Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA
Showing posts with label kongsi Ilmu. Show all posts
Showing posts with label kongsi Ilmu. Show all posts

Tuesday, July 28, 2015

KONGSI ILMU : KEKUATAN OTOT DALAM SUDUT BIOLOGI

Salamun Alaik;
 Gambar Hiasan

Kekuatan Fizikal merupakan salah satu elemen yang penting dalam aspek Ilmu Beladiri. Untuk meraih atau mencapai kekuatan fizikal ini, terlebih dahulu kita perlu tahu bagaimana perkaitan kekuatan itu secara biologinya. Tubuh kita terdiri daripada sekumpulan otot rangka yang menyeliputi sistem rangka dan menyambung tulang dengan tulang yang lain. Otot bekerja secara bertentangan. Satu menguncup dan bahagian antagonisnya akan mengendur. Manakala sebahagian lain akan bertindak sebagai penstabil dan menyeimbangkan tubuh. Pada setiap otot ini, ianya akan  bersambung dengan sistem saraf yang dipanggil neuron motor. Neuron motor ini pula berfungsi merangsang gentian otot untuk proses penguncupan. Setiap unit motor akan mengawal sekumpulan otot, jika tubuh kita ingin melakukan kerja yang melibatkan suatu daya yang besar, ia memerlukan unit motor direkruit dengan lebih banyak. Ianya dapat dilakukan apabila neuron motor menghantar RANGSANGAN TAMBAHAN. Selain itu, semakin banyak cabang neuron motor yang terbentuk pada sekumpulan otot, maka semakin tinggi daya yang diterima oleh gentian otot untuk menguncup. Proses penguncupan juga memerlukan tenaga ATP (selain ion Kalsium). ATP ini diperolehi daripada  hasil sintesis Kreatin Fosfat dan Glikogen dalam sel otot (metabolisme) dan juga sumber glukosa dan asid lemak dalam aliran darah. ATP akan ditukarkan kepada ADP untuk mendapatkan TENAGA.

Secara ringkasnya, untuk menghasilkan OTOT YANG KUAT;
1. Latihan yang spesifik bagi melatih neuron motor mampu untuk membuat rangsangan tambahan.
2. Latihan yang konsisten dengan kaedah yang betul membantu neuron motor membentuk cabangnya dengan lebih banyak.
3. Diet yang betul agar otot sentiasa mempunyai cukup sumber glikogen dan glukosa untuk ditukarkan kepada ATP.
4. Memakan sumber Daging Merah supaya dapat membekalkan sumber Kreatin yang mencukupi. Kreatin mampu membekalkan sumber fosfat agar ADP yang terhasil mampu ditukar kembali kepada ATP. 
5. LATIHAN TAFAKKUR (MEDITASI) supaya memiliki Mental dan Fokus yang tinggi kerana ia membantu sistem biologi berkerja secara maksima dan cekap.
6. TEKNIK PERNAFASAN yang betul agar sel mendapat bekalan oksigen yang sempurna dan membantu proses respirasi sel (hasilkan tenaga) dengan optimum.
7. ILMU GERAK BAYANG yang mampu merangsang SISTEM SARAF dengan penghantaran Impuls yang pantas melalui neuron-neuron transmitter ke OTAK dan OTOT.


InsyaALLAH, dengan kefahaman yang ada serta BERAMAL secara ISTIQAMAH, kita mampu memperolehi KEKUATAN OTOT dan TUBUH yang TINGGI.

*tidak semestinya ada sekumpulan otot yang besar untuk menjadikan seseorang itu kuat secara fizikalnya tetapi ianya lebih berkait dengan berapa jumlah MOTOR UNIT yang direkruit sewaktu sesuatu kerja dilakukan. Namun, jika memiliki otot yang besar dan sistem MU yang baik, maka ia lebih sempurna.

Wallahua'lam.


Friday, July 3, 2015

KONGSI ILMU : ASAS ELAKAN PERINGKAT ASAS

Salamun Alaik;
ASAS PELAJARAN adalah yang paling UTAMA untuk diKUASAI sebelum dapat mempraktikkan PETUA

Dalam Keilmuan Gayong, suatu silibus telah digubal dan disusun secara sistematik agar anak-anak Gayong yang turun ke gelanggang dapat berlatih mengikut tahap mereka secara ansur maju. Selepas berjaya menguasai latihan psikomotor dan biomekanik yang betul secara fizikalnya, murid-murid sepatutnya diberikan KEFAHAMAN "KENAPA DAN MENGAPA" ianya perlu digerakkan sedemikian.

