Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Wednesday, September 9, 2009

GELANGGANG BERATAP LANGIT BERALASKAN TANAH

Salam semua

Kenapa para Guru lebih menggemari latihan silat diadakan di gelanggang yang beratap langit beralaskan tanah berbanding sebuah pusat latihan moden yang tertutup,berhawa dingin dan beralaskan mattres?
Sebenarnya, banyak kelebihannya jika berlatih di gelanggang beratap langit beralaskan tanah ini. Antaranya;
  1. Jika berlatih pada waktu malam, kecerahan yang samar-samar itu dapat melatih mata pesilat agar lebih fokus lagi.
  2. Jika berlatih pada waktu siang, dapat memberi lebih ketahanan kepada pesilat yang berlatih di bawah terik sinaran matahari.
  3. Kaki tanpa alas yang menyentuh tanah mampu mengeluarkan ion-ion negatif dalam badan terus menyerap ke dalam bumi.
  4. Prana bumi (tenaga dalam bentuk gelombang) akan mengalir masuk ke tubuh pesilat melalui tapak kaki yang tidak beralas.
  5. Melatih kelasakan tubuh badan pesilat itu sendiri.
  6. Mengingati asal kejadian dan tempat persemadian kita.
  7. Mengeratkan hubungan antara pesilat dengan alam.
Walaupun pusat latihan moden nampak lebih ekslusif dan selesa, tetapi kita perlu ingat yang berlatih di gelanggang konvensional itu lebih banyak manfaatnya. Adalah lebih baik kita sebagai jurulatih memberi kefahaman buat pesilat-pesilat kita akan kelebihan berlatih di gelanggang konvensional ini kerana ramai dikalangan mereka banyak merungut bila terpaksa berlatih beralaskan tanah dan di bawah terik sinaran matahari!

Kesimpulannya, selain mendapat ilmu. berlatih di gelanggang yang beratap langit beralaskan tanah ini mampu menjadikan tubuh kita lebih sihat dan bertambah lasak.

Wallahua'lam

KEPENTINGAN BERGURU

السلام عليكم

من لا شيخا فالشيطان شيخه
"sesiapa yang tiada guru maka syaitan akan menjadi gurunya"

Walaupun kebanyakan ulama' mengatakan ianya bukan hadis tetapi jika dirujuk kepada Ibnu Arabi dalam kitabnya Al Futuhat Al Makiah telah mentashih dan mengatakan kata-kata di atas adalah hadis manakala Syeikh Yusuf Hasani menjelaskan sekiranya berguru tidak penting maka Allah akan menurunkan Al-Quran sahaja dan tidak akan mengutuskan Rasul.

Oleh yang demikian, sebaik2 cara menuntut ilmu adalah melalui guru. Bila sudah berguru, jagalah pula adab-adab berguru supaya ilmu yang dipelajari mendapat berkat dari Ilahi.

Jika kita perhatikan kepada ulamak-ulamak yang tidak diperakui oleh ahli sunnah wal jamaah kebanyakannya hanya berguru dengan kitab-kitab sahaja lantaran kerana mereka menyangka mereka lebih hebat mereka sanggup menghina ulama-ulama muktabar seperti Imam Ghazali, Imam Syafei, Imam Bukhari dll. jelaslah secara tidak disedari mereka ini telah berguru dengan syaitan kerana syaitan amat anti kepada ulama-ulama muktabar dan syaitan sendiri mempunyai sikap ego dan sombong tidak mahu mengakui kelebihan Nabi Adam samalah juga dengan orang yang berguru dengan syaitan tidak mahu mengakui kelebihan ulamak lain.

Syeikh Ahmad Abu Hasan ada mengatakan tidak ditingkat darjat seseorang dengan membaca kitab-kitab tetapi diangkat darjat seseorang itu dengan berguru dengan guru yang bertaraf siddiq sambil membaca sepotong ayat Al-Quran.

يا أيها الذين آمنوا كونوا مع الصادقين

والله أعلم

SENI KAKI #7

KAEDAH LATIHAN


Bagi saya, pada peringkat awal latihan, anda perlu belajar tentang asas melakukan teknik – teknik tendangan dengan kaedah yang tepat. Pastikan anda berjaya melaksanakan dengan kaedah yang tepat untuk satu – satu teknik sebelum belajar teknik kaki yang seterusnya. Ini penting kerana pada peringkat awal, apabila anda melakukan sesuatu pergerakan, minda dan tubuh anda akan memberi rangsangan terhadap pergerakan tersebut. Sekiranya anda melakukan kaedah yang salah, minda dan tubuh anda akan tetap mengatakan ianya adalah kaedah yang betul. Pada peringkat seterusnya, amat sukar untuk anda perbetulkan kembali dan akhirnya menjadi sumbang untuk melakukan kaedah yang sebenar.


Apabila berjaya melakukan pergerakan kaki dengan kaedah yang tepat, sekarang masanya untuk anda membuat latihan untuk menambah kemantapan tendangan anda. Lakukanlah tendangan sehingga anda berjaya melakukan 100 kali untuk setiap kaki kanan dan kiri. Namun begitu, anda lakukanlah secara ansur maju dengan penambahan intensiti dan repetisi. Jangan terlalu terburu – buru kerana ianya boleh mendatangkan kecederaan kepada otot – otot kaki anda. Melalui prinsip ini, ianya dapat membantu otot – otot anda menyesuaikan kepada kehendak fizikal yang anda inginkan iaitu melakukan tendangan yang mantap secara berulang – ulang. Lama – kelamaan, daya tahan otot anda akan meningkat dan hasilnya, anda telah berjaya memiliki sekumpulan otot yang boleh melakukan tendangan dengan mantap tanpa berasa penat atau lesu.


Selain itu, kaedah yang perlu di ambil perhatian apabila anda berlatih untuk memantapkan teknik serangan kaki ialah anda perlu berlatih menendang ‘kicking target’ secara konsisten. Bagi saya, tiada alat lain yang sangat membantu dalam menghasilkan tendangan yang mantap dan tepat selain alat ini. Berlatihlah sehingga anda dapat melakukan tendangan yang sempurna dengan kelajuan yang maksimum. Kemudian, rakan anda akan mengubah paras ketinggian. Apabila sudah mahir dengan paras ketinggian yang berbeza, rakan anda akan menguji pula dengan meletakkan ‘kicking target’ secara rawak dan dalam tempoh yang singkat, anda perlulah melepaskan tendangan yang mantap dan tepat ke arah ‘kicking target’ tersebut.


Setelah anda berjaya melakukan pelbagai jenis tendangan dengan mantap, pantas dan tepat, anda perlu melakukan aktiviti seterusnya iaitu latihan serangan bebas atau ‘sparring’ bersama rakan anda. Latihan ‘sparring’ ini menguji anda dalam melakukan tendangan – tendangan secara spontan dan berlatih dalam situasi yang lebih realistik. Menerusi latihan ‘sparring’ ini, selain anda perlu melaksanakan tendangan dengan mantap, pantas dan tepat, kombinasi elemen seperti tapak kekuda, kaedah menanti, elakan dan tangkisan, serangan tangan, baca pergerakan dan kedudukan jarak perlu juga anda kuasai dan diaplikasikan bersama.


والله أعلم

SENI KAKI #6

KOMBINASI TENDANGAN

Teknik – teknik kaki yang telah dipelajari boleh digabungkan membentuk kombinasi tendangan yang berbahaya kepada pihak lawan. Kombinasi tendangan yang mantap dan lancar boleh memberi asakan buat pihak lawan dan seterusnya memusnahkannya.


Selain itu, sekiranya anda sukar untuk mencari ruang sasaran, anda boleh gunakan tendangan pertama anda sebagai elemen untuk mengelirukan pihak lawan. Namun begitu, anda perlulah melakukan tendangan pertama anda seolah – olah ianya adalah tendangan yang sebenar. Dengan kaedah ini, pihak lawan akan terpedaya dengan melakukan tindakbalas dan secara tidak langsung telah mendedahkan sasaran mautnya. Seterusnya, tendangan kedua anda akan berfungsi untuk memusnahkan pihak lawan. Namun anda perlu berwaspada kerana tendangan secara mengacah juga mampu memusnahkan anda sekiranya lawan anda adalah seorang yang pakar dalam beladiri!


Dalam konteks pertempuran, kombinasi tendangan yang digunakan bergantung kepada beberapa keadaan seperti;

  1. Faktor Jarak dengan pihak lawan (jauh atau dekat)
  2. Jenis Kekuda yang digunakan (tapak kekuda menyerang@menanti)
  3. Posisi atau kedudukan (bertapak tinggi, sederhana atau rendah)
  4. Bilangan pihak lawan (seorang,dua atau ramai)
  5. Mengacah pihak lawan
  6. Tendangan pertama dapat dielak atau ditangkis.
  7. Susulan daripada serangan pihak lawan.

والله أعلم




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...