Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Tuesday, September 1, 2009

Empat Unsur Membentuk SILAT

Salam semua,


Dalam kajian saya tentang silat, sebenarnya ada empat unsur yang dirangkumi bersama membentuk silat. Ia adalah terdiri daripada;
  1. Ilmu Jasmaniah (fizikal)
  2. Ilmu Rohaniah
  3. Ilmu Tangan Kosong
  4. Ilmu Senjata
Jika cukup keempat-empat unsur ini, maka barulah dikatakan seseorang pesilat itu telah lengkap menuntut ilmu persilatan walaupun secara hakikatnya TIADA PENAMAT dalam kita mempelajari sesuatu ilmu terutamanya ilmu Ketuhanan.

Kenapa 4 unsur ini?

Saya menyatakan sedemikian kerana dalam seseorang itu menuntut ilmu persilatan, pesilat akan bermula dengan ILMU JASMANI terlebih dahulu. Bagaimana kaedah untuk menyediakan fizikal diri sebelum pesilat belajar cara berpencak. Otot-otot, sendi, tendon dan ligamen perlu di regang secara sempurna bg mengelakkan berlakunya kecederaan manakala otot-otot utama mestilah diasuh agar ianya dibentuk menjadi pejal dan kuat supaya sesuai dengan watak seorang pendekar yang asasnya banyak menggunakan KEKUATAN dan KEPANTASAN.

Setelah tubuh fizikal sudah mantap dan bersedia untuk berpencak, barulah pesilat di ajar kaedah berpencak menggunakan tulang empat kerat tanpa menggunakan senjata. Kaedah-kaedah asas silat seperti kaedah MENYERANG dan MEMBELA di samping BERTAPAK sempurna akan diajar serta diasuh sehingga ianya benar-benar dapat dilaksanakan sesempurna yang mungkin.

Seterusnya,pergerakan dan teknik-teknik pencak tadi di aplikasikan pula dengan menggunakan senjata-senjata di ALAM MELAYU seperti Keris, Lembing, Sundang, Pisau, Simbat/Tongkat, Golok, Parang, Kelewang, Kerewok, Lawi Ayam/Kerambit, Tekpi, Buku Lima, Tombak, Kapak, Sabit, Cendai/Kain, dan banyak lagi. Pesilat akan diminta utk menguasai setiap satunya supaya SIFAT dan GERAK senjata-senjata ini menjadi satu. Akhirnya pesilat yang benar-benar menguasai SIFAT dan GERAK ini dapat menjadikan setiap benda di sekeliling mereka sebagai senjata yang ampuh untuk mempertahankan diri apabila berhadapan dengan pelbagai jenis musuh di pelbagai jenis LOKASI.

Dan diperingkat penghujungnya, pesilat akan diturunkan dengan ilmu-ilmu berbentuk KEBATINAN dan KEROHANIAN. Suatu ilmu yang amat besar nilainya dan yang menjadi PAKAIAN PENDEKAR di zaman silam. Teringat pesanan arwah MAHAGURU saya,

" Jangan di cepuh darah di dulang,
Anak Harimau mencari ibu,
Jangan di pecah Rahsia Hulubalang,
Nanti Harimau Hilang Kuku "

Itulah sumpah para pendekar!

Sebenarnya, bukan semua yang bernasib baik dan terpilih untuk memakainya. Hanya kepada yang benar-benar layak sahaja yang dapat mewarisinya. Semuanya bergantung kepada GURU. Guru sahaja yang kenal akan muridnya. Mana mungkin ilmu yang amat besar nilainya ini dicurahkan kepada yang bukan layak. Ianya diukur dengan KEPERCAYAAN, KOMITMEN, AMANAH, DISIPLIN, SAHSIAH dan KUAT AGAMANYA.

Peringkat terakhir dalam penuntutan ilmu persilatan ini bolehlah dibagi kepada empat peringkat;
  1. Ilmu Pernafasan (Membangkitkan Tenaga Dalam)
  2. Bacaan Mentera (Keyakinan)
  3. Ilmu Kebatinan (Kelebihan doa,zikir,wirid dan ratib ayat2 Al-Quran)
  4. Ilmu Ketuhanan (Mengenal Diri dan Mengenal ALLAH)
Akhirnya, bila sampai di perhentian yang sebenarnya, Silat ini sebenarnya membawa pesilat-pesilat mengenal siapa sebenarnya dirinya dan akan menjadikan mereka sebagai hamba ALLAH yang sebenar-benarnya..............................

Kesimpulannya, Hakikat ilmu itu akan membawa makhluk menghadap Sang PenciptaNYA..........


Wallahua'lam



1 comment:

  1. Salam persilatan.. teknik kuncian yang di nyatakan sememangnya berkesan digunakan semasa keadaan yang memaksa. untuk lebih berkesan ia memerlukan penumpuan semasa latihan agar tidak berlaku kesilapan atau kecederaan. Untuk anak anak persilatan jangan melakukan kepada sesiapa sesuka hati agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini. Teknik yang dipaparkan merupakan rahsia persilatan yang senang dipandang tetapi boleh memusnahkan pencabar. Saudara Azizan teruskan info yang terkini bagi memantapkan ilmu persilatan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...