Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Saturday, March 24, 2012

SOAL JAWAB 4 : Beza sandang PANGLIMA PELANGI HITAM dan PANGLIMA HITAM

Salamun Alaik;

Soalan dari saudara Harimau Belantara;
Salam Tuan. Boleh tuan huraikan perbezaan antara sandang Panglima Pelangi Hitam (PSSGM) dan Panglima Hitam (Pusaka Gayong)?

Jawapan;

Wslm saudara Harimau Belantara. Secara ringkasnya kedua-dua sandang ini adalah sama dari aspek corak dan warnanya namun BERBEZA dari aspek TAHAP PELAJARAN dan JAWATAN DALAM KEGURULATIHAN. 
Pak Andak Majid pernah memangku jawatan Timbalan Pengarah Pelajaran Silat Seni Gayong
Cg Ahmad Ismail juga memakai Sandang Panglima Pelangi Hitam selaku Pengarah Pelajaran Pusat Latihan Tertinggi di Air Kuning
Pada 90-an, sandang ini masih dikekalkan statusnya dalam Pusaka Gayong sebagai sandang tertinggi utk pelajaran

Dahulunya sekitar 70-an, sandang Panglima Pelangi Hitam merupakan sandang tertinggi yang dipakai oleh seseorang Gurulatih. Pak Andak Majid memakai sandang ini selaku Timbalan Pengarah Pelajaran Silat Seni Gayong dan diikuti oleh Gurulatih-gurulatih tertinggi seperti Arwah Cg Ahmad Lazim, Cg Ahmad Ismail dll. Ketua bagi Panglima Pelangi Hitam pula bergelar Panglima Singa Malaya dan dibantu oleh Panglima Harimau Malaya, namun pada 70-an tiada lagi sandang khusus bagi Panglima Singa Malaya. Ianya mula diperkenalkan pada tahun 80-an.
Bagi PSSGM, Sandang Panglima Pelangi Hitam masih dikekalkan statusnya sebagai Gurulatih Tertinggi bg sesuatu negeri

Kini, status sandang ini berbeza mengikut pertubuhan. Dalam Kegurulatihan PSSGM dan Gayong Serantau, sandang Panglima Pelangi Hitam merupakan Sandang bagi  GURULATIH TERTINGGI yang mana hanya seorang sahaja yang ditauliah daripada kalangan Gurulatih-Gurulatih dalam setiap negeri. Kebiasaanya, Panglima Pelangi Hitam ini akan memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Gurulatih bagi sesebuah negeri. Kriterianya mestilah dipilih daripada kalangan Gurulatih Kanan (Panglima Chula Hitam) yang paling senior dan memegang bengkong HPCS yang mampu mengajar PELAJARAN PELANGI HITAM.

Kini, bagi Pusaka Gayong, sandang Panglima Hitam bukan lagi dikhususkan utk Gurulatih Tertinggi

Berbeza pula dengan Kegurulatihan Pusaka Gayong, sandang Panglima Hitam merupakan sandang bagi seorang JURULATIH. Ianya tiada had bilangan dalam sesebuah negeri dan syaratnya sekurang-kurangnya berbengkong Kuning (mampu mengajar sekurang-kurangnya pelajaran peringkat merah chula). Ianya menyamai bagi sandang Panglima Amanah Sakti (PSSGM).

Sandang Panglima Pelangi Hitam (PSSGM) atau Panglima Hitam(Pusaka Gayong)

  Sandang Panglima Geliga Sakti sebagai Gurulatih (PSSGM) yang menyamai tahap Sandang Panglima Hitam (pusaka Gayong).

Selain daripada kedua-dua sandang ini, terdapat sandang Panglima Singa Malaya (PSSGM) dan sandang Ketua Panglima Pelangi Hitam Singa Malaya(Pusaka Gayong) yang juga sama bentuk corak dan warnanya tetapi berbeza dari aspek TAHAP PELAJARAN dan JAWATAN DALAM KEGURULATIHAN. 


Sandang Panglima Singa Malaya (PSSGM) atau Ketua Panglima Pelangi Hitam (pusaka Gayong) 
 
Sandang Panglima Geliga Sakti sebagai Gurulatih Kanan (PSSGM) yang menyamai tahap Ketua Panglima Pelangi Hitam (pusaka Gayong)

Sandang Panglima Singa Malaya (PSSGM) hanya dianugerah buat 7 orang sahaja dalam sesuatu masa. Ianya dipilih daripada Gurulatih -Gurulatih bertaraf Panglima Pelangi Hitam yang paling senior dan mempunyai ilmu dan kemahiran silat yang paling tinggi. Mereka akan menjadi PAKAR RUJUK yang berkaitan Pelajaran Gayong. Manakala sandang Ketua Panglima Pelangi Hitam Singa Malaya(Pusaka Gayong) menyamai tahap seperti Panglima Pelangi Geliga Sakti dalam PSSGM yakni selaku Gurulatih (berbengkong Hitam Chula Sakti)


Dalam PSSGM, hanya 7 orang sahaja yang berhak memakai Sandang Panglima Singa Malaya 
sebagaimana Panglima Singa Malaya dalam Pusaka Gayong

Dalam Pusaka Gayong, Sandang Ketua Panglima Pelangi Hitam di pakai oleh seorang yang bertahap Gurulatih 
Sama fungsinya dengan Sandang Panglima Chula Hitam dalam PSSGM.

