Pejuang Warisan Seni Beladiri Melayu

SELAMAT DATANG KE BLOG GELANGGANG PERSANTA NALA

Sunday, August 14, 2011

PENGGUNAAN RACUN PADA SENJATA

Salamun Alaik,
Bisa ular

Dalam keilmuan silat, senjata-senjata yang digunakan untuk pertempuran seperti keris, lembing, buluh runcing, sumpit dan pemanah, kebiasaanya akan dibubuh RACUN agar kesan luka akibat dari senjata tersebut walaupun sedikit, akan memberi impak yang sangat besar. Terdapat banyak kaedah membuat racun. Ada yang menggunakan dari sumber tumbuh-tumbuhan (daun,getah,akar), bersumberkan binatang-binatang berbisa ( ular, kala jengking, kodok dan labah-labah) dan dari mineral kerak bumi seperti arsenik.

Pokok Ipoh

Secara umumnya, tumbuhan yang sering digunakan untuk memproses racun adalah daripada getah pohon Ipoh (Antiaris Toxicaria) dan akar dari pohon Ara/Toba( derris Elliptica). Kesan dari getah Ipoh ini bila masuk ke saluran darah boleh menyebabkan aktiviti jantung akan meningkat dengan drastik dan bergedup kencang. Ini mengakibatkan jantung akan kejang dan saluran darah akan pecah! Berbeza dengan kesan racun daripada sumber binatang berbisa yang mana ianya boleh menyebabkan kematian sel-sel neuron, kekejangan otot melampau, lumpuh dan kecatatan kekal (mengalir ke otak). Namun, sekiranya musuh yang terkena racun tersebut sememangnya alergik dengan bahan-bahan racun ini, dos yang kecil sudah cukup untuk membawa kepada kematian.

Labah-labah paling berbisa di dunia

Jika dalam keilmuan silat diajar cara-cara membuat racun, maka ianya juga mengajar kaedah untuk membuat penawarnya. Jika hanya belajar membuat racun sahaja, maka tiadalah lengkap ilmu seseorang pendekar itu. Penawar kepada racun berbeza mengikut kepelbagaian racun itu sendiri. Itu bergantung kepada pecahan ilmu racun seperti;

1. Ilmu racun darah dan sumsum tulang.
2. Ilmu racun tulang dan otot.
3. Ilmu racun saluran pernafasan.
4.Ilmu racun saluran pencernaan.
5. Ilmu racun saraf.
6. Ilmu racun kulit dan mata.
7. Ilmu racun jantung dan pembuluh darah.

Salah satu kaedahnya untuk menghadapi kesan getah ipoh (jantung dan pembuluh darah) adalah dengan melumurkan pati dari buah asam. Dan ada juga yang mengamalkan petua memakan tanah. Pesan Guru, adakalanya racun boleh menjadi penawar kepada racun yang lain.

Terdapat pelbagai teknik untuk menyerapkan racun pada senjata. Ianya bergantung kepada guru yang mengajar. Ada melalui coletan ke mata senjata, melalui rendaman (beberapa hari) di dalam suatu bekas tertentu yang biasanya diperbuat dari buluh (sumber tumbuhan) dan secara ditanak. Racun yang amat berbisa adalah racun yang diperbuat daripada campuran racun yang bersumberkan tumbuhan dan bisa dari binatang- binatang. 

Wallahua'lam

Tuesday, August 9, 2011

MATI LANGKAH DAN LANGKAH SUMBANG

Salamun Alaik,
Sewaktu berpencak, pesilat seharusnya menyusun gerak langkah dan susunan tapaknya agar ianya tidak berlangkah sumbang dan seterusnya dapat mematikan langkah musuh. Dalam keilmuan silat, Mati Langkah bermaksud suatu kedudukan yang tidak memberikan ruang dan peluang untuk menyerang atau membela diri tetapi sebaliknya membuka ruang dan peluang kepada pihak lawan untuk menyerang. Langkah Sumbang pula bermaksud susunan gerak langkah yang tidak teratur dan memudahkan untuk pihak lawan mematikan langkah atau mengambil kesempatan untuk menyerang. Namun, ada juga sesetengah perguruan mengamalkan Langkah Sumbang ini sebagai suatu helah dan ikhtiar untuk memerangkap pihak lawan.

Kedudukan salah satu tapak di antara kedua tapak musuh

Bagi mematikan langkah musuh, pesilat biasanya akan mengatur susunan langkahnya agar berjaya meletakkan salah satu daripada tapak kakinya diantara kedua tapak kaki musuh dalam berkeadaan dada pesilat menghala ke arah musuh manakala dada musuh menghala ke arah lain. Kedudukan posisi sebegini menjadikan sudut pandangan pihak lawan di luar daripada sudut normal iaitu lebih kurang 60 darjah yg diukur dari garis pusat mengarah ke luar. Situasi ini mengakibatkan pihak lawan kurang keupayaan mengesan gerak serangan pesilat di samping terdapat sebelah tangan dan kakinya yang berada di luar sudut pertempuran.

Kedudukan yang boleh mematikan langkah musuh

Selain itu, ada juga pesilat menggunakan Langkah Songsang bagi mematikan langkah musuh. Langkah Songsang bermaksud, langkahan gerak tapak pesilat mengikut gerak tapak pihak lawan secara imej cermin (contohnya, musuh kaki kiri depan, pesilat kaki kanan depan).

Semoga perkongsian ilmu ini beroleh manfaat buat kita semua. 

Wallahua'lam

Monday, August 8, 2011

RIADAH "MATA HATI"

Salamun Alaik,

Mata merupakan salah satu daripada 5 organ deria yang ada pada manusia. Ia berfungsi sebagai penerima balikan cahaya daripada objek dan menghantarkan segala maklumat yang diterima ke otak untuk ditafsirkan melalui sistem saraf. Maknanya, mata manusia hanya berfungsi bila ada kehadiran cahaya, tanpa cahaya maka tiadalah kemampuan manusia itu untuk melihat. Sebagai contohnya, pada waktu malam yang gelap gelita, penglihatan manusia akan menjadi amat terhad dan kurang jelas. Jika dipejamkan mata pula, kita langsung tiada kemampuan untuk melihat sesuatu umpama melihat tanpa hadirnya cahaya.

Sebenarnya, seseorang manusia itu tidak hanya melihat dengan mata kasar semata-mata. Terdapat satu lagi kemampuan untuk melihat dan menilai akan sesuatu perkara dengan lebih halus dan mendalam iaitu melalui MATA HATI. Mata kasar manusia mudah ditipu dan sering diperdaya dengan pelbagai ilusi dan khayalan minda sedangkan MATA HATI lebih jujur dan ianya dipandu oleh GERAK NALURI INSAN yang luhur dan suci. Cahayanya berpunca dari sumber segala Cahaya. Begitu hebatnya penglihatan MATA HATI ini. Tetapi kenapa ramai manusia yang kurang berkemampuan untuk menggunakannya? Sama-samalah kita mencari jawapannya.

