Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Saturday, January 19, 2019

MENYALAHKAN KEHENDAK LAWAN

Salamun Alaik;


Realiti pertempuran sebenarnya perlu  membezakan antara teknik yang berkesan dengan buah-buah latihan di gelanggang. Ia cukup berbeza. Tetapi untuk mendapatkan Teknik yang benar dan berkesan memerlukan latihan buah-buah tersebut digelanggang terlebih dahulu. Maknanya kedua2nya saling memerlukan.

Selain itu, antara pengetahuan yang penting sewaktu pertempuran dengan musuh adalah "perlu menyalahkan kehendak musuh". Apa sebenarnya kehendak musuh itu? Ianya adalah sesuatu yang kompleks tetapi ada beberapa tips dan petua.

Antaranya adalah bilamana berdepan dengan musuh yang biasa dengan martial arts, musuh memang mengharapkan kita berdepan dengan memasang kekuda yang universal, iaitu tarik kaki kanan belakang dengan gaya tangan dihadapan. Jadi senang untuk musuh mengagak serangan dan belaan kita. Oleh yang demikian, dalam Keilmuan Gayong itu sendiri ada mengajar pelbagai kaedah bertapak kekuda. Pasang kekuda mengikut gaya dan kaedah musuh. Kekadang kekuda Alif juga amat berkesan bila berdepan musuh yang mahir dalam martial arts kerana kita menyembunyi tindakan awal kita bila dalam kedudukan berdiri lurus. Gaya Tapak Songsang juga boleh menyalahkan kehendak lawan (antara kelebihan Silat Spelet).Itu diantara Ilmu yang didedahkan kepada anak-anak Gayong agar sikap dan perbuatan kita sentiasa MENYALAHI KEHENDAK pihak musuh!

Masih banyak yang perlu dibincang dan dikupas. Cukup dahulu dalam diskusi kali ini. Yang penting kita perlu faham, jangan sesekali kita guna ILMU kita untuk memudahkan pihak lawan menumbangkan kita. Sentiasalah MENYALAHI KEHENDAK & PERMINTAAN pihak musuh. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua. Selebihnya akan ambo kongsi dalam Kursus-kursus Pembantu Jurulatih dan Jurulatih.

Wallahua'lam.

Friday, January 18, 2019

KEMBALI KEPADA ASAS

Salamun alaik,


Dalam mengejar pelajaran-pelajaran yang tinggi sehinggakan kadang-kadang melangkaui Adat dan Adab Ilmu, tetapi banyak hal yang ASAS masih belum kuasai dan mengerti sebenarnya. Masih ramai yang keliru dan yang tidak pernah ambil tahu soal ASAS walaupun ianya AMAT PENTING dalam Pertempuran seperti Konsep Kekuda, Perletakan Pandangan, Sudut Bertempur, Perletakan Tangan Menanti, Kaedah Susun Tapak, Aturan Nafas, Kehendak Musuh, Sistem Biologi Tubuh, Faktor Alam termasuklah bagaimana untuk menghilangkan gugup atau membuang perasaan takut berdepan pihak musuh.

Ambil satu contoh untuk dibincangkan. Perletakan Tangan sewaktu menanti. Sewaktu membuka tapak, kedua tangan akan diarah ke hadapan. Persoalan yang berbangkit adalah;
1. Apa fungsi bagi setiap satunya. Tangan kanan dibelakang dan tangan kiri dihadapan ataupun tangan kiri dibelakang dan tangan kanan dihadapan.
2. Perlukah meletak tangan dan apa kelebihannya?
3. Adakah perlu buka kepalan tangan atau genggam keduanya.ataupun satu buka dan satu tutup.
4. Berapa sudut dan sukatan sebenar mengikut ukuran tubuh pesilat?

