Salam semua,
1. Pengetahuan Tentang Strategi Dan Teknik Pertahankan Diri
Hadirlah ke mana – mana kursus beladiri atau berdaftarlah sebagai ahli seni beladiri. Belajarlah sebanyak mungkin yang anda mampu terutamanya kaedah melepaskan diri dari pegangan atau pelukan, bagaimana untuk gunakan teknik memanipulasikan sendi ( kuncian ) dan bagaimana untuk berlawan dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring di lantai.
2. Kekuatan Fizikal
Kuatkanlah fizikal anda. Lakukanlah aktiviti senaman secara rutin yang dapat membantu menguatkan tubuh anda. Sebagai contohnya, aktiviti bangkit tubi dan tekan tubi dapat membina kekuatan pada tubuh bahagian atas anda. Tanpa kekuatan, tumbukan atau tendangan anda tidak mungkin mampu menewaskan penjenayah.
3. Daya Tahan Kardiovaskular Yang Tinggi
Ingat akan prinsip pertahankan diri iaitu lari lebih baik daripada dipukul. Sentiasa bersedia untuk lari kerana itulah pilihan utama anda. Larilah sekuat hati
4. Konsentrasi, Komunikasi Dan Psikologi Yang Mantap
Cuba kekalkan konsentrasi anda dan berwaspadalah dengan persekitaran. Jangan biarkan pergerakan pantas dan senyap penjenayah memerangkap anda. Jangan sesekali anda cepat mengelabah. Tarik nafas panjang dan tenangkan diri semampu yang boleh. Jangan tunjukkan diri anda panik. Percayalah dengan kemampuan anda dalam mempertahankan diri dan usaha untuk meneruskan hidup anda. Berkomunikasilah dengan tegas untuk menunjukkan keberanian dan tekad anda. Lengahkan mereka dan segera mencari kelemahan yang ada pada penjenayah. Gunakan apa saja taktik dalam usaha mengatasi situasi genting ini.
5. Kepantasan, Kuasa dan Masa Tindakbalas
Berlatih dengan pasangan anda ( jika ada ) dengan menggunakan alat – alat yang membantu meningkatkan kepantasan, kekuatan dan kuasa teknik serangan anda. Berlatihlah juga berkenaan ‘reaction timing’ yang mana memberikan anda kefahaman bila anda perlu melepaskan serangan terhadap penjenayah. Kelebihan ini dapat membantu anda mencederakan penjenayah dan seterusnya melarikan diri dalam usaha menyelamatkan diri.
6. Gunakan Suara Secara Optimum
Jangan sesekali takut atau malu untuk menjerit sekuat hati dan nyaring dalam tempoh yang lama. Keadaan ini boleh memberi isyarat kepada masyarakat sekeliling yang menunjukkan anda dalam situasi mencemaskan.
7. Jarak Anda.
Apabila anda sedang berhadapan dengan penjenayah dan sedang berkomunikasi dengannya,pastikan anda tidak berdiri terlalu dekat dengan mereka. Wujudkan sempadan dengan mengawal jarak anda sekurang-kurangnya 2 meter. Bercakap dengan nada suara yang tegas dan pandanglah dengan tepat pada matanya. Jangan sesekali terleka dengan terlepas pandang pada penjenayahwalaupun sedetik. Ini akan membuka ruang untuk mereka mengambil kesempatan.
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment