Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Saturday, September 10, 2011

ISYARAT PERALATAN PERKHATAMAN KERIS

Salamun Alaik,
Khatam Keris dilaksanakan di Laut
 Pesilat diraikan setelah berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan
Allahyarham Dato' Meor Rahman memerhati Ayahanda Amin Hamzah sebagai Dalang Khatam Keris sekitar 1980-an 
Amalan bangsa Melayu penuh dengan Rahsia. Setiap perlakuannya bermaksud dan berisyarat. Maka bagi kita generasi muda seharusnya perlu berlapang dada dan jangan cepat melatah. Menuduh sesuatu perkara tanpa Ilmu dan Kefahaman akhirnya akan membuka pekung di dada sendiri. Ibarat meludah ke langit dan akhirnya jatuh kembali ke muka sendiri. 

Majlis Perkhataman Keris dilakukan untuk meraikan pesilat-pesilat yang telah berjaya mengharungi ujian dan dugaan sepanjang berguru dan menuntut Ilmu Keris. Setiap perlakuan membawa Isyarat-isyarat tertentu dan segalanya ada "cerita" disebaliknya. InsyaAllah, saya akan kongsikannya di artikel yang lain. Kali ini, saya tertarik untuk berkongsi tentang isyarat bagi setiap peralatan yang digunakan sepanang Majlis Perkhataman Keris ini. Di sini saya senaraikan kelengkapan untuk mengadakan majlis perkhataman keris dan ISYARAT bagi setiap peralatannya. Sebanyak 21 peralatan kesemuanya iaitu;

1.           Sebilah keris
Keris adalah senjata wajib zaman dahulu terutamanya anak2 muda lelaki. Semasa zaman kanak-kanak, seorang ayah akan memberikan keris yang dibentuk daripada kayu terlebih dahulu. Kemudian setelah mencapai akil baligh (dewasa), barulah mereka dibenarkan bermain dengan senjata keris yang sebenar. 

2.           Seekor Ayam Berbulu Hitam
           Merupakan sumber lauk yang paling mudah dibawa bermusafir. Biasanya akan dibawa secara hidup dan disembelih pada waktu untuk dijadikan lauk. Syarat ayam berwarna hitam adalah semata-mata sudian Guru buat anak murid. Isyaratnya adalah, untuk mendapatkan sesuatu ilmu memerlukan kesungguhan dan pengorbanan.

3.           Semangkuk Pulut Kunyit
( sebagai makan adat orang Melayu )
Pada masa dahulu, salah satu bahan yang sesuai dijadikan pewarna dan mudah diperoleh ialah kunyit. Pulut yang direndam dengan air kunyit menyebabkan warnanya bertukar menjadi kuning. Warna pulut yang kuning “mesra” apabila dihidangkan dengan rendang yang berwarna kemerah-merahan. Apabila dihidangkan, ia kelihatan cantik hasil gabungan warna kedua-duanya. Oleh sebab itulah pulut tidak direndam dengan daun pandan yang akan menukarkan warnanya  menjadi hijau dan janggal apabila dihidangkan bersama-sama dengan rendang.
Tujuan pemberian pulut kuning kepada tetamu adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana sudi menghadiri majlis kenduri yang diadakan. Tetamu akan berasa dirinya dihargai oleh tuan rumah.

4.           Lauk Kari ayam
( biasa dimakan dengan pulut oleh orang Melayu dahulu kala )

5.           Sebiji Telur Ayam Yang Direbus Berwarna Merah
              (asas benih dan kesuburan / Merah warna Keberanian)
               Membentuk anak-anak muda menghayati semangat berani berjuang.

6.           Kueh Melayu 7 Jenis dan Air Kopi
              ( Makanan tradisi dan Minuman tradisi)
               Angka 7 banyak memberikan maksud yang tersirat. 

7.           Semangkuk Bubur  Putih Bubur Merah
                ( Restu dan Warna- Kasih Sayang)
Merah melambangkan darah (rahim) dan susu (putih). Melambangkan juga Kemegahan dan Kejayaan. Merah dan Putih juga warna simbolik nusantara. Boleh dilihat warna pd bendera Malaysia,Indonesia dan Singapore.