Itu antara persoalan yang perlu dijawab oleh setiap dari anak Gayong terutamanya para Jurulatih. Sebab sebahagian besar langsung mengabaikan hal yang penting ini walauoun ianya adalah ASAS sewaktu berdepan pihak musuh. Dan ianya adalah pemula sebelum kita melaksanakan Elak, Tangkis dan menyalahkan perbuatan lawan.

Melalui pengamatan menerusi media-media sosial dan youtube, ada yang berbengkong Hitam pun masih "kosong" pengetahuan berkaitan isu ini. Main belasah sahaja mengajar anak-anak muda yang sedang bertatih. Sampaikan buka tapak, tangan tu seolah-olah bagi percuma kepada pihak lawan untuk menarik atau menyentap ke depan. Terlampau menghulur. Sedangkan dalam Keilmuan Gayong ini cukup terperinci. Setiap Gerak Geri ada SISTEM dan PETUAnya.

Bagi pandangan ambo, disinilah peri pentingnya FAKTOR GURU. Hanya yang benar-benar Guru yang mampu menunjuk ajar. Ilmu yang "Hidup" dan bukan hanya mengikut sukatan pelajaran yang baku secara tiru-tiruan. Belajar ini bukan semata-mata fokus kepada pengisian pelajaran tetapi kaedah mengajar juga perlu diberi perhatian.

Diharap pandangan dan diskusi kali ini dapat memberi pencerahan berkaitan hal ASAS yang perlu digali dan diberi perhatian. Jangan terlampau mengejar pelajaran yang tinggi-tinggi selagi hal yang asas masih lagi goyah. Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Rugi masa, rugi tenaga dan rugi wang ringgit. Ia umpama hendakkan Ilmu pada nama dan sijil semata-mata. Ilmu tu aku dah belajar. Ilmu ini aku dah berkursus. Ubah lah sikap jika benar-benar mau berGayong. Semoga beroleh manfaat.

Wallahua'lam.

Tuesday, January 15, 2019

GURU TUA, GURU LAMA DAN MURID LAMA

Salamun Alaik,


Post pertama bagi tahun 2019. Ambo InsyaALLAH, tahun ini akan lebih aktif menulis blog seperti 8-9 tahun sebelum ini. Kali ini ambo nak utarakan isu yang bagi ambo ramai anak-anak Gayong keliru iaitu panggilan atau gelaran kepada orang-orang lama dalam Gayong ini. Biasanya, generasi muda kini sukar nak membezakan antara Guru Tua , Guru Lama ataupun Murid Lama. Jumpa jer orang lama, terus sahaja dilabel Guru Tua. Sebenarnya ianya tidaklah tepat kerana gelaran GURU TUA itu sesuatu gelaran yang cukup tinggi bagi seseorang yang diiktiraf selaku GURULATIH KANAN ALMARHUM MAHAGURU YANG MEMPUNYAI KEILMUAN YANG TINGGI DAN DIPERCAYAI LAGI AMANAH. Bukan sekadar pernah belajar dengan ADMAR ataupun sekadar jurulatih biasa di zaman hayat ADMAR. Ia juga bukan merujuk kepada berapa lama sudah berGayong ataupun berapa tua umurnya sekarang. 

Gelaran Guru Tua ini diwujudkan sebagai Guru Rujukan bagi menggantikan Almarhum Mahaguru yang sudah berpendah alam. Maka, jika seseorang itu tidak termasuk dalam definisi selaku Guru Tua, jika mereka pernah menjadi jurulatih di zaman ADMAR bolehlah kita gelar mereka sebagai GURU LAMA @ Senior atau dengan panggilan trend terkini sebagai OTAI GAYONG. Jika pernah belajar dengan ADMAR tetapi tidak pernah ditauliah sebagai Jurulatih maka panggillah mereka dengan MURID LAMA @ Murid Tua. 

