Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Friday, July 3, 2015

KONGSI ILMU : ASAS ELAKAN PERINGKAT ASAS

Salamun Alaik;
ASAS PELAJARAN adalah yang paling UTAMA untuk diKUASAI sebelum dapat mempraktikkan PETUA

Dalam Keilmuan Gayong, suatu silibus telah digubal dan disusun secara sistematik agar anak-anak Gayong yang turun ke gelanggang dapat berlatih mengikut tahap mereka secara ansur maju. Selepas berjaya menguasai latihan psikomotor dan biomekanik yang betul secara fizikalnya, murid-murid sepatutnya diberikan KEFAHAMAN "KENAPA DAN MENGAPA" ianya perlu digerakkan sedemikian.

Dalam ASAS ELAKAN, perlunya mengaplikasinya semula ILMU yang ada dalam ASAS GERAKAN. Ianya ada KESINAMBUNGAN. Jika gagal faham atau tidak tahu apa kesinambungannya, itu menandakan kelemahan bagi pihak Jurulatih. Seharusnya, Jurulatih yang memainkan peranan memberi penerangan dan penegasan bagi setiap SENI yang perlu dipraktikan sewaktu melaksanakan latihan ASAS ELAKAN. Apakah SENI tersebut? Jawapannya ada pada GURU kalian dan MODUL - MODUL ASAS KEJURULATIHAN!

Bagi Asas Elakan, setiap peringkat akan didedahkan sebanyak 7 buah dengan KONSEP yang berbeza.Konsepnya adalah seperti berikut;

1. Tangan - Tangan
2. Tangan - Kaki
3. Kaki - Tangan & Kaki - Kaki.

Untuk entri kali, kita akan bincangkan TUJUAN bagi setiap Asas Elakan bagi Peringkat Asas diajar. Sebelum kita bincangkan secara lebih detail, elok kita ulangkaji Asas Elakan Peringkat Asas (mengikut Silibus di Pusat Latihan Tertinggi Air Kuning,Perak).

1. Sangga Sisi
2. Sangga Bumi
3. Sangga Langit
4. Yoi Luar
5. Cekak Harimau Jantan
6. Yoi Dalam
7. Patah Alu

Kesemua Asas Elakan ini dipraktikan dari serangan pihak lawan secara TUMBUK PINTAL TALI bertapak. Kenapa Tumbuk Pintal Tali dan bukannya dari serangan tangan yang lain? Sila cari jawapannya.

Bagi Asas Elakan yang pertama hingga ketiga, sebenarnya murid Gayong didedahkan dengan serangan tangan dalam 3 ARAS BERBEZA. Secara ringkasnya seperti berikut;

1. Sangga Sisi - Separas Bahu
2. Sangga Bumi - Serangan Ulu Hati dan ke bawah
3. Sangga Langit - Serangan ke arah muka.

Namun, ianya dilatih pada satu aras iaitu separas bahu supaya murid Gayong berlatih dalam mode yang lebih sukar sewaktu di gelanggang. InsyaALLAH jika dalam situasi yang sebenar ianya pasti menjadi lebih mudah mengikut pergerakan fitrah manusia.

FOKUS latihan yang ke-2 adalah perletakan tangan sewaktu melaksanakan Elakan. Perbuatannya mestilah mengikut dan menepati HUKUM TUAS, KESEIMBANGAN DAYA dan BIOMEKANIKnya. Dengan mempraktikan kesemua hukum sains diatas, InsyaALLAH, sedikit daya yang kita kenakan mampu mengatasi daya musuh yang lebih besar selain mampu bergerak dengan pantas dan seimbang.

FOKUS latihan yang ke-3 pula menitikberatkan PERLETAKAN PANDANGAN. Dimana seharusnya murid Gayong waspada. InsyaALLAH, dengan mendedahkan sedikit PETUA ini mampu memberikan respon yang pantas sewaktu melaksanakan Elakan.

FOKUS latihan seterusnya adalah berkaitan YOI yang telah dipraktikan sewaktu berlatih ASAS GERAKAN. Gunakan YOI ini bagi mengalih kedudukan badan dengan pantas dan berkesan. 

FOKUS latihan terakhir yang ingin dikongsikan dalam entri kali ini adalah berhubung FALSAFAH GERAK. "GERAK ADALAH SATU DAN TIADA BERPISAH". Seperti yang kita maklum, sewaktu melaksanakan perbuatan elakan terdapat 2 PERBUATAN UTAMA iaitu ELAK dan TANGKIS. Maka, satukan ELAK DAN TANGKIS menjadi SEGERAK.

Bagi Asas Elakan yang ke-4, murid Gayong didedahkan dengan ASAS YOI luar. Kemahiran menyusun tapak, menumpang tapak dan menghulur tapak berdasarkan keluasan Tapak Kekuda mengikut Teori Segitiga atau Segiempat amat ditekankan supaya murid Gayong dapat mengalih dan berkalih dengan lancar.

Bagi Asas Elakan ke -5, ia merupakan pendedahan kepada ASAS MENANGKIS secara MENGUAK yang didasari oleh Gerak Tangan Kanan. Ianya berbeza dengan Elakan awal yang kesemuanya menangkis menggunakan Tangan Kiri (hadapan). FOKUS juga diberi kepada PETUA RUANG agar murid Gayong dapat menganggak serangan musuh itu mengarah keluar atau ke dalam.

Bagi Asas Elakan ke-6 ianya agak istimewa kerana ia satu-satunya kaedah mengelak ke dalam. Tapaknya sama seperti Elakan 4 tetapi Kuak Tangannya mengikut Elakan 5 (versi songsang). Fokus disini adalah kedudukan kaki dan ianya juga mengikut Dasar Petua Tapak Segitiga.

Dan bagi Asas Elakan ke-7, Ianya mempraktikan gabungan Kalih badan (Elak 1,2,3), Langkahan ( Elak 4 @ 6) dan Kuak Tangan (Elak 5) iaitu SENI yang ada pada Elakan sebelumnya. Fokus diberikan kepada kesempurnaan Asas Elakan sebelumnya supaya murid Gayong dapat melaksanakan Elakan 7 dengan mantap. 

Begitulah secara ringkasnya perbincangan berkaitan ASAS ELAKAN peringkat asas. Namun ia sebenarnya amat bermakna kerana "PETUA HANYA DAPAT DIPRAKTIKKAN SEKIRANYA ASAS PELAJARAN DIKUASAI SEPENUHNYA". Jika tidak PETUA yang dianggap ILMU TERTINGGI ini hanya menjadi sekadar hiasan dibibir semata-mata.

Wallahua'lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...