Dalam ASAS ELAKAN, perlunya mengaplikasinya semula ILMU yang ada dalam ASAS GERAKAN. Ianya ada KESINAMBUNGAN. Jika gagal faham atau tidak tahu apa kesinambungannya, itu menandakan kelemahan bagi pihak Jurulatih. Seharusnya, Jurulatih yang memainkan peranan memberi penerangan dan penegasan bagi setiap SENI yang perlu dipraktikan sewaktu melaksanakan latihan ASAS ELAKAN. Apakah SENI tersebut? Jawapannya ada pada GURU kalian dan MODUL - MODUL ASAS KEJURULATIHAN!

Bagi Asas Elakan, setiap peringkat akan didedahkan sebanyak 7 buah dengan KONSEP yang berbeza.Konsepnya adalah seperti berikut;

1. Tangan - Tangan
2. Tangan - Kaki
3. Kaki - Tangan & Kaki - Kaki.

Untuk entri kali, kita akan bincangkan TUJUAN bagi setiap Asas Elakan bagi Peringkat Asas diajar. Sebelum kita bincangkan secara lebih detail, elok kita ulangkaji Asas Elakan Peringkat Asas (mengikut Silibus di Pusat Latihan Tertinggi Air Kuning,Perak).

1. Sangga Sisi
2. Sangga Bumi
3. Sangga Langit
4. Yoi Luar
5. Cekak Harimau Jantan
6. Yoi Dalam
7. Patah Alu

Kesemua Asas Elakan ini dipraktikan dari serangan pihak lawan secara TUMBUK PINTAL TALI bertapak. Kenapa Tumbuk Pintal Tali dan bukannya dari serangan tangan yang lain? Sila cari jawapannya.

Bagi Asas Elakan yang pertama hingga ketiga, sebenarnya murid Gayong didedahkan dengan serangan tangan dalam 3 ARAS BERBEZA. Secara ringkasnya seperti berikut;

1. Sangga Sisi - Separas Bahu
2. Sangga Bumi - Serangan Ulu Hati dan ke bawah
3. Sangga Langit - Serangan ke arah muka.

Namun, ianya dilatih pada satu aras iaitu separas bahu supaya murid Gayong berlatih dalam mode yang lebih sukar sewaktu di gelanggang. InsyaALLAH jika dalam situasi yang sebenar ianya pasti menjadi lebih mudah mengikut pergerakan fitrah manusia.

FOKUS latihan yang ke-2 adalah perletakan tangan sewaktu melaksanakan Elakan. Perbuatannya mestilah mengikut dan menepati HUKUM TUAS, KESEIMBANGAN DAYA dan BIOMEKANIKnya. Dengan mempraktikan kesemua hukum sains diatas, InsyaALLAH, sedikit daya yang kita kenakan mampu mengatasi daya musuh yang lebih besar selain mampu bergerak dengan pantas dan seimbang.

FOKUS latihan yang ke-3 pula menitikberatkan PERLETAKAN PANDANGAN. Dimana seharusnya murid Gayong waspada. InsyaALLAH, dengan mendedahkan sedikit PETUA ini mampu memberikan respon yang pantas sewaktu melaksanakan Elakan.

FOKUS latihan seterusnya adalah berkaitan YOI yang telah dipraktikan sewaktu berlatih ASAS GERAKAN. Gunakan YOI ini bagi mengalih kedudukan badan dengan pantas dan berkesan. 

FOKUS latihan terakhir yang ingin dikongsikan dalam entri kali ini adalah berhubung FALSAFAH GERAK. "GERAK ADALAH SATU DAN TIADA BERPISAH". Seperti yang kita maklum, sewaktu melaksanakan perbuatan elakan terdapat 2 PERBUATAN UTAMA iaitu ELAK dan TANGKIS. Maka, satukan ELAK DAN TANGKIS menjadi SEGERAK.

Bagi Asas Elakan yang ke-4, murid Gayong didedahkan dengan ASAS YOI luar. Kemahiran menyusun tapak, menumpang tapak dan menghulur tapak berdasarkan keluasan Tapak Kekuda mengikut Teori Segitiga atau Segiempat amat ditekankan supaya murid Gayong dapat mengalih dan berkalih dengan lancar.