Di dalam Ilmu Persilatan pula, ada antara riadah/latihan nya iaitu berlatih bertempur (berpencak) dalam keadaan mata tertutup. Tujuannya adalah jelas, iaitu melatih pesilat-pesilat fokus kepada kekuatan "mata hati" mereka. Pada peringkat ini, tiada lagi pergantungan kepada mata, tetapi pesilat haruslah berusaha menangkis segala serangan musuh menggunakan GERAK RASA dan FIRASAT HATI yang lahir dari MATA HATI yang suci.  InsyaAllah, dengan bimbingan GURU yang ARIF, pesilat mampu menguasai RIADAH MATA HATI ini dengan sempurna dan menyerap segala KERAHSIAAN lain berkaitan HAKIKAT MATA HATI ini.Bagi pengamal silat, kesempurnaan sesuatu tindakan adalah amat bergantung kepada berapa pantas diri kita memberi refleks kepada apa yang diterjemahkan oleh AKAL dan dinilai oleh HATI.

Apakah RAHSIA kepada Riadah Mata Hati ini?
Riadah Mata Hati diperkenalkan dalam Keilmuan Silat ini adalah semata-mata untuk mengenal dan membezakan antara AKAL dan HATI. Segala cabang ilmu yang HAK akan membawa pengamalnya mengenal kepada EMPUNYA ILMU tersebut. Perbezaan arah memandang menyebabkan terjadi perbezaan daya nilai dan daya rasa.


[petikan Al-Hikam]
Orang akal lebih cenderung kepada fahaman falsafah yang berdiri di atas kemanusiaan sejagat iaitu fitrah manusia. Keberkesanan hukum sebab-akibat membentuk formula-formula yang seterusnya melahirkan hukum logik yang dipegang oleh akal. Sukar bagi akal untuk melihat bahawa Allah s.w.t yang meletakkan dan menetapkan keberkesanan hukum sebab-akibat itu. Orang akal memerlukan masa untuk berfikir dan menimbang sehingga mereka melihat dan mengakui kerapian serta kesempurnaan hukum yang mereka pegang itu. Setelah sampai kepada pengakuan yang demikian baharulah mereka beralih memerhatikan apa yang datang dari Tuhan.


Orang hati pula terus menyaksikan Ketuhanan pada apa yang disaksikan. Mereka melihat perjalanan sebab dan akibat sebagai tadbir Allah s.w.t. Mereka juga mengambil sebab dalam melakukan sesuatu tetapi ketika mengambil sebab itu hati memandang kepada Allah s.w.t, meletakkan pergantungan kepada-Nya yang mentadbir sebab musabab itu, bukan bersandar kepada sebab semata-mata. Jika sebab gagal menghasilkan akibat menurut hukum logik, orang hati melihat kekuasaan Allah s.w.t mengatasi segala sebab. Orang akal yang berhadapan dengan keadaan yang demikian sering diganggu oleh kekeliruan dan mereka mencari formula baharu untuk mengembangkan logik.


Walaupun terdapat perbezaan cara memandang tetapi tidak seharusnya berlaku berselisihan di antara dua golongan tersebut. Satu golongan harus menghormati daya nilai dan daya rasa golongan yang satu lagi. Walau bagaimana pun orang akal harus sedar bahawa mereka sedang bergerak ke arah daerah orang hati kerana iman, ikhlas, berserah diri, takwa dan lain-lain nilai baik dalam agama adalah nilai hati yang mengeluarkan niat.
 

Wallahua'lam.

Sunday, August 7, 2011

PENUMBUK DAYUNG

Salamun Alaik,
Terdapat pelbagai jenis bentuk serangan tangan seperti pancung dayung (back knife hand), selayang pancung (knife hand), setangkai padi (thumb knuckle strike), siku (elbow strike), tusuk (finger jab), sauk (uppercut), tumbuk layang (hook), telapak (palm strike), seligi (knuckles strike), hentak sepukal (backfist), genggam sepukal (hammer fist) dan sebagainya, namun PENUMBUK LURUS (straight punch) merupakan perbuatan yang paling asas ketika melakukan serangan tangan. Tumbuk Lurus ini pula mempunyai 3 gaya serangannya;

1. Tumbuk Langsung (terus)
Tumbukan yang dilepaskan daripada kedudukan sedia terus ke sasaran secara horizontal tanpa mengubah keadaan tangan. Kebiasaannya, tumbuk langsung dilaksanakan oleh tangan dihadapan (sewaktu gaya pasang).

2. Tumbuk Pintal Tali 
Tumbukan dilaksanakan daripada kedudukan Kelek Anak (genggaman di rusuk), bergerak secara berpintal sebelum penumbuk sampai ke sasaran. Kebiasaannya, tumbuk Pintal Tali dilaksanakan oleh tangan dibelakang (sewaktu gaya pasang).

3. Tumbuk Dayung (Berkisar)
Tumbukan paras dengan gerakan tangan secara berkisar dari atas ke bawah secara pusingan Tawaf dan seterusnya bergerak secara horizontal ke sasaran. 
Kaedah untuk melaksanakan Tumbuk Dayung

KELEBIHAN TUMBUK DAYUNG
1. Serangan jarak HASTA. Anda mampu memberikan impak yang kuat kepada sasaran maut musuh walaupun dalam jarak yang amat dekat berbanding Tumbuk Langsung.
2. Masa Reaksi lebih singkat berbanding Tumbuk Pintal Tali.
3. Mampu dilaksanakan dengan secara BERANGKAI secara tunggal (tangan yang sama).
4. Boleh mengubah haluan serangan dengan mudah tanpa mengurangkan impak tumbukan.
5. Merupakan serangan yang berbentuk pertahanan. Sambil menyerang sambil menangkis. 
6. Menyembunyikan PUNCA GERAK(bahagian bahu)sewaktu mula bergerak dan keadaan ini menyukarkan pihak musuh membaca gerak pada tubuh kita.
7. Mampu untuk menyerang sambil mengubah tapak. Maknanya, ianya amat fleksibel dan mengikut rentak gerakan langkah. Sambil melangkah sambil menyerang.

Wallahua'lam

Saturday, August 6, 2011

BELADIRI WANITA - BUATLAH PILIHAN YANG TEPAT

Salamun Alaik,

Bila menatap keratan akhbar berkaitan tips beladiri wanita di atas, terasa ada sesuatu yang tidak kena. Fikiran mula mempersoalkan, adakah ianya sesuai dengan kudrat seorang wanita/anak gadis atau berapa lama tempoh untuk seseorang wanita itu perlu berlatih agar mereka mampu melaksanakan teknik tersebut?