Kenapa perlu labelkan mereka? Bagi ambo ianya cukup penting kerana faktor ini dapat mengekal originaliti Keilmuan Gayong itu sendiri. Rujukan Utama adalah melalui Guru Tua dan yang selainnya bolehlah sekadar diambil cerita pengalaman mereka dan Ilmu mereka sebagai penambahan jika perlu. Namun begitu, selaku anak Gayong generasi muda, hormatilah mereka yang lebih tua dan senior. Pengelasan ini hanya sebagai panduan dalam kita mengenal kepada siapa yang patut dibuat Rujukan Utama dan memastikan Ketulenan  Ilmu yang dipelajari.

Wallahua'lam.

Friday, June 22, 2018

MAJLIS PELANGI HITAM

Salamun Alaik;

Majlis Pelangi Hitam Ayahanda Hj Amin Hamzah ditubuhkan pada Disember 2017 sebagai satu inisiatif Barisan Jurulatih Ayahanda yang diketuai oleh penulis sendiri agar ada satu badan formal yang bertanggungjawab menjaga Khazanah ILMU SILAT SENI GAYONG melalui legasi Ayahanda Hj Amin Hamzah. Seperti yang telah maklum, Ayahanda Hj Amin merupakan Apit Jinjang Almarhum Mahaguru dan Gurulatih yang ditauliah sendiri oleh Almarhum Mahaguru sebagai PANGLIMA SINGA MALAYA yang mana bertindak selaku Ketua Gurulatih Kebangsaan di zaman tersebut. Secara tidak langsung, Ayahanda Hj Amin Hamzah antara Gurulatih yang banyak menyimpan Khazanah Ilmu secara langsung dari Almarhum Mahaguru sehingga akhir hayatnya. Majlis ini dipimpin oleh kesemua Murid Ayahanda yang menyandang Sandang Kegurulatihan Panglima Singa Malaya dan Panglima Pelangi Hitam seramai 5 orang dan dibantu oleh Panglima Chula Hitam, Panglima Geliga Sakti dan Panglima Amanah Sakti yang dipilih oleh Ahli Majlis. Selain itu, Objektif penubuhan Majlis Pelangi Hitam ini bertujuan;

1. Mengumpul, menyelaras dan menyusun atur setiap pelajaran yang pernah diperturunkan oleh Ayahanda Cg Hj Amin Hamzah.
2. Memastikan pelajaran yang dikumpul ini diserap dalam SISTEM PELAJARAN bagi pengisian Awan Putih sehingga Harimau Pelangi Chula Sakti.
3. Mengawal ketulenan dan originaliti pelajaran Silat Seni Gayong.
4. Membantu memberi khidmat nasihat jika diperlukan dan menegur gurulatih-gurulatih yang menyeleweng dari mengikut garis panduan yang ditetapkan.
5. Memastikan Gurulatih-gurulatih diisi dengan pelajaran yang cukup mengikut sistem pelajaran dan sentiasa bersedia dari aspek fizikal dan rohani.
6. Menetapkan syarat-syarat tertentu untuk kenaikan Pelangi Hitam HPCS agar memastikan Kualiti setiap pemegang HPCS sentiasa terjamin dan berdaya saing mengikut peredaran zaman.

Wallahua'lam.



Wednesday, June 20, 2018

FUNGSI KERIS

Salamun Alaik

Mengikut Allahyarham Mahaguru, SENI KERIS telah beliau ajar dengan 3 jalan cerita. Dua diantaranya adalah kisah pertarungan Tuah dan Jebat dan perkisahan Laksamana Bentan dengan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Setiap lenggok, sifat dan langkahan permainan Keris nya amatlah berbeza. Langkahan Tuah juga banyak bezanya dengan Langkahan Jebat. Begitulah juga kaedah genggam, kaedah buka, kaedah bertapak, kaedah menikam dsb nya.  

Keris adalah SIMBOL KUASA bagi warisan bangsa Melayu. Ianya penuh dengan ADAT dan ADAB yang amat tinggi nilainya. Maka, Seni Keris ini diajar pencaknya seiring dengan Adat dan Adabnya. Ada yang bersifat sebagai keris bertikam, ada yang menjadi keris hukuman dan ada sekadar simbolik kuasa. Nilai dan hikmahnya bermula dari pemilihan jenis logam, hari dan siapa empunya diri sehinggalah kepada kaedah pencak yang akan digunakan; lenggok,sifat dan langkahannya. Kaedah "simpan" dan cucinya juga turut ditekankan. Saat bertikam jangan sesekali memisahkan Keris dengan sarungnya. Sarung itu banyak manfaatnya jika kita benar-benar mengetahui. 

Semoga beroleh manfaat. Wallahua'lam.

PETUA SENI SUNDANG

Salamun Alaik;


Seni Sundang merupakan seni senjata yang diajar pada pemegang bengkong Hitam. Banyak syarat dan kriteria bagi seseorang jurulatih itu dinilai sebenarnya oleh sang GURU sebelum mula pembelajarannya. Namun kini ianya kurang diendahkan oleh kebanyakan guru yang sepatutnya memelihara Amanah. Mungkin guru tersebut sengaja ataupun tidak pernah tahu syarat2 ini Wallahua'lam. (timbul syak ianya sekadar rekaan guru itu sahaja). Ada IKRAR, ada KAEDAH, ada SENI, ada FALSAFAH, ada PETUA, ada RAHSIA dan ada AMALAN. Mungkin ada yang pernah belajar tapi belum lengkap semuanya. Ini jelas kerana setiap yang diperturunkan oleh ALMARHUM MAHAGURU bukan secara pukal tetapi ianya secara secara beransur-ansur. Sesiapa yang tekun dan bersabar InsyaALLAH berjaya menguasai dan mempelajarinya secara total tetapi yag belajar sekali dua ataupun hanya ikut kursus sekali seumur hidup walaupun ALMARHUM MAHAGURU sendiri yang mengajar pastinya tidak berjaya menguasai Keilmuan ini secara keseluruhannya. Cukup berbeza permainan antara Guru yang hanya sempat belajar sekali dua dengan ALMARHUM MAHAGURU dengan Guru yang berjaya menguasai dan mempelajarinya secara tertib dan sempurna dalam sesuatu tempoh masa yang tertentu. Kini untuk dapatkan Keilmuan ini secara sempurna memang agak sukar namun untuk pendedahan asas mmg mudah kerana banyak kursus-kursus yang dibuka untuk disertai oleh jurulatih-jurulatih Gayong seawal Pelangi Merah Tinggi. 

Keilmuan Seni Sundang banyak menitikkan KUDRAT pengemudi dan TEKNIK KEMUDInya. KUDRAT pula mestilah dari hasil latihan fizikal yang konsisten menggunakan jenis latihan beban tubuh atau menggunakan beban secara ansur maju. Saiz dan ukuran Bilah serta Hulunya juga diambil kira. Ada ukuran-ukuran tertentu mengikut si pemakai agar ianya sesuai ketika digunakan dalam teknik menyerang dan juga belaan. Kesimbangan berat antara Bilah dan Hulu amat memberi kesan ke atas Kelajua, Ketepatan serta Impak kemusnahan sewaktu hayunan,Libasan dan tetakan Sundang. Terdapat kaedah senaman untuk mengukur sejauh mana keupayaan diri sipemakai dengan ukuran dan berat Sundang sebelum boleh mula berlatih. Dalam gambar di atas ada dikongsikan sedikit Konsep yang melibatkan Seni Sudang. Setiap satunya ada Petua dan Latih Tubi agar setiap Hayunan,Libasan dan Tetakan Sundang menjadi benar-benar BERKESAN dan bukannya kan makan diri sendiri!

Semoga beroleh manfaat. Wallahua'lam.

12 PAKAIAN DAN 21 KAEDAH SENI CENDAI

Salamun Alaik;




Adapun terdapat 12 pakaian Cendai mengikut urutan dari siring pinggang hinggalah kepada Tengkolok Bugis di kepala. Antara NAMAnya;
1. Simpul dan Sentap
2. Kelubong Awang Bodo
3. Selendang
4. Sentung
5. Ular Danu
6. Jerat
7. Simbat Kuang
8. Lipat Kuang
9. Tebor @ Tebar Jala
10. Sauk-Sauk
11. Pukat
12. Tangguk-Tangguk
13. Sangga Maut
14. Serkap
15. Sentap
16. Kalong Puteri
17. Sireh Junjung
18. Gari-Gari
19. Tangkai Maut
20. Ibu Segenggam 
21. Tengkolok Bugis

Wallahua'lam

SALAM AIDILFIRTRI


Sunday, February 26, 2017

LOGO 3D ANIMASI



Monday, January 30, 2017

BELAJAR KONSEP DAN LATIH TUBI

Salamun Alaik,

Dalam Keilmuan Gayong terdapat SISTEM PELAJARAN yang disusun rapi oleh Almarhum Mahaguru bersama Gurulatih-Gurulatih Kanan beliau yang dipercayai. Memang sekali imbas dilihat kaedah berGayong ini banyak sekali menghafal buah-buah. Direka pentas-pentas atau permainan Tapak Hidup yang jelas tidak realistik. Namun sebenarnya ianya hanya sebahagian daripada PROSES PENGAJARAN dan PEMBELAJARAN. Bukan senang untuk terus CEKAP dan MANTAP hanya dengan belajar KONSEP dan PETUA. Bukan senang untuk jadi seorang PAKAR hanya dengan LATIH TUBI sahaja tanpa ILMU yang CUKUP. Maka bagi seorang ANAK GAYONG, jangan cepat melatah dan terpengaruh hanya dengan "cakap-cakap" orang yang tidak arif berkaitan SILAT SENI GAYONG. Seringkali terbaca dalam laman sosial yang memperlekeh GAYONG yang banyak belajar menghafal buah dan pentasnya yang banyak tidak logik yang hanya nak bagi nampak ganas dan menarik. Itu kata mereka yang tidak faham SISTEM PELAJARAN GAYONG! Bagi yang faham, jelas melihat kedangkalan dari pihak mereka. Nak jadi seorang PAKAR tak cukup hanya dengan belajar KONSEP. Juga tak cukup hanya dengan DRILL sahaja tanpa ILMU yang luas. Kenyataan mereka jelas hanya untuk promosi teknik mereka untuk tarik ramai penyertaan bila dianjurkan kursus dan bengkel-bengkel murahan. DUIT sebenarnya agenda utama mereka. Sebahagian kecil untuk promosi diri. Dan selebihnya mengaku "IKHLAS" untuk mengajar walaupun ikhlas mereka memerlukan kritik dan kutuk SISTEM PELAJARAN GAYONG terlebih dahulu.

Kesimpulannya, memang belajar KONSEP @ PETUA ataupun latihan LATIH TUBI @ DRILL itu amat penting untuk membentuk seorang pesilat itu sebagai seorang PAKAR tetapi ianya hanyalah sebahagian dan bukan satu-satunya kaedah. Mereka perlukan SISTEM PELAJARAN yang LENGKAP dan telah teruji berkesan yang didalamnya  juga terkandung KONSEP dan MODUL LATIH TUBI. Yang menjadi persoalannya, berapa ramai yang mengikut SISTEM PELAJARAN ASAL sehingga bengkong HPCS yang diakui oleh ALMARHUM MAHAGURU?

#bagaimanana nak mengajar murid dengan SISTEM PELAJARAN sehingga HPCS jika Guru yang itu sendiri tiada pengalaman mengikuti SISTEM PELAJARAN tersebut. Apatah lagi yang generasi baru langsung tiada ikuti Sistem Pelajaran tersebut tetapi hanya dengan menerima anugerah-anugerah sehingga bengkong Hitam. Diri sendiri tidak diuji dan tiada pengalaman bagaimana untuk meneruskan legasi Pendekar Gayong yang sebenar mengikut ACUAN ALMARHUM MAHAGURU.


Wallahua'lam.

Wednesday, December 28, 2016

ILMU TEMPUR PANGLIMA BUGIS

Salamun Alaikum,
AlhamdulILLAH, dikesempatan awal Disember yang lepas, Ayahanda Hj Amin Hamzah telah perkenan menurunkan ILMU TEMPUR PANGLIMA BUGIS. Asasnya menggunakan 2 Senjata Utama iaitu PEDANG/SUNDANG dan KERIS secara serentak. Konsep pertarungannya adalah di atas Kapal Laut dan serangan musuh dari pelbagai arah. Adatnya hanya diperturunkan kepada 3 murid untuk 3 malam. Selebihnya adalah Rahsia Murid dengan Guru. Sesungguhnya ILMU SILAT SENI GAYONG cukup banyak untuk kita sama-sama pelajari dan terokai.

Wallahua'lam.

Thursday, December 1, 2016

UJIAN KETAHANAN DIRI BAGI SETIAP KENAIKAN CHULA HPCS

Salamun Alaikum,



Gayong Serantau Kelantan di bawah bimbingan Ayahanda Tn Hj Amin Hamzah telah menetapkan bahawasanya setiap pemegang bengkong Harimau Pelangi Chula Sakti perlu menjalani UJIAN KETAHANAN DIRI bagi setiap Kenaikan Chula. Tidak sesekali anugerahkan hanya disebabkan faktor senioriti, banyak sumbangan atau berjawatan tinggi (pengaruh). Penetapan ini sebenarnya untuk MEMPERKASAKAN SISTEM dan memastikan ianya telus dan menepati apa yang telah Almarhum Mahaguru gazetkan. Semoga ianya dapat dilaksanakan dengan ISTIQAMAH agar GAYONG KEMBALI GAH sebagaimana di zaman Almarhum Mahaguru.

Wallahua'lam.

KITAB RUJUKAN UTAMA ILMU PENGISIAN DIRI SILAT SENI GAYONG

Salamun Alaikum,

Ilmu Pengisian Diri Silat Seni Gayong disimpan rapi oleh Guru-Guru Kanan Almarhum Mahaguru sebagai AMANAH agar ianya dipelihara dan diperturunkan hanya kepada Murid-murid yang dipercayai sahaja. AlhamdulILLAH, sehingga kini terdapat 2 buah KITAB PENGISIAN DIRI yang telah didokumentasikan dalam bentuk bercetak yang mana rujukannya adalah YM DATO RAJA CG ABDUL MAJID (Pengarah Pelajaran pertama) dan AYAHANDA TN HJ MOHAMAD AMIN HAMZAH (Panglima Singa Malaya). Namun, Kitab ini juga hanya terhad kepada Gurulatih tertentu yang diIZINkan SAHAJA.


Saturday, November 12, 2016

KURSUS PEMANTAPAN ILMU SENI PISAU


Salamun Alaikum,
KURSUS PEMANTAPAN ILMU SENI PISAU BERSAMA GURU HJ AMIN HAMZAH
(Panglima Singa Malaya Almarhum Mahaguru)


Tarikh: 2-4hb Disember 2016
Tempat: Markas MADU, Machang, Kelantan
Yuran : RM150 termasuk Makan Minum dan Penginapan 3 hari 2 malam.


Semua ANAK-ANAK GAYONG dijemput untuk menyertai dengan SYARAT telah menjalani ADAT PERLIMAU SINTUK SENI.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi;
0179315428 (En.Yusop)
0145047890 (En. Syarif)



Wallahua'lam


Thursday, July 7, 2016

Tuesday, February 23, 2016

CHANNEL TELEGRAM

Salamun Alaikum,


Kepada yang berminat untuk mendapatkan INFO dan PERKONGSIAN berkaitan ILMU SILAT SENI GAYONG bolehlah JOIN channel telegram saya https://telegram.me/GelanggangPersantanala 

Konsepnya hanya satu hala kerana tiada ruangan komen dan post daripada ahli. Jika bermanfaat gunalah sebagai pedoman dan jika ada yang kurang bersetuju atau tiada bermanfaat semoga berlapang dada. Ini hanyalah sekadar usaha saya dalam menyebarkan segala ILMU yang pernah saya pelajari khususnya dalam SILAT SENI GAYONG. InsyaALLAH, segala yang dikongsikan hanyalah bersifat UMUM. Yang RAHSIA itu biarkanlah ianya KEKAL RAHSIA sehingga ada yang sudi MENADAHNYA secara ADAT & ADAB yang sewajarnya.

Wassalam.

Friday, October 2, 2015

Friday, September 25, 2015

PESANAN GURU : KEKALKAN MOMENTUM

Salamun Alaik;
Umur hanyalah angka bagi yang mampu kekalkan prestasi diri

Dikesempatan ini ambo ingin berkongsi salah satu PESANAN GURU ambo yang selama ini ambo amalkan. Kekadang itu pesanan ini nampak macam biasa-biasa sahaja tetapi jika diamalkan ia boleh berubah diri menjadi luar biasa. Luar biasa yang dimaksudkan merujuk kepada majoriti masyarakat "tidak mampu" tetapi sebahagian kecil mampu melaksanakan atau mengekalkan keupayaan, kepakaran yang sedia ada. Dengan bahasa yang mudah bolehlah kita gelarkan sebagai KEKALKAN MOMENTUM yang sedia ada. 

Secara normalnya, jika pakar-pakar seni beladiri mencecah usia senja, banyak elemen yang semakin merosot terutamanya kepantasan, stamina,ketangkasan, fleksibiliti, kekuatan,daya tahan otot dsb nya. KENAPA? Kadang-kadang ianya berlaku tanpa disedari. Sentiasa ingat mereka masih di tahap terbaik kerana pandangan murid-murid mereka sentiasa mengagongkan dirinya. "Dulu Guru ini boleh bla bla bla", "Dulu Guru ini kuat boleh bla bla bla", "Dulu Guru ini terlalu tangkas sehinggakan bla bla bla".... Ini lah ungkapan yang kita sentiasa dengar iaitu DULU, SEBELUM INI, MASA MUDA dan seangkatan dengannya.

Persoalannya bagaimana untuk mengekalkan momentum ini setelah kita mencapai kemuncak prestasi? Di sinilah PESANAN GURU memainkan peranan. 

" JANGAN ABAIKAN ASAS GERAKAN. JADIKAN IA AMALAN KAMU SETIAP HARI. INSYAALLAH, IA AKAN MEMBANTU MENINGKATKAN PRESTASI KAMU. 
BAGI YANG SUDAH DAPAT GERAKAN 349 GAYONG, ITU LEBIH BAIK. DAN 
BAGI YANG BERGELAR GURULATIH, GERAK BAYANG ITU ADALAH ZIKIR KAMU."





AlhamdulILLAH, pesanan ini telah menjadi "PAKAIAN" ambo. Dan sehingga kini ianya memang amat membantu ambo mengekalkan momentum yang sedia ada. Semoga ianya juga dapat memberi manfaat buat semua dan dapat istiqamah mengamalkannya.Sememangnya pesanan ini nampak biasa-biasa namun cubalah amalkannya, setelah umur mencecah 40, 50 atau 60 ke atas pasti anda akan merasai kebenarannya.

Wallahua'lam.

Tuesday, July 28, 2015

KONGSI ILMU : KEKUATAN OTOT DALAM SUDUT BIOLOGI

Salamun Alaik;
 Gambar Hiasan

Kekuatan Fizikal merupakan salah satu elemen yang penting dalam aspek Ilmu Beladiri. Untuk meraih atau mencapai kekuatan fizikal ini, terlebih dahulu kita perlu tahu bagaimana perkaitan kekuatan itu secara biologinya. Tubuh kita terdiri daripada sekumpulan otot rangka yang menyeliputi sistem rangka dan menyambung tulang dengan tulang yang lain. Otot bekerja secara bertentangan. Satu menguncup dan bahagian antagonisnya akan mengendur. Manakala sebahagian lain akan bertindak sebagai penstabil dan menyeimbangkan tubuh. Pada setiap otot ini, ianya akan  bersambung dengan sistem saraf yang dipanggil neuron motor. Neuron motor ini pula berfungsi merangsang gentian otot untuk proses penguncupan. Setiap unit motor akan mengawal sekumpulan otot, jika tubuh kita ingin melakukan kerja yang melibatkan suatu daya yang besar, ia memerlukan unit motor direkruit dengan lebih banyak. Ianya dapat dilakukan apabila neuron motor menghantar RANGSANGAN TAMBAHAN. Selain itu, semakin banyak cabang neuron motor yang terbentuk pada sekumpulan otot, maka semakin tinggi daya yang diterima oleh gentian otot untuk menguncup. Proses penguncupan juga memerlukan tenaga ATP (selain ion Kalsium). ATP ini diperolehi daripada  hasil sintesis Kreatin Fosfat dan Glikogen dalam sel otot (metabolisme) dan juga sumber glukosa dan asid lemak dalam aliran darah. ATP akan ditukarkan kepada ADP untuk mendapatkan TENAGA.

Secara ringkasnya, untuk menghasilkan OTOT YANG KUAT;
1. Latihan yang spesifik bagi melatih neuron motor mampu untuk membuat rangsangan tambahan.
2. Latihan yang konsisten dengan kaedah yang betul membantu neuron motor membentuk cabangnya dengan lebih banyak.
3. Diet yang betul agar otot sentiasa mempunyai cukup sumber glikogen dan glukosa untuk ditukarkan kepada ATP.
4. Memakan sumber Daging Merah supaya dapat membekalkan sumber Kreatin yang mencukupi. Kreatin mampu membekalkan sumber fosfat agar ADP yang terhasil mampu ditukar kembali kepada ATP. 
5. LATIHAN TAFAKKUR (MEDITASI) supaya memiliki Mental dan Fokus yang tinggi kerana ia membantu sistem biologi berkerja secara maksima dan cekap.
6. TEKNIK PERNAFASAN yang betul agar sel mendapat bekalan oksigen yang sempurna dan membantu proses respirasi sel (hasilkan tenaga) dengan optimum.
7. ILMU GERAK BAYANG yang mampu merangsang SISTEM SARAF dengan penghantaran Impuls yang pantas melalui neuron-neuron transmitter ke OTAK dan OTOT.


InsyaALLAH, dengan kefahaman yang ada serta BERAMAL secara ISTIQAMAH, kita mampu memperolehi KEKUATAN OTOT dan TUBUH yang TINGGI.

*tidak semestinya ada sekumpulan otot yang besar untuk menjadikan seseorang itu kuat secara fizikalnya tetapi ianya lebih berkait dengan berapa jumlah MOTOR UNIT yang direkruit sewaktu sesuatu kerja dilakukan. Namun, jika memiliki otot yang besar dan sistem MU yang baik, maka ia lebih sempurna.

Wallahua'lam.


Sunday, July 26, 2015

INFO : PEKELILING BERKAITAN AKTIVITI SILAT DI SEKOLAH KPM

Salamun Alaik;




Di sini saya lampirkan PEKELILING berkaitan aktiviti Silat di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia agar semua pihak terutamanya Jurulatih luar yang terlibat dalam aktiviti mengajar Silat di sekolah-sekolah dapat membuat rujukan terutamanya yang melibatkan PENGGUNAAN SENJATA . 






Semoga semua pihak beroleh manfaat.


Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...