Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA
Showing posts with label teknik. Show all posts
Showing posts with label teknik. Show all posts

Saturday, January 19, 2019

MENYALAHKAN KEHENDAK LAWAN

Salamun Alaik;


Realiti pertempuran sebenarnya perlu  membezakan antara teknik yang berkesan dengan buah-buah latihan di gelanggang. Ia cukup berbeza. Tetapi untuk mendapatkan Teknik yang benar dan berkesan memerlukan latihan buah-buah tersebut digelanggang terlebih dahulu. Maknanya kedua2nya saling memerlukan.

Selain itu, antara pengetahuan yang penting sewaktu pertempuran dengan musuh adalah "perlu menyalahkan kehendak musuh". Apa sebenarnya kehendak musuh itu? Ianya adalah sesuatu yang kompleks tetapi ada beberapa tips dan petua.

Antaranya adalah bilamana berdepan dengan musuh yang biasa dengan martial arts, musuh memang mengharapkan kita berdepan dengan memasang kekuda yang universal, iaitu tarik kaki kanan belakang dengan gaya tangan dihadapan. Jadi senang untuk musuh mengagak serangan dan belaan kita. Oleh yang demikian, dalam Keilmuan Gayong itu sendiri ada mengajar pelbagai kaedah bertapak kekuda. Pasang kekuda mengikut gaya dan kaedah musuh. Kekadang kekuda Alif juga amat berkesan bila berdepan musuh yang mahir dalam martial arts kerana kita menyembunyi tindakan awal kita bila dalam kedudukan berdiri lurus. Gaya Tapak Songsang juga boleh menyalahkan kehendak lawan (antara kelebihan Silat Spelet).Itu diantara Ilmu yang didedahkan kepada anak-anak Gayong agar sikap dan perbuatan kita sentiasa MENYALAHI KEHENDAK pihak musuh!

Masih banyak yang perlu dibincang dan dikupas. Cukup dahulu dalam diskusi kali ini. Yang penting kita perlu faham, jangan sesekali kita guna ILMU kita untuk memudahkan pihak lawan menumbangkan kita. Sentiasalah MENYALAHI KEHENDAK & PERMINTAAN pihak musuh. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Selebihnya akan ambo kongsi dalam Kursus-kursus Pembantu Jurulatih dan Jurulatih.

Wallahua'lam.

Sunday, August 14, 2011

PENGGUNAAN RACUN PADA SENJATA

Salamun Alaik,
Bisa ular

Dalam keilmuan silat, senjata-senjata yang digunakan untuk pertempuran seperti keris, lembing, buluh runcing, sumpit dan pemanah, kebiasaanya akan dibubuh RACUN agar kesan luka akibat dari senjata tersebut walaupun sedikit, akan memberi impak yang sangat besar. Terdapat banyak kaedah membuat racun. Ada yang menggunakan dari sumber tumbuh-tumbuhan (daun,getah,akar), bersumberkan binatang-binatang berbisa ( ular, kala jengking, kodok dan labah-labah) dan dari mineral kerak bumi seperti arsenik.

Pokok Ipoh

Secara umumnya, tumbuhan yang sering digunakan untuk memproses racun adalah daripada getah pohon Ipoh (Antiaris Toxicaria) dan akar dari pohon Ara/Toba( derris Elliptica). Kesan dari getah Ipoh ini bila masuk ke saluran darah boleh menyebabkan aktiviti jantung akan meningkat dengan drastik dan bergedup kencang. Ini mengakibatkan jantung akan kejang dan saluran darah akan pecah! Berbeza dengan kesan racun daripada sumber binatang berbisa yang mana ianya boleh menyebabkan kematian sel-sel neuron, kekejangan otot melampau, lumpuh dan kecatatan kekal (mengalir ke otak). Namun, sekiranya musuh yang terkena racun tersebut sememangnya alergik dengan bahan-bahan racun ini, dos yang kecil sudah cukup untuk membawa kepada kematian.

Labah-labah paling berbisa di dunia

Jika dalam keilmuan silat diajar cara-cara membuat racun, maka ianya juga mengajar kaedah untuk membuat penawarnya. Jika hanya belajar membuat racun sahaja, maka tiadalah lengkap ilmu seseorang pendekar itu. Penawar kepada racun berbeza mengikut kepelbagaian racun itu sendiri. Itu bergantung kepada pecahan ilmu racun seperti;

1. Ilmu racun darah dan sumsum tulang.
2. Ilmu racun tulang dan otot.
3. Ilmu racun saluran pernafasan.
4.Ilmu racun saluran pencernaan.
5. Ilmu racun saraf.
6. Ilmu racun kulit dan mata.
7. Ilmu racun jantung dan pembuluh darah.

Salah satu kaedahnya untuk menghadapi kesan getah ipoh (jantung dan pembuluh darah) adalah dengan melumurkan pati dari buah asam. Dan ada juga yang mengamalkan petua memakan tanah. Pesan Guru, adakalanya racun boleh menjadi penawar kepada racun yang lain.