Kita semua maklum yang wanita kini ramai yang bekerja. Mereka sering keluar rumah dan risiko untuk mereka berdepan dengan penjenayah adalah tinggi. Sedangkan masa untuk mereka mengikuti kelas-kelas beladiri amat terhad. Apatah berlatih secara rutin (untuk meningkatkan kemahiran). Oleh yang demikian, buat wanita2 yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya ilmu beladiri ini, akan berusaha untuk mengikuti kursus2 atau bengkel2 yang berfokuskan Beladiri Wanita sahaja dalam bentuk pakej yang telah ditawarkan oleh mana2 pertubuhan/persatuan beladiri atau NGO yang bertanggungjawab.

Namun, apa yang perlu ditekankan di sini, buatlah pilihan yang tepat. Seeloknya pilihlah yang benar-benar berkonsepkan beladiri wanita dan bukannya sekadar menerapkan disiplin beladiri mereka yang kebiasaanya amat rumit dan komplek untuk dilaksanakan. Walaupun diakui, konsep disiplin mereka itu tidak salah dan berkesan, tetapi ianya perlukan masa yg agak lama untuk dikuasainya. Wanita yang mengikuti kursus beladiri wanita ini, berbeza dengan murid yang telah mengikuti kelas2 beladiri tersebut secara rutin (mungkin 2-3 kali seminggu selama bertahun-tahun). Mereka ini bukanlah berlatarbelakang ahli mempertahankan diri dan mereka ini juga tiada masa untuk berlatih secara tekun utk menguasai teknik-teknik yang komplek dan memerlukan tenaga yang banyak. 

Oleh yang demikian, pertubuhan/persatuan beladiri dari pelbagai disiplin haruslah peka dengan masalah ini, dan seharusnya mengambil inisiatif supaya mampu menggubal suatu silibus yang lebih ringkas, fleksibel dan efektif. Sebagai pengamal beladiri, ini adalah satu inisiatif kita dalam memberi sumbangan kepada masyarakat luar melalui ilmu yang telah kita pelajari dan kuasai. Semoga mendapat Berkat dan Rahmat dari Allah SWT. Amiiin.

Wallahua'lam.

KONSEP EKONOMI DALAM PENGGUNAAN TENAGA, MASA DAN PERGERAKAN

Thursday, August 4, 2011

KONSEP GARIS PUSAT DAN MEDAN KAWALAN

Salamun Alaik,
Konsep Garis Pusat merupakan suatu konsep yang menekankan kepada 4 medan kawalan yang berpunca dari 2 garis yang saling berserenjang dengan titik persilangannya di pusat tubuh. Pembahagian medan ini amatlah penting dalam usaha kita mengawal serangan musuh secara tersusun dan bersistematik. Setiap serangan musuh yang masuk ke dalam medan tersebut, tangan dan kaki kita telahpun bersedia dengan tugasnya masing-masing.

Secara amnya, serangan bahagian atas akan dipertanggungjawabkan kepada kedua tangan dan serangan bahagian bawah, kaki pula yang mengalas tugas tersebut. Dengan demikian, kita telahpun menyeimbangkan tugas dan secara tidak langsung ianya tidak akan membebankan mana2 satu bahagian belaan sahaja.

Garis Pusat Bahagian Atas (Medan Belaan Tangan)

Pandangan hadapan

Kebiasaannya, gaya menanti berkeadaan tangan kiri di hadapan dan tangan kanan di belakang. Setiap pergerakan tangan yang menangkis lokusnya berpusat pada bahagian siku. Maka, pergerakan siku adalah hampir tetap dikedudukannya dan sekiranya ada pergerakan, ianya hanya dalam bentuk gerakan segaris secara horizontal.

Pandangan Sisi

Daripada pandangan sisi, kita juga dapat melihat pembahagian medan yang terdiri daripada 4 medan kawalan. Medan Hadapan(atas dan bawah) dikawal oleh tangan kiri (hadapan) manakala Medan Belakang (atas dan bawah) dikawal oleh tangan belakang. Bentuk belaan/ Teknik Belaan bergantung kepada individu dan mengikut kepada ilmu yang dipelajari.

Konsep Garis Pusat dan Medan Kawalan ini adalah sebagai panduan asas kepada strategi belaan kita. Setiap satunya ada formula yang mudah agar setiap serangan musuh, kita mampu menghadapinya dengan tenang dan bersistematik. Formula belaan yang bersistematik pula akan membantu kita menggunakan dengan berhemah setiap tenaga dan pergerakan kita agar setiap gerak geri kita bermakna dan berkesan.

*Bersambung.......

Wallahua'lam

Tuesday, August 2, 2011

KONSEP RUANG DALAM PERTEMPURAN MELIBATKAN MUSUH YANG RAMAI

Salamun Alaik,
Pesilat berada dalam kedudukan kepungan oleh pihak musuh
Saat berhadapan dengan bilangan musuh yang ramai, seorang pesilat seharusnya bijak dalam menyusun gerak langkah berdasarkan kepada Konsep Kedudukan dan Ruang bagi memastikan pesilat sentiasa berada dikedudukan selamat. Konsep asasnya adalah, pesilat mestilah sentiasa dalam kedudukan yang berkeupayaan melihat secara keseluruhan gerak geri musuh (maknanya tiada musuh di belakang). Gerak Langkah pesilat selalunya akan menggunakan Tapak 4 dan Tapak 8.

Sentiasa berwaspada dengan musuh yang paling agresif dan berani

Asas kedudukan pesilat bila berdepan dengan musuh yang melebihi seorang adalah seperti berikut;

                                                        2 musuh                                3 musuh                                  4 musuh


Dalam menghadapi situasi seperti ini, anda ada dua pilihan;
1. terus menyerang musuh yang paling lemah supaya anda dapat ruang yang lebih baik untuk menghadapi baki musuh yang ada.
2. bertindakbalas sebaik sahaja salah seorang musuh memulakan serangan dan menggunakan Tapak 4 bagi mengelak sambil mendapatkan ruang yang selamat atau gunakan Tapak 8 untuk mengelak dan membuat serangan balas terhadap musuh yang paling hampir.

Contoh gerak langkah pesilat untuk mendapatkan ruang yang selamat

Apabila berhadapan dengan ramai musuh, anda tidak boleh sesekali membuat serangan berbentuk berangkai ataupun melakukan kuncian. Apa yang perlu anda lakukan adalah GELEKELAK PUKUL sambil melangkah mencari RUANG yang selamat. Setiap pukulan yang dilepaskan haruslah mantap dan tepat pada sasaran maut. Ianya akan membantu anda menambahkan ruang yang lebih luas jika musuh yang anda serang tersebut mengalami kecederaan teruk dan tidak lagi mampu mengepung anda untuk melakukan serangan selanjutnya. 

Anda juga boleh membelakangi dinding atau tiang/batang pokok sebagai satu strategi supaya tiada musuh dibelakang anda. Namun jangan terlalu dekat dengan dinding tersebut kerana ianya boleh menghadkan pergerakan anda. Namun sekiranya tiada pilihan, pastikan anda menyandar ke dinding dan tutuplah ruang tubuh anda seboleh mungkin. Serangan musuh menjadi amat terhad dan jika anda bernasib baik, serangan musuh akan tersasar ke dinding!