Bagi Asas Elakan ke -5, ia merupakan pendedahan kepada ASAS MENANGKIS secara MENGUAK yang didasari oleh Gerak Tangan Kanan. Ianya berbeza dengan Elakan awal yang kesemuanya menangkis menggunakan Tangan Kiri (hadapan). FOKUS juga diberi kepada PETUA RUANG agar murid Gayong dapat menganggak serangan musuh itu mengarah keluar atau ke dalam.

Bagi Asas Elakan ke-6 ianya agak istimewa kerana ia satu-satunya kaedah mengelak ke dalam. Tapaknya sama seperti Elakan 4 tetapi Kuak Tangannya mengikut Elakan 5 (versi songsang). Fokus disini adalah kedudukan kaki dan ianya juga mengikut Dasar Petua Tapak Segitiga.

Dan bagi Asas Elakan ke-7, Ianya mempraktikan gabungan Kalih badan (Elak 1,2,3), Langkahan ( Elak 4 @ 6) dan Kuak Tangan (Elak 5) iaitu SENI yang ada pada Elakan sebelumnya. Fokus diberikan kepada kesempurnaan Asas Elakan sebelumnya supaya murid Gayong dapat melaksanakan Elakan 7 dengan mantap. 

Begitulah secara ringkasnya perbincangan berkaitan ASAS ELAKAN peringkat asas. Namun ia sebenarnya amat bermakna kerana "PETUA HANYA DAPAT DIPRAKTIKKAN SEKIRANYA ASAS PELAJARAN DIKUASAI SEPENUHNYA". Jika tidak PETUA yang dianggap ILMU TERTINGGI ini hanya menjadi sekadar hiasan dibibir semata-mata.

Wallahua'lam.

Tuesday, March 31, 2015

KONGSI ILMU : TUJUH DASAR ELAKAN

Salamun Alaik;
Sandang Panglima Pelangi Hitam @ Ketua Gurulatih Negeri menanggung AMANAT ILMU yang berat bagi ambo

Dalam Keilmuan Gayong, terdapat pelbagai jenis Elakan yang terdiri daripada puluhan malah ratusan bilangannya dari Asas Tangan Kosong hinggalah 21 Seni Senjata. Namun, secara DASARnya ianya terbit dari TUJUH KONSEP sahaja iaitu;

1. KELEK BATANG

2. KISAR TAPAK

3. MENGALIH TAPAK

4. YOI TAPAK 3

5. SELAYANG PANDANG

6. YOI TAPAK 4

7. TERKAM HARIMAU

TUJUH KONSEP inilah PEDOMANnya sehinggalah berpuluh malah beratus jenis Elakan dicipta dan diolah. Bagaimana bentuk dan kefahamannya? Seeloknya berjumpalah GURU kerana ianya ibarat "DAYUNG SUDAH DITANGAN, PERAHU SUDAH DI AIR"... Ambo telah buka jalannya, yang tinggal lagi usaha untuk MENGADAP DAN MENADAH ILMU DENGAN GURU.

Wallahua'lam.

Sunday, March 29, 2015

KONGSI ILMU : PETUA BERSENJATA

Salamun Alaik;
 Senjata yang menggunakan sebelah tangan
Senjata yang menggunakan sebelah atau 2 belah tangan.

Dalam Keilmuan Gayong, seseorang Jurulatih akan diperturunkan PETUA MENGENAL SENJATA DAN KAEDAH "MAINNYA". Petua ini amat penting kerana ia menjadikan seseorang itu MAHIR selok belok semua jenis senjata samada untuk menghadapinya atau menggunakannya sebagai senjata membela juga untuk menyerang.

Di ruangan ini, ambo kongsikan beberapa PETUA nya secara UMUM agar sedikit sebanyak dapat membuka minda dan usaha untuk lebih mengenalnya dengan berjumpa GURU. Tiga di antaranya;

1. BENTUK HULU atau pemegangnya.

    a.Hulu samada dipegang sebelah tangan atau 2 belah tangan.
    b.Kaedah genggamanya.

2. BENTUK BILAH
    a. Samada lurus, melengkung, renchong dll
    b. Saiz besar, kecil atau runcing
    c. Panjang, sederhana atau pendek.

