertempuran.

Kedudukan yang boleh mematikan langkah musuh

Selain itu, ada juga pesilat menggunakan Langkah Songsang bagi mematikan langkah musuh. Langkah Songsang bermaksud, langkahan gerak tapak pesilat mengikut gerak tapak pihak lawan secara imej cermin (contohnya, musuh kaki kiri depan, pesilat kaki kanan depan).

Semoga perkongsian ilmu ini beroleh manfaat buat kita semua. 

Wallahua'lam

Monday, August 8, 2011

RIADAH "MATA HATI"

Salamun Alaik,

Mata merupakan salah satu daripada 5 organ deria yang ada pada manusia. Ia berfungsi sebagai penerima balikan cahaya daripada objek dan menghantarkan segala maklumat yang diterima ke otak untuk ditafsirkan melalui sistem saraf. Maknanya, mata manusia hanya berfungsi bila ada kehadiran cahaya, tanpa cahaya maka tiadalah kemampuan manusia itu untuk melihat. Sebagai contohnya, pada waktu malam yang gelap gelita, penglihatan manusia akan menjadi amat terhad dan kurang jelas. Jika dipejamkan mata pula, kita langsung tiada kemampuan untuk melihat sesuatu umpama melihat tanpa hadirnya cahaya.

Sebenarnya, seseorang manusia itu tidak hanya melihat dengan mata kasar semata-mata. Terdapat satu lagi kemampuan untuk melihat dan menilai akan sesuatu perkara dengan lebih halus dan mendalam iaitu melalui MATA HATI. Mata kasar manusia mudah ditipu dan sering diperdaya dengan pelbagai ilusi dan khayalan minda sedangkan MATA HATI lebih jujur dan ianya dipandu oleh GERAK NALURI INSAN yang luhur dan suci. Cahayanya berpunca dari sumber segala Cahaya. Begitu hebatnya penglihatan MATA HATI ini. Tetapi kenapa ramai manusia yang kurang berkemampuan untuk menggunakannya? Sama-samalah kita mencari jawapannya.

Di dalam Ilmu Persilatan pula, ada antara riadah/latihan nya iaitu berlatih bertempur (berpencak) dalam keadaan mata tertutup. Tujuannya adalah jelas, iaitu melatih pesilat-pesilat fokus kepada kekuatan "mata hati" mereka. Pada peringkat ini, tiada lagi pergantungan kepada mata, tetapi pesilat haruslah berusaha menangkis segala serangan musuh menggunakan GERAK RASA dan FIRASAT HATI yang lahir dari MATA HATI yang suci.  InsyaAllah, dengan bimbingan GURU yang ARIF, pesilat mampu menguasai RIADAH MATA HATI ini dengan sempurna dan menyerap segala KERAHSIAAN lain berkaitan HAKIKAT MATA HATI ini.Bagi pengamal silat, kesempurnaan sesuatu tindakan adalah amat bergantung kepada berapa pantas diri kita memberi refleks kepada apa yang diterjemahkan oleh AKAL dan dinilai oleh HATI.

Apakah RAHSIA kepada Riadah Mata Hati ini?
Riadah Mata Hati diperkenalkan dalam Keilmuan Silat ini adalah semata-mata untuk mengenal dan membezakan antara AKAL dan HATI. Segala cabang ilmu yang HAK akan membawa pengamalnya mengenal kepada EMPUNYA ILMU tersebut. Perbezaan arah memandang menyebabkan terjadi perbezaan daya nilai dan daya rasa.


[petikan Al-Hikam]
Orang akal lebih cenderung kepada fahaman falsafah yang berdiri di atas kemanusiaan sejagat iaitu fitrah manusia. Keberkesanan hukum sebab-akibat membentuk formula-formula yang seterusnya melahirkan hukum logik yang dipegang oleh akal. Sukar bagi akal untuk melihat bahawa Allah s.w.t yang meletakkan dan menetapkan keberkesanan hukum sebab-akibat itu. Orang akal memerlukan masa untuk berfikir dan menimbang sehingga mereka melihat dan mengakui kerapian serta kesempurnaan hukum yang mereka pegang itu. Setelah sampai kepada pengakuan yang demikian baharulah mereka beralih memerhatikan apa yang datang dari Tuhan.