8.           Sekapur Sireh 
( Kesudian/Peransang )
Penggunaan sirih dan pinang boleh dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat.
Orang Melayu terutama di zaman dahulu sangat tertib dan halus dalam berkomunikasi. Sirih digunakan sebagai:-
1.  Hadiah ibu bapa kepada guru Al-Quran, sebagai tanda menyatakan keikhlasan hati menyerahkan anak-anak mereka mengaji dibimbing oleh guru tersebut.
2.  Sirih Perangsang menyemarak semangat dan menenang hati kepada perajurit ketika berperang.
3.    Mengundang seseorang ke majlis, tepak sirih dihulur, jika sirih dimakan ia menandakan undangan tersebut diterima.

9.           Sesisir Pisang Emas  
( Makan ruji dahulu kala ketika berkelana )

10.        Kemeyan 
               ( pewangi suasana  )
                Bangsa Melayu adalah bangsa yang mempunyai Adab, pembersih dan menyukai bau-bauan.

11.        Daun Pisang 
 ( sebagai piring , untuk meletakan makanan )

12.        Tiga Ela kain kuning 
( Di muliakan - Penapis permandian  bunga ahli ahli )
Warna Kuning simbolik kepada warna Raja kerana keris adalah senjata yang dimainkan di Istana.

13.        Tiga Ela Kain Berwarna Putih
           (untuk membungkus segala lebihan makanan / tulang ayam untuk ditanam di tempat yang sesuai – jangan bersepah )
           Warna Putih melambangkan Kebersihan. Digunakan untuk membungkus sisa-sisa makanan agar tidak mengotorkan persekitaran.

14.        Beras Kunyit dan Berteh
( mengalu alukan  )
Isyarat mengalu-alukan tetamu sebagai tanda hormat dan menghargai.

15.        Rokok Daun & Tembakau
(agen penenang)
Dihisap selepas penat bekerja. Dapat menenangkan fikiran dan mengubat keletihan.

16.        Sebiji Limau Nipis  
(  ibarat sabun  - mengandungi asid )
Ia juga mampu menyingkirkan makhluk halus di dalam tubuh manusia terutamanya yang terkena siir dan saka.

17.        Akar Sintuk 
( pembersih  - mengandungi  alkali )
Selain berfungsi sebagai penyental tubuh, ianya dapat meneutralkan asid dari limau nipis.
          
18.        Tujuh Jenis Bunga / Jenis Warna
( aura warna )
Frekuensi warna dan bau harum bunga mampu meningkatkan fungsi dan menguatkan spiritual pesilat.

19.        Lilin Sebatang 
( menggantikan pelita/sumber lampu menerangi jalan )

20.        Sehelai Daun Kelapa Yang Tidak Dibenarkan Jatuh Ke Tanah
           ( Ibarat sesuatu amanah/senjata  yang perlu dijaga oleh peserta dengan displin yang tinggi )

21.        Wang Fidyah  RM 21.00
( semayam emas pada 1960-an )
Menghargai penat lelah Guru mendidik dan mengajarkan Ilmu.                                                                                                                                                         

InsyaAllah, di lain artikel saya akan kongsikan setiap yang tersirat dalam perbuatan Khatam Keris bermula dari awal hingga akhirnya. Setiap satunya ada maksud dan ceritanya. Kesemuanya berkaitan dengan asal usul Bangsa Melayu, Sejarah Senjata Tersohor Melayu iaitu Keris, Pengorbanan, Kesetiaan, Kerjasama, Adab Berguru dan Adat Melayu. Antara yang akan dibincangkan seperti;

1. Sejarah Khatam Keris.
2. Perkaitan Bangsa Melayu dengan Laut.
3. Asal Usul Keris.
4. Rahsia angka 7,14,21,36,49 dalam Gayong.
5. Kenapa perlunya Ibu Gayong yg memimpin perarakan pesilat di Laut?
6. Kenapa tidak boleh berpakaian serba hitam pada waktu malam sebelum upacara keesokkan paginya?
7. Bila waktu yang sepatutnya pesilat berarak turun ke gigi pantai.
8. Kenapa dibuang sedikit organ dalaman ayam?
9.Maksud Benang berwarna Kuning, Hitam, Merah, Putih.
10. Isyarat 7 pusingan.
11. Maksud Nun di sana berchula 7, nun di sini berchula se.
12. Apa itu Mengkadung Putih?
13. Isyarat selam.
14. Isyarat melempar daun kelapa.
15. Isyarat warna ludahan kunyahan sireh.
16. Paras Air Laut yang sepatutnya yg perlu diharungi oleh pesilat.
17. Apakah syarat lulus dalam berkeris?
18. Kaedah Langkahan ketika berkeris (Langkah Tuah dan Langkah Jebat)
19. Pantang Larang dalam berkeris.
20. Ulasan buah khatam (buah 21)
21. Nasab Amalan Tuah dalam ilmu berkeris.

