Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Sunday, October 2, 2011

SILAT DAN SAINS SUKAN : TAPAK KEKUDA DARI SUDUT BIOMEKANIK

Salamun Alaik,
Kekuda yang baik mesti menitikberatkan kedudukan postur tulang belakang 
(ihsan gambar dari FB Mejar Mohd Fitri)
Tapak Kekuda adalah pelajaran asas yg diajar kepada pesilat-pesilat sebelum mereka diajar dengan ilmu serang bela yang lebih kompleks. Matlamat memasang kekuda adalah jelas iaitu untuk membolehkan pesilat bertapak dengan kukuh dan stabil. Di samping itu juga, kedudukan kekuda yang mantap mampu mengolah pergerakan pesilat menjadi lancar dan seimbang. 
                                                  Garis Pusat tidak berada pada kedudukan tepat        Kedudukan yang tepat
Namun begitu, kita jangan terlalu ghairah untuk memasang kekuda yang terlalu rendah atau cantik semata-mata. Walaupun kedudukan "rendah" secara asasnya nampak lebih stabilnya, namun banyak lagi faktor yang perlu dititik beratkan. Dari sudut sains sukan, pemasangan tapak kekuda perlulah stabil, garis pusat berada pada kedudukan asal (waktu berdiri), kedudukan kaki (jarak kekuda) tidak menghalang pergerakan dan otot-otot mampu berinteraksi antara satu sama lain. Pengetahuan dari aspek Sains Sukan ini amatlah perlu agar setiap tindakan yang kita laksanakan/amalkan tidaklah memberi kesan yang negatif. Antara kesan negatif hasil dari latihan kekuda yang salah seperti;

1. Pergerakan jadi lambat walaupun stabil.
2. Kejang Otot (pinggul, peha, betis)
3. Ligamen/tendon/otot lutut terkoyak
4. Aliran Jalur Tenaga tidak lancar.
5. Titik Graviti tidak terletak pada kedudukan yg sebenarnya (hanya stabil pd kedudukan statik)
6. Memberi tekanan kepada tulang belakang.
7. Serangan dan Belaan menjadi kurang mantap.
Sakit lutut antara faktor latihan kekuda yang terlalu rendah (lebih 90 darjah)
 Kesilapan latihan kekuda juga boleh mengakibatkan sakit tulang belakang
Kriteria yang penting ketika memasang kekuda adalah PASTIKAN;
1. Lengkungan tulang belakang dalam postur yang betul.
2. Otot bawah (pinggul ke bawah) dapat berkomunikasi dengan otot atas (pinggul ke atas).
3. Tiada berlaku otot yang terlebih regang atau di bawah tekanan yang melampau (sering berlaku pada pesilat yang mengamalkan latihan kekuda yang rendah melebihi 90 darjah)
4. Otot gluteus (punggung) dan otot rectus abdominus (perut) perlu kuat agar rangka pelvis dan tulang belakang menjadi stabil.
5. Mampu memindahkan tubuh dan tenaga secara lancar tanpa halangan.

Secara umumnya, kesemua kekuda yang terdapat dalam keilmuan silat adalah berkesan dan tiada salahnya. Cuma kita sebagai pesilat perlulah memilih yang sesuai dengan susuk tubuh dan kemampuan kita. Faktor ketinggian, berat badan, umur dan teknik latihan juga mempengaruhi kesesuaian kekuda yang perlu dipraktikkan sebagai "pakaian diri". Anak2 muda ghairah dgn kekuda rendahnya, yang dewasa mula sederhana menantinya, yang tua pula ada kalanya sekadar berdiri dan tidak terkecuali hanya duduk bersila. Apapun keadaannya, biarlah kita belajar betul-betul rahsia "jual-beli" ini agar tiadalah syok sendiri disebabkan cantiknya atau rendahnya kekuda kita. Semakin berlatih, semakin sakit segala urat saraf. Sedangkan latihan silat sebenarnya, adalah bertujuan untuk menyediakan tubuh menjadi lebih bersedia untuk bertempur, yang sememangnya memerlukan kekuatan, kesihatan dan teknik pertempuran yang efektif.

Ramai dikalangan kita bila dah cecah 40-an dah mula sakit-sakit pinggang, belakang dan lutut. Ini sebenarnya adalah kesan daripada latihan yang salah. Sakit lutut pastinya akan mengganggu pergerakan dan keseimbangan badan. Bagi sakit tulang belakang (bahagian saraf) pula ,simptomnya adalah jari jemari terasa kebas, mengalami lenguh-lenguh dibahagian tengkok dan sakit-sakit kepala. Sebenarnya, bagi yang bermasalah dengan tulang belakang, kita dianjurkan untuk memperbanyakkan sujud dan rukuk sebab kedudukan nya mampu membetulkan kembali postur lengkungan tulang belakang.


“Apabila engkau sujud, tekanlah wajahmu dan kedua tanganmu ke tanah sehingga setiap ruas tulangmu kembali ke tempatnya” (HR. Ibnu Khuzaimah)
“Jika kamu ruku’ letakkan kedua tanganmu pada kedua lututmu dam luruskan punggungmu serta tekankan tanganmu untuk ruku” (HR. Ahmad & Abu Daud)
Sakit belakang mampu diubat melalui riadah SOLAT
Kesimpulannya, sewaktu memasang kekuda, tidak kiralah apa jua jenis kekuda, pastikan ianya di pasang dalam keadaan postur tulang belakang yang tepat, tidak memberi tekanan yang melampau terhadap salah satu otot sahaja (terutamanya sekitar lutut), otot-otot dapat berinteraksi antara satu sama lain, aliran jalur tenaga mengalir lancar dan pesilat mampu bergerak bebas dengan pantas dan stabil. Semoga melalui latihan silat yang konsisten, kita mampu jadikan ianya suatu riadah yang menyihatkan tubuh badan  kita dan bukanlah sebaliknya.

Wallahua'lam

1 comment:

  1. Terbaik. Betul Cikgu Azizan,guru saya C. Mad Jepun, menerangkan kekuda rendah ni utk yg asas sahaja. Bila kita semakin tua, otot2 & sendi2 makin longgar, kita tak pentingterlalu rendah kerana menyukarkan pergerakan. Memadai pasang kedudukan yg bersedia utk bertindak, sekadar langkahan biasa shj. Kerana kita dah tak elak & tangkis berat2 dah. Kelek?/kelih/twist & terus masuk; @ sambil kelih, sambil serang...badan & tulang 4 kerat bergerak serentak, sepadu, melemahkan/memusnahkan titik2 vital musuh. Wallahua'lam.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...