Orang hati pula terus menyaksikan Ketuhanan pada apa yang disaksikan. Mereka melihat perjalanan sebab dan akibat sebagai tadbir Allah s.w.t. Mereka juga mengambil sebab dalam melakukan sesuatu tetapi ketika mengambil sebab itu hati memandang kepada Allah s.w.t, meletakkan pergantungan kepada-Nya yang mentadbir sebab musabab itu, bukan bersandar kepada sebab semata-mata. Jika sebab gagal menghasilkan akibat menurut hukum logik, orang hati melihat kekuasaan Allah s.w.t mengatasi segala sebab. Orang akal yang berhadapan dengan keadaan yang demikian sering diganggu oleh kekeliruan dan mereka mencari formula baharu untuk mengembangkan logik.


Walaupun terdapat perbezaan cara memandang tetapi tidak seharusnya berlaku berselisihan di antara dua golongan tersebut. Satu golongan harus menghormati daya nilai dan daya rasa golongan yang satu lagi. Walau bagaimana pun orang akal harus sedar bahawa mereka sedang bergerak ke arah daerah orang hati kerana iman, ikhlas, berserah diri, takwa dan lain-lain nilai baik dalam agama adalah nilai hati yang mengeluarkan niat.
 

Wallahua'lam.

Sunday, August 7, 2011

PENUMBUK DAYUNG

Salamun Alaik,
Terdapat pelbagai jenis bentuk serangan tangan seperti pancung dayung (back knife hand), selayang pancung (knife hand), setangkai padi (thumb knuckle strike), siku (elbow strike), tusuk (finger jab), sauk (uppercut), tumbuk layang (hook), telapak (palm strike), seligi (knuckles strike), hentak sepukal (backfist), genggam sepukal (hammer fist) dan sebagainya, namun PENUMBUK LURUS (straight punch) merupakan perbuatan yang paling asas ketika melakukan serangan tangan. Tumbuk Lurus ini pula mempunyai 3 gaya serangannya;

1. Tumbuk Langsung (terus)
Tumbukan yang dilepaskan daripada kedudukan sedia terus ke sasaran secara horizontal tanpa mengubah keadaan tangan. Kebiasaannya, tumbuk langsung dilaksanakan oleh tangan dihadapan (sewaktu gaya pasang).

2. Tumbuk Pintal Tali 
Tumbukan dilaksanakan daripada kedudukan Kelek Anak (genggaman di rusuk), bergerak secara berpintal sebelum penumbuk sampai ke sasaran. Kebiasaannya, tumbuk Pintal Tali dilaksanakan oleh tangan dibelakang (sewaktu gaya pasang).

3. Tumbuk Dayung (Berkisar)
Tumbukan paras dengan gerakan tangan secara berkisar dari atas ke bawah secara pusingan Tawaf dan seterusnya bergerak secara horizontal ke sasaran. 
Kaedah untuk melaksanakan Tumbuk Dayung

KELEBIHAN TUMBUK DAYUNG
1. Serangan jarak HASTA. Anda mampu memberikan impak yang kuat kepada sasaran maut musuh walaupun dalam jarak yang amat dekat berbanding Tumbuk Langsung.
2. Masa Reaksi lebih singkat berbanding Tumbuk Pintal Tali.
3. Mampu dilaksanakan dengan secara BERANGKAI secara tunggal (tangan yang sama).
4. Boleh mengubah haluan serangan dengan mudah tanpa mengurangkan impak tumbukan.
5. Merupakan serangan yang berbentuk pertahanan. Sambil menyerang sambil menangkis. 
6. Menyembunyikan PUNCA GERAK(bahagian bahu)sewaktu mula bergerak dan keadaan ini menyukarkan pihak musuh membaca gerak pada tubuh kita.
7. Mampu untuk menyerang sambil mengubah tapak. Maknanya, ianya amat fleksibel dan mengikut rentak gerakan langkah. Sambil melangkah sambil menyerang.