Anda juga disarankan berada di suatu ruang yang hanya membenarkan seorang atau dua musuh sahaja yang boleh melalui sesuatu kawasan tersebut seperti di atas jambatan atau lorong yang sempit. Dengan demikian, anda tiada masalah berhadapan dengan musuh yang ramai.

Segala yang dibincangkan adalah sekadar lontaran idea bagi merangsang minda sekiranya anda menghadapi situasi berhadapan musuh yang ramai. Semoga beroleh manfaat dari apa yang dibincangkan. InsyaAllah.

Wallahua'lam

SENAMAN PILIHAN - TEKAN TUBI

Salamun Alaik,


Tekan Tubi merupakan salah satu senaman yang amat universal dan mempunyai pelbagai manfaat. Ianya menggunakan berat tubuh dan daya tarikan graviti sebagai beban. Tekan Tubi juga merupakan senaman yang tidak memerlukan ruang yang besar dan boleh dilaksanakan dengan pelbagai kaedah. Manfaat utamanya adalah dapat memberikan kekuatan dan keseimbangan kepada pengamalnya.

Dalam aspek beladiri, latihan tekan tubi amat dititikberatkan kerana ianya mampu menguatkan otot-otot seperti Deltoid, Triceps, Pectorilis, Pectorilis Major, Latissimus Dorsi dan Rectus abdominis. Sebgai contohnya, kekuatan otot Deltoid (bahu) mampu menghasilkan penumbuk yang kuat kerana bahu merupakan IBU GERAK kepada pergerakan tangan. Manakala. kekuatan otot rectus abdominis (bahagian abdomen/otot perut) mampu memberikan kekuatan sewaktu melakukan tendangan.

Untuk melaksanakan Tekan Tubi dengan sempurna, pastikan belakang badan adalah dalam keadaan tegap dan kaki berkeadaan lurus. Sewaktu gerakan turun, pastikan bahagian badan hadapan tidak menyentuh lantai. Bagi wanita pula, disyorkan lutut menyentuh lantai dan tekan tubi hanya melibatkan bahagian atas tubuh sahaja. 

Tekan Tubi mempunyai pelbagai kaedah dan variasi. Setiap kaedah akan memberi manfaat yang berbeza. Antaranya;
1. Tapak Tangan (biasa)
2. Penumbuk
3. Jejari
4. Jarak Lebar (lepasi jarak bahu)
5. Segitiga (tengah dada)
6. Tepuk
7. Belakang Tangan.

Setiap kaedah ini pula , anda boleh melaksanakan dengan tempo yang berbeza. Jika dilakukan dengan pantas, ia akan meningkat KUASA OTOT manakala jika dilakukan dengan perlahan, ia akan meningkatkan DAYA TAHAN OTOT. Bagi yang mengamalkan Tekan Tubi untuk meningkatkan Tenaga Dalam pula, setiap ulangan 20 dilaksanakan secara menahan nafas. 

Bagi pandangan saya, Tekan Tubi merupakan senaman yang ringkas dan mudah tetapi hasilnya amat mengagumkan. Saya sendiri telah menggariskan syarat kepada murid2 di bawah bimbingan saya agar mencapai had limit bilangan tekan tubi yang telah ditetapkan untuk kenaikan bengkong (syarat tambahan). Untuk bengkong putih = 20 kali, hijau = 30 kali, merah = 50 kali, kuning = 70 kali dan hitam = 100 kali. Semoga apa yang dikongsikan mampu memberi manfaat buat semua.

Wallahua'lam.

Saturday, July 23, 2011

TAPAK SILAT

Salamun Alaik,

Tapak Silat berbentuk BERLIAN

Dalam  ilmu persilatan, terdapat elemen-elemen asas yang perlu kita pelajari. Antaranya adalah Asas Kekuda,Tapak Menanti/Menyerang dan Langkahan Silat. Elemen ini AMAT lah penting bagi pesilat menguasainya kerana ianya adalah IBU KUNCI kepada gerak-gerak silat yang lain seperti jurus, elakan, kuncian,pukulan dan permainan senjata. Kehebatan seorang pesilat juga sebenarnya boleh diukur dengan susunan gerak langkahnya. Namun asasnya bermula dengan TAPAK 3 dan TAPAK 4.

Sebelum mengulas lanjut tentang Tapak Silat ini,ada baiknya kita memahami terlebih dahulu takrifan/maksud bagi Asas Kekuda, Tapak Menanti dan Langkahan Silat.

1.Asas Kekuda
Kelakuan dasar kedudukan silat yang berfungsi MENGUKUHKAN KEDUDUKAN, KESEIMBANGAN BADAN dan LATIHAN MENGUATKAN OTOT-OTOT KAKI. Ianya ibarat tapak sesuatu bangunan dan tiang bagi ilmu beladiri. Seharusnya, asas kekuda ini dipraktikan dengan serius agar ianya tidak pincang dan mengganggu proses pembelajaran yang seterusnya. Antara latihan bagi mengukuhkan asas kekuda adalah seperti;
           1. Duduk dalam keadaan berkekuda dalam suatu tempoh yang panjang.
           2. Menggunakan beban tambahan seperti rakan berdiri di atas kekuda pesilat.
           3. Mendaki bukit.
           4. Berlari menuruni bukit.
           5. Pasang kekuda di pantai sambil menahan hentaman ombak yang kuat.
           6. Berlatih di bawah air terjun dgn menahan kekuda sambil menerima
               terjahan air yg menimpa tubuh.
           7. Mengatur pernafasan ketika keadaan berkekuda.

2. Tapak Menanti/Pasang
Merupakan kesinambungan dari Asas Kekuda yang mana pesilat membuka tapak kekuda dalam keadaan bersedia menghadapi serangan musuh dari pelbagai arah, keadaan dan lokasi pertempuran. Maknanya, pesilat bukan lagi hanya fokus kepada kekukuhan tapak dan keseimbangan badan, tetapi pesilat perlu peka juga kepada;
            1. Gaya Menanti - Gerak laku letaknya tangan pesilat sebagai hadangan kpd musuh.
                                         Dalam Ilmu Silat Seni Gayong terdapat 7 Gaya Menanti seperti;
                                         Seni, Kombat, Serang, Harimau, Rajawali, Naga Bora, Lam Alif.
            2. Pandangan Mata - Sepanjang pertarungan,mata adalah aset yg paling penting.
                                             Pesilat mampu membaca gerak musuh melalui Petanda Gerak.
                                             Melalui lirikan mata musuh juga kita boleh mengagak arah
                                             serangan musuh dan bila saat musuh hendak menyerang.
            3. Aturan Nafas - Amat penting agar pesilat menjadi tenang (waras dalam tindakan ).
                                        Pekalah kpd aturan nafas musuh. Semakin kuat dadanya berombak,
                                        semakin kurang warasnya. Saat musuh melepaskan serangan ketika 
                                        mereka menarik nafas panjang. Dengan mengetahui Rahsia Nafas
                                        juga, pesilat mampu meramalkan daerah kelemahan musuh.