3. JENIS MATA atau bahagian tajamnya.
    a. Mata sebelah
    b. Mata 2 belah
    c. Tajam di depan
    d. Tumpul di depan
    e. Mana2 kombinasinya

Dengan mendalami ketiga PETUA ini, InsyaALLAH seseorang Pesilat itu akan lebih mahir dengan selok belok senjata dan permainannya. Sekian dulu dari ambo. Sekadar perkongsian yang sedikit dengan harapan tuan puan dapat berusaha merungkainya dengan lebih mendalam. Jadikan menuntut dengan GURU sebagai amalan dan budaya kita.

Wallahua'lam.

Thursday, February 5, 2015

KONGSI ILMU : LATIHAN KAKI PENTING UNTUK KEKUATAN DASAR

Salamun Alaik;

Latihan Kaki banyak membantu untuk pembesaran otot di seluruh badan

Dalam Latihan Silat, pesilat sering didedahkan dengan amalan  LATIHAN BERKEKUDA. Ianya adalah asas agar tubuh menjadi lebih stabil dan seimbang setelah otot-otot yang terlibat seperti Quadriseps, Hamstring, Gluteus, Gastrocnemius, Patella dan Erectus Spinae menjadi kuat. 

Latihan Kekuda

Namun begitu, bagi seseorang pesilat yang telah menjalani latihan rutin selama beberapa bulan dan ada yang mencecah bertahun-tahun, maka Latihan Berkekuda yang sekadar menggunakan beban tubuh (bodyweigth) semata-mata tidak lagi merangsang otot-otot yang terlibat untuk menambah dari aspek Daya Tahan, Kekuatan dan Kuasanya. Ini kerana sistem tubuh kita amat cepat mengalami ADAPTASI.  Bagi mengatasi keadaan ini, maka pesilat atau JURULATIH perlulah mengambil inisiatif agar otot anda sentiasa dilatih secara berkesan. Antara cadangan ambo adalah melakukan latihan-latihan yang menggunakan beban supaya menambah rintangan @ intensitinya seperti;

1. Squat

2. Deadlift


3. Leg Press

4. Leg Curl
5. Leg Extension
6. Lunges

Kebiasaannya, latihan seperti cadangan diatas "popular" hanya dilakukan di Gym atau mesti menggunakan Barbell atau Machine khas. Tetapi sebenarnya latihan diatas boleh dilaksanakan di gelanggang-gelanggang Silat dengan menggunakan KAEDAH TRADISI yang diajar oleh GURU-GURU TUA , yang mana pesilat akan menggunakan BEBAN TUBUH PASANGAN untuk menambahkan rintangan @ intensiti bagi otot yang ditarget. Contohnya seperti Video di bawah;

Squat menggunakan beban tubuh pasangan

Leg Press menggunakan beban tubuh pasangan

Lunges menggunakan beban tubuh pasangan

Seperkara lagi yang penting berkaitan Latihan Kaki terutamanya Squat, ia banyak membantu dalam proses perembesan HORMON TESTOSTERON secara semulajadi. Hormon Testosteron (Hormon steroids) ini amat penting dalam proses pertumbuhan otot dan tulang (tidak perlu kepada steroids sintetik) serta meningkatkan tenaga selain menjadikan sifat-sifat lelaki maskulin (Sifat Anabolik). Manakala sifat Androgenik bagi hormon testosteron ini adalah meningkat prestasi seksual dan pekembangan organ sekssual lelaki. Bagi wanita pula, ianya penting dalam menambah massa otot dan mengelakkan osteoporosis. 

Penurunan aras hormon testosteron ini bagi lelaki terutamanya boleh mengakibatkan pelbagai sindrom seperti kelesuan, keguguran rambut, emosi terganggu, pengurangan jisim otot dan tulang, masalah berkaitan seksual, lemak tubuh akan meningkat, pembentukan "man boobs", masalah jantung dan banyak lagi.


Semoga perkongsian ini beroleh manfaat buat semua.

Wallahua'lam.

Monday, January 19, 2015

KONGSI ILMU : SENI LEMBING

Salamun Alaik;

" Gerak Langkahan perlu mengikut Gerak Perbuatan dan bukannya Gerak Perbuatan yang mengikut Gerak Langkahan"

# Dan bagi yang mengetahui, inilah penerangan paling JELAS tentang apa itu SENI YOI. 

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...