Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Wednesday, September 2, 2009

MENGAPA PENGAMAL SENI BELADIRI SERING TUMPAS DALAM PERTEMPURAN DI JALANAN?


Salam semua,



Seringkali kita mendengar di media – media cetak mahupun elektronik, pengamal – pengamal seni beladiri yang ada di antara mereka bergelar pengasas, mahaguru, guru utama dan jurulatih turut dicederakan oleh sekumpulan penjenayah di jalanan. Tidak ketinggalan juga, juara – juara di pertandingan peringkat negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa juga mengalami nasib yang sama. Tidak mampu mengekalkan kehebatan di jalanan sepertimana di gelanggang – gelanggang beladiri mereka.


Apabila darah merah terpancut dan mengalir deras dari kepala yang dihentak kuat, mereka terus panik dan tidak tahu apa yang perlu mereka buat, seolah – olah mereka seperti tidak pernah mempelajari sebarang ilmu seni beladiri!Kenapa fenomena seperti ini boleh terjadi? Sedangkan mereka ini mungkin telah bertahun – tahun mengabdikan diri dalam dunia beladiri.


Inilah hakikatnya, kebanyakan mereka tertipu dengan persekitaran mereka sendiri. Hanya berlatih berlawan dan beladiri dalam situasi persekitaran yang terkawal. Bergantung penuh kepada teori – teori yang usang dan menghafal contoh – contoh pertempuran yang kebanyakannya tidak realistik dalam pertempuran sebenar!


Akibatnya, minda mereka terkongkong dan sempit untuk mentafsirkan suatu gambaran situasi pergaduhan yang sebenar yang mana pergaduhan jalanan yang tiada undang-undang, tiada kawalan dan tiada belas kasihan. Segalanya boleh berlaku.....dan anda perlu bersedia untuk menghadapinya. Bukan semata – mata dengan sifat keberanian tetapi persediaan mental dan teknik – teknik yang mudah, efektif dan realistik.


Persoalannya, apakah tindakan yang perlu kita ambil bagi mengatasi permasalahan ini?




Wallahua'lam

TIPS#1 PERSEDIAAN DIRI. Tujuh perkara yang anda perlukan.


Salam semua,


1. Pengetahuan Tentang Strategi Dan Teknik Pertahankan Diri

Hadirlah ke mana – mana kursus beladiri atau berdaftarlah sebagai ahli seni beladiri. Belajarlah sebanyak mungkin yang anda mampu terutamanya kaedah melepaskan diri dari pegangan atau pelukan, bagaimana untuk gunakan teknik memanipulasikan sendi ( kuncian ) dan bagaimana untuk berlawan dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring di lantai.


2. Kekuatan Fizikal

Kuatkanlah fizikal anda. Lakukanlah aktiviti senaman secara rutin yang dapat membantu menguatkan tubuh anda. Sebagai contohnya, aktiviti bangkit tubi dan tekan tubi dapat membina kekuatan pada tubuh bahagian atas anda. Tanpa kekuatan, tumbukan atau tendangan anda tidak mungkin mampu menewaskan penjenayah.


3. Daya Tahan Kardiovaskular Yang Tinggi

Ingat akan prinsip pertahankan diri iaitu lari lebih baik daripada dipukul. Sentiasa bersedia untuk lari kerana itulah pilihan utama anda. Larilah sekuat hati anda sambil menjerit meminta tolong. Namun, anda memerlukan daya tahan kardiovaskular yang tinggi bagi mengelakkan anda keletihan ketika sedang berlari.


4. Konsentrasi, Komunikasi Dan Psikologi Yang Mantap

Cuba kekalkan konsentrasi anda dan berwaspadalah dengan persekitaran. Jangan biarkan pergerakan pantas dan senyap penjenayah memerangkap anda. Jangan sesekali anda cepat mengelabah. Tarik nafas panjang dan tenangkan diri semampu yang boleh. Jangan tunjukkan diri anda panik. Percayalah dengan kemampuan anda dalam mempertahankan diri dan usaha untuk meneruskan hidup anda. Berkomunikasilah dengan tegas untuk menunjukkan keberanian dan tekad anda. Lengahkan mereka dan segera mencari kelemahan yang ada pada penjenayah. Gunakan apa saja taktik dalam usaha mengatasi situasi genting ini.


5. Kepantasan, Kuasa dan Masa Tindakbalas

Berlatih dengan pasangan anda ( jika ada ) dengan menggunakan alat – alat yang membantu meningkatkan kepantasan, kekuatan dan kuasa teknik serangan anda. Berlatihlah juga berkenaan ‘reaction timing’ yang mana memberikan anda kefahaman bila anda perlu melepaskan serangan terhadap penjenayah. Kelebihan ini dapat membantu anda mencederakan penjenayah dan seterusnya melarikan diri dalam usaha menyelamatkan diri.


6. Gunakan Suara Secara Optimum

Jangan sesekali takut atau malu untuk menjerit sekuat hati dan nyaring dalam tempoh yang lama. Keadaan ini boleh memberi isyarat kepada masyarakat sekeliling yang menunjukkan anda dalam situasi mencemaskan.


7. Jarak Anda.

Apabila anda sedang berhadapan dengan penjenayah dan sedang berkomunikasi dengannya,pastikan anda tidak berdiri terlalu dekat dengan mereka. Wujudkan sempadan dengan mengawal jarak anda sekurang-kurangnya 2 meter. Bercakap dengan nada suara yang tegas dan pandanglah dengan tepat pada matanya. Jangan sesekali terleka dengan terlepas pandang pada penjenayahwalaupun sedetik. Ini akan membuka ruang untuk mereka mengambil kesempatan.



Wallahua'lam


MANGSA JENAYAH? Kenapa Wanita Sering Menjadi Mangsa?

Salam semua,

Masalah jenayah di negara kita kini berada dalam tahap yang amat serius. Terlalu banyak kes – kes yang dilaporkan dalam media massa seperti kes rompakan, kecurian, samun, ragut, mencabul, rogol, gangguan seksual, bunuh dan sebagainya. Ianya berlaku setiap hari dan seolah – olah sudah tiada jalan lagi untuk menanganinya walaupun setiap hari jugalah, pihak polis membuat tangkapan dan mahkamah menjatuhkan hukuman kepada penjenayah – penjenayah tersebut.


Sekiranya dahulu kita boleh menganggap rumahlah tempat yang paling selamat untuk didiami, tetapi kini tidak lagi. Banyak keganasan dan jenayah yang berlaku terutamanya yang melibatkan kaum hawa seperti penderaan, pencabulan dan rogol. Apatah lagi di luar rumah terutamanya di kawasan – kawasan bandar yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai ragam.


Merujuk kepada statistik bagi mangsa jenayah, kaum wanitalah yang mendominasinya diikuti golongan kanak – kanak, orang tua dan orang kurang upaya. Kenapa keadaan seperti ini boleh berlaku? Kenapa wanita menjadi pilihan para penjenayah? Adakah ianya merupakan kesilapan daripada wanita itu sendiri atau disebabkan oleh faktor – faktor lain?Jawapannya ialah anda perlu mengupas apa yang terkandung di dalam pemikiran seseorang penjenayah. Mengapa mereka amat meminati wanita untuk dijadikan mangsa? Oleh itu, berfikirlah seperti seorang penjenayah berfikir.


Sebenarnya, kebanyakan penjenayah menganggap wanita merupakan kaum yang lemah dari segi fizikalnya. Inilah faktor utama mengapa wanita dipilih sebagai mangsa. Keduanya, hampir kesemua wanita apabila keluar dari rumah akan memakai barang – barang perhiasan diri seperti rantai, gelang dan anting – anting yang diperbuat daripada emas. Faktor ketiga ialah wanita mudah untuk dipengaruhi dan mempercayai seseorang. Keempat, perasaan takut yang begitu tinggi juga merupakan kelemahan pada wanita yang mana penjenayah dengan mudah boleh mendapatkan wang atau barang berharga yang diminta menerusi gertakan dan ugutan – ugutan. Faktor kelima pula, cara berpakaian sesetengahnya yang tidak senonoh dan sengaja mendedahkan bahagian – bahagian sulit mereka dan ini merangsang penjenayah untuk menjadikannya sebagai mangsa.


Namun terdapat juga wanita yang berani tetapi keberanian mereka telah mengundang malapetaka kerana cuba melawan tetapi mereka langsung tidak mengetahui asas – asas untuk membeladiri. Inilah kesilapan yang paling ketara. Hadirlah ke kelas – kelas beladiri dan carilah kesempatan untuk menghadiri mana – mana kursus atau bengkel beladiri wanita. InsyaAllah, banyak tips – tips dan panduan yang dapat diperolehi daripada program – program seperti ini.

Wallahua'lam


SENI BELADIRI DARI SUDUT KEPENTINGAN DAN KEPERLUAN MASYARAKAT MASA KINI

Salam semua,

Bayangkan anda berada dalam keadaan yang sangat genting yang mana ketika itu anda seorang diri berhadapan dengan sekumpulan penjenayah/penjahat yang ingin mengugut atau membinasakan anda. Pada saat itu, anda sepatutnya dapat mengenalpasti dan memilih suatu tindakan yang paling tepat bagi mengatasi atau melemahkan mereka. Jika tidak, pastinya sesuatu yang buruk akan menimpa anda!

Keadaan ini sebenarnya berlaku kepada semua golongan masyarakat pada setiap hari, setiap masa dan ketika. Tanpa ada tanda – tanda amaran dan tanpa ada alasan yang munasabah, penjenayah, perompak, pencuri, peragut, samseng jalanan, perogol dan sebagainya tiba – tiba sahaja datang ke arah anda dari pelbagai arah dan keadaan, yang akan menyentuh, memukul, menolak, mencederakan anda dan pada saat itu anda telah diseret ke lembah keganasan dan penganiyaan malah lebih teruk lagi….pembunuhan!!!

Kebanyakan mangsa yang pernah mengalami keadaan ini menyedari akan 2 perkara iaitu;
i. Mereka tidak mengetahui apa yang menghentak/memukul mereka sehingga keadaan sudah terlewat untuk bertindak dan…
ii. Mereka tidak mengetahui bagaimana untuk bertindak balas dan mempertahan diri mereka dalam situasi yang terdesak dan spontan.

Amatlah beruntung sekiranya anda hanya dicederakan dan dibiarkan keseorangan di jalanan dengan duit dan barangan berharga anda dibawa pergi daripada anda terus dibelasah oleh penyerang anda sehingga maut datang mengundang!

Ramai di kalangan kita hanya setakat mendengar cerita – cerita sebegini setiap hari di suratkhabar, radio dan televisyen. Mereka kemudiannya melahirkan rasa simpati kepada mangsa dan mengutuk sekeras - kerasnya dengan tindakan penjenayah tersebut. Tetapi mereka ini telah membuat suatu kesilapan besar iaitu menganggap perkara seumpama ini hanya berlaku kepada orang lain tanpa memikirkan mereka juga mungkin boleh terjebak! Pastinya perkataan menyesal yang akan lahir dari bibir mereka pada saat itu namun segalanya sudah tidak bermakna lagi. Bagaimana dengan anda?

Tidaklah rugi jika anda mempelajari ilmu seni beladiri tetapi anda tidak pernah menggunakannya daripada anda tidak pernah mempelajari ilmu seni beladiri tetapi anda amat memerlukannya pada ketika itu. Positifkanlah fikiran anda, mempelajari ilmu seni beladiri bukan bermakna anda diajar untuk menjadi kaki gaduh dan menjadi ganas. Segalanya bergantung kepada pengamal itu sendiri.

Menerusi pembelajaran seni beladiri yang teratur dan sistematik, anda akan mendapat pelbagai manfaat lain selain dari ilmu mempertahan diri. Anda akan menyedari diri anda semakin berkeyakinan, terdidik disiplin diri yang tinggi, bertambah kuat secara fizikal, meningkatkan kecergasan dan dapat menjaga kesihatan. Syarat utamanya anda melazimkan latihan anda secara konsisten. Latihanlah yang menjadikan segalanya sempurna dan mencapai matlamat yang diinginkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...