Begitulah perbezaannya walau nampak serupa corak dan warnanya. Bagi anak2 Gayong, kefahaman tentang adat dan kuasa sandang ini amat penting lebih-lebih lagi Gayong kini dalam usaha ke arah PENYATUAN. Soal perbezaan kuasa seperti ini haruslah di ambil perhatian supaya kita sama-sama berjumpa TITIK KESAMAAN.

Perbandingan;

TAHAP PELAJARAN                         PSSGM                                           PUSAKA GAYONG
1. Jurulatih                               Panglima Amanah Sakti                               ( Khalifah Muda??? )                           
2. Gurulatih                               Panglima Geliga Sakti                                     Panglima Hitam
                  
3. Gurulatih Kanan                      Panglima Chula Hitam                        Ketua Panglima Pelangi Hitam                      
4. Gurulatih Tertinggi                  Panglima Pelangi Hitam                          Panglima Harimau Malaya                      
5. Ketua Gurulatih Tertinggi       Panglima Singa Malaya                             Panglima Singa Malaya 

*pernah salah seorang pemegang sandang ketua pelangi hitam dari pusaka gayong melompat masuk ke PSSGM. Disebabkan kurang arif kepimpinan PSSGM pada ketika itu dengan kuasa dan kedudukan sandang ini, maka dalam suatu majlis adat, pihak pssgm menganugerahkan sandang Panglima Singa Malaya buat si polan ini kerana menganggap tahap kuasa dan jawatan bagi kedua2 sandang ini sama disebabkan bentuk corak dan warna nya sama.(kiranya mentauliahkan semula sandang tersebut walaupun dalam satu mesyuarat pssgm pusat, sandang Panglima Singa Malaya telah pun di buang dari senarai2 sandang dalam PSSGM). Begitulah keadaannya, nampak sama tapi tak serupa.

Wallahua'lam.

Saturday, March 17, 2012

GAMBAR KENANGAN GURU AMIN HAMZAH

Salamun Alaik;
kiri: Cg Amin Hamzah menerima bengkong Pelangi Merah dengan Almarhum Sultan Idris Syah(1970)
kanan : Cg Amin Hamzah menerima Bengkong Hitam HPCS 2 daripada Allahyarham Mahaguru (1981)
Cg Amin sedang melakukan teknik pemusnahan dan telah mencatatkan rekod pemecahan terbanyak dalam sejarah Silat Seni Gayong. 
Sebelumnya rekod dipegang oleh En.Adiwijaya.

 Cg Amin Hamzah telah di lantik sebagai Api Jinjang Mahaguru ( Gelaran bagi murid yang paling setia dan dipercayai )
Aksi Cg Amin Hamzah sepanjang karier nya sebagai Gurulatih Tertinggi (Panglima Singa Malaya)
* bersambung

Sekadar berkongsi gambar-gambar lama.

Wassalam.

Friday, March 16, 2012

PERSALINAN ANGKATAN PERANG GAYONG

Salamun Alaik;
Persalinan Perang yang dipakai oleh Allahyarham Mahaguru.
Wafak Perang

Inilah PERSALINAN bagi ANGKATAN PERANG GAYONG.....warnanya hitam dan tertera WAFAK PERANG di bahagian tengah dada. Untuk menulisnya (atau menyulamnya) diiringi doa-doa tertentu disamping persiapan diri si-pemakainya spt zikir dan puasa (pati geni). Setiap Huruf Hijaiyyah,yakinlah ada Malaikat penjaga yang mengiringinya. Berbekalkan Ilmu dan kaedah, dengan izin Allah SWT, boleh membantu bersama angkatan perang Gayong. Cari lah rahsia Wafak ini. Lihatlah bagaimana susunan Alif sebagai perisai. Peranan Huruf 'Ain, Fa' dan Kandungan Ha' dalam Ha'. Terselitnya juga Wau dan Ha Ma'ul Hayat. Titik pada mata tiada terkurang memberi peranan. Rangkuman Huruf-huruf ini membentuk Muka Harimau (kenapa Harimau dipilih?) Dan jangan dilupa, warna-warna Gayong yang utama sebagai warna Pancaindera. 
Bagi pakaian silat gelanggang, WAFAK PERANG diganti dengan LAMBANG NAGA sebagai LOGO Gayong

Kammin fi atin Qolilatin gholabat fi atan Kasirotan Biiznillah......

Sejarah telah membuktikan pasukan yang sedikit mampu mengalahkan pasukan yang ramai. Angkatan Perang 313.......


Wallahua'lam

TEMPOH SEBENAR BELAJAR SILAT

Salamun Alaik;
Mahaguru Meor Rahman diapit oleh 2 orang Gurulatih Kanan
Satu soalan yang amat subjektif untuk dijawab. Berapa lama sebenarnya masa yang perlu diambil oleh para pesilat untuk mempelajari ilmu silat untuk menjadi seorang yang bertaraf mahir silat atau pandai silat (pendekar). Sebahagiannya ada mengatakan, perlu belajar dalam suatu tempoh yang lama supaya beroleh kecekapan dan kematangan gerak geri. Sebahagian yang lain pula berpendapat tidak perlu menuntut dalam tempoh yang lama untuk mahir (bertahun-tahun), tetapi sekadar beberapa hari atau  beberapa bulan sahaja. Namun tidak terkecuali juga, ada sekumpulan yang menegaskan, hanya perlu tahu Rahsia Ilmu dan Petua yang mungkin hanya mengambil masa hanya beberapa jam atau semalaman sahaja.

