Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Tuesday, January 22, 2013

NILAI HARGA SEBILAH SENJATA

Salamun Alaik;

 Gambar Hiasan

Hubungan pengamal silat dan senjata ibarat hubungan antara isi dengan kulit.Setiap pengamal silat kebiasaanya akan mendapatkan dan menyimpan sekurang-kurangnya sebilah senjata sebagai senjata milik peribadi mereka. Apatah lagi, bagi pengamal silat yang juga sebagai "kolektor"senjata, tentunya berpuluh-puluh malah beratus koleksi yang disimpannya. Nilaian harga pada sebilah senjata tersebut pula bergantung kepada faktor-faktor seperti berikut:

1. Pembuatan oleh Tokoh Tersohor Pandai Besi.
2. Jenis-jenis besi.
3. Milik Tokoh tertentu atau senjata kuasa di zaman2 dahulu.
4. Rekabentuk bilah.
5. Jenis Hulu dan Sarung ( kayu terpilih@tanduk@gading).
6. Jenis ukiran dan eksesori-eksesori tambahan.
7. Bentuk dan Corak pamor.
8. Pengisian Amalan-amalan tertentu.
8. Ada sejarah tersendiri.
9. Dipercayai memiliki nilai2 mistik.
10. Bilangan yang terhad (pandai besi dah meninggal atau sudah tiada yg memiliki kemahiran tersebut).
11. Penjual senjata yg sememangnya menaikkan harga untuk keuntungan berganda.
12. Penipuan yg sengaja dicipta sejarah dan pembuatannya untuk menjadikan senjata tersebut bernilai tinggi. (berwaspadalah).

Wallahua'lam.

Sunday, January 20, 2013

KERIS TOK CHU

Salamun Alaik;
Gambar hiasan (sumber internet )

Pada akhir abad ke-18, nama TOK CHU mula wujud dalam sejarah perkerisan di Kelantan. Panggilan Keris Tok Chu ini diambil bersempena dengan nama seorang EMPU KERIS yang hebat pada ketika itu. Selain hebat di dalam bidang perkerisan (pandai besi), beliau juga seorang yang tinggi ilmu persilatan dan di bidang ilmu agama. Beliau pada ketika itu menetap di kawasan Masjid Muhammadi bersebelahan dengan Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan. Tok Chu adalah orang istana dan sejarah hidupnya juga berkait rapat dengan sejarah Raja-Raja Negeri Kelantan.

Keris Tok Chu adalah keris yang hebat, sehebat nama Tok Chu, seorang pandai besi, seorang pahlawan dan seorang ahli agama. Raja-Raja di waktu itu juga memakai keris buatan Tok Chu sebagai salah satu keris kebesaran. Keris Tok Chu sangat keras dan tajam, sehingga dikatakan boleh menikam tempayan sehingga tembus dengan tempayan tidak pecah. Keris Tok Chu mempunyai bentuknya tersendiri dan tidak sama dengan bentuk keris-keris yang lain yang terdapat di Alam Melayu.

Bersama Tn Hj Alwi Yusof, Pengerusi Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan.
Berdiskusi tentang Keris termasuklah mendapat penerangan dari beliau tentang ciri-ciri Keris Tok Chu.

Ciri-ciri KERIS TOK CHU

1. Rupa Bentuk yang tersendiri.

2. Tidak sama dengan keris-keris lain.

3. Mempunyai Tulang.

4. Berlurah depan.

5. Beralur.

6. Bertebing.

7. Berlembah.

8. Aring agak tinggi.

9. Bahu sederhana tinggi.

10. Tidak ada Akut.

11. Puting sedikit besar.

Walaupun ciri-ciri keris di atas dikhususkan kepada keris yang bergelar KERIS TOK CHU, namun kepakaran Tok Chu tidak hanya terhad kepada pembuatan bilah sepertimana bentuk yang dinyatakan ini. Mungkin ianya boleh dipanggil dengan nama keris bersama dengan buatan Tok Chu seperti; Keris Lok buatan Tok Chu, Pandai Saras buatan Tok Chu, Melela buatan Tok Chu dan seterusnya.

Wallahua'lam.

Thursday, January 17, 2013

INTIPATI PELAJARAN GERAKAN

Salamun Alaik;
 Bergaya dengan senjata Lembing 2 Mata

Gerakan Silat merupakan pelajaran ASAS bagi pesilat dalam proses MENGENAL segala gerak geri yang berkaitan dengan sekalian ILMU TEMPUR dalam Keilmuan Silat.  Selain Gerakan,ianya juga dipanggil dengan nama JURUS atau BELEBAT. 

Setiap Gerak Geri dalam latihan gerakan ini perlulah dikuasai dan dihayati sehinggalah ianya menjadi SEBATI dalam diri.Bila ianya disebut sebati,ini membawa maksud;

1. Ingat dan hafal setiap pergerakan.
2. Kenal setiap pergerakan dan fungsinya. Gerak menunggu, gerak menyerang, gerak bela, gerak mengacah, kedudukan kekuda dsb nya.
3. Mampu melakukan pergerakan dengan betul dan mantap. Otot-otot tubuh yang terbentuk juga menjadi mantap dan sesuai dengan pergerakan-pergerakan yang dilatih.
4. Berupaya untuk mengekstrak setiap pergerakan tersebut kepada perbuatan untuk membeladiri (teknik serang bela).
5. Membangkitkan tindakan Refleks Diri berasaskan kepada pergerakan tersebut.
6. Mampu untuk melakukan pergerakan dengan spontan tanpa terikat dengan gerakan asal.
7. Mampu untuk mencipta pergerakan baru yg selari dengan gerak geri pergerakan asal.

Berdasarkan kefahaman kepada Konsep Pelajaran Gerakan ini, maka setiap SENI atau keseluruhan gerak geri yang terhasil mestilah ada pada sesuatu pelajaran Gerakan itu sendiri sebagai contohnya; bagi SENI LEMBING, di dalam gerakannya mesti terkandung sekalian gerak kedudukan serang menanti dan serang belanya seperti;

1. Rodok Anak Sungai
2. Tating Anak
3. Relang Kemudi
4. Rejang Anak
5. Radak Cula
6. Rejam Maut
7. Mangkat Julang
8. Tikam Hentak
9. Tikam Rembat
10.Tating Puteri
11.Tikam Rejam
12.Kemudi Patah
13.Sangga Bumi
14.Libas Kemudi dan seterusnya.

Setelah benar-benar cekap mengemudi tulang 4 kerat atau senjata,pesilat akan diajar kupasan bagi setiap gerakan yang diajar dengan mengikut SISTEM PELAJARAN yang telah disusun seperti;

1. Asas Elakan
2. Elakan Maut
3. Pecahan Elakan
4. Lapis Elakan
5. Buah Kuncian
6. Pecahan Kuncian
7. Lapis Kuncian
8. Buah Pukulan
9. Kombat
10.Tapak Hidup
11.Petua dan Kemahiran
12.Doa dan Amalan.

Maka, bolehlah dikatakan yang pelajaran Gerakan adalah SUMBER UTAMA dalam pesilat mengenal sesuatu pelajaran dalam Keilmuan Silat. Setelah diperinci dan mengupas intipati yang "tersimpan" dalam gerak jurus dan belebat ini, di akhirnya cukuplah hanya dengan latihan Gerakan sahaja, InsyaAllah sekalian Gerak Geri  Tempur akan menjadi sebagai PAKAIAN DIRI kita. Apa yang penting dan utamanya, setiap Gerakan yg kita praktikan mestilah disebatikan dalam diri dan faqeh setiap maksud dari setiap gerak geri yang digerakkan. 

"Gerak Gayong Gerak Berseni, Gerak Bayang Gerak Rahsia"

Wallahua'lam.


Tuesday, January 8, 2013

SOAL JAWAB: Pemurnian Silibus Silat Seni Gayong.

Salamun Alaik;
Soalan;
Perlukan Silibus Silat Seni Gayong dirombak dan disusun semula?

Jawapan;
Jawapan saya adalah ianya perlu dimurnikan lagi tanpa merombak yang asalnya. Bukan setakat silibus atau sukatan pelajarannya sahaja, tetapi merangkumi juga tahap-tahap jurulatih dan pengisian bagi pembantu jurulatih, jurulatih muda, jurulatih, Gurulatih, Gurulatih Kanan dan Gurulatih Tertinggi. Biarlah ianya jelas dan bersifat objektif termasuklah pemakaian sandang-sandang kegurulatihan yg sesuai dengan tahap kejurulatihan mereka, adanya buku-buku teks, kaedah ujian kenaikan bengkong, penghasilan tesis, penyemakan semula pengetahuan / kemahiran jurulatih-jurulatih dalam tempoh setiap 3-5 tahun dan sebagainya.

Jika kita lihat senario di zaman ini, kebanyakan jurulatih-jurulatih banyak pengetahuannya tentang hal ehwal Gayong ini tetapi kurang dari aspek kefahaman dan penghayatan nilainya. Berbanding jurulatih terdahulu, pengetahuan mereka mungkin agak terbatas atas faktor sukar untuk mendapatkan pelajaran-pelajaran baru  ( perlu benar-benar mantap baru dibenar belajar pelajaran baru) dan juga kekangan media untuk berinteraksi dan mendapatkan maklumat, tetapi pengetahuan yang mereka perolehi itu benar-benar mantap dan memahaminya secara amat mendalam. Sebagai contohnya; ramai jurulatih muda kini dah pandai bercerita tentang lembing, cendai, yoi, sundang, belian, kipas nandung tetapi bila diminta buat Buah Kunci Kilas Sawa Berendam pun belum cukup mantap apatah lagi diminta menghuraikan kesemua 16 seni yang ada pada Buah Kunci pertama tersebut. Begitulah situasinya, terlalu mengejar pelajaran-pelajaran yang tinggi sehinggakan pelajaran yang asas masih lagi teraba-raba ibarat "yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran". Banyak kes yang kita dapat lihat yang mana, jurulatih yang berbengkong hitam pun masih "terkial-kial" untuk menguasai pelajaran-pelajaran pecahan bagi peringkat Tangan Kosong! Itu belum termasuk yang hitam chula 6 yang tidak pernah mengikuti majlis adat khatam keris, lembing dan sebagainya.

Rasional pemurnian silibus.

Berdasarkan pemerhatian saya kepada silibus-silibus Gayong di seluruh Malaysia ini, tidak kiralah daripada mana-mana pertubuhan-pertubuhan Gayong yang ada, setiap daripadanya ada beberapa kelemahan yang ketara yang memerlukan pemurnian sama ada pada SISTEM PELAJARAN atau PELAJARAN nya itu sendiri. Sebagai contohnya, saya senaraikan beberapa situasi yang saya berpandangan memerlukan pemurnian dan perhatian sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab;

1. Seni Senjata yang tiada ASAS ELAKAN.Sedangkan ASAS SISTEMnya adalah senaman, gerakan, elakan, kuncian, kombat, tapak hidup (buka kunci ) dan petua. Di mana hilangnya ELAKAN?

2. Buah Kuncian Senjata yang tidak BERSIFAT KUNCIAN. Lebih kepada elak pukul atau kombat.

3. Tiada pelajaran PECAHAN terutamanya Pelajaran Kunci Mati.

4. Pelajaran Asas Elakan Kaki diajar pada peringkat Bengkong Pelangi Merah Tinggi. 

5. Tidak mengajar Buah Tapak Kunci Mati kepada kumpulan puteri, dan jika mengajar pun, buah yang diajar kurang sesuai dengan kudrat dan kesopanan wanita.

6. Tiada pelajaran yang jelas bagi setiap kenaikan chula pada bengkong.

7. Senjata hanya diajar pada peringkat Pelangi Kuning.

8. Ketidaksesuaian pelajaran atau seni yang disusun dalam sukatan pelajaran pada peringkat bengkong tertentu.

9. Pengisian Pelajaran kurang jelas di peringkat Kuning Chula untuk kenaikan ke Bengkong Hitam dan pelajaran Bengkong Hitam itu sendiri.

10. Asas Elakan yang diajar tidak konsisten dengan kesinambungan pelajaran yang seterusnya. Sebagai contoh, dalam asas elakan tidak diajar, tiba-tiba dalam pelajaran Kunci Mati ada pula elakan yang lain yang belum diajar diperingkat asas.

11. Pelajaran-pelajaran senjata lain selain yang asas seperti Pisau, Tongkat, Parang, Keris, Lembing, Cendai dan Sundang langsung tidak dinyatakan dalam sukatan pelajaran. Sampai bila kita nak kelaskan senjata2 ini sebagai senjata tambahan dan senjata khas? Bila ADMAR kata yang Gayong ini perlu kuasai 21 jenis senjata di Alam Melayu, maka sepatutnya kita perlu menyahut seruan dan amanah ini. Mana lagi 14 senjata?

12. Amalan-amalan Jurus Pernafasan, Tenaga Dalam, Kebatinan, Kerohanian amat kurang sekali disusun dan digubal dengan jelas dan sistematik terutamanya dalam soal SANAD dan pengertian Wirid-wirid serta Ayat yang dibaca. 

13. Tahap pelajaran yang tidak dikelaskan dengan sempurna kepada peringkat gelanggang sekolah, gelanggang awam, pelajaran jurulatih dan pelajaran-pelajaran SULIT.

14. Tiada menyediakan MODUL-MODUL khusus bagi kursus-kursus tertentu seperti Modul TTS, Beladiri Wanita, Kursus Jangka Pendek, dll.

15. Tidak dapat bezakan antara SENI yang perlu dipelajari dengan SENI yang terkandung (dikumpulkan) dalam pelajaran tertentu.

16. Kadangkala terdapat SENI yang sama, tetapi berbeza nama dan panggilannya. Tetapi tidak diselaraskan sehingga terdapat dalam silibus yang mana kedua-dua nama seni tersebut berada pada peringkat bengkong yg berbeza (sedangkan ianya sama sahaja cuma nama yang berbeza).

17. Terdapat juga Seni yang semata-mata diletakkan sahaja dalam silibus supaya nampak gah dan banyak pengisiannya, tetapi bila sampai masa, ia langsung tidak diajar sebab tiada pengetahuan tentangnya. Jika yang mengajar pun tak sampai 10 minit dah habis penerangan dan tunjuk ajarnya. Tidak kurang juga pernah ada yang meletakkan pelajarannya berdasarkan ilmu Mahaguru YOUTUBE.

Setakat ini sahaja senarai yang sempat dikongsikan. Masih banyak lagi situasi yang diperolehi hasil pemerhatian saya tentang isu ini. Mungkin di lain ketika, saya akan kongsikan bersama dengan isu-isu yang lain. 

InsyaAllah, segala kekurangan dan kepincangan yang saya senaraikan ini mampu diatasi sekiranya semua kita mampu menerima kelemahan yang ada pada SISTEM yang kita amalkan ini dan memurnikan nya untuk manfaat generasi Gayong kini dan masa hadapan dengan penuh komited dan keikhlasan.

Semoga soalan terjawab dan beroleh manfaat buat semua.

Wassalam.

Sunday, January 6, 2013

"RUMAH PERSINGGAHAN" TOK JANGGUT

Salamun Alaik;



# Seulas Bicara oleh Al-Fadhil Ustaz Wan Asrul Al-Aydrus (cicit sepupu Allahyarham)

Tok Janggut, Syaikh Haji Mat Hassan Bin Panglima Munas Bin Samad Bin Raja Bahar, ada berkahwin dan mempunyai zuriat. Hal ini ramai yang tidak tahu, malahan kali terakhir sang faqir bertemu dengan anak Tok Janggut, Haji Mad, adalah pada tahun 1996, bersama dengan ALLAHyarham Mat Kelubi yang ketika itu bertemunya mereka di rumah moyang sang faqir Yah Bt Adam, yang juga sepupu kepada Tok Janggut, di Batu 8, Nilam Puri, Kelantan. Kehadiran Haji Mad itulah membuatkan Mat Kelubi, membuka cerita penuh berkaitan hal Guru dan sahabat beliau itu, iaitu Tok Janggut.

Entah berapa kali, sang faqir bersuara, tentang hakikat dan sejarah sebenar seorang Ulama berjiwa pahlawan ini yang telah digelapkan oleh British yang sebelum itu telah berjaya menakluki fikrah pemikiran Mustapha Kamal AtTarturk.

Sehingga kini, masyarakat masih percaya bahawa tapak perkuburan di Pasir Pekan adalah tempat tertanamnya jasad Ulama ini. ALLAHu ROBBiy.

Rasa marah? Tidak sama sekali. Cuma terkilan dan ralat memikirkan betapa pejuang Agama, yang mana dari golongan Ulama yang pertama di Tanah Nusantara selepas Syaikh Daud Abdullah Al Fathoni, Syaikh Muhammad Arshad Al Banjari dan Syaikh Abdus Somad Al Falimbani, yang berjuang mempertahankan agama secara mengangkat senjata.

Seorang yang peroleh kepercayaan penuh dari Al Alim Allamah Syaikh Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zain Bin Wan Mustapha Al Fathoni (Tok Guru Wan Ngah) untuk mempertahankan Agama di Tanah Melayu, tidak akan mungkin begitu mudah dihina dengan digantung secara separuh bogel di khalayak, malahan diarak menjadi perhatian ramai.

Kenapa Tok Kenali membiarkan mayat tersebut digantung selama tiga hari tanpa berkata apa-apa?

Tahukah kalian kenapa Tok Kenali pulang selepas Guru tersayang beliau (Syaikh Ahmad Al Fathoni) berpindah alam? Kalau hendak boleh saja, beliau terus menetap di Makkah atau berhijrah ke Mesir. Tetapi beliau memilih untuk pulang ke Kelantan. 

Hal ini adalah kerana Tok Janggut, Haji Mat Hassan Bin Panglima Munas(Munah) dikenali sebagai cerminan Tok Guru Wan Ngah (Syaikh Ahmad Al Fathoni), itulah antara sebab utama mendorong Tok Kenali pulang ke kelantan, iaitu setahun selepas Tok Janggut pulang ke Kelantan dengan umur 63tahun, selepas peroleh perintah amanat dari Tok Guru Wan Ngah (Syaikh Ahmad Al Fathoni).

Dan Tok Kenali membiarkan mayat tersebut diarak serta digantung adalah disebabkan Tok Kenali tahu, itu bukan jasad Ketua Tholaahnya yang juga murid tua kepada Tok Guru Wan Ngah sewaktu di Makkah.


Banyak lagi bakal dibongkar di dalam buku sang faqir 'Tok Janggut Ulama Berjiwa Pahlawan', dijangka siap pada bulan Mac 2013, insyaALLAH.


 Mayat "Benggali"?????

Kenapa mayat tidak diarak di Pasir Puteh? Takut masyarakat setempat kenal 
mayat yg diarak ini bukanlah jasad Tok janggut.

Wallahua'lam.

GERAK BAYANG : GERAK NAFI DAN ISBAT

Salamun Alaik;

Bermulanya GERAK bagi manusia di alam dunia ini seawal dalam RAHIM Ibu lagi

Dalam Keilmuan Gayong terdapat Ilmu Rahsia yang digelar GERAK BAYANG. Gerak Bayang juga dikenali dalam Alam Jagat Persilatan dengan beberapa nama seperti Gerak Asrar @ Gerak Faqir @ Gerak Roh @ Gerak Rahsia @ Gerak Haq Diri. Gerak membawa erti HIDUP kerana yang mampu bergerak hanyalah yang bersifat hidup dan Bayang itu membawa erti ADA NYA IA TIADA MAUJUD. Sifat Gerak Geri nya tidak dipimpin oleh AKAL dan ILMU tetapi didasari oleh MATA HATI dan RASA. Gerak Diri diNAFI dan mengISBAT hanya Gerak Ilahi. Wallahua'lam.

#Definisi yang diperolehi hasil daripada kefahaman penulis setelah perbualan dan soal jawab dengan Allahyarham Cg Ahmad bin Lazim (Pemegang Amanah Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau) pada tahun 1999.

Apa pula perkaitan antara Seni Belian dan Gerak Bayang? dan apakah perbezaan di antara keduanya? Carilah jawapan kepada persoalan ini dengan mengadap Guru-Guru Tua. InsyaAllah.

Artikel tentang Seni Belian;
http://chulahitam.blogspot.com/2012/03/seni-belian.html


Wallahua'lam

Sunday, December 23, 2012

SUNDANG LIPAS

Salamun Alaik;

Gambar Ihsan dari saudara Amir Fadhli Razali

Sundang Lipas merupakan senjata Melayu dari Kepulauan Sulawesi. Ianya merupakan senjata utama bagi pelaut-pelaut Bugis yang sememangnya terkenal dengan kepahlawanan dan kemahiran selok belok pelayaran di laut. Ketika belayar di laut, sundang lipas disimpan di belakang badan sementara bila turun didarat, disisipnya disamping tubuh. Permainan Sundang Lipas lebih kepada MELIBAS, MENEBAS, MENETAK dan MENGHIRIS. Mata Sundang Lipas tidaklah tajam sebagaimana pedang-pedang yang lain dan ianya berbentuk punggung Lipas( bentuk inilah menjadikan gelaran senjata ini sundang lipas, dan bukanlah sundang LIPAN seperti dakwaan sesetengah individu). Keadaan inilah juga yang membezakan sundang lipas dengan permainan pedang jenawi dan pedang2 lain yang ada teknik MENIKAM selain gerak bunuhnya tiada menyangga senjata lawan terlebih dahulu. Makan nya adalah bersifat segerak.

Kaedah Sisip Sundang: Dibelakang dan disamping.

Bagi pengamal silat yang inginkan sundang yang sesuai dengan mereka, maka pembuataan sundang akan mengikut ukuran dan sukatan pemakainya seperti;
1. Panjang Bilah sama dengan panjang lilitan kepala yang melalui alis kening.
2. Lebar Bilah sama dengan lebar susunan 3 jari pemakai (telunjuk, tengah dan manis).
3. Kedudukan Penyangga sama dengan lebar susunan 5 jari (setelapak tangan).
4. Berat Bilah sama dengan Berat Hulu. Maka logam pemberat berfungsi sebagai pengimbang berat di bahagian hulu sundang.

Gaya permainan sundang lipas menitikberatkan;
1. Kaedah Pegang
2. Sudut Libasan
3. Teknik Hayunan
4. Gaya Menanti dan Tapak Kekuda
5. Gerak Limbai / Kawalan Sundang
6. Fokus
7. Aturan Nafas.

Dengan menggunakan Gaya Permainan yang betul mengikut 7 kaedah di atas, kehebatan pemusnah sundang amatlah terserlah selain daripada jenis besi dan pembuatannya yang hebat. Sundang mampu memutuskan  kepala musuh (kafir harbi) hanya dengan sekali libasan (boleh menggunakan batang pisang, kelapa, batang langsat dll sebagai latihan awal).

Makan Segerak


Dalam Keilmuan Gayong, Seni Sundang Lipas merupakan di antara Seni Senjata tertinggi dalam silibus pelajarannya. Maka, penurunan Ilmu Seni Sundang ini perlulah mengikut ADAT dan ADAB nya. Perlu ikut AMANAT MAHAGURU yang mana tiada ia diperturunkan hanya kepada yang telah cukup syarat dan beramanah. Setelah "Khatam" Seni Sundang ini , mereka akan dibekalkan dengan Amalan Ayat Sundang bagi melengkapkan pengisian Zahir dan Batin si Pengamalnya.


Wallahu'alam.



Thursday, December 13, 2012

MENUNAIKAN HAJAT GURU

Salamun Alaik;

Setelah hampir setahun "Alamat mimpi" yang disampaikan oleh Guru, akhirnya pada 9hb Disember 2012, seramai 7 Murid yg dipercayai telah berjaya menunaikan Hajat Guru. Semoga segala KERAHSIAAN yg dibuka sepanjang Riadah ini digenggam erat dlm diri masing-masing. "Peganglah Amanat Sumpah Setia"

Wallahua'lam.

SENJATA KUCING HITAM

Salamun Alaik;
Kucing Hitam merupakan gelaran bagi pasukan perisik yg berperanan dalam menyiasat individu2 atau kumpulan yang cuba membelot ibarat duri dalam daging atau gunting dlm lipatan. Pasukan ini akan dilatih dengan teknik risikan dan penyamaran dengan senjata khususnya yang dipanggil KUCING HITAM.

Senjata Kucing Hitam amat Rahsia sehinggakan ramai yang kurang mengetahui rekabentuknya, apatah lagi kaedah gerak geri dan bunuhnya. Senjata ini mempunyai kelebihan berbanding senjata-senjata sulit lain kerana ia mempunyai gaya permainan 3 dalam 1 yang mana senjata ini mempunyai gerak permainan gabungan senjata Pisau, Kerambit dan Buku Lima. Gerak Tikamnya pantas seperti Pisau, Gerak Limbainya pula fleksibel seperti Kerambit manakala Gerak Hentak/Pukulnya tegap seperti Buku Lima.

Dimainkan secara berpasangan bagi mengatasi senjata2 panjang dan perisai disisi mampu mengunci senjata seperti mana sifat senjata Tekpi.Bagi memastikan rekabentuk pembuatannya sempurna dari aspek keseimbangan, berat dan ukurannya,maka terdapat kaedah2 tertentu bagi menilainya sebagaimana Keris yg mampu berdiri kerana keseimbangannya. Dengan kelebihan2 yang ada pada senjata Kucing Hitam ini,maka selayaknya ia menjadi sebagai senjata sulit dan rahsia bagi Pasukan Kucing Hitam.

Wallahua'lam.

Friday, November 30, 2012

TIPS MENGUATKAN SERANGAN FIZIKAL

Salamun Alaik;


Kekuatan fizikal seseorang manusia itu banyak didorong oleh kesepaduan antara;

1. Kumpulan otot ( major dan minor).
2. Sistem Saraf.
3. Sistem Rangka dan Tulang
4. Keseimbangan Tubuh.
5. Aturan Nafas.
6. Keyakinan Diri.
7. Kuasa Minda.

Tips Latihan bagi Serangan Fizikal yg melibatkan Serangan Tangan dan Kaki;

1. Pasang Kekuda Selari (90 darjah).Pastikan bahagian belakang tegak dengan kedua ibu jari kaki menghadap ke depan.
2. Simpan kedua kepalan penumbuk di rusuk.
3. Tarik Nafas dan simpan di bahagian bawah pusat.
4. Kepal tumbukan sekuat yg termampu ( mengerahkan semua otot2 tangan yg terlibat dengan serangan tumbukan ).
5. Rileks kan semua otot2 yg lain. PASTIKAN dahi tidak berkerut.
6. Lakukan Gerak Tumbuk Pintal Tali secara perlahan2 dengan kepalan sekuat hati.Seremtak itu juga, nafas dilepaskan melalui hidung dengan lembut dan perlahan sehingga selesai sifat perbuatan menumbuk.
7. Setelah selesai Gerak Menumbuk, Ulang Tarik Nafas perlahan2 dengan Gerak menarik kepalan penumbuk kembali ke rusuk.
8. Ulangi perbuatan di atas menggunakan tangan kiri. Ulangilah beberapa kali secara berselang seli antara tangan kanan dan tangan kiri. Kemudian, teruskan dengan Gerak tendangan pula.

Selamat berlatih.......

Wallahua'lam.

GENDANG SILAT

Salamun Alaik;



Komponen alat serta peranannya dalam ensemble adalah berkait rapat dengan pembentukan fizikal sesebuah lagu mengikut disiplin yang didukunginya.


Alat yang digunakan dalam ensemble adalah berasaskan kepada dominasi muzik silat seperti berikut;
1. Sepasang gendang dua muka (compaund hole drum) di bawah penakrifan gendang melayu.
2. Sebatang serunai berpipit.
3. Sebiji gong berbusut.


Teknik pergendangan secara berpasangan.
- Dimainkan oleh dua orang pemain.
- Gendang ibu – ukuran terbesar. Menghasilkan pic rendah serta nemonik yang pelbagai.
- Gendang anak – ukuran terkecil. Pic suara yang tinggi serta nemonik pelbagai.
- Kedua-dua belah tapak tangan serta jari-jari digunakan untuk menghasilkan bunyi.
- Ada juga menggunakan kayu pemukul pada permukaan besar gendang untuk menghasilkan bunyi yang besar dan kuat.
- Gendang silat bertindak sebagai penyokong lagu.
- Dimainkan secara meningkah mengikut keperluan urutan pusingan lagu.

GENDANG IBU                         LAMBANG BUNYI
        DOH                ……………                ‘D’
        PHAT                ……………              ‘P’
        DUNG / BANG.…………...       ‘d’ – ‘b’
        PANG                ……………              ‘p’
        TANG                ……………               ‘t’ (gunakan jari)
GENDANG ANAK                 LAMBANG BUNYI
        TING                ……………                ‘T’
        CHAT                ……………                ‘C’
        TAK                .…………...                ‘TK’

- Proses penggendangan bagi pembinaan rentak juga diwarnai dengan kemasukan nemonik.

NEMONIK                                          LAMBANG
        DOH ...+ ..PHAT                           D / P
        TING…+…PHAT                seperti mana tertulis
        DOH…+…CHAT                --------sama--------------
       

Tuesday, November 27, 2012

SENJATA TUBUH 49

Salamun Alaik;


Menurut Keilmuan Silat Seni Gayong, di batang tubuh manusia, secara terperincinya terdapat 49 bahagian yg boleh dijadikan senjata berdepan musuh sama ada sebagai alat menangkis atau alat menyerang.Asasnya dipanggil SENJATA ASAS 8 yg terdiri daripada 2 tangan, 2 kaki, 2 lutut dan 2 siku. Ianya dianggap senjata asas kerana 8 bahagian ini secara lazimnya digunakan secara umum sebagai senjata utk menangkis dan menyerang.

Sesetengah perguruan memasukkan kepala sebagai senjata asas tubuh menjadikan 9 semuanya. Namun,bg pandangan penulis,kepala tidaklah dianggap sebagai senjata yg lazim dalam pertempuran yg melibatkan menangkis dan menyerang. Sifatnya hampir sama dengan bahagian bahu,punggung,gigi (gigit) dsbnya.
Senjata Tubuh ini disokong pula oleh organ deria spt mata,telinga dan kulit (sentuhan). Selain itu,Hati ( Gerak Rasa ) juga amat penting dlm meningkatkan keupayaan Senjata Tubuh ini.

Bagi memantapkan dan menghidupkan Senjata Tubuh, pengamal silat akan mengamalkan wirid2 tertentu sebagai DOA kepada ALLAH YANG MAHA HIDUP dan mempraktikan PETUA NAFAS kerana nafas lah yg menjadikan batang tubuh kita "hidup". Semoga beroleh manfaat buat semua.

Wallahua'lam.

Monday, November 26, 2012

BALANG DI DALAM BALANG

Salamun Alaik;


Balang di dalam Balang merupakan antara Pelangkah Hulubalang dan juga sebagai Amalan Harian bagi Pengamal Gayong. Kaedahnya amat mudah namun kelebihan dan manfaatnya amat besar. Kaifiat asanya seperti berikut;
1. Pejamkan mata.
2. Bayangkan wajah IBU kita.
3. Bila paparan wajah IBU sudah jelas kelihatan, bacalah Surah Al-Fatihah dan sedekahkan pada IBU kita.


Amalkan setiap pagi. Sebelum turun "berperang", buatlah amalan Balang di dalam balang ini. Jika jelas wajah IBU dan jelas senyumannya, melangkahlah ke medan perang, tetapi jika tiada wujud paparan wajah IBU, maka ianya mungkin ada petanda geruh atau tidak mendapat RESTU IBU.

Masih banyak RAHSIA yg terkandung dalam amalan Balang dalam Balang ini terutamanya dalam usaha meningkatkan TENAGA DALAM DIRI. Cuma sekadar ini dahulu perkongsian yg ingin disampaikan. Selamat beramal.

"Kasih IBU membawa ke Syurga"

Wassalam.

Wednesday, November 21, 2012

SOAL JAWAB : Tapak Alif

Salamun Alaik;


Soalan: Adakah Tapak Alif hanya digunakan oleh yang bertaraf Guru sahaja?

Jawapan : Tapak Alif atau Tapak Berdiri Lurus tidak semestinya pakaian bagi yang bertaraf Guru sahaja. Yang penting, sesiapa sahaja yang telah MENGUASAI Tapak-Tapak Silat yang lain termasuk PETUA nya, maka penggunaan Tapak Alif ini menjadi amat berkesan kerana Tapak Alif telah menyimpan dan BERSATU dengan kesemua tapak2 silat yg telah dikuasai. Sifatnya yang penuh bersahaja dan mampu menyembunyikan PETANDA2 GERAK AWALAN menyukarkan pihak musuh utk membaca GERAK GERI tubuh. Selain itu, Tapak Alif amat efektif kerana SUDUT GERAK nya yang fleksibel dan sifat kedudukannya memberi kesan EKONOMI dalam penggunaan TENAGA.

Terdapat perbezaan yang amat ketara diantara Tapak Alif yang penulis maksudkan dengan Berdiri Lurus (semata-mata). Perbezaan tersebut adalah Tapak Alif walaupun Posisi Awal adalah berdiri lurus, namun bilamana ia bergerak, tapak kekuda akan muncul kerana sifat lurusnya telah bersepadu dengan Tapak2 Kekuda yg lain sedangkan Berdiri Lurus (semata-mata) tiada sepadunya tapak kekuda lain, sifatnya hanya lurus semata2 tanpa kekuda( menguasai tapak kekuda).

Berdasarkan penerangan ringkas ini, boleh kita simpulkan tidak semestinya yang bertaraf Guru sahaja yang menggunakan Tapak Alif tetapi setiap yang bertaraf Guru akan menggunakan Tapak Alif sebagai "Pakaiannya".

Wallahua'lam.

Friday, November 16, 2012

PERKAMPUNGAN SENI TARIAN TRADISIONAL MALAYSIA PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-2

Salamun Alaik,

Pada 29hb Oktober yg lepas, telah berlangsungnya Pertandingan Seni Tarian Silat bersempena dengan Perkampungan Seni Tarian Tradisional Malaysia peringkat kebangsaan kali ke-2 bertempat di SM Sains Labuan. Walaupun ianya julung2 kali diadakan, namun ianya tetap berjalan dengan lancar dan meriah seperti yg telah dirancangkan. Terima kasih dan sekalung penghargaan buat JURI-JURI JEMPUTAN, En Hazli Adnan dari Pertubuhan Seni Seni Gayung Fatani Malaysia KL, Ustaz Wan Abdul Halim Wan Omar dari Seni Gayong Serantau Kelantan dan Yusrin Ahmad dari Silat Cengkam Harimau Ghaib Labuan serta ajk teknikal silat JPWPL dalam membantu aspek teknikal dan penjurian dlm pertandingan kali ini. Ucapan tahniah dan syabas buat pemenang terutamanya JUARA pada edisi pertama ini yang telah disandang oleh Team SM Sains Labuan!







Wassalam

Monday, October 8, 2012

SANAD KEILMUAN GAYONG

Salamun Alaik;
Al-Fatihah

Dalam mempelajari Ilmu terutamanya yang melibatkan Ilmu Kerohanian dan Amalan-amalan Diri memerlukan AKAD GURU sebagai TALI Kesinambungan Ilmu. Sanad nya mesti jelas dari siapa kepada siapa. Ini penting agar Ilmu yang dituntut ada bimbingan kerohanian dalam dunia matriks nya yg tersendiri. Ia juga memastikan bukanlah amalan tersebut bersifat baru direka oleh guru-guru generasi terkemudian ataupun diciplak daripada mana-mana kitab tanpa rujukan khusus.

Persoalan di sini, amalan apakah yang khusus untuk kita mengetahui SANAD KEILMUAN GAYONG? Dalam Keilmuan lain, mereka ada Fatihah Aurat (Aurat Pembuka Amalan). Pengamalnya akan membacakan Al-Fatihah dan sedekahkan bacaan tersebut kepada Guru sekelian Guru yakni Nabi SAW dan seterusnya buat Guru-Guru mereka. Bagi pandangan penulis, amatlah tidak elok sekiranya kita mengamalkan sesuatu amalan tanpa dimulai dengan Fatihah Aurat ini.Tiada ADAB dalam beramal sedangkan ianya adalah KUNCI kepada Amalan kita.

Post penulis kali ini hanyalah sekadar melontarkan pandangan dan mewujudkan persoalan yang pastinya anak-anak Gayong sekalian haruslah memulakan episod mencari dan mengenal setiap Guru kepada Guru anda sekalian. Jawapan ini sepatutnya ada di dalam setiap pengamal Gayong terutamanya yang telah ditauliahkan sebagai Wakil Mutlak, Gurulatih, telah menjalani Khatam Qulhu  ataupun Imam Gelanggang yang beramanah dalam Adat Membuka Gelanggang pada setiap kali latihan diadakan. Pernahkah anda sekalian mengamalkannya?

Untuk perkongsian sekadarnya, semua ini terkandung di dalam AYAT 12 (selalunya yang paling popular adalah Ayat 9). Di dalam AYAT 12 ini, pengamal Gayong dikehendaki membaca Al-Fatihah dan sedekahkannya buat Insan-insan tertentu. Antaranya yang biasa dan diketahui oleh pengamal-pengamal Gayong adalah seperti Nabi Khidir AS, Syeikh Ramli Abu Hanifah, Wali Songo, Wali 7, Syed Zainal Abidin Syed Idris Al-Attas dan Daeng Kuning (Panglima Hitam). Masih terdapat ramai lagi yang perlu anak-anak Gayong sekalian mencari "TALI" penyambung kepada amalan-amalan Gayong  ini dan KAIFIAT sebenar kaedah beramalnya. InsyaAllah,dengan iltizam yang tinggi   untuk memperoleh jawapannya dan berbekalkan keikhlasan dalam beramal pastinya akan dipermudahkan oleh-NYA dalam pencarian ini. Sekian dulu, dan semoga beroleh manfaat buat semua.

Wassalam.

Tuesday, September 4, 2012

HIZIB SELENDANG PERANG

Salamun Alaik;
Selendang dan Parang Melayu
Sebelum ini,penulis telah menceritakan serba sedikit Amalan Memakai Selendang Merah @ Selendang Perang (bagi Pengamal Seni Gayong).Klik di sini. Di sini ingin penulis kongsikan pula Hizib @Wirid Perang yang perlu dimalkan secara ISTIQAMAH agar ianya menjadi PAKAIAN DIRI.


 1-4
 2-4
 3-4
4-4

Tujuan penulis berkongsi berkaitan ilmu-ilmu sedemikian adalah untuk menyuntik semangat pemuda pemudi bangsa agar tekun untuk terus menggali ILMU KHAZANAH BANGSA yang kian lapuk dek zaman. Carilah GURU yang mampu mengijazahkan segala Ilmu dan Amalan Perang ini agar generasi muda bangsa sentiasa bersedia menghadapi geruh di hari muka yang mendatang. Jangan sesekali alpa dan lalai. "Sediakan Payung Sebelum Hujan".

Wallahua'lam.

Tuesday, August 28, 2012

PANDUAN JURULATIH MUDA #1 - Gerakan Asas Gayong

Salamun Alaik;
Penulis menerangkan kaedah dalam melakukan teknik gerakan tumbuk pintal tali
Dalam proses pengajaran Gerakan Asas, bagi mencapai hasil pembelajarannya, seseorang jurulatih seharusnya memberi penekanan terhadap aspek2 seperti berikut;

1. Kekuda - mesti seimbang dan kukuh (rendah untuk serangan tangan dan sederhana untuk serangan kaki).
2. Tubuh - keadaan tegap dengan dada mengadap arah hadapan disamping kedua bahu tidak senget.
3. Kedudukan - Genggaman tangan kanan di rusuk dan tangan kiri bertindak sebagai perisai.
4. Mata - Melihat ke arah sasaran. Jangan tunduk,mendongak atau memandang/menjeling ke kanan dan kiri.
5. Suara - Sebutan ZAT dengan jelas dari arah dalam (perut).
6. Berkisar Tapak - Guna tumit @ bebola sendi kaki dengan keadaan tumit berjengket (kemahiran Yoi).
7. Perbuatan - Mesti MANTAP iaitu kombinasi Kepantasan, Kekuatan dan Ketepatan. 

GERAKAN PERTAMA: Tumbuk Pintal Tali
1. Menggenggam dengan kaedah yang tepat ( 3 perbuatan genggam dan awas kedudukan ibu jari).
2. Menumbuk pada paras bahu ke garis tengah tubuh lawan.
3. Awas sendi pergelangan (jangan terdongak ke atas atau ke bawah-boleh mencederakan).
4. Sentiasa pandang pada sasaran ( jangan leka atau menjeling ke arah lain).
5. Kedudukan genggaman (tangan yang menumbuk) pada sisi rusuk.
6. Perbuatan menumbuk yang tepat bermula dari Kelek Anak, Berkisar Tali dan Emas Sepukal.
7. Kombinasi perbuatan yang mantap dan sempurna (mantap, kisar tapak, suara dsbnya)

GERAKAN KEDUA: Pancung Dayung
1. Keadaan jari jemari rapat.
2. Serangan menggunakan sisi telapak.
3. Sasaran di leher @ sisi mata
4. Julang/angkat tangan terlebih dahulu supaya tidak melawan graviti.
5. Mata lihat/menjeling ke arah sasaran sebelum melepaskan serangan.
6. Kawal pancungan supaya tubuh tidak terkilas ke belakang.
7. Kombinasi perbuatan yang mantap dan sempurna (mantap, kisar tapak, suara dsbnya) 

#bersambung

[dipetik daripada Buku Panduan Jurulatih Gayong Serantau Kelantan]

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...