Tapak Menanti mempunyai banyak bentuk dan variasi bergantung kepada KEILMUAN SILAT setiap perguruan. Jika sama Tapak Menanti sekalipun, mungkin sikap, aras dan gaya sambut (gaya menanti) yang berbeza. Di sini terdapat 7 Tapak Menanti dalam pembelajaran Silat Seni Gayong;

1. Tapak Selari.

2. Tapak Sendeng.

3. Tapak Serong (Serang @ Tapak Jermang).
4. Tapak Jinjit (Jijak Bara).
5. Tapak Gantung (Tapak Rajawali).
6. Tapak Anak Harimau (Tapak Rendah/Cecah Bumi)
7. Tapak Alif (Berdiri Lurus).
3. Langkahan Silat
Langkahan Silat merupakan suatu gerak transisi dari satu kedudukan tapak menanti (berkekuda) ke kedudukan tapak menanti yang lain dalam usaha untuk mencari ruang dan peluang ke atas pihak lawan. Langkahan yang baik adalah langkahan yang menutup/menghindar /menyulitkan pihak musuh ke atas diri pesilat di samping membuka ruang yang sempurna untuk melancarkan serangan balas.

Dalam Ilmu Persilatan, Langkah merupakan satu kaedah yang paling penting. Tanpa Langkah tempanglah silat kerana silat tidak sekadar cukup dengan menggerakkan kedua-dua belah tangan dan menggerakkan badan sahaja ketika belaan dan serangan. Silat memerlukan GERAK iaitu bergerak dengan melangkah. Langkahan memerlukan kemahiran memindahkan berat badan ke atas salah satu daripada kaki pesilat ( kanan @ kiri ).

Sebenarnya, Kuda-Kuda, Tapak Menanti dan Langkah adalah suatu yg sama tapi tidak serupa. Bila ia bergerak dinamakan LANGKAH, bila diam dinamakan KEKUDA dan bila ianya bersedia "membeli" dan "menjual" dipanggil pula berTAPAK. Langkah sesuatu yang saintifik dan bersistematik. Ianya merangkumi aspek;
1. Konsep Keseimbangan (kekuda)
2. Hala Tuju (arah)
3. Aras
4. Penggunaan Ruang
5. Gerak Kaki yg tersusun (Tapak 3,4 dan seterusnya) - Pola Langkah
6. Limbai (ayunan tangan)
7. Aturan Nafas.

Sebagai pesilat, seharusnya mengetahui dan faham apa yang dikatakan "Langkah, Kekuda, Jalan, Gerak, Garik, Sikap dan Arah", supaya memudahkan pesilat melakukan pergerakan dengan lancar dan berkesan. Asas MELANGKAH adalah maju, undur dan hindar manakala asas GERAKnya adalah secara geser, seret dan angkat. Terdapat pelbagai BENTUK LANGKAHAN SILAT, antaranya;
1. Langkah Jantan (Angkat Panjang)
2. Langkah Betina (Angkat Pendek)
3. Langkah Beranak (Seret)
4. Hereng Ketam (Geser)
5. Langkah Yoi (Lompat Kijang)
6. Melingkar (Melilit / Silang)
7. Singgah (Tumpang)

Arah Langkah pula mengikut 8 arah mata angin dan sangat bergantung kepada konsep penetapan jarak antara pesilat dan musuh dan juga bentuk gerakan musuh. Apa yang penting, pesilat perlu tahu yang musuh sentiasa bergerak umpama anak ayam yang nampak zahirnya mudah untuk ditangkap namun hakikat sebenarnya amat susah untuk menangkapnya. Dengan pengetahuan Asas Kekuda, Tapak Menanti (Sikap Menanti) dan Langkahan Silat ini, maka wujudlah KONSEP LANGKAH dalam silat yang mempunyai FORMULA gerak langkah tertentu yang dipanggil Langkah Segaris, Langkah Dua, Langkah Tiga, Langkah 4, Langkah 5, Langkah 7 dan seterusnya. Di dalam Keilmuan Silat Seni Gayong, ilmu ini terkandung dalam Seni Yoi.

TAPAK 2 (Tapak Lurus)
- dikenali juga sebagai Tapak Asas untuk bertempur.
- pergerakan hanya terhad kepada langkah maju dan langkah mundur.
- bukan tapak mutlak kerana terlalu ringkas.
- buah-buah pukulan dan kuncian berlandaskan tapak 2 ini.

TAPAK 3
Tapak 3 asas

Tapak 3 lanjutan
- dikenali sebagai Tapak Perang atau Tapak Laksamana.
- diaplikasi untuk gerak menyerang dan serang balas.
- boleh disertakan dengan Tapak 4 membentuk Tapak 7 atau Tapak 8.

TAPAK 4
Tapak 4 - Khusus utk Tapak Selari

Tapak 4 - Khusus utk Tapak Serong

Tapak 4 Lanjutan (Gabungan)

- dikenali sebagai Tapak 4 Penjuru atau Pecah 4 mata angin.
- diaplikasikan sewaktu gerak menghindar/mengelak.
- boleh dipecahkan kepada Tapak 8 , Tapak 12 dan Tapak 16.

TAPAK 5
Tapak 5
- dikenali sebagai Tapak Lelayang
- merupakan tapak yang sesuai bila berhadapan musuh yang lebih tinggi dan berkemahiran 
   tinggi menggunakan serangan kaki.

TAPAK 8
Tapak 8 - Selari
Tapak 8 - Serong
- Kombinasi Tapak 3 dan Tapak 4.
- Amat sesuai digunakan sewaktu pertempuran melibatkan musuh yang ramai dari pelbagai arah.

Contoh-contoh Tapak Silat ini menunjukkan Langkahan Silat amatlah tersusun dan sistematik. Masih banyak lagi RAHSIA berkaitan LANGKAHAN SILAT ini yang masih belum dibincangkan atas menjaga ADAB BERGURU. Semoga perbincangan kali ini mampu mencetuskan idea kepada pengamal2 silat seluruhnya.


Wallahua'lam

Wednesday, July 20, 2011

GADUH JALANAN - 21 FAKTA PENTING YANG PERLU ANDA KETAHUI

Salamun Alaik,

Adakah anda telah bersedia menghadapi Gaduh Jalanan (street fighting )?

Sebelum anda berkata "Ya", ada baiknya anda meneliti 21 fakta penting yang berkaitan gaduh jalanan ini.

Secara ASASnya, 
1. Ianya bukan berbentuk permainan atau pertandingan .
2. Ianya juga tiada PERATURAN.
3. Tiada PENGADIL atau orang tengah yg bersedia untuk memberhentikan pergaduhan.
4. Boleh mengheret ke muka pengadilan (mahkamah) dan anda perlu bersedia utk membayar denda, tatatertib (oleh majikan) atau ke penjara.
5. Perlu bersedia menerima risiko kecederaan yg teruk atau kematian.
6. Dendam dari pihak yang kalah. Keluarga dan harta (kereta/rumah) anda juga akan menerima risiko ini.
7. Kebiasaannya, pertarungan jalanan ini hanya memakan masa di bawah satu minit.