Terdapat pelbagai teknik untuk menyerapkan racun pada senjata. Ianya bergantung kepada guru yang mengajar. Ada melalui coletan ke mata senjata, melalui rendaman (beberapa hari) di dalam suatu bekas tertentu yang biasanya diperbuat dari buluh (sumber tumbuhan) dan secara ditanak. Racun yang amat berbisa adalah racun yang diperbuat daripada campuran racun yang bersumberkan tumbuhan dan bisa dari binatang- binatang. 

Wallahua'lam

Tuesday, August 9, 2011

MATI LANGKAH DAN LANGKAH SUMBANG

Salamun Alaik,
Sewaktu berpencak, pesilat seharusnya menyusun gerak langkah dan susunan tapaknya agar ianya tidak berlangkah sumbang dan seterusnya dapat mematikan langkah musuh. Dalam keilmuan silat, Mati Langkah bermaksud suatu kedudukan yang tidak memberikan ruang dan peluang untuk menyerang atau membela diri tetapi sebaliknya membuka ruang dan peluang kepada pihak lawan untuk menyerang. Langkah Sumbang pula bermaksud susunan gerak langkah yang tidak teratur dan memudahkan untuk pihak lawan mematikan langkah atau mengambil kesempatan untuk menyerang. Namun, ada juga sesetengah perguruan mengamalkan Langkah Sumbang ini sebagai suatu helah dan ikhtiar untuk memerangkap pihak lawan.

Kedudukan salah satu tapak di antara kedua tapak musuh

Bagi mematikan langkah musuh, pesilat biasanya akan mengatur susunan langkahnya agar berjaya meletakkan salah satu daripada tapak kakinya diantara kedua tapak kaki musuh dalam berkeadaan dada pesilat menghala ke arah musuh manakala dada musuh menghala ke arah lain. Kedudukan posisi sebegini menjadikan sudut pandangan pihak lawan di luar daripada sudut normal iaitu lebih kurang 60 darjah yg diukur dari garis pusat mengarah ke luar. Situasi ini mengakibatkan pihak lawan kurang keupayaan mengesan gerak serangan pesilat di samping terdapat sebelah tangan dan kakinya yang berada di luar sudut pertempuran.

Kedudukan yang boleh mematikan langkah musuh

Selain itu, ada juga pesilat menggunakan Langkah Songsang bagi mematikan langkah musuh. Langkah Songsang bermaksud, langkahan gerak tapak pesilat mengikut gerak tapak pihak lawan secara imej cermin (contohnya, musuh kaki kiri depan, pesilat kaki kanan depan).

Semoga perkongsian ilmu ini beroleh manfaat buat kita semua. 

Wallahua'lam

Sunday, August 7, 2011

PENUMBUK DAYUNG

Salamun Alaik,
Terdapat pelbagai jenis bentuk serangan tangan seperti pancung dayung (back knife hand), selayang pancung (knife hand), setangkai padi (thumb knuckle strike), siku (elbow strike), tusuk (finger jab), sauk (uppercut), tumbuk layang (hook), telapak (palm strike), seligi (knuckles strike), hentak sepukal (backfist), genggam sepukal (hammer fist) dan sebagainya, namun PENUMBUK LURUS (straight punch) merupakan perbuatan yang paling asas ketika melakukan serangan tangan. Tumbuk Lurus ini pula mempunyai 3 gaya serangannya;

1. Tumbuk Langsung (terus)
Tumbukan yang dilepaskan daripada kedudukan sedia terus ke sasaran secara horizontal tanpa mengubah keadaan tangan. Kebiasaannya, tumbuk langsung dilaksanakan oleh tangan dihadapan (sewaktu gaya pasang).

2. Tumbuk Pintal Tali 
Tumbukan dilaksanakan daripada kedudukan Kelek Anak (genggaman di rusuk), bergerak secara berpintal sebelum penumbuk sampai ke sasaran. Kebiasaannya, tumbuk Pintal Tali dilaksanakan oleh tangan dibelakang (sewaktu gaya pasang).

3. Tumbuk Dayung (Berkisar)
Tumbukan paras dengan gerakan tangan secara berkisar dari atas ke bawah secara pusingan Tawaf dan seterusnya bergerak secara horizontal ke sasaran. 
Kaedah untuk melaksanakan Tumbuk Dayung

KELEBIHAN TUMBUK DAYUNG
1. Serangan jarak HASTA. Anda mampu memberikan impak yang kuat kepada sasaran maut musuh walaupun dalam jarak yang amat dekat berbanding Tumbuk Langsung.
2. Masa Reaksi lebih singkat berbanding Tumbuk Pintal Tali.
3. Mampu dilaksanakan dengan secara BERANGKAI secara tunggal (tangan yang sama).
4. Boleh mengubah haluan serangan dengan mudah tanpa mengurangkan impak tumbukan.
5. Merupakan serangan yang berbentuk pertahanan. Sambil menyerang sambil menangkis. 
6. Menyembunyikan PUNCA GERAK(bahagian bahu)sewaktu mula bergerak dan keadaan ini menyukarkan pihak musuh membaca gerak pada tubuh kita.
7. Mampu untuk menyerang sambil mengubah tapak. Maknanya, ianya amat fleksibel dan mengikut rentak gerakan langkah. Sambil melangkah sambil menyerang.

