Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Wednesday, May 22, 2013

ILMU JASMANI DAN ROHANI

Salamun Alaik;
Zikir untuk diamal dan Mentera untuk difahami.

Dalam Keilmuan Gayong, pengamalnya disarankan untuk menyeimbangkan antara Ilmu yang berbentuk Jasmani dan juga yang bersifat Rohani. Ilmu Jasmani merangkumi pelajaran-pelajaran pencak yang bermula daripada Seni Tangan Kosong sehinggalah menguasai kesemua 21 senjata di Alam Melayu. Manakala Ilmu Rohani pula banyak menitikberatkan hal-hal kejiwaan seperti amalan membaca zikir-zikir/wirid-wirid tertentu selain mempelajari Ilmu Mengenal Diri yang banyak tersimpan dalam Mentera-mentera Gayong. Sesungguhnya, Ilmu Rohani inilah yang seharusnya menjadi PENGISIAN UTAMA dalam diri pengamal-pengamal Ilmu Gayong seluruhnya. 

Tidak dinafikan, ramai dikalangan anak-anak Gayong termasuklah juga yang bertahap Gurulatih yang masih samar dalam perjalanan mereka. Fokus mereka hanyalah pada Ilmu Jasmani. Ini dibuktikan dengan pengisian silibus dari peringkat asas hinggalah ke peringkat Harimau Pelangi Chula Sakti. Jika ada pun, tidaklah secara rasmi, bergantung penuh kepada siapa Guru yang mengajar. Bagi pandangan penulis, amatlah rugi jika isu ini tidak diambil perhatian serius. Sedangkan, tujuan sesuatu ILMU itu adalah untuk "Kenal Diri dan Kenal ALLAH SWT". Untuk mengenalpasti sesuatu Ilmu tersebut dapat memberi kesan positif ( Berkat ) kepada kita atau sebaliknya, verifikasinya adalah amat mudah, adakah semakin kita belajar sesuatu Ilmu tersebut menjadikan kita semakin DEKAT dengan ALLAH SWT atau tidak? Jika ya, Alhamdulillah dan jika tidak, maka perlulah kita bermuhasabah diri kenapa ia terjadi sedemikian. Apakah sebab Ilmu itu sendiri yang hanya berfokus kepada urusan dunia semata-mata atau kita yang kurang BERADAB dengan GURU atau dengan ILMU itu sendiri.

Sebenarnya, Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman melalui SANAD ILMU daripada Datuk beliau, Allahyarham Syed Zainal Abidin bin Syed Idris Al-Attas banyak menurunkan Ilmu-ilmu yang bersifat KEROHANIAN melalui pelbagai jenis Amalan Zikir/Wirid/Doa dan juga Ilmu-ilmu Mengenal Diri yang telah disusun rapi dalam bentuk Mentera bagi setiap PERBUATAN kita seharian, bermula daripada Bangun Tidur,Mandi, Keluar Rumah sehinggalah kembali Tidur. Makanya, setiap Mentera itu haruslah dibaca UNTUK DIFAHAMI dan DIRESAPI SETIAP PENGERTIANNYA dan bukanlah sekadar baca dengan niat untuk memperolehi sesuatu kelebihan yang bersifat keduniaan. Itulah kesilapan yang paling ketara dalam memahami penggunaan Mentera!

Kesimpulannya, Ilmu Gayong ini perlu diajar mengikut acuan asalnya yang mana menitikberatkan KESEPADUAN di antara Ilmu yang berbentuk jasmani dan Ilmu yang berbentuk Rohani. Setiap Zikir yang diperturunkan adalah untuk di AMAL manakala setiap Mentera pula adalah untuk di FAHAMI.

Persoalan;
1.Kenapa Mentera perlu dihafal?
2.Bagaimana Mentera itu dikarang?
3. Bagaimana KONSEP pembelajaran Mentera yang pernah diterapkan oleh Guru terdahulu?

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...