Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Monday, January 26, 2015

SUARA AMBO: KENAPA KURSUS DIBUAT SECARA TERTUTUP?

Salamun Alaik;
Ambo menjelaskan dasar penganjuran kursus yang telah disepakati yang mana ianya hanya dibuat secara tertutup

Ramai yang menghubungi ambo secara talian ataupun melalui laman sosial berkaitan dengan Kursus yang dianjurkan oleh Gayong Serantau Kelantan. Kebanyakkannya bertanya, bolehkah mereka ikut serta dan ada juga yang mempertikaikan kenapa ianya tidak dibuat secara terbuka seperti anjuran di tempat lain.

Berikut merupakan jawapan lazim yang ambo berikan.

1. Kursus KeGurulatihan yang dianjurkan oleh Majlis Gurulatih Gayong Serantau Kelantan adalah secara bersiri yang mana dilaksanakan secara berkala mengikut urutan Pelajaran.

2. Tahun 2014 yang lepas merupakan anjuran Kursus KeGurulatihan siri yang ke-12. Ini bermakna ia telah melibatkan Pelajaran di peringkat tinggi.

3. Sebenarnya, Gayong Serantau Kelantan ada juga menganjurkan Kursus-kursus Seni Tangan Kosong dan Senjata Asas seperti Seni Pisau, Seni Tongkat/Simbat dan Seni Parang. Namun ianya kurang mendapat sambutan.

4. Apa yang dapat dilihat, "trend" masakini, anak-anak Gayong kurang gemar untuk mengikuti Kursus-kursus Asas seperti ini tapi amat gemarkan menghadiri Kursus-kursus yang melibatkan Senjata Tinggi dan Senjata Tambahan @ Khas.

5. Namun hakikatnya, masih banyak Pelajaran Seni Tangan Kosong dan 3 Seni Senjata asas (Pisau, Tongkat,Parang) yang belum dikuasai atau difahami secara mendalam. Cuma ada golongan yang amat gopoh dan gelojoh untuk mempelajari sesuatu ILMU walaupun Pelajaran Asas belum mantap. Bab kata pepatah, "Belajarlah berdiri dahulu sebelum mula untuk berlari".

6. Majlis Gurulatih Negeri amat tegas dalam soal KELAYAKAN seseorang dari aspek TAHAP BENGKONG, LATARBELAKANG dan SIKAP sebelum membenarkan untuk menyertai Kursus KeGurulatihan anjuran kami. Seperkara lagi, apa yang penting mereka mampu untuk BERADAB dengan GURU kami. Motto kami adalah untuk "MELAHIRKAN JURULATIH YANG BERADAB DAN BUKAN BIADAB".

7. Terdapat beberapa respon setelah ambo beri jawapan seperti di atas seperti;

a. Semua Ilmu milik ALLAH SWT, jadi sepatutnya kita tak boleh halang atau susahkan untuk seseorang itu belajar.

b. Kami bukan tiada ADAB dengan Guru tetapi prinsip saya adalah Silat itu SilaturRahim jadi saya lebih suka belajar dengan semua Guru.

c. Sistem Pelajaran ini manusia juga yang buat, jadi tiada masalah sebenarnya untuk "break the rules".

d. Kita jangan terlalu taksub dengan seseorang Guru sahaja. Setiap Guru ada kelebihan masing-masing.

e. Di zaman moden ini kita perlu buat "adjustment" Pelajaran Gayong biar sesuai dengan permintaan atau kehendak masyarakat.

f. Pelajaran Gayong itu hanya sekadar "guide" sahaja, rasanya tidak perlulah taksub dengan "originality".Lagipun bukan semua pun disusun oleh ADMAR. banyak juga disusun oleh Orang Kanan ADMAR.

Kesimpulan daripada maklumbalas ini, ambo hanya ambik jalan untuk diam sahaja tanpa mempertikaikan pandangan mereka. Yang ambo harapkan golongan seperti ini perlu lah lebih mengaji ADAB dahulu sebelum datang menyertai Kursus anjuran Gayong Serantau Kelantan. Bagi ambo kalau dah pandai menjawab kenapa terhegeh-hegeh untuk menyertai kursus kami, carilah Guru yang sanggup terima anda sebagai murid!