Jika kita renung kembali ke zaman silam, berapa lama kah tempoh seseorang Mahaguru atau Pengasas Silat menuntut ilmu silat itu sendiri sehingga mereka berupaya untuk menubuhkan sesuatu perguruan? Yang pastinya, tidak sepertimana majoriti murid-murid silat masakini. Terpaksa menuntut silat sehingga bertahun-tahun malah ada sehingga berpuluh tahun tetapi tiada juga sampai ke peringkat "pandai silat". Sebagai contohnya Silat Seni Gayong sendiri, untuk mencapai peringkat bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti secara umumnya mencecah lebih daripada 10 tahun. Sehinggakan ada yang masih di peringkat murid hatta telah mengikuti latihan silat ini selama 20 tahun! 
Allahyarham Cg Ahmad Lazim merupakan antara penyusun silibus Gayong
Persoalan yang ingin diutarakan, 

1. Adakah WAJAR untuk memperhambakan diri sehingga berpuluh tahun semata-mata untuk mempelajari silat?

2. Kenapa guru-guru tua dahulu hanya belajar dalam tempoh yang singkat tetapi mampu untuk dihantar mengajar ke seluruh Malaysia?

3. Adakah sistem pembelajaran sekarang sengaja dicipta untuk memastikan seseorang murid itu memerlukan masa yang panjang untuk menghabiskan sesuatu pelajaran silat?

4. Benarkah murid-murid tua dahulu hampir semuanya hebat berbanding murid-murid sekarang?

5. Bolehkah kita mempelajari silat dan mahir dalam tempoh yang singkat sebagaimana Mahaguru-Mahaguru yang terdahulu?

6. Masih relevankah susunan pelajaran dahulu dengan zaman sekarang?

7. Susunan pelajaran atau pelajaran yang diajar oleh Mahaguru atau Gurulatih Kanan merupakan buah-buah yang diterbitkan berdasarkan kemahiran mereka. Oleh itu, adakah segala yang mereka ajar itu merupakan buah-buah baru atau sama seperti apa yang mereka pelajarinya dulu?
Allahyarham Pak Hussein Kaslan
Salah seorang Gurulatih Kanan Gayong yang terhebat sepanjang zaman.
Masih banyak soalan yang berbangkit dari isu ini. Apapun, 7 soalan ini sudah cukup untuk kita berfikir sejenak, "Berapa lama kah tempoh sebenar untuk mempelajari silat agar mampu menjadi seorang pandai silat sebagaimana Mahaguru atau Guru-Guru Tua yang bertaraf Gurulatih Kanan?". Apakah RAHSIA TERSEMBUNYI di sebalik "pakaian" Mahaguru dan Gurulatih-Gurulatih Tua ini? Benarkah ada "jalan lain"  untuk "KHATAM" dalam ilmu persilatan dengan hanya belajar dalam tempoh yang amat singkat? Sama-sama kita cari jawapannya.......

Wallahua'lam.

Sunday, March 11, 2012

IBU GERAK KUNCI

Salamun Alaik;
Kunci terkandung elemen elak,sangga,cekak,kepak,hentak,patah dan bunuh.
Dalam keilmuan Gayong, Buah Tapak Kunci Mati pada asasnya terdapat hanya 7 buah sahaja. Tujuh buah tersebut merupakan IBU GERAK KUNCI bagi kunci-kunci yang ada sekarang. Ibu Gerak Kunci bermaksud, suatu gerak yang menjadi gerak awalan atau punca kepada perbuatan mengunci tubuh lawan. Seorang yang bertaraf Pendekar hanya perlu tahu Petua Ibu ini, dan ianya mampu untuk diolah menjadi ribuan kunci-kunci lain yang terbit dari punca 7 yang asal ini. 

Arwah Mahaguru mengajar 7 buah kunci di Singapura berdasarkan 7 Ibu Gerak Kunci ini. Kemudian pada awal 70-an, arwah Mahaguru meminta Gurulatih Kanan beliau untuk mengolah 7 buah menjadi 21. Di akhir 70-an pula, yang 21 buah dipecah lagi kepada 7 bahagian setiap satunya. 

Konsep yang hendak ditekankan di sini adalah, bukan untuk dihafal, tetapi untuk menunjukkan IBU GERAK KUNCI adalah HIDUP dan mampu digerakkan mengikut Gerak HAK DIRI bila Ilmu Gerak Bayang telah dikuasai. Bila mana seseorang Pengamal yang mahir dengan Ibu Gerak Kunci ini, maka ianya mampu untuk mengunci lawan dengan variasi kunci dalam pelbagai keadaan dan bentuk serangan.

Dalam Latihan, perlu mengutamakan keselamatan kerana pelajaran kunci amat merbahaya.

