Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Tuesday, January 29, 2019

SENI CHEKAK

Salamun Alaik,
Chekak sewaktu Tikaman Anak Sungai
(tiada suara)

Seni "MENANGKAP" pergelangan tangan sewaktu serangan tikaman dikenali sebagai CHEKAK dalam Keilmuan Silat Seni Gayong. Seni Chekak ini asasnya ada 4 kaedah dan 7 bersama pecahannya. Ada dipanggil dengan nama Chekak Jantan (kanan & kiri), Chekak Betina (Kanan & Kiri), Chekak Harimau Jantan, Chekak Harimau Betina dan Chekak Rajawali. Seni Chekak ini cukup berbeza dengan kaedah sambut ataupun pegang yang mana ia amat merbahaya kerana mudah terdedah dengan serangan susulan pihak musuh dan boleh memudaratkan tangan yang memegang itu.  Seni Chekak memerlukan pengetahuan dan kemahiran tersendiri agar perbuatan tangkap pergelangan ini boleh dipanggil CHEKAK.

Sebelum mampu menguasai, latihan khusus perlu dibuat secara ansur maju dengan tambahan beberapa petua. Seseorang yang telah menguasai kaedah Chekak ini mampu menangkap pergelangan setiap tikaman musuh walau pantas macam mana sekalipun. Selain itu juga, serangan balas atau gerak susulan juga mampu diatasi dengan cukup mudah seolah-olah ianya telah "terkunci". Bilamana Seni Chekak ini digabungkan dengan Seni Kuncian Sendi dan ditambahkan dengan kekuatan cengkaman jari, setiap tikaman musuh bukan sahaja mampu ditangkap kemas tetapi sekaligus ia mampu memusnahkan sendi pergelangan itu sendiri!

Tidak dinafikan sekali pandang atau melihat perbuatan tidak akan sama dengan belajar secara berGuru. Ini adalah punca utama kenapa ramai yang tidak mampu untuk menangkap dengan sempurna setiap tikaman lawan. Bila sekian lama berlatih tetapi masih gagal, Ilmu Gayong pula dipersalahkan. Ia amat tidak betul kerana belajar dan berGuru itu adalah 2 perkara yang amat berbeza. Belajar hanya beroleh TAHU tetapi berGuru InsyaALLAH mencapai FAHAM.

Wallahua'lam.

Sunday, January 27, 2019

PECAHAN ELAKAN PISAU

Salamun Alaik
Merujuk Sistem Pelajaran Gayong, setiap pelajaran yang didedahkan kepada murid-murid Gayong akan dimurnikan lagi melalui pelajaran PECAHAN buat Jurulatih dan seterusnya lebih "advance" buat Gurulatih. Disini tahap kecekapan dan kemahiran dapat dipertingkatkan selain memahami konsep serang dan elak dengan lebih mendalam.

Sebagai contoh dalam video di atas, ambo menunjukkan 3 pecahan elakan bagi pelajaran Seni Pisau dari 3 serangan asas iaitu Tikaman Anak sungai, Pasak Jantan dan Radak Sula. Bagi pelajaran Elakan di peringkat asas, setiap pesilat diajar bagaimana menghadapi serangan tersebut tetapi bagi pelajaran Pecahan untuk Jurulatih, setiap serangan yang dibuat perlu ada kemahiran untuk mengatasi elakan daripada pihak lawan pula. Dalam silibus di peringkat Pelangi Merah, terdapat 7 kaedah bagi setiap 3 jenis serangan pisau ini. Maka ada 21 buah kesemuanya yang boleh dijadikan contoh dan modul latihan bagi kecekapan dan kemahiran mengatasi elakan dari pihak lawan. Biar ada beza antara pelajaran murid dan pelajaran bagi tahap jurulatih dan Gurulatih. Barulah dipanggil Sistem yang baik!

Wallahua'lam.

Saturday, January 26, 2019

ELAKAN PISAU

Salamun Alaik;
Latihan Elak Tikaman Pisau SeGerak sewaktu Lawan mula menikam 

Saat berdepan dengan senjata Pisau, kita seharusnya lebih waspada berbanding sewaktu berlatih Seni Tangan Kosong. Asasnya, kita perlu menguasai beberapa kemahiran antaranya;

1. Membaca Gerak Lawan. Perlu tahu saat lawan ingin membuat serangan.
2. Membaca Jarak. Perlu tahu kedudukan kita agar tahu elakan mana yang paling sesuai. Tangan, kaki atau yoi.
3. Awas gerakan limbai tangan. Mungkin tubuh lepas tetapi sangkut pada tangan saat mengalih.
4. Mambaca jenis pegangan lawan pada hulu senjata. Ada 7 serangan asas, Anak Sungai, Pasak, Radak, Rembat Relang (Luar dan Dalam), Rembat Keli (Luar dan Dalam), Amok dan Hiris (Kelar).
5. Kaedah Gerak. Biasanya berlatih Elak SeGERAK. Kita mula gerak saat lawan mula gerak.
6. Chekak dengan seni yang sebenar dan bukannya sekadar pegang atau sambut. Ini cukup berbahaya jika tidak dipraktikkan Chekak dengan betul. Terlalu ramai yang berlatih atau diajar hnaya dengan kaedah sambut atau pegang sahaja!
7. Perlu mengenalpasti ANATOMI DAN SIFAT PISAU itu sendiri secara fizikalnya dan ANATOMI DAN BIOMEKANIK PENGEMUDINYA.

Setiap kemahiran ini pula memerlukan penjelasan yang lebih lanjut oleh Guru di gelanggang. Ia amat penting kerana masih banyak TIPS dan PETUA yang belum dirungkai. Selain itu,  latih tubi juga perlu supaya kita beroleh gerak refleks melalui "muscles memory".

Wallahua'lam.

Wednesday, January 23, 2019

GELOMBANG OTAK

Salamun Alaik,
Amalan Kerohanian, Tenaga Kebatinan dan Olahan Tenaga Dalam merupakan sebahagian daripada Ilmu Persilatan. Ianya jarang didedahkan kepada umum kerana Keilmuan ini termasuk dalam Pelajaran SULIT. Ia juga sebagai pelengkap kepada Ilmu Persilatan Fizikal yang sering dipertontonkan buat umum.

Dalam Keilmuan Gayong, terdapat pelbagai AMALAN DAN RIADAH ini seperti Wirid, Zikir, Isim, Doa, Nafas Gayong, Jabat, Jurus, Bertapa, Memutih dll. Dengan mengamalkan setiap Amalan dan Riadah ini, pastinya ada kesan langsung dan tidak langsung terhadap Minda dan Tubuh kita. Salah satunya adalah berkaitan dengan FREKUENSI TUBUH & GELOMBANG OTAK.

Seperti yang kita maklum, tubuh manusia terdiri dari bio-elektrik manakala otak sentiasa berubah-ubah gelombangnya samaada dalam frekuensi Beta, Alpha, Delta, Theta, Gamma, Lambda dan juga Epsilon. Yang asasnya adalah 3 yang biasa iaitu Beta (sedang bekerja), Alpha  (rehat,tenang,solat) dan Delta (tidur nyenyak). Setiap bentuk gelombang ini memberi kesan kepada keupayaan dan kemampuan diri. Malah jika tidak pandai mengurus diri, mungkin boleh mengganggu frekuensi dan aktiviti otak seterusnya mengakibatkan masalah neuron yang mudah memberi kesan negatif kepada otak.

Seorang pengamal Silat biasanya akan didedahkan dengan beberapa amalan yang memungkinkan mereka mengolah frekuensi tubuh dan juga gelombang otak. Mampu menguasai Minda Bawah Sedar sewaktu gelombang otak Theta dan seterusnya memberi saranan-saranan magis yang memberi kesan langsung untuk otak menjalankan tugasnya mempengaruhi keseluruhan fungsi tubuh. Namun begitu, untuk mencapainya bukan sesuatu yang mudah. Perlu ada kaedah khusus dengan syarat-syarat yang agak sukar. Tetapi ianya tidak mustahil dan telah ramai sebenarnya yang mampu mencapai gelombang otak ini setelah berusaha secara gigih tanpa putus asa. Frekuensi 7.83 hz berupaya menjadikan manusia itu seperti seorang supernatural dengan keupayaan yang luar biasa.

Begitulah ulasannya kenapa perlu kepada amalan-amalan khusus tertentu dalam Silat seperti Berpuasa Memutih, Bertapa (elak dari berbicara dan berhubung dgn org lain disamping beramal dgn wirid-wirid tertentu), Olah tenaga dalam menerusi riadah jabat dan nafas, pembacaan mentera-mentera tertentu dengan teknik sebutan khusus (bergetar di dada), dan banyak lagi yang rasanya kurang sesuai dibicarakan secara terbuka. Walau apa pun yang diamalkan ini sebenarnya ada kelebihan-kelebihan tersendiri yang mampu dirungkaikan misterinya secara saintifik. Dan ianya sama sekali tiada kaitan pun dengan unsur-unsur syirik,karut,khurafat dan juga melibatkan jin setan!

Semoga ulasan kali ini memberi pencerahan berkaitan frekuensi tubuh dan gelombang otak serta kaedah untuk mencapainya. Semoga ia mampu memberi keterujaan kepada pembaca dan peminat Silat untuk menggali Ilmu sebegini dan berusaha mengkaji serta memahaminya melalui pembacaan Ilmiah.

Wallahua'lam.

Monday, January 21, 2019

SISTEM PELAJARAN

Salamun Alaik,
3 tokoh hebat penggubal Sistem Pelajaran Gayong pada zaman yang berbeza

Sistem merujuk kepada suatu kaedah, prosedur, mekanisma dan organisasi yang terperinci dan saling berkait antara satu sama lain samaada secara langsung atau tidak untuk mencapai sesuatu objektif. Dalam konteks Pelajaran Silat Seni Gayong, Almarhum Mahaguru telah beberapa kali meminta Gurulatih Kanan beliau untuk menyusun atur dan memurnikan Sistem Pelajaran. Sistem Pelajaran ini bukan hanya tertakluk kepada Sukatan Pelajaran semata-mata tetapi ianya meliputi Peringkat Bengkong, Tahap Kegurulatihan, Ujian Kenaikan Bengkong, Kursus Kegurulatihan, Yuran-yuran, Ujian Ketahanan Diri, Amalan Kerohanian dan banyak lagi. Objektifnya hanya satu iaitu KEMENJADIAN ANAK GAYONG ( akan dibincang dalam post akan datang).

Tidak dinafikan Almarhum mengajar Ilmu yang berbeza-beza mengikut kepada Zaman, tempat dan individu. Selaku Mahaguru yang mempunyai Hak Mutlak atas Ilmu yang diperturunkan, setiap perbezaan itu ada cerita disebaliknya. Kita sebagai anak Gayong perlu akur dan sedaya upaya mencari titik persamaan. Titik Persamaan ini mampu diterjemahkan melalui satu pendekatan menyusun dan menyatukan semua pelajaran yang dikumpul di bawah SISTEM PELAJARAN. Dan Sistem ini juga telah melalui beberapa evolusi dalam usaha mencapai yang TERBAIK. Asasnya perlu faham antara Keilmuan Gayong dan Sistem Pelajaran Gayong. Dan Sistem ini bermula dari Woodlands kemudian dimurnikan sewaktu di Kota Sarang Semut dan seterusnya disempurnakan di Pusat Latihan Tertinggi Ayer Kuning. Namun ada beberapa negeri dalam tempoh tersebut mewujudkan sendiri Sistem Pelajaran mereka seperti di Selangor/KL

Panglima Singa Malaya adalah Gurulatih yang paling layak dan bertanggungjawab dalam menggubal Sistem Pelajaran dibantu oleh Majlis Gurulatih yang bertindak sebagai penggerak dalam pengurusan pentadbiran, pelaksanaan dan penguatkuasaan. Setiap Panglima Singa Malaya sepatutnya mempunyai Ilmu yang cukup dan mampu menggubal satu SISTEM yang tersendiri supaya setiap anak Gayong dapat memanfaatkan Ilmu Gayong secara sistematik dan diajar mengikut tahap serta kebolehannya. Yang penting Objektif Kemenjadian Anak Gayong itu tercapai. Maka disinilah Ilmu Gayong itu makin bercambah dengan Ilmu Pecahan, Pelajaran Tambahan serta Ilmu Khas yang diajar secara ansur maju melalui peringkat Bengkong dan Tahap Kegurulatihan.

