Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Tuesday, August 2, 2011

KONSEP RUANG DALAM PERTEMPURAN MELIBATKAN MUSUH YANG RAMAI

Salamun Alaik,
Pesilat berada dalam kedudukan kepungan oleh pihak musuh
Saat berhadapan dengan bilangan musuh yang ramai, seorang pesilat seharusnya bijak dalam menyusun gerak langkah berdasarkan kepada Konsep Kedudukan dan Ruang bagi memastikan pesilat sentiasa berada dikedudukan selamat. Konsep asasnya adalah, pesilat mestilah sentiasa dalam kedudukan yang berkeupayaan melihat secara keseluruhan gerak geri musuh (maknanya tiada musuh di belakang). Gerak Langkah pesilat selalunya akan menggunakan Tapak 4 dan Tapak 8.

Sentiasa berwaspada dengan musuh yang paling agresif dan berani

Asas kedudukan pesilat bila berdepan dengan musuh yang melebihi seorang adalah seperti berikut;

                                                        2 musuh                                3 musuh                                  4 musuh


Dalam menghadapi situasi seperti ini, anda ada dua pilihan;
1. terus menyerang musuh yang paling lemah supaya anda dapat ruang yang lebih baik untuk menghadapi baki musuh yang ada.
2. bertindakbalas sebaik sahaja salah seorang musuh memulakan serangan dan menggunakan Tapak 4 bagi mengelak sambil mendapatkan ruang yang selamat atau gunakan Tapak 8 untuk mengelak dan membuat serangan balas terhadap musuh yang paling hampir.

Contoh gerak langkah pesilat untuk mendapatkan ruang yang selamat

Apabila berhadapan dengan ramai musuh, anda tidak boleh sesekali membuat serangan berbentuk berangkai ataupun melakukan kuncian. Apa yang perlu anda lakukan adalah GELEKELAK PUKUL sambil melangkah mencari RUANG yang selamat. Setiap pukulan yang dilepaskan haruslah mantap dan tepat pada sasaran maut. Ianya akan membantu anda menambahkan ruang yang lebih luas jika musuh yang anda serang tersebut mengalami kecederaan teruk dan tidak lagi mampu mengepung anda untuk melakukan serangan selanjutnya. 

Anda juga boleh membelakangi dinding atau tiang/batang pokok sebagai satu strategi supaya tiada musuh dibelakang anda. Namun jangan terlalu dekat dengan dinding tersebut kerana ianya boleh menghadkan pergerakan anda. Namun sekiranya tiada pilihan, pastikan anda menyandar ke dinding dan tutuplah ruang tubuh anda seboleh mungkin. Serangan musuh menjadi amat terhad dan jika anda bernasib baik, serangan musuh akan tersasar ke dinding!

Anda juga disarankan berada di suatu ruang yang hanya membenarkan seorang atau dua musuh sahaja yang boleh melalui sesuatu kawasan tersebut seperti di atas jambatan atau lorong yang sempit. Dengan demikian, anda tiada masalah berhadapan dengan musuh yang ramai.

Segala yang dibincangkan adalah sekadar lontaran idea bagi merangsang minda sekiranya anda menghadapi situasi berhadapan musuh yang ramai. Semoga beroleh manfaat dari apa yang dibincangkan. InsyaAllah.

Wallahua'lam

SENAMAN PILIHAN - TEKAN TUBI

Salamun Alaik,


Tekan Tubi merupakan salah satu senaman yang amat universal dan mempunyai pelbagai manfaat. Ianya menggunakan berat tubuh dan daya tarikan graviti sebagai beban. Tekan Tubi juga merupakan senaman yang tidak memerlukan ruang yang besar dan boleh dilaksanakan dengan pelbagai kaedah. Manfaat utamanya adalah dapat memberikan kekuatan dan keseimbangan kepada pengamalnya.

Dalam aspek beladiri, latihan tekan tubi amat dititikberatkan kerana ianya mampu menguatkan otot-otot seperti Deltoid, Triceps, Pectorilis, Pectorilis Major, Latissimus Dorsi dan Rectus abdominis. Sebgai contohnya, kekuatan otot Deltoid (bahu) mampu menghasilkan penumbuk yang kuat kerana bahu merupakan IBU GERAK kepada pergerakan tangan. Manakala. kekuatan otot rectus abdominis (bahagian abdomen/otot perut) mampu memberikan kekuatan sewaktu melakukan tendangan.

Untuk melaksanakan Tekan Tubi dengan sempurna, pastikan belakang badan adalah dalam keadaan tegap dan kaki berkeadaan lurus. Sewaktu gerakan turun, pastikan bahagian badan hadapan tidak menyentuh lantai. Bagi wanita pula, disyorkan lutut menyentuh lantai dan tekan tubi hanya melibatkan bahagian atas tubuh sahaja. 

Tekan Tubi mempunyai pelbagai kaedah dan variasi. Setiap kaedah akan memberi manfaat yang berbeza. Antaranya;
1. Tapak Tangan (biasa)
2. Penumbuk
3. Jejari
4. Jarak Lebar (lepasi jarak bahu)
5. Segitiga (tengah dada)
6. Tepuk
7. Belakang Tangan.

Setiap kaedah ini pula , anda boleh melaksanakan dengan tempo yang berbeza. Jika dilakukan dengan pantas, ia akan meningkat KUASA OTOT manakala jika dilakukan dengan perlahan, ia akan meningkatkan DAYA TAHAN OTOT. Bagi yang mengamalkan Tekan Tubi untuk meningkatkan Tenaga Dalam pula, setiap ulangan 20 dilaksanakan secara menahan nafas. 

Bagi pandangan saya, Tekan Tubi merupakan senaman yang ringkas dan mudah tetapi hasilnya amat mengagumkan. Saya sendiri telah menggariskan syarat kepada murid2 di bawah bimbingan saya agar mencapai had limit bilangan tekan tubi yang telah ditetapkan untuk kenaikan bengkong (syarat tambahan). Untuk bengkong putih = 20 kali, hijau = 30 kali, merah = 50 kali, kuning = 70 kali dan hitam = 100 kali. Semoga apa yang dikongsikan mampu memberi manfaat buat semua.

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...