Wallahua'lam.

Thursday, January 22, 2015

SUARA AMBO : FAHAMKAN SETIAP ILMU YANG DIPELAJARI

Salamun Alaik;

AlhamdulILLAH, pada bulan Disember lepas ketika musim cuti sekolah, ambo berkesempatan untuk bersama-sama dengan anak-anak Gayong yang bertaraf Pembantu Jurulatih. Pengisian kursus kali ini lebih kepada memberi kefahaman terhadap setiap pelajaran yang mereka pelajari. Bagi ambo, setiap ILMU itu ada huraiannya yang lebih mendalam dan kebiasaannya menjadi kekangan untuk dihuraikan ketika latihan di gelanggang. Apatah lagi sebagai seorang yang bergelar Pembantu Jurulatih @ Jurulatih Muda seharusnya MENGERTI apa yang mereka ajarkan kepada pesilat-pesilat baru. Selain itu, dengan pendedahan sebegini, sedikit sebanyak mereka akan lebih seronok untuk mengamalkan dan menambah keyakinan diri ketika di gelanggang. 


TEORI dan PRAKTIKAL merupakan 2 perkara yang saling berhubungkait dan untuk merealisasikannya setiap dari kita perlu "FAHAMKAN SETIAP ILMU YANG DIPELAJARI" dan kemudiannya melakukan LATIHAN SEHINGGA SEBATI DENGAN DIRI. Sebagai contohnya; jika ambo mengatakan YOI itu bermula seawal ASAS GERAKAN, di mana kedudukannya? ataupun bagaimana terbitnya 21 serangan tangan dari perbuatan "TUMBUK PINTAL TALI" dan kenapa Tumbuk Pintal Tali mendahului perbuatan Pancung Dayung dalam susunan pelajaran ASAS GERAKAN? Mesti ada sebab musababnya atau cerita disebalik terjadinya susunan sedemikian. Inilah antara yang didedahkan oleh ambo buat pelapis-pelapis muda supaya mereka dapat PRAKTIKAN ILMU YANG DIPELAJARI MELALUI JALAN FAHAM dan bukannya sekadar ikut perbuatan tanpa tahu selok belok HIKMAH di dalamnya. 



Sebagai Pengerusi Majlis Gurulatih Negeri, perancangan ambo adalah untuk memastikan KEFAHAMAN ini diterapkan dari awal lagi iatu diperingkat Pembantu Jurulatih. Setiap peringkat akan didedahkan dengan MODUL mengikut tahap tertentu. Harapan ambo adalah dapat "MENGAHASILKAN JURULATIH YANG BENAR-BENAR BERTARAF JURULATIH". Harapan ini terbit setelah pengalaman ambo berjumpa dan berbicara dengan ramai individu yang menggelarkan mereka seorang jurulatih tetapi hampa dalam aspek Kefahaman dan Ilmu yang mereka miliki, walaupun ada diantara mereka yang sudah terbelit Hitam berchula-chula.

Salah satu Buku Panduan : KUPASAN ASAS GERAKAN

# http://chulahitam.blogspot.com/2014/08/pesanan-buat-pembeli-e-books-kupasan.html

Wallahua'lam.

Tuesday, January 20, 2015

SUARA AMBO : APAKAH NIAT DAN TUJUAN ANDA BERSILAT?

Salamun Alaik;
 
Majlis Penyampaian Bengkong dan Jamuan Wida' gelanggang Maahad Syamsul Maarif Lelaki, Labok, Machang

NIAT. Itulah hal yang paling penting untuk kita sama-sama muhasabah diri dalam setiap perilaku kita. Tidak terkecuali dalam dunia persilatan. Renung kembali "APAKAH NIAT DAN TUJUAN KITA BERSILAT?" Dan jawapan yang terbit itulah KUNCI samaada usaha penat lelah kita selama ini mendapat manfaat di DUNIA dan di AKHIRAT atau sekadar mengecapinya di dunia sahaja. IKHLASkan DIRI dalam menuntut Ilmu Persilatan. Buang segala SIFAT MAZMUMAH dan isikan hati anda dengan segala SIFAT MAHMUDAH. Jaga ADAT dan ADAB dalam MENUNTUT ILMU, hormati GURU dan usahakanlah sepenuh hati untuk menemui DIA. InsyaALLAH, dalam setiap ILMU pasti ada JALAN untuk MENGENALNYA.

Wallahua'lam.

Monday, January 19, 2015

KONGSI ILMU : SENI LEMBING

Salamun Alaik;

" Gerak Langkahan perlu mengikut Gerak Perbuatan dan bukannya Gerak Perbuatan yang mengikut Gerak Langkahan"

# Dan bagi yang mengetahui, inilah penerangan paling JELAS tentang apa itu SENI YOI. 

Wallahua'lam.

PESAN GURU : ADAB DALAM BERGURU

Salamun Alaik;
Perkongsian Pengalaman dalam setiap kali Majlis 

Kepercayaan GURU terhadap muridnya banyak bergantung kepada kepercayaan murid pada GURUnya. Kepercayaan GURU sebenarnya AMAT PENTING dalam proses PENURUNAN ILMU terutamanya yang melibatkan KERAHSIAAN ILMU itu sendiri. Maka, menjadi tugas murid untuk berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan KEPERCAYAAN GURU terhadap dirinya. KUNCInya adalah "ADAB DALAM BERGURU". Antara ADAB DALAM BERGURU termasuklah;

1. Mentaati setiap suruhan GURU (selagi tiada bercanggah dengan syariat).
2. Hormat dan memuliakan GURU
3. Tidak "melompat" Guru selagi belum dapat keizinan GURU. (ini yang biasa berlaku sekarang).
4. Jangan mendesak dan meminta-minta.
5. Pegang setiap AMANAT GURU.
6. Kepercayaan yang tidak berbelah bahagi.
7. Jujur dan Ikhlas dalam menuntut ILMU.
 Mengiringi Almarhum Mahaguru di Majlis anjuran Pusaka Gayong di Pantai Merdeka
Mengiringi Almarhum Mahaguru di Melaka

# Begitulah sedikit perkongsian pengalaman Ayahanda Hj Amin Hamzah ketika bersama Almarhum Dato' Meor. Tidak hairanlah Almarhum Mahaguru begitu PERCAYA kepada beliau sehinggakan menganugerahkan Sandang PANGLIMA SINGA MALAYA (1983) dan menurunkan pelbagai KERAHSIAAN dalam KEILMUAN SILAT SENI GAYONG. Semoga kita murid generasi baru ini dapat menjadikan PESANAN ini sebagai panduan untuk kita dalam menuntut ILMU.

Wallahua'lam.

Friday, January 16, 2015

PESAN GURU : BENGKONG ITU AMANAH

Salamun Alaik;
Antara PESANAN ketika Kursus KeGurulatihan Gayong Serantau Kelantan siri ke-12 tahun 2014

Jujurlah dengan ILMU. Jagalah KETULENAN ILMU sebagaimana yang diAMANATkan oleh ALMARHUM MAHAGURU. "BENGKONG ITU AMANAH". Tidak usahlah mengejar bengkong. Biar masyarakat KENAL kita dengan ILMU yang ada, bukan kerana bengkong yang terlilit di badan. Apa guna bengkong berchula-chula jika ILMU yang kita ada tidak setaraf atau mencapai tahap? Kepada yang mengejar bengkong, yang bangga dengan bengkong berchula-chula, anda hanya boleh menipu diri anda sendiri tetapi tidak kepada KEBENARAN. Suatu masa pasti anda "MENYESAL". - Ayahanda Hj Amin Hamzah, Apit Jinjang Mahaguru merangkap Panglima Singa Malaya.

Wallahua'lam

Thursday, November 20, 2014

BERLEMBING DI SUNGAI LEMBING

Salamun Alaik;
Pada 14 November 2014 bertempat di Sungai Lembing, RIADAH LEMBING telah dilaksanakan oleh GAYONG SERANTAU PAHANG dengan kehadiran Ayahanda Haji Amin Hamzah selaku GURU yang membimbing dan memberi tunjuk ajar. Kenapa di Sungai Lembing? Pasti ada "Isyarat" bagi yang MENGETAHUI....................Sebenarnya banyak RAHSIA di sebalik kisah "berlembing" ini. Semoga ADAT dan ADAB bangsa MELAYU terus diwarisi oleh generasi hadapan. InsyaALLAH dengan BERKAT SYAFAAT BAGINDA RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM.








 Koleksi Lembing Panglima Amir Razali

 Sekadar Gambar Hiasan



Wallahua'lam.

Tuesday, November 11, 2014

BENGKONG GURU

Salamun Alaik;


Inilah BENGKONG GURU. Bukan merujuk kepada taraf atau tahap GURU tertentu, tetapi BENGKONG GURU yang diAMANAHkan buat penulis untuk menjaga AMANAH ILMU. Bengkong HARIMAU PELANGI CHULA SAKTI 3 milik AYAHANDA HAJI AMIN HAMZAH yang disampaikan sendiri oleh ALMARHUM MAHAGURU kepada beliau pada tahun 1983. Penulis pula terima Bengkong ini daripada Ayahanda Hj Amin Hamzah  pada tahun 2009 yang disaksikan oleh AHLI LEMBAGA WARIS AMANAH, Cg Ahmad Ayazi di Ipoh,Perak.

~Memori penuh TERSIRAT~

~Mengendong AMANAH Berat~

Wallahua'lam.

PESANAN GURU #1

Salamun Alaik;
Ayahanda Hj Amin Hamzah menerima BENGKONG daripada 
ALMARHUM SULTAN IDRIS SYAH dan ALMARHUM MAHAGURU

"ILMU GAYONG bukan HAK kita. 
Sebagai JURULATIH kita hanya diAMANAHkan untuk mengajar mengikut SISTEM PELAJARAN yang telah ditetapkan dan bukan ikut sesuka hati. 
Setiap ILMU ada SYARAT dan ADATnya. 
Hal PETUA dan RAHSIA pula pilihlah anak didikmu  
yang berAMANAH, 
pandai SIMPAN RAHSIA, 
JUJUR dengan ILMU dan 
TAAT pada GURU."

~Ayahanda Haji Amin bin Hamzah~
Apit Jinjang MAHAGURU

Bukan semua ILMU boleh dikongsi dengan pelbagai lapisan masyarakat sebab pecahan ILMU itu sendiri ada yg bersifat SYARIAT, TAREQAT, HAKIKAT dan MAKRIFAT. Pastinya ia menjadi FITNAH mengikut kefahaman taraf pemikiran mereka ~ Kalam GURU MULIA

Wassalam.

Sunday, October 26, 2014

HASIL KEMPEN JOM BERBADAN SENDO

Salamun Alaikum,
AlhamdulILLAH, Hasil daripada Kempen " JOM BERBADAN SENDO "

Pada 2013 yang lepas, Gayong Serantau Kelantan telah pun melancarkan Program " JOM BERBADAN SENDO " yang melibatkan para Jurulatih Gayong Serantau Kelantan secara khususnya. Inisiatif mengadakan program seumpama ini sebenarnya bertujuan untuk menyahut cabaran untuk mengikut jejak Almarhum Mahaguru yang telahpun menunjukkan satu contoh inilah TUBUH SEORANG PENDEKAR MELAYU! Seorang Pendekar bukan hanya pandai berpencak semata-mata selain "Pandai Akalnya", salah satu elemen yang amat penting juga adalah dari aspek KEKUATAN FIZIKAL. Berdasarkan kepada hujah inilah maka Gayong Serantau Kelantan telah melancarkan kempen ini setahun yang lepas. Kempen ini akan dilaksanakan secara berterusan dan akan melibatkan  murid Gayong dalam skop yang lebih meluas. InsyaALLAH. 
SEBELUM                                                        SELEPAS

Berikut antara latihan yang dilaksanakan untuk mencapai objektif kempen tanpa menjejaskan fisiologi tubuh sebagai Pesilat;

1. Latihan Kekuatan dan Kuasa Otot
2. Latihan Hypertrophy ( Membesarkan Saiz Otot)
3. Latihan Daya Tahan Otot.
4. Latihan Kelenturan.
5. Latihan Kardio
6. Latihan Ketangkasan.
7. Latihan Keseimbangan.

Latihan Deadlift dapat meningkatkan Kekuatan Otot secara keseluruhannya

Tekan Tubi sebelah tangan merupakan latihan kekuatan menggunakan beban tubuh

Tekan Tubi dengan jumlah yang banyak dan pantas dapat meningkatkan Daya Tahan Otot dan Kuasa Otot

Latihan Abdomen juga penting utk memperolehi otot teras yang kuat.

Semoga perkongsian maklumat ini mampu memberi manfaat buat semua. 

Wallahua'lam.

Saturday, October 11, 2014

SENI KUNCIAN SENDI PELENGKAP BUAH TAPAK KUNCI MATI

Salamun Alaik;
Buah Tapak Kunci Mati 20

Dalam Keilmuan Silat Seni Gayong, antara pelajaran yang unik berbanding Silat lain mahupun  seni beladiri asing adalah Buah Tapak Kunci Matinya.Asas Pelajarannya adalah 21 Buah (bagi Lelaki) dan 13 Buah (bagi Wanita). Namun bagi Pelajaran Tahap Jurulatih, setiap 21 buah tersebut dipecahkan pelajarannya kepada 7 lagi pecahannya menjadikannya 21 + (21x7) = 168 buah semuanya. Kemudian setiap Buah Asas itu diajar cara "LAPIS" atau Buka Kuncian (selingannya dalam Pentas). Terdapat 7 KAEDAH BUKA DAN KUNCInya dan ini menjadikan jumlah semuanya 147 buah. Dan setiap KAEDAH BUKA ini ada LAPIS nya lagi dan balas Kuncinya menjadikan Buah Lapis kedua ini sebanyak 147. Maka JUMLAH KESELURUHAN SENI KUNCIAN GAYONG yang ada dalam SILIBUS adalah sekurang-kurangnya 483 Buah. Namun apa yang ingin diterapkan adalah SETIAP KUNCIAN ADA PEMBUKANYA dan pemenangnya adalah yang paling "PANDAI AKAL". Dan seperkara lagi, walaupun ianya mencecah ratusan kunci tetapi ianya bukanlah untuk dihafal tetapi diHADAM KONSEPnya, kerana ASASnya terbit daripada HANYA 7 KAEDAH SAHAJA (IBU KUNCI). 

Salah satu PECAHAN KUNCI BUAH 7

Untuk melengkapkan ILMU KUNCIAN ini maka pesilat akan didedahkan dengan ILMU yang digelar SENI KUNCIAN SENDI. Ilmu ini amat mementingkan ILMU ANATOMI TUBUH MANUSIA dan Sifat BIO-MEKANIKnya. InsyaALLAH, setiap "SENTUHAN" pastinya menghasilkan IMPAK yang MENGERIKAN!
Antara Pelajaran Seni Kuncian Sendi BUAH KUNCI 1

Wassalam.

Tuesday, October 7, 2014

SANDANG KEGURULATIHAN SILAT SENI GAYONG

Salamun Alaikum;

Di sini penulis ingin berkongsi Sandang Kegurulatihan Silat Seni Gayong daripada 2 sumber utama iaitu daripada PSSGM yang merujuk kepada Buku Adat yang telah diperkenankan oleh Arwah Pemegang Amanah Cg Siti Kalsom dan Cg Ahmad Lazim pada 2001 yang lepas dan daripada PSSPGM pimpinan Cg Abdul Majid. Semoga perkongsian ini dapat meleraikan sedikit kekeliruan dan menambahkan kefahaman buat semua anak-anak Gayong di seluruh pelusuk dunia. Harapan penulis adalah mencari sebanyak mungkin TITIK PERSAMAAN antara semua pertubuhan Gayong yang berpunca dari Almarhum Mahaguru Dato' Meor Rahman.

Wallahua'lam.

Saturday, September 27, 2014

E-BOOK SENI PISAU

Salamun Alaikum,

Bagi yang berminat untuk mengetahui dan mengkaji PELAJARAN Silat Seni Gayong yang terbahagi kepada 4 SUMBER UTAMA (Singapore, Kedah, Perak dan Sel/KL), InsyaALLAH E-Book ini boleh membantu untuk dijadikan sebagai RUJUKAN bagi Pelajaran Seni Pisau yang bersumberkan Pelajaran dari Pusat Latihan Tertinggi Ayer Kuning, Taiping. Sumber Guru adalah Ayahanda CIKGU AMIN HAMZAH. Namun silibusnya merangkumi Pelajaran bagi MURID GAYONG. Untuk Pelajaran SENI PISAU bagi TAHAP JURULATIH tidaklah dicatat di dalam E-Book ini. 





Sebagai BONUS, pembeli E-Book ini akan dibenarkan AKSES untuk melihat rakaman video bagi BUAH KUNCIAN PISAU sebanyak 21 buah.


Bagi pandangan penulis, antara KELEBIHAN Pelajaran yang bersumberkan dari Pusat Latihan Tertinggi Ayer Kuning adalah banyaknya PECAHAN PELAJARAN, TAMBAHAN PELAJARAN dan BUAH KUNCIAN yang pelbagai dan berbeza (kurangnya berulang buah yang sama).

Kepada yang berhajat bolehlah hubungi penulis melalui SMS atau Whatsapp di talian 013-9229394

Harga : RM30


Wallahua'lam.

Monday, September 22, 2014

E-BOOK TEKNIK SERANGAN DAN BELAAN KAKI

Salamun Alaikum,








 Anda dapat mengakses VIDEO sebagai rujukan tambahan. 

AlhamdulILLAH, edisi kemaskini E-BOOK TEKNIK SERANGAN DAN BELAAN KAKI telah pun siap sepenuhnya. Edisi ini ditambah dengan BUAH KAKI sebanyak 21 buah yang diambil daripada SILIBUS KEBANGSAAN (dapat pengesahan daripada Arwah Cg Kalsom selaku Waris Amanah Mutlak). Anda juga boleh mengakses VIDEO Buah Kaki ini melalui Google Drive penulis sebagai rujukan tambahan. Kepada yang berminat bolehlah menghubungi penulis melalui SMS atau WHATSAPP di talian 0139229394.

E-BOOK TEKNIK SERANGAN DAN BELAAN KAKI

- Perkongsian Ilmu berkaitan SENI KAKI secara ILMIAH.
- Nota Buah Kombat Kaki sebanyak 49 buah + Buah Kaki 21 buah (Buku Silibus Kebangsaan )
- Anda juga dibenarkan akses melalui google drive ambo Video Buah Kaki (Buku Silibus Kebangsaan) seperti yg tertera dlm gambar di bawah.
- Terminologi Teknik Kaki dalam Istilah Gayong, Melayu dan Inggeris (Taekwondo).


Harga : RM40.

Wassalam

Sunday, September 21, 2014

HIKMAH SARUNG DIRI

Salamun Alaik;
Demo kelar oleh penulis

Dalam konteks Keilmuan Silat Seni Gayong, terdapat HIKMAH SARUNG DIRI yang mana secara asasnya ia mampu melindungi tubuh zahir dan batin kita dari ancaman senjata tajam musuh. Terdapat 4 peringkat utama mengikut tertib peningkatan Ilmu iaitu;

1. Sarung Diri dari TETAK
2. Sarung Diri dari HIRIS
3. Sarung Diri dari TIKAM
4. Sarung Diri dari PELURU

Setiap kenaikan peringkat memerlukan UJIAN yang dilaksanakan oleh GURU untuk memastikan ianya telah "SEBATI" dengan Diri.

Antara Amalannya adalah;

AYAT HULUBALANG

1. La Tudrikul Absoru Wahuwa Yudrikul Absora Wahuwallatiful Khobir - 21x
2. Kammin fi atin Qolilatin gholabat fi atan Kasirotan Biiznillah - 3x
3. Wa Bi Haqqi; La Hau La Wala Quwwata Illa Billahil 'aliyyil 'azhim
    Wa Bi haqqi; Kaf Ha Ya Ain Sod , Ha Mim Ain Sin Kof
4. xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx - 21x


Amalan-amalan lain yang pernah dikongsi sebelum ini seperti;

AYAT KEBAL (TIADA LUT SENJATA TAJAM DARI SUMBER BESI)

1. Basmalah.
2. Laqadjaa akum.......'arshil 'azhim (senafas)
3. Hai Besi Saudara Aku, 
4. Aku Ketahui Asal Mulanya,
5. xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
6. Besi Muhammad Asal Mulanya.

*ulangi mentera 3x

AYAT PELEMBUT BESI @ MENGHADAPI BESI TAJAM

Aku xxxxxxx Nur Haq
xxxxxxxxx Aku - Ah! (di halkum)
Tiada harus engkau memakan Aku,
Hu Allah (Nafas),
xxxxxxxxxxxx

*pandang besi dan bacalah;

Assalamualaikum Ya Nabi Daud as........Wa Alanna Lahul Hadid (berulang-ulang kali)

AYAT PEMBIAS

1. Basmalah.
2. Alam Ya'ni lilazi na Amanu........xxxxxxxxxxx.
3. Ah! (Niat tubuh diliputi pendinding seperti perisai).

Namun ASASnya mestilah mempunyai TAUHID yang KUKUH. Dan sebenarnya semua hal Hikmah ini mampu diterangkan secara saintifik melalui FIZIK KUANTUM @ MEKANIK KUANTUM. Tiada yang mustahil sebenarnya. Apa yang penting setiap AMALAN yang hendak kita buat mestilah bertunjangkan ILMU dan FAHAM. 

Wallahua'lam.


Friday, September 19, 2014

KERIS SAUDARA PENDAWA LIMA

Salamun Alaik.



Inilah Keris Adat Ayahanda Amin Hamzah berlok 3, Berlidah dengan Ketandaan LAM ALIF. Keris ini telah "DIKAHWINKAN" dengan PENDAWA LIMA milik ALMARHUM DATO MEOR RAHMAN. Upacara dan kaedahnya disempurnakan oleh Almarhum dan disaksikan sendiri oleh Ayahanda Amin Hamzah. Begitulah serba sedikit kisah tentang KERIS ini yang bergelar SAUDARA PENDAWA LIMA.

Wallahua'lam.

Wednesday, September 10, 2014

HAK MAHAGURU

Salamun Alaik;





Salah satu HAK MAHAGURU adalah menerima sebahagian wang fidyah ADAT PERLIMAU TAPAK. Selepas pemergian beliau, ke mana HAK tersebut disalurkan? Adakah ianya diwartakan secara jelas? ataupun ianya disalurkan kepada Waris Amanah? atau Waris Zuriat? atau ke Tabung Lembaga Adat? atau disedekahkan? atau ke dalam "poket" Wakil Perlimau"? Persoalan ini hanya dilontarkan agar kita sama-sama CAKNA akan hal ini.

Wallahua'lam.

Friday, September 5, 2014

E-BOOK BELADIRI WANITA

Salamun Alaik;




Di kesempatan ini penulis ingin berkongsi E-Book Beladiri Wanita ini buat semua. E-Book ini ditulis pada 2005 dan telah digunakan sebagai sumber tambahan dalam beberapa siri seminar dan bengkel beladiri wanita yang telah penulis sendiri anjurkan. Semoga beroleh manfaat atas perkongsian ini.


Link E-Books Beladiri Wanita


Wassalam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...