Ilmu yang diperturunkan oleh Almarhum Mahaguru terlalu banyak. Sebagai contohnya, Buah Pukul sahaja boleh mencecah berpuluh-puluh. Disini perlu satu susunan dan sistem agar ia dapat diterjemahkan dengan baik kepada anak-anak Gayong generasi baru. Disusun yang terbaik sebanyak 21 buah bersandarkan 7 pergerakan gerak pukul yang sama konsep. 7 dipecah 3 mencukupi 21 manakala di peringkat Jurulatih ianya dipecah kpd 7 mengenapkan 49 Buah kesemuanya. Untuk melengkapkan anak Gayong dengan Buah Pukul, ia dimulakan dengan Asas Elak diikuti Elak Pukul dan Pecahan Elakan. Semuanya adalah kesinambungan gerak balas yang mungkin oleh pihak lawan. Kemudian, Buah Pukul ini pula dibahagikan kepada beberapa Seni antaranya Buah Pukulan Maut, Buah Kombat, Super Kombat, Serangan Bapak Harimau dsbnya.

Sama juga dengan Kuncian Pisau sebagai contoh. Buah Kuncian diambil kira dari 3 jenis Serangan asas iaitu Tikaman Anak Sungai (7 buah), Pasak Jantan (7 buah) dan Radak Sula (7 buah). Ia diajar secara berselang seli agar memberi kefahaman buat pelatih walaupun belum habis mempelajari kesemua 21 buah. Di peringkat Jurulatih, terdapat Buah Kuncian daripada pecahan bagi setiap 3 serangan asas tadi seperti Tikam Amok, Pasak dan Rembat, Radak dan Rembat dll. Buah-buah yang dipilih itu seeloknya janganlah yang berulang seperti kaedah ambil Anak Sungai dan Pasak memang berbeza tetapi selepas itu disudahi dengan buah yang sama. Cari yang unik dari buah pisau yang pernah diajar oleh Almarhum. Yang selebihnya jadikanlah buah pecahan atau sebagai selingan dalam Kursus-kursus jurulatih.

Seperkara lagi yang hendak dibincang kali ini berkaitan Sistem yang diajar untuk menguasai Buah Kuncian. Setiap Buah Kuncian mestilah terlebih dahulu diajar dengan Asas Elakan dan Elak Pukul serta Pecahan Elakan. Mana mungkin suatu Sistem yang baik jika dalam sukatan tidak didedahkan dengan pelajaran Elak pada awalnya tetapi sewaktu belajar Buah Kuncian tiba-tiba keluar kaedah elak yang belum pernah diajar. Bukan tidak boleh tetapi kita bicarakan soal SISTEM yang mempunyai satu sukatan yang sistematik. Sehingga kini memang ada Sistem yang menggunakan kaedah yang agak kebelakang ini. Dimana fungsi Pengarah Pelajaran dan Majlis Gurulatih? Belum ambil kira yang memakai Panglima Singa Malaya tapi masih bertatih menghabiskan sukatan pelajaran yang sedia ada. Mana mungkin berfungsi untuk menggubal Sistem jika sukatan sedia ada dibawah Sistem terdahulu pun belum dikuasai. Begitulah punahnya sebuah sistem kerana sistem pelajaran ini bukan hanya melibatkan sukatan pelajaran tetapi penyandang sandang yang betul pun termasuk dibawah sistem pelajaran ini.

Sebagai rumusannya, Ilmu Gayong cukup banyak dan luas. Ia juga berbeza diantara satu sama lain. Namun perbezaan ini boleh diuruskan dengan baik dan sistematik dibawah satu SISTEM PELAJARAN yang sempurna. Ilmu tidak diubah tetapi Sistem boleh berubah-ubah dalam usaha mencapai KEMENJADIAN ANAK GAYONG. SISTEM PELAJARAN menjadikan proses pembelajaran dan organisasi yang mengurus menjadi lebih teratur dan lancar. Itu yg sepatutnya.....

Wallahua'lam.

PESANAN BUAT PENGAMAL SILAT SENI GAYONG

Salamun Alaik;


Dalam kesibukan berlatih Silat di gelanggang-gelanggang, jangan dilupakan dengan segala PENGISIAN ROHANI dan ILMU KEBATINAN. Persiapkan diri kalian dengan segala amalan-amalan yang diperturunkan oleh sekian GURU terutamanya Amalan Qulhu sebagai "pakaian diri". Usahakan diri menjalani Khatam Qulhu 70k dan yang berbengkong Hitam itu semoleknya genapkan 7 kali Khatam serta Amalan Memutih. Jadikan Ayat Perang dan Ayat Hulubalalang sebagai WIRID HARIAN. Dan jangan lupa tutup amalan kalian dengan AYAT 9 serta SELAWAT 300x. Kepada yang telah ditauliahkan dengan ISIM BUDDUH, AMALAN HULUBALANG dan AMALAN IMAM PERANG pula teruskan ISTIQAMAH agar mampu MEMIMPIN komuniti setempat jika berlakunya DARURAT. Sediakan payung sebelum hujan.Jangan tunggu SEMBOYAN barulah terngadah.

Wallahua'lam

BERGURULAH SELAGI ADA HAYAT GURU

Salamun Alaik;


Ilmu yang kita perolehi melalui perantaraan Guru. Dari bertatih dalam gelanggang sehinggalah memangku gelaran jurulatih dan ada melebihi gelaran daripada Guru sendiri. Mengikut Adat berGuru, usahlah terlalui mengikut hawa mengejar "sesuatu" walaupun biasanya akan dinafikan dengan pelbagai alasan dan helah. Bila Guru memakai bengkong jangan melebihi had Guru, bila Guru berSandang juga jangan melebihi had Guru.Walaupun nampak sukar namun ada hikmah disebaliknya. 

Guru juga sentiasa memerhati sekelian muridnya. Walaupun nampak tidak peduli, percayalah, setiap lenggok perjalanan murid sentiasa diselusuri oleh Guru. Kadang-kadang tumpang bangga bila muridnya sudah berjaya walaupun melalui guru lain. Sedih hati akan cuba diselubungi walau diri sudah lama tidak dipeduli. Mungkin tiada apa yang boleh diberi, terutama jawatan atau gelaran yang tingi-tinggi. Namun percayalah, hanya Guru asal yang mampu beri teguran setiap cacat cela yang ada pada gerak geri kita. Segala yang sumbang dan kelemahan hanya sekilas pandang dapat Guru menduga dan memperbaiki diri.

Perangai Guru sememangnya tidak mencurah hanya kepada seorang. Setiap murid akan beroleh kelebihan dan kekurangan mengikut kadar kemampuan dan kesetiaan. Sedikit sebanyak pasti ada yang sulit sebagai bekalan untuk yang PALING SETIA. Firasat Guru jarang tersasar. Disaat hayat dipenghujung dikala itu yang paling beruntung. Maka , sentiasalah menadah dengan Guru selagi hayatnya masih ada. Mungkin hanya sedikit penambahan Ilmu, tetapi teguran Guru mampu mengubah gerak geri kita jadi sempurna. 

Oleh yang demikian, selalu lah berdamping dengan Guru. Carilah ruang masa untuk perbaiki gerak geri diri dengan persembahkan di depan Guru. Kesempurnaan itu memang sukar namun ianya mampu diperolehi dengan keazaman dan usaha yang tinggi. Jika terasa gerak geri serta perbuatan Silat itu tidak mampu dipraktiskan atau dengan kata lain, kurang lojik dalam pertempuran, itu sebenarnya adalah kelemahan pada diri kita sediri. Cari jalan dengan mengadap Guru untuk dapat merealisasikan perbuatan yang sebelum ini dianggap mustahil dan tidak masuk akal. Kuncinya adalah kembali mengadap Guru. DISITU ADA JAWAPANNYA. Hargailah mereka kerana BERKAT dan SANAD ILMU itu melalui PERANTARAAN GURU. Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat buat semua.

Wallahua'lam.


Saturday, January 19, 2019

MENYALAHKAN KEHENDAK LAWAN

Salamun Alaik;


Realiti pertempuran sebenarnya perlu  membezakan antara teknik yang berkesan dengan buah-buah latihan di gelanggang. Ia cukup berbeza. Tetapi untuk mendapatkan Teknik yang benar dan berkesan memerlukan latihan buah-buah tersebut digelanggang terlebih dahulu. Maknanya kedua2nya saling memerlukan.

Selain itu, antara pengetahuan yang penting sewaktu pertempuran dengan musuh adalah "perlu menyalahkan kehendak musuh". Apa sebenarnya kehendak musuh itu? Ianya adalah sesuatu yang kompleks tetapi ada beberapa tips dan petua.

Antaranya adalah bilamana berdepan dengan musuh yang biasa dengan martial arts, musuh memang mengharapkan kita berdepan dengan memasang kekuda yang universal, iaitu tarik kaki kanan belakang dengan gaya tangan dihadapan. Jadi senang untuk musuh mengagak serangan dan belaan kita. Oleh yang demikian, dalam Keilmuan Gayong itu sendiri ada mengajar pelbagai kaedah bertapak kekuda. Pasang kekuda mengikut gaya dan kaedah musuh. Kekadang kekuda Alif juga amat berkesan bila berdepan musuh yang mahir dalam martial arts kerana kita menyembunyi tindakan awal kita bila dalam kedudukan berdiri lurus. Gaya Tapak Songsang juga boleh menyalahkan kehendak lawan (antara kelebihan Silat Spelet).Itu diantara Ilmu yang didedahkan kepada anak-anak Gayong agar sikap dan perbuatan kita sentiasa MENYALAHI KEHENDAK pihak musuh!

Masih banyak yang perlu dibincang dan dikupas. Cukup dahulu dalam diskusi kali ini. Yang penting kita perlu faham, jangan sesekali kita guna ILMU kita untuk memudahkan pihak lawan menumbangkan kita. Sentiasalah MENYALAHI KEHENDAK & PERMINTAAN pihak musuh. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Selebihnya akan ambo kongsi dalam Kursus-kursus Pembantu Jurulatih dan Jurulatih.

Wallahua'lam.

Friday, January 18, 2019

KEMBALI KEPADA ASAS

Salamun alaik,


Dalam mengejar pelajaran-pelajaran yang tinggi sehinggakan kadang-kadang melangkaui Adat dan Adab Ilmu, tetapi banyak hal yang ASAS masih belum kuasai dan mengerti sebenarnya. Masih ramai yang keliru dan yang tidak pernah ambil tahu soal ASAS walaupun ianya AMAT PENTING dalam Pertempuran seperti Konsep Kekuda, Perletakan Pandangan, Sudut Bertempur, Perletakan Tangan Menanti, Kaedah Susun Tapak, Aturan Nafas, Kehendak Musuh, Sistem Biologi Tubuh, Faktor Alam termasuklah bagaimana untuk menghilangkan gugup atau membuang perasaan takut berdepan pihak musuh.

Ambil satu contoh untuk dibincangkan. Perletakan Tangan sewaktu menanti. Sewaktu membuka tapak, kedua tangan akan diarah ke hadapan. Persoalan yang berbangkit adalah;
1. Apa fungsi bagi setiap satunya. Tangan kanan dibelakang dan tangan kiri dihadapan ataupun tangan kiri dibelakang dan tangan kanan dihadapan.
2. Perlukah meletak tangan dan apa kelebihannya?
3. Adakah perlu buka kepalan tangan atau genggam keduanya.ataupun satu buka dan satu tutup.
4. Berapa sudut dan sukatan sebenar mengikut ukuran tubuh pesilat?

Itu antara persoalan yang perlu dijawab oleh setiap dari anak Gayong terutamanya para Jurulatih. Sebab sebahagian besar langsung mengabaikan hal yang penting ini walauoun ianya adalah ASAS sewaktu berdepan pihak musuh. Dan ianya adalah pemula sebelum kita melaksanakan Elak, Tangkis dan menyalahkan perbuatan lawan.

Melalui pengamatan menerusi media-media sosial dan youtube, ada yang berbengkong Hitam pun masih "kosong" pengetahuan berkaitan isu ini. Main belasah sahaja mengajar anak-anak muda yang sedang bertatih. Sampaikan buka tapak, tangan tu seolah-olah bagi percuma kepada pihak lawan untuk menarik atau menyentap ke depan. Terlampau menghulur. Sedangkan dalam Keilmuan Gayong ini cukup terperinci. Setiap Gerak Geri ada SISTEM dan PETUAnya.

Bagi pandangan ambo, disinilah peri pentingnya FAKTOR GURU. Hanya yang benar-benar Guru yang mampu menunjuk ajar. Ilmu yang "Hidup" dan bukan hanya mengikut sukatan pelajaran yang baku secara tiru-tiruan. Belajar ini bukan semata-mata fokus kepada pengisian pelajaran tetapi kaedah mengajar juga perlu diberi perhatian.

Diharap pandangan dan diskusi kali ini dapat memberi pencerahan berkaitan hal ASAS yang perlu digali dan diberi perhatian. Jangan terlampau mengejar pelajaran yang tinggi-tinggi selagi hal yang asas masih lagi goyah. Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Rugi masa, rugi tenaga dan rugi wang ringgit. Ia umpama hendakkan Ilmu pada nama dan sijil semata-mata. Ilmu tu aku dah belajar. Ilmu ini aku dah berkursus. Ubah lah sikap jika benar-benar mau berGayong. Semoga beroleh manfaat.

Wallahua'lam.

Tuesday, January 15, 2019

GURU TUA, GURU LAMA DAN MURID LAMA

Salamun Alaik,


Post pertama bagi tahun 2019. Ambo InsyaALLAH, tahun ini akan lebih aktif menulis blog seperti 8-9 tahun sebelum ini. Kali ini ambo nak utarakan isu yang bagi ambo ramai anak-anak Gayong keliru iaitu panggilan atau gelaran kepada orang-orang lama dalam Gayong ini. Biasanya, generasi muda kini sukar nak membezakan antara Guru Tua , Guru Lama ataupun Murid Lama. Jumpa jer orang lama, terus sahaja dilabel Guru Tua. Sebenarnya ianya tidaklah tepat kerana gelaran GURU TUA itu sesuatu gelaran yang cukup tinggi bagi seseorang yang diiktiraf selaku GURULATIH KANAN ALMARHUM MAHAGURU YANG MEMPUNYAI KEILMUAN YANG TINGGI DAN DIPERCAYAI LAGI AMANAH. Bukan sekadar pernah belajar dengan ADMAR ataupun sekadar jurulatih biasa di zaman hayat ADMAR. Ia juga bukan merujuk kepada berapa lama sudah berGayong ataupun berapa tua umurnya sekarang. 

Gelaran Guru Tua ini diwujudkan sebagai Guru Rujukan bagi menggantikan Almarhum Mahaguru yang sudah berpendah alam. Maka, jika seseorang itu tidak termasuk dalam definisi selaku Guru Tua, jika mereka pernah menjadi jurulatih di zaman ADMAR bolehlah kita gelar mereka sebagai GURU LAMA @ Senior atau dengan panggilan trend terkini sebagai OTAI GAYONG. Jika pernah belajar dengan ADMAR tetapi tidak pernah ditauliah sebagai Jurulatih maka panggillah mereka dengan MURID LAMA @ Murid Tua. 

Kenapa perlu labelkan mereka? Bagi ambo ianya cukup penting kerana faktor ini dapat mengekal originaliti Keilmuan Gayong itu sendiri. Rujukan Utama adalah melalui Guru Tua dan yang selainnya bolehlah sekadar diambil cerita pengalaman mereka dan Ilmu mereka sebagai penambahan jika perlu. Namun begitu, selaku anak Gayong generasi muda, hormatilah mereka yang lebih tua dan senior. Pengelasan ini hanya sebagai panduan dalam kita mengenal kepada siapa yang patut dibuat Rujukan Utama dan memastikan Ketulenan  Ilmu yang dipelajari.

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...