Wallahua'lam

Friday, September 9, 2011

SENJATA MELAYU - TEKPI

Salamun Alaik,
Tekpi dengan sampirnya berbentuk tanduk seladang
Tekpi dengan sampirnya yang songsang sebelah
Senjata yang bergelar Raja Segala Senjata. Dipercayai senjata Tekpi ini diadaptasikan daripada Trisula (trident) yang berasal dari Benua India. Mula dikembangkan di Indonesia dengan panggilan Tjabang dan seterusnya tersebar ke Malaysia (Tekpi), India, China, Indo-China dan Okinawa(Sai).
Trisula
Berbentuk cabang 3 yang mana cabang utama (tengah) adalah panjang (15-20 inci) dan lurus dengan hujung matanya yang tidak tajam. 2 cabang lagi (dipanggil sampir) yang membentuk seperti huruf U (adakala berbentuk seperti tanduk seladang) dan agak pendek (4-6 inci) berbanding cabang utama.
Penulis bergaya dengan sepasang Tekpi
Dikatakan sebagai Raja Senjata kerana fungsi dan rekabentuknya mampu memerangkap dan menangkis segala ancaman daripada serangan senjata-senjata lain yang pelbagai sifat (panjang, pendek, tajam, dsb). Tekpi ini juga mampu mengunci sendi pergelangan lawan dan dengan teknik yang tertentu pula ianya mampu mematahkan senjata seperti parang. Kebiasaannya, tekpi ini dimainkan secara berpasangan. Serangannya pula lebih kepada menusuk (cucuk), menghentak (hulu yg berbentuk buntil) dan melibas. Tusukannya bukan seperti senjata-senjata tajam yang lain, tetapi lebih kepada menusuk TITK-TITIK LEMAH pada tubuh lawan terutamanya di bahagian solar plexus dan ke atas (sekitar leher dan muka). Batang Cabang Utama pula boleh bertindak sebagai penyangga sewaktu melakukan teknik kuncian. Walaubagaimana pun Senjata Tekpi ini digunakan lebih kepada corak BERTAHAN.

Tekpi boleh dikelaskan kepada 2 jenis iaitu Jantan dan Betina. Tekpi Jantan adalah lebih panjang berbanding Tekpi Betina. Kaedah bermainnya juga terbahagi kepada 2 kaedah iaitu Kaedah Jantan (bercorak serang) dan Kaedah Betina (bercorak bertahan). Tekpi asal diperbuat daripada besi secara keseluruhannya dan ianya boleh dikatakan senjata yang agak berat. Disebabkan oleh beratnya, pengemudi yang mahir mampu memusnahkan senjata-senjata lain disamping menghasilkan suatu momentum yang besar sewaktu melibas dan menyebat.
Menusuk
Menghentak dengan Hulu (berbentuk mata lalat)
Mengunci
Sangga Langit
Dalam Keilmuan Gayong, Tekpi diajar kepada anak Gayong yang bertaraf Jurulatih dan ke atas. Pelajarannya merangkumi Senaman Tekpi, Gerakan Asas Serangan dan Belaan, Elakan Maut (elak menggunakan Tekpi dan serentak membuat serangan balas ke sasaran utama) , Kuncian ( mengunci musuh dgn Tekpi ), Tekpi vs Senjata-senjata pilihan seperti parang, lembing, tongkat dll dan Tapak Hidup Tekpi.
Tekpi vs Tekpi
Tekpi vs Parang

Walaupun Raja Senjata ini terkenal dengan kehebatannya, namun ia memerlukan pengemudi yang benar-benar berilmu dan berkemahiran. Tanpa ILMU dan KEMAHIRAN, tiada apa yang menjadikannya istimewa berbanding senjata-senjata lain. Semoga perkongsian ini dapat manfaat buat semua.

Wallahua'lam.

Thursday, September 8, 2011

KRITERIA DAN KUASA SANDANG LEMBAGA BERADAT NEGERI

Salamun Alaik,
Organisasi Jawatankuasa Lembaga Beradat Negeri
Imam Khalifah
Seorang dalam sesebuah negeri dalam satu masa, fungsinya ialah:-

i.                    sebagai penasihat dan pemimpin tertinggi Silat Seni Gayong di dalam sesebuah negeri.
ii.                  bertanggungjawab atas semua gelanggang dan murid di dalam sesebuah negeri.
iii.                mengesahkan senarai nama penerima sandang kebesaran adat berjawatan peringkat negeri.
iv.                 menganugerahkan sandang kebesaran adat dan kehormat peringkat negeri jika diberi mandat oleh Lembaga Waris Amanah.
v.                   menduduki Majlis Imam Khalifah.

Timbalan Imam Khalifah
Seorang dalam satu masa dalam sesebuah negeri, tugasnya ialah:-

i.                    membantu tugas Imam Khalifah.
ii.                  memangku tugas Imam Khalifah di masa keuzurannya.


Pengerusi Lembaga Beradat Negeri
Seorang dalam satu masa yang dilantik daripada kalangan Khalifah Besar atau boleh dipegang oleh ahli Lembaga Waris Amanah.  Tugas dan tanggungjawabnya ialah:-

i.                    mempengerusikan mesyuarat Lembaga Beradat Negeri.
ii.                  ketua eksekutif Lembaga Beradat Negeri dan wakilnya dalam Lembaga Beradat Kebangsaan.
iii.                Bertanggungjawab ke atas pentadbiran Lembaga Beradat Negeri dan perjalanan adat dan istiadat Silat Seni Gayong.

Khalifah Besar
Seramai empat orang yang mengetuai bahagian tertentu.  Ia dilantik daripada kalangan Waris Beradat dan mempunyai sandang tersendiri atas jawatan itu.  Selain mempunyai tanggungjawab kepada kesempurnaan perjalanan pentadbiran Lembaga Beradat, mereka mempunyai tugas secara khusus mengikut portfolio berikut:-

aa.       Perhubungan

            i.          bertanggungjawab kepada Ketua Khalifah Besar (Perhubungan).
ii.         merangka dan melaksanakan hubungan dengan mana-mana pihak dalam rangka memartabatkan Silat Seni Gayong.

bb.       Istiadat

            i.          bertanggungjawab kepada Ketua Khalifah Besar (Istiadat).
ii.         menjadual dan melaksanakan sebarang majlis adat berkenaan.

cc.        Kegurulatihan

            i.          bertanggungjawab kepada Ketua Khalifah Besar (Kegurulatihan).
ii.         memastikan disiplin guru dan jurulatih Silat Seni Gayong.
iii.        membangun dan mentadbir hal ehwal Pusat Latihan Negeri.
iv.        berganding bahu dengan Majlis Gurulatih Negeri dalam merangka program pembangunan, kebajikan dan kecemerlangan guru dan jurulatih Silat Seni Gayong dalam apa jua bidang yang berkaitan.

dd.       Kewangan

            i.          bertanggungjawab kepada Ketua Khalifah Besar (Kewangan).
ii.         berusaha merangka agenda penabungan dan pengurusan kewangan Lembaga.

Wakil Beradat
Tidak melebihi empat orang di dalam sesebuah negeri dalam satu-satu masa.  Ia dilantik oleh Lembaga Waris Amanah atas syor Lembaga Beradat Negeri daripada kalangan Waris Beradat yang amanah dan berakhlak mulia.  Pemegang amanah ini mempunyai sandangnya sendiri, tanggungjawabnya ialah:-

i.                    menjalankan upacara penerimaan murid Gayong di dalam kawasan yang ditauliah.
ii.                  memberi penerangan mengenai Silat Seni Gayong kepada yang hadir di dalam majlis perlimau.
iii.                bertanggungjawab memastikan adat perlimau dipatuhi dan majlis disempurnakan dengan baik.
iv.                 menjaga amanah duit adat mengikut peraturan yang ditetapkan Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Kebangsaan.

Setiausaha

Seorang dalam satu masa, ia dilantik daripada kalangan Waris atau Ketua Beradat.  Beliau mempunyai tanggungjawab seperti berikut:-

i.                    menjalankan sebarang tugas atas arahan Pengerusi atau Setiausaha Agung Lembaga Beradat Kebangsaan.
ii.                  mengurus, mengemaskini dan merekod sebarang dokumen Lembaga dan urusan surat menyurat.
iii.                mewakili Pengerusi dalam sebarang majlis jika beliau keuzuran melainkan diarahkan sebaliknya.
iv.                 memanggil mesyuarat Lembaga atas arahan Pengerusi atau atas permintaan tidak kurang daripada empat orang Waris Beradat.

Penolong Setiausaha

Seorang dalam satu masa, ia dilantik daripada kalangan Waris dan Ketua Beradat.  Beliau mempunyai tanggungjawab seperti berikut:-

i.                    membantu tugas Setiausaha dalam pengemaskinian rekod dan dokumentasi Lembaga Beradat dan lain-lain tugas yang diarahkan.
ii.                  memangku jawatan Setiausaha semasa keuzurannya.

Bendahari

Seorang dalam satu masa, ia dilantik daripada kalangan Waris atau Ketua Beradat.  Beliau mempunyai tanggungjawab seperti berikut:-

i.                    bertanggungjawab ke atas akaun dan keselamatan wang Lembaga.
ii.                  merencana dan mengawal perbelanjaan serta merangka belanjawan Lembaga.
iii.                bekerjasama dengan Khalifah Besar Kewangan dalam pengurusan dan penabungan duit Lembaga.
iv.                 bertanggungjawab kepada Bendahari Agung.

Waris Beradat
Tidak melebihi 21 orang dalam satu-satu masa dalam sesebuah negeri termasuklah Timbalan Pengerusi, Khalifah Besar, Setiausaha, Pengerusi Badan Ibu Gayong dan 14 orang yang mempunyai kuasa eksekutif.  Ia mempunyai tanggungjawab bersama-sama Pengerusi dan penyandang jawatan lain seperti berikut:-

i.                    menjalankan sebarang dasar yang diputuskan Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Kebangsaan.
ii.                  membuat polisi dan dasar adat di dalam negeri itu selama mana tidak bercanggah dengan ketetapan Majlis Tertinggi Lembaga Beradat Kebangsaan.
iii.                menguruskan pentadbiran segala urusan adat dan istiadat.
iv.                 mengawasi pentadbiran Majlis Gurulatih dan Jawatankuasa Negeri PSSGM.
v.                   menyelesaikan sebarang aduan adat serta boleh merujuk kepada Majlis Kehakiman Gayong.

Ketua Khalifah
Tidak lebih daripada lima orang dalam satu-satu masa.  Ia dipilih dikalangan pemimpin kanan pentadbiran pertubuhan atau Majlis Gurulatih di dalam sesebuah negeri.  Tugasnya ialah:-

i.                    sebagai penyelaras Khalifah, Imamah, Khalifah Muda, Imamah Muda, Imam Gelanggang dan Naqibah Gelanggang.
ii.                  mengawasi kesempurnaan kerja dan tugas Khalifah, Imamah, Khalifah Muda, Imamah Muda, Imam Gelanggang dan Naqibah Gelanggang.
iii.                mengawasi disiplin serta tanggungjawab Guru dan Jurulatih Silat Seni Gayong di dalam sesebuah negeri.

Ketua Beradat
Tidak melebihi 14 orang dalam satu-satu masa dan mempunyai tanggungjawab seperti berikut:-

i.                    menjalankan sebarang tugas yang diputus oleh Lembaga Beradat Negeri.
ii.                  mengawasi perjalanan adat dan istiadat.

Khalifah / Imamah
Tiada had bilangan, ia layak dilantik dikalangan pimpinan Gayong Negeri, guru atau jurulatih atau mana-mana ahli yang mempunyai keperibadian dan kepimpinan yang baik.  Tanggungjawabnya ialah:-

i.                    mengawasi urusan pentadbiran di negerinya.
ii.                  memastikan adat istiadat dipatuhi di dalam negerinya.
iii.                bertanggungjawab menjaga keselamatan murid Gayong di dalam negerinya.
iv.                 bertanggungjawab menjaga akhlak dan disiplin murid Gayong di dalam negerinya.

Khalifah Muda / Imamah Muda
Tiada had bilangan, ia layak dilantik dikalangan pimpinan Gayong Daerah atau cawangan tertentu dan mana-mana ahli yang mempunyai keperibadian dan kepimpinan yang baik.  Tanggungjawabnya ialah:-

i.                    mengawasi urusan pentadbiran di dalam daerah dan cawangannya.
ii.                  memastikan adat istiadat dipatuhi di dalam daerah dan cawangannya.
iii.                bertanggungjawab menjaga keselamatan murid Gayong di dalam daerah dan cawangannya.
iv.                 bertanggungjawab menjaga akhlak dan disiplin murid Gayong di dalam daerah dan cawangannya.

Imam / Naqibah Gelanggang
Tiada had bilangan, ia dilantik dikalangan pimpinan Gayong gelanggang tertentu.  Tanggungjawabnya ialah:-

i.                    mengawasi urusan pentadbiran gelanggangnya.
ii.                  memastikan adat-istiadat dipatuhi di dalam gelanggangnya.
iii.                bertanggungjawab menjaga keselamatan murid Gayong di dalam gelanggangnya.
iv.                 bertanggungjawab menjaga akhlak dan disiplin murid Gayong di dalam gelanggangnya.


Wallahua'lam

Wednesday, September 7, 2011

PEDANG SALAHUDDIN AL-AYYUBI - Pedang Paling Tajam Di Dunia.

Salamun Alaik,
Salahuddin Al-Ayyubi
Pedang yang diakui paling tajam di dunia oleh pakar metalurgi. Ketajamannya mampu menembus baju zirah crusader, memotong dua pedang lawan, membelah perisai dan batu tanpa mengalami kerosakan pada matanya.  Kehebatan pedang buatan Damsyik dan terkenal dengan panggilan Pedang Persia ini  telah mengatasi kehebatan pedang Katana dari Jepun dan pedang Excalibur milik Raja Arthur.Pedang ini diperbuat besi baja "damarcus" dengan teknik rahsia yang disaluti CNT (Carbon Nano Tubes) yang menjadikan ianya AMAT TAJAM dan LENTUR. Seni pembuatan pedang yang terahsia ini amat dikagumi oleh puak Barat dan kajian metalurgi moden setakat hari ini juga, masih tidak berkeupayaan untuk menghasilkan pedang berteknologi tinggi (teknologi NANO) dari peradaban Islam pada kurun ke-12 ini.


Apa itu CNT?

CNT merupakan suatu rantaian atom karbon yang terikat di antara satu sama lain secara heksagonal berbentuk silinder yang mempunyai diameter sekecil 1-2 nanometer. Silinder CNT ini boleh mencapai panjang sehingga berpuluh-puluh mikron dan tertutup di bahagian hujung seolah-olah sebatang paip yang ditutup dikedua-dua hujungnya.
Pencirian yang dilakukan terhadap bahan ini juga menjelaskan bahawa CNT mempunyai kekuatan paling tinggi berbanding bahan lain. Ia juga mempunyai sifat kekonduksian elektrik melebihi kuprum dan logam. Keunikan tiub karbon nano yang lain ialah mempunyai ketahanan terhadap suhu tinggi serta mempunyai jisim yang lebih ringan dari aluminium.

Teknologi NANO.
Kehebatan Pedang Salahuddin Al-Ayyubi telah dibongkar oleh Prof Dr. Peter Paufler dari Jerman. Prof tersebut menjumpai CNT di dalam pedang tersebut bersama senjata2 yang digunakan oleh tentera-tentera Islam pada ketika itu sewaktu perang Salib. CNT ini yang menjadikan pedang tentera Islam ini sangat tajam tetapi mudah lentur. Teknologi NANO ini menggunakan besi baja "damarcus" yang juga dipanggil wootz. Bijih besi ini mengandungi sejumlah peratusan unsur Karbon. Selain besi dan karbon, unsur-unsur seperti Kromium, Mangan, Kobalt juga ditambah bagi menambahkan lagi kekuatan, ketajaman dan kelenturannya.
Salahuddin Al-Ayyubi memimpin Tentera Islam dalam perang salib kurun ke-12
Teknik pembuatan pedang ini begitu rahsia sehinggakan hanya beberapa keluarga tukang besi di Damsyik saja yang menguasainya. Akhirnya pada kurun ke-18, teknologi pembuatan pedang ini telah pupus. Apa yang tinggal hanyalah pedang-pedang, tombak dan Pisau yang kini tersebar di pelbagai Museum di seluruh dunia. Sekadar mengingatkan kita bahawa Teknologi Hebat Peradaban Islam ini telah hilang di telan zaman.

* bagaimana pula dengan PEDANG DZULFAQAR?

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...