Wallahua'lam

Tuesday, January 5, 2010

TUMBUK PINTAL TALI

Assalamualaikum,

Pelajaran Asas dalam ilmu serangan tangan adalah menumbuk lurus atau secara khususnya disebut Tumbuk Pintal Tali. Kenapa ianya dipanggil sedemikian rupa? Kenapa ianya perlu bermula dirusuk (Kelek Anak) diikuti berputar ( Berkisar Tali ) sebelum genggaman tangan sampai ( Emas Sepukal). Setiap gerak geri pendekar ada maksudnya yang tersendiri. Ianya penuh dengan rahsia yang tersembunyi. Di gelanggang2 awam, kurang dibicarakan akan hal ini kerana ia lebih menitikberatkan betul perbuatannya. Tetapi bila kurang kefahaman,maka kurang jugalah penghayatan serta maksud sebenar akan perbuatan2 tersebut.

Secara saintifiknya, pergerakan kisaran ketika menumbuk yang bermula di sisi rusuk dapat menghasilkan suatu impak yang teramat besar kerana daya pecutan bertambah dibantu lagi dengan momentum hasil bebanan badan ke hadapan. Selain itu, pecutan tumbukan ditambah lagi dengan genggaman tangan diketatkan ketika penumbuk hampir sampai ke sasaran.

Dan yang terpentingnya, susun atur nafas perlulah betul dan dialirkan tepat pada masanya. Ditambah lagi dengan amalan2 zikir tertentu yang mampu menggerakan zarah2 menjadi semakin pantas dan menghasilkan tenaga yang tinggi.

Hasil dari latihan yang tepat dan teratur, maka serangan tangan yang asas ini akan menjadi suatu senjata ampuh yang mampu memusnahkan lawan. Moralnya di sini, jangan terlalu gopoh dalam belajar, latihan yang kerap dan sentiasa berdamping dengan guru amat penting dalam mendapatkan ilmu2 yang sulit seperti ini.

Di bawah ini ada dikepilkan video pemecahan dengan menggunakan seni Tumbuk Pintal Tali. Video A memaparkan pesilat banyak bergantung kepada bebanan tubuh kerana melompat sebelum menumbuk dan tumbukannya tidak cukup sifat menyebabkan atap genting tidak pecah semuanya walaupun mempunyai susuk badan yang sasa dan Video B pula memaparkan pesilat mempraktikkan tumbuk pintal tali dengan tepat.


Video A Video B

* video-video yang dipaparkan hanyalah sebagai paparan untuk topik perbincangan. Tiada niat untuk menjatuhkan maruah individu2 tertentu...


(dipetik dari Buku Panduan Jurulatih Gayong Serantau Kelantan)

1. Tumbuk Pintal Tali merupakan Asas Gerakan Serangan yang Pertama yang terdiri daripada rangkuman 3 perbuatan spt;
    a. Kelek Anak
    b. Kisar Tali
    c. Emas Sepukal

2. Kenapa ianya yang pertama? sbb dalam Tumbuk Pintal Tali sudah terkandung 7 serangan2 Tangan yang lain seperti;
    a. Tikam

    b. Tusuk Rajawali
    c. Telapak Harimau
    d. Seligi
    e. Sauk/Kun (kedudukan Kelek Anak)
    f. Paras (Kedudukan Kisar Tali)
    g. Sepukal (Kedudukan Emas Sepukal)

3. Jarak dan Kegunaanya;
    a. Jarak yg sgt hampir - guna serangan Sauk
    b. Jarak sederhana sehingga selengan - guna serangan PARAS
    c. Jarak lebih selengan - guna serangan Sepukal(Tumbuk Pintal Tali sepenuhnya)

4. Kenapa perlu berkisar? Bagi menambahkan kelajuan serta momentum badan.

5. PETUA#1 bagi menambahkan kelajuan bagi meningkatkan Momentum adalah dengan merenggangkan sedikit kepalan tangan pada awalannya dan mengenggam sekuat2nya kepalan tangan saat hampir menghentam sasaran.

6. PETUA#2 bagi menambahkan kekuatan tumbukan adalah dengan melepaskan nafas saat tumbukan sampai ke sasaran.

7. PENGISIAN KEBATINAN sewaktu menumbuk; Bacalah...........


Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...