Buah Kunci Wanita, adakah sama dengan lelaki?
Dalam seni tempur, bukan buah yang jadi keutamaan, tetapi maksud untuk menumpaskan lawan itu yang diutamakan. Namun, bagi pengajaran yang telah digarapkan oleh arwah cg kalsom sebagai Pemegang Amanah, telah memilih buah kunci mati dari pecahannya sebagai pelajaran yang diajar kepada puteri-puteri Gayong. Ianya dibuat berdasarkan kesesuaian dengan sifat dan kudrat wanita serta kesopanan gerak laku. Terdapat 13 buah kesemuanya. Rakaman video di bawah ada saya tunjukkan buah kunci wanita (1-3 sahaja).

Kunci Wanita dipilih daripada Buah Pecahan Kunci Mati

Wallahua'lam.

Wednesday, March 7, 2012

GERAK TEMPUR TARI SIKULANG

Salamun Alaik;
Gerak Tempur Tari Sikulang

Gerak asalnya tunggal, dipecah menjadi berlapis-lapis.
 Lihat penanda sebagai panduan dan Garis diri yang ghaib menjadi pedoman. 
Menyinggah pula di titik rahsia badan agar bermakna setiap sentuhan. 
Tepislah sekadar secukup rasa tapi MAKAN BIAR SAMPAI KENYANG.......

Itulah Seni yang terkandung dalam Tari Sikulang. Walau nampak lembut dalam Tari nya namun keras dalam Gerak Tempurnya. Ianya HIDUP dan BERLAPIS-LAPIS. 

Wallahua'lam.

KALIGRAFI SILAT SENI GAYONG MALAYSIA DAN SERANTAU

Salamun Alaik,
Hasil karya oleh Ust Nik Afandi Nik Mahmud (Ketua Beradat PSSGM WP Labuan) dan disunting oleh saya sendiri.......

Sesuai untuk dijadikan design T-Shirt
Wassalam

Tuesday, March 6, 2012

SENTUHAN MAUT

Salamun 'Alaik;
Allahyarham Dato' Dr Hj Ahmad bin Hj Lazim, antara yang tergolong dalam senarai Pendekar Gayong.
Seorang Pendekar walaupun tiada memiliki senjata, namun dengan ilmu yang digelar SENTUHAN MAUT, ianya mampu memberikan kecederaan yang melampau sehingga ke tahap boleh membunuh musuh hanya dengan Gerak Serangan yang ringkas dan bersahaja. Dengan hanya berbekalkan tenaga yang minima dan sedikit pergerakan atau hanya dengan sekali sentuhan, musuh terus rebah menyembah bumi (pengsan atau mati). Bagi mencapai kesempurnaan Sentuhan Maut ini, pengamalnya perlu menguasai Ilmu Anatomi Tubuh,  dan Ilmu Seni Saraf terlebih dahulu. (terdapat 49 titik lemah utama pada tubuh manusia).

Contoh serangan titik saeaf pada lengan. 
Dengan hanya sedikit sentuhan,kesan kesakitannya amat perit sekali
Terdapat 7 Sentuhan Maut yang UTAMA, tiga diantaranya;

1. Jantung
PERENTAK JANTUNG adalah sasaran utama bagi SENTUHAN MAUT
Dengan sentuhan yang tepat di bahagian jantung menyebabkan fungsi jantung berhenti seketika (sekitar 1-2 minit). Fenomena ini dipanggil Commotio Cordis iaitu kegagalan jantung berfungsi seketika yang tidak disertai kerosakan fizikalnya. Tetapi, sekiranya sentuhan yang dilancarkan tepat di kawasan PERENTAK JANTUNG dengan kadar melebihi 50km/jam, ianya boleh mengakibatkan jantung mengalami kerosakan teruk dan boleh menyebabkan kematian. 

2. Sisi Leher
Sasaran SENTUHAN MAUT pada Carotid Bifurcation
Di bahagian leher sebelah sisi terdapat satu saluran darah yang dipanggil Salur Arteri Karotid. Ianya berfungsi menghantar darah yang beroksigen ke otak. Pukulan yang kuat dan tepat pada saluran tersebut terutamanya di saluran arteri karotid sinus (yang bercabang) boleh menyebabkan kerosakan dan seterusnya menyebabkan kegagalan otak menerima oksigen. Kesannya boleh mengakibatkan lumpuh atau mati.

3. Belakang Tengkok
Bahagian tubuh yang paling berbahaya jika diserang, Mampu merosakkan Reticular Activating System bagi otak bila hentakkan tepat ke arah tulang belakang (atlas dan paksi) yang sarat dengan saraf yang menghubungkan otak dengan saraf tunjang. 

Begitulah hebatnya Ilmu Para Pendekar silam. Mampu mengaplikasikan teknik-teknik serangan 4 kerat ke arah bahagian-bahagian tertentu badan yang kesannya mampu memberi impak kecederaan yang maksima atau kematian buat lawannya. Walaupun di zaman kini rahsia SENTUHAN MAUT semakin dibongkar , namun RAHSIA SULIT nya masih tersimpan rapi sebagai pakaian Guru-Guru Tua yang bergelar Pendekar.

Wallahua'lam.