Jika terpaksa menghadapi;
8. Lebih bersikap bertahan daripada menyerang.
9. Lari lebih lari jika ada peluang.
10.Berhati-hati dengan senjata yg tersembunyi (kerambit,pisau,buku lima)
11.Cam kan wajah dan karakter musuh tersebut.
12.Cuba buat perundingan dan jgn sesekali melakukan provokasi atau cabaran.
13. Sentiasa berdepan dengan musuh,jgn sesekali menoleh ke belakang.
14. Sebarang serangan balas mestilah tepat ke sasaran maut musuh. Jgn sesekali menendang melewati paras pinggang musuh.

Tetapi, perlu diingat;
15. Anda serang sekadar untuk pertahankan diri anda.
16. Jika di luar kawalan (musuh mmg berniat membunuh), patahkan sendi2 utama musuh agar dapat mengurangkan aggresifnya.
17. Seeloknya, jgn memegang senjata musuh.Biarlah ada bukti dalam kes nanti.
18. Gunakan dengan bijak setiap alat disekeliling anda sebagai alat sokongan utk menangkis serangan musuh yg bersenjata.
19. Jangan panik dan bernafas dengan teratur.
20. Jawablah setiap sahutan musuh dengan penuh keyakinan.
21. Jangan lupa untuk laporkan kejadian kepada pihak berkuasa.


Wallahua'lam

Tuesday, July 19, 2011

VARIASI SILAT "SAMA TAPI TAK SERUPA"

Salamun Alaik,


Seni Silat merujuk kepada Ilmu Beladiri bagi Bangsa Melayu. Terdapat ratusan (mungkin ribuan) jenis SILAT di Alam Melayu ini. Di Malaysia sahaja, sebanyak lebih 300 pertubuhan silat yg berdaftar secara sah dan bilangan itu belum termasuk silat yang bergelanggang secara kampung atau persendirian. Begitu hebatnya ILMU ALLAH. Walaupun terdapat ribuan variasi, namun ianya tetap satu yg dipanggil SILAT. Bak kata pepatah "SAMA TAPI TAK SERUPA".

Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya dalam dunia BELADIRI ini sejak 1987, ribuan Silat ini boleh kita kelaskan kepada 7 kelompok/kumpulan iaitu;

1. Silat Tari - Lebih kpd bunga, bersilat pulut dan mementingkan nilai2 yg estetika. Buah-buah silatnya tersimpan dalam gerak tari.
2. Silat Buah - Pelajarannya banyak menggunakan contoh2 buah yang perlu dihafal sebelum ke tahap mahir.
3. Silat Batin - Hanya menjurus kepada Ilmu-ilmu kebatinan tanpa ada unsur2 fizikal.
4. Silat Petua - Hanya berbentuk Petua (pengalaman orang2 tua yang telah mengkaji serta mengaplikasikan ilmu) dan kebiasaannya belajar dlm tempoh beberapa hari sahaja. Ada yang dapat ditamatkan dalam tempoh satu malam sahaja.
5. Silat Sukan - Silat khusus untuk menyertai pertandingan sukan seperti Silat Olahraga dan Seni berbentuk Baku seperti Jurus Wajib, Jurus Tunggal dsb. Amat menitikberatkan stamina, dan skema pemarkahan.
6. Silat Pukul - Silat yang lebih bercorakkan teknik bertempur (sparring) berbanding buah-buah silat yang perlu dihafal. Amat mementingkan gerak refleks dalam latihan sparring.
7. Silat "1 Malaysia" - Silat yang telah berasimilasi dengan Ilmu Beladiri Luar yang ada di Malaysia. Kacukan Silat dengan unsur-unsur beladiri luar.

Wallahua'lam

Tuesday, July 12, 2011

CABANG ILMU TENAGA DALAM

Salamun Alaik;


Ilmu Tenaga Dalam merupakan ilmu yang universal dan segajat. Ianya ada pada setiap bangsa di muka bumi ini. Yang membezakannya adalah dari aspek nama, kaedah olahan dan falsafahnya sahaja. Terdapat istilah-istilah yang popular dan sinonim dengan Ilmu Tenaga Dalam ini seperti; Chi, KI, Reiki, Cakra, Prana, Aura, Pancaindera ke-6 dan sebagainya. Apapun namanya, ianya adalah merujuk kepada PUSAT TENAGA DIRI yang di olah melalui kaedah-kaedah tertentu seperti TEKNIK PERNAFASAN untuk dibangkitkan dan berkemampuan untuk MENYERAP TENAGA ALAM (tumbuhan,udara, bumi dll).

Setelah mampu mengolah tenaga dalam diri,maka seseorang itu mampu pula untuk menguasai beberapa CABANG ILMU TENAGA DALAM ini seperti;

1. Terawangan (Pandang Tembus)
    Mampu melihat perkara-perkara yang terjadi dengan menembusi dimensi ruang dan waktu.

2. Magnetisme (Ilmu Daya Tarik)
    Menggunakan kekuatan sistem magnet dalam tubuh utk pengubatan atau membentuk keperibadian unggul.

3. Telepati (Hubungan Daya Fikiran)
    Mengirim getaran2 melalui kekuatan fikiran ke fikiran manusia lain dgn menyelaraskan frekuensi otak.

4. Hipnotis (Ilmu Saranan Niat)
    Ilmu berkaitan kawalan minda dengan saranan2 niat utk pelalian,penyembuhan dan penyiasatan.

5. Occultisme (Pengubatan Ghaib)
    Menggunakan Getaran Elektrik dari pernafasan utk tujuan penyembuhan (diri sendiri atau org lain)

6. Firasat Alam
    Mendapat petanda dan petunjuk kpd segala persoalan yg timbul dari dalam diri melalui petanda2 alam.

7. Pendengaran Batin
    Mendengar suara halus dari batin yg dikonsentrasikan utk memperoleh jawapan2 kpd permasalahan.

Wallahua'lam.

Monday, July 11, 2011

RAHSIA 7 DALAM TEKNIK MEMBANGKITKAN TENAGA DALAM

Salamun Alaik;


Dalam melaksanakan TEKNIK MEMBANGKITKAN TENAGA DALAM, terdapat 7 elemen penting yang menjadi RAHSIA kepada keberkesanan dan kesempurnaannya. 7 elemen tersebut adalah;

1. Bayu Insan
2. Tongkat Langit
3. Bangkit Kersani
4. Cengkam Bumi
5. Cipta
6. Mantra (Zikir)
7. Dabus

Wallahua'lam

Thursday, July 7, 2011

AMALAN PENGUNCI DIRI

Salamun Alaik,


1. Sebut KAF dan lipat jari kelinking KANAN.
2. Sebut HAA dan lipat jari manis KANAN.
3. Sebut YAA dan lipat jari tengah KANAN.
4. Sebut 'AIN dan lipat jari telunjuk KANAN.
5. Sebut SOD dan lipat jari ibu KANAN.

Sambil GENGGAM TANGAN KANAN, niat dihati " Terbelalah Aku"


1. Sebut HAA dan lipat jari kelinking KIRI.
2. Sebut MIM dan lipat jari manis KIRI.
3. Sebut 'AIN dan lipat jari tengah KIRI.
4. Sebut SIN dan lipat jari telunjuk KIRI.
5. Sebut KOF dan lipat jari ibu KIRI.

Sambil GENGGAM TANGAN KIRI, niat dihati " Terpeliharalah Aku"

Dalam keadaan kedua2 Tangan Menggenggam, BACA AYAT di bawah;

"Wa Kul Jaaa Alhaqqu Wa za Haqal bathila Innal Baathila Kaa Na Zahuuqoo" baca 4 kali hembus ke depan, kanan, kiri, belakang. Jalan 7 langkah dan lepaskan GENGGAMAN TANGAN.

Wallahua'lam

Thursday, June 30, 2011

ASAL USUL BESI

Salamun Alaik;


Mantera 
Bismillahirrahmanirrohim
Hai besi bangunlah engkau si raja besi
Yang bernama si ganda bisa
Engkau duduk di kepala jantungku
Bersandar di tiang arasy
Ku minta tinggalkan insanku
Ku minta rendah insan sekalian
Berkat aku memakai wujud kudrat Sayyidina Ali
Bujur lalu melintang patah
Lalu juga kehendak Allah
Berkat Lailaha illallah
Muhammadar Rasulullah

****************************************************


Besi adalah salah satu unsur yang dinyatakan secara jelas dalam al-Qur’an karena terdapat surat bernama al-Hadiid yang berarti besi.  Allah berfirman:
“Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya.” (QS. al-Hadiid [57]: 25).
* Kata anzalna yang berarti Kami turunkan( merujuk kepada diturunkan dari atas atau dari langit).


Pembentukan logam berat seperti besi, emas, platinum, uranium dan plutonium ada kaitan dengan kematian bintang di angkasa raya. Apabila bahan api bintang kehabisan maka tindakbalas nekleosentesis yang menukarkan silikon dan sulfur kepada besi akan berlaku pada teras bintang. 

Besi mempunyai susunan nekleus yang paling stabil. Tenaga pembentukan atom besi sungguh tinggi. Besi tidak terbentuk di bumi tetapi dari bintang di ruang angkasa menerusi proses yang disebut tadi. Ledakan nukleosintisisis yang berlaku pada suhu yang tinggi akan menghamburkan besi ke ruang angkasa dan seterusnya di tarik ke permukaan bumi menerusi tarikan graviti.


Inilah yang dinyatakan dalam al-Quran lebih 1400 tahun yang lalu tatkala pada masa itu pengetahuan tentang alam terlalu cetek. Namun hanya pada zaman moden ini, ahli-ahli sains dapat merungkai persoalan tentang kewujudan besi di bumi walhal Al-Quran telah meceritakan akan  hal ini lebih 1400 tahun yang lalu. Subhanallah!

Wallahua'lam

Wednesday, June 22, 2011

Ringkasan Huraian SENI YOI

Salamun Alaikum,


Dipetik dari Buku Panduan Jurulatih Gayong Serantau Kelantan

- Seni Yoi merupakan salah satu cabang Ilmu Silat Seni Gayong.

- Ianya penting dan sesuai digunakan untuk;
   1. Menghidupkan GERAK LANGKAH - mampu bergerak pantas dan stabil agar belaan & serangan
       menjadi sempurna.
   2. Mampu bertempur di PELBAGAI RUANG dan LOKASI..
   3. Pertempuran yang melibatkan MUSUH YANG RAMAI.

- Seni Yoi terbahagi kepada 3 BAHAGIAN UTAMA;
  1. Tapak Yoi
  2. Buah Yoi
  3. Amalan/Doa Yoi

- Seni Yoi juga menerapkan 7 ELEMEN bagi memantapkan setiap gerak yoi iaitu,
  1. Jenis Tapak Kekuda
  2. Jijak Bara (Jinjit Tumit)
  3.Gaya Menanti (Kedudukan Tapak dan Kaedah Sambut )
  4. Teknik Pernafasan dan Imbangan
  5. Sudut/aras pandangan
  6. Konsep Ruang dan Kedudukan
  7. Kemantapan Gerak (Kekuatan/Kepantasan/Ketepatan)

- Latihan Yoi banyak diserapkan dalam;
  1. Asas Gerakan (Berkisar Tapak-mengubah haluan serangan)
  2. Gerakan Anak Harimau (Serangan & Belaan 4 penjuru)
  3. Elak-Pukul (Masa pertembungan yang singkat)
  4. Tapak Yoi (tapak 1,2,3,4,7,8,12,14,21)
  5. Buah Serangan ramai (1vs 2, 1vs 3, 1vs 4)
  6. Seni Tempur Gayong ( Makan Gerak, Makan Segerak, Makan Gerak dalam gerak, 3 Daun dll)
  7. Serangan Bebas (Tangan Kosong & senjata)

* Apa maksud YOI? dan Kenapa ADMAR mengaitkan YOI ini dengan Ilmu Gayong?

Wallahua'lam

Sunday, June 19, 2011

SEJARAH BUGIS



Bugis
Orang Bugis berasal dari kepulauan Sulawesi di Indonesia,mendiami hampir kesemua kawasan di Sulawesi Selatan. Penaklukan Belanda pada kurun ke-17 menyebabkan sebahagian daripada mereka berpindah dan kini telah bercampur dengan suku lain di Sumatra, Kalimantan, Jawa, Semenanjung Malaysia dan Sabah,Sarawak, Menurut sumber secara lisan tidak bertulis yang lain pula sememangnya suku Bugis(buqis Kapal) dan suku Ugi dari kepulauan Sulawesi adalah berbeza. Bugis adalah berasal dari perkataan beribukan puteri Balqis(isteri kepada nabi Sulaiman)Permaisuri kerajaan Saba'(sheba). Mereka adalah pedagang rempah2, kemenyan atau kemian dan lain-lain di antara tanah Hadramaut, Yaman sehingga ke Tanah Ugi(Sulawesi) di Pandjung Luwuk semenjak beratus-ratus tahun sebelum Masehi lagi. Mereka adalah sangat berpegang teguh kepada ajaran Agama Islam sehingga salah seorang ketua kapal mereka yang terkenal Tuan Hj Besar Daeng Selili Pancung tanpa Tanya Matindro ri Kuala Kangsar telah dilantik menjadi mufti Perak(1745) dalam mengawal perlaksanaan hukum hudud di Negeri Perak pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (III) (1728-1756) oleh kerajaan Uthmaniyah Turki.
Sebagai pengetahuan am bertulis yang dikawal oleh british bahawasanya, etnik Bugis cukup terkenal di dalam bidang maritim di Kepulauan Melayu dan di dalam bidang ekonomi. Mereka juga terkenal sebagai pahlawan yang berani, lanun yang digeruni(digelar dengan teknik propaganda yang berjaya oleh pesaing seperti Belanda dan inggeris.) dan pedagang yang berjaya. Pusat tumpuan utama bagi kebudayaan dan ekonomi etnik ini adalah Ujung Pandang atau dikenali sebagai Makassar. Orang Bugis juga merupakan penganut agama Islam.

Kerajaan pertama Bugis mengikut La Galigo ialah Wewang Nriwuk, Luwuk dan Tompoktikka. Luwuk mendapat kedudukan istimewa kerana ia dianggap sebagai ketua Bugis. Walaubagaimanapun, pada abad ke 15, berlakunya perubahan didalam sosio-politik, ekonomi dan agama disebabkan berlakunya migrasi penduduk dari persisiran pantai hingga ke tengah hutan belantara membuka penempatan baru. Didalam bidang ekonomi, penanaman padi sawah, pembuatan besi dan penggunaan kuda diperkenalkan. Dari segi agama, adat membakar mayat di sesetengah tempat mula diamalkan. Pada akhir abad ke 15, munculnya beberapa kerajaan baru menentang kerajaan Luwuk. Antaranya ialah Gowa (Makassar), Bone dan Wajo'. Kematian Dewaraja, seorang raja Luwuk, menyebabkan perebutan dinasti untuk memerintah Tana Ugi. Gowa bersekutu dengan Bone menawan Luwuk dan sekaligus mempunyai pengaruh yang besar ke atas Sulawesi Selatan.

Pengislaman Bugis

Pada abad ke 16 Sulawesi telah mengalami suatu perubahan yang besar. Dalam tempoh masa ini, komuniti Bugis dan Makassar berjaya diislamkan oleh Abdul Makmur, seorang Minangkabau. Manakala pada pertengahan abad ke 16, Sulawesi Selatan dikuasai oleh Gowa dan Bone. Kerana kedua-dua negeri ingin meluaskan kuasa mereka, maka tercetuslah peperangan sesama mereka dan Bone dikalahkan. Sebagai membalas dendam, seorang putera Bone bernama Arung Palakka bersekutu dengan Belanda untuk menyerang Makassar. Pada tahun 1667-1777, Makassar jatuh ketangan Belanda dan ini menyebabkan migrasi Bugis ke Sumatra dan Tanah Melayu.

Sejarah Bugis Di Tanah Melayu

Bugis memainkan peranan yang penting dalam sejarah di Tanah Melayu. Mereka terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam politik dan perbalahan negeri-negeri Melayu ketika itu, terutama sekali negeri Johor. Ia bermula apabila Daeng Loklok ingin memerintah Johor tetapi tidak dipersetujui oleh pemerintah negeri Johor Riau Lingga ketika itu, iaitu Raja Kechil. Ini menyebabkan Daeng Loklok atau Bendahara Husain meminta bantuan Raja-Raja Bugis untuk menumpaskan Raja Kechil. Bermula dari sinilah campur tangan Bugis di Tanah Melayu. Malah,Raja Ali, anak Daeng Chelak, Raja Lumu, dinobatkan sebagai Sultan Selangor pertama.

Bahasa Bugis

Etnik Bugis mempunyai bahasa tersendiri dikenali sebagai Bahasa Bugis (Juga dikenali sebagai Ugi). Konsonan di dalam Ugi pula di kenali sebagai Lontara yang berdasarkan tulisan Brahmi.

Dipetik dari Wikipedia.org
Kredit kepada http://kerispusakaku.blogspot.com/2010/09/sejarah-bugis.html
Wassalam

AYAT SUNDANG

Salamun Alaik;


Sundang tergolong dalam kumpulan senjata pedang. Ianya berasal dari Bugis. Ada yang Jantan dan ada yang Betinanya. Jantan lebih berat dan panjang berbanding yang Betina. Ada kaedah bermainnya secara memegang 2 tangan dan ada yang hanya bermain sebelah tangan di samping perisai. Letaknya di belakang bahu bila berdayung dan di sisi pinggang bila berjalan di darat. Terdapat juga yg berbentuk keris. Fungsi nya adalah untuk MELIBAS dan MENETAK, bukannya untuk MENIKAM. Di dalam Silat Seni Gayong, senjata Sundang diajar kepada guru2 Gayong yg berbengkong Pelangi Kuning Tinggi dan ke atas. Di sini, saya berkongsikan AYAT SUNDANG tetapi dalam bentuk terjemahannya. Untuk dapatkan AMALAN yg sebenar, perlulah mendapatkan IJAZAH dari Guru2 Gayong yg bertauliah.

" Basmalah
1. Kami dengan ALLAH, Kemuliaan kami,
2. bukan dgn gah dan pangkat,
3. PEDANG kami di dalam kata-kata kami,
4. Cukuplah bg kami ALLAH dan NABI."


Wallahua'lam

Saturday, June 4, 2011

PETUA #11 TUJUH SASARAN MAUT

Salamun Alaikum,


Setiap serangan yang sempurna memerlukan KEPANTASAN, KEKUATAN DAN KETEPATAN. Ketepatan serangan pula memerlukan pengetahuan ke mana arah sasaran yang paling tepat untuk kita menyerang. Petuanya adalah berdasarkan 7 kawasan/daerah maut pada tubuh manusia;

       1. Buah Penyawa (Kemaluan)
       2.Ulu/sudu Hati
       3. Jantung
       4. Rusuk Kanan
       5. Rusuk Kiri
       6. Halkum
       7. Leher (Titik Saraf Karotid)

Wallahua'lam

Saturday, May 28, 2011

PETUA #10

Salamun Alaik;

Bila berdepan dengan musuh, HIDUPKAN (aktifkan) kedua2 tangan dan kaki anda hanya dengan merasai akan   adanya ia bersama kita. InsyaAllah, Tulang empat kerat anda akan melaksanakan tugas dengan baik sewaktu pertempuran berlaku.

*anda boleh cuba sebagai latihan; minta partner anda menyerang secara bebas dan perhatikan apa refleks anda. Kemudian cuba aktifkan tulang empat kerat anda dengan PETUA di atas, dan rasai perbezaannya. Dengan sedikit kaedah PETUA,kesannnya adalah amat luar biasa sekali.

Wallahua'lam

Sunday, May 22, 2011

TUNJUK AJAR GURU - KURSUS JURULATIH 2007

Salamun Alaik,



Wassalam

Saturday, May 21, 2011

TUNJUK AJAR GURU - TONGKAT

Salamun Alaik,


Wassalam

TUNJUK AJAR GURU - SENI BUNGA TANJUNG

Salamun Alaik,



Wassalam

Friday, May 20, 2011

TUNJUK AJAR GURU - TANGAN KOSONG

Salamun Alaik,


Wassalam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...