Wallahua'lam

Saturday, August 6, 2011

BELADIRI WANITA - BUATLAH PILIHAN YANG TEPAT

Salamun Alaik,

Bila menatap keratan akhbar berkaitan tips beladiri wanita di atas, terasa ada sesuatu yang tidak kena. Fikiran mula mempersoalkan, adakah ianya sesuai dengan kudrat seorang wanita/anak gadis atau berapa lama tempoh untuk seseorang wanita itu perlu berlatih agar mereka mampu melaksanakan teknik tersebut?

Kita semua maklum yang wanita kini ramai yang bekerja. Mereka sering keluar rumah dan risiko untuk mereka berdepan dengan penjenayah adalah tinggi. Sedangkan masa untuk mereka mengikuti kelas-kelas beladiri amat terhad. Apatah berlatih secara rutin (untuk meningkatkan kemahiran). Oleh yang demikian, buat wanita2 yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya ilmu beladiri ini, akan berusaha untuk mengikuti kursus2 atau bengkel2 yang berfokuskan Beladiri Wanita sahaja dalam bentuk pakej yang telah ditawarkan oleh mana2 pertubuhan/persatuan beladiri atau NGO yang bertanggungjawab.

Namun, apa yang perlu ditekankan di sini, buatlah pilihan yang tepat. Seeloknya pilihlah yang benar-benar berkonsepkan beladiri wanita dan bukannya sekadar menerapkan disiplin beladiri mereka yang kebiasaanya amat rumit dan komplek untuk dilaksanakan. Walaupun diakui, konsep disiplin mereka itu tidak salah dan berkesan, tetapi ianya perlukan masa yg agak lama untuk dikuasainya. Wanita yang mengikuti kursus beladiri wanita ini, berbeza dengan murid yang telah mengikuti kelas2 beladiri tersebut secara rutin (mungkin 2-3 kali seminggu selama bertahun-tahun). Mereka ini bukanlah berlatarbelakang ahli mempertahankan diri dan mereka ini juga tiada masa untuk berlatih secara tekun utk menguasai teknik-teknik yang komplek dan memerlukan tenaga yang banyak. 

Oleh yang demikian, pertubuhan/persatuan beladiri dari pelbagai disiplin haruslah peka dengan masalah ini, dan seharusnya mengambil inisiatif supaya mampu menggubal suatu silibus yang lebih ringkas, fleksibel dan efektif. Sebagai pengamal beladiri, ini adalah satu inisiatif kita dalam memberi sumbangan kepada masyarakat luar melalui ilmu yang telah kita pelajari dan kuasai. Semoga mendapat Berkat dan Rahmat dari Allah SWT. Amiiin.

Wallahua'lam.

KONSEP EKONOMI DALAM PENGGUNAAN TENAGA, MASA DAN PERGERAKAN

Thursday, August 4, 2011

KONSEP GARIS PUSAT DAN MEDAN KAWALAN

Salamun Alaik,
Konsep Garis Pusat merupakan suatu konsep yang menekankan kepada 4 medan kawalan yang berpunca dari 2 garis yang saling berserenjang dengan titik persilangannya di pusat tubuh. Pembahagian medan ini amatlah penting dalam usaha kita mengawal serangan musuh secara tersusun dan bersistematik. Setiap serangan musuh yang masuk ke dalam medan tersebut, tangan dan kaki kita telahpun bersedia dengan tugasnya masing-masing.

Secara amnya, serangan bahagian atas akan dipertanggungjawabkan kepada kedua tangan dan serangan bahagian bawah, kaki pula yang mengalas tugas tersebut. Dengan demikian, kita telahpun menyeimbangkan tugas dan secara tidak langsung ianya tidak akan membebankan mana2 satu bahagian belaan sahaja.

Garis Pusat Bahagian Atas (Medan Belaan Tangan)

Pandangan hadapan

Kebiasaannya, gaya menanti berkeadaan tangan kiri di hadapan dan tangan kanan di belakang. Setiap pergerakan tangan yang menangkis lokusnya berpusat pada bahagian siku. Maka, pergerakan siku adalah hampir tetap dikedudukannya dan sekiranya ada pergerakan, ianya hanya dalam bentuk gerakan segaris secara horizontal.

Pandangan Sisi

Daripada pandangan sisi, kita juga dapat melihat pembahagian medan yang terdiri daripada 4 medan kawalan. Medan Hadapan(atas dan bawah) dikawal oleh tangan kiri (hadapan) manakala Medan Belakang (atas dan bawah) dikawal oleh tangan belakang. Bentuk belaan/ Teknik Belaan bergantung kepada individu dan mengikut kepada ilmu yang dipelajari.

Konsep Garis Pusat dan Medan Kawalan ini adalah sebagai panduan asas kepada strategi belaan kita. Setiap satunya ada formula yang mudah agar setiap serangan musuh, kita mampu menghadapinya dengan tenang dan bersistematik. Formula belaan yang bersistematik pula akan membantu kita menggunakan dengan berhemah setiap tenaga dan pergerakan kita agar setiap gerak geri kita bermakna dan berkesan.

*Bersambung.......

Wallahua'lam

Tuesday, August 2, 2011

KONSEP RUANG DALAM PERTEMPURAN MELIBATKAN MUSUH YANG RAMAI

Salamun Alaik,
Pesilat berada dalam kedudukan kepungan oleh pihak musuh
Saat berhadapan dengan bilangan musuh yang ramai, seorang pesilat seharusnya bijak dalam menyusun gerak langkah berdasarkan kepada Konsep Kedudukan dan Ruang bagi memastikan pesilat sentiasa berada dikedudukan selamat. Konsep asasnya adalah, pesilat mestilah sentiasa dalam kedudukan yang berkeupayaan melihat secara keseluruhan gerak geri musuh (maknanya tiada musuh di belakang). Gerak Langkah pesilat selalunya akan menggunakan Tapak 4 dan Tapak 8.

Sentiasa berwaspada dengan musuh yang paling agresif dan berani

Asas kedudukan pesilat bila berdepan dengan musuh yang melebihi seorang adalah seperti berikut;

                                                        2 musuh                                3 musuh                                  4 musuh


Dalam menghadapi situasi seperti ini, anda ada dua pilihan;
1. terus menyerang musuh yang paling lemah supaya anda dapat ruang yang lebih baik untuk menghadapi baki musuh yang ada.
2. bertindakbalas sebaik sahaja salah seorang musuh memulakan serangan dan menggunakan Tapak 4 bagi mengelak sambil mendapatkan ruang yang selamat atau gunakan Tapak 8 untuk mengelak dan membuat serangan balas terhadap musuh yang paling hampir.

Contoh gerak langkah pesilat untuk mendapatkan ruang yang selamat

Apabila berhadapan dengan ramai musuh, anda tidak boleh sesekali membuat serangan berbentuk berangkai ataupun melakukan kuncian. Apa yang perlu anda lakukan adalah GELEKELAK PUKUL sambil melangkah mencari RUANG yang selamat. Setiap pukulan yang dilepaskan haruslah mantap dan tepat pada sasaran maut. Ianya akan membantu anda menambahkan ruang yang lebih luas jika musuh yang anda serang tersebut mengalami kecederaan teruk dan tidak lagi mampu mengepung anda untuk melakukan serangan selanjutnya. 

Anda juga boleh membelakangi dinding atau tiang/batang pokok sebagai satu strategi supaya tiada musuh dibelakang anda. Namun jangan terlalu dekat dengan dinding tersebut kerana ianya boleh menghadkan pergerakan anda. Namun sekiranya tiada pilihan, pastikan anda menyandar ke dinding dan tutuplah ruang tubuh anda seboleh mungkin. Serangan musuh menjadi amat terhad dan jika anda bernasib baik, serangan musuh akan tersasar ke dinding!

Anda juga disarankan berada di suatu ruang yang hanya membenarkan seorang atau dua musuh sahaja yang boleh melalui sesuatu kawasan tersebut seperti di atas jambatan atau lorong yang sempit. Dengan demikian, anda tiada masalah berhadapan dengan musuh yang ramai.

Segala yang dibincangkan adalah sekadar lontaran idea bagi merangsang minda sekiranya anda menghadapi situasi berhadapan musuh yang ramai. Semoga beroleh manfaat dari apa yang dibincangkan. InsyaAllah.

Wallahua'lam

SENAMAN PILIHAN - TEKAN TUBI

Salamun Alaik,


Tekan Tubi merupakan salah satu senaman yang amat universal dan mempunyai pelbagai manfaat. Ianya menggunakan berat tubuh dan daya tarikan graviti sebagai beban. Tekan Tubi juga merupakan senaman yang tidak memerlukan ruang yang besar dan boleh dilaksanakan dengan pelbagai kaedah. Manfaat utamanya adalah dapat memberikan kekuatan dan keseimbangan kepada pengamalnya.

Dalam aspek beladiri, latihan tekan tubi amat dititikberatkan kerana ianya mampu menguatkan otot-otot seperti Deltoid, Triceps, Pectorilis, Pectorilis Major, Latissimus Dorsi dan Rectus abdominis. Sebgai contohnya, kekuatan otot Deltoid (bahu) mampu menghasilkan penumbuk yang kuat kerana bahu merupakan IBU GERAK kepada pergerakan tangan. Manakala. kekuatan otot rectus abdominis (bahagian abdomen/otot perut) mampu memberikan kekuatan sewaktu melakukan tendangan.

Untuk melaksanakan Tekan Tubi dengan sempurna, pastikan belakang badan adalah dalam keadaan tegap dan kaki berkeadaan lurus. Sewaktu gerakan turun, pastikan bahagian badan hadapan tidak menyentuh lantai. Bagi wanita pula, disyorkan lutut menyentuh lantai dan tekan tubi hanya melibatkan bahagian atas tubuh sahaja. 

Tekan Tubi mempunyai pelbagai kaedah dan variasi. Setiap kaedah akan memberi manfaat yang berbeza. Antaranya;
1. Tapak Tangan (biasa)
2. Penumbuk
3. Jejari
4. Jarak Lebar (lepasi jarak bahu)
5. Segitiga (tengah dada)
6. Tepuk
7. Belakang Tangan.

Setiap kaedah ini pula , anda boleh melaksanakan dengan tempo yang berbeza. Jika dilakukan dengan pantas, ia akan meningkat KUASA OTOT manakala jika dilakukan dengan perlahan, ia akan meningkatkan DAYA TAHAN OTOT. Bagi yang mengamalkan Tekan Tubi untuk meningkatkan Tenaga Dalam pula, setiap ulangan 20 dilaksanakan secara menahan nafas. 

Bagi pandangan saya, Tekan Tubi merupakan senaman yang ringkas dan mudah tetapi hasilnya amat mengagumkan. Saya sendiri telah menggariskan syarat kepada murid2 di bawah bimbingan saya agar mencapai had limit bilangan tekan tubi yang telah ditetapkan untuk kenaikan bengkong (syarat tambahan). Untuk bengkong putih = 20 kali, hijau = 30 kali, merah = 50 kali, kuning = 70 kali dan hitam = 100 kali. Semoga apa yang dikongsikan mampu memberi manfaat buat semua.

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...