Monday, March 5, 2012

SOAL JAWAB 3 : ISU MENYERU MALAIKAT DALAM ISIM BUDDUH

Salamun Alaik,
Soalan;
Saya tertarik dengan huraian tuan tentang ISIM BUDDUH DAN KIPAS NANDUNG. Namun ada beberapa perkara yang agak mengelirukan saya terutamanya bila tuan ada menyenaraikan nama2 Malaikat untuk diseru. Adakah ianya dibolehkan dalam Islam?


Jawapan;
Bagi pandangan saya, isu soalan ini telah menyentuh soal TAWASSUL. Banyak nas yang menyokong Tawassul ini dengan syarat,

"Memulangkan semuanya pada yang HAK yakni disertai dengan penuh keyakinan 
bahawa yang  melakukan sebenarnya adalah ALLAH SWT.. Dialah yang 
Maha Memberi dan Maha Menghalangi, Apa yang Dia kehendaki pasti terjadi 
dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti tidak akan terjadi."

Renungilah Hadis di bawah;

Diriwayatkan dari Saidina Ibnu Abbas radiyaLLahu 'anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :
"sesungguhnya ALLah subahanahu wa ta'ala mempunyai para malaikat di bumi selain para malaikah hafazhah. Mereka menulis setiap apa yang terjatuh dari pangkal pohon. Maka, jika salah seorang kalian tertimpa kesulitan (tersesat jalan) di tengah hutan, hendaklah ia menyeru: "Bantulah, wahai para hamba ALLAH SWT..."
(Hadith riwayat Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, vol 6 hlm 91; Baihaqi, Syu'ab Al Iman, vol I hlm 183; dan disebutkan oleh Al Haithami di dalam kitab Majma' Az Zawaid, vol 1, hlm 132).

Al Hafizh Al Haithami memberikan pendapat (pandangan) terhadap sanadnya. "Hadith ini telah diriwayatkan oleh Thobrani dan para tokoh periwayatnya adalah orang-orang thiqah (terpercaya). (Al Haithami, Majma' az Zawaid, vol 10, 132)

Dalam hadith ini terdapat dalil yang menunjukkan tentang meminta pertolongan kepada makhluk-makhluk yang tidak boleh kita lihat, seperti para malaikat. ALLAH SWT menjadikan mereka SEBAB dalam membantu kita dan kita boleh bertawassul dengan mereka kepada Tuhan kita dalam mencapai tujuan. Tidaklah jauh jika nak dibandingkan dengan para malaikat ini dengan roh-roh orang yang soleh(para Waliyullah), kerana roh-roh mereka adalah jasad-jasad nurani yang tetap ada di alamnya sendiri malah diantara mereka ada yang melebihi darjat para Malaikat.

Wallahua'lam.

Saturday, March 3, 2012

PUKULAN MAUT VS KOMBAT

Salamun Alaik;
 
Tendang Sisi/Juring/Tolak Lintang
Pukulan Maut dan Kombat merupakan pelajaran Gayong yang terkandung di dalam Silibus Gayong. Keduanya adalah pelajaran yang mengajar anak-anak Gayong bagaimana untuk menyerang menggunakan tulang 4 kerat selepas mahir dalam dalam pelajaran Asas Elakan dan Elak Pukul (Pecahan Elakan).

Perbezaan di antara Pukulan Muat dan Kombat?
Sepak Lurus/Tendang Sula
Seringkali saya diajukan tentang perbezaan diantara keduanya. Yang penting kita jangan keliru apa itu Pukulan Maut dan apa itu Kombat. Sama tapi tidak serupa. Kalau kita kaji pelajaran pukulan maut, rangkaian serangannya agak panjang (sesetengah Guru Tua menggelar buah membelasah mayat) sedangkan Kombat hanyalah 3 detik perbuatannya. Ini menunjukkan pelajaran Pukulan Maut lebih fokus kepada KAEDAH MENYERANG dan Kombat pula lebih kepada KEMAHIRAN MENYERANG. Super Kombat dan Serangan Bapak Harimau pula amat berbeza bentuk dan konsepnya dengan Pukulan Maut dan Kombat walaupun semua pelajaran ini adalah sama tujuannya iaitu untuk memusnahkan musuh.

Kesimpulannya, Pukulan Maut adalah ASASnyaKombat adalah RINGKASANnya, Super Kombat adalah RUMUSANnya. manakala Serangan Bapak Harimau adalah RAHSIANYA.


Wallahua'lam.

Friday, March 2, 2012

SOAL JAWAB 2 : kenapa tumbuk pintal tali dibuat pada 2 arah?

Soalan (dipetik dari group Gayong Bercantum)
Mengenai pelajaran, kenapa tumbuk pintal tali dibuat pada 2 arah?.. depan dan kanan.

Jawapan;
Makan dua arah untuk dua musuh, geraknya tiadalah mengangkat kaki,takut hilang kesimbangan, cukuplah hanya berkisar tapak dan elaknya juga sekadar kelek sebutir padi. Kekuatan juga berganda dengan jalinan gerakan bahu dan belikat.Rahsia yang terselit adalah kaedah nafas yang disertakan sewaktu melakukan gerakan penumbuk. Ada 4 peringkat, sedut-simpan-sedia-lepas. Sebutan ZAT juga banyak membantu sistem pernafasan pesilat disamping mengolah energy supaya perjalanannya menjadi lancar.

