Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Saturday, July 23, 2011

TAPAK SILAT

Salamun Alaik,

Tapak Silat berbentuk BERLIAN

Dalam  ilmu persilatan, terdapat elemen-elemen asas yang perlu kita pelajari. Antaranya adalah Asas Kekuda,Tapak Menanti/Menyerang dan Langkahan Silat. Elemen ini AMAT lah penting bagi pesilat menguasainya kerana ianya adalah IBU KUNCI kepada gerak-gerak silat yang lain seperti jurus, elakan, kuncian,pukulan dan permainan senjata. Kehebatan seorang pesilat juga sebenarnya boleh diukur dengan susunan gerak langkahnya. Namun asasnya bermula dengan TAPAK 3 dan TAPAK 4.

Sebelum mengulas lanjut tentang Tapak Silat ini,ada baiknya kita memahami terlebih dahulu takrifan/maksud bagi Asas Kekuda, Tapak Menanti dan Langkahan Silat.

1.Asas Kekuda
Kelakuan dasar kedudukan silat yang berfungsi MENGUKUHKAN KEDUDUKAN, KESEIMBANGAN BADAN dan LATIHAN MENGUATKAN OTOT-OTOT KAKI. Ianya ibarat tapak sesuatu bangunan dan tiang bagi ilmu beladiri. Seharusnya, asas kekuda ini dipraktikan dengan serius agar ianya tidak pincang dan mengganggu proses pembelajaran yang seterusnya. Antara latihan bagi mengukuhkan asas kekuda adalah seperti;
           1. Duduk dalam keadaan berkekuda dalam suatu tempoh yang panjang.
           2. Menggunakan beban tambahan seperti rakan berdiri di atas kekuda pesilat.
           3. Mendaki bukit.
           4. Berlari menuruni bukit.
           5. Pasang kekuda di pantai sambil menahan hentaman ombak yang kuat.
           6. Berlatih di bawah air terjun dgn menahan kekuda sambil menerima
               terjahan air yg menimpa tubuh.
           7. Mengatur pernafasan ketika keadaan berkekuda.

2. Tapak Menanti/Pasang
Merupakan kesinambungan dari Asas Kekuda yang mana pesilat membuka tapak kekuda dalam keadaan bersedia menghadapi serangan musuh dari pelbagai arah, keadaan dan lokasi pertempuran. Maknanya, pesilat bukan lagi hanya fokus kepada kekukuhan tapak dan keseimbangan badan, tetapi pesilat perlu peka juga kepada;
            1. Gaya Menanti - Gerak laku letaknya tangan pesilat sebagai hadangan kpd musuh.
                                         Dalam Ilmu Silat Seni Gayong terdapat 7 Gaya Menanti seperti;
                                         Seni, Kombat, Serang, Harimau, Rajawali, Naga Bora, Lam Alif.
            2. Pandangan Mata - Sepanjang pertarungan,mata adalah aset yg paling penting.
                                             Pesilat mampu membaca gerak musuh melalui Petanda Gerak.
                                             Melalui lirikan mata musuh juga kita boleh mengagak arah
                                             serangan musuh dan bila saat musuh hendak menyerang.
            3. Aturan Nafas - Amat penting agar pesilat menjadi tenang (waras dalam tindakan ).
                                        Pekalah kpd aturan nafas musuh. Semakin kuat dadanya berombak,
                                        semakin kurang warasnya. Saat musuh melepaskan serangan ketika 
                                        mereka menarik nafas panjang. Dengan mengetahui Rahsia Nafas
                                        juga, pesilat mampu meramalkan daerah kelemahan musuh.

Tapak Menanti mempunyai banyak bentuk dan variasi bergantung kepada KEILMUAN SILAT setiap perguruan. Jika sama Tapak Menanti sekalipun, mungkin sikap, aras dan gaya sambut (gaya menanti) yang berbeza. Di sini terdapat 7 Tapak Menanti dalam pembelajaran Silat Seni Gayong;

1. Tapak Selari.

2. Tapak Sendeng.

3. Tapak Serong (Serang @ Tapak Jermang).
4. Tapak Jinjit (Jijak Bara).
5. Tapak Gantung (Tapak Rajawali).
6. Tapak Anak Harimau (Tapak Rendah/Cecah Bumi)
7. Tapak Alif (Berdiri Lurus).
3. Langkahan Silat
Langkahan Silat merupakan suatu gerak transisi dari satu kedudukan tapak menanti (berkekuda) ke kedudukan tapak menanti yang lain dalam usaha untuk mencari ruang dan peluang ke atas pihak lawan. Langkahan yang baik adalah langkahan yang menutup/menghindar /menyulitkan pihak musuh ke atas diri pesilat di samping membuka ruang yang sempurna untuk melancarkan serangan balas.

Dalam Ilmu Persilatan, Langkah merupakan satu kaedah yang paling penting. Tanpa Langkah tempanglah silat kerana silat tidak sekadar cukup dengan menggerakkan kedua-dua belah tangan dan menggerakkan badan sahaja ketika belaan dan serangan. Silat memerlukan GERAK iaitu bergerak dengan melangkah. Langkahan memerlukan kemahiran memindahkan berat badan ke atas salah satu daripada kaki pesilat ( kanan @ kiri ).

Sebenarnya, Kuda-Kuda, Tapak Menanti dan Langkah adalah suatu yg sama tapi tidak serupa. Bila ia bergerak dinamakan LANGKAH, bila diam dinamakan KEKUDA dan bila ianya bersedia "membeli" dan "menjual" dipanggil pula berTAPAK. Langkah sesuatu yang saintifik dan bersistematik. Ianya merangkumi aspek;
1. Konsep Keseimbangan (kekuda)
2. Hala Tuju (arah)
3. Aras
4. Penggunaan Ruang
5. Gerak Kaki yg tersusun (Tapak 3,4 dan seterusnya) - Pola Langkah
6. Limbai (ayunan tangan)
7. Aturan Nafas.

Sebagai pesilat, seharusnya mengetahui dan faham apa yang dikatakan "Langkah, Kekuda, Jalan, Gerak, Garik, Sikap dan Arah", supaya memudahkan pesilat melakukan pergerakan dengan lancar dan berkesan. Asas MELANGKAH adalah maju, undur dan hindar manakala asas GERAKnya adalah secara geser, seret dan angkat. Terdapat pelbagai BENTUK LANGKAHAN SILAT, antaranya;
1. Langkah Jantan (Angkat Panjang)
2. Langkah Betina (Angkat Pendek)
3. Langkah Beranak (Seret)
4. Hereng Ketam (Geser)
5. Langkah Yoi (Lompat Kijang)
6. Melingkar (Melilit / Silang)
7. Singgah (Tumpang)

Arah Langkah pula mengikut 8 arah mata angin dan sangat bergantung kepada konsep penetapan jarak antara pesilat dan musuh dan juga bentuk gerakan musuh. Apa yang penting, pesilat perlu tahu yang musuh sentiasa bergerak umpama anak ayam yang nampak zahirnya mudah untuk ditangkap namun hakikat sebenarnya amat susah untuk menangkapnya. Dengan pengetahuan Asas Kekuda, Tapak Menanti (Sikap Menanti) dan Langkahan Silat ini, maka wujudlah KONSEP LANGKAH dalam silat yang mempunyai FORMULA gerak langkah tertentu yang dipanggil Langkah Segaris, Langkah Dua, Langkah Tiga, Langkah 4, Langkah 5, Langkah 7 dan seterusnya. Di dalam Keilmuan Silat Seni Gayong, ilmu ini terkandung dalam Seni Yoi.

TAPAK 2 (Tapak Lurus)
- dikenali juga sebagai Tapak Asas untuk bertempur.
- pergerakan hanya terhad kepada langkah maju dan langkah mundur.
- bukan tapak mutlak kerana terlalu ringkas.
- buah-buah pukulan dan kuncian berlandaskan tapak 2 ini.

TAPAK 3
Tapak 3 asas

Tapak 3 lanjutan
- dikenali sebagai Tapak Perang atau Tapak Laksamana.
- diaplikasi untuk gerak menyerang dan serang balas.
- boleh disertakan dengan Tapak 4 membentuk Tapak 7 atau Tapak 8.

TAPAK 4
Tapak 4 - Khusus utk Tapak Selari

Tapak 4 - Khusus utk Tapak Serong

Tapak 4 Lanjutan (Gabungan)

- dikenali sebagai Tapak 4 Penjuru atau Pecah 4 mata angin.
- diaplikasikan sewaktu gerak menghindar/mengelak.
- boleh dipecahkan kepada Tapak 8 , Tapak 12 dan Tapak 16.

TAPAK 5
Tapak 5
- dikenali sebagai Tapak Lelayang
- merupakan tapak yang sesuai bila berhadapan musuh yang lebih tinggi dan berkemahiran 
   tinggi menggunakan serangan kaki.

TAPAK 8
Tapak 8 - Selari
Tapak 8 - Serong
- Kombinasi Tapak 3 dan Tapak 4.
- Amat sesuai digunakan sewaktu pertempuran melibatkan musuh yang ramai dari pelbagai arah.

Contoh-contoh Tapak Silat ini menunjukkan Langkahan Silat amatlah tersusun dan sistematik. Masih banyak lagi RAHSIA berkaitan LANGKAHAN SILAT ini yang masih belum dibincangkan atas menjaga ADAB BERGURU. Semoga perbincangan kali ini mampu mencetuskan idea kepada pengamal2 silat seluruhnya.


Wallahua'lam

4 comments:

  1. Assalamualaikum saudara azizan. saya ingin minta sikit pandangan dari tuan.
    Gerak langkah yang mempunyai susun atur , rajah pergerakan ini disebut pola lantai. Adakah gerak langkah tersebut bercirikan sesuatu. maksudnya gerak langkah yang dihasilkan itu adalah adaptasi dari satu unsur tertntu. sebagai contoh pergerakan yang adaptasinya daripada kaligrafi kalimah tertentu.

    nama saya nur zaidi
    email saya nshnza@yahoo.com. pandangan tuan amat membantu saya dalam penyellidikan. terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..
    saya ingin bertanya.. adakah Penanti jenis Tapak Alif.. biasa dipakai oleh Guru2 sahaja.. mohon penceran....

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum saudara Azizan.

    Ada perkara yg saya nk bertanyakan tuan. Pada peringkat pelajaran kombat, & pecahan kunci mati, ada tersirat pecah tapak harimau.

    Apakah yang saudara faham tentang PECAH TAPAK HARIMAU dan boleh saudara ulas mengenai perkara ini kerana saya ingin sangat mengetahuinya.

    Sekian Terima Kasih

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah.. Terima kasih atas pengkongsian

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...