Wallahua'lam.

Sunday, February 19, 2012

PETUA SEGITIGA

Salamun Alaik,
Segitiga Napoleon
Dalam dunia persilatan, konsep segitiga sering dikaitkan dengan Tapak 3 atau dipanggil juga Tapak Laksamana (Tapak Serang). Sebenarnya, masih banyak lagi konsep segitiga ini yang berhubungkait dengan keilmuan silat. Antaranya adalah PETUA SEGITIGA. Ianya jarang dibicarakan kerana agak sulit dan menjadi pakaian para pendekar silam. 

Petua Segitiga ini jika dikaji, ianya amat saintifik kerana banyak menekankan aspek;
1. Keseimbangan 
2. Daya
3. Graviti
4. Momentum
5. Biomekanik
6. Tork
7. Biologi (Anatomi Tubuh Manusia)

Bagi yang mahir menyerapkan PETUA SEGITIGA ini sewaktu berpencak, tiada lagi kegusaran bila berdepan musuh kerana setiap gerak geri musuh sudahpun dibuat "kira-kira". Dengan menggunakan petua ini juga, sedikit sentuhan mampu memberi impak yang besar dan senang untuk merebahkan musuh. Bagi yang mahir pula, petua segitiga ini mampu menggantikan PETUA PENANDA GERAK dan mudah untuk dipraktikan dalam konsep MAKAN SEGERAK atau MAKAN GERAK DALAM GERAK dan amat berkesan dalam KUNCI GERAK dan MAKAN GERAK. Selain itu juga, petua ini mampu menjadikan pengamalnya seimbang dalam gerak langkahnya dan memaksimumkan jumlah daya bagi setiap bentuk serangan yang dilepaskan ke arah sasaran.
Bentuk Piramid adalah gabungan 4 segitiga.
Segitiga Bermuda yang penuh misteri.
Dalam aspek lain, SEGITIGA menyimpan pelbagai rahsia dan falsafahnya.Antaranya; hikmah Segitiga Khatamun Nubuwwah,  ilmu pengembangan tenaga dalam, tenaga piramid, bintang Nabi Daud as, ilmu falak konvensional dsbnya. Tidak terkecuali segitiga bermuda yang menyimpan pelbagai misteri. Sama-sama kita renungkan. Semoga memberi manfaat buat semua. Wallahua'lam.

Wallahua'lam.

Monday, February 6, 2012

PAGE DALAM FACEBOOK - AMALAN KEBATINAN SILAT SENI GAYONG

Salamun Alaik;
Pastinya bukan mengijazahkan atau menulisnya secara penuh. Ada bahagian-bahagian tertentu dikosongkan demi menjaga ADAB BERGURU. Bertujuan untuk berkongsi secara umum terutamanya dengan seluruh sedara seGayong agar ianya boleh dijadikan bahan dokumentasi/rujukan dan menyemai perasaan ingin menuntut akan kerahsiaan keilmuan gayong buat yang belum memilikinya. Inilah SENJATA GHAIB (ayat-ayat Al-Quran, mentera2 yg mengenalkan akan asal usul manusia dan ayat2 yg membangkitkan semangat diri) bagi sekelian Mukmin yang tiada pada golongan KUFFAR.Selain itu, ianya mampu menjadi alat untuk menangkis segelintir masyarakat yang mengatakan amalan-amalan kebatinan Gayong ini bathil lagi menyesatkan.

Klik di sini https://www.facebook.com/pages/Amalan-Kebatinan-Silat-Seni-Gayong/173373619438717

Wallahua'lam

Friday, February 3, 2012

BENGKONG HITAM HARIMAU PELANGI CHULA SAKTI GANGGA NEGARA MILIK MUTLAK MAHAGURU GAYONG

Salamun Alaik,
Pelangi Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negara
Sistem bengkong bagi Silat Seni Gayong mula diperkenalkan pada akhir 1969 di Pusat Latihan Tertinggi, Air Kuning, Taiping,Perak. Selepas itu, Allahyarham Dato' Meor Abd Rahman(ADMAR) mengarahkan Gurulatih-gurulatih kanannya yang terdiri daripada Cg Abdul Majid Mat Isa (merangkap Timbalan Pengarah Pelajaran), Cg Awang Daud, Allahyarham Cg Ahmad Lazim, Allahyarhamah Cg Siti Kalsom dan beberapa guru lagi membantu menyusun dan memperkemaskan lagi sistem bengkong dan susunan pelajaran Silat Seni Gayong agar lebih sistematik dan tersusun. Tahap pelajaran telah disusun mengikut tingkatan bengkong yang dikategorikan mengikut warna yang menggantikan warna bengkong sebelumnya yang hanya berwarna merah,kuning dan hitam.Susunannya seperti berikut;

1. Hitam (asas)
2. Awan Putih
3. Pelangi Hijau
4. Pelangi Merah
5. Pelangi Merah Tinggi (chula 1-3)
6. Pelangi Kuning
7. Pelangi Kuning Tinggi (chula 1-5)
8. Pelangi Hitam Mulus
9. Pelangi Hitam Chula Sakti (1-6)
10.Pelangi Hitam Chula Sakti 7 (Milik Mutlak Mahaguru)
 Bergaya dengan senjata Sundang Lipas (kanan) dan Keris Sepukal Bugis (kiri)
ADMAR bergaya dengan baju silat berlogo WAFAK PERANG GAYONG dan 
bengkong beliau yang berchula 7
Susunan warna bengkong ini telah dipersetujui oleh ADMAR mengikut falsafah dan warna tertentu yg mempunyai maksud tersirat dan rahsianya tersendiri. ADMAR juga telah menggariskan bahawa hanya beliau seorang yang mempunyai HAK MUTLAK untuk memakai Bengkong Pelangi Hitam Chula 7 yang dipanggil HARIMAU PELANGI CHULA SAKTI GANGGA NEGARA. Ini hak Mahaguru dan sesiapa sahaja yang bergelar anak Gayong hanya layak memakai sehingga Pelangi Hitam Chula 6 sahaja!
ada segelintir guru tua yg mengaku ada hak untuk memakai CHULA 7
 tak terkecuali guru muda juga ada mengaku bertaraf hitam chula 7
ADMAR juga ada menyatakan kenapa hanya beliau seorang sahaja yang layak memakai bengkong hitam berchula 7. Sebenarnya, ianya ada kaitan dengan sumpah ketika saat perkhataman beliau di Batu Hitam. Untuk mengetahui lanjut tentang kisah ini dan apakah kandungan SUMPAH tersebut, berjumpalah guru-guru tua yang banyak berdamping dengan ADMAR kerana ada sesetengah cerita dan ilmunya hanya untuk guru-guru kanan yang benar-benar layak dan yang paling dipercayai. Bagaimana untuk mengenali guru-guru yang dapat kepercayaan ADMAR ini? Amat mudah sebenarnya. Carilah guru yang ADMAR pernah melantik sebagai Pengarah/Timbalan Pengarah Pelajaran, Ketua Waris Lembaga Adat,Apit Jinjang Mahaguru, Sandang Panglima Singa Malaya (hanya 7 org sahaja sewaktu hayat ADMAR) atau yang pernah dianugerahkan bengkong Pelangi Hitam Chula Sakti 4 dan ke atas ( tidak lebih dari 10 orang ). Merekalah orangnya yang patut dan layak untuk dirujuk. Jangan sesekali terpengaruh dengan senioriti semata-mata atau guru yang mendakwa pernah mendakwa dapat itu dan ini daripada ADMAR. Sebenarnya, ADMAR amat tegas dan berhati-hati dalam melantik atau menganugerahkan sesuatu buat muridnya. Berbeza di zaman ini  yang mana berlambak-lambak guru yang melilitkan bengkong hitam chula 6 dan memakai sandang yg tinggi-tinggi. Kebanyakkannya diberi atas faktor senioriti dan sumbangan kepada pertubuhan. Fikir-fikirkanlah.......

Hormati HAK MAHAGURU. BERADAB lah dengan GURU. Secara asasnya, Bengkong Hitam Harimau Pelangi Chula Sakti Gangga Negara milik Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim membawa maksud Silat Seni Gayong bersendikan adat. Adatlah yang mengawasi perjalanan Silat Seni Gayong. Tanpa adat, Silat Seni Gayong akan hilang kedaulatannya. Oleh itu, telah menjadi kewajipan semua murid Gayong untuk mempertahankan adat agar halatuju dan matlamat Silat Seni Gayong tidak diseleweng dan dapat dipertahankan keasliannya.

Wallahua'lam.

Thursday, January 26, 2012

TUNJUK AJAR GURU - MENGALIH DALAM BERKEKUDA

Salamun Alaik,
Allahyarham Mahaguru menanti dengan kaedah tapak kekuda "jermang"
Dalam bertapak menanti kaedah jermang (kaki kanan di belakang), kaki kiri dihadapan berundur setapak sebagai fungsi pengalih badan dalam usaha menjarakkan diri daripada senjata musuh. Jika mampu "ambil" serangan, kaki kanan pula akan beralih sedikit atau sekadar "kelek" luar atau dalam.
Anak Gayong Serantau Kelantan sedang mendapat tunjukajar Ayahanda Amin Hamzah
Wallahua'lam

Sunday, January 22, 2012

TAPAK BELIAN & PUKULAN 7 BERADIK

Salamun Alaik,

Dalam berGayong, asas SERANGAN HARIMAU memerlukan kefahaman dan kemahiran dalam TAPAK BELIAN dan PUKULAN 7 BERADIK,

Bagaimana bentuk dan kaedahnya? Sama2 lah kita mencari GURU.......
Tunjuk ajar dari Ayahanda Amin Hamzah

Wallahua'lam.

Friday, January 20, 2012

ASAS SENAMAN TONGKAT

Salamun Alaik;
Demo Asas Senaman Tongkat yang pertama
Asas Senaman Tongkat diajar buat anak2 Gayong bertujuan untuk "ambil rasa" dan sebagai titik awal mengenal apa itu senjata tongkat (simbat rotan). Ia dimulakan dengan kaedah hormat dan disusuli dengan asas "bermain" dengannya seperti melibas, menukar kemudi, gulingan, regangan dan lompat. Secara asasnya, senaman seperti ini mampu untuk membiasakan diri anak2 Gayong dengan senjata tongkat selain sebagai aktiviti pemanasan sebelum mula berlatih secara lebih serius dan agresif. Jurulatih pula berperanan agar memastikan murid2 Gayong perlu cekap dalam kemahiran mengemudi tongkat dan keupayaan mengelak terutamanya melompat ketika menghadapi libasan tongkat. Selain asas senaman, anak2 Gayong akan diajar dengan Asas Gerakan Tongkat, Asas Elakan Tongkat, Elakan Maut Tongkat, Buah Kuncian Tongkat dan Tapak Hidup Tongkat. Bagi pelajaran tambahan, pesilat akan didedahkan dengan pelajaran tongkat vs pisau, tongkat vs parang dan seni tongkat panjang (tembong).

*pengalaman dulu: selagi tak lepas asas senaman ini terutamanya lompat melepas tongkat, selagi itulah anak2 Gayong perlu ulang sebelum dibenarkan mempelajari pelajaran tongkat yang seterusnya terutamanya Tapak Hidup kerana dikhuatiri pesilat akan cedera di bahagian kaki akibat terkena libasan tongkat.

Wallahua'lam

Wednesday, January 18, 2012

ISIM BUDDUH DAN KIPAS NANDUNG

Salamun Alaik,


 Bruce Lee pernah terkena ajian Kipas Nandung oleh Mahaguru Gayong

Kipas Nandung, terkandung ia di dalam Keilmuan Silat Seni Gayong. Ketinggian ilmu dan kehebatannya sering diceritakan oleh Guru-Guru Tua yang mendapat "AMANAH" dari Allahyarham Mahaguru dan tidak terkecuali ada di antara Guru-Guru Tua yang bercerita berdasarkan pengalaman menyaksikan sendiri bagaimana Allahyarham Mahaguru mempraktikkan ilmu tersohor ini. Memang amat menggerunkan! Ajiannya mampu mencederakan musuh walau hanya direnjis lembut dan ianya juga mampu dilaksanakan tanpa sempadan jarak dan dimensi!

Adab belajar ilmu Kipas Nandung amat berbeza dengan Ilmu Kebatinan Gayong yang lain. Ianya tidak sesekali akan diajar kepada umum atau gurulatih yang telah mencapai tahap tertentu dalam peringkat pelajaran. Ianya juga bukan boleh diperturunkan secara "Izin Amal" atau "Tauliah Umum". Apatah lagi secara berkursus dan dibuka pula kepada peserta yang berminat. Seorang Guru yang menjadi Pewaris Amanah Ilmu ini tidak akan sesekali bercakap sewenangnya-wenang akan perihal Kipas Nandung ini kerana menjaga "SUMPAH" ketika menerima pengijazahan dari Allahyarham Mahaguru. Setiap yang menerima amanah hanya boleh "menurunkan" hanya kepada 7 murid yang benar-benar terpilih dan dipercayai. Itu pun sekadar pakaian untuk diri sendiri. Cuma seorang diantara 7 yang terpilih ini yang akan diangkat pula sebagai "PEWARIS ILMU" yang boleh mengijazahkan pula kepada 7 orang yang benar-benar layak dan berhak. Berkata Guru pada ku; " Perturunkanlah ILMU ini setelah kamu menjunjung uban dan lantiklah pengganti mu daripada murid yang kamu paling percaya"........... Berwaspadalah kerana Ilmu ini bukan ilmu sebarangan, silap langkah buruk padahnya.

Isim Budduh pengisian bagi Kipas Nandung

Ibu Amalan bagi Ilmu Kipas Nandung seperti yang diceritakan oleh salah seorang "PEWARIS" ilmu ini adalah Isim Budduh. Isim yang dianggap Isim Tertinggi dan Terahsia di antara Himpunan Amalan-amalan Kebatinan Gayong yang lain. Seruan dan wasilahnya adalah terdiri daripada Bala Tentera Allah yang terdiri daripada Malaikat-malaikat khusus yang menjaga setiap penjuru alam di peringkat sederhana dan tinggi.
Antaranya;
1. Sayyid Thoiykail
2. Lakahkail
3. Mayail
4. Nannayail
5. dan ramai lagi (dirahsiakan atas menjaga Adab Ilmu)


Tiada Madah, Pantun, Mentera atau latihan fizikal dalam Amalan Kipas Nandung

"Itu semuanya KARUT!!! Dalam Kipas Nandung, TIADA semua ini.", jawab Guru bila ditanyakan soal Kipas Nandung yang sejak kebelakangan ini sudah ada beberapa guru Gayong yang mendakwa ada mempelajari ilmu Kipas Nandung ini dari Arwah Mahaguru. Ada yang bermadah..... ada yang berpantun..... ada yang melompat sambil merenjis-renjis jari dan pelbagai lagi ragam yang boleh dianggap "nak tunjuk serba tahu". Jika benar-benar mereka ada, mereka tak akan kata mereka "ADA" dan sewenangnya menurunkan ILMU ini secara terbuka......sbb itu salah satu SUMPAHnya. Semoga perkongsian ini mampu menjawab soalan2 sahabat yang bertanyakan tentang Ilmu Kipas Nandung ini